Category: Semasa

  • Naratif ‘sakau’ oleh Anwar tak laku ketika PRN

    Naratif ‘sakau’ oleh Anwar tak laku ketika PRN

    Oleh BADLISHAH MAT

    UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah ketinggalan menyebut perbuatan ‘merompak wang rakyat’ atau istilah ‘sakau’ yang sering digunakannya tidak laku sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, kenyataan Anwar pada setiap program politik atau kerajaan itu ibarat meludah ke langit kerana beliau sendiri terbukti tidak melakukan perkara sepatutnya berkaitan soal integriti.

    Beliau yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas berkata, Anwar sebagai ketua kerajaan sepatutnya mempunyai bukti yang amat kukuh sebelum membuat sesuatu kenyataan terutama kepada lawan politiknya.

    “Kita tak terkejut dengan watak Anwar walaupun jadi Perdana Menteri kerana semasa jadi pembangkang acap kali keluarkan tuduhan kepada mana-mana pihak termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad tanpa sertakan sebarang bukti.

    “Naratif dimainkan oleh beliau seperti meludah muka sendiri, nak kata kita sakau kena buktikan. Kalau nak letak penanda aras kata pemimpin PN didakwa atas tuduhan rasuah, Tan Sri Muhyiddin Yassin tak ada satu sen masuk dalam akaun. Datuk Wan Saiful Wan Jan sampai hari ini pendakwaan gagal bagi tarikh.

    “Beliau minat sangat cakap dan mungkin dia lupa dia Perdana Menteri. Bila mahkamah dah tentukan perjalanan kes kena hormat lah, tak boleh nak ulas lagi, nak main naratif PN sakau tapi yang sebelah kanan kamu bukan sakau tapi bapak kepada sakau,” katanya ketika ditemui di Padang Serai, semalam.

    Khairul Anuar berkata, jika Perdana Menteri mahu membuktikan kerajaan pimpinannya bersih, pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang sedang berdepan kes mahkamah tidak sepatutnya berlaku kerana UMNO juga masih memiliki pemimpin lain yang layak berada di kedudukan itu termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Mengulas kenyataan Anwar mengakui beliau bukan anti Kedah, Khairul Anuar berkata, perkara itu sama sekali tidak tepat dan jelas menyerlahkan ketidakmatangan beliau berpolitik serta mentadbir kerajaan.

    Katanya, contoh paling mudah boleh dilihat dalam isu surat menyatakan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri yang dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang diakui Anwar sengaja tidak dijawabnya.

    “Dia tak boleh bezakan di mana politik dan di mana pentadbiran. Sanusi hantar surat untuk bertemu atas kapasiti ketua kerajaan negeri dengan Persekutuan, bukan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah kepada Perdana Menteri.

    “Sepatutnya ada perbezaan dua perkara itu, soal Kedah dan rakyat siapa pun jadi Perdana Menteri dia kena jalankan kewajipan dengan adil. Kita sebelum ini tak tolong rakyat berdasarkan warna parti kerana bila dilantik buat kerja kepada semua

    “Anwar pun patutnya begitu laksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, beza di pentas politik. Nak berlawan itu bab lain tapi soal rakyat kena duduk berbincang. Apabila dia akui sengaja tak jawab dia mengakui mempunyai hati yang tak baik,” katanya.

  • PRN: Anwar takut sebab itu kerap ke Kedah, Kelantan, dakwa Mohd. Amar

    PRN: Anwar takut sebab itu kerap ke Kedah, Kelantan, dakwa Mohd. Amar

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan ketakutan apabila sering dilihat turun ke Kedah dan Kelantan untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Menurutnya, kebiasaan kerja-kerja berkempen itu akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri berdasarkan kepada sejarah sebelum ini.

    “Kita tengok zaman Tun M. (Dr. Mahathir Mohamad), Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, mereka jarang turun.

