Category: Semasa

  • Manifesto PN Pulau Pinang ‘Better Penang, Jom Kalih’ tawar 8 teras, 33 intipati

    Manifesto PN Pulau Pinang ‘Better Penang, Jom Kalih’ tawar 8 teras, 33 intipati

    PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dilaksanakan sekiranya berjaya mendapat mandat daripada rakyat untuk membentuk kerajaan negeri pada 12 Ogos ini.

    Bertemakan ‘Better Penang, Jom Kalih’, manifesto itu menawarkan lapan teras utama dengan 33 intipati yang mengunjurkan ciri-ciri tatakelola pragmatik dan holistik yang akan dilaksanakan dalam pentadbiran negeri itu.

    Antaranya adalah memacu keutuhan ekonomi dan menangani kos sara hidup, meningkatkan akses pemilikan rumah dan memperkukuh jaringan pengangkutan di negeri ini.

    Paling mencuri tumpuan adalah tawaran pembinaan rumah rakyat Pulau Pinang dengan harga di bawah RM100,000 yang mana isu pemilikan hartanah di negeri itu menjadi kekangan utama dalam kalangan penduduknya disebabkan harganya yang terlalu mahal.

    Menurut Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau, selain isu pemilikan rumah itu, manifesto PN bagi PRN kali turut akan mengehadkan kenaikan kadar sewa perumahan kerajaan.

    “Kita juga akan mewujudkan kuota perumahan mesra komuniti setempat bagi mencapai visi satu keluarga, satu rumah buat penduduk negeri ini,” katanya ketika berucap melancarkan manifesto PN Pulau Pinang itu di Kepala Batas hari ini.

    Dominic yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, inisiatif lain termausuk penubuhan Pusat Kesejahteraan Mutiara yang akan menyediakan perkhidmatan dialisis, rehabilitasi, dan pusat kesihatan mental di setiap daerah.

    Inisiatif itu, jelas beliau, akan dilakukan dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Dalam masa sama, jelas beliau, PN Pulau Pinang akan turut menyediakan ujian pemeriksaan kesihatan percuma bagi mengurangkan beban rakyat dan meningkatkan taraf kesihatan negeri.

    “Selain itu, Bantuan Mutiara Prihatin sebanyak RM60 juta akan mensasarkan warga emas, ibu tunggal, golongan orang kurang upaya (OKU), pemandu teksi serta pemandu bas sekolah,” katanya.

    Tambahnya, PN juga akan mewujudkan dan melaksanakan Dasar Mesra sektor penjajaan makanan selari dengan identiti Pulau Pinang yang dikenali sebagai salah satu destinasi utama ‘food hunting’ sama ada dalam kalangan pelancong domestik atau antarabangsa.

  • Sanusi mohon maaf, nafi dakwaan ‘direhatkan’

    Sanusi mohon maaf, nafi dakwaan ‘direhatkan’

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon maaf atas ketidakhadiran beliau dalam dua program ceramah politik berturut-turut.

    Menurutnya, kesibukan menghadiri beberapa mesyuarat di ibu negara menyebabkan beberapa program ceramah yang dijadualkan sekitar Kedah terpaksa dibatalkan.

    Menurutnya, itu tiada kaitan dengan spekulasi mendakwa dirinya ‘direhatkan’ oleh kepimpinan Pas Pusat gara-gara lantang bersuara dalam kempen ceramah pilihan raya negeri (PRN).

    “Saya perlu hadir mesyuarat Pas Pusat dan beberapa mesyuarat lain di Kuala Lumpur. Saya pergi dengan kereta dan balik sampai lewat, sudah tentu tidak dapat hadir program yang sepatutnya saya dijadualkan hadir. Mana boleh, kena rehat lah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Muhammad Sanusi juga menolak andaian pihak-pihak tertentu yang mendakwa beliau mengurangkan aktiviti kempennya disebabkan terdapat ugutan mahupun diberikan arahan mengunci mulut sehingga hari mengundi.

    “Semua dakwaan di atas adalah tidak benar,” katanya, lapor Astro Awani.

