Category: Semasa

  • Pas gerak misi kemanusiaan bantu mangsa gempa di Turkiye

    Pas gerak misi kemanusiaan bantu mangsa gempa di Turkiye

    PAS sedang melakukan persiapan untuk menggerakkan misi kemanusiaan ke Turkiye ekoran kejadian gempa bumi yang melanda negara berkenaan pagi semalam.

    Lapor Sinar Harian, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PasRelief yang merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut.

    PasRelief yang merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut.

    “Pas sedang bersiap sedia untuk menggerakkan misi kemanusiaan berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye yang akan dikoordinasi (oleh) PasRelief.

    “Sama-samalah kita menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye. Semoga Turkiye dan warganya dilindungi dan dirahmati ALLAH SWT,” katanya di Facebook, semalam.

    Sebelum ini, dilaporkan sekurang-kurangnya 2,316 orang terbunuh manakala 13,293 lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye, manakala kira-kira 1,293 orang dilaporkan terbunuh dan ratusan lagi cedera di Syria, pada pagi Isnin.

    Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.

    Sementara itu, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut menzahirkan ucapan takziah atas musibah yang melanda negara itu.

    “Pas merakamkan takziah buat Turkiye dan warganya di atas kejadian gempa bumi yang melanda selatan Turkiye.

    “Dilaporkan kekuatan gegaran gempa bumi yang melanda Turkiye turut dirasai sehingga ke Syria dan Lebanon.

    “Kejadian gempa bumi tersebut juga mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah-wilayah yang terkesan akibat kejadian tersebut seperti di Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis dan Sanliurfa,” tambahnya.

  • Apabila bekas MB ganti bekas MB

    Apabila bekas MB ganti bekas MB

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin menjadi Menteri Besar Johor sejak 2013 hingga 2018 setelah pengundi mengekalkan negeri itu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

    Beliau ketika itu turut menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor setelah penyandangnya, Tan Sri Abdul Ghani Othman tewas mengejut kepada Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah yang kini dikenali Iskandar Puteri.

    Sepanjang lima tahun mengemudi UMNO dan BN Johor, Mohamed Khaled berdepan pilihan raya pertama yang diketuainya pada 2018. Walaupun dianggap ‘tiang seri’ UMNO, Johor tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya di bawah Mohamed Khaled.

    Setelah tewas, beliau digantikan oleh Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor. Kira-kira dua tahun kemudian, Hasni yang ketika itu memimpin UMNO sebagai pembangkang mengangkat sumpah Menteri Besar Johor ke-18.

    Pada 12 Mac 2022, Hasni pula berdepan ujian sulung beliau dalam pilihan raya selaku ‘jeneral’ dan mencatat kemenangan bergaya dengan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor berpihak kepada BN.

    Kredibiliti dan kewibawaan Hasni mengemudi Johor dikatakan terbukti apatah lagi beliau menjadi Menteri Besar Johor yang bersempadanan dengan Singapura ketika seluruh dunia berhadapan pandemik Covid-19.

    Namun, nasib tidak menyebelahi beliau walaupun diangkat sebagai ‘poster boy’ BN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), Hasni tidak berjaya ‘dikekalkan’ sebagai Menteri Besar Johor untuk penggal seterusnya. Beliau digantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Tidak seperti pemimpin lain, Hasni yang dilabel tonggak Johor ketika itu kekal tenang dan akur mengosongkan Pejabat Menteri Besar walaupun menghadiahkan majoriti lebih dua pertiga kepada BN.

    ‘Pengorbanan’ yang pertama tidak berakhir di situ apabila Hasni sekali lagi ‘dirampas’ kedudukannya apabila tempat beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor diganti pula oleh Mohamed Khaled yang kembali ke jawatan itu ketika UMNO dan BN Johor dilihat kuat.

    Meskipun menganggap tindakan itu seolah-olah membulinya, Hasni terus mempamerkan karakter jiwa besar beliau apabila merelakan kerusi nombor satu UMNO Johor itu diserah kembali kepada pendahulunya.

    Beliau juga masih menghadiri Mesyuarat Khas UMNO Johor pada 4 Februari baru-baru ini walaupun beberapa hari sebelum itu telah digugurkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

    Mesyuarat itu pula dipimpin Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO selain dihadiri Onn Hafiz selaku Menteri Besar. Secara ironinya, dua pemimpin itulah yang menggantikan kedua-dua tempatnya tetapi Hasni tetap bersikap gentleman dan party man.

