Category: Semasa

  • Wanita didakwa bunuh suami

    Wanita didakwa bunuh suami

    WANITA warga India dan rakan sekerja didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas tuduhan membunuh suaminya di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Jaya, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Varun Kumar, 30, dan Lachhami Devi, 23, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh warga India yang juga rakan sekerja di rumah kebajikan itu kerana kes berkenaan berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Arshdeep Singh, 25, pada pukul 1.30 pagi di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Jaya, 31 Oktober 2021.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Varun diwakili peguam, Dr Pritam Singh Doal manakala Lachhami Devi tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April depan.

    Media pada 4 Februari lalu melaporkan polis memberkas lelaki warga India disyaki membunuh suami kekasihnya di sebuah banglo di Subang Jaya sebelum menanam mayat di lereng bukit belakang premis itu.

    Suspek ditahan berikutan polis menerima laporan orang awam pada pukul 4.45 petang pada 2 Februari lalu, selepas lelaki itu didakwa mengaku membunuh dan menanam rakan senegaranya lapor Harian Metro.

  • Warga emas maut, kereta langgar rempuh belakang treler

    Warga emas maut, kereta langgar rempuh belakang treler

    SEORANG wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya melanggar kon sebelum merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 334.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Tapah, pukul 5.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang berusia 81 tahun yang merupakan penumpang kereta berkenaan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.

    “Sebelum kejadian tersebut, sebuah treler muatan alat ganti kereta yang dalam perjalanan dari Johor ke Padang Besar, Perlis telah terbabas lalu melanggar pembahagi jalan besi di tengah lebuh raya.

    “Kira-kira sejam kemudian, sebuah kereta yang datang dari arah sama telah hilang kawalan lalu melanggar kon keselamatan dan seterusnya terbabas melanggar bahagian belakang treler itu.

    “Dalam kemalangan ini penumpang belakang kereta yang berumur 81 tahun telah meninggal dunia di Hospital Tapah semasa menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Prathiparaj Punasagaran di talian 014-6178095.

    “Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu kenderaan supaya kemalangan sebegini dapat dielakkan,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • Pecah amanah: Pemandu dipenjara setahun, denda dan 2 sebatan

    Pecah amanah: Pemandu dipenjara setahun, denda dan 2 sebatan

    SEORANG pemandu sebuah syarikat bukan sahaja dihukum penjara 12 bulan malah turut menerima dua sebatan serta didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM14,000 bulan lalu.

    Tertuduh, Mohd. Nazri Malek, 51, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam jika gagal membayar denda terbabit, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu syarikat Khairi Bina Sdn. Bhd. telah menyalahgunakan harta milik syarikat terbabit iaitu wang berjumlah RM14,000 yang diperoleh daripada sekeping cek milik syarikat itu yang sepatutnya untuk ditunaikan.

    Bagaimanapun tertuduh telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.

    Kesalahan berkenaan dilakukan di syarikat terbabit di Seremban 2 pada 10 Januari 2023.

    Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebatan serta denda.

    Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman yang boleh memberi pengajaran dan setimpal.

    Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara paling minimum atas alasan telah insaf atas kesalahan dilakukan.

    Mengikut fakta kes, pengadu iaitu pemilik syarikat telah menyerahkan satu cek CIMB berjumlah RM14,000 kepada tertuduh pada pukul 9 pagi untuk ditunaikan.

    Namun apabila pengadu bertanya kepada tertuduh berkenaan cek itu pada pukul 11 pagi, tertuduh memberitahu ia belum ditunaikan sedangkan pemeriksaan mendapati ia telah pun ditunaikan pada pukul 10.45 pagi.

  • PDRM rampas dadah, ketum bernilai RM8.76 juta

    PDRM rampas dadah, ketum bernilai RM8.76 juta

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah selain ketum bernilai RM8.76 juta dalam tempoh dua minggu sejak 1 Februari.

    Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM dalam satu kenyataan memberitahu, statistik setakat 15 Februari itu merekodkan 7,946 tangkapan atas pelbagai seksyen kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

    “Seramai 10 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

    “Sebanyak tiga sindiket melibatkan 11 orang tangkapan telah berjaya ditumpaskan serta sebuah makmal dadah berjaya dibongkarkan.

    “JSJN juga telah merampas sebanyak 210 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 189 liter pelbagai jenis cecair dadah, 3,079 kg daun ketum serta 8,539 liter air ketum dengan nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM8.76 juta,” katanya dalam Facebook rasminya, hari ini.