    “Biasanya Timbalan Perdana Menteri kerap turun. Kalau turun pun, cukuplah sekali tapi kali ini Perdana Menteri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Panchor, Kota Bharu malam tadi.

    Menurut beliau, tindakan Anwar yang kerap turun ke Kelantan dan Kedah itu menunjukkan kebimbangan beliau tentang peluang PH dan Barisan Nasional (PH-BN) di dua negeri berkenaan.

    “Saya buat contoh begini, kalau kita guru besar, takkan kita nak masuk semua kelas untuk mengajar. Guru besar sepatutnya memantau sahaja dan tindakan masuk kelas mengajar ini satu benda pelik.

    “Saya bimbang, tumpu Kelantan dan Kedah, Selangor pula tumbang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan Pusat bertukar jika PN menang besar dalam PRN, kata Hadi

    Kerajaan Pusat bertukar jika PN menang besar dalam PRN, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, kerajaan Persekutuan akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini.

    Timbalan pengerusi PN itu berkata, kemenangan gabungan politik berkenaan sangat penting untuk menukar kerajaan Persekutuan.

    “PRN enam negeri yang baki ini sangat penting untuk menangkan PN. Perlu menang besar.

    “Insya-Allah, kita menang sepenuhnya Kelantan, Kedah dan Terengganu. Kita nak menang juga di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Kalau menang ini akan berlaku perubahan kerajaan pusat. Itu maknanya,” katanya di depan lebih 500 hadirin tapak parkir Merchant Square, Bandar Sendayan, Seremban malam tadi.

    Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut bagaimana pertukaran tersebut boleh berlaku.

    Malaysia kini mempunyai undang-undang yang melarang anggota Parlimen mengalihkan sokongan dengan menyokong parti lain.

    Bagaimanapun, sesebuah parti bebas mengalihkan sokongan dan membentuk gabungan dengan parti lain.

    Sementara itu, Hadi yakin PN akan mencapai sasaran itu jika lebih ramai pengundi Melayu keluar mengundi.

    “Kaum lain keluar undi 90 peratus, Melayu 70 peratus. Masih ramai tak nak keluar undi,” dakwanya, lapor Malaysiakini.

    Hadi pada Disember lalu pernah membuat dakwaan sama bahawa kadar keluar mengundi orang Cina lebih tinggi berbanding orang Melayu, antaranya disebabkan musim umrah.

    Bagaimanapun penganalisis politik terkenal seperti Bridget Welsh menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

    Katanya, anggarannya mendapati seramai 78 peratus orang melayu keluar mengundi pada PRU 2022 berbanding Cina dengan 69 peratus.

    Hadi antara pemimpin penting dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan menerusi (PH) melalui Langkah Sheraton pada 2020.

    Beliau sudah beberapa kali menyebut bahawa kerajaan Persekutuan akan tumbang dalam masa terdekat.

    Sementara itu, menjawab soalan pemberita, timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempertahankan kerajaan Persekutuan boleh ditukar dengan pelbagai cara, walapun negara mempunyai Akta Antilompat Parti.

    “Oh, macam-macam cara di negara kita. Walaupun, ada akta antilompat parti tetapi ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk tukar sesebuah kerajaan begitu juga dengan kerajaan-kerajaan negeri lain.

    “Ada proses perundangan mengikut perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya yang turut hadir ke ceramah tersebut.

  • Wanita ditahan belasah bekas suami ketika tuntut hutang RM87,000

    Wanita ditahan belasah bekas suami ketika tuntut hutang RM87,000

    SEORANG wanita ditahan polis semalam atas dakwaan membelasah bekas suaminya ketika cuba menuntut hutang berjumlah RM87,000.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata dalam kejadian pukul 6.55 petang itu, lelaki berusia 28 tahun itu sedang mengemas rumah sewanya di Bukit Indah, Ampang sebelum didatangi bekas isterinya berusia 38 tahun yang memarahinya mengenai hutangnya.

