Category: Semasa

  • Harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800

    Harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800

    AHLI Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800, manakala pakej umrah premium atau VIP bermula dari RM14,000.

    Menurut Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, persetujuan mengenainya dicapai dalam satu perjumpaan bersama ahli PAPUH di Hotel Grand Barakah (GBH), Ampang, di sini, semalam.

    “Perjumpaan bertujuan membincangkan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan dan juga hotel penginapan di Madinah dan Mekah.

    “Antara dikenal pasti ialah permintaan mengerjakan ibadah umrah yang tinggi jemaah dari seluruh dunia.

    “Oleh yang demikian, ahli mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula dari RM7,800 manakala pakej umrah premium atau VIP bermula dari RM14,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Razali berkata, pihak PAPUH berharap supaya bakal jemaah umrah memahami keadaan yang berlaku sekarang di atas kenaikan harga pakej.

    Beliau menambah, pihak PAPUH juga menyarankan bakal jemaah umrah berhati-hati dalam memilih pakej umrah terutama pada harga yang tidak munasabah untuk mengelak berlakunya penipuan.

  • Kerajaan Terengganu sedia bincang dengan penerbit filem Pulau

    Kerajaan Terengganu sedia bincang dengan penerbit filem Pulau

    KERAJAAN Terengganu sedia bertemu dengan penerbit filem Pulau, Fred Chong bagi membincangkan mengenai isu pengharaman naskah kontroversi tersebut di pawagam di negeri ini.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan memberikan ruang kepada pihak berkaitan mengemukakan hujah atau justifikasi berkenaan filem itu bagi membolehkan pertimbangan atau kajian berkaitan pengharamannya dibuat semula.

    Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri masih berpendirian untuk mengekalkan pengharaman filem tersebut berdasarkan treler yang bertentangan dengan agama dan norma budaya masyarakat timur.

    “Hujah beliau bahawa treler itu tak sepenuhnya sebagaimana dalam filem adalah di luar pengetahuan kita. 

    “Jadi kita tunggu apa bentuk rayuan atau justifikasi yang beliau akan berikan. Kita akan beri