    Semalam, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum mengakhiri Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) bersama MB Kedah di Taman Ria memaklumkan, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak hadir ke ceramah kempen tersebut bagi memastikan keselamatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu terjamin.

    Ahli Parlimen Alor Setar itu mendakwa, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah berikutan faktor keselamatan bagi mengelak ‘perangkap’ yang dipasang oleh musuh politiknya.

    Muhammad Sanusi menjelaskan, aspek keselamatan yang dimaksudkan adalah berkaitan langkah-langkah keselamatan yang diambil parti bagi mengelak kecelakaan.

    “Keselamatan itu antaranya tak bolehlah bawa kereta laju-laju nak bagi cepat sampai. Pas Kedah ambil langkah-langkah keselamatan bagi mengurangkan aktiviti saya supaya tak terkejar-kejar ke sana sini. Macam-macam boleh terjadi dalam perjalanan.

    “Namun ada juga pesanan-pesanan dan langkah-langkah (keselamatan) lain yang perlu dirahsiakan,” ujarnya.

    Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan tidak hadir ke program Sembang Santai Bersama Panglima Perang PN di Padang Awam, Taman Serai Wangi, Padang Serai kelmarin, sebelum tular kononnya beliau ditahan oleh polis.
    Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan berita yang mengatakan Muhammad Sanusi ditahan atau dipanggil untuk dirakam percakapan.

    “Maaf tak dapat hadir (ceramah). Insya-Allah kita akan bertemu lagi. Kepada semua rakan dalam parti, kuatkan lagi kerja untuk menarik lebih ramai pengundi PN.

    “Jangan lupa bermunajat kepada Allah SWT. insya-Allah kita akan sama-sama bertakbir dan bertasbih atas kemenangan kita pada 12 Ogos nanti,” jelas Muhammad Sanusi.

  • PN janji kaji semula PTMP, laksana ART jika menang PRN Pulau Pinang

    PN janji kaji semula PTMP, laksana ART jika menang PRN Pulau Pinang

    PERIKATAN Nasional (PN) berikrar untuk mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah lama terhenti dan melaksanakan Transit Aliran Autonomi (ART).

    Ini adalah sebahagian daripada manifesto PN untuk Pulau Pinang yang diumumkan hari ini oleh Timbalan Pengerusi gabungan itu, Datuk Dr. Dominic Lau.

    PTMP telah dimulakan semasa pentadbiran Lim Guan Eng dan akhirnya digerakkan semasa pentadbiran Chow Kon Yeow iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang masa kini.

    Bagaimanapun, menjelang 2020, pentadbiran Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memotong pembiayaan untuk projek itu, memaksa kerajaan negeri mencari cara lain untuk membiayai kos RM46 bilion bagi projek berkenaan.

    Projek itu melibatkan dua lebuh raya, satu projek transit aliran ringan (LRT) dan satu projek tambak pulau.

    Pada 2018, kerajaan Pulau Pinang berkata, mereka sedang mempertimbangkan sistem kereta api tanpa landasan tetapi tidak komited kepada projek itu.

    Lau tidak menghuraikan janji-janji lain semasa ucapannya.

    Manifesto PN untuk Pulau Pinang termasuk pelbagai pemberian wang tunai seperti:

    • RM1,000 untuk pemandu e-hailing dan teksi yang ‘layak’.
    • RM1,500 untuk kos pengebumian
    • RM1,200 untuk pelajar baru yang mendaftar untuk ijazah sarjana muda
    • RM500 untuk pelajar yang mendaftar ke Tingkatan Enam atau matrikulasi
    • Elaun bulanan RM250 untuk penunggang beca

    Sementara itu, PN juga berjanji untuk menyediakan aplikasi telefon pintar yang akan membolehkan pengundi memantau prestasi wakil rakyat mereka.

    Mengenai isu perumahan, PN menjanjikan skim pemilikan rumah RM100,000 dan ke bawah untuk individu yang layak.

    Mengenai isu alam sekitar, PN berjanji untuk menanam 1 juta pokok.

    Lau berkata, kerajaan PN Pulau Pinang akan memastikan bahawa dasar kerajaan negeri menumpukan kebajikan rakyat dan janji mereka tidak bersifat populis.