    Beliau berkata, suspek kemudian menumbuk bibir mangsa, mengetuk kepalanya dengan hulu pengikis simen dan menendangnya di bahagian perut.

    “Polis menahan suspek yang bekerja sebagai akauntan di Ampang pada 9.45 malam.

    “Suspek dan mangsa baru bercerai pada 11 Julai lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun tujuh bulan,” katanya menurut Harian Metro.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

  • RTM siar debat ekonomi Rafizi, Syahir secara langsung

    RTM siar debat ekonomi Rafizi, Syahir secara langsung

    RTM akan menyiarkan debat antara Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Ahli parlimen Bachok Mohd Syahir Sulaiman pada Rabu ini.

    Orang kuat PKR dan pemimpin muda Perikatan Nasional (PN) itu akan membincangkan tajuk Model baru ekonomi Malaysia.

    “Insya-Allah, rakyat akan dapat menilai dan meneliti secara objektif rancangan dan hala tuju ekonomi yang akan dibentang dan didebatkan,” kata Rafizi.

    Menurut Rafizi, debat akan disiarkan secara langsung pukul 9.30 malam di saluran RTM dan Astro Awani.

    Debat juga boleh diikuti secara atas talian melalui aplikasi RTM Klik dan aplikasi Astro GO.

    Syahir menyambut cabaran itu selepas dua pemimpin kanan PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Datuk Seri Azmin Ali menolaknya.

    Rafizi menganjurkan debat itu alasan memulakan budaya persaingan idea untuk membantu rakyat, berbanding tumpuan kepada retorik siapa lebih Melayu.

    Sementara itu, Syahir pula menyifatkan debat itu sebagai peluangnya berkongsi visi dan misi Perikatan Nasional (PN) untuk Malaysia.

    “Tajuk sudah dipilih. Gelanggang sudah dibuka. Peluang untuk kami berkongsi visi & misi untuk Malaysia.

    “Bismillah. Doakan,” tulisnya dalam media sosial, lapor MalaysiaKini.

  • Faiz Tinggalkan Bersatu, umum sedia sertai PKR

    Faiz Tinggalkan Bersatu, umum sedia sertai PKR

    DR. MUHAMMAD Faiz Na’aman menyatakan kesediaannya menyertai gabungan parti kerajaan selepas beberapa jam mengumumkan langkahnya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau yang merupakan individu terawal dalam penubuhan Bersatu berkata, ketika ini PKR dilihat banyak memiliki persamaan dengan dasar yang diperjuangkannya.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Faiz berkata, beliau terbuka kepada sebarang pelawaan untuk menyertai PKR, sementelah memang menghormati kewujudan parti tersebut.

    “Sebab prinsip-prinsip perjuangannya ada yang kena dengan saya… banyak yang kena (sesuai), jadi saya terbukalah kepada PKR andai kata mereka dapat melihat saya sebagai aset.

    “Saya pun macam ada agenda yang lebih kurang sama (dengan PKR) untuk negara dalam memulihkan ekonomi negara semua ini,” katanya.

    Pagi tadi Faiz membuat pengumuman meletakkan jawatannya sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, selain memuktamadkan langkah meninggalkan parti tersebut.

    Katanya, keputusan tersebut dibuat secara sukarela dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

  • PRN: 11,294 warga polis, tentera dan keluarga mengundi awal di Pulau Pinang esok

    PRN: 11,294 warga polis, tentera dan keluarga mengundi awal di Pulau Pinang esok

    SERAMAI 11,294 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis serta tentera dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, esok.

    Jurucakap Media PRN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, SAC W.Pusphanathan, berkata daripada jumlah itu, seramai 6,451 adalah pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis dan pasangan manakala selebihnya iaitu 4,843 pula pegawai dan anggota tentera dan pasangan.

    Beliau berkata bagi pegawai dan anggota polis Kontijen Pulau Pinang, mereka akan melaksanakan undian awal di 28 pusat mengundi di seluruh negeri.

