Category: Semasa

  • Apa salahnya pertimbang pengeluaran KWSP – Muhyiddin

    Apa salahnya pertimbang pengeluaran KWSP – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sekiranya itu kehendak rakyat.

    Menurutnya, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

    “Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan. Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini.

    “Bank-bank juga patut turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR,” katanya semasa Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, walaupun usia kerajaan sudah menjangkau tiga bulan, namun beliau masih belum nampak sebarang langkah yang konkrit dan komprehensif diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup rakyat.

    “Kita dengar menteri kata kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam. Kalau harga telur mahal, jangan makan telur. Ini bukanlah sesuatu yang rakyat harapkan daripada kerajaan.

    “Rakyat harapkan tindakan-tindakan kerajaan sama ada daripada segi dasar, inisiatif atau intervensi tertentu untuk meningkatkan pendapatan rakyat, menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan dijual pada harga yang munasabah,” jelasnya.

  • Sekarang ini berehat sementara daripada politik, kata KJ

    Sekarang ini berehat sementara daripada politik, kata KJ

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kini berehat buat sementara, bukan berhenti dari dunia politik.

    “Sekarang ini ‘take a break’ (rehat),” katanya sewaktu mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG pada pagi tadi.

    Jawapan beliau itu bagi menjawab soalan yang diajukan AG, adakah sekarang ini memang tidak berminat lagi dengan politik.

    Sebelum itu, penyampai radio itu juga bertanyakan kepada Khairy, adakah beliau mengambil jurusan politik ketika belajar dahulu dan kenapa berminat dalam bidang itu.

    “Ya, saya belajar ekonomi dan politik dulu di universiti, England.

    “Pada tahun 1997, awak (Johan) pula bila (belajar kat sana? Saya habis belajar pada tahun tersebut dan buat master di London.

    “(Jadi) minat politik sebab suka bantu orang, maaf jawapan serius,” katanya.

    Johan membalas pula bahawa beliau juga suka membantu orang tetapi tidak berminat dengan politik.

    Kemudian dibalas Khairy, meskipun bukan melalui politik, Johan membantu orang lain menerusi pekerjaannya sekarang iaitu penyampai radio.

    “Pandai la pusing dia,” kata Johan, lapor Sinar Harian.

    Dijawab semula oleh bekas Ahli Parlimen Rembau itu: “Mestilah orang politik.”

    Jawapan spontan Khairy itu memecahkan suasana dalam konti radio berkenaan.

    Sebelum ini, dilaporkan, kemunculan Khairy sebagai penyampai Hot FM adalah untuk memberi keseimbangan kepada slot Bekpes Hot dengan membincangkan topik serius dan menyampaikan maklumat menarik untuk dikongsi bersama pendengar.

    Kisah KJ bakal menjadi DJ HotFM mula diperkatakan selepas Hot FM membuat tawaran kepada Khairy menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

    Susulan itu, Media Prima Audio (MPA) mengesahkan Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM serta bakal mengendalikan segmen Bekpes Hot, mulai hari ini.

    Khairy kemudiannya turut mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.

  • Siasatan SPRM: Kerajaan PH-BN sedang main politik balas dendam

    Siasatan SPRM: Kerajaan PH-BN sedang main politik balas dendam

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpendapat kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sekarang ini sedang membalas dendam politik terhadap musuh-musuh mereka.

    Pada masa sama beliau turut menyambut baik usaha kerajaan dalam memerangi rasuah, termasuk langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang bekas Menteri Kewangan.

    Namun, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut berharap SPRM juga menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Menteri Kewangan ketika era pentadbiran BN dahulu, serta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    “Kelmarin media melaporkan bahawa seorang Menteri Kewangan yang kini berumur 84 tahun telah disoal siasat oleh SPRM. https://www.agendadaily.com/isu-semasa/daim-kah-bekas-menteri-kewangan-dipanggil-sprm-isu-pandora-papers/

    “Saya menyambut baik ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah. Sebab itulah semasa YB Taiping berucap dalam Dewan Rakyat petang semalam, saya mencelah dengan satu cadangan.

    “Saya mencadangkan SPRM juga menyiasat seorang lagi bekas Menteri Kewangan yang hari ini telah berumur 75 tahun dan telah kembali memegang jawatan Menteri Kewangan sambil menjadi Perdana Menteri. Namanya Anwar Ibrahim.

    “Nampaknya hobi kerajaan hari ini ialah membalas dendam kesumat politik.

    “Maka SPRM perlu juga menyiasat adakah berlaku salah laku semasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan dulu dalam pemberian saham kepada bapa dan adiknya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, media memetik sumber sebagai berkata, SPRM telah menyoal siasat seorang bekas Menteri Kewangan yang kini berusia 84 tahun, susulan pendedahan ‘Pandora Papers’, melibatkan berbilion-bilion ringgit simpanan dalam akaun pesisir.