    “Era rejim DAP di negeri bertuah ini perlu dinoktahkan. Persaingan ‘puak maharaja’ dalam DAP tidak memberi manfaat kepada rakyat di Pulau Pinang.

    “Sudah tiba masanya untuk wujud kerajaan negeri yang lebih baik,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Chegubard lapor SPRM skandal tanah RM10 bilion di Selangor

    Chegubard lapor SPRM skandal tanah RM10 bilion di Selangor

    SATU laporan sudah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pemberian projek bernilai RM700 juta tanpa tender oleh kerajaan negeri Selangor kepada syarikat dimiliki taikun terkemuka.

    AgendaDaily melaporkan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin mendedahkan memiliki salinan surat sulit kerajaan negeri Selangor dalam skandal tanah RM10 bilion dan projek tanpa tender RM700 juta yang boleh dinyahklasifikasi apabila terbentuknya kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

    “Saya tidak boleh mengedarkan pada peringkat ini, kerana ia bertaraf sulit… Jadi kalau orang Selangor nak tengok apa sebenarnya mungkin selepas kerajaan baharu angkat sumpah nanti kita boleh minta kerajaan baharu untuk klasifikasi semula dokumen-dokumen ini sebagai umum,” katanya semasa sidang media hari ini.

    Dalam pendedahan hari ini, Ahli Jawatankuasa Penerangan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa berdasarkan bukti dan dokumen dimilikinya mendapati berlaku beberapa salah laku dari segi teknikal dan moral dalam skandal tanah dan projek pembersihan tersebut.

    Badrul Hisham atau dikenali Chegubard mendedahkan kerajaan negeri menganugerahkan projek pembersihan Sungai Klang tanpa tender terbuka kepada syarikat yang kononnya adalah anak syarikat negeri tetapi sebaliknya ia hanya pemegang minoriti bukan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

    “Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Amirudin Shaari selaku Menteri Besar Selangor telah memberikan projek membersihkan Sungai Klang kepada sebuah sebuah syarikat bernilai RM700 juta tapa melalui proses tender terbuka.

    “Walaupun ia syarikat bertujuan khas (SPVC) tetapi la bukan dikawal kerajaan negeri kerana kerajaan negeri adalah pemegang minoriti dimana 55 peratus dikawal oleh pihak lain,” katanya lagi.

    Agenda Daily tidak menamakan syarikat yang didedahkan oleh Chegubard untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

    Turut didedahkan, syarikat sama tersebut juga berjaya memperoleh pemilikan tanah lebih 600 ekar yang bernilai RM10 bilion (GDV) yang diberikan kerajaan negeri Selangor.

    Badrul Hisham juga mendedahkan nama Amirudin dan seorang Exco Kerajaan Negeri, Ir. Izham Bin Hashim berada dalam syarikat tersebut menerusi carian maklumat dan mereka berdua selaku pengarah juga turut menerima elaun.

    Syarikat yang didakwa memperoleh manfaat daripada kerajaan negeri tersebut juga didakwa Chegubard mempunyai masalah kewangan.

    “Syarikat ini pun bermasalah sebelum ini melalui laporan-laporan audit, tetapi malangnya terus diberi kuasa,” katanya.

    Untuk rekod, Amirudin juga mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana menuduhnya terbabit dalam skandal pembersihan Sungai Klang bersama seorang taikun.

    Terdahulu, Sanusi dalam Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan seorang taikun yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

    Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sekitar RM180 juta.

    “Macam mana 600 ekar ni akan diberi percuma kepada tauke ni? Macam mana tauke ni ambil alih anak syarikat MBI 55%. Ha… ni tengah duk hangat ni, tunggu meletup,” Sanusi dipetik berkata oleh lidah rasmi Pas, Harakahdaily.

    Awal tahun ini, PN Selangor menggesa pihak berkuasa menyiasat pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat yang didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus bagi projek pendalaman Sungai Klang bawah Selangor Maritime Gateway (SMG).

    Amirudin menafikan mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB), malah kedudukannya dalam syarikat itu bertujuan mewakili kerajaan negeri.

