Category: Semasa

  • “Kerajaan tiada rancangan selesai isu kos sara hidup..nasihat jangan makan ayam bukan penyelesaian” – Tun M

    “Kerajaan tiada rancangan selesai isu kos sara hidup..nasihat jangan makan ayam bukan penyelesaian” – Tun M

    MASALAH kos sara hidup yang tinggi masih berlaku dan kerajaan kini tidak mempunyai rancangan penyelesaian yang kukuh bagaimana mengatasi isu tersebut, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Ketika ditanya prestasi ekonomi Malaysia, bekas Perdana Menteri itu menyatakan kerajaan sebenarnya masih belum selesaikan isu kos sara hidup membabitkan rakyat.

    “Masih belum diatasi pun, tiada rancangan macam mana nak kurangkan ‘cost of living’ selain dari kata kalau ayam mahal jangan makan ayam.

    “Yang itu bukan penyelesaian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Usahawan Bumiputera, ‘Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

    Dr. Mahathir juga berpendapat punca kos sara hidup di Malaysia masih meningkat saban tahun disebabkan wujudnya elemen rasuah dalam setiap urusan membabitkan kerajaan, memetik laporan Astro Awani.

    Menurutnya, apabila setiap urusan diselitkan elemen rasuah, ia menyebabkan harga barang menjadi semakin mahal.

    “Perkara yang utama adalah rasuah. Kos naik kerana rasuah.

    “Banyak benda-benda yang harganya murah tapi bila dicampur dengan rasuah, harganya meningkat, menyebabkan kos sara hidup meningkat.

    “Ada juga perkara-perkara lain tapi rasuah di antara yang menyebabkan ‘cost of living’ tidak dapat diturunkan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu meramal Malaysia mampu mengharungi kelembapan ekonomi dunia tahun ini.

    Menurutnya, beliau percaya Malaysia akan terselamat kerana ada barangan tempatan mendapat pasaran begitu tinggi di luar negara seperti industri sarung tangan dan komponen pembuatan.

    “Pasaran eksport kita memang berjaya tetapi keadaan dalam negara iaitu kos sara hidup masih tinggi dan tidak menunjukkan tanda-tanda pulih.

    “Secara dasarnya, golongan tertentu termasuk miskin masih tidak mendapat makanan mencukupi, tiada kerja dan tidak boleh menerima ekonomi kita tumbuh dengan pesat,” katanya lagi.

  • Publisiti murahan Ramasamy menyusahkan PH, mahu jadi hero

    Publisiti murahan Ramasamy menyusahkan PH, mahu jadi hero

    AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan menyifatkan gesaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy sebagai publisiti murahan serta menyusahkan Pakatan Harapan (PH).

    Gesaan Ramasamy agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam didakwa didominasi orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga bertentangan dengan dasar Malaysia Madani.

    Ramasamy dakwanya, sekali lagi ‘mencari pasal’ dan cuba menjadi hero kaumnya dengan publisiti murahan dan tindakan sebegini sudah tentu menyusahkan Pakatan Harapan.

    “Kenyataan sebegini juga bertentangan dengan dasar Malaysia Madani yang sedang dipelopori oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu sabotaj kepada beliau.

    “Bagi saya, ia tidak wajar keluar daripada rakyat negara ini jika mereka mahu menjaga keharmonian antara kaum,” kata Mohd Sany dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Ramasamy dilaporkan berkata, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

    Ini kerana dakwanya, hujah berkenaan digunakan Dr. Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

    Dalam pada itu, Mohd. Sany turut yakin DAP juga tertekan dengan kenyataan dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu dan perlu mengambil tindakan tegas terhadap Ramasamy.

    “Saya yakin DAP tertekan dengan kenyataan semacam ini dan perlu berbuat sesuatu kerana ini bukan kenyataan pertama daripada beliau yang menyusahkan DAP sendiri.