    Walaupun ketika ini Hasni adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, namun beliau dilihat seperti mahu disisihkan oleh UMNO apabila jawatan beliau digantikan secara tiba-tiba.

    Persoalan juga ditimbulkan mengapa UMNO tidak melantik Onn Hafiz sahaja kerana secara tradisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri diisi oleh Menteri Besar yang sedang ‘berkuasa. Ianya bukan perkara baru kerana ‘amalan’ turun-temurun sejak berpuluh tahun lalu itu adalah lumrah dalam UMNO.

    Namun, situasi itu tidak berlaku di negeri yang dilabel ‘payung UMNO’ apabila pucuk pimpinan UMNO bertindak menukar bekas Menteri Besar Johor yang sedang mengepalai UMNO Johor kepada seorang lagi bekas Menteri Besar untuk menjadi pengerusi.

    Adakah kerana faktor Onn Hafiz merupakan anak saudara Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung UMNO selama enam tahun bersama Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin lain menyebabkan hanya Mohamed Khaled merupakan orang yang sesuai.

    Apatah lagi Onn Hafiz pernah menyuarakan pendapatnya agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan dirinya akibat kekalahan teruk dan prestasi buruk dialami BN pada PRU15.

    Jika begitu keadaannya, mengapa tidak dikekalkan sahaja Hasni yang sudah dua kali ‘terduduk’ dengan tindak-tanduk UMNO, walaupun Hasni dikenali sebagai orang yang meletakkan kepentingan parti di tangga teratas berbanding dirinya.

    Pengguguran daripada jawatan disandang Hasni yang diumumkan serentak ketika UMNO memecat dan menggantung kepemimpinannya secara tidak langsung mencalarkan imej bersih Hasni serta merosakkan reputasi UMNO yang kini dilihat semakin berkecamuk angkara tindakan orang-orang yang yes man dan bukan party man.

  • Pas sedia bantu menyelamat, pemulihan gempa Turkiye-Syria

    Pas sedia bantu menyelamat, pemulihan gempa Turkiye-Syria

    PAS sedia menggembelengkan apa-apa jua bentuk bantuan dan sokongan yang perlu bagi membantu kerja-kerja menyelamat dan pemulihan yang sedang berjalan di Turkiye dan Syria.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sambil menyuarakan rasa terkejut dan sedih atas tragedi gempa itu berkata, Pas mendoakan agar kerja-kerja menyelamat berjalan lancar.

    Menurutnya, selain itu adalah diharapkan agar tidak berlakunya gempa atau bencana susulan yang boleh merumitkan keadaan.

    “Pas merakam rasa terkejut dan sedih atas kejadian gempa bumi yang berlaku di selatan Turkiye dan utara Syria hari ini.

    “Rasa simpati dan takziah kami tujukan kepada para mangsa yang terkorban dan tercedera serta keluarga mereka, selain anggota masyarakat di kedua- dua negara sahabat ini yang terkesan oleh bencana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

    Gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud dan satu gempa susulan sekuat 7.6 magnitud meragut nyawa hampir 1,797 orang dan mencederakan ribuan penduduk Turkiye dan Syria, hari ini, meningkat berbanding lebih 500 sebelum ini.

    Kekuatan gempa itu pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan itu meranapkan lebih 1,700 bangunan ketika kebanyakan mangsa sedang nyenyak tidur.

    Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 17.9 kilometer berhampiran bandar Gaziantep dan dapat dirasai hingga Cyprus, Mesir dan Lebanon.

  • Pembantu tukang masak disyaki sebabkan kematian majikan ditahan

    Pembantu tukang masak disyaki sebabkan kematian majikan ditahan

    SEORANG pembantu tukang masak lelaki yang disyaki memukul majikannya sehingga menyebabkan kematian di Jalan Stadium di Alor Setar, ditahan semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata suspek yang berumur 55 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

    “Polis masih sedang menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa daripada pihak hospital. Semakan lanjut juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.

