Category: Semasa

  • Pelawak S. Gana berkempen di kubu kuat PH

    Pelawak S. Gana berkempen di kubu kuat PH

    PELAKON dan pelawak, S. Gana yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Subang Jaya di Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) tetap bersemangat walaupun mengakui kerusi itu merupakan kubu kuat PH.

    Katanya, walaupun maklum dengan tanggapan bahawa pengundi di kawasan itu mungkin ragu-ragu dengannya, beliau mendapati beberapa pengundi yang ditemuinya menyambutnya dengan mesra.

    “Saya telah diberi mandat oleh pucuk pimpinan PN untuk bertanding di kerusi ini. Walaupun orang ramai mengatakan pengundi bandar ragu-ragu dengan PN, saya masih nampak muka mesra ketika bertemu dengan pengundi di sini.

    “Mereka tidak menolak risalah saya dan sedia mendengar dengan saya,” katanya ketika ditemui semasa lawatan berjalan kaki.

    Gana berdepan saingan tiga penjuru dengan penyandan kerusi itu Michelle Ng dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zayd Shaukat Ali.

    Pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ng memenangi kerusi itu dengan majoriti 48,272 undi – kerusi itu mempunyai 74,023 pengundi.

    Kata Gana, beliau boleh berinteraksi dengan pengundi kerana perwatakannya yang mudah bergurau.

    Selain itu, katanya, anaknya yang boleh bercakap dalam bahasa Mandarin juga turut membantunya.

    “Ini membantu saya untuk melibatkan diri dengan mereka tentang isu-isu yang mempengaruhi mereka di sini dan harapan mereka untuk masa depan,” katanya sambil menunjuk anak keduanya Tharen Vishal, 19.

    Kata Vishal, beliau selalunya hanya mengikut ayahnya apabila dia berkempen dan akan membantu ayahnya apabila bertemu dengan pengundi yang sukar bercakap dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

    “Saya akan bercakap dengan mereka dalam bahasa Mandarin. Pada mulanya, mereka terkejut mendengar saya bercakap Mandarin, tetapi kemudian, mereka mula berkongsi isu yang membimbangkan mereka,” kata Vishal.

    Sementara itu, Gana berkata, isu utama yang diketengahkan penduduk di Subang Jaya ialah infrastruktur, kebersihan dan masalah lalu lintas.

    “Saya sudah biasa bergaul rapat dengan orang ramai dalam pelbagai watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini, sebagai pelakon, pelawak, dan kini sebagai ahli politik.

    “Saya percaya orang ramai berkongsi masalah mereka dengan saya, kerana mereka percaya saya boleh membantu menangani isu mereka jika saya dipilih,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Gana merupakan pelakon popular yang membawa watak hero dan komedi dalam filem tempatan seperti Kampung Kuttua, Pattanathu Thaatha dan turut muncul dalam pelbagai siri Tamil dan produksi tempatan.

    Beliau terkenal dengan filem Appalam arahan Afdlin Shauki. Filem itu memenangi Filem Terbaik di Festival Filem India Malaysia 2012.

    Sementara itu, Gana menepis tanggapan bahawa kemasyhurannya sebagai seorang artis adalah faktor pendorong untuknya berkempen di kerusi itu.

    “Kebanyakan pengundi di sini tidak pernah mendengar tentang saya atau menonton filem saya. Sudah tentu, ada seorang dua yang tahu tetapi majoriti tidak mengenali saya.

    “Jadi, tidak benar apabila orang kata kemasyhuran sebagai pelakon membantu,” katanya yang juga menghasilkan animasi Tamil pertama Malaysia Estate Boy.

    Mengakui beliau muka baru buat pengundi Subang Jaya, Gana berkata bahawa dia memanfaatkan interaksi di media sosial, termasuk mesej langsung dan komen untuk siarannya.

    “Sesetengah komen sangat mengecewakan dan menyakitkan hati. Saya cuma nak cakap, tolong jangan pandang rendah sesiapa dan jangan hanya jadi panglima keyboard. Komen di media sosial tidak mengapa tetapi saya hanya meminta untuk mengulas secara adil.

