Category: Semasa

  • Lelaki rentung dalam kebakaran flat

    Lelaki rentung dalam kebakaran flat

    POLIS sedang mengenal pasti identiti seorang lelaki yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah flat di Bandar Damansara Perdana di Petaling Jaya, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 9.12 malam.

    “Siasatan mendapati kejadian itu berlaku di sebuah rumah di tingkat 21 blok D flat berkenaan yang menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia oleh pihak bomba.

    “Setakat ini, butiran penuh mangsa dianggarkan berusia 30-an itu masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, mayat mangsa terbakar kira-kira 40 peratus itu ditemui berdekatan pintu rumah dan dipercayai cuba menyelamatkan diri ketika kejadian.

    “Pihak bomba berdepan kesukaran memadamkan kebakaran itu pada mulanya kerana masalah tekanan air yang rendah.

    “Sebaik kebakaran itu berjaya dipadamkan, pemeriksaan dilakukan dan mendapati rumah berkenaan terbakar hampir 90 peratus,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau berkata, pihak forensik turut dipanggil bagi membantu siasatan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan dilakukan terdapat dya sampel diambil untuk analisa iaitu cebisan baju dan kulit mayat.

    “Hasil keterangan saksi kejadian memaklumkan terdengar bunyi letupan yang kuat dari rumah mangsa serta bunyi kaca pecah sebelum mendapati berlaku kebakaran di kediaman itu.

    “Saksi cuba mendapatkan bantuan tetapi gagal masuk ke rumah itu kerana api sudah marak,” katanya.

    Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    “Orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi sarjan aktiviti balai, Sarjan Ahmad Sabran Abdullah di talian 010-5585040 bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Azmin Ali bakal kembali jadi MB Selangor?

    Azmin Ali bakal kembali jadi MB Selangor?

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan mencalonkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang perlu diadakan sebelum Jun tahun ini.

    Menurut Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa untuk kembali memimpin negeri berkenaan.

    Namun katanya, segala keputusan terletak kepada kebijaksanaan kepimpinan PN bagi menentukan calon terbaik menjawat jawatan penting berkenaan.

    “Peluang sentiasa terbuka kepada Azmin sekiranya berjaya memenangi peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mengulas lanjut Dr Zulkafperi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, PN juga yakin ke arah itu berdasarkan pengalaman Azmin yang dilihat membantu kemenangan di Selangor nanti.

    Beliau bagaimanapun berkata, Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dilihat berdepan tugas berat mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Kerusi itu dijangka sengit kerana pengundi Melayu tidak sampai 50 peratus dan ia semestinya sukar. Kita tidak menolak kemungkinan sama ada beliau kekal atau memilih DUN lain yang mungkin berpihak kepada PN,” katanya, lapor BH Online.

    Sebagai rekod, Azmin menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 dan menjadi ADUN Bukit Antarabangsa sejak 2008.

    Sementara itu, Dr Zulkafperi berkata, PN melahirkan keyakinan mampu memenangi 33 kerusi DUN pada PRN nanti. Untuk rekod, DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.

    Beliau berkata, jentera PN ketika ini dalam keadaan siap siaga dan berada pada tahap terbaik.

    “Hasil pemerhatian mendapati ramai anak muda semakin kuat menyokong PN terutama menerusi platform media sosial.

    “Saya yakin PN mampu menawan Selangor menerusi penyatuan ummah antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

    “Kita mahu gelombang orang Melayu diteruskan dengan memberi sokongan kepada PN dan menolak PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional),” katanya.

  • Polis Pulau Pinang rampas 41kg syabu bernilai RM1.5 juta

    Polis Pulau Pinang rampas 41kg syabu bernilai RM1.5 juta

    POLIS Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 41.807 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.505 juta dalam dua serbuan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) Sabtu lalu.

    Dalam operasi sama, seramai tujuh individu tempatan berusia antara 26 hingga 54 tahun termasuk dua beradik turut ditahan dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah terbabit.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, pukul 8.45 malam yang mana lima individu ditahan.

    Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah itu menemukan sebanyak 11 bungkusan plastik hijau berlabel teh Cina dan dua peket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis syabu.

