Category: Semasa

  • Perbicaraan kes Ebit Liew tangguh kepada Mei ini

    Perbicaraan kes Ebit Liew tangguh kepada Mei ini

    MAHKAMAH Majistret Tenom, hari ini, membenarkan permohonan peguam bela meminta perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, ditangguhkan ke satu tarikh baharu.

    Majistret, Nur Asyraf Zolhani, memaklumkan perbicaraan bakal berlangsung pada 11 sehingga 12 Mei depan.

    Peguam bela, Ram Singh, ketika sesi penghujahan menyatakan permohonan itu dibuat bagi membolehkan pihaknya membuat semakan dokumen berkaitan 90 imej lucah di Mahkamah Tinggi berkaitan langkah memanggil Inspektor Yip Chang Ching sebagai saksi pendakwaan ketujuh.

    Mahkamah membenarkan Chang Ching memberi keterangan, namun menyatakan peguam bela turut mempunyai hak meminta masa munasabah bagi meneliti dokumen itu, selain memeriksa mana-mana saksi berhubung dengan dokumen itu.

    Nur Asyraf berkata, demi kepentingan keadilan bersama, mahkamah membenarkan penangguhan prosiding sehingga semakan selesai didengar dan diputuskan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, menyatakan pihak pendakwaan tiada bantahan dan bersetuju dengan cadangan mahkamah.

    Dalam prosiding sebelum ini, Zahida memaklumkan kepada mahkamah, bahawa imej yang ada di dalam pemacu kilat mengandungi imej tertuduh dan pengadu yang bersifat seksual, selain terdapat 90 imej lucah di dalamnya.

    Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021, lapor BH.

  • Peniaga mahu pinjam RM40,000 tapi rugi RM69,374

    Peniaga mahu pinjam RM40,000 tapi rugi RM69,374

    SEORANG peniaga lelaki berusia 36 tahun kerugian RM69,374 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, bulan lalu.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang berasal dari Raub berminat untuk membuat pinjaman RM40,000 melalui iklan pinjaman wang di laman sosial pada 31 Januari lalu.

    “Pinjaman terbabit bagi tujuan pembayaran kad kredit dan pengubahsuaian rumah.

    “Suspek bersetuju memberi pinjaman dan meminta mangsa untuk membuat beberapa bayaran seperti untuk proses pinjaman, insurans pinjaman dan cukai pinjaman,” katanya pada kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian membuat 10 transaksi berjumlah RM69,374.00 ke tiga akaun bank yang berbeza.

    Bagaimanapun ujar Ramli, mangsa akhirnya menyedari diperdaya sebelum membuat laporan polis.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Kita menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud,” katanya, lapor Harian Metro.

    Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.

  • Bersatu Terengganu lapor SPRM dakwaan PH, BN belanja mewah semasa PRU-15

    Bersatu Terengganu lapor SPRM dakwaan PH, BN belanja mewah semasa PRU-15

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan perbelanjaan mewah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohd. Shafie berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan kenyataan penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin dalam satu kandungan video bertajuk ‘PRU15: BN belanja RM6 juta dan PH belanja RM10 juta satu kerusi Parlimen’, baru-baru ini.

    “Berdasarkan kandungan video tersebut, Raja Petra mendakwa BN telah membelanjakan RM1.074 bilion bagi 179 kerusi Parlimen manakala PH membelanjakan RM2.2 bilion bagi 220 kerusi Parlimen semasa PRU15.

    “Jumlah yang dinyatakan itu terlalu besar bagi mana-mana parti politik di Malaysia sehingga menimbulkan keraguan pelbagai pihak dari mana sumber dana diperolehi,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di pejabat SPRM Terengganu, hari ini.

    Badrolhisham memberitahu, tujuan aduan itu dibuat agar pihak SPRM membuat siasatan dengan telus dan amanah terhadap dakwaan Raja Petra mengenai perbelanjaan mewah PH dan BN termasuk penggunaan helikopter semasa PRU15 dan dari mana sumber tersebut diperoleh.