    “Tanya diri anda, sebagai pengundi, apa yang anda mahu saya lakukan? Apakah isu yang anda mahu saya bincangkan? Dan komen kemudian,” katanya.

    Beliau juga menggalakkan golongan muda mendaftar sebagai pemerhati atau ejen pengiraan undi (PACA) bagi memahami proses pilihan raya dengan lebih baik.

    “Datang dan lihat sendiri bagaimana sistem ini berfungsi. Fahami dan kemudian anda boleh mencadangkan bagaimana untuk menjadikan keadaan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

  • PRN:Rina yakin menang di Batu Tiga, manifesto PN jadi sandaran

    PRN:Rina yakin menang di Batu Tiga, manifesto PN jadi sandaran

    KETUA Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun menafikan timbul isu beliau sukar meraih keyakinan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada pilihan raya di Selangor pada 12 Ogos ini.

    Beliau berkata, faktor yang dipersoalkan sebelum ini iaitu sudah beberapa kali berpindah kawasan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan menjadi masalah atau isu.

    Ujar Rina, tidak menjadi masalah untuknya menambat keyakinan pengundi dan dirinya berpegang kepada tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk Selangor diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu.

    “Keyakinan daripada rakyat dan pengundi itu daripada manifesto dibawa Muhyiddin. Apa yang kita janji dikotakan dan tidak memainkan perasaan rakyat,” katanya memetik laporan FMT.

    Rina berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen (Parti Ikatan Demokratik Malaysia-MUDA).

    Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ yang antaranya menjanjikan elaun khas tahunan berjumlah dua hingga tiga bulan gaji kepada penjawat awam negeri itu.

    Ia turut menawarkan bantuan RM400 sebulan bagi pembelian barangan asas kepada 65,000 keluarga memerlukan, elaun bulanan imam (RM1,700), bilal (RM800), siak (RM600) serta nazir (RM600) dan air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada isi rumah berpendapatan bawah RM15,000.

    Rina merupakan bekas menteri pada era pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu mula bertanding di Titiwangsa.

    Bagaimanapun pada PRU15 beliau tewas di Parlimen Sepang dan PRN 12 Ogos ini dipertaruhkan PN di DUN Batu Tiga.

    Kritikan terhadap pencalonan Rina turut datang daripada bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang menyifatkan pemilihan calon PN daripada parti itu sebagai ‘lemah dan bermuslihat’.

    Mengulas lanjur, Rina berkata, meskipun Batu Tiga boleh dikatakan sudah matang dari segi pembangunan namun realitinya masih berlaku ketidakseimbangan antara taraf sosial dan ekonomi, pendidikan dan infrastruktur.

    Justeru menurutnya, wujud keperluan merapatkan jurang itu agar tiada rakyat tercicir.

  • Calon MB Selangor PN masih rahsia, akan diumum bila menang-Hamzah

    Calon MB Selangor PN masih rahsia, akan diumum bila menang-Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) hanya akan mengumumkan calon Menteri Besar Selangor selepas calon itu memenangi pilihan raya di Selangor.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beberapa nama telah disenarai pendek bagi jawatan berkenaan dan akan diumum selepas mereka menang pilihan raya negeri (PRN) tersebut pada 12 Ogos ini.

    “Calon Menteri Besar kita sedang dalam perbincangan untuk kita umumkan dalam waktu terdekat. Ada beberapa telah disenarai pendek. Semua mereka yang bertanding adalah layak.

    “Yang pentingnya mereka mesti menang, kita tak mahu umum nanti ada orang kalah pula, sebab itu kita akan tengok dulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Selangor Baru, DUN Sungai Pelek, Zanas Villa D’Klia, Kampung Labu Lanjut, Salak Tinggi, malam tadi.