    Pandora Papers adalah laporan yang melibatkan kira-kira 600 wartawan daripada media termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian – dikeluarkan pada Oktober 2021, dan berdasarkan kebocoran dokumen daripada 14 syarikat perkhidmatan kewangan di seluruh dunia.

    Media utama memetik sumber bahawa bekas Menteri Kewangan dan penasihat kerajaan itu dipanggil SPRM pagi semalam untuk menjelaskan aliran wang 12 syarikat luar pesisir yang dimilikinya dan keluarganya.

    “Difahamkan SPRM sedang menumpukan siasatan dari pelbagai sudut untuk mengesan sama ada aset dan pelaburan yang dilakukan pemimpin dan keluarganya di luar negara adalah hasil daripada projek kerajaan,” kata sumber itu menurut Agendadaily.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, SPRM juga perlu menyiasat pengakuan Zahid bahawa dia telah menerima saham hasil pertolongan Anwar.

    “Adakah peristiwa ini merupakan rasuah politik untuk mendapatkan sokongan Zahid Hamidi sejak dari waktu itu lagi hinggakan melahirkan Zahid Hamidi yang sujud kepada Anwar hari ini?

    “Yang nyata, inilah dia nepotisme. Memberi saham dan jawatan kepada bapa, adik, isteri, anak dan rakan,” katanya lagi.

    Beliau berkata, Anwar kini memusatkan kuasa kepada dirinya sendiri dengan memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    “Berapa banyak lagi amalan nepotisme rahsia yang dilakukan apabila kuasa dipusatkan sebegitu cara,” soal beliau.

  • Muhyiddin dakwa rakyat marah Anwar ‘cipta’ tuduhan, yakin PN ‘tarah’ 6 negeri dalam PRN

    Muhyiddin dakwa rakyat marah Anwar ‘cipta’ tuduhan, yakin PN ‘tarah’ 6 negeri dalam PRN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) memberi amaran rakyat akan bertindak balas terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri atas perlakuan ‘mencipta’ pelbagai tuduhan ke atas gabungan itu.

    Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, gabungan itu akan ‘tarah’ (menang) di semua enam negeri itu.

    Katanya, tuduhan dibuat Anwar kononnya berlaku penyelewengan dana semasa beliau menjadi Perdana Menteri hanya ciptaan dibuat demi menghasut rakyat membenci PN.

    “Sekarang ini kalau boleh dihitamkan muka saya dan semua (pemimpin PN) ini, kata (kita ini) perompak dan lanun supaya rakyat tak sokong kita.

    “Tapi saya percaya gelombang PN yang sudah pun kita lihat (pada) PRU lalu akan terus melanda negara ini (dan) enam buah negeri ini akan tarah. ‘There will be backlash’ (akan ada tindak balas). Saya nak bagi amaran,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan titah Agong lapor FMT.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Sekat penyokong PN di TikTok, tetapi benarkan penyokong PH sebar fitnah di Twitter -Muhyiddin bidas kerajaan

    Sekat penyokong PN di TikTok, tetapi benarkan penyokong PH sebar fitnah di Twitter -Muhyiddin bidas kerajaan

    KEBEBASAN penyokong Perikatan Nasional (PN) disekat, tetapi kebebasan penyokong Pakatan Harapan (PH) menabur fitnah dan kebencian di Twitter tidak dikawal.

    Ini antara persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

    Tegas Muhyiddin, tindakan seperti itu sekali lagi menyerlahkan sikap ‘bikin tak serupa cakap’ kerajaan hari ini.

    “Kononnya perjuangan Pakatan Harapan adalah untuk mendokong kebebasan media dan kebebasan bersuara.

    “Sekarang, selepas pilihan raya telah ada tindakan-tindakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital untuk menyekat dan menekan pengguna Tik Tok khususnya yang menyokong Perikatan Nasional,” katanya.

    Beliau menambah, tindakan kerajaan menekan kebebasan anak-anak muda untuk bersuara di media sosial terutamanya menerusi saluran Tik Tok adalah satu bentuk ‘political persecution’ (pendakwaan politik).

    Katanya ramai penganalisis politik mengatakan dalam PRU-15 yang lalu, kempen Perikatan Nasional mendapat sambutan yang hangat di Tik Tok, terutamanya di kalangan anak-anak muda.