    “Terdapat 33 saluran di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang dan lima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Timur Laut dan Barat Daya di bahagian pulau serta Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di tanah besar.

    “Polis Pulau Pinang telah membuat persiapan dan persediaan rapi untuk pengundian awal supaya ia berjalan lancar. Seramai 217 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi melancarkan perjalanan proses pengundian awal PRN kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini.

  • ‘Anwar angkuh’ pertahan penggunaan helikopter kerajaan untuk berkempen – peguam

    ‘Anwar angkuh’ pertahan penggunaan helikopter kerajaan untuk berkempen – peguam

    SEORANG peguam menyelar tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir ke program di Kedah menaiki helikopter kerajaan, mengatakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu sekali lagi jelas menunjukkan sisi keangkuhannya.

    Rafique Rashid berkata, bukan itu sahaja, perbuatan Anwar turut memaparkan satu lagi ‘langkah sumbang’ oleh kerajaan pimpinannya.

    “Keangkuhan PM10 jelas terpacul dari mulutnya apabila menyindir lawan mengenai haknya menggunakan helikopter milik kerajaan,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Pada Jumaat, kehadiran Anwar mencuri perhatian penduduk kawasan luar bandar negeri Kedah apabila beliau memilih helikopter sebagai pengangkutan untuk hadir program di Jeneri dan Kupang.

    Sabtu lalu, Anwar menegaskan, beliau berhak menggunakan kemudahan itu berikutan kedudukannya sebagai perdana menteri.

    “Saya naik heli ke Jeneri mereka marah, kenapa naik heli? Sekarang ini heli kerajaan, yang hang nak sakit hati kenapa?

    “Kerajaan punya, bukan aku punya. Hang tak boleh pakai, Perdana Menteri boleh pakai,” katanya seperti dilaporkan media dalam program di Felda Teloi Timur pada Jumaat.

    Kawasan Felda itu, sebahagian dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kini dalam usaha mempertahankan kerusinya menentang Ketua UMNO Bahagian Sik Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

    Menurut Rafique, Anwar sememangnya mempunyai kelebihan dan keistimewaan untuk menggunakan helikopter itu atas kapasitinya sebagai perdana menteri.

    Bagaimanapun, menjadi satu kebimbangan apabila sejak kebelakangan ini dilihat hampir setiap hari jenis pengangkutan yang sama dikesan turut digunakan bagi menjelajah seluruh enam negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) semata-mata untuk beri ceramah politik.

    Ketika hadir ke dua program itu, Anwar dilaporkan menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW139 dengan nombor pesawat 9M-JPM.

    Helikopter itu digunakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) khusus untuk kegunaan pimpinan utama negara sejak dua tahun lalu, apabila ia mula dijejaki sejak September 2021.

    Selain helikopter dinaiki Anwar, dua lagi helikopter lain turut dilihat mendarat di padang awam berhampiran lokasi majlis itu berlangsung.

    Mengulas lanjut, Rafique mempersoalkan pendirian Anwar dan PH yang sebelum ini ketika berada di blok pembangkang bersuara lantang mengkritik kerajaan dari gabungan UMNO-Barisan Nasional (BN) daripada menggunakan aset kerajaan.

    Ini termasuk juga penyalahgunaan aset kementerian-kementerian semasa tempoh berkempen pada musim pilihan raya.

    “Kos ditanggung oleh rakyat tetapi yang untung adalah parti politik yang diketuai PM10 sendiri. 

    “Mengapa tiada teguran dari parti-parti gabungan lain?” soalnya.

    Menurut Rafique, meskipun Anwar tetap dengan jawapannya menggunakan helikopter itu bagi menghadiri program-program kerajaan, persepsi dan tanggapan negatif bokeh timbul dalam benak fikiran masyarakat.

    Ini terutamanya rakyat boleh berfikir tindakan Anwar seolah-olah menyalahgunakan aset di ambang PRN yang pada masa sama dilabel sebagai referendum kepada prestasi kerajaan campuran pimpinan beliau sendiri. 

