Category: Semasa

  • SPRM kata saya bukan suspek, kata Muhyiddin

    SPRM kata saya bukan suspek, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beliau untuk memberi kenyataan, bukan sebagai suspek dalam projek Jana Wibawa.

    Kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau memberikan kerjasama yang baik ketika memberi kenyataan dan SPRM juga menjalankan tugas mereka dengan baik.

    Namun bekas Perdana Menteri itu menegaskan, pasukan peguamnya sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap beberapa tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

    “Kita dah minta peguam kita teliti. Tak berhenti-henti fitnah terhadap saya. Anda semua baca, anda media, tuduhan macam-macam, media arus perdana bawa berita itu, televisyen pun bawa berita itu.

    “Saya ini dah 50 tahun dalam kerajaan, tiada kes tuduhan rasuah kepada saya. Tiada salah guna kuasa. Bukan nak kata itu tapi tak report saya lama-lama dulu masa Timbalan Perdana Menteri? Tiada.

    “Saya ikut peraturan. Saya nak tegaskan saya pegang teguh pada keluhuran undang-undang tapi mereka tak yakin. Mereka golongkan saya macam golongan perompak yang lain. Saya tidak begitu,” katanya, menurut Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, beliau ada prinsip dan akan sentiasa berpegang kepada prinsip yang benar.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Blood Donation Drive Anjuran Yayasan TSM Charity Golf di sini pada Sabtu.

    Muhyiddin turut meluahkan kekecewaan dengan beberapa kenyataan yang seolah-olah menuduh beliau salah guna kuasa dan rasuah.

    “Sesuatu perkara seperti itu tidak seharusnya mudah dikeluarkan kenyataan sampai hari ini… macam menuduh ini serius, yang dituduh ini, saya mantan Perdana Menteri, saya juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    “Tapi saya tahu muslihatnya adalah politik supaya orang akan marah saya orang fikir saya perompak, penipu salah guna kuasa.

    “Pertama kalau tidak curi duit, rasuahlah, tapi dia kata saya salah guna kuasa? Adakah saya salah guna kuasa?

    “Di mana pihak berkuasa tapi undang-undang, ada Akta Perbendaharaan Kewangan. Itu bukan di peringkat saya, itu di peringkat Kementerian Kewangan. Klau saya luluskan pun tidak sah,” tambahnya.

  • Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

    Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 10.30 pagi semalam selepas didapati dikendalikan kru warga asing tanpa izin (PATI).

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia dalam rondaan rutin OP PERTIWI dan OP TANJUNG terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di kedudukan 42.3 batu nautika barat laut Pulau Kendi.

    Jelas beliau, pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur antara 23 hingga 42 tahun.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan semua kru bot gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia ketika diminta penguat kuasa.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

    Tegas Abd. Razak, Maritim Malaysia mendapati masih lagi terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dibuat sebelum ini.

     
    Sehubungan itu, tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

     
    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Wajibkan elaun kepada pelatih industri – Armada

    Wajibkan elaun kepada pelatih industri – Armada

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) mendesak Kerajaan Pusat menggubal satu undang-undang yang mewajibkan majikan membayar elaun kepada pelajar pelatih (internship) supaya generasi muda negara tidak menjadi buruh kasar di negara sendiri.

    Pengerusi Biro Armada Bersatu Nasional, Harris Idaham Rashid berkata, pihak berkaitan perlu sedar pelajar intership juga perlu membiayi kos untuk hadir ke pejabat sama seperti pekerja lain.

    Sedangkan jelas beliau, syarikat swasta telah mengutip untung hasil daripda tenaga kerja termasuk pelajar internship berkenaan.

    “Syarikat juga telah menjimatkan satu amaun yang signifikan dengan mengambil pelajar internship untuk berkhidmat.

    “Maka wajar untuk Kerajaan Pusat mewajibkan satu elaun minima diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Presiden Malaysian Employers Federation (MEF) menolak cadangan supaya pelajar internship wajib diberi elaun ke atas kerja kerja mereka.