    “Setakat ini, terdapat kira-kira lima saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kes yang berlaku itu,” katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

    Semalam, media melaporkan seorang pembantu tukang masak lelaki dipercayai bertindak menumbuk dan memukul majikannya yang berumur 68 tahun menggunakan sebatang kayu dalam pergaduhan di belakang sebuah restoran di Jalan Stadium pada 5.15 petang kelmarin.

    Mangsa, Ishak Othman, dikatakan tiba-tiba rebah sebaik sahaja pergaduhan dengan suspek berjaya dileraikan ahli keluarga masing-masing sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

    Difahamkan, punca pergaduhan adalah apabila suspek berang kerana isterinya dimarahi mangsa dipercayai berkaitan pinggan mangkuk yang dicuci.

  • PRU-15: Bukan 19 tapi 31 peratus Melayu undi PH, dakwa Anwar

    PRU-15: Bukan 19 tapi 31 peratus Melayu undi PH, dakwa Anwar

    ANALISIS pasukan data saintis diwujudkan Pakatan Harapan (PH) mendapati kira-kira 31 peratus daripada lebih 5.8 juta undi diterima gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah daripada orang Melayu.

    Analisis sama juga menunjukkan gabungan undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi direkodkan dalam PRU-15.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dapatan itu secara langsung menafikan tuduhan mengatakan gabungan itu ditolak masyarakat Melayu, selain dakwaan mengatakan PH hanya mendapat 19 peratus undi Melayu.

    “Bila kita buat satu pasukan data saintis yang membuat analisis, kita dapat lihat dalam data awal bahawa sebenarnya tidak benar (dakwaan) yang diuar-uarkan kononnya PH mendapat 19 peratus dokongan Melayu.

    “Kalau 19 peratus sokongan Melayu, tidak mungkin kita dapat mencatat jumlah kerusi seperti mana yang dicatat dalam PRU-15.

    “Secara keseluruhannya, undi diperoleh PH ialah 31 peratus pengundi Melayu. Ada yang rendah seperti di Kelantan dan Terengganu, namun ada yang mencecah lebih 50 peratus dengan tertinggi di Wilayah Persekutuan, diikuti Selangor, Pulau Pinang, Penang, dan Negeri Sembilan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga Perdana Menteri menyifatkan jumlah dua pertiga undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan membuktikan kekuatan dan kestabilan pentadbirannya.

    “Kalau dikumpul kekuatan Kerajaan Perpaduan sekarang ini membabitkan komponen PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain yang bersama, itu sudah mencecah dua pertiga daripada keseluruhan undi dalam PRU-15.

    “Kalau itu keadaannya, maka dengan dua pertiga Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga pengundi dalam PRU-15, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap.

    “Kita akan menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan,” katanya.

  • Banjir: 6 PPS dibuka di Pahang, mangsa di Johor menurun, Sabah pulih

    Banjir: 6 PPS dibuka di Pahang, mangsa di Johor menurun, Sabah pulih

    SITUASI banjir pada petang ini menyaksikan Pahang kembali terjejas manakala Johor menunjukkan perkembangan positif dan keadaan di Sabah pulih sepenuhnya. 

    Di PAHANG, hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kuantan dinaiki air seterusnya enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini. 

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang melaporkan seramai 1,310 orang daripada 342 keluarga ditempatkan di PPS terlibat dengan mangsa paling ramai di PPS Dewan Dato’ Manan  iaitu 560 orang. 

    PPS lain ialah PPS Wisma Belia dengan 300 orang, PPS Dewan Orang Ramai Taman Tas (220), PPS Dewan Orang Ramai Sri Mahkota (143), PPS Dewan Orang Ramai Sri Damai (57) dan PPS Dewan Orang Ramai Jaya Gading (30). 

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Kuantan di Bukit Kenau dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melebihi paras bahaya.

    Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan Kuantan mengalami hujan lebat sepanjang hari sehingga esok.

    Pekan Sungai Lembing di sini, dilanda banjir kilat selama hampir 10 jam bermula pukul 4.30 pagi tadi ekoran air Sungai Lembing yang melimpah sehingga ke jalan utama di pekan tersebut. 

    Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa terus menurun kepada 355 orang setakat 4 petang ini, berbanding 420 orang pada 8 pagi susulan banjir termenung di daerah Batu Pahat dan Segamat.

