Category: Semasa

  • SPRM siasat dakwaan seleweng RM157 juta UiTM Holdings

    SPRM siasat dakwaan seleweng RM157 juta UiTM Holdings

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings Sdn Bhd.

    Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tumpuan dan fokus siasatan adalah terhadap kes-kes yang disyaki melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

    “Isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang dikatakan tersebut dan sekiranya berlakunya rasuah dan penyelewengan maka ianya tidak akan terlepas dari siasatan SPRM.

    “Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan melibatkan perbuatan jenayah. Ianya juga melibatkan isu tatakelola dan pengurusan yang lemah.

    “Jika kita lihat ianya berkaitan jenayah khususnya rasuah maka kertas siasatan akan dibuka,” katanya mengulas dakwaan berhubung ketirisan yang berlaku di UiTM Holdings, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings Sdn Bhd diserahkan kepada SPRM.

    Laporan akhbar bertajuk ‘UiTM Holdings rugi RM157 juta’, yang disiarkan media tempatan itu mendakwa jumlah kerugian itu berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.

  • Enam lelaki ditahan kes sindiket agih kuota tiket umrah

    Enam lelaki ditahan kes sindiket agih kuota tiket umrah

    SERAMAI enam lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen.

    Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Keenam-enam suspek berusia antara 34 hingga 55 tahun itu merupakan pengarah dan kakitangan syarikat pelancongan bagi enam syarikat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

    Mereka yang hadir di mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren, ditahan sehingga Isnin depan, lapor Sinar Harian.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

    Baru-baru ini, timbul isu kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana telah dimonopoli sindiket, membabitkan kuota tiket dan penjualannya dengan kadar lebih tinggi.

    Mengikut sumber, modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket.

    Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan bahawa dijangka lebih ramai individu akan ditangkap bagi membantu siasatan.

  • Boleh guna paparan digital bagi LMM,LKM mulai hari ini

    Boleh guna paparan digital bagi LMM,LKM mulai hari ini

    BERMULA hari ini, pemilik kenderaan persendirian warganegara tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing, tetapi boleh menggunakan mod paparan digital iaitu Lesen Kenderaan Motor digital (e-LKM).

    Selain itu, Lesen Memandu Malaysia (LMM) digital (e-LMM) juga boleh digunakan dalam bentuk mod paparan digital mulai hari ini.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media hari ini berkata pelaksanaan e-LKM dan e-LMM itu ialah langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) fasa pertama.

    “Perkara ini dilaksanakan secara berperingkat dengan bermulanya fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal warganegara mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaan tersebut sebelum peluasan ke fasa seterusnya,” katanya.

    Mod paparan e-LKM dan e-LMM itu boleh dimuat turun melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis secara in-house.

    Selaras dengan inisiatif itu, Loke berkata peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu ‘setiap LKM hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan yang berkenaan’ tidak lagi akan dikuatkuasakan bagi kategori pemilik di bawah fasa pertama.

    Loke berkata penguatkuasaan yang dilakukan JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan selari serta memberi jaminan penguatkuasaan tidak lagi menyaman pihak yang dibenarkan untuk tidak memaparkan pelekat LKM pada cermin depan kenderaan.

    “Sekiranya pemilik disaman kerana tidak memaparkan LKM, boleh menghantar kepada Kementerian Pengangkutan untuk ‘no further action’ (tiada tindakan lanjut) kerana pengecualian itu akan diwartakan dalam masa dua minggu lagi,” katanya.

    Loke berkata orang ramai tidak perlu panik kerana pemaparan secara digital belum diwajibkan dan pemilik diberi pilihan kerana pelaksanaan advokasi dilakukan dalam tempoh setahun untuk rakyat menyesuaikan diri dengan sistem digital itu serta mengambil kira kekangan pemilik di kawasan pedalaman khusus di Sabah dan Sarawak.

    Dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama, kategori pemilik atau pemegang lesen kenderaan yang masih wajib mempamerkan LKM ialah persendirian syarikat, kenderaan pemilikan warga asing dan kenderaan perdagangan meliputi kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam.

    Kad LMM pula ialah pemegang lesen belajar memandu (LDL), pemegang lesen vokasional (PSV/GDL/KON), pemegang lesen memandu bagi warganegara asing dan pemegang lesen memandu negara luar oleh pemandu warga asing (IDP).

    Loke berkata langkah pendigitalan itu mampu mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ sehingga 80 peratus, yang setiap bulan secara purata sebanyak 1.5 juta kenderaan perlu memperbaharui LKM.