    Tambahnya, siasatan juga perlu dilakukan terhadap sumber pendapatan sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya, Nurul Izzah sehingga mereka boleh hidup mewah tanpa mengambil gaji.

    “Badan Pimpinan Bersatu Terengganu hari ini membuat laporan SPRM agar siasatan dapat dilakukan terhadap parti tersebut (PH dan BN) termasuk Ahli Parlimen, ejen pilihan raya atau mana-mana orang lain bagi pihak parti berkenaan.

    “Siasatan juga perlu melibatkan struktur organisasi parti, sama ada berlakunya transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau rasuah semasa tempoh PRU15,” ujarnya lapor Utusan Malaysia.

  • Terus pandu lori remuk ke hospital selepas kemalangan untuk rawatan

    Terus pandu lori remuk ke hospital selepas kemalangan untuk rawatan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TANPA membuat sebarang panggilan kecemasan, seorang pemandu lori bertindak segera memandu lorinya yang remuk, terus ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra di Kedah setelah kenderaan tersebut terlibat dalam kemalangan kelmarin.

    Tindakannya itu dipercayai dibuat bagi memastikan kelindannya yang tersepit di kerusi penumpang, segera diberikan rawatan.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo, pihak hospital langsung tidak menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sebelum lori tersebut tiba-tiba muncul dan berhenti di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra kira-kira pukul 4 petang.

    “Sebaik lori itu berhenti di depan unit tersebut, petugas hospital terus memberi bantuan. Pemandunya hanya cedera ringan namun kelindannya tersepit di tempat duduk penumpang.

    “Begitu pun kelindan lori tersebut berjaya dikeluarkan. Dia kemudiannya dibawa ke zon merah untuk dirawat,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

    Ketibaan lori tersebut dalam keadaan remuk ke hospital menarik perhatian ramai apabila klip video mengenainya tular di media sosial.

    Difahamkan lori berkenaan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah mesin padi di Jalan Sunngai Korok, Jitra.

    Othman menambah, kelindan lori itu didapati mengalami kecederaan di bahagian abdomen dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

    “Pemandu lori itu pula turut diberi rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

  • Penyelia syarikat keselamatan didakwa edar heroin

    Penyelia syarikat keselamatan didakwa edar heroin

    SEORANG penyelia di sebuah syarikat keselamatan berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 1.4 kilogram awal Februari ini.

    Mohd. Amali Masturo,36, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Sinar Harian melaporkan, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan tertuduh.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dikatakan mengedar dadah jenis heroin yang mengandungi berat kasar 1,424.45 gram.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan TU 60, Taman Tasik Utama berhadapan Pangsapuri Sri Utama, Ayer Keroh di Melaka, pada pukul 9 malam, 2 Februari lalu.

    Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes.

    Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

  • Penganggur berdepan tuduhan bunuh warga emas

    Penganggur berdepan tuduhan bunuh warga emas

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki yang tidak bekerja didakwa di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas pada Oktober tahun lalu.

    Tertuduh, Shariefuddin Arshad, 57, mengaku faham setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret B. Sri Pracha Nanthini.

    Dia dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian Fatimah Saleh, 79, di sebuah rumah yang beralamat di Kampung Durian Burung, Kulim antara 9 pagi hingga 10.30 pagi, 4 Oktober lalu.

    Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan dia boleh dihukum mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Arthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 12 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes.

    Pada 5 Oktober lalu, polis menerima laporan daripada waris mangsa yang mengesyaki kematian warga emas itu disebabkan perbuatan jenayah susulan kehilangan gelang emas, dua bentuk cincin dan telefon bimbit mangsa.

    Sehari kemudian, kubur mangsa yang terdahulu ditemukan meninggal dunia dalam rumahnya terpaksa digali semula.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, suspek ditangkap di Serdang, Kulim setelah laporan Jabatan Kimia mengesahkan satu profil asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki dikesan di tempat kejadian.