    Menurut JPBN Johor, jumlah mangsa di Batu Pahat adalah seramai 329 orang daripada 90 keluarga yang berlindung di empat PPS manakala Segamat merekodkan 26 orang daripada sembilan keluarga di sebuah PPS. 

    JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di tujuh daerah diramalkan cerah petang ini kecuali Mersing, Pontian dan Kluang yang dijangka mendung.

    Di SABAH, semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 4 petang tadi dengan PPS terakhir iaitu Dewan Serbaguna Selagon di Beaufort yang sebelum ini menempatkan 46 orang daripada 12 keluarga ditutup. – BERNAMA 

  • Dari RM600 bilion turun jadi RM300 juta, Anwar bohong lagi?

    Dari RM600 bilion turun jadi RM300 juta, Anwar bohong lagi?

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘berbohong’ berhubung kenyataannya tidak campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bersatu, sedangkan tuduhan angka yang didakwa diseleweng semakin berubah-ubah daripada RM600 bilion kepada RM300 juta.

    Wan Saiful menegaskan, Bersatu telus apabila mengisyhtiharkan akaun parti setiap tahun dan telahpun mendedahkan dokumen itu untuk akses umum.

    Bagaimanapun katanya, beliau pelik dakwaan Anwar yang mengatakan Bersatu seleweng RM600 bilion kini berubah menjadi RM300 juta sekali gus membuktikan campur tangan politik berlaku.

    “Kita melihat ada campur tangan politik berlaku. Walaupun PM kata tidak ada sebarang campur tangan oleh kerajaan, bagi saya ini satu penipuan yang dilakukan oleh kerajaan penipu ini.

    “Pertama, dia tuduh kita mencuri RM600 bilion. Bila tahu angka dia salah, dia turun jadi RM92.5 bilion. Bila dia tahu angka itu pun salah, dia turun konon-konon ada RM4.5 bilion. Bila Bersatu dedahkan akaun parti yang setiap tahun kita isytihar, dapat diketahui setahun lebih kurang RM150 juta yang kita terima. Tiba-tiba ada dakwaan lagi ada RM300 juta kononnya.

    “Saya cabar Anwar Ibrahim dedahkan dari mana dia dapat angka ini sebab kalau tidak, ternyata satu penipuan oleh kerajaan penipu ini,” katanya, lapor BeritaBersatu.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan nelayan bersama Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, di Jeti Nelayan Padang Benggali, kelmarin..

    Tiga hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak pernah mengarahkan SPRM membekukan akaun Bersatu.

    Pada 5 Disember tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

    Pada sidang medianya, Anwar berkata agensi itu bertindak bebas dalam tindakan membekukan akaun Bersatu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menegaskan kerajaan yang dipimpin Anwar tidak sepatutnya mempengaruhi SPRM.

    Ini kerana, katanya, SPRM adalah sebuah badan bebas yang dihormati rakyat.

    Membuktikan campur tangan politik berlaku, Wan Saiful berkata ketika ini yang disiasat hanyalah Bersatu.

    “Jadi ini campur tangan politik yang tidak sepatutnya berlaku ke atas sebuah badan bebas yang dihormati oleh rakyat seperti SPRM.

    “Sekiranya tiada campur tangan politik, sudah pasti semua parti yang menyertai PRU15 akan disemak oleh pihak berkuasa. Tapi apabila hanya Bersatu sahaja menjadi sasaran, sudah pasti timbul persoalan kenapa siasatan begitu spesifik terhadap satu parti sahaja dan bukan semua?” soalnya.

  • Menu Rahmah: Murah tidak semestinya bagus, bukan langkah tepat sudut ekonomi

    Menu Rahmah: Murah tidak semestinya bagus, bukan langkah tepat sudut ekonomi

    MENU Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan B40 menikmati juadah pada harga bawah RM5, bukan satu langkah tepat dari sudut ekonomi.

    Pakar ekonomi, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, langkah itu lebih bersifat emosi berbanding ekonomi.

    “Kerajaan ambil maklum mengenai menu dan harga. Berhati-hati. Saya hargai niat itu, tetapi tidak di sudut ekonomi.

    “Mungkin ia dapat mudah sedikit mempromosikan menu ‘berpatutan. (Tindakan) Lebih emosi dari ekonomi,” katanya di Facebook miliknya hari ini.