    Sehubungan itu, menurut Harris Idaham, Armada Bersatu mencadangkan supaya satu amaun minima diperkenalkan seperti yang dilaksanakan untuk gaji minima pekerja.

    Jelasnya, libat urus antara Kerajaan Pusat dan pemegang taruh harus dijalankan secepat mungkin supaya satu kata putus dapat dicapai.

    “Industri di Malaysia harus bergerak mengikut peredaran zaman, sudah tiada ruang untuk syarikat memperolehi perkhidmatan percuma daripada manusia.

    “Selari dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi negara maju, isu asas seperti menghormati tenaga keringat anak muda yang sedang menimba pengalaman berkerja harus diselesaikan dengan tuntas,” katanya.

  • Muhyiddin sahkan dipanggil SPRM beri keterangan projek Jana Wibawa

    Muhyiddin sahkan dipanggil SPRM beri keterangan projek Jana Wibawa

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan mengenai projek Jana Wibawa sebagaimana lapor media semalam.

    Memetik laporan Berita Harian, bekas Perdana Menteri itu berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.

    Jelas Muhyiddin semasa ditemui media hari ini, agensi itu memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan, bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.

    Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

  • Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000

    Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah RM7,000, bagi melepaskan individu yang melakukan kesalahan memiliki air ketum.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. 

    Lelaki itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • Rakyat tak tahu projek ECRL di rumah mereka

    Rakyat tak tahu projek ECRL di rumah mereka

    Oleh MOHAMED SUKRI OMAR

    MEMANDANGKAN beberapa surat bantahan rasmi yang dihantar sebelum ini tidak mendapat sebarang maklum balas, penduduk Taman Sungai Sireh membuat perhimpunan aman untuk menyatakan bantahan mereka.

    Mereka tidak tahu-menahu langsung tentang projek tersebut sehinggalah Ogos tahun lalu apabila media massa melaporkan berita mengenai pembinaan ECRL dan melalui portal rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia.

    Tidak ada juga mana-mana pihak berkepentingan yang datang memaklumkan secara berjumpa terus atau melalui surat rasmi bahawa Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan mengenai rumah mereka.

    Projek ECRL yang bermula sejak 2017 lagi ini sedang berlangsung dan akan disiapkan mengikut jadual. Kontraktor projek juga sudah mula membuat kerja mengukur tanah dan penandaan di kawasan taman.

    Pewartaan tanah pun telah dikeluarkan dan kediaman mereka akan diambil pihak MRL dan kerajaan negeri, namun penduduk masih tidak dipanggil dan dimaklumkan dengan baik oleh mana-mana wakil.

    Bahkan penduduk taman menubuhkan satu jawatankuasa bertindak untuk membuat usaha pertemuan dengan pihak MRL. Hanya setelah itu, penduduk tahu bahawa jajaran projek ECRL ini melalui taman mereka dan jumlah rumah yang akan terkesan.

    Tiada sebarang maklum balas.

    Jika perhimpunan dan memorandum yang dihantar melalui YB Kapar, Dr Halimah Ali ini juga tiada maklum balas, pihak jawatankuasa akan menghantar pula surat bantahan kepada Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri.

    Jika tidak berhasil juga, satu perhimpunan aman akan dibuat di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

    Sebelum isu ini lebih menyusahkan dan membuat penduduk lebih kecewa, perlu ada ruang untuk pihak kerajaan dengar suara hati rakyat dan perhalusi semula isu ini jika masih ada harapan kediaman penduduk Taman Sungai Sireh tidak diambil untuk projek ECRL ini.

    Rakyat tidak akan membantah sebarang usaha pembangunan dan kemajuan negara, namun kehidupan dan kebajikan rakyat tidak patut dikorbankan tanpa ada sebarang pembelaan dan ruang untuk bersuara.

    Penulis ialah Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Selangor

  • Kabinet setuju pindaan Perlembagaan beri kerakyatan anak lahir luar negara

    Kabinet setuju pindaan Perlembagaan beri kerakyatan anak lahir luar negara

    JEMAAH Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia mendapat kewarganegaraan.

    Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan bersama, pindaan itu dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat semasa selepas memenuhi keperluan undang-undang.

    “Kesan daripada keputusan hari ini adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka, lapor Free Malaysia Today.

    Bulan lepas, Azalina berkata, memo Jemaah Menteri yang mencadangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan ibu mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara akan diserahkan tidak lama lagi.

    Saifuddin dan Azalina berkata, cadangan pindaan Perlembagaan itu adalah untuk menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya”.

    “(Ini) bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

    Mereka berkata, pindaan lain berkaitan kewarganegaraan akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan dimuktamadkan, dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

    “Perkara ini sejajar dengan komitmen kerajaan perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia,” kata mereka.

    Tambah mereka, pindaan tersebut bertujuan “mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul, menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan
    tidak munasabah”.

    Selain itu, pindaan tersebut diharapkan dapat memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

    Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan automatik kerana Perlembagaan hanya memperuntukkan kewarganegaraan melalui bapa.

    Dalam penghakiman 2-1 yang memihak kepada kerajaan, mahkamah memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia boleh dinafikan kewarganegaraan kerana perkataan “bapa” dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan berkaitannya dalam Jadual Kedua adalah “jelas dan tidak taksa”, dan tidak boleh ditafsirkan untuk merangkumi ibu.

    Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 2021 bahawa kerajaan mesti memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia kerana perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua perlembagaan mesti bermakna dan merangkumi ibu.

    Dalam membenarkan beberapa relief pengisytiharan yang diminta oleh NGO dan enam ibu bahawa peruntukan tertentu mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan bersifat diskriminasi, hakim Akhtar Tahir berpendapat, ibu berhak untuk memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang dalam semua proses, sama seperti bapa.

  • Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah selepas menahan 14 individu termasuk dalang utama dalam serbuan baru-baru ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata 11 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 43 tahun itu ditahan bersama lima kenderaan mewah yang dicuri.

    Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan pusat jualan dan bengkel kereta, valet parking serta kedai cuci kereta untuk mencuri kenderaan mewah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

    “Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pembeli atau pemilik kenderaan dan memperdaya pekerja kedai terbabit untuk menyerahkan kunci sebelum bertindak melarikan kereta berkenaan.

    “Sindiket ini juga dikesan pernah mendapatkan khidmat ‘jockey’ untuk menghantar beberapa kenderaan dicuri ke Thailand melalui sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata pihaknya menerima 14 laporan berhubung aktiviti sindiket itu yang menyasarkan kenderaan mewah daripada jenama Mercedes Benz, Toyota, Honda dan Volkswagon, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    MALANG tidak berbau. Seorang pemandu e-hailing maut dihempap kereta miliknya ketika sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di parkir kawasan perumahan di Presint 5, di Putrajaya hari ini.

    Ketua Polis Daerah, ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 29, sedang menukar minyak hitam dan membaiki brek tayar hadapan di sebelah kanan kereta Perodua Bezza miliknya sebelum dihempap kenderaan itu dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu.

    “Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, serta menambah pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat, katanya. – BERNAMA

  • Mansuh pertandingan, sambutan tak beri impak antara 7 langkah KPM kurang beban guru

    Mansuh pertandingan, sambutan tak beri impak antara 7 langkah KPM kurang beban guru

    SEBARANG bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid dan hanya membeban tugas guru di sekolah dimansuhkan Kementerian Pendidikan (KPM).

    Sebagai contoh ialah, pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi SPBT terbaik dan seumpamanya.

    Menurut KPM dalam satu kenyataan yang dipetik Berita Harian, ia antara tujuh langkah pelaksanaan segera ke arah kesejahteraan guru.

    Enam langkah lain yang diumumkan ialah mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang membabitkan guru kepada setahun sekali saja.

    Turut ditekankan menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu jam 12 tengah hari untuk sesi pagi dan jam 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

    Kementerian juga membuka pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kepada individu selain guru.

    Ini termasuk penjawat awam yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

    Langkah lain ialah mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja.

    Menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat kementerian bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

    Kementerian juga memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.