    Tambah kenyataan itu, sepanjang tempoh dua minggu ini juga, seramai 1,118 penagih dadah tegar dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952 dan daripada jumlah tersebut seramai 586 orang telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

    Tegasnya, JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

    “Seramai 23 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya.

    Selain itu, katanya lagi, sebanyak 3,287 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,980 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 60 peratus.

    “Dalam usaha melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, sejumlah RM779,000 aset telah disita manakala sebanyak RM149,000 telah dilucut hak,” katanya.

    Katanya lagi, sepanjang tempoh itu juga terdapat kes menarik iaitu tangkapan 12 individu termasuk lima ‘doktor’ di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta merampas 21 kg disyaki dadah jenis ketamin dan 2 kg syabu yang bernilai RM1.27 juta pada 7 Februari.

    “JSJN menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Tidak serik ditangkap, kembali aktif jual air ketum

    Tidak serik ditangkap, kembali aktif jual air ketum

    SEORANG lelaki tiga kali pernah ditangkap sebelum ini namun tidak pernah serik menjual air ketum yang telah diproses.

    Suspek merupakan seorang daripada lima lelaki yang ditahan pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Medan, Petaling Jaya, pada Rabu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam tangkapan pukul 6 petang itu, sebanyak 92 botol plastik lutsinar yang dipercayai berisi cecair disyaki air ketum dirampas.

    “Semua botol bersaiz 1.5 liter air ketum itu dianggarkan berisipadu 138,000 mililiter.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada pelbagai peralatan untuk memasak ketum dan 92 botol yang mengandungi air ketum serta daun ketum yang dirampas selepas berjaya menahan lima suspek yang terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, polis turut merampas 10 bungkus plastik mengandungi 50 kilogram daun ketum.

    “Kesemua suspek berusia 23 hingga 37 tahun yang ditahan akan direman sehingga esok.

    Sebahagian daripada 92 botol mengandungi air ketum yang berjaya dirampas selepas polis menahan lima suspek yang terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum ketika Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3,340 dan boleh membekalkan kepada 1,326 orang pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, suspek utama mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes di bawah Akta Racun 1952 (Pindaan 2022), selain tujuh rekod jenayah.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, suspek berusia 30-an itu pernah ditangkap sebanyak dua kali pada 2017 dan terakhir ditahan pada 2019.

    Menurutnya, suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kembali aktif menjual air ketum sejak dua atau tiga bulan sebelum ditangkap.

    “Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2022) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.

    “Sabit kesalahan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ahli MKT, Khaidhirah umum tanding Ketua Puteri UMNO

    Ahli MKT, Khaidhirah umum tanding Ketua Puteri UMNO

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO pada pemilihan parti akan datang.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.

    Beliau akan menyerahkan borang pencalonannya pada Jumaat.

    “Berjalan dengan lancar semuanya. Semua saya sudah maklumkan. Aturan kita kena ikut, walaupun kita menawarkan diri, tetapi perlu ada unsur demokrasi itu.

    “Saya turut dimaklumkan presiden, terdapat empat individu yang menghantar borang pencalonan, tapi tak pasti jumlah itu termasuk saya atau tidak,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MKT di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.

    Selain Khaidhirah, turut dilapor menawarkan diri bertanding jawatan itu adalah Exco Puteri UMNO, Fadhwa Anuar, Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr. Masliha Harun dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.

    Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, sambutan terhadap pemilihan parti kali ini amat menggalakkan.

    “Setakat ini, saya tidak dapat beritahu jumlah calon bertanding secara spesifik, sedangkan saya pun tak berapa ingat jumlahnya,” katanya.

    Beliau berkata, mesyuarat MKT malam tadi memfokuskan pemilihan parti, antaranya etika berkempen.

    “Buat kempen positif, tak mahu kempen negatif. Nanti parti lawan tengok, itu tak baiklah,” katanya, lapor FMT.

    Pencalonan jawatan peringkat Pusat bagi pemilihan UMNO tahun ini bermula 13 Februari lalu dan akan berakhir 26 Februari ini.

    Pemilihan UMNO di peringkat bahagian dan tiga sayap pada 11 Mac ini, manakala UMNO bahagian serta MKT pada 18 Mac nanti.

  • Belum ada rancangan wujudkan jawatan pembantu guru

    Belum ada rancangan wujudkan jawatan pembantu guru

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) belum mempunyai perancangan mewujudkan jawatan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugas tenaga pengajar.

    Menterinya, Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata, memahami isu kebajikan guru di sekolah, KPM melaksanakan pelbagai inisiatif.