    “Tindakan paling sesuai bagi saya adalah memecat beliau daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana saya yakin ramai lagi pemimpin yang lebih berwibawa untuk jawatan itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Tiada cadangan mansuh subsidi petrol, diesel

    Tiada cadangan mansuh subsidi petrol, diesel

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIADA cadangan bagi pemansuhan subsidi petrol dan diesel dalam pembentangan Bajet 2023 akan datang.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan masih mengekalkan pelaksanaan subsidi bahan bakar berkenaan demi kepentingan rakyat.

    “Subsidi berkenaan akan dikekalkan sehinggalah kerajaan membuat suatu keputusan misalnya kemungkinan bagi melaksanakan subsidi bersasar.

    “Kerajaan bersedia bersedia menerima apa saja pandangan bebas (pakar ekonomi). Setakat saya hadir mesyuarat kabinet pada Rabu lalu, tiada sebarang perubahan diperbincangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Johor di Kipmall, Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han.

    Semalam, media melaporkan pakar ekonomi menjangkakan Kerajaan Perpaduan akan mengumumkan pemansuhan subsidi petrol dan diesel dalam pembentangan bajet akan datang.

    Kerajaan dijangkakan akan menggantikannya dengan sistem bantuan kepada mereka yang memerlukan.

  • Selesai kos sara hidup, bukan tak perlu tampal ‘roadtax’: Muhyiddin

    Selesai kos sara hidup, bukan tak perlu tampal ‘roadtax’: Muhyiddin

    KERAJAAN Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sepatutnya menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat dan peningkatan harga barangan yang membebankan sekarang ini, bukannya membuat keputusan orang ramai tidak perlu menampal cukai jalan kenderaan di cermin.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan rakyat sekarang ini tertekan dengan pelbagai isu kos sara hidup serta inflasi yang melambung tinggi, selepas menghadapi pandemik Covid-19.

    “Menyelesaikan masalah-masalah kehidupan rakyat yang saat ini masih lagi terkesan dalam satu jangka waktu yang agak panjang, malahan rakyat pada hari ini masih lagi terbeban dengan pelbagai isu-isu… kos sara hidup yang meningkat dan melambung tinggi, inflasi, harga barang yang tak turun-turun.

    “Minyak yang kata dah diumum untuk turun harga, sampai hari ini tak turun-turun. Ini fakta yang kita hadapi pada hari ini. Ada perkara-perkara yang sewajarnya kerajaan boleh terus cepat dan ianya tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

    “(Tapi) untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan yang sudah dibentuk ini berupaya dan mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat… kita tak payah tampal roadtax pada cermin kenderaan. Orang fikir dah tak payah bayar,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin di Putrajaya, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, rakyat mengharapkan apabila sesebuah kerajaan terbentuk maka fokus paling utama ialah menyelesaikan masalah kehidupan mereka.

    Katanya, ada perkara-perkara yang sewajarnya kerajaan boleh terus lakukan dengan cepat untuk menyelesaikan masalah rakyat yang tidak akan melibatkan tambahan perbelanjaan kerejaan.

    Beliau memberi contoh pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana dilakukan kerajaan PN sebelum ini, yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan kerana wang itu adalah simpanan pekerja.

    “Saya percaya pada waktu itu pengeluran KWSP telah mengurangkan bebanan rakyat. Dan tidak menyebabkan kos kepada kerajaan.

    “(Ada yang kata) dah tua mana duit nak dapat? Betul… Tetapi itu soalan kedua. Kalau hari ni kerajaan tak buat begini dan rakyat masih menderita,” katanya, memetik laporan Agenda Daily.

    Menurutnya, pemberian moratorium juga perlu dilakukan bagi membantu orang ramai, khusus perusahaan mikro kecil dan sederhana (SME) yang kini berdepan masalah sedangkan kumpulan industri itu adalah penyumbang besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    “Di waktu kita dulu kita putuskan minta supaya dengan kerjasama semua bank… kita menerusi keputusan telah dibuat oleh kerajaan dan Bank Negara maka semua bank luluskan untuk beri moratorium. Dalam erti kata kalau dia kena bayar, ditangguhkan bayaran, bukan tak bayar. Bank tak rugi.