  • 2 lelaki termasuk Datuk direman SPRM kes tender pembersihan bernilai hampir RM8j

    2 lelaki termasuk Datuk direman SPRM kes tender pembersihan bernilai hampir RM8j

    SERAMAI dua individu termasuk seorang bergelar Datuk direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tiga hari bermula hari ini kerana disyaki mengemukakan dokumen penyata akaun bank syarikat palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan pembersihan bernilai RM7.97 juta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Hadi Hakimi Harun di Mahkamah Sivil, George Town, Pulau Pinang hari ini selepas Pegawai Penyiasat SPRM, Afiqa Liayana Rozman mengemukakan permohonan reman tersebut.

    Selain lelaki bergelar Datuk berusia 64 tahun yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat pembersihan itu, turut direman ialah seorang pengurus syarikat pembersihan berusia 74 tahun.

    Kedua-dua mereka yang dari syarikat pembersihan berbeza ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang semalam.

    Menurut sumber, kedua-dua mereka disyaki mengemukakan penyata bank palsu untuk mendapatkan kerja-kerja tender perkhidmatan pembersihan am jalan bagi Zon Bertam, Seberang Perai Utara, bagi tempoh lima tahun dengan jumlah keseluruhan RM7.97 juta daripada MBSP.

    Kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesemua suspek akan ditahan reman di lokap SPRM Pulau Pinang.

  • “Rakyat bukan nak lihat anak Menteri, anak PM pegang jawatan, rakyat nak lihat Menteri dan PM buat kerja untuk rakyat” – Muhyiddin

    “Rakyat bukan nak lihat anak Menteri, anak PM pegang jawatan, rakyat nak lihat Menteri dan PM buat kerja untuk rakyat” – Muhyiddin

    DALAM keadaan rakyat yang kini dihimpit pelbagai kesulitan kehidupan, kerajaan digesa berhenti bermain politik dan membuat keputusan-keputusan ‘cakap tak serupa bikin’.

    Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, kerajaan juga berhenti daripada mengutama dan memperkenalkan dasar-dasar yang tidak membantu keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini.

    “Misalnya, tiba-tiba ada dasar Menteri-Menteri boleh lantik anak beranak sebagai pegawai.

    “Walaupun tidak mengambil gaji, pelantikan ini boleh menimbulkan percanggahan kepentingan, atau dengan izin ‘conflict of interest’ dan berbaur nepotisme,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional seterusnya mempersoalkan untuk apa dasar itu diperkenalkan.

    “Ianya tiada kaitan langsung dengan keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini. Rakyat bukan nak lihat anak Menteri, anak Perdana Menteri, memegang jawatan dalam kerajaan.
    “Mereka nak lihat Menteri dan Perdana Menteri buat kerja untuk rakyat,” katanya.

    Muhyiddin berkata, sebaliknya kerajaan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

    “Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan. Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini.

    “Begitu juga dengan moratorium pinjaman bank. Bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis.

    “Apalah salahnya jika bank-bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Muhyiddin ingatkan Anwar jangan salah guna kuasa tekan PN

    Muhyiddin ingatkan Anwar jangan salah guna kuasa tekan PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggunakan kuasa untuk membalas dendam politik dengan mencari kesalahan tidak wujud.

    Katanya, politik dendam ini akan menghasilkan kesan yang amat buruk.

    “Saya perhatikan kepimpian kerajaan hari ini cenderung untuk mengambil tindakan-tindakan berbentuk, dengan izin, witch-hunting, atau mencari kesalahan kerajaan dahulu yang sebenarnya tidak wujud.

    “Melemparkan tuduhan yang bukan-bukan. Kononnya saya seleweng RM600 bilion. Kemudian turun nilainya kepada RM92.5 bilion. Kemudiannya turun lagi kepada RM4 billion hingga RM5 bilion. Yang terakhir RM300 juta. Apa ini? Angka yang berubah-ubah ini keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri.

    “Seolah-olah Perdana Menteri pun tidak pasti apa yang dia tuduh. Kalau tidak pasti, jangan tuduh sebarangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

    Muhyiddin sekali lagi menegaskan, beliau tidak ambil wang rakyat walau satu sen pun masuk ke koceknya.

    “Boleh siasat, tetapi jangan samakan saya dengan yang lain. Jangan samakan parti saya dengan parti yang lain. Saya nak ingatkan Tambun (Anwar) jangan salah guna kuasa sebagai Perdana Menteri untuk menekan saya dan Perikatan Nasional,” katanya yang juga bekas Perdana Menteri.

    Beliau juga mengingatkan Anwar pernah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan dirinya sendiri.

    “Maaf, bukan niat saya untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Tambun. Itu sejarah lampau.

    “Sekarang, dengan izin Allah s.w.t jua, Tambun kembali ke tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa. Dialah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia mahu, dan Dialah yang menarik kekuasaan daripada sesiapa yang Dia mahu.