    “Antaranya memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi; pengurusan data dan sistem dalam talian; penyeragaman borang dan proses pemantauan; serta sistem rekod kesihatan murid secara dalam talian (e-RKM).

    “Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) juga sedang memperhalus inisiatif dan dapatan kajian berhubung kebajikan guru dan akan mengemukakan syor kepada KPM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

    Beliau menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta menteri pendidikan menyatakan langkah terkini KPM berhubung pewujudan jawatan pembantu guru seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

    Dalam manifestonya bagi PRU15, PH menawarkan janji reformasi dalam pendidikan, antaranya mempertimbangkan pelantikan pembantu pengajar bagi membantu guru melaksanakan tugas pentadbiran di sekolah.

    KPM pernah melaksanakan pelantikan pembantu guru secara rintis di Melaka dan Kedah pada 2013 hingga 2019, yang mana tugas mereka adalah untuk melaksanakan kerja-kerja perkeranian, pengurusan data dan maklumat serta tugas berkaitan pengurusan perpustakaan.

    Bagaimanapun, program berkenaan tidak diteruskan mulai 2020 ekoran implikasi perjawatan dan kewangan yang tinggi kepada kerajaan.

    Isu pembantu guru sebelum ini diperjuangkan oleh Maszlee Malik, Menteri Pendidikan era PH, yang berjanji akan meneruskan cadangan mewujudkan jawatan berkenaan.

    Sementara itu, menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai kurikulum tahap 1 yang dikatakan tidak sesuai dengan usia murid, Fadhlina berkata, hasil perbandingan dengan negara lain seperti Singapura, Australia, Jepun, United Kingdom dan Finland, didapati kurikulum persekolahan di Malaysia setanding dengan kurikulum negara lain.

    Bagaimanapun, katanya, bagi memastikan kurikulum sentiasa relevan, KPM terbuka mendengar pandangan pelbagai pihak dan komited untuk melaksanakan penambahbaikan pelaksanaan kurikulum.

    “Penambahbaikan ini bertujuan untuk merapatkan jurang dalam pelaksanaan kurikulum dan seterusnya meningkatkan kemenjadian murid.

    “Antara langkah yang dilaksanakan bagi merapatkan kesenjangan pelaksanaan kurikulum adalah pemugaran kurikulum semasa sekolah rendah, pemugaran pendidikan digital, memperkasakan latihan guru dan melihat semula kesesuaian peruntukan waktu bagi mata pelajaran,” katanya, lapor FMT.

  • Kisah anak potong payu dara ibu akibat dadah, curi tumpuan Parlimen

    Kisah anak potong payu dara ibu akibat dadah, curi tumpuan Parlimen

    KISAH benar seorang ibu tunggal dicederakan anak kandung akibat pengaruh dadah, mencuri perhatian sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Menceritakan pengalamannya, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), berkata beliau pernah didatangi seorang ibu tunggal yang hilang sebelah payudara akibat perbuatan ganas anak lelakinya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

    Lebih memilukan, Mohd Suhaimi, yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), berkata wanita itu tidak berani ke hospital mendapatkan rawatan dan hanya menyapu lukanya dengan serbuk kopi kerana takut perbuatan anaknya terbongkar oleh pihak polis.

    “Anak dia itu minta duit tiga empat kali (ibu) tak bagi, anak pergi ke dapur dan ambil pisau… rentap rantai mak dia, dia potong buah dada kiri mak dia. Itu kasih seorang ibu, tapi anak sanggup potong buah dada mak dia yang menyusukan dia, itu akibat dadah,” katanya.

    Mengambil iktibar daripada kisah itu, Mohd Suhaimi, yang pertama kali menjadi wakil rakyat, berharap kerajaan memandang serius isu penagihan dadah dan melaksanakan langkah yang lebih berkesan bagi menanganinya.

    Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar), yang mencelah perbahasan Mohd Suhaimi, berkata kerajaan perlu menukar strategi dan taktik mencegah penyalahgunaan dadah dengan rawatan terutama kes-kes yang tidak serius.

    “Terutama ‘soft drug’, bukankah lebih baik kita guna inisiatif untuk merawat mereka, tidak meletakkan dalam penjara tetapi biar pakar dan doktor merawat mereka supaya proses pemulihan itu lebih baik seperti dilakukan negara Portugal,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Syahredzan Johan (PH-Bangi), dalam perbahasannya, mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti semula kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai supaya dilakukan persempadanan semula.