    “Tangguhkan kepada enam bulan. Semua penyata kewangan bank untung berbilion-bilion ringgit. Tak rugi,” katanya.

  • Pesakit mental mengamuk guna pisau pemotong daging ditahan

    Pesakit mental mengamuk guna pisau pemotong daging ditahan

    POLIS menahan seorang pesakit mental selepas mengamuk menggunakan sebilah pisau pemotong daging di kawasan Paloh, tengah hari semalam.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia 40-an bagaimanapun berjaya ditenteramkan dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari itu dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian dan mendapati lelaki warga tempatan itu dalam keadaan mengamuk dengan memegang sebilah pisau pemotong daging.

    “Siasatan mendapati suspek adalah pemegang kad pesakit mental dan tiada sebarang kejadian jenayah berlaku dalam kejadian ini. Tiada laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, polis menghargai bantuan orang awam yang menyalurkan maklumat dan yang berada di lokasi kejadian.

    Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 36 saat yang memaparkan seorang lelaki memegang sebilah pisau di tempat sambil dikepung polis yang mengacukan pistol lapor BH.

  • Pembekuan akaun jejas sedikit persiapan Bersatu hadapi PRN-Muhyiddin

    Pembekuan akaun jejas sedikit persiapan Bersatu hadapi PRN-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun parti itu menjejaskan sedikit persiapan Bersatu menghadapi pilhan raya negeri (PRN) di enam negeri.

    Bagaimanapun Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yakin perkembangan tersebut tidak akan mempengaruhi pengundi dan sebahagian besar yang telah menyokong gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 terutama pengundi Melayu akan terus menyokong PN.

    “Tapi dengan pembekuan akaun kita ini… siapa saja menghadapi masalah sebegini akan menghadapi masalah besar. Lebih-lebih lagi parti kita ini parti yang tidak berduit. Parti kita parti orang miskin.

    “Kalau asas tindakan yang diambil oleh pihak SPRM ialah kerana ada tuduhan… yang saya baca… kerana RM600 bilion dulu sebahagian masuk dalam akaun Bersatu. Itu satu fitnah. Saya fikir bila pegawai (SPRM) tengok akaun itu dia akan ketawa.

    “Satu sen pun tak masuk akaun Bersatu. Lepas itu dengar dah kurang RM45 bilion saja… konon komisen… tak ada juga. Saya cakap ni ikhlas pasal saya jaga parti dan saya tahu kedudukannya.

    “(Lepas itu) kata RM300 juta pula… pun tak ada. Jadi kalau itulah asas tindakan dan saya fikir sampai sekarang ni tak ada… perkara itu adalah fitnah dan kita berharap SPRM akan menarik balik pembekuan itu,” katanya.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas hadir pada majlis kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr. Radzi Jidin di Putrajaya, hari ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri yakin SPRM profesional dalam menjalankan tugas mereka.

    Katanya, Bersatu sudah menghantar surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki meminta mereka membuat keputusan segera.

    “Saya yakin bahawa SPRM adalah badan profesional. Dia takkan tunduk pada tekanan mana-mana pihak. Baik parti pemerintah ke siapa saja. Pasal yang ada di hadapan ini itulah maklumat. Dengan tak ada penyelewengan, akaun diaudit. Lengkap… semua tak ada apa-apa.

    “Bagi saya SPRM tidak harus melanjutkan pembekuan ni… kerana saya nak tentukan supaya di PRN enam buah negeri itu kita meraih sokongan yang besar daripada pengundi-pengundi kita semua, dan kita boleh mencapai kemenangan,” katanya.

    Menurut Muhyiddin, PN akan bertanding semua kerusi dalam PRN di enam negeri tersebut yang akan diadakan dalam tahun ini.

    Menurutnya, walaupun tidak banyak peruntukan untuk digunakan dalam menghadapi PRN itu, persiapan tetap dilakukan dan beliau yakin PN akan mencapai kemenangan termasuk di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).