    Hamzah mengulas isu berkenaan selepas PN sehingga kini masih tidak mengumumkan calon Menteri Besar mereka.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar PN supaya mengumumkan calon Menteri Besar Selangor.

    “Ini hantam kat Selangor, hantam (Datuk Seri) Amirudin Shari. Calon kamu Menteri Besar siapa?

    “Calon kami, saya dah umumkan Amirudin,” katanya dalam satu ceramah baru-baru ini.

    Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu memutuskan untuk tidak mengumumkan calon Menteri Besar mereka di Selangor.

    Muhyiddin berkata, nama-nama calon menteri besar itu hanya akan diumumkan apabila tiba waktunya.

    “Yang penting kita tak perlu umumkan. Pada prinsipnya, dalam senarai yang kita (ada) sudah kenal pasti ramai tokoh-tokoh dan sampai masa sesuai… tahu siapalah Menteri Besarnya,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun Muhyiddin menggesa Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya menghadiahkan kemenangan kepada PN di Selangor.

    Azmin sebelum ini disebut-sebut bakal mengisi semula jawatan itu sekiranya PN dapat menawan Selangor.

    Azmin memegang jawatan itu dari 2014 hingga 2018 ketika bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

  • Kerajaan Anwar ini tidak boleh tahan lama, kata Hamzah

    Kerajaan Anwar ini tidak boleh tahan lama, kata Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa, kerajaan perpaduan yang ditubuhkan hari ini adalah berdasarkan penipuan, khususnya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Dakwanya, Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) menghantar surat kepada Istana memberitahu bahawa BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    “Sedangkan Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk berkecuali dalam menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan.

    “Maka penubuhan kerajaan yang ada ini adalah disebabkan oleh penipuan yang dibuat oleh Zahid.

    “Insya-Allah, kerajaan ditubuhkan dengan cara menipu itu tidak boleh tahan lama.

    “Sebab hari ini sudah ada kebangkitan rakyat di seluruh negara berdoa kerajaan akan jatuh,” katanya berucap di hadapan kira-kira 150 hadirin di Kampung Labu Lanjut, Salak Tinggi, malam tadi.

    Kata bekas menteri dan Ahli Parlimen Larut itu, Anwar sebenarnya tidak dapat mengawal dirinya daripada menipu rakyat dan tabiat berkenaan sudah menjadi lumrah buatnya ibarat makan vitamin.

    “Dia bangun pagi cari jalan macam mana menipu. Sebelum tidur dia tipu, dalam mimpi dia tipu, bangun pagi dia tipu, tengah hari dia tipu, malam tipu.

    “Saya nak bagitahu dia tipu, dia bohong sudah menjadi makanan dia seperti vitamin. Sebab, kalau dia tak tipu dia sakit sebab itu dia kena tipu rakyat,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pada pilihan raya negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek pada 12 Ogos ini, PN mempertaruhkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sepang, Suhaimi Ghazali.

    Beliau akan berdepan dengan Lwi Kian Keong (PH) dan Nageswaran Ravi (Bebas) dalam saingan tiga penjuru. Kerusi itu mempunyai 47,335 pengundi.

  • ‘Saya akan tumbangkan Zahid kalau masih dalam UMNO’ – Muhyiddin

    ‘Saya akan tumbangkan Zahid kalau masih dalam UMNO’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan menumbangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sekiranya masih kekal berada dalam parti berkenaan.

    Beliau mendakwa Ahmad Zahid telah banyak melakukan kerosakan pada UMNO termasuk melanggar prinsip perjuangan parti itu selama ini yang menolak kerjasama dengan DAP.

    “Sudah sampai mereka (ahli UMNO) berhijrah, masuk Pas boleh dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun boleh. Jangan kekal duduk dalam UMNO kerana UMNO sudah rosak.

    “Siapa rosakkan UMNO… Zahid Hamidi. Banyak lagi tindakan-tindakan dia sudah buat termasuk keputusan tak mahu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, tak mahu DAP tapi apa Zahid buat? Dia kata jangan buat tapi dia buat juga.