    Menjadikan Parlimen Bangi yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar teramai iaitu sebanyak 300,000 pengundi sebagai contoh, Syahredzan berkata saiz Parlimen ‘mega’ itu memberi kesan kepada nilai undi seseorang pengundi.

    Persidangan dewan bersambung Isnin ini.- BERNAMA

  • Kes ‘Superman Hew’ sudah jadi Superman terbang angkasa ke?, tanya Ahmad Fadhli

    Kes ‘Superman Hew’ sudah jadi Superman terbang angkasa ke?, tanya Ahmad Fadhli

    DEWAN Rakyat hari ini kecoh selepas Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membangkitkan isu berkenaan ucapan-ucapan rasis.

    Lapor Astro AWANI, ketika membahaskan usul Titah Diraja, Ahmad Fadhli berkata, beliau antaranya tidak bersetuju dengan kenyataan Lim Guan Eng berhubung dakwaan bahawa ‘orang Islam mahu menyembelih bukan Islam’.

    Beliau berkata, ucapan-ucapan sedemikian yang diambil daripada penyokong sudah tentu menimbulkan pelbagai perkara di luar kawalan termasuk melibatkan penyokong DAP sendiri.

    Mengambil contoh isu melibatkan Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’, beliau mendakwa apa yang dikatakan oleh bekas ahli DAP itu juga menjijikkan.

    “Saya tidak setuju ucapan yang disebut oleh Bagan, yang disebut oleh ini (bekas penyokong DAP) pun saya tidak setuju tetapi kalau kita memetik kenyataan penyokong biasa, banyak lah kita boleh lambak dalam dewan ini… itu ucapan biasa, itu ucapan biasa.

    “Ini isunya, saya tak nak bela sesiapa, semua sudah ada dalam siasatan polis.

    “Jadi isu ‘Superman Hew’ ini termasuk bila Bagan sebut, apakah status siasatan (kenyataan berkaitan sembelih)? Saya juga nak tanya, apakah status siasatan kepada ‘Superman Hew’ ini, atau sudah jadi superman terbang ke angkasa?,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Pada 23 November lalu, Polis Pahang menahan ‘Superman Hew’ bagi membantu siasatan berhubung satu ucapan berbaur perkauman dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata Kuan Yau, 53, ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Pahang di kediamannya di Puchong Jaya, Selangor dengan bantuan pasukan JSJ Bukit Aman.

    Sementara itu, seorang pelakon lelaki sebelum ini tampil membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya mahu menyembelih orang bukan Islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November tahun lalu.

    Berucap lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, ucapan berbaur rasis turut disebut oleh ahli Dewan Rakyat di Parlimen seperti menuduh Malaysia akan menjadi negara Taliban jika ditadbir oleh Pas.

    Menafikan tuduhan tersebut, beliau menegaskan Kelantan tidak menjadi negeri Taliban walaupun ditadbir oleh Parti Islam itu sejak lebih 30 tahun.

    “Itu ucapan bersifat rasis kenapa dikaitkan pula Pas dengan Taliban seolah-olah kalau kita tadbir negara, kita jadi Taliban.

    “(Kalau Taliban) Manakan patung Buddha terbaring yang paling besar di Asia Tenggara boleh dibiarkan untuk terus berada di Negeri Kelantan. Jadi kalau nak kata Pas mentadbir jadi Taliban, ini lah ucapan yang benar-benar menghasut rakyat Malaysia dan perlu dikenakan tindakan,” tambahnya.

    Beberapa Ahli Parlimen daripada PH bangkit mempersoalkan kenyataan Ahmad Fadhli.

    RSN Rayer (PH-Jelutong) mendakwa Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menuduh Pas sebagai parti ajaran sesat.

    Namun, Ahmad Fadhli berkata, isu yang dibawa oleh Rayer sudah lama berlalu.

    “Saya fikir apa masalah Jelutong ialah beliau cuba untuk mengheret perkara dua tiga penggal lepas dan bawa ke dalam dewan ini. Yang sepatutnya dibawa masuk ialah hoi hoi ya hoi…,” sindir Ahmad Fadhli.

    Sementara itu, Tan Hong Pin (PH-Bakri) berkata sebarang tuduhan yang dikaitkan dengan Pas tidak mewakili seluruh umat Islam di negara ini.

    “Jangan kita samakan Pas dengan umat Islam. Kita hanya cakap Pas, ini hanya politik dan terima hakikat politik.

    “Segala polemik politik ini jangan campurkan isu agama,” katanya.
    Ahmad Fadhli kemudian bersetuju bahawa Pas tidak mewakili keseluruhan umat Islam.