Category: Semasa

  • ‘SPRM juga patut siasat sewa helikopter diguna Anwar ketika PRU’

    ‘SPRM juga patut siasat sewa helikopter diguna Anwar ketika PRU’

    BEKAS pembantu kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perbelanjaan pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang didakwa melibatkan jumlah yang besar.

    Marzuki Mohamad berkata, SPRM wajar menyiasat dari mana kedua-dua parti itu mendapat sumber dana untuk membiayai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Jika diperhatikan kedua-dua parti ini berbelanja besar.

    “Lihat sahaja jumlah bendera, poster, pentas ceramah, lori bergerak, sistem audio, iklan, billboard besar dan kecil, kempen di media sosial dan lain-lain.

    “Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Datuk Seri Anwar sendiri ketika berkempen.

    “Juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Menurutnya, berdasarkan pengamatan kasar, jumlah pembiayaan kempen pilihan raya PKR dan DAP mencecah ratusan juta ringgit.

    “Dari mana sumber ini diperolehi. PKR dan DAP adalah kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Adakah PKR dan DAP tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana ahli perniagaan atau tauke-tauke yang berurusan dengan ketiga-tiga kerajaan negeri ini? Saya tanya saja bukan tuduh,” tulis Marzuki.

    Marzuki berkata demikian bagi mengulas siasatan SPRM berhubung dana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengakibatkan akaun bank parti itu dibekukan.

    SPRM belum mendedahkan secara rasmi sebab di sebalik siasatan itu.

    Bagaimanapun, sumber yang arif mengenai siasatan itu memberitahu Malaysiakini bahawa ia dikaitkan dengan sumbangan kewangan daripada 10 kontraktor kepada Bersatu.

    Pada 31 Januari lalu, Bersatu menerbitkan akaun parti itu yang telah diaudit bagi tahun 2021 yang menunjukkan pendapatan RM147,994,104 pada tahun itu.

    Daripada jumlah itu, 99.8 peratus daripada hasil berkenaan diperoleh daripada penajaan dan sumbangan.

    Marzuki berkata, adalah tidak adil untuk SPRM hanya menyiasat Bersatu sedangkan PKR dan DAP juga berbelanja besar dalam pilihan raya.

    “Saya percaya YAB Perdana Menteri seorang yang adil dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan. Jadi biarlah adil dalam bertindak,” kata Marzuki.

  • Dua anggota APMM, seorang nelayan direman berhubung kes terima suapan

    Dua anggota APMM, seorang nelayan direman berhubung kes terima suapan

    DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis dan seorang nelayan direman enam hari hingga 8 Feb ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan bulanan.

    Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas ketiga-tiga suspek berusia 40-an itu dibenarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

    Menurut sumber SPRM dua anggota penguat kuasa APMM itu dipercayai menerima suapan bulanan daripada pengusaha bot nelayan sejak dua hingga tiga tahun lepas, manakala nelayan warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat sebagai proksi.

    Beliau berkata wang suapan tersebut diberikan oleh beberapa pengusaha bot sekitar negeri ini sebagai dorongan mengelak bot mereka diperiksa anggota penguat kuasa APMM ketika melakukan aktiviti sekitar perairan Kuala Perlis.

    Katanya ketiga-tiga suspek hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis pada 4 petang semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Pengarah SPRM Perlis Suzeliyana Hashim yang mengesahkan perkara itu, berkata lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat bagi membanteras kegiatan tersebut.

  • PAS ada ramai calon mampu jadi MB Selangor

    PAS ada ramai calon mampu jadi MB Selangor

    PAS mempunyai ramai calon berpengalaman dan berkemampuan diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor daripada Perikatan Nasional (PN) jika gabungan itu menang pada PRN akan datang.

    Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir, berkata demikian susulan kenyataan penganalisis bahawa Datuk Seri Azmin Ali antara calon Menteri Besar terbaik daripada gabungan itu.

    Azmin menjadi Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 sebelum dilantik sebagai menteri di peringkat Persekutuan.

    Roslan berkata, ini terbukti apabila Pas yang menjadi sebahagian anggota pentadbiran kerajaan sebelum ini mempunyai enam Exco, selain timbalan speaker iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi ketika itu Shafie Ngah yang berkhidmat dengan cemerlang ketika pentadbiran Azmin sebagai menteri besar.

    Bagaimanapun, beliau berkata keputusan muktamad dalam melantik Menteri Besar adalah hak dan kuasa Sultan Selangor sepenuhnya.

    “Sebagai komponen PN, Pas Selangor punya ramai calon berpengalaman dan berkaliber yang boleh dipertimbangkan sebagai calon MB sekiranya PN berjaya memerintah negeri ini.

    “Apa pun keputusan muktamad lantikan MB Selangor adalah hak dan kuasa Sultan Selangor dan PAS menyerahkan kepada kebijaksanaan Tuanku,” katanya, lapor FMT.