    LLB adalah milik penuh kerajaan negeri merangkumi 45 peratus milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) dan 55 peratus milik Berjaya Land yang telah diputuskan bagi mengetuai projek SMG pada 2018.

  • Modus operandi Langkah Kajang, guling Sanusi hampir serupa – Faekah

    Modus operandi Langkah Kajang, guling Sanusi hampir serupa – Faekah

    MODUS operandi digunakan pemimpin hari ini dalam cubaan mengguling Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa hampir serupa dengan Langkah Kajang yang menjatuhkan bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sembilan tahun lalu.

    Bekas Setiausaha Politik Abdul Khalid, Faekah Husin berkata, kini watak yang sama memainkan naratif kononnya telah berlaku rasuah atau salah guna kuasa seperti yang dilemparkan kepada Abdul Khalid sebelum ini.

    Namun menurut Faedah, beliau terfikir siapa yang akan mendapat laba daripada situasi itu jika usaha mereka berjaya di Kedah.

    “Kenapa saya sebut benda ini (Langkah Kajang) sekarang? Sebab apa yang berlaku kepada Datuk Seri Sanusi di Kedah modus operandinya seolah-olah sama. Diwujudkan satu naratif, satu cerita bahawa berlaku rasuah REE. Saya fikir apa yang dihadapi Sanusi macam Langkah Kajang tapi siapa yang akan dapat faedah? Sebab dalam Langkah Kajang mereka nak dapatkan jawatan menteri besar, nak dapat faedah kerana nak bayaran lebih tinggi kepada syarikat air kawan mereka, yang itu Tan Sri Khalid tak nak bagi.

    “Sekarang ini siapa akan dapat laba di Kedah hasil tindakan mereka menjatuhkan Sanusi. Kami tidak faham politik di Kedah. Fikir punya fikir, keluar gambar. Datuk Seri Anwar Ibrahim bawa taikun dari Indonesia jumpa dengan Sultan Kedah.

    “PMX anda ini kalau dia buat satu kerja tak pernah tak selfie, tak pernah tak ambil gambar, tak pernah tak post di media sosial. Dia kena beritahu kepada rakyat program dia banyak, itu sebab aku kena naik helikopter. Tapi tang pergi melawat Sultan Kedah bersama taikun ini, dia tak letak. Terjawab sudah saya punya persoalan siapa yang mendapat laba sekiranya Sanusi dijatuhkan,” katanya ketika berucap pada program Ayuh! Kita Jelajah Selangor Baharu N.40 DUN Kota Anggerik, malam tadi.

    Faekah membuat kemunculan pertama di pentas Perikatan Nasional malam tadi selepas bertahun berdiam diri sejak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaik pemecatan terhadap Abdul Khalid pada Ogos 2014.

    Dalam ceramah itu, Faekah mendedahkan strategi yang  digunakan itu sedikit berbeza kerana watak-watak tersebut kini lebih berkuasa.

    “Cuma bezanya masa Langkah Kajang mereka tidak berkuasa mereka semua pembangkang. Tapi hari ini, mereka adalah orang yang sangat berkuasa dalam negara. Menteri ekonomi, menteri dalam negeri, menteri kewangan, perdana menteri. Empat kementerian mereka pegang tapi mereka masih menggunakan strategi kotor dan jahat 12 tahun yang lepas.

    “Bahaya…sangat bahaya. Sekarang jauh lebih bahaya jika mereka tak berubah. Jika 20 tahun tak berubah, saya tak fikir mereka akan berubah esok. Saya tak fikir mereka akan berubah bulan depan. Mereka tidak akan berubah kecuali tuan-tuan beri isyarat yang jelas bahawa mereka ditolak di shah Alam, N40, seluruh Shah Alam. Putrajaya tak ada hala tuju,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Untuk rekod pada 2014, PKR menerbitkan dokumen laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’, bertarikh 14 Ogos 2014 yang dikatakan mengandungi salah laku Abdul Khalid hingga memaksa Allahyarham meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada 21 September 2014.

    Abdul Khalid melalui Ketua Setiausaha Sulitnya ketika itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut.

