Category: Semasa

  • Ismail Sabri masih fikir pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

    Ismail Sabri masih fikir pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan belum memutuskan sama ada beliau akan mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

    Ahli Parlimen Bera itu berkata, ketika ini beliau masih mempertimbangkan perkara itu, malah mengakui pilihan yang akan dibuatnya kelak akan menentukan ‘team’ (pasukan) mana yang menjadi pilihan.

    “Saya belum ambil sebarang keputusan untuk pertahankan jawatan atau sebaliknya…saya masih mempertimbangkan perkara itu.

    “Jadi sama ada saya ada ‘team’ (pasukan) atau tidak, (ia) bergantung kepada keputusan itu nanti (bertanding pertahan jawatan atau sebaliknya).

    “Jika saya pilih untuk tidak bertanding maka sudah tentu saya tiada ‘team’ (pasukan),” katanya ketika temubual bersama BH hari ini.

    Terdahulu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti.

    Selain Mohamed Khaled, sumber berkata seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan turut mempertahankan jawatan.

    Selain itu Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang juga dikhabarkan akan merebut jawatan nombor tiga UMNO itu kelak.

    Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 sebelum ini memutuskan dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan sekiranya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya, beliau tidak mahu lagi terus campur tangan dalam hal parti.

    Mengulas keputusan PAU 2022 mengenai jawatan Timbalan Presiden dan Presiden tidak dipertandingkan, katanya setakat ini beliau menghormati keputusan itu.

    “Setakat ini saya hormati keputusan PAU 2022, kecuali Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) buat keputusan sebaliknya.

    “Kalau ROS buat keputusan lain, kita akan putuskan bila masanya tiba,” katanya.

    Ismail Sabri menegaskan sebelum PAU 2022 beliau tidak menyebut sepatah perkataan pun atau menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden.

    “Bagi saya kalau nak ‘berlawan’ tidak boleh ramai-ramai, satu jawatan (direbut sampai) tiga empat orang.

    “Ini tiada makna, (hanya) menyebabkan UMNO berpecah, jadi saya kata kena tengok dulu keputusan parti ada pertandingan atau tidak.

    “Ini kerana saya ada mendengar ura-ura dua jawatan ini tak dipertandingkan,” katanya.

  • Fatwa tidak bercanggah nilai konsep Bangsa Johor

    Fatwa tidak bercanggah nilai konsep Bangsa Johor

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa fatwa melarang umat Islam mengambil bahagian dalam ritual agama lain di negeri tersebut tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama.

    Titah baginda, kepelbagaian kaum dan agama dianuti rakyat berbilang kaum seperti di bawah konsep Bangsa Johor akan sentiasa diiktiraf dan dihormati di negeri berkenaan.

    “Fatwa itu hanya melarang umat Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain. Ia adalah garis panduan untuk mereka. Meraka masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain.

    “Agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ia adalah jalan dua hala. Kita mesti peka terhadap kewajipan agama masing-masing untuk berbaik-baik,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi, hari ini.

    Baginda bertitah semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan.

    Sultan Ibrahim turut bertitah rakyat Malaysia harus memberi tumpuan terhadap nilai-nilai bersama ini yang menyatukan masyarakat dan bukannya perbezaan kaum atau agama.

    “Saya harap dengan penjelasan ini, kita dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai fatwa baharu itu kerana ia hanya menjelaskan perkara yang dibenarkan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam.

    “Jika anda masih keliru, sila berjumpa Mufti negeri untuk penjelasan lanjut,” titah baginda.

    Sultan Ibrahim telah memperkenan fatwa tersebut yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), semalam.

  • Kerajaan Perpaduan perlu iktiraf ‘kabinet bayangan’ PN

    Kerajaan Perpaduan perlu iktiraf ‘kabinet bayangan’ PN

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengesyorkan kerajaan mengiktiraf pembentukan ‘kabinet bayangan’ oleh Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Bersih, syor berkenaan perlu diterima positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seiring dengan pengenalan slogan Malaysia Madani.

    “Dengan pengiktirafan ini akan dapat memperkukuh lagi kestabilan politik, menghapuskan kebimbangan berlaku Langkah Sheraton 2.0 selain merealisasikan konsep Malaysia Madani.

    “Kabinet bayangan PN diharap akan membuat kunjungan hormat kepada Kabinet sebelum Parlimen bersidang sebagai tanda permulaan persaingan antara parti yang madani.

    “Kerajaan Perpaduan yang memposisikan dirinya sebagai reformis harus mengiktiraf pembentukan Kabinet bayangan ini secara rasmi di Parlimen dengan sebuah undang-undang yang menggariskan fungsi, hak dan kemudahan untuk Kabinet bayangan.

