Category: Semasa

  • Orang awam lapor polis dakwa calon BN cuba sogok pengundi

    Orang awam lapor polis dakwa calon BN cuba sogok pengundi

    SEKUMPULAN individu membuat laporan polis mendakwa calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu melakukan tindakan berunsur sogokan kepada pengundi ketika berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada 4 Ogos lalu.

    Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira pukul 11 pagi tadi.

    Mohd. Hilmi Jusoh, 33, berkata, dia bersama beberapa individu lain yang merupakan pengundi terpanggil untuk membuat laporan polis selepas mendapati calon berkenaan telah melanggar peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Berdasarkan bukti yang diperoleh melalui media sosial kita dapati berlaku sogokan ketika proses kempen di Pangsapuri Ladang Gemilang, di sini pada 4 Ogos lalu.

    “Ia berlaku ketika program ‘Tukar Minyak Hitam’ bersama beberapa petugasnya yang dihadiri oleh kumpulan ‘rider’.

    “Calon itu berada di situ dan ada bukti bergambar menunjukkan beliau menuang sendiri minyak hitam ke dalam motosikal salah seorang penerima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Kuala Terengganu hari ini.

    Jelas Mohd. Hilmi, kesalahan itu termaktub dibawah Seksyen 8,9, atau 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melibatkan larangan program penjamuan, pemberian hadiah atau perkhidmatan.

    “Kita harap laporan ini mendapat parhatian dan tindakan pihak berkuasa supaya setiap parti yang bertanding dapat mengikut sepenuhnya apa yang digariskan oleh SPR,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN Negeri Sembilan: Polis siasat kes bakar khemah, bendera parti

    PRN Negeri Sembilan: Polis siasat kes bakar khemah, bendera parti

    POLIS sudah membuka 11 kertas siasatan dibuka berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan antaranya melibatkan khianat membakar bendera dan khemah parti.

    Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof, ini melibatkan 96 laporan polis yang diterima dari hari pertama kempen sehingga Selasa.

    “Kebanyakannya kes khianat dan bakar bendera manakala satu kes bakar khemah parti.

    “Berkaitan kempen dan ceramah yang dijalankan pula kesemuanya mempunyai permit. Tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh calon atau wakilnya,” katanya kepada pemberita di Seremban hari ini.

    Katanya, pada hari pengundian 12 Ogos ini, pihaknya akan menggerakkan seramai 9,223 pegawai dan anggota bagi mengawal keadaan dan juga keselamatan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

    Terdahulu, Ahmad Dzaffir turut menjalankan tanggungjawabnya mengundi di Pejabat Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di Seremban, sambil meninjau proses pengundian awal itu.

    Hari ini, seramai 6,300 warga Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan 19,744 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini menjalankan tanggungjawab bagi pengundian awal PRN bagi enam negeri.

  • Malapetaka jika anggota keselamatan dipaksa undi pihak tertentu – Samsuri

    Malapetaka jika anggota keselamatan dipaksa undi pihak tertentu – Samsuri

    NAIB  Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan malapetaka untuk negara jika anggota keselamatan dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal, hari ini.

    Ini, katanya jika benar mesej yang ditularkan dalam media sosial hari ini mengenai perkara itu.

    “Malapetaka untuk negara jika benar mesej yang ditularkan dalam media sosial hari ini, kononnya terdapat anggota keselamatan beruniform dalam negara kita, di Terengganu telah tanpa kerelaan mereka dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal pada hari ini dengan ugutan kerja dan imbuhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Bagaimanapun beliau yang mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berharap berita seperti itu tidak benar.

    “Saya berharap berita seperti ini tidak betul kerana aktiviti sebegini adalah layak dicemuh seluruh warga manusia dan merupakan satu kemunduran kepada sistem demokrasi negara,” katanya  yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Terengganu.

    Sesungguhnya, kata beliau manusia mungkin boleh dipaksa, ditahan, diugut tetapi jangan ingat ia  boleh dilupakan begitu sahaja kepada yang terbabit atau menjadi pelaksananya.