    “Saya yakin kita boleh menang tiga buah negeri yang lain (diperintah PH) disebabkan perubahan besar yang berlaku pada hari ini, termasuk sikap pengundi yang melihat ketidakupayaan kerajaan hari ini menguruskan masalah-masalah utama rakyat.

    “Saya kira negeri yang bukan kita kuasai pun kita boleh tembusinya,” kata beliau merujuk kepada Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang sekarang ini ditadbir PH.

  • Ibu tunggal, dua anak dicekup berkhalwat dengan dua lelaki

    Ibu tunggal, dua anak dicekup berkhalwat dengan dua lelaki

    IBU tunggal dan dua anak perempuannya dicekup berkhalwat dengan dua lelaki di rumah mereka di Lipat Kajang, Jasin malam tadi.

    Ibu tunggal berkenaan berusia 49 tahun itu bersama dua anaknya masing-masing berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan dalam serbuan JAIM susulan aduan awam jam 12.30 tengah malam.

    Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, ketika serbuan, wanita terbabit yang bekerja di syarikat kontraktor dan dua anak perempuannya mengambil masa 15 minit untuk membuka pintu.

    “Sebaik pintu dibuka, penguat kuasa mendapati ada dua lelaki tempatan dalam rumah itu.

    “Mereka tiada hubungan mahram walaupun dua lelaki itu mendakwa adalah saudara jauh dan dibenarkan wanita itu untuk tinggal bersama di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak.

    Che Sukri berkata, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

    “Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

    “JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

    Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia pukul 12.41 tengah hari semalam selepas didapati menceroboh perairan negara.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 34.2 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi.

    Bot nelayan ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 34.2 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia berumur antara 31 hingga 40 tahun.

    “Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    100 kilogram hasil laut dibawa di Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban

    Tambah Abd. Razak, bot serta kru ditahan termasuk 100 kilogram hasil laut dibawa di Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Ahli Parlimen PH tak sependapat isu pelantikan Nazri Aziz sebagai Duta AS

    Ahli Parlimen PH tak sependapat isu pelantikan Nazri Aziz sebagai Duta AS

    DUA Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak sependapat dalam isu pelantikan bekas ahli Parlimen daripada UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz sebagai duta ke Amerika Syarikat (AS).

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, jawatan duta perlu dikhaskan kepada diplomat yang mahir dalam hal ehwal antarabangsa.

    “Kita ada ramai diplomat yang bagus dan berpengalaman yang sesuai untuk menjadi duta Malaysia ke AS.

    “Kita mesti berhenti pilih bekas menteri dan bekas ahli Parlimen untuk menjadi duta.

    “Pelantikan diplomat sebagai duta bukan untuk kitar semula ahli politik,” katanya memetika laporan Malaysiakini, hari ini.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pelantikan Nazri.

    Ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, pengalaman Nazri dalam politik dan kerajaan berguna dalam membina hubungan baik dengan kerajaan AS.

    “Saya tidak mempunyai sebarang isu (dengan pelantikan Nazri) kerana beliau bukan lagi ahli politik yang aktif dan bukan ahli parlimen untuk mana-mana kawasan,” katanya.

    Pelantikan Nazri bersama sembilan lagi individu untuk mengetuai misi diplomatik di luar negara diumumkan pada Khamis lalu oleh Kementerian Luar.

    Bagaimanapun, pelantikan itu mendapat kritikan orang ramai serta bekas diplomat termasuk bekas duta ke Belanda, Noor Farida Ariffin dan bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Kanada, Dennis Ignatius.

    Jun tahun lalu, Nazri menolak spekulasi bahawa beliau akan dilantik sebagai duta AS.

    Nazri juga mengumumkan pada 2021 bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 selepas berkhidmat selama enam penggal sebagai ahli parlimen.

    Nazri pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Chenderoh pada 1995 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya 1999, sebelum bertanding di kawasan Padang Rengas yang dimenanginya dalam empat pilihan raya berturut-turut.

    Sebelum itu, dia dilantik sebagai senator di Dewan Negara pada 1990.

    Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai menteri pelancongan dan kebudayaan, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, serta menteri pembangunan usahawan.