    “Masalah dalam UMNO ini tak ada pemimpin dan mengikut sahaja. Kalau saya masih kekal dalam UMNO, saya cari jalan nak tumbangkan Zahid sebab dia dah langgar perlembagaan UMNO dan buat sesuatu musibah selain telah buat bencana pada UMNO,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Petang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Nerus hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin juga menyeru kepada rakyat supaya melupakan UMNO sebaliknya memilih Pas dan Bersatu.

    Kata bekas Perdana Menteri itu, sudah sampai masanya parti itu dilupakan kerana sudah tidak relevan.

    “Sampai masa kita lupakan UMNO… sampai masa kita tak payah dengar apa disebut oleh pemimpin-pemimpin mereka.

    “Oleh sebab itu kita tiada pilihan, pilihan terbaik di Terengganu dan Kelantan ini adalah pilih Pas. Pertahankan kerajaan yang ada,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN:’Rakyat tolak Kerajaan Perpaduan isyarat Anwar bukan PM pilihan’ – Muhyiddin

    PRN:’Rakyat tolak Kerajaan Perpaduan isyarat Anwar bukan PM pilihan’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan pada enam pilihan raya negeri (PRN) nanti sebagai isyarat bahawa rakyat di negara ini tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, penolakan tersebut juga sebagai suatu pungutan suara atau referendum kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar yang dianggap tidak mampu menguruskan negara.

    “Jadi kalau kita rasa kecewa kerajaan Madani di bawah Anwar Ibrahim maka jangan pangkah Anwar dan jangan pangkah Barisan Nasional (BN) tapi pangkah PN.

    “Ada kira-kira 9 juta pengundi di enam negeri. Katakanlah tujuh juta pengundi buat keputusan tak nak sokong Anwar maka Anwar sudah dapat satu isyarat bahawa rakyat Malaysia tak mahu beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Petang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Nerus hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa keputusan penolakan itu menunjukkan pengundi tidak bersetuju dengan segala perkara dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.

    “Kalau yang keluar itu nanti tak menyokong menunjukkan mereka tidak suka (kerajaan) dan jadi kita harap ia berlaku pada PRN nanti,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau menghormati keputusan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang berhenti sebagai ahli parti itu.

    “Itu tak apalah dia buat keputusan atas sebab dia sendiri dan saya tak nak ulas panjang lebar. Kita tidak ada halangan dan sekatan pada sesiapa pun.

    “Patut dia faham perjuangan kita selain bersabar. Kalau pun ada perkara tak puas hati, kita boleh selesaikan secara anak-beranak dalam parti tapi tak apalah dia sudah buat keputusan maka kita hormati keputusan dia,” ulasnya yang jua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Hari ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli parti itu berkuat kuasa pada Isnin.

    Dakwa Muhammad Faiz, objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong yang mana ia mahu menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada orang muda dan muka baharu terutama mempunyai latar belakang bersih.

  • Empat pekerja kontrak di Pangkalan TLDM Lumut rentung, kereta terbakar

    Empat pekerja kontrak di Pangkalan TLDM Lumut rentung, kereta terbakar

    EMPAT lelaki rentung selepas kereta mereka terbabas ke dalam longkang sebelum terbakar di Kilometer (KM) 220 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Manjung pukul 5.11 petang tadi.

    Dalam nahas berhampiran susur keluar Changkat Cermin itu, seorang lagi mangsa berusia 54 tahun berasal dari Ipoh cedera parah.

    Identiti keempat-empat mangsa yang maut belum dikenal pasti dan punca kejadian masih disiasat.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata berdasarkan maklumat awal, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bekerja di Lumut.

    “Kebakaran berkenaan telah memusnahkan kira-kira 95 peratus Proton Saga itu. Dalam kejadian tersebut, empat mangsa maut sementara seorang mangsa yang terselamat mengalami kecederaan parah.