    “Jika benar terjadi pada zaman yang sukar untuk menyembunyikan sebarang operasi rahsia seperti ini, maka nantilah saat negara kita yang dicintai ini terpelosok ke zaman lampau yang jauh daripada perpaduan, keharmonian dan sejahtera,” katanya lagi.

    Hari ini adalah pengundian awal yang melibatkan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat PRN.

    Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena PRN di enam negeri, dibuka serentak bermula 8 pagi tadi.

    Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu

  • Akar umbi UMNO bantu calon PN secara senyap elak tindakan disiplin

    Akar umbi UMNO bantu calon PN secara senyap elak tindakan disiplin

    KEMPEN Perikatan Nasional (PN) turut disokong pemimpin akar umbi UMNO yang turut membantu tetapi secara senyap bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka.

    Beberapa sumber dalaman akar umbi UMNO di enam negeri memberitahu, terdapat ahli-ahlinya yang membantu kempen calon lawan secara diam-diam bagi mengelak dihidu pihak atasan dan dikenakan tindakan disiplin parti.

    Malah, ahli-ahli UMNO yang masih kekal berada dalam parti turut menyokong calon PN sama ada secara langsung tidak langsung, namun itu dilakukan secara bersembunyi.

    “Ada ahli-ahli UMNO yang membantu kempen calon PN, tetapi ia dilakukan secara diam-diam… Mereka tidak membantu secara terang-terangan bagi mengelak dikesan pihak atasan parti.

    “Pengalaman semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dijadikan pengajaran bagi mengelak menerima tindakan daripada parti tersebut,” kata sumber parti itu.

    Untuk rekod, UMNO selepas PRU-15 lalu mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin dan ahli-ahlinya yang didakwa mensabotaj parti, terdapat ahli dibuang dan digantung keahlian mereka.

    Menurut sumber, kebanyakan mereka yang berkempen secara senyap tetapi tidak mahu dilihat ke depan terdiri daripada pemimpin akar umbi di kawasan.

    “Pemimpin ketua-ketua cawangan banyak yang menyokong PN, ia termasuk pemuda dan wanita cawangan.

    “Mereka ini masih berjawatan di kawasan, mereka bimbang jika dipecat parti habis elaun dan manfaat yang diperoleh daripada parti,” ujarnya lagi.

    Jelasnya, tindakan pemimpin akar umbi UMNO tersebut juga menjejaskan peluang calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding kerana jentera dilihat tidak dapat berjalan dengan sebaiknya.

    Antara faktor menyebabkan ahli-ahli UMNO itu menyokong calon PN secara diam-diam adalah disebabkan malu dengan keputusan parti untuk bekerjasama dengan DAP dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    “Mereka yang menyokong PN ini adalah ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan parti menyokong kerjasama dengan DAP dan Anwar sebagai Perdana Menteri.

    “Ahli-ahli UMNO ini berasa tertipu dan seakan diperdayakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang secara jelas membuat keputusan disebabkan kepentingan diri sendiri,” ujarnya, lapor Agenda Daily.

  • Semakan fakta: Video kononnya Takiyuddin kecam Sanusi tak betul

    Semakan fakta: Video kononnya Takiyuddin kecam Sanusi tak betul

    VIDEO ucapan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang kononnya mengecam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kini tular dalam media sosial.

    Dalam ucapan itu, Takiyuddin dipaparkan seolah-olah berkata, Pas tidak pernah merestui Sanusi bertanding di mana-mana kerusi di Kedah.

    Walaupun kata-kata yang diungkapkan adalah betul, semakan Malaysiakini mendapati kenyataan Takiyuddin itu sebenarnya diambil di luar konteks.

    Dalam video tular itu, kenyataan Takiyuddin adalah seperti berikut:

    “Keduanya, Sanusi, Menteri Besar Kedahlah, tapi dalam parti dia ketua pengarah pilihan raya.

    “Saya ini Setiausaha Agung parti, (seperti) bagaimana Datuk Seri Hamzah (Zainuddin) dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Saya nak mengesahkan Pas tidak pernah pada bila-bila masa mengiktiraf dia, dan beri laluan kepada dia untuk bertanding dalam mana-mana kerusi DUN di Kedah.”