    Sebeum ini menjadi amalan kerajaan untuk menamakan ahli politik kanan atau pesara sebagai utusan khas atau duta dan sebahagian daripada mereka menikmati habuan yang sama seperti menteri persekutuan.

    Sementara itu, ketika diminta mengulas terhadap kritikan itu, Nazri meminta Malaysiakini merujuk kepada komennya yang disiarkan dalam New Straits Times.

    Pemimpin UMNO itu dipetik berkata, satu-satunya pandangan yang penting untuk diambil kira mengenai pelantikannya ialah pendapat Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Datu Seri Anwar Ibrahim.

    “Jika Agong dan perdana menteri merasakan saya orang yang layak, maka saya orang yang layak. Pasti mereka telah dinasihatkan (tentang pelantikan saya).

    “Perasaan merekalah yang harus diambil kira, bukan orang lain,” katanya.

    Beliau menambah bahawa dalam hal ehwal diplomasi, ia bukan tentang memberi peluang kepada individu semata-mata untuk dilantik sebagai diplomat.

    “Pada masa tertentu, anda perlu menghantar seseorang yang boleh membantu membaiki hubungan baik. Ia bukan mengenai pekerjaan, tetapi mengenai khidmat kepada negara,” katanya.

    Nazri melahirkan rasa teruja untuk berkhidmat kepada negara dalam kapasiti berbeza, selain berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Agong kerana memberikan kepercayaan dan keyakinan terhadapnya.

    Nazri bagaimanapun enggan mendedahkan bila pelantikan itu dimaklumkan kepadanya dan bila dia akan berlepas ke AS.

  • Ramai pengguna mengadu gagal akses MyJPJ sejak semalam

    Ramai pengguna mengadu gagal akses MyJPJ sejak semalam

    RAMAI pengguna mengadu ekoran masih gagal mengakses aplikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MyJPJ bagi menyemak salinan lesen memandu dan cukai jalan secara digital sejak semalam.

    Difahamkan, pengunjung yang ramai dalam satu-satu masa menyebabkan laman sesawang itu menghadapi jumlah trafik yang tinggi hingga menyukarkan orang ramai membuat semakan.

    Menerusi tinjauan Sinar Harian dalam laman Twitter hari ini mendapati, majoriti pengguna meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem yang baru dibangunkan itu.

    Antaranya, pengguna akaun dengan nama @aliyaahaimanag99 berkata, JPJ seharusnya menaiktaraf sistem itu bagi memastikan proses pendaftaran berjalan dengan lancar sebelum melaksanakannya kepada orang awam.

    “Tidak boleh daftar MyJPJ, sering berlaku ralat. Mereka sepatutnya naik taraf dan melakukan nyahpepijat (mencari dan membasmi kesilapan yang terdapat dalam perisian) sebelum membukanya kepada umum.

    “Saya sudah cuba menggunakan tiga telefon pintar yang berbeza, tetapi masih gagal,” keluhnya.

    Pengguna @AirilHafiz juga turut mengadu gagal untuk mendaftar dalam sistem berkenaan dan mendakwa ia dihasilkan menggunakan peranti penyimpanan dan pemprosesan data yang murah.

    “Company (syarikat) manalah yang dapat tender buat aplikasi MyJPJ ini? Kenapa guna server (pelayan) murah? Nak log masuk dari semalam tak dapat,” luahnya.

    Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian milik warganegara kini boleh menggunakan mod paparan digital melalui Portal Awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.

    Bagaimanapun, susulan pelbagai persoalan yang timbul berhubung aplikasi itu, Anthony Loke tampil menjelaskan, memuat turun aplikasi MyJPJ hanya salah satu daripada opsyen bagi mendapatkan salinan digital untuk cukai jalan dan lesen memandu.

    “Jangan bimbang, format digital bukan diwajibkan. Masih boleh dapatkan pelekat cukai jalan dan lesen fizikal daripada JPJ sekiranya perlu.

    “Tidak (wajib muat turun aplikasi MyJPJ), pihak penguatkuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen melalui sistem dalam gajet penguatkuasaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.