    Selain itu badan pemantau pilihan raya, Bersih turut memberi ingatan bahawa sikap angkuh dan bongkak seperti yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri mungkin akan memakan diri sendiri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan salah guna jentera kerajaan untuk berkempen.

    “Reformasi yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan perlu dilaksanakan tanpa mungkir, dan tidak sekadar menanam tebu di bibir sebagai janji pilihan raya,” kata Bersih dalam satu kenyataan kelmarin.

  • Calon PH minta maaf, guna gambar Sultan di papan iklan

    Calon PH minta maaf, guna gambar Sultan di papan iklan

    GARA-gara mahu membuktikan bahawa kerajaan negeri Selangor mampu melakukan inovasi pentadbiran, calon Pakatan Harapan (PH) untuk DUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze memuat naik gambar mereka mengadakan persidangan dewan undangan atas talian.

    Namun, ini mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak, khususnya pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana Ng memuatkan gambar mereka bersama Sultan Selangor pada sebuah papan iklan kempennya.

    Menyedari kesilapan itu, Ng terus memohon maaf , dan berkata pasukannya telah menurunkan papan iklan tersebut.

    “Saya ingin berterima kasih atas keprihatinan dan teguran (Ahli Parlimen Machang) YB Wan Ahmad Fayhsal (Wan Kamal) atas bahan kempen kami. 

    “Saya dengan rendah diri menyusun sepuluh jari memohon maaf atas perkara tersebut,” katanya.

    Papan iklan yang dipertikaikan itu memuatkan gambar anggota DUN yang sedang bersama sultan Selangor dalam pakaian rasmi mereka berserta tajuk: Budaya Tahan: Selangor pinda Peraturan Tetap untuk membenarkan sidang atas talian dalam keadaan luar biasa (contoh pandemik). 

    “Untuk makluman, ini adalah gambar hari pertama persidangan DUN Selangor dan niatnya hanya untuk melambangkan Dewan Undangan Negeri. 

    “Kami tidak ada sebarang niat untuk menggunakan gambar atau mengheret DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam kempen politik kami. 

    “Sekali lagi kami mohon maaf dan kami tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi. Sesungguhnya bumi mana yang tidak ditimpa hujan, kami adalah manusia dan tiada sesiapa lari dari kesilapan,” kata Ng.

    Papan iklan itu mengandungi logo PH dan diletakkan sebagai sebahagian daripada kempen Ng.

    Bagi Wan Ahmad Fayhsal, Ng bukan calon baharu dan perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

    “Dia pernah menjadi ahli Parlimen sebelum ini. Tidak mungkin dia tidak memahami peraturan.

    “Sangat menghina baginya mengheret istana ke dalam politik partisan,” kata pemimpin PN itu, lapor MalaysiaKini.

    Pada PRN 12 Ogos ini, Ng mempertahankan kerusinya di DUN Subang Jaya. Dia dicabar oleh Gana Pragasam Sebastian dari PN dan calon Muda, Zayd Shaukat.

  • Azmin yakin 112 tawaran PN realistik ditunaikan

    Azmin yakin 112 tawaran PN realistik ditunaikan

    PERIKATAN Nasional (PN) telah melancarkan Tawaran PN bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ yang disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu.

    Ikuti wawancara bersama bersama Sinar Harian mengenai perincian lanjut tujuh tunjang dan 112 tawaran itu bersama Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga calon PN DUN Hulu Kelang.

    SINAR HARIAN: Apakah jangkaan Datuk Seri dari segi penerimaan rakyat terhadap komitmen dan potensi PN di Selangor?

    MOHAMED AZMIN: Alhamdulillah, PN telah melancarkan pakej rangsangan ekonomi Selangor bernilai RM2 bilion dan beberapa inisiatif lain (non-fiskal) yang akan diteliti dari masa ke masa. Dari segi keupayaan, tawaran yang dikemukakan ini realistik dan boleh dilaksanakan berdasarkan rekod dan prestasi cemerlang ketika saya menjadi Menteri Besar Selangor. Sementara sebahagian Exco ketika itu diwakili pemimpin Pas yang bersama-sama membangunkan negeri berkenaan.