    Beliau berkata langkah digitalisasi JPJ fasa pertama itu juga boleh membawa penjimatan sebanyak RM96 juta setahun dari segi kos pelekat dan kad.

    “Rakyat juga dapat penjimatan dari segi masa dan tidak perlu bayar pihak ketiga untuk penghantaran pelekat (fizikal),” katanya.

  • Anggota tentera didakwa rogol anak saudara

    Anggota tentera didakwa rogol anak saudara

    SEORANG anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Melaka hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, dua tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Taman Semabok Jaya, di Melaka kira-kira pukul 12 tengah hari, 29 Disember 2021.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima 10 tahun dan maksima 30 tahun serta sebatan.

    Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan cara mencium mulut dan meraba anggota sulit kanak-kanak itu.

    Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11 malam, 28 Disember 2021 lalu di lokasi sama.

    Justeru, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

    Bagaimanapun hujahnya, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa mahupun saksi pendakwaan.

    Ini kerana, ujarnya, tertuduh merupakan adik ipar kepada ibu mangsa dan sewaktu kejadian mangsa di hantar ke rumah tertuduh untuk dijaga oleh isterinya sepanjang tempoh persekolahan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan rendah dan menangung isteri serta dua anaknya yang berusia 11 dan 14 tahun.

    Mohd. Sabri pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah turut menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia menurut Astro Awani.

  • Datuk Seri mengaku tidak bersalah guna invois palsu

    Datuk Seri mengaku tidak bersalah guna invois palsu

    SEORANG pengarah syarikat perumahan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas satu pertuduhan menggunakan invois palsu, tiga tahun lalu.

    Chin Kok Foong, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nadia Othman.

    Mengikut pertuduhan, dia dituduh menggunakan suatu dokumen yang diketahui palsu iaitu invois bertarikh 28 September 2019 dan 5 Mei 2020 milik sebuah syarikat, pada awal Oktober 2020 di Jalan Stesen Sentral 2, di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan P. Nom Phot tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan merayu agar diberikan ikat jamin pada kadar yang rendah.

    “Dia perlu menjaga bapa, isteri dan dua anak berusia 14 dan 15 tahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nadia membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes.

  • Lima rakyat Malaysia diselamatkan di Myanmar,dijangka pulang Rabu

    Lima rakyat Malaysia diselamatkan di Myanmar,dijangka pulang Rabu

    LIMA pencari kerja rakyat Malaysia, yang mendakwa telah diperdayakan untuk ke Myanmar dan dipaksa bekerja dalam sindiket penipuan siber, telah diselamatkan dan kini berada di Bangkok untuk dibawa pulang.

    Bertindak atas maklumat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang, pihak lain dan sepasukan Tentera Thai telah ke KK Gardens di Myawaddy, Myanmar pada 3 Feb, serta menyelamatkan Adam Iskandar Tukiman, 20, Akmar Hamsan, 19, Kamil Abd Hamid, 25, Nur Fitriani Abdullah, 19, dan Lee Zhi Cong telah ditahan di situ.

    Mereka dijangka tiba di Malaysia selewat-lewatnya pada 15 Feb, selepas menjalani proses dokumentasi dan prosedur yang diperlukan. Seorang lagi rakyat Malaysia, yang namanya dirahsiakan demi keselamatan, masih belum dapat diselamatkan.

    Dia sepatutnya melarikan diri pada Selasa tetapi gagal sampai di titik pertemuan yang diaturkan di seberang sungai, di mana pihak berkuasa Thai sedang menunggu.

    Sim, yang selama ini memainkan peranan penting dalam memastikan pembebasan 91 rakyat Malaysia di Kemboja dan Thailand, berkata lelaki berusia 33 tahun itu telah dipaksa bekerja untuk sindiket penipuan yang berpangkalan di KK Garden, sebuah kawasan luas yang menempatkan beberapa syarikat. Ia terletak di sepanjang Sungai Moei di bandar sempadan Thailand, Mae Sot.

    “Difahamkan dia sudah lebih setahun berada di sini, tapi dia didera dengan teruk dan dipukul sampai dua tulangnya patah. Kerana kecederaan tulangnya itu, mungkin alami kesakitan, sehingga tidak boleh menyeberang sungai itu. Kita haraplah dia dapat diselamatkan dalam tempoh dua tiga hari ini. Mereka (Tentera Thai) sedang usaha (mencari) lokasi dia,” katanya.

    Sim yang berada di Thailand bagi membantu proses penghantaran pulang mangsa dari Myanmar, berkata ini akan menjadi perjalanan terakhirnya bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa perdagangan manusia.

    Ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di Bangkok, Wong, yang juga dikenali sebagai Muhammad Shaifuddin Lai Abdullah, telah banyak membantunya memberikan maklumat dan sokongan.

    Sehingga 27 Jan, Polis Diraja Malaysia telah menerima 262 laporan mengenai 336 rakyat Malaysia yang terjebak dalam penipuan pekerjaan dan kini ditahan di Kemboja, Laos dan Myanmar.

    Bagaimanapun, Sim berkata jumlah itu mungkin dianggap sedikit, namun mangsa yang diselamatkannya melaporkan terdapat lebih 1,000 rakyat Malaysia masih ditahan di KK Garden.

    Beliau juga berkata kebanyakan mangsa penipuan dari Malaysia cenderung terdiri daripada kaum Cina, tetapi kini tumpuan telah beralih untuk merekrut orang Melayu dan India pula. Menurut laporan, kebanyakan pusat itu dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan Cina.

    Seperti mangsa-mangsa lain sebelum mereka, Adam dan rakan-rakannya, yang menamatkan pendidikan peringkat sekolah menengah, berkata mereka direkrut untuk bekerja di sebuah hotel di Singapura atau Bangkok, Thailand dengan bayaran AS$1,100 sebulan (MYR4,735), namun malangnya telah diseludup masuk ke Myanmar.

    “Masa tu kebetulan mak tak sihat, jadi nak cuba cari kerja yang gaji besar sikitlah,” katanya ketika ditanya mengapa dia bersetuju mengikut rakannya itu.

    Bapanya mengambil upah sebagai seorang pemotong rumput, manakala ibunya yang buta, seorang suri rumah. Beliau merupakan anak keenam daripada 11 beradik.

    Adam berkata mereka perlu bekerja dari 8 pagi hingga tengah malam menggalakkan orang ramai di Facebook untuk mengklik pautan berniat jahat dan akan dihukum serta kadangkala dipukul, jika mereka gagal memenuhi kuota yang ditetapkan.

    Mangsa berkata mereka menerima layanan buruk selain terpaksa berdepan kebuluran dan penyeksaan di bawah pengawasan seorang penyelia di pusat penipuan itu.

    Seorang daripada mangsa, Goi Zhan Feng, seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 23 tahun yang telah terperdaya ke Bangkok melalui penipuan sindiket ‘love scam’ dan akhirnya dibawa ke Myanmar pada Januari 2022, di mana dia dipukul dan meninggal dunia akibat kecederaan parah, selepas empat bulan kemudian.

    Walaupun kebanyakan kes membabitkan rakyat Malaysia dan pemerdagangan dilihat berlaku di Kemboja, namun Myanmar semakin popular sebagai hab aktiviti haram, kesan daripada penularan COVID-19 dan ketidakstabilan politik di Myanmar.

    Sim berkata lebih ramai rakyat Malaysia akan terjebak dengan penipuan pekerjaan dan sindiket ‘love scam’ dan akan diperdagangkan ke negara lain melainkan, sesuatu tindakan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran.

    “Harap anak-anak Malaysia sedar. Jangan terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan dan cinta,” tambahnya.

  • Pelajar OKU lemas mandi sungai bersama 5 rakan

    Pelajar OKU lemas mandi sungai bersama 5 rakan

    SEORANG pelajar orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kombat, Felda Perasu di Gua Musang, semalam.

    Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, yang lembam dalam pembelajaran itu dipercayai hanyut dan tenggelam dibawa arus sungai berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ke sungai tersebut bersama lima rakan yang juga merupakan jirannya.

    Semasa sedang mandi katanya, mangsa dan seorang lagi rakannya dikenali sebagai Amir telah dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam.

    “Menyedari keduanya hampir lemas, rakan-rakannya telah berusaha menyelamatkan mereka. Bagaimanapun, Amir berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke tebing sungai.

    “Selepas itu mereka cuba menyelamatkan Muhammad Fakhrul Imam menggunakan sebatang kayu tetapi malangnya ia patah dan hanyut serta tenggelam dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Choon Foo berkata, rakan-rakan mangsa kemudian bertindak melaungkan azan dan tidak lama kemudian Muhammad Fakrul Imam telah timbul.

    “Mangsa dibawa ke tebing sungai dan telah dibantu dengan melakukan bantuan pernafasan. Tetapi didapati mangsa tidak memberi sebarang tidak balas.

    “Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tujuan bedah siasat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan jangan campur tangan kes SPRM, terus fokus isu rakyat

    Kerajaan jangan campur tangan kes SPRM, terus fokus isu rakyat

    KERAJAAN diingatkan supaya tidak mencampuri urusan dalam proses penyiasatan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), kata Aktivis media sosial, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

    Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu terus fokus dalam menangani isu permasalahan rakyat.