    Abdul Khalid juga memfailkan saman terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 18 Ogos 2014 dan Setiausaha Agung PKR itu memohon maaf kepada Abdul Khalid di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos 2015 kerana memfitnah.

  • Perlombongan haram REE di Hutan Simpan Bukit Enggang sudah lumpuh sepenuhnya

    Perlombongan haram REE di Hutan Simpan Bukit Enggang sudah lumpuh sepenuhnya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AKTIVITI perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) di Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik diyakini telah lumpuh sepenuhnya melalui kegiatan penguatkuasaan berterusan dan pemusnahan peralatan-peralatan perlombongan haram oleh pihak berkuasa sebelum ini.

    Perkara itu terkandung dalam laporan laporan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bertarikh 18 Julai lalu yang dikongsikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor melalui laman Facebooknya, hari ini.

    Menurut laporan tersebut, meskipun aktiviti penguatkuasaan itu sudah lumpuh, JPNK bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus mengadakan rondaan serta pemantauan berkala di kawasan ‘hot spot’ perlombongan haram REE, terutamanya dalam kawasan Hutan Simpan Kekal di negeri ini.

    “JPNK telah mengunci tiga pagar di laluan utama bagi mencegah perlombongan haram ini berulang. Walaubagaimanapun, pagar ini akan dibuka sekiranya mendapat permohonan daripada agensi penguatkuasaan lain untuk menjalankan siasatan lanjut.

    “JPNK juga bekerjasama dengan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk membuat pemantaun melalui imej satelit (war room) bagi mengesan pembukaan kawsan baharu dalam hutan simpan kekal dalam negeri ni.

    “JPNK bersama lain-lain agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), polis serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah menubuhkan pasukan khas bagi melaksanakan pemantauan berkala di kawasan yang dikenal pasti sebagai hot spot perlombongan haram REE. Perkongsian maklumat dari agensi-agensi penguatkuasa akan diperkasakan dalam menangani isu perlombongan haram REE,” katanya.

    Laporan sebanyak enam muka surat itu turut memaparkan kronologi tangkapan serta pertuduhan yang dibuat berhubung isu kecurian mineral berharga tersebut.

    Sementara itu Muhammad Sanusi turut menempelak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung perkara itu.

    “Kalau Saifuddin dan Rafizi masih tak faham juga, saya harap orang ramai dapat faham laporan ini.

    “Biarkan si luncai terbang dengan labu-labunya,” katanya.

  • Pakar kewangan Islam pertikai Anwar guna helikopter bagi tujuan berkempen

    Pakar kewangan Islam pertikai Anwar guna helikopter bagi tujuan berkempen

    KENYATAAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan penggunaan aset kerajaan termasuk menggunakan helikopter untuk tujuan berkempen dalam pilihan raya dikritik oleh seorang ahli akademik kanan, yang berkata tingkah laku Perdana Menteri adalah bertentangan dengan apa yang diperkatakan mengenai “tatakelola yang baik”. 

    Prof Dr. Aznan Hasan, bekas ketua Jabatan Perundangan Islam Universiti Islam Antarabangsa yang merupakan sebahagian daripada lembaga penasihat syariah Suruhanjaya Sekuriti, menjawab ucapan Anwar di Sik, Kedah baru-baru ini, di mana beliau tiba di beberapa majlis ceramah menggunakan helikopter milik kerajaan. 

    Anwar membidas pengkritik, sambil menegaskan beliau berhak menggunakan kemudahan itu berikutan kedudukannya sebagai perdana menteri.

    “Depa marah Anwar naik helikopter. Ya helikopter kerajaan VIP aku naik, hang tau tak? Hang nak sakit hati pasal apa? Kerajaan punya, bukan aku punya. 

    “Tapi hang tak boleh pakai. Perdana Menteri boleh pakai,” katanya pada satu program di sebuah penempatan Felda.

    Aznan berkata, kritikan terhadap penggunaan helikopter kerajaan bukan kerana orang ramai sakit hati.