    Meskipun petikan kenyataan Takiyuddin yang dibuat semasa ceramahnya di Ayer Hangat, Langkawi pada Ahad lalu adalah betul, namun adalah jelas rujukan yang dibuat itu bukan mengenai Sanusi.

    Beliau sebenarnya bercakap tentang Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat.

    Takiyuddin berkata, Safwan mendakwa mendapat restu daripada Sanusi untuk bertanding di Ayer Hangat, yang dinafikan oleh Setiausaha Agung Pas itu.

    Beliau kemudiannya mengeluarkan kenyataan dalam video tular itu, untuk menegaskan bahawa Safwan tidak disokong oleh Pas.

    Safwan dipecat daripada Pas selepas bertanding sebagai calon Bebas.

    Turut dipecat ialah Timbalan Ketua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad yang bertanding sebagai calon Bebas di Kuah.

  • Undi awal 4 negeri catat lebih 80% setakat 1 tengah hari

    Undi awal 4 negeri catat lebih 80% setakat 1 tengah hari

    EMPAT negeri merekodkan peratusan keluar mengundi lebih 80% bagi undi awal PRN serta PRK Parlimen Kuala Terengganu setakat 1 tengah hari.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Terengganu merekodkan peratusan tertinggi iaitu 85%, diikuti Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing dengan 83% manakala Kedah 81%.

    Sebahagian daripada pegawai dan anggota polis beratur untuk membuang undi awal pada Pilihan Raya Negeri 2023 di Dewan D’Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pulau Pinang pula merekodkan 80%, Selangor 78% manakala peratusan undi awal PRK Parlimen Kuala Terengganu direkodkan sebanyak 80%.

    Undi awal membabitkan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri terlibat PRN.

    Sementara, seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal bagi PRK Kuala Terengganu.

    Sebahagian daripada pegawai dan anggota polis beratur untuk membuang undi awal pada Pilihan Raya Negeri 2023 di Dewan D’Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena PRN di enam negeri, dibuka serentak bermula 8 pagi ini.

    Turut dibuka tiga pusat mengundi awal di IPK Terengganu bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.

  • PRN: Peluang besar Pas menang di 3 DUN dalam kawasan Gua Musang

    PRN: Peluang besar Pas menang di 3 DUN dalam kawasan Gua Musang

    TIMBALAN Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, Pas melihat peluang yang besar untuk menang di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gua Musang yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

    Menurut beliau, perkara itu tidak mustahil kerana pihaknya mengambil kira semua melibatkan pengundi Orang Asli dan Cina.

    Tambah beliau, daripada jumlah itu pihaknya menjangkakan Pas akan menang.

    “Orang Asli dari pengalaman lepas memang tidak sokong Pas, kalau ada pun dalam 100 hingga 200 undi sahaja.

    “Tapi kita lihat ada potensi,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.

    Dalam pada itu, beliau tidak tidak menolak dakwaan parti itu tergugat pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Katanya, ini kerana terdapat undi majoriti di bawah 1,000 di beberapa kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    “Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat ialah Apam Putra 348 undi, Wakaf Bharu (387), Dabong (589), Semerak (632), Melor (647) dan Kemahang (923).

    “Persaingan ini sengit dan peluang untuk menang adalah 50-50. Berdasarkan pengalaman saya, jika majoriti 3,000 ia adalah stabil tetapi kalau bawah padanya, kena kerja keras lagi untuk lawan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Suspek kes dadah maut gantung diri dalam lokap

    Suspek kes dadah maut gantung diri dalam lokap

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG suspek kes dadah maut setelah menggantung dirinya sendiri dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di lokap kerana berada dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula 4 Ogos lalu bagi disiasat mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Pihak koroner telah hadir ke lokasi kejadian dan mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya siasatan berhubung kematian individu tersebut dijalankan di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM) oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman.

    “Sebagai langkah awal, semua anggota yang bertugas semasa kejadian akan dipindahkan sementara ke cawangan lain hingga siasatan selesai.