    “Rakyat kini sedang menilai prestasi kerajaan hari ini dengan janji yang ditawarkan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

    “Jika terdapat salah laku maka pendakwaan akan dibuat dimana rakyat akan menilai sendiri keputusannya. Jangan kita berteki-teki dan membuat andaian berkaitan penyiasatan SPRM, sekejap rasuah RM600 billion selepas itu turun kepada RM92.5 bilion, selepas itu RM5 billion dan sekarang dikatakan RM300 juta selepas ini berapa lagi diskaun. Rakyat tidak mahu dengar andaian-andaian dan teka-teki ini semua.

    “Bab ini kita serahkan kepada kepakaran pegawai penyiasat SPRM yang terlatih untuk membuat penyiasatan, jangan kita mendahului penyiasatan. Kita tidak mahu perkara lama berulang sebagai contoh Low Taek Jho atau Jho Low yang sempat melarikan diri ke luar Negara dan sukar dikesan serta di ekstradisi semula ke Malaysia.

    “Hal berkaitan permasalahan rakyat harus diutamakan khususnya melibatkan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan peluang pekerjaan. Banyak janji yang telah ditawarkan sepanjang tempoh berkempen PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya lagi, pencapaian kerajaan dalam mengurus tadbir dan merangka dasar serta polisi demi kepentingan rakyat adalah perkara yang perlu diambil kira oleh kepimpinan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Malah, kerajaan juga perlu memberi fokus terhadap bajet pada 24 Februari ini dengan meletakkan fokus terhadap golongan muda serta B40 yang benar-benar mengharapkan usaha dan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada mereka.

    “Bajet akan dibentangkan pada 24 Februari 2023 ini di Dewan Rakyat, bayangkan bajet itu sendiri rakyat tidak nampak. Apakah manfaat kepada rakyat khususnya golongan belia dan B40 yang sangat terkesan sekarang ini. Adakah rakyat diberi peluang untuk memberi komen dan pandangan terhadap bajet yang akan dibentangkan dua minggu lagi.

    “Menteri yang dilantik sekarang perlu memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap kementerian dibawah mereka dan kurangkan berpolitik. Jika mereka tidak memberi tumpuan ke atas kerja mereka sudah tentu pelbagai masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan dan rakyat akan terus menderita,” ujarnya lagi, lapor Utusan Malaysia.

  • SWASLA bantu Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup ganja dari Thailand

    SWASLA bantu Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup ganja dari Thailand

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SISTEM teknologi digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya membantu badan penguatkuasa tersebut mematahkan cubaan menyeludup ganja dari negara jiran pada kedudukan 2.9 batu nautika, barat laut Pulau Dangli di Langkawi, malam tadi.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kira-kira pukul 10.25 malam tadi, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang memasuki perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap.

    “Sebuah got peronda yang sedang melaksanakan Op Aman digerakkan ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber tersebut.

    “Menedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia itu, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut berpatah balik menuju ke negara jiran itu,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan dijalankan terhadap bungkusan guni berkenaan menemukan sembilan ketul ganja mampat diletakkan dalam balutan plastik berwarna emas.

    “Dianggarkan kesemua ketulan ganja itu seberat sembilan kilogram bernilai RM45,000.

    “Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut di Langkawi sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.

    Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.

    “Sebarang aduan dan maklumat serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Doktor Hospital Kemaman ditahan cabul pesakit kanak-kanak perempuan

    Doktor Hospital Kemaman ditahan cabul pesakit kanak-kanak perempuan

    SEORANG doktor perubatan di Hospital Kemaman ditahan polis Terengganu semalam selepas dipercayai mencabul seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Wad Kanak-Kanak di hospital tersebut.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata doktor lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 1.50 tengah hari semalam, selepas pihak polis menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada malam kelmarin.

    “Mangsa memaklumkan bahawa suspek merupakan seorang doktor yang merawatnya, telah membuka baju dan meraba dada serta merakam gambar-gambar mangsa melalui telefon bimbit milik suspek.

    “Kejadian berlaku di bilik rawatan wad tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rohaimi berkata telefon bimbit milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.

    Katanya pihak polis percaya terdapat ramai lagi mangsa kanak-kanak perempuan, berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.

    “Siasatan lanjut akan dijalankan dan rakaman percakapan saksi lain akan diambil sebagai keterangan di dalam kes ini,” katanya.

    Katanya suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.