    “Orang bukan sakit hati hang naik helikopter. Orang tegur kerana kamu dahulunya terkenal dengan slogan ‘tatakekola yang baik’ dan sering menyerang kerajaan pada masa tersebut yang kamu kata menyalahgunakan aset negara untuk berkempen. 

    “Kamu juga serang mereka kerana kononnya menyalahgunakan program-program rasmi kerajaan untuk berkempen,” kata Aznan dalam kiriman di Facebook.

    “Sekarang apa yang kamu serang mereka, kamu pun buat juga. Paling kurang dahulu, mereka tak naik helikopter. Kamu, dahlah naik helikopter, kemudian dalam program-program resmi kerajaan, secara terang-terangan kamu berkempen.”

    Prof Dr. Aznan Hassan

    Aznan juga mengecam mereka yang menyerang pentadbiran terdahulu berhubung penggunaan aset awam semasa pilihan raya, tetapi kini mereka berdiam diri berhubung tindakan yang sama oleh Anwar.

    “Seolah-olahnya segala ‘good governance’ yang kamu timbulkan dulu, hanya terpakai kepada orang lain, tapi tidak kamu. 

    “Itu yang orang pertikaikan, bukan isu dengki. Rakyat menilai.”

    Terdahulu, seorang peguam menyelar tindakan Anwar yang hadir ke program di Kedah menaiki helikopter kerajaan, mengatakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu sekali lagi jelas menunjukkan sisi keangkuhannya.

    Rafique Rashid mengingatkan Anwar bahawa beliau hanya berhak menggunakan helikopter itu atas kapasitinya sebagai perdana menteri. 

    Tetapi beliau berkata, Anwar menggunakan jenis pengangkutan yang sama hampir setiap hari untuk melawat enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya pada 12 Ogos ini.

    “Kos ditanggung oleh rakyat tetapi yang untung adalah parti politik yang diketuai PM10 sendiri,” kata Rafique, lapor MalaysiaNow.

    “Mengapa tiada teguran dari parti-parti gabungan lain?”

    Dalam nada yang sama, kumpulan reformasi pilihan raya Bersih juga menegur perdana menteri dengan mengingatkan ahli politik supaya merendahkan diri. 

    “Sikap angkuh dan bongkak seperti yang ditunjukkan oleh perdana menteri mungkin memakan diri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya.

  • Gaya MB Kedah angkat tangan jadi fenomena

    Gaya MB Kedah angkat tangan jadi fenomena

    CIAPAN Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Twitter yang memuat naikkan gambar dirinya dengan sekumpulan pemuda mengangkat tangan gaya Menteri Besar Kedah mengundang rasa kurang senang.

    Ada di antara mereka menafikan ciapan pemimpin Pas itu yang kononnya ini memberi suatu isyarat dan petanda tentang apa yang akan berlaku pada pilihan raya 12 Ogos ini.

    Dimana- mana saja, bergambar dengan mengangkat tangan gaya MB Kedah sudah menjadi suatu kemestian bagi aksi gaya bebas semasa bergambar.

    Ketika menghadiri majlis perkahwinan di ISTAC hari ini, anak muda yang ditemui memberi suatu isyarat dan petanda kepada PRN kali ini.#TITM pic.twitter.com/RAH6zuFfz0

    — Tuan Ibrahim Tuan Man (@titm_official) August 6, 2023

    “Di mana- mana saja, bergambar dengan mengangkat tangan gaya MB Kedah sudah menjadi suatu ‘kemestian’ bagi aksi gaya bebas semasa bergambar.

    “Ketika menghadiri majlis perkahwinan di ISTAC hari ini, anak muda yang ditemui memberi suatu isyarat dan petanda kepada PRN kali ini,” katanya dalam ciapan itu.

    Tuan Ibrahim dipercayai merujuk kepada aksi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, yang dirakamkan mengangkat tangannya selepas dikenakan pertuduhan menghasut bulan lepas.

    Bagaimanapun, ada di kalangan yang dipaparkan dalam gambar yang disiarkan oleh Tuan Ibrahim ternyata tidak senang.