    Media sebelum ini melaporkan penganalisis politik Azmi Hassan berkata, meskipun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Azmin mempunyai kelebihan diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Selangor daripada PN kerana mempunyai pengaruh dan kredibiliti berbanding pemimpin PN lain.

    Sementara itu, Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan walaupun Azmin dilihat sebagai calon ‘paling layak’ daripada PN, bebanan pemimpin Bersatu itu sebagai ‘pengkhianat’ menjadi cabaran besar untuknya diterima semula pengundi di Selangor.

    Pada PRU15 lalu, PN menawan enam kerusi Parlimen di Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat. PH pula menang 16 kerusi Parlimen.

    Di peringkat DUN Selangor, Pas yang merupakan sebahagian daripada PN hanya mewakili satu kerusi di Sijangkang, manakala Bersatu memiliki empat kerusi iaitu Azmin (Bukit Antarabangsa), Hilman Idham (Gombak Setia), Abdul Rashid Asari (Selat Klang) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

    Mengulas lanjut, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Yunus Hairi berkata keputusan siapa ‘poster boy’ dan calon Menteri Besar bagi gabungan PN masih dalam perbincangan dan perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    “Siapa calon MB kita belum putuskan kerana ia akan diputuskan di peringkat Pusat. Kita kena bincang secara halus supaya ia menjadi keputusan terbaik,” kata naib pengerusi PN Selangor itu yang menjangkakan PRN akan diadakan sebelum Jun ini.

  • Lelaki tular mengamuk di sekolah sekadar latihan demonstrasi keselamatan

    Lelaki tular mengamuk di sekolah sekadar latihan demonstrasi keselamatan

    POLIS mengesahkan video tular memaparkan lelaki membawa sebatang kayu dan mengamuk di kawasan sebuah sekolah di Seremban dua hari lepas merupakan sebahagian daripada latihan demonstrasi keselamatan sekolah terbabit.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak lagi membuat kenyataan dan spekulasi tidak berasas berkenaan video berkenaan.

    “Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah di Sikamat dan pihak sekolah mengesahkan ia merupakan sebahagian daripada latihan demonstrasi keselamatan yang dijalankan pada 1 Feb lepas di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular video berdurasi 1.03 minit memaparkan seorang lelaki membawa sebatang kayu mengamuk dalam kawasan sekolah kerana anaknya dipukul oleh guru sehingga menimbulkan salah faham awam.

  • Tujuh ditahan kes curi kenderaan, pecah rumah

    Tujuh ditahan kes curi kenderaan, pecah rumah

    POLIS menahan tujuh individu yang terbabit dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di Kota Bharu dalam Ops Lejang, semalam.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata,tangkapan suspek berusia di antara 26 dan 58 tahun itu dilakukan dalam serbuan di Kampung Machang Limbat dan Kampung Berhala Lima, Pasir Tumboh antara pukul 12.15 tengah malam hingga 4 pagi semalam.

    “Dengan penahanan tujuh individu itu, pihak polis berjaya menemui lima buah kereta Proton Wira, peralatan memecah rumah dan kereta, serta sejumlah wang tunai.

    “Berdasarkan kes kehilangan kenderaan Proton Wira yang ketara sejak awal tahun, 21 kes dilaporkan dan tindakan diambil menjurus kepada penyelesaian kes melalui Ops Lejang,” kata Muhamad Zaki, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, kesemua kereta Proton Wira itu dipercayai dicuri sebelum dijual pada harga di antara RM3,000 hingga RM5,000.

    Muhamad Zaki berkata, kejayaan tangkapan kumpulan curi kereta dan pecah rumah itu selepas polis menemui cap jari seorang suspek yang dikesan di sebuah rumah yang dipecah masuk.

    “Suspek termasuk seorang bekas banduan yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau serta mengaku sebagai ketua sindiket itu, direman bermula semalam hingga 7 Februari,” katanya.

    Pihak polis masih mengesan saki-baki ahli dan individu lain yang ada kaitan dengan kumpulan curi kereta itu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379a, 325/353 Kanun Keseksaan.

  • Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor kekal

    Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor kekal

    JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan sedikit peningkatan manakala jumlah mangsa di Johor kekal pagi ini.

    Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi ini meningkat kepada 535 orang daripada 165 keluarga dan ditempatkan di sembilan PPS, berbanding 478 orang daripada 151 keluarga malam tadi.

    “Mangsa teramai dipindahkan adalah di Telupid iaitu 208 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat PPS manakala di Beaufort, 200 orang daripada 55 keluarga dan dipindahkan ke satu PPS.

    “Seramai 79 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan dan di Beluran 48 orang daripada sembilan keluarga di dua PPS. Mangsa banjir di Beaufort dijangka meningkat manakala daerah lain kekal,” menurut kenyataan itu.

    Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat. – Foto ihsan APM Segamat

    Di JOHOR, jumlah mangsa yang ditempatkan di lapan PPS kekal 925 orang daripada 264 keluarga setakat 8 pagi ini.

    Menurut kenyataan JBPN Johor, 877 orang daripada 249 keluarga berada di Batu Pahat manakala di Segamat pula 48 orang daripada 15 keluarga.

    Sementara itu, keadaan cuaca di dua daerah tersebut cerah setakat 8 pagi, namun data pula menunjukkan paras air Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan bacaan melepasi tahap bahaya dengan bacaan 18.80 meter.

  • Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal

    Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal

    MAHKAMAH Tinggi di Petaling Jaya menolak permohonan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi agar pasportnya dikembalikan secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasminya.

    Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan dokumen perjalanan peribadi Zahid dikembalikan buat sementara agar beliau boleh mendapatkan pasport diplomatik.

    Sequerah berkata, Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan rasuah, mesti mengembalikan pasport peribadinya kepada mahkamah sejurus selepas pasport diplomatik dibuat.

    Beliau berkata, permohonan Zahid agar pasport peribadinya dikembalikan tidak dibenarkan kerana kedudukan semua orang atau tertuduh adalah sama rata mengikut undang-undang.

    “Tiada perbezaan antara seorang tertuduh dengan yang lain. Justeru, permohonan (Zahid) agar pasport peribadinya dilepaskan secara kekal ditolak,” katanya, lapor FMT.

  • Rumah terbakar, warga emas OKU rentung

    Rumah terbakar, warga emas OKU rentung

    SEORANG warga emas orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Pelantar, Bentong semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Yusof Idris, 65, ditemukan di tepi tingkap biliknya.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 9.02 malam sebelum 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dan Karak digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Rumah separuh kekal dipercayai didiami mangsa berseorangan itu musnah 90%,” katanya dalam kenyataan.

    Mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, tambahnya.

  • Bot nelayan tempatan tiada nombor pendaftaran ditahan

    Bot nelayan tempatan tiada nombor pendaftaran ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati gagal mengemukakan lesen bot.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan pada kedudukan 2.6 batu nautika Pulau Rimau, pukul 4.30 petang semalam.

    Jelas beliau, penahanan itu dibuat oleh pasukan Maritim Malaysia dalam rondaan OP PERTIWI ketika mereka sedang leka melakukan aktiviti perikanan.

    “Hasil pemeriksaan, bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang kru yang mana masing-masing ialah warga tempatan berusia 33 dan 40 tahun, namun didapati gagal mengemukakan lesen bot.

    Maritim Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati gagal mengemukakan lesen bot

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki lesen bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, bot serta kru ditahan bersama dua kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Dalam itu tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

    “Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Tak adil hanya Bersatu sahaja disiasat

    Tak adil hanya Bersatu sahaja disiasat

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    SAYA menyambut baik respon YAB Perdana Menteri yang bersetuju dengan saranan saya supaya PKR dan DAP mendedahkan kepada umum penyata akaun parti masing-masing seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian.

    Perlu didedahkan juga ialah akaun amanah (trustee account) kedua-dua parti ini jika ada.

    Selain itu, SPRM juga wajar menyiasat dari mana PKR dan DAP mendapat sumber dana untuk membiayai PRU 15. Jika diperhatikan kedua-dua parti ini berbelanja besar.

    Lihat sahaja jumlah bendera, poster, pentas ceramah, lori bergerak, sistem audio, iklan, billboard besar dan kecil, kempen di media sosial dan lain-lain. Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Dato’ Seri Anwar sendiri ketika berkempen. Juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti.

    Berdasarkan pengamatan kasar saya, jumlah pembiayaan kempen pilihan raya PKR dan DAP mencecah ratusan juta ringgit. Dari mana sumber ini diperolehi?

    PKR dan DAP adalah kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Adakah PKR dan DAP tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana ahli perniagaan atau tauke-tauke yang berurusan dengan ketiga-tiga kerajaan negeri ini? Saya tanya saja bukan tuduh.

    Saya sebutkan begini kerana SPRM telah memulakan siasatan terhadap BERSATU dan sedang mengenalpasti sumber dana pilihan raya BERSATU. Tidak adil jika BERSATU sahaja disiasat kerana dituduh berbelanja besar. PKR dan DAP juga berbelanja besar.

    Oh ya. Elok siasat juga dana pilihanraya BN. Ingat, Menteri-Menteri BN juga ada dalam kerajaan PN dan Perdana Menteri selepas PN juga dari BN. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Barulah adil.

    Saya percaya YAB Perdana Menteri seorang yang adil dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan. Jadi biarlah adil dalam bertindak.

    Penulis adalah bekas Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri kelapan