    Ujarnya, ekoran penahanan itu, polis melakukan serbuan kedua keesokan hari di Bertam Perdana, pukul 8 pagi dan menahan dua lagi individu.

    “Dalam serbuan kedua ini, kita merampas sebanyak 30 bungkusan plastik jenis sama di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan kita percaya kedua-dua suspek sedang melakukan urusan jual beli ketika serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, selain rampasan dadah, polis turut menyita empat buah kenderaan dan wang tunai RM1,000 daripada sindiket terbabit menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM1.97 juta.

    Katanya, hasil risikan mendapati, sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dan menjual dadah untuk pasaran tempatan.

    “Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan dua suspek turut memiliki rekod membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

    “Selain itu, salah seorang suspek turut memiliki rekod kesalahan mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

    Jelas beliau, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 3 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Penduduk kampung dakwa gajah kopak dinding rumah

    Penduduk kampung dakwa gajah kopak dinding rumah

    MASYARAKAT Orang Asli di Pos Brooke, di Gua Musang mendakwa gajah liar yang berkeliaran berhampiran penempatan itu semakin berani datang hampir ke kediaman penduduk.

    Seorang penduduk, Rengil Rajis Angah, 48, berkata minggu lepas seekor gajah bergading masuk ke kampung dan merosakkan dinding sebuah rumah di Kampung Liak. 

    “Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi apabila gajah mengopak dinding rumah dan menarik keluar tilam lalu memakannya. Ketika kejadian itu anak pemilik rumah sedang tidur di atas tilam tersebut.

    “Haiwan liar itu bukan sahaja memusnahkan tanaman tetapi sampai dekat pintu rumah. Kini kami risau untuk ke kebun dan anak-anak pula takut ke sekolah kerana gajah sering dilihat berada di laluan mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Brooke Lama, di sini. 

    Penghulu Kampung Brooke Lama Rian Bujang berkata kehadiran seekor gajah liar sejak tiga bulan lepas terus menghantui lebih 500 penduduk Orang Asli di tiga kampung di Pos Brooke. 

    Menurutnya meskipun pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) datang membuat pemantauan, ancaman mamalia terbabit masih tidak berkesudahan. 

    Rian mendakwa seekor daripada empat ekor gajah tersebut bukan sahaja sering dilihat berkeliaran di kawasan Kampung Kuala Rengil, Kampung Brooke Lama dan Kampung Liak, malah turut memusnahkan hasil tanaman yang diusahakan Orang Asli di kawasan itu.

    “Kita harap Perhilitan dapat mengusahakan cara lain untuk memindahkan gajah liar itu bagi mengelakkan ancaman berterusan termasuk membabitkan nyawa penduduk

    “Semakin banyak tanaman kami dimusnahkan dan gajah tersebut juga semakin berani masuk kampung,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihaknya mengambil maklum tentang lawatan Perhilitan ke penempatan tersebut pada bulan lepas, namun haiwan liar tersebut tetap muncul dan masih menghantui penduduk. 

    “Saya berharap agar pampasan dapat disediakan kepada lebih 30 penduduk kampung yang tanaman seperti sayur-sayuran, ubi kayu dan jagung mereka dimusnahkan gajah. 

    “Ini merupakan sumber pencarian orang kampung dan apabila tanaman dirosakkan maka sumber pendapatan mereka juga terjejas sekali gus menyukarkan lagi kehidupan penduduk,” katanya.

  • Buruh didakwa pukul isteri guna top keledar

    Buruh didakwa pukul isteri guna top keledar

    SEORANG buruh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan topi keledar, 25 Januari lalu.

    Mohd. Shamsuri Rokman Yusuf, 35, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul Siti Norhashikin Che Mat, 35 menggunakan topi keledar.

    Perbuatan itu dilakukan di hadapan kedai makan di Paloh 2 Gua Musang, 5 petang, 25 Januari 2023.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen dalam akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Firdaus Abdul Hamid.

    Ahmad Firdaus merayu supaya mengurangkan hukuman kerana lelaki itu mempunyai tanggunggan lima anak dan menjaga ibu yang sakit.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan yang bermula daripada tarikh ditangkap, 28 Januari lalu.