    “Aduh YB jangan la macam ni. We were there to celebrate our best friend wedding. Plus YB yang ajak bergambar macam tu, we’re just having fun. Macam mana YB boleh frame cakap itu gaya MB Kedah & isyarat dan petanda PRN kali ini sedangkan dikalangan kami ni ada ahli Harapan &… https://t.co/m2dfGJUwNh
    — Ahmad Muzhir ; 🇲🇾 (@ahmadmuzhir) August 7, 2023

    “Aduh YB jangan la macam ni. Kami di sana untuk meraikan perkahwinan rakan baik kami.

    “Tambahan YB yang ajak bergambar macam tu, kami saja-saja berseronok.

    “Macam mana YB boleh frame cakap itu gaya MB Kedah dan isyarat dan petanda PRN kali ini sedangkan dikalangan kami ini ada ahli (Pakatan) Harapan & Barisan (Nasional) dan tak mengundi pun pada PRN kali ini,” kata seorang daripada mereka ketika membalas ciapan Tuan Ibrahim.

    Sementara seorang lagi pemuda berkata, atas rasa hormat, mereka bertegur sapa dan mengambil gambar seperti itu atas permintaan Tuan Ibrahim.

    “Ini sepatutnya hanya gurauan dalaman tetapi telah dijadikan bahan kempen,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Anwar tiada hak kempen guna helikopter – Azmin Ali

    Anwar tiada hak kempen guna helikopter – Azmin Ali

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada hak menggunakan helikopter kerajaan untuk ke Kedah berkempen menjelang pilihan raya negeri (PRN), kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

    Beliau menyifatkan tindakan itu menyalahi undang-undang dan penyalahgunaan kuasa oleh pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    “Kita tidak boleh salah guna sumber kerajaan dan menggunakannya untuk aktiviti kempen kita,” katanya menurut China Press dalam ceramah di Hulu Kelang malam tadi, lapor FMT.

    Beliau berkata, walaupun Anwar berhak menggunakan helikopter itu, tetapi hanya boleh berbuat demikian bagi menjalankan tugas rasminya sebagai Perdana Menteri.

    Sabtu lalu, Anwar menjawab kritikan Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md. Nor dengan mempertahankan tindakan menggunakan helikopter milik kerajaan kerana beliau adalah Perdana Menteri.

    “Saya naik heli ke Jeneri mereka marah, kenapa naik heli? Sekarang ini heli kerajaan, yang hang nak sakit hati kenapa?

    “Kerajaan punya, bukan aku punya. Hang tak boleh pakai, Perdana Menteri enteri boleh pakai,” kata Anwar dalam majlis di Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, Kedah.

    Minggu lalu, Anwar memilih menggunakan helikopter untuk menghadiri program di pelbagai kawasan pedalaman Kedah, termasuk Jeneri dan Kupang.

  • ‘Makcik itu sudah nyanyuk dan keluarganya juga minta padam video’

    ‘Makcik itu sudah nyanyuk dan keluarganya juga minta padam video’

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah menasihatkan semua pihak tidak menjadikan video seorang warga emas yang mendakwa UMNO adalah kafir sebagai modal politik.

    Beliau difahamkan warga emas tersebut sudah nyanyuk dan keluarganya juga sudah meminta supaya video tersebut dipadamkan.

    Justeru kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, tidak sepatutnya ada pihak ambil kesempatan.

    “Orang Pas ni ada 1 juta lebih…takkan kita nak ambil satu kenyataan dan orang ini (makcik) tiada apa-apa jawatan.

    “Macam mana kalau saya kata orang UMNO merompak, orang UMNO tak betullah…jangan terlalu kita ni murah menggunakan isu murahan untuk berpolitik,” ujarnya.

    Mohd. Amar berkata demikian menjelaskan isu seorang warga emas yang merupakan penyokong parti Pas dipercayai mengkafirkan parti lain dalam sebuah video tular baru-baru ini.

    Menurut beliau, sekiranya itu dikeluarkan oleh pemimpin Pas yang mempunyai jawatan perkara tersebut akan menjadi besar.

    “Disebabkan ia dikeluarkan oleh seorang warga emas maka ia bukan satu isu,” ujarnya di Kota Bharu, lapor Sinar Harian.