    Semasa pembentangan Belanjawan 2017, saya telah memaklumkan kutipan hasil kerajaan negeri ketika itu berjumlah RM2.6 bilion. Bermakna kita mempunyai satu jumlah kutipan yang besar untuk dimanfaatkan bagi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

    Rakyat Selangor menerima kepimpinan dan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu kerana saya meletakkan peruntukan pembangunan sehingga 52 peratus, manakala belanja mengurus hanya 48 peratus. Ia tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

    Kita tidak dapat membangunkan sesebuah negeri atau negara jika perbelanjaan mengurus itu terlalu besar, maka saya ambil pendekatan berani dan bertanggungjawab mengecilkan perbelanjaan mengurus supaya tiada pembaziran dan ketirisan serta tidak ada perbelanjaan jamuan terlalu mewah.

    SINAR HARIAN: Datuk Seri mengemudi Selangor bagi tempoh 2014 hingga 2018 dan memahami selok-belok pentadbiran negeri. Bagaimana PN boleh mengintegrasikan tawaran ini supaya ia mampu direalisasikan dan dirasai rakyat semua kaum?

    MOHAMED AZMIN: Apabila perbelanjaan pembangunan besar, maka rakyat mendapat manfaat sama ada dari segi kemudahan infrastruktur, prasarana dan inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk pemberian air percuma, Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Hijrah serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

    Disebabkan itu, apabila dibentangkan tujuh tunjang dan 112 tawaran, rakyat yakin dengan tawaran dan janji kita kerana ia pernah dilakukan.

    Ketika negara berhadapan kegawatan ekonomi, sepatutnya kita berbelanja bukan menabung atau menyimpan. Tiada guna mendabik dada dengan simpanan besar sedangkan rakyat tidak dapat manfaat. Semasa di Selangor, dua kali saya kemukakan belanjawan defisit (berbelanja melebihi pendapatan) iaitu pada 2015, saya kemukakan RM450 juta dan 2016 sebanyak RM630 juta.

    Ia perlu dilakukan bagi merancakkan aktiviti ekonomi di lapangan supaya rakyat mendapat manfaat. Berbelanja melebihi pendapatan itu dibenarkan atau dibolehkan ketika kegawatan.

    Bagaimanapun, disebabkan belanja secara berhemat dan bertanggungjawab dengan kakitangan perkhidmatan awam yang cekap, akhirnya kita mendapat surplus sebanyak RM230 juta pada 2015 dan RM351 juta pada 2016.

    Inilah langkah yang telah dilakukan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi Selangor di samping urus tadbir yang baik telah meyakinkan pelabur untuk meletakkan pelaburan mereka di Selangor.

    Benar, Selangor mempunyai infrastruktur yang baik, namun kepimpinan tidak ‘flip flop’ dan dasar ‘pro-bisnes dan ‘bisnes friendly’ dapat membantu negeri memacu pertumbuhan yang lebih besar.

    Saya mahu lihat Selangor tidak berada di takuk sama tetapi ke arah Selangor Super Smart State, mengupayakan wanita supaya turut memainkan peranan penting sebagai teras pembangunan negeri manakala anak-anak muda mendapat pekerjaan berkualiti.

    SINAR HARIAN: Bekalan air percuma kepada rakyat Selangor antara tawaran menarik dikemukakan PN. Adakah PN akan pastikan sasaran janji itu dirasai golongan yang memerlukan khususnya B40 dan M40?

    MOHAMED AZMIN: Program air percuma bukan inisiatif baharu. Dahulu rakyat dapat 20 meter padu air percuma membabitkan peruntukan RM184 juta kos bekalan air terawat dan air bersih kepada hampir 6 juta pengguna. Kita mampu laksana kerana Selangor mempunyai rizab yang besar. Sebelum saya tinggalkan Selangor, rizab negeri ada sebanyak RM4 bilion.