    “Kesemua mereka merupakan pekerja kontrak di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa digerakkan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, dan dibantu BBP Ayer Tawar.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

    “Semua mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Pesanan Muhyiddin untuk pengundi awal esok

    Pesanan Muhyiddin untuk pengundi awal esok

    ASSALAMUALAIKUM an salam sejahtera.

    Esok 8 Ogos merupakan satu tarikh pengundian awal untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang mengadakan pilihan raya serentak iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Saya harap saudara saudari yang mengundi awal terutama penjawat awam termasuk mereka di barisan keselamatan dan petugas pilihan raya dapat membuat pilihan yang tepat.

    Jangan ragu atau gusar atau terleka, undi dengan bijak dan yakin. Gunakan kuasa di tangan anda untuk memilih calon yang paling layak untuk mewaklii kawasan anda.

    Berikan mesej yang jelas di negeri-negeri apa yang anda mahu dan impikan.

    ‘Every single vote matters in this election’.

    Undilah calon-calon Perikatan Nasional di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) anda.

    Insya-Allah usaha dengan usaha anda di peringkat negeri, negara kita Malaysia mampu beroleh kebaikan.

    ‘Do the right thing vote Perikatan Nasional’. Undilah Perikatan Nasional.

    Selamat mengundi kepada semua pengundi awal, terima kasih

  • Isu REE: Sanusi heret Saifuddin ke mahkamah kerana fitnah

    Isu REE: Sanusi heret Saifuddin ke mahkamah kerana fitnah

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

    Muhammad Sanusi yang memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos lalu turut mendakwa Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu memfitnahnya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

    Melalui pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi berkata Saifuddin menyampaikan ceramah pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, bertempat di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, pada pukul 8.30 malam, 15 Julai lalu.

    Ini bagi kempen politik Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kedah (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Dalam ceramah itu, Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya selaku Menteri Besar dan Menteri Besar Incorporated (MBI) mencuri REE di Kampung Chong, Sik yang mendapat liputan luas media.

    Beliau yang bertindak selaku plaintif berkata, kata-kata fitnah itu membawa maksud, antaranya beliau adalah seorang pencuri dan terbabit dalam kegiatan kecurian hasil bumi negeri Kedah serta mengkhianati penduduk negeri itu dengan mengaut hasil bagi tujuan kepentingan peribadi dan wang ringgit.

    Plaintif berkata, ia juga membawa maksud dirinya seorang yang korup, tidak beramanah, tidak berintegriti dan tidak boleh dipercayai serta terbabit dalam isu serta permasalahan tatakelola yang serius dalam pentadbiran negeri itu.

    Ini juga bermaksud beliau tidak mengambil peduli, tidak mengambil berat, tidak menghormati dan tidak mengendahkan peraturan serta undang-undang yang terpakai berhubung pengeluaran hasil bumi.

    Menurut Muhammad Sanusi, kata-kata fitnah yang disebarkan dan disiarkan oleh Saifuddin secara terus kepada rakyat negeri Kedah yang hadir pada Program adalah tidak benar sama sekali.

    “Kompaun RM500,000 yang dikeluarkan Pengarah Tanah dan Galian Kedah bukan atas dasar kesalahan saya mencuri unsur nadir bumi tetapi kerana MBI adalah pemegang permit penggunaan Ladang Hutan.

    “Kompaun itu dikeluarkan berikutan tindakan pihak ketiga yang melakukan aktiviti pencerobohan dan kegiatan mencuri unsur nadir bumi di Ladang Hutan berkenaan.

    “Pihak Ketiga yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan sudahpun menjelaskan kompaun terbabit, ia tidak pernah ditujukan secara khusus kepada saya,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Saifuddin juga memberi kenyataan dan menjawab persoalan kepada media selepas hadir pada program Majlis Penyerahan Zakat Wakalah Kementerian Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 14 Julai lalu.

    Dalam temuramah itu, Muhammad Sanusi mendakwa defendan (Saifuddin) mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya menyalahgunakan peruntukan MARRIS.