  • Bekas pemandu teksi rogol pelancong kekal dipenjara 20 tahun

    Bekas pemandu teksi rogol pelancong kekal dipenjara 20 tahun

    MAHKAMAH Rayuan hari ini memutuskan seorang bekas pemandu teksi kekal dipenjara 20 tahun dan disebat 16 kali atas dua pertuduhan kerana mengugut serta merogol seorang pelancong wanita warga Indonesia di sebuah hotel.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Ahmad Nafsy Yasin, membuat keputusan itu secara sebulat suara terhadap tertuduh, Abdul Ghani Abdul Karim.

    Kamaludin berkata, ia selepas pihaknya mendapati Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah mempertimbangkan semua fakta masing-masing ketika menjatuhkan serta mengekalkan hukuman berkenaan.

    “Dua sabitan pertuduhan itu selamat dan berkaitan hukuman, tiada sebab untuk mengganggu dapatan mahkamah terbabit yang mempertimbangkan segala fakta.

    “Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan untuk kedua-dua pertuduhan,” katanya.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Abdul Ghani, 48, pada 23 Julai 2020, manakala Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman pada 20 Mei 2021.

    Mengikut pertuduhan, Abdul Ghani, merogol wanita warga Indonesia, 34, dan mengugut mangsa hendak menyebabkan kematian dengan menggunakan pemutar skru di bilik sebuah hotel di Taman Seputeh, Kuala Lumpur, antara pukul 1.30 hingga 2 pagi, 24 Disember 2018.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) dan 506 Kanun Keseksaan (KK).

    Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili Abdul Ghani, Muhamad Izwan Ishak, memohon Mahkamah Rayuan mempertimbangkan dua isu utama berhubung hukuman terbabit.

    Yang pertama, keterangan bercanggah oleh saksi pendakwaan pertama yang juga pekerja hotel dan mangsa sebagai saksi pendakwaan kedua berhubung kejadian rogol.

    “Saksi pendakwaan pertama kata jika ada jeritan dalam bilik, dia atau penyelia hotel boleh dengar. Bila saksi pendakwaan kedua menjerit untuk hentikan perbuatan rogol, saksi pendakwaan pertama langsung tak dengarnya.

    “Isu kedua pula pada peringkat pembelaan, ada dikemukakan tangkap layar perbualan (pada telefon) antara perayu (Abdul Ghani) dan abangnya.

    “Ketika kejadian itu, perayu sedang menjaga ibu bapa yang sakit. Abang perayu ada bertanyakan mengenai keadaan ibu bapa, selain pergi ke rumah mereka pada masa itu,” katanya.

    Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal, menafikan berlaku percanggahan antara kedua-dua saksi pendakwaan berkenaan.

    Katanya, mangsa memaklumkan dalam keadaan lemah menyebabkannya tidak berdaya untuk menjerit ketika kejadian rogol itu.

    “Kalau nada suara menjadi lebih keras, mangsa kata akan dipukul oleh tertuduh. Bagi alibi berada di rumah ibu bapa, tertuduh tidak menidakkan berada di tempat kejadian kepada pegawai penyiasat.

    “Sabitan pertuduhan adalah selamat terhadap perayu yang juga pesalah berulang bagi jenayah rogol dan Mahkamah Sesyen sudah mengambil kira keterangan saksi sebelum membuat penghakiman,” katanya lapor BH.

  • Ketua Pas Perak mohon maaf kepada Anwar berhubung dakwaan LGBT

    Ketua Pas Perak mohon maaf kepada Anwar berhubung dakwaan LGBT

    KETUA Pas Perak Razman Zakaria memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kerana mendakwa Anwar membenarkan amalan LGBT, dalam ceramah pada kempen pilihan raya tahun lepas.

    Permohonan maafnya dibuat di Mahkamah Tinggi di Taiping sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.

    Peguam Anwar, SN Nair berkata, anak guamnya bersetuju dengan penyelesaian itu sebagai tanda muhibah dan membiarkan perkara itu selesai ‘demi kepentingan semua pihak’.

    “Apabila seorang individu menyesal (atas perbuatannya) dan memohon maaf dengan suci hati, seorang pemimpin yang baik budinya akan menerima permohonan maaf itu dan menarik balik saman,” kata Nair sambil menambah ,penyelesaian itu telah menyangkal tuduhan terhadap Anwar.