    “Siasatan juga akan memastikan semua arahan pentadbiran berkaitan lokap dan Kaedah-Kaedah Lokap 1953, dipatuhi,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil, apatah lagi kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

  • Pengundi Selangor sedia ‘beralih’ undi PN – Tinjauan

    Pengundi Selangor sedia ‘beralih’ undi PN – Tinjauan

    MESKIPUN mengakui tawaran Pakatan Harapan (PH) terbukti dirasai semua lapisan masyarakat khususnya golongan rentan, namun segelintir pengundi di Selangor sedia ‘mengalih’ undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjanjikan 112 tawaran jika menang pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

    Beberapa pengundi menyambut baik inisiatif ditawarkan PN antaranya memperluaskan bantuan kesihatan dan air percuma kepada golongan berpendapatan isi rumah antara RM5,000 hingga RM15,000.

    Pengundi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan, Suriati Azmi, 33, tertarik dengan tawaran PN untuk memperluas skim peduli sihat kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 kerana golongan itu antara terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

    “Bagi saya mereka yang berpendapatan RM5,000 ke atas juga bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya ketika ditemui FMT.

    Peruntukan itu meningkat sedikit berbanding skim peduli sihat bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), yang menyediakan RM500 setahun kepada isi rumah bawah RM3,000 ketika ini.

    Untuk rekod, program berkenaan diperkenalkan pada 2017 ketika pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.

    Jumaat lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit, antaranya bantuan RM400 sebulan bagi pembelian barangan asas kepada 65,000 keluarga memerlukan, air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada isi rumah berpendapatan bawah RM15,000 dan memperluas Skim Peduli Sihat.

    Bagi pengundi kali pertama, Azahari Yahya, 18, dia tertarik dengan bantuan awal pengajian berjumlah RM1,500 yang terbuka kepada semua anak Selangor tanpa mengira kumpulan pendapatan, berbanding sebelum ini terhad kepada keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah.

    “Ini secara tidak langsung membakar semangat kami untuk meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi, tidak kira teruskan ke peringkat IPT ataupun matrikulasi serta Tingkatan 6,” katanya.

    Ibu tunggal, Hasnah Diran, 44, tertarik dengan bantuan bulanan bernilai RM400, yang disifatkan amat diperlukan oleh golongan sepertinya.

    “Walaupun tambahan hanya RM100 berbanding sekarang (pentadbiran PH), nilai itu cukup besar bagi saya yang hanya bekerja sebagai pembantu gerai. Harga barang semua dah naik, dapat tambah sikit pun kurang juga beban saya,” kata ibu empat anak yang akan mengundi di DUN Lembah Jaya.

    Skim bantuan prihatin keluarga Selangor itu seakan sama seperti program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), inisiatif PH yang menyediakan RM300 sebulan untuk keluarga kurang berkemampuan.

    Sementara itu, Faizul Rahman, 27, pengundi di Kota Damansara pula menyambut baik perluasan bantuan air percuma kepada mereka berpendapatan bawah RM15,000, berbanding terhad untuk kumpulan berpendapatan RM5,000 ke bawah seperti dilaksanakan kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari.

    Namun, beliau mencadangkan skim bantuan turut diperluaskan kepada bil elektrik yang ketika ini agak membebankan pengguna.

    “Ia sedikit-sebanyak membantu meringankan beban, sekarang kos sara hidup tinggi tetapi saya rasa perlu ada pembaharuan kerana bil air agak terkawal dan tidak semahal bil elektrik, rakyat terbeban dengan bil mencecah ratusan ringgit setiap bulan,” katanya.

  • Nik Abduh tarik balik keputusan ‘berpuasa’ politik

    Nik Abduh tarik balik keputusan ‘berpuasa’ politik

    BEKAS Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menarik balik keputusannya untuk ‘berpuasa’ daripada arena politik negara.

    Nik Abduh berkata demikian dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    “Saya berbuka puasa. Payah puasa politik rupanya. Kelat mulut,” ujarnya.

    Rata-rata komen yang ditinggalkan oleh pengikutnya meminta Nik Abduh kembali meneruskan perjuangan politik bagi menyambung legasi arwah bapanya, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Media pada 31 Julai melaporkan, Nik Abduh mengesahkan ‘berpuasa’ dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh.

    Perkhabaran tersebut dikongsikan beliau menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya..

    “Saya berpuasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda.

    “Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” katanya.