Category: Semasa

  • Enam maut, van persiaran terbabas di Jalan Genting

    Enam maut, van persiaran terbabas di Jalan Genting

    SEBANYAK enam individu terbunuh selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi konkrit di Jalan Genting Highlands, tengah hari tadi.

    Kejadian pukul 1 tengah hari itu berlaku ketika van dinaiki mangsa terbabit sedang menuruni jalan dari pusat peranginan di Bentong tersebut.

    Enam individu terbunuh selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi konkrit di Jalan Genting Highlands, tengah hari tadi.FOTO MEDIA SOSIAL

    Harian Metro yang memetik sumber Bomba dan Penyelamat berkata, terdapat 12 wanita dewasa dan dua lelaki dewasa yang menaiki van itu ketika kejadian berhampiran kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands.

    “Susulan kejadian itu satu jentera bomba dan Balai Bomba dan Penyelamat Genting dihantar ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati 10 mangsa wanita dan dua mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan itu. Anggota bomba kemudian segera menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa.

    “Setakat ini seramai enam mangsa membabitkan lima wanita dan seorang lelaki disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.

    Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Lapan lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan kecemasan. Identiti semua mangsa masih cuba dikenal pasti,” katanya.

  • Dipercayai terima suapan ejen pengurusan jenazah, Penolong Pegawai Perubatan direman

    Dipercayai terima suapan ejen pengurusan jenazah, Penolong Pegawai Perubatan direman

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki berusia 57 tahun kerana disyaki meminta dan menerima suapan sebanyak RM17,859 daripada ejen-ejen pengurusan jenazah bagi mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di sebuah hospital, di Temerloh.

    Memetik laporan Astro AWANI, lelaki itu yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Unit Perubatan Forensik di sebuah hospital telah ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh, semalam.

    Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Febuari 2023 bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit.

    Dia yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan mahkamah sekitar pukul 11.30 pagi tadi.

    Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Shah Reza Noot Azman bagi membantu siasatan mengikut peruntukan Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Berdasarkan sumber, suspek dipercayai telah menerima suapan sebanyak RM17,859.00 sekitar tahun 2021 hingga 2022.

  • Bil elektrik melambung 30 peratus, hotel, peruncit tuntut moratorium

    Bil elektrik melambung 30 peratus, hotel, peruncit tuntut moratorium

    LANGKAH mengenakan surcaj 3.7sen/kWj kepada pengguna bukan domestik menyaksikan operasi hotel, taman tema, pusat beli-belah dan peruncit mengalami peningkatan 20 hingga 30 peratus bil elektrik.

    Tujuh pertubuhan peniaga dalam kenyataan bersama berkata, peningkatan ketara itu berlaku berbanding tahun sebelumnya, melibatkan penggunaan jumlah tenaga sama.

    Kata kenyataan itu, peningkatan mendadak bil tenaga dikatakan “tidak adil”, memandangkan sektor terbabit antara paling terkesan akibat pandemik Covid-19, selain perlu mematuhi pembayaran gaji minimum RM1,500.

    “Justeru, kami secara ikhlas menggesa kerajaan menyediakan moratorium bagi tarif elektrik baharu ini kepada semua pengguna komersial hingga hujung 2023 demi memberi tempoh untuk kembali pulih.

    “Tekanan berterusan terhadap perniagaan ketika Malaysia sedang merancakkan pelancongan menjejaskan kami kerana sukar beroperasi secara cekap.

    “Kami berharap mendapat maklum balas menggalakkan tidak lama lagi dan sentiasa terbuka berunding bersama pihak kementerian demi kebaikan industri di Malaysia,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pertubuhan menandatangani kenyataan itu melibatkan Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPKM), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho)

    Sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga berkata, kos elektrik meningkat 45 peratus kesan pertambahan harga arang batu, di mana Semenanjung bergantung tinggi kepada sumber itu.

    Pada Mac tahun lalu, peruncit menggesa Putrajaya menghentikan surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna komersial dan industri bermula 1 Feb 2022, kegagalan mengambil tindakan itu memaksa kos itu dipindahkan kepada pengguna, sekali gus menaikkan harga.

  • MUDA terkilan tak diundang ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan

    MUDA terkilan tak diundang ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyuarakan rasa terkilannya kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn malam tadi.

    Menurut Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi, pihaknya tidak menerima sebaran jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau e-mel.

    “Saya Setiausaha Agung parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya. Tidak ada surat, mesej, email yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau menyatakannya sebagai menjawab satu perkongsian dari ciapan pengguna akaun di Twitter beliau hari ini.

    Malam tadi berlangsung mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri semua pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

    Namun, kelibat pemimpin utama atau wakil dari MUDA tidak kelihatan.