    Beliau menegaskan bahawa tidak pernah menyalahgunakan atau menggunakan sebarang peruntukan MARRIS bagi tujuan selain daripada yang diperuntukkan di bawah undang-undang yang terpakai sepanjang tempoh menjawat jawatan Menteri Besar.

    Menurut Muhammad Sanusi, peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan masih berada dalam simpanan tetap kerajaan negeri Kedah seperti mana dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

    Katanya, reputasi beliau sebagai seorang pemimpin politik telah tercemar dan tercalar di mata masyarakat umum dan dipandang serong oleh masyarakat dan ahli-ahli politik berikutan dua kenyataan fitnah terbabit.

    “Tindakan defendan yang membuat kenyataan fitnah terhadap saya adalah jelas dan nyata sebahagian daripada bahan kempen beliau dan serangan politik bagi memburuk-burukkan Perikatan Nasional supaya ia dapat memberikan kelebihan kepada kempen PH, BN dan PKR dalam PRN Kedah.

    “Defendan mempunyai peluang untuk berhubung secara terus dengan saya bagi mendapatkan penjelasan fakta atau melaporkan apa-apa salah laku kepada pihak berkuasa untuk siasatan, sebaliknya memilih untuk mensensasikan perkara ini dengan membuat dakwaan kepada masyarakat tanpa sebarang usul periksa dan tanpa apa-apa bukti.

    “Adalah jelas perbuatan defendan berniat jahat yang dirancang untuk memberi kelebihan kepada beliau dan parti politik beliau, tanpa sebarang niat untuk mendapatkan kebenaran dan penjelasan daripada saya mengenai fakta sebenar,” katanya.

    Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menuntut daripada Saifuddin, antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah, dan perintah injunksi kekal bagi menghalang Saifuddin daripada menerbitkan kenyataan fitnah berkenaan.

  • PRN:Rakyat beri signal ‘positif’ kepada PN, kata Ahmad Samsuri

    PRN:Rakyat beri signal ‘positif’ kepada PN, kata Ahmad Samsuri

    RAKYAT memberi signal positif terhadap Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh kempen yang memasuki hari kesembilan hari ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan itu bukan sahaja boleh dilihat di Terengganu malah turut ditonjolkan di negeri lain.

    “Situasi ini menggambarkan secara jelas bahawa PN kini berada di kedudukan selesa untuk berdepan dengan proses pilihan raya pada 12 Ogos depan.

    “Dalam dunia tanpa sempadan yang ada ini, saya memerhatikan suasana kempen dan respons rakyat, bukan sahaja di Terengganu, termasuk di beberapa negeri lain.

    “Bila kita satukan dengan apa yang berlaku di Terengganu ini, ia menunjukkan kesetaraan respons rakyat yang sangat positif di pelbagai peringkat.

    “Saya sangat berpuas hati dan itulah gerak kerja di hari-hari yang masih berbaki ini (kempen) yang mana merupakan tempoh masa penting kepada semua parti yang bertanding,” katanya.

    Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian University CollegeTATI Kampus Kota (UC TATI City Campus) di Kuala Terengganu, hari ini.

    Beliau berkata, tempoh kempen sepanjang PRN dan PRK kali ini juga dilihat lebih tenteram berbanding beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

    “Berbanding pilihan raya lalu, kali ini keadaan dilihat lebih tenteram dan kita harap sehingga Sabtu ini suasana yang aman dan tenteram dapat dikekalkan.

    “Kita juga berharap semua pihak yang bertanding dalam pilihan raya ini haruslah ada ‘self control’ atau ‘self restrain’ masing-masing supaya kita berkempen dengan cara yang baik, berhemah, elak provokasi yang tidak sihat untuk diamalkan dalam mana-mana pilihan raya,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Ahmad Samsuri bertanding atas tiket Pas bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Pada PRN kali ini, kerusi DUN Ru Rendang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di mana Ahmad Samsuri dicabar calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaimi Sulaiman.

    Pada PRU14 lalu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

    Beliau memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sarawi Sulong (729 undi).