    “Ia supaya dapat melakukan semak dan imbang yang mantap dan profesional, bukan emosional dan populis terhadap kerajaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Bersih turut menggariskan lima syor kepada kerajaan sebagai mengiktiraf pembentukan kabinet bayangan oleh parti pembangkang.

    Pertama, Bersih mencadangkan supaya majlis angkat sumpah untuk barisan menteri Kabinet bayangan di Istana Negara sebagai pembangkang setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Selain itu, beliau juga mencadangkan kerajaan memberikan elaun kepada menteri bayangan iaitu satu pertiga daripada gaji menteri dengan mencontohi sistem di Australia.

    “Ketiga, peruntukan seorang pegawai penyelidik yang bergaji untuk setiap menteri bayangan dengan kelulusan berkaitan dengan portfolio menteri bayangan.

    “Keempat, akses maklumat kerajaan yang bersesuaian kepada Kabinet dan menteri-menteri bayangan untuk penghasilan dasar yang realistik.

    “Kelima, penambahbaikan struktur penentuan jadual dan urusan aturan mesyuarat di Dewan Rakyat melalui perundingan bersama ketua pembangkang atau wakil daripada Kabinet bayangan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • 2 perompak bersenjata ditahan

    2 perompak bersenjata ditahan

    POLIS menahan dua lelaki selepas terbabit melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Bandar Chukai, di Kemaman, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira 4 pagi dalam dua tangkapan berasingan.

    “Kedua-dua suspek yang bekerja di sebuah kedai serbaneka itu ditahan di sebuah rumah dan bengkel, hasil maklumat orang awam.

    “Sebelum kejadian, pemilik kedai serbaneka berusia 19 tahun berbual dengan dua rakannya sebelum dihampiri dua-dua suspek yang menunggang motosikal sekitar 1.45 pagi.

    “Suspek memakai topi keledar dan kain penutup muka bertindak mengacukan senjata tajam kepada mangsa manakala seorang lagi suspek menggunakan senjata menyerupai pistol,” katanya pada sidang media di Kemaman, hari ini.

    Hanyan berkata, ketika kejadian, suspek menggeledah kaunter premis sebelum melarikan wang tunai serta sebuah beg silang milik mangsa dan rakannya yang mengandungi wang tunai, tiga telefon bimbit dan barangan peribadi.

    “Kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa kerugian sekitar RM7,000. Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes rompakan bersenjata secara berkumpulan di daerah ini yang berlaku sejak Oktober lalu,” katanya.

    Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kedua-kedua suspek positif dadah dan kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes rogol dan dadah.

    “Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Wanita terperangkap dua jam dalam lumpur

    Wanita terperangkap dua jam dalam lumpur

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang wanita terpaksa dibawa ke hospital setelah mengadu keletihan akibat terperangkap dalam lumpur selama hampir dua jam di Titi Lagun, Langkawi, Kedah.

    Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi berkata, wanita berusia 32 tahun itu dipercayai gagal keluar dari lumpur ketika mencari siput.

    Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 4.48 petang.

    Wanita itu didapati tidak dapat bergerak kerana terperangkap dalam lumpur sehingga perlu mendapat bantuan bomba

    “Setibanya di lokasi, wanita itu didapati tidak dapat bergerak kerana terperangkap dalam lumpur.

    “Pihak kami terpaksa menggunakan tali untuk membawa mangsa keluar dari kawasan berlumpur itu,” katanya.

    Tambahnya, wanita tersebut kemudiannya berjaya dibawa keluar dengan selamat namun mengadu keletihan.

    “Dia lalu dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk diperiksa. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.22 petang,” katanya.

  • Pulau Pinang mungkin bubarkan DUN akhir Mei

    Pulau Pinang mungkin bubarkan DUN akhir Mei

    PULAU Pinang mungkin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelang akhir Mei depan.

    Ini sekali gus akan menyaksikan PRN diadakan pada bulan Jun atau Julai.

    Memetik laporan BH Online, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pembubaran DUN pada akhir Mei itu bagi menyeragamkan semua negeri yang terlibat dengan PRN.

    “Ada negeri mengadakan sidang pertama DUN pada Jun…Julai dalam kes Pulau Pinang, tarikh 2 Ogos (dikira) lengkap lima tahun. Tapi kalau dari segi politik dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tarikh 8 Mei sudah genap lima tahun.