  • Mat Sabu kini bergelar Datuk Seri, Shalin Zulkifli dianugerah pingat Datuk

    Mat Sabu kini bergelar Datuk Seri, Shalin Zulkifli dianugerah pingat Datuk

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 164 penerima bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2023.

    Turut berangkat pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Istana Negara ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.

    Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mendahului senarai penerima.

    Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan, Mohamad, 69, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama enam lagi penerima pada istiadat pengurniaan itu.

    Enam lagi penerima SMW yang merupakan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Isham Ishak; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin; Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Dr Eng Wei Chun dan Pengarah Eksekutif Amechanus Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Lawrence Yeo Chua Poh.

    Sementara itu, 15 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk antaranya Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri Datuk Toisin Gantor; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Azah Hanim Ahmad dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.

    Turut dikurniakan PMW ialah Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Datuk Muhammad Azmi Zulkifli; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd Datuk Md Shah Mahmood; Presiden UMW Toyota Motor Datuk K. Ravindran dan Presiden UDA Holdings Sdn Bhd Datuk Sr Mohd Salem Kailany.

    Beberapa ahli sukan turut menerima PMW sebagai mengiktiraf sumbangan mereka kepada negara iaitu bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Lim Teong Kim; bekas ratu boling negara Datuk Shalin Zulkifli; atlet bina badan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan bekas Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia Datuk P. Arivalagan.

    Pada istiadat hari ini, 16 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW); 19 dikurniakan Kesatria Mahkota Wilayah (KMW); 15 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 92 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

  • Lantikan Nurul Izzah sebabkan banyak pihak angkat bendera merah

    Lantikan Nurul Izzah sebabkan banyak pihak angkat bendera merah

    TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik anaknya sendiri iaitu bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan didakwa menyebabkan banyak pihak mengangkat bendera merah tanda bahaya.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar perlu berfikir dan mempertimbangkan semula keputusan tersebut bagi mengelakkan isu itu menjadi lebih parah pada masa akan datang.

    “Kalau ada yang perlu diperbetulkan, betulkanlah sebelum terlambat atau melarat-larat yang besar padah dan mudaratnya. Kita tidak mahu itu berlaku,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

    Nurul Izzah sebelum ini mendedahkan bahawa beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.

    Hassan berkata, rakyat sebelum ini memberi peluang apabila Anwar melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Menurutnya, rakyat sekali lagi menutup mata dan bersangka baik apabila Anwar melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan kerana percaya kepada tokoh reformasi itu.

  • Pemuda dituduh bunuh warga emas

    Pemuda dituduh bunuh warga emas

    SEORANG pemuda dituduh di Mahkamah Majistret di Jasin hari ini sini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas berusia 91 tahun di Kampung Pulai Darat.

    D. Peter, 20, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Tan Chai Wei namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah membunuh seorang wanita, Misah Md. Amin, 91, di Kilometer 16 Kampung Pulai Darat Merlimau, kira-kira pukul 1.30 pagi pada 20 Januari lalu.

    Pendakwaan dikendalikan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan mendapatkan laporan bedah siasat.

    Media pada 20 Januari lalu melaporkan seorang warga emas ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kilometer 16 Kampung Pulai Darat, Merlimau.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, mangsa, Misah Md. Amin, 91, ditemui terbaring di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

  • Bukan mustahil rampas Selangor dan Negeri Sembilan

    Bukan mustahil rampas Selangor dan Negeri Sembilan

    Oleh BADLISHAH MAT

    GELOMBANG, momentum dan kehendak rakyat yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tidak mustahil untuk Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

    Pengerusi PN Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, gelombang dan momentum sokongan terhadap PN tidak hanya dikekalkan malah akan ditingkatkan menjelang PRN di negeri-negeri terlibat.

    Katanya, Pulau Pinang yang kini diperintah DAP melalui Pakatan Harapan (PH) juga tidak mustahil untuk ‘digegarkan’ apatah lagi mereka sendiri mengakui beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu akan terlepas.