    Saman itu difailkan pada 5 Disember berhubung dakwaan Razman bahawa Anwar berkata dalam ucapan kempennya beliau akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis, jika menjadi Perdana Menteri.

    Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), bertanding sebagai Ahli Parlimen Tambun pada PRU-15 November tahun lepas.

    Beliau menang dengan majoriti 3,736 undi, mengalahkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu dan dua calon lain. Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November.

    Razman ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN )Gunong Semanggol dan ketua pembangkang di Perak.

    Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping itu, Anwar menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya.

    Menurut pernyataan tuntutan, dakwaan Razman membayangkan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, juga seorang penipu, pengkhianat, munafik dan bukan orang Islam yang baik, lapor FMT.

  • Khairy mula tugas sebagai DJ Hot FM minggu depan

    Khairy mula tugas sebagai DJ Hot FM minggu depan

    MEDIA Prima Audio (MPA) hari ini mengesahkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM Rabu depan.

    MPA dalam satu kenyataan berkata, Khairy akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio popular itu, mulai 15 Februari ini.

    Menurut laporan Berita Harian, Khairy mengesahkan akan menyertai Hot FM dalam temu bual menerusi telefon di segmen Bekpes Hot.

    Kenyataan MPA menyebut minggu lalu tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram berhubung jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

    Tambah MPA, selaras dengan ‘tagline’ stesen radio Hot FM iaitu ‘Yang Hangat dan Terbaik’, pihaknya berharap kehadiran Khairy bersama tonggak utama Bekpes Hot dapat memberikan suntikan baru kepada stesen radio itu.

    Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata peluang menawarkan Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.

    “Khairy atau KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia.

    “Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.

    “Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar,” katanya.

    Khairy sebelum ini berkhidmat selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Rembau sebelum tewas dalam pilihan raya umum lalu kepada R. Ramanan dari PKR dalam persaingan merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh.

    Selain menerajui Kementerian Kesihatan, beliau juga pernah menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta menteri Belia dan Sukan.

  • Padah komen berbaur perkauman, wakil hoki negara digantung

    Padah komen berbaur perkauman, wakil hoki negara digantung

    TERLAJAK kata buruk padahnya, Hanis Nadiah Onn digantung daripada mewakili pasukan hoki negara ke susulan komennya yang didapati berbaur perkauman.

    Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan berkata, Hanis Nadiah merosakkan imej pasukan dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), yang jelas melanggar kod etika badan itu.

    “Sehubungan itu, jawatankuasa siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023.

    “Pihak KHM  akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

    Menurut kementerian, jawatankuasa siasatan juga berharap tindakan itu menjadi pengajaran kepada Hanis serta semua atlet untuk sentiasa berhati-hati dengan status mereka di media sosial.

    Penggantungan Habis itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 7 Februari 2023.

    Hanis Nadiah Onn didakwa menulis komen berbaur perkauman di Instragram berkenaan konsert artis dan penggubah lagu India, AR Rahman pada 28 Januari. 

    Jawatankuasa siasatan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHMS ubahan Kamal.

    Hanis dipanggil untuk sesi temu bual bagi membantu siasatan.

    Dalam sesi berkenaan, menurut kementerian, Hanis mengaku memuat naik komen “bau best la kat dalam tu” serta emoji ketawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video konsert itu.

    “Hanis menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuat naik ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton. 

    “Beliau hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur oleh netizen. 

    “Ekoran daripada teguran itu, Hanis telah memadam komen beliau pada pagi 29 Januari 2023 dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan itu,” menurut kementerian, lapor MalaysiaKini.

    Bagaimanapun, menurut kementerian, Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran komennya dan menegaskan bahawa dia bukan ‘racist’ dan membesar dalam masyarakat majmuk serta memiliki ramai rakan India.

    Setelah menilai penjelasan itu, jawatankuasa siasatan bagaimanapun mendapati komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India dan dia justeru didapati bersalah.