    Pada sidang media selepas mesyuarat itu, Anwar memaklumkan penubuhan tiga jawatankuasa membabitkan semua parti dalam kerajaan iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

    Mengulas lanjut, Amir berharap sedikit taklimat diberikan kepada mereka bagi membolehkan partinya yang kini menjadi sebahagian kerajaan mengetahui sedikit perkembangan hasil dari mesyuarat berkenaan.

    “Khabarnya semalam berlangsung mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan. Nampak ada logo MUDA. Tapi (MUDA) tak tahu apa-apa. Tak ada jemputan. Tak ada makluman. Tahu-tahu dah ada keputusan.

    “Mungkin sekurang-kurangnya, boleh bagi taklimat hasil mesyuarat?” katanya.

    Cadangan penubuhan sekretariat itu sebelum ini diluluskan kerajaan dan dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.

  • Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 9.10 malam tadi.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 37.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan OP TANJUNG dan OP PERTIWI.

    Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 18 hingga 35 tahun

     Jelas beliau, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 18 hingga 35 tahun.

    “Kesemua mereka bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    “Sehubungan itu, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut anggaran 20 kilogram dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Semua terima sumbangan, tiada parti boleh hidup sendiri, kata Mohd Amar

    Semua terima sumbangan, tiada parti boleh hidup sendiri, kata Mohd Amar

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu bersikap terbuka dan sedia memberi kerjasama sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyiasat akaun parti berkenaan.

    Menurut beliau, SPRM boleh menyiasat Pas sekiranya ada keperluan.

    “Namun kita berharap segala tindakan sama ada daripada SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersifat politik dan memilih.

    “Kalau bercakap soal duit, semua parti menerima sumbangan. Tiada parti yang boleh hidup dengan sendiri.

    “Jadi kalau nak siasat, siasat semua dan sekiranya terdapat salah laku, boleh ambil tindakan,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Pas memang bersikap terbuka sejak dahulu berhubung perkara itu.

    Bagaimanapun katanya, ia menjadi sukar dan masalah buat parti tertentu sekiranya akaun dibekukan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin dekat.

    “Apa yang saya lihat, kerajaan hari ini seolah-olah mahu membalas dendam terhadap Perikatan Nasional (PN),” katanya

    Media sebelum ini melaporkan, beberapa akaun milik Bersatu masih lagi dibekukan.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan masih berjalan dan pembekuan akaun belum dibatalkan.

    Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah simpanan dalam akaun yang dibekukan SPRM kerana pegawai penyiasat masih dalam proses melaksanakan tugas.

  • MT tolak maklumat agensi kata UMNO kalah jika PRU-15 awal

    MT tolak maklumat agensi kata UMNO kalah jika PRU-15 awal

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan beliau telah memaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tetapi MT enggan menerima maklumat disalurkan agensi-agensi tertentu.

    Jelas beliau, MT dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) begitu yakin akan mencapai kemenangan besar sekiranya PRU-15 diadakan segera, sedangkan dalam laporan yang beliau terima menunjukkan gabungan itu akan kalah.

    Beliau berkata, walaupun mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri untuk membubarkan atau tidak Parlimen, beliau tetap mengikut keputusan MT dan PAU.

    Menurutnya yang juga Naib Presiden UMNO, maklumat beliau terima berbeza dengan apa yang diperoleh Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa gabungan itu akan menang.

    Malah katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengatakan beliau pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dan maklumat yang diberikan agensi tertentu kadang-kala tidak tepat.

    “Apabila desakan itu, desakan daripada parti sendiri untuk pilihan raya… dan dia orang kata ooh tak, kenapa kita tak buat awal? (MT kata) Tak buat awal kita kalah.. konon-kononnya kalau lepas PRN di Johor dan Melaka kalau kita buat kita menang.

    “Dalam laporan yang saya terima, kita kalah. Dan waktu saya nak bubarkan Parlimen itu, saya beritahu kepada MT. Kita setakat ini kita kalah… Wanita UMNO melaporkan 35 kerusi maksimum kita menang.

    “Dan saya kata kalau (pengundi) kelabu putih campur putih hanya 60 kerusi… mungkin kita menang 30. Tapi dalam MT berkeras (adakan pilihan raya) sehinggakan saya kata okeylah. Kalau you all nak juga pilihan raya diadakan sekarang dalam setahun kita kalah. Kita semua kena bertanggungjawab.

    “Sebab saya dah beritahu keadaan yang sebenar. Saya sebut di dalam mesyuarat MT bukan saya merajuk. Saya dah angkat suara sikit itu hari… kalau you all nak juga okeylah. Kita semua bertanggungjawablah.

    “Sebab saya tahu kalau pilihan raya masa itu… tak menang… boleh kalah. Tapi laporan yang dikeluarkan oleh pengarah pilihan raya Tok Mat ketika itu kita menang. Kita boleh cross 112. Kita boleh menang. Presiden pun kata kita menang.