    “Bagi saya, kalau selepas tarikh 8 Mei atau ke atas, DUN Pulau Pinang boleh dibubarkan bila-bila masa. Mungkin kalau dibubarkan akhir Mei, PRN perlu diadakan pada Jun atau selewat-lewatnya Julai,” katanya.

    Bagaimanapun, Kon Yeow memaklumkan masih belum ada mesyuarat secara rasmi bagi membincangkan tarikh sesuai mengadakan PRN walaupun ada Menteri Besar dari negeri lain telah membuat beberapa kenyataan.

    Menurut Kon Yeow, beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat antara Perdana Menteri dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 21 Februari ini di Putrajaya.

    Beliau tidak menolak kemungkinan perkara mengenai PRN akan turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

    “Sebenarnya, masih tiada mesyuarat secara rasmi (membincangkan PRN) walaupun dalam tempoh ini Menteri Besar dari negeri lain ada membuat kenyataan.

    “Pertemuan dengan Menteri besar lain hanya akan berlaku pada 21 Februari, jadi boleh bincang. Minggu berkenaan ada dua mesyuarat, yang membolehkan kita berbincang..satu lagi ialah pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

    “Tetapi, sebelum ini kita sudah bincang untuk bubar dalam tempoh penuh (lima tahun). Namun, ada Menteri Besar yang rasa dia boleh menang, jadi dia mahu cepatkan lagi. Apa pun, Jun atau Julai, bukan bukan Januari atau Februari,” katanya.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata, pembubaran DUN negeri itu mungkin diadakan pada 1 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.

    Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, turut menjangkakan pembubaran DUN Kedah selepas pertengahan Jun ini.

  • Usul tambahan PAU: Kenyataan Ahmad Maslan pramatang, RoS masih siasat

    Usul tambahan PAU: Kenyataan Ahmad Maslan pramatang, RoS masih siasat

    KENYATAAN Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi gambaran seolah-olah isu berhubung kelulusan usul tambahan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan telah selesai disifatkan pramatang.

    Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir berkata, kenyataan itu dianggap pramatang kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam surat maklum balas kepadanya memaklumkan bahawa isu tersebut masih dalam proses semakan.

    Malah, Aizat Fikri yang membuat aduan kepada RoS berhubung isu tersebut berkata, RoS menyatakan siasatan terperinci masih dijalankan.

    “Saya telah menerima surat maklum balas daripada RoS bertarikh 26 Januari 2023.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak RoS kerana telah mengambil serius aduan saya mengenai pelanggaran Perlembagaan UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

    “Dalam surat berkenaan, RoS telah menyatakan pihak mereka sedang dalam proses semakan dan siasatan terperinci berkaitan aduan saya.

    “Saya menganggap kenyataan Setiausaha Agung UMNO yang menggambarkan perkara berkenaan seolah-olah selesai adalah pramatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru, Aizat Fikri berharap supaya Ahmad tidak mendahului dan mencampuri siasatan yang sedang dijalankan RoS.

    Katanya, perkara tersebut boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang menjaga tata kelola pertubuhan di Malaysia.

    Beliau turut percaya RoS akan menjalankan siasatan eksplisit dengan memanggil perwakilan -perwakilan yang berada di Dewan Merdeka termasuk Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi mendapatkan gambaran jelas dan adil.

    “Dalam perbincangan bersama tempoh hari, RoS juga memaklumkan mereka sendiri akan mendapatkan nasihat dan panduan daripada penasihat undang-undang kementerian.

    “Bagi saya hal ini jauh daripada selesai, semoga kebenaran akan tertegak jua,” jelas beliau, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, Ahmad dalam hantaran di Facebook menegaskan usul tambahan yang diluluskan sewaktu PAU 2022 melibatkan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan tidak melanggar Perlembagaan parti atau Peraturan Mesyuarat.

    Ahmad berkata, proses melibatkan usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang itu berjalan dengan teratur.

    Malah, beliau berkata, sekitar 90 peratus perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

    Selasa lalu, Ahmad bersama tiga individu lain hadir memberi penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan itu.

    20 Januari lalu, Aizat Fikri dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan tersebut.

    Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

  • Bekas eksekutif didakwa guna invois palsu

    Bekas eksekutif didakwa guna invois palsu

    SEORANG bekas eksekutif sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuntan, hari ini atas 10 pertuduhan menggunakan invois palsu berjumlah RM320,143 berhubung pembayaran peralatan keselamatan kebakaran.

    Mohd Hafez Manap, 38, dari Sungai Karang Darat, di Kuantan, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Tertuduh selaku eksekutif tindakan kebakaran dan kecemasan, didakwa melakukan kesalahan itu melibatkan invois dengan butiran palsu bagi pembayaran pembekalan pelbagai peralatan keselamatan kebakaran, yang diketahui tertuduh tidak pernah dibekalkan.