    “Kita ada pendekatan, strategi dan perancangan untuk dilaksanakan dan dalam masa sama, kita nak tengok jugalah PH dan Barisan Nasional (BN) buat apa. Nampaknya belum dapat tidur sebilik lagi, masih ‘kong kali kong’,” katanya ketika ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Kedah di Alor Setar, malam tadi.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO termasuk Khairy Jamaluddin baru-baru ini tidak hanya akan melemahkan UMNO malah turut menjejaskan PH.

    “Ibarat ‘jong’ pecah, yu kenyang. Tetapi kita tidaklah mengambil perkara itu sebagai sesuatu yang akan memberi kemudahan kepada PN. Kita sentiasa bersedia dan buat persiapan dengan kempen-kempen akan turut diperkemas. Di Kedah saya selalu sebutkan kalau BN campur PH pun, mereka takkan dapat atasi PN di 33 kerusi DUN dalam negeri ini,” katanya.

    Mengulas kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang secara sinis menyatakan ‘Tsunami PN’ tidak berlaku hari-hari, Menteri Besar Kedah itu berkata, impak bencana alam itu juga tidak akan berakhir dengan cepat.

    “Memanglah tsunami tak berlaku hari-hari tetapi kalau sekali jadi sampai 31,000 majoriti di Pokok Sena, takkanlah keadaan itu akan pulih dengan cepat? ‘bapa’ tsunami tu,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat perbincangan tidak rasmi antara kepimpinan Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bagi menentukan tarikh PRN yang setakat ini terdapat persefahaman bahawa DUN tidak akan dibubarkan pada Mac atau April kerana faktor Ramadan dan Aidilfitri.

    “Tidak lama selepas itu akan tiba pula musim haji dan selepas itu yang penting di Kedah ini, akan ada Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 18 Jun. Hanya selepas itulah baru boleh dilaksanakan apa yang sepatutnya dibuat bagi pembubaran DUN.

    “Perbincangan tak rasmi memang ada. Contohnya, saya sendiri bertanya kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan beliau maklumkan mereka bukan saja-saja nak bubar DUN pada Mei sebaliknya perlu berbuat demikian kerana penggal DUN negeri itu berakhir pada 1 Jun.

    “Disebabkan DUN akan terbubar sendiri pada 1 Jun, maka mahu tidak mahu, negeri itu perlu bubar pada Mei. Kalau negeri-negeri lain mahu adakan PRN serentak dengan Negeri Sembilan, maka perlu ambil kira 60 hari dari tarikh DUN Negeri Sembilan dibubarkan,” katanya.

    Tambahnya, PN tidak mengikut PH dalam menentukan tarikh PRN di keenam-enam negeri tersebut, sebaliknya beliau mengharapkan agar PH menuruti mereka dalam hal itu.

    “Di sebalik semua itu, PRN ini memang penting untuk dijalankan secara serentak. Pelaksanaan PRN secara serentak di keenam-enam negeri mampu membawa penjimatan. Lagi pun akan memudahkan semua pihak terutamanya yang tinggal jauh untuk pulang mengundi,” katanya.

  • Sertai kerajaan hari ini bukan jalan mudah jadi PM – Khairy

    Sertai kerajaan hari ini bukan jalan mudah jadi PM – Khairy

    MENYERTAI kerajaan hari ini tidak semestinya memberi laluan yang lebih mudah untuk Khairy Jamaluddin mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

    Ujar bekas Ketua Pemuda UMNO yang disingkirkan dari parti itu, itu bukanlah dalam perkiraan beliau sebagai langkah beliau seterusnya yang akan diambil.

    “Apa yang diperkirakan adalah sama ada keselesaan saya untuk bersama dengan sesebuah parti itu serta keserasiannya dengan seluruh ahli parti tersebut.

    “Itu adalah cita-cita jangka panjang (untuk meneraju kerajaan). Saya tak nak masuk ke tempat yang mana kita ada syak wasangka antara satu sama lain.

    “Iya lah, saya dah lalui segala ini takkan saya nak pergi bergaduh dengan orang rumah lain pula,” katanya dalam program Agenda Awani semalam.

    Tegas Khairy, apa yang penting adalah beliau mahu membantu kalau ada tempatnya yang beliau ada keserasian untuk bersama bagi melihat apa peluang yang ada, untuk kebaikan rakyat.