    “Sehinggakan presiden kata dulu saya pernah jadi Menteri Dalam Negeri kadang-kadang agensi pun buat silap dari segi laporan. Ya kalau dah ini kehendak dan itu adalah kehendak parti… kehendak parti yang diputuskan oleh MT supaya pilihan raya perlu disegerakan,” katanya dalam temu bual bersama Media Mulia.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata jurucakap yang membahas dalam PAU juga mengatakan PRU perlu disegerakan.

    “Dan setiap kali saya pergi terutamanya di kalangan Pemuda. dia oranglah yang menjerit bubar, bubar, bubar setiap kali saya pergi. Saya pun manusia. Ada perasaan,” tambahnya lagi.

    Beliau juga mendedahkan pemimpin pembangkang bertemu beliau dan meminta supaya pilihan raya tidak diadakan segera, sebaliknya menunggu sehingga habis penggal Parlimen, malah mereka sanggup memberi sokongan penuh.

    “Dia (pembangkang) kata kita akan sokong Datuk. Maknanya kerajaan takkan takkan terbubar sebab pembangkang akan sokong saya. Dia (pembangkang) boleh tandatangan SD (akuan bersumpah) sokong saya

    “Boleh buat undi percaya di Parlimen pun untuk sokong saya supaya terus kekal. Tapi bagi saya apa makna saya Naib Presiden UMNO (yang) survive kerajaan dengan bergantung nyawa kepada pembangkang.

    “Pembangkang beri nyawa kepada saya untuk terus menjadi Perdana Menteri… sedangkan UMNO tak boleh terima kerana mereka dah buat keputusan nak cepat adakan pilihan raya,” katanya.

    Ismail Sabri berkata disebabkan beliau adalah orang parti maka beliau mengikut keputusan MT dan PAU untuk mengadakan PRU lebih awal.

    Pada PRU-15 lalu, BN dan UMNO mengalami kekalahan paling teruk dalam segarah politik sejak negara merdeka apabila hanya menang 30 kerusi Parlimen dengan 26 daripadanya adalah daripada UMNO.

  • Bunuh pemandu e-hailing: 7 termasuk 6 anggota polis akan didakwa

    Bunuh pemandu e-hailing: 7 termasuk 6 anggota polis akan didakwa

    TUJUH suspek terdiri enam anggota polis dan satu orang awam akan dituduh di Mahkamah Majistret Tawau petang ini melibatkan kes pembunuhan seorang lelaki yang juga pemandu e-hailing pada 13 Jan lepas di Tawau.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata pihak polis telah melengkapkan siasatan kes tersebut dan kertas siasatan lengkap telah dimajukan ke Pejabat Peguam Negara semalam.

    “Semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

    “Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata seramai lapan anggota polis dan tiga orang awam telah ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

    Pada 31 Jan lepas, Idris ketika memberitahu perkembangan semasa kes itu dilapor berkata kes bunuh itu bermotifkan cemburu dan lebih bersifat peribadi serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

    Sehari sebelumnya, seorang penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di sini antara 7.30 dan 9 malam, 13 Jan lepas. – BERNAMA

  • Sharnaaz failkan representasi Mac ini

    Sharnaaz failkan representasi Mac ini

    PELAKON Sharnaaz Ahmad akan memfailkan representasi dalam masa terdekat atas pertuduhan dihadapinya kerana mencederakan seorang pengawal keselamatan, tahun lalu.

    Ia disahkan peguam bela Sharnaaz Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, ketika dihubungi, hari ini.

    “Maklumat terperinci berkaitan representasi itu akan dimaklumkan ketika pengurusan kes seterusnya pada 6 Mac ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

    Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang individu berusia 27 tahun, di kawasan lif sebuah kondominium pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pada Jun lalu, pelakon itu direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini.

    Media melaporkan Sharnaaz ditahan selepas dipercayai menumbuk dan menendang penghuni kondominium itu.

    Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.

    Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.

    Sharnaaz yang melihat insiden datang menegur mereka sebelum mangsa didakwa ditumbuk olehnya hingga lebam pada muka.

  • Ahli perniagaan mengaku tak salah tipu wang pelaburan tak wujud RM1.09 juta

    Ahli perniagaan mengaku tak salah tipu wang pelaburan tak wujud RM1.09 juta

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan wang pelaburan dari luar negara melibatkan kerugian berjumlah RM1.09 juta.

    Lapor UtusanTV, tertuduh, Parimalam Rajo Isa Michael, 67, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Parimalam telah memperdayakan seorang mangsa lelaki menerima wang pelaburan dari Sri Lanka yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian masing-masing RM190,000, RM400,000 dan RM500,000 bagi setiap pertuduhan.

    Justeru, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun selain sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Abd Rauff mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

    Peguam K. Revathi memohon jaminan serendah RM2,000 memandangkan tertuduh sedang menjalani rawatan penyakit jantung di sebuah hospital di Damansara selain menyara keluarga.

    Susulan itu, Hakim Muhammad Anas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 serta menetapkan tarikh 16 Mac depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.