    Takkan saya tak boleh keluarkan sebahagian dari rizab itu untuk manfaat rakyat. Penjajaran semula program air percuma (ketika pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari) hanya beri manfaat kepada golongan B40.

    PN komited kembalikan program ini kepada rakyat, bukan hanya B40 tetapi berpendapatan RM15,000 ke bawah.

    Kita juga dahulu ambil langkah drastik memastikan penduduk tidak alami gangguan atau terputus bekalan dengan membelanjakan RM800 juta untuk membina dua Loji Rawatan Air (LRA) Labuhan Dagang dan Semenyih yang tidak dibiayai kerajaan Persekutuan, sebaliknya menggunakan rizab negeri supaya dua LRA ini boleh bekalkan 400 juta liter sehari (JLH).

    Saya juga telah menggunakan RM400 juta untuk gantian paip lama di lokasi hotspot bagi mengurangkan air tidak berhasil (NRW) yang meningkat 35 peratus.

    Ini bermakna, kerajaan negeri ketika itu membelanjakan RM1.2 bilion supaya bekalan air tidak terganggu dan stabil. Namun, program gantian tersebut dihentikan dan PN akan memastikan ia disambung semula.

    Gombak antara daerah paling banyak kejadian paip pecah dan bocor. Masalah ini tidak boleh berterusan kerana ganggu perkembangan ekonomi Selangor.

    SINAR HARIAN: PH telah kemukakan lima tekad sebagai manifesto untuk Selangor. Apakah tawaran PN lebih realistik serta menyeluruh berbanding PH?

    MOHAMED AZMIN: Tawaran PN mencakupi semua sektor dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi lestari dan aspek teknologi, inovasi serta industri masa hadapan.

    Kita tidak mahu Selangor dijadikan hub tetapi bergantung kepada tenaga pekerja asing. Kebergantungan ini menyebabkan produktiviti akan merudum.

    Jika Selangor dapat menumpukan kepada teknologi dan inovasi, maka pelabur asing sektor itu akan masuk ke Selangor serta mencipta peluang pekerjaan, membina potensi bakat anak muda dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing.

    Kita juga membicarakan menyediakan dasar silver ekonomi iaitu peranan warga emas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.

    Kita juga menumpukan peranan wanita yang bekerjaya, namun ada di antaranya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak-anak menyebabkan potensi mereka terbantut.

    Justeru, PN akan bina 20 pusat jagaan anak-anak setahun yang canggih dan mempunyai tenaga pengajar profesional untuk membantu wanita bekerjaya meneruskan karier, sementara anak-anak mereka mendapat penjagaan rapi secara percuma.

    Tawaran ini cukup komprehensif dan mencakupi semua sektor.

    SINAR HARIAN: Sejauh mana keyakinan Datuk Seri bahawa PN mampu menguasai Selangor pada PRN ini?

    MOHAMED AZMIN: Selangor bukan lagi zon selesa kepada PH, DAP dan UMNO disebabkan gelombang tidak puas hati rakyat sudah sampai ke kawasan bandar yang tidak lagi boleh dihalang oleh mana-mana tangan sang penguasa.

    Mereka boleh mempengaruhi pengundi tetapi saya yakin dengan kebijaksanaan pengundi Selangor.

    Selangor ini negeri maju, saya yakin rakyat tidak mahu tercicir dalam usaha meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi nasional.

    PH, DAP dan UMNO yang bergabung hari ini, gagal melaksanakan tanggungjawab itu. Sebagai contoh Jabatan Statistik mengeluarkan kenyataan bahawa pelaburan negara merudum sebanyak 52 peratus dan Selangor jatuh ke tangga ketiga selepas Kuala Lumpur serta Johor pada suku pertama 2023.