    Mohd Hafez dituduh melakukan perbuatan itu di pejabatnya di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan antara 26 Jan 2021 hingga 21 Sept 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira jumlah kesalahan yang dihadapi tertuduh.

    Mohd Hafez yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas faktor kewangan kerana dia masih belum bekerja selepas dipecat pada April tahun lepas.

    “Saya dibuang kerja dengan notis 24 jam selepas siasatan SPRM. Saya ada tanggungan isteri, anak-anak, ibu bapa dan hutang rumah serta kereta. Saya dinasihatkan untuk melantik peguam dan ini akan menambah beban kewangan saya,” katanya.

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 3 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

  • Kes 1MDB: Ashok cadang tutup akaun Najib sebab tidak selesa – Saksi

    Kes 1MDB: Ashok cadang tutup akaun Najib sebab tidak selesa – Saksi

    SEORANG bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bahawa cadangan untuk menutup akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat oleh bekas pengarah urusan kumpulan bank, R. Ashok.

    Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata demikian ketika prosiding kes suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

    Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata, cadangan berkenaan dibuat kerana Ashok ‘tidak selesa’ dengan akaun berkenaan.

    “Ashok minta saya tutup akuan itu,” katanya semasa sesi soal balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    Muhammad Shafee: Apa yang Ashok fikirkan sampai nak tutup tiga akaun Najib ketika itu menjadi Perdana Menteri?

    Joanna: Ada banyak isu, antaranya pengeluaran melebihi baki dalam akaun dan kemasukan dana yang terlalu banyak.

    Muhammad Shafee: Saya cadangkan, Ashok ialah seorang jurubank yang telus serta tegas, jadi kalau butiran akaun itu terdedah, kamu akan takut kerana didapati bekerja dengan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho).

    Joanna: Tidak, saya tidak bersubahat dengan Jho Low untuk berselindung.

    Muhammad Shafee: Saya cadangkan, pemecatan kamu adalah disebabkan tindakan yang kamu buat, bekerjasama dengan pihak ketiga iaitu Jho Low, berhubung akaun Najib.

    Peguam ini berkata, Joanna meminta kelulusan daripada orang yang tidak sepatutnya berurusan dengan akaun seorang perdana menteri.
    Saksi itu berkata tidak setuju, kerana pihak ketiga dalam urusan akaun Najib adalah Jho Low, namun dia tidak mempunyai dokumen bertulis bagi membuktikan perkara tersebut.

    Disoal mengenai pemecatannya daripada bank tersebut, Joanna berkata, perincian isu itu tidak boleh didedahkan kerana kerana terdapat terma penyelesaian dibuat antaranya dan AmBank.

    Dalam pada itu, peguam ini turut memberitahu mahkamah bahawa, Najib tidak pernah menyembunyikan pembukaan akaun peribadinya dan tujuan kemasukkan wang ke akaun tersebut.

    “Ya, saya tak rasa ada dokumen yang menyebut bahawa Najib meminta butiran akaun banknya dirahsiakan,” kata Joanna, lapor Sinar Harian.

    Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram, melibat jumlah berkenaan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa ini.

  • Pekerja maut, syarikat besi dan keluli didenda RM25,000

    Pekerja maut, syarikat besi dan keluli didenda RM25,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman denda RM25,000 terhadap sebuah syarikat besi dan keluli atas kecuaian menyebabkan kematian pekerja pada 8 Februari tahun lalu.

    Hakim Maimoonah Aid menjatuhkan hukuman itu selepas wakil kepada syarikat terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan, lapro Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu didapati gagal untuk mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja membaik pulih lantai kabin operator ‘coke wet quenching machine’ di tempat tinggi sehingga mengakibatkan kemalangan maut kepada pekerjanya

    Kejadian itu berlaku di kawasan coke wet quenching, coking plant di syarikat terbabit, pukul 2.20 petang pada 8 Februari 2022.

    Syarikat terbabit didapati bersalah mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum bawah Seksyen 19 akta yang sama.

    Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang dikendalikan Nik Muhammad Nazif Tuan Sinuzula manakala siasatan terhadap kes dijalankan oleh pegawai penyiasat JKKP Pahang, Mohd Zamadi Mat Lodin.

    Sehubungan itu, JKKP berharap kes sedemikian dapat memberi pengajaran kepada majikan dan pekerja untuk patuh kepada undang-undang demi memelihara kepentingan awam dan keselamatan pekerja.