    Menurut Noor Azlan, meskipun murah, ia tidak semestinya bagus, sebaliknya perlu ada had dalam penetapan harga.

    “Kerajaan bekerjasama dengan persatuan pembekal (erti kata lain ‘bersubahat’) untuk menetapkan harga yang jelas menentang persaingan sihat di pasaran.

    “Harap isu yang lebih besar tidak dibiarkan begitu sahaja. (Contoh) Pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, peluang untuk semua, gaji yang adil, pasaran yang cekap, harga berpatutan, kemampuan, produktiviti.

    “(Dengan) Semangat yang disasarkan, lebih baik membantu golongan memerlukan secara terus daripada campur tangan pasaran terbuka,” katanya.

    Mengulas lanjut Noor Azlan memberitahu. keutamaan perlu diberikan kepada meningkatkan pendapatan yang lebih kekal lama.

    “Kerajaan teruskan usaha membantu rakyat. Kita hargai,” katanya lagi, lapor Astro AWANI.

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha kerajaan itu bagi membantu golongan B40 serta miskin yang memerlukan makanan siap dimasak.

    Pengenalan harga RM5 ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.

  • PRU15: SPRM disaran siasat kewangan ‘luar biasa’ PH, BN

    PRU15: SPRM disaran siasat kewangan ‘luar biasa’ PH, BN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat akaun dan sumber perbelanjaan pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Rembau, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, ini susulan dakwaan blogger, Raja Petra Kamarudin menerusi videonya yang PH dan BN mempunyai kewangan luar biasa dan berbelanja secara luar biasa dalam kempen pilihan raya lalu.

    “BN belanja RM6 juta dan PH belanja RM10 juta untuk satu kerusi Parlimen. Ini bermakna anggaran jumlah perbelanjaan yang didakwa adalah mungkin boleh mencecah lebih daripada RM1.5 bilion.

    “Justeru, Bersatu Rembau menyarankan agar perkara ini tidak dipandang remeh oleh pihak berkuasa dalam menyiasat secara telus dan adil,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

    Menurutnya, parti itu terbuka dan telah pun memberi kerjasama kepada SPRM dalam isu siasatan kononnya berlaku penyelewengan sebanyak RM600 bilion dan kemudian diturunkan menjadi RM92.5 bilion hingga menjadi RM300 juta.

    Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar PH (DAP, PKR, Amanah) serta UMNO untuk memberi penjelasan berkaitan sumber dan akaun perbelanjaan yang dikatakan ‘luar biasa’ dibelanjakan sewaktu PRU15.

  • Polis tahan empat lelaki miliki senjata buatan sendiri

    Polis tahan empat lelaki miliki senjata buatan sendiri

    POLIS menahan empat lelaki kerana memiliki tiga laras senapang angin dan sepucuk pistol buatan sendiri dalam tiga serbuan berasingan di daerah Dungun, dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata empat suspek berusia 29 hingga 48 itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dalam operasi dari pukul 4.30 pagi hingga 8.30 pagi.

    Katanya serbuan pertama di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 2 dekat sini menemukan selaras senapang, sepucuk pistol buatan sendiri dan 28 biji bola besi, manakala serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Durian Mentangau melibatkan rampasan selaras senapang dan beberapa biji bola besi.

    “Serbuan ketiga pula dijalankan di sebuah rumah di Felda Kertih 2 di Dungun dan membawa kepada penemuan selaras senapang.

    “Hasil siasatan awal mendapati tiga daripada empat suspek memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah. Ujian air kencing juga mendapati tiga suspek positif dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata semua suspek yang ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, mengaku menghasilkan sendiri senjata berkenaan dengan mempelajarinya daripada internet, bagi tujuan memburu binatang liar di kawasan kebun.

    Sementara itu, Baharudin berkata pada hari sama sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun turut menahan empat lagi lelaki berusia antara 16 hingga 23 tahun kerana memiliki senjata tiruan.

    Menurutnya polis merampas selaras senapang tiruan, selaras senapang menyerupai M16, sepucuk pistol tiruan, sepasang gari, peluru getah, empat buah telefon bimbit dan dua walkie talkie daripada mereka.

    “Semua suspek mengaku membeli senjata tiruan dan peralatan lain secara dalam talian untuk tujuan suka-suka dan bergambar di media sosial. Suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967,” katanya.