    “Tiada kuasa yang kekal melainkan kekuasaan Allah s.w.t. jua. Kuasa saya sebagai Perdana Menteri tidak kekal. Kuasa Tambun sebagai Perdana Menteri juga tidak akan kekal selama-lamanya,” tegasnya.

    Bagaimanapun Muhyiddin berkata, Walaupun saban hari ditekan, kami di pihak pembangkang pastinya akan memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) secara konstruktif.

    “Sebagai pembangkang yang berwibawa, Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan kami dengan penuh berintegriti dan menjunjung prinsip Bersih, Prihatin dan Stabil.

    “Mana-mana dasar yang baik kami sokong. Mana-mana dasar yang memberi mudarat kepada rakyat kami tentang,” tegas Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.

  • Pemindahan Nurul Izzah ke Kementerian Kewangan tetap nepotisme

    Pemindahan Nurul Izzah ke Kementerian Kewangan tetap nepotisme

    DATUK Seri Anwar Ibrahim perlu menghentikan segera amalan nepotisme dan kronisme apabila melantik anak perempuannya Nurul Izzah ke dalam jawatan kerajaan meskipun tanpa bayaran elaun dan gaji.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoal tindakan Perdana Menteri yang dilihat memindahkan lantikan anak sulungnya itu daripada Pejabat Perdana Menteri kepada Kementerian Kewangan sekaligus membuktikan kerajaan sedang mengamalkan nepotisme.

    “Bahkan sejak penubuhan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) sudah ‘tidur sebantal’ dengan Barisan Nasional (BN) sehingga sanggup melanggar prinsip yang diperjuangkan selama ini untuk melawan amalan-amalan tersebut.

    “Ini bukan soal layak atau tidak atau emolumen tidak diberi, tetapi ini soal risiko wujudnya konflik kepentingan di dalam urus tadbir kerajaan.

    “Sebagai ketua sekretariat, sudah pasti (Nurul Izzah) ada kemudahan dan akses kepada kerja-kerja yang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya pada satu sidang media di Parlimen, hari ini.

    Sebelum ini Nurul Izzah mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.

    Beliau yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam usaha mempertahankan Parlimen Permatang Pauh dilaporkan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan atas jemputan daripada pengerusinya Hassan Marican.

    Sekretariat itu berperanan menasihati menteri kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

    Ianya juga bertanggungjawab menasihati kementerian mengenai perkara berkaitan subsidi, menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik.

    Selain itu membabitkan perkara berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan yang mana sesuai dan perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, atas sebab itu sekiranya Amwar membiarkan lantikan berkenaan hanya mengundang tindakan yang amat memalukan kepada negara khususnya negara-negara kelas ketiga kerana tidak pernah mengamalkan amalan tersebut.

    “Kalau dibanding dengan negara-negara luar termasuk Burundi dan Kiribati, realitinya tidak pernah dibuat seperti yang dibuat oleh pemimpin Malaysia Madani,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • Orang tak siuman tikam pesakit di hospital

    Orang tak siuman tikam pesakit di hospital

    SEORANG pesakit yang menunggu rawatan di bahagian kecemasan Hospital Selayang ditikam seorang lagi pesakit yang mengalami masalah psikiatri semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan kejadian itu dan menegaskan penyerang dibawa masuk oleh polis.

    “Kejadian tikaman itu dilakukan oleh pesakit psikiatri yang dibawa masuk oleh polis, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.

    “Kami perlu melindungi pesakit kami di jabatan kecemasan dan klinik kami. Kami perlu menyemak SOP (prosedur operasi standard) kami untuk pesakit yang mengalami gangguan psikiatri,” tulis Noor Hisham di Twitter.

    Noor Hisham mengulas artikel akhbar Straits Times Singapura yang melaporkan kejadian itu dan mendakwa penyerang menjadi ganas selepas lama menunggu untuk dimasukkan.

    Laporan itu mendakwa bahawa semua wad di hospital berkenaan penuh ketika itu manakala ramai yang menunggu giliran di bahagian kecemasan.

    Semakan di KKMNow – laman web data terbuka Kementerian Kesihatan – mencadangkan penggunaan katil Hospital Selayang berada pada tahap 69.6 peratus setakat malam tadi.

    Hospital Selayang mempunyai jabatan psikiatri dan kesihatan mental.

    Menurut Straits Times, mangsa ditikam tiga kali – sekali di bahagian belakang dan dua kali di perut.

    Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata dia telah melawat hospital malam tadi selepas sidang Dewan Rakyat untuk bertemu keluarga mangsa dan pasukan yang merawat mangsa.

    “Status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari masa ke semasa kepada keluarga.

    “Perkara ini sedang dalam siasatan pihak yang berwajib,” katanya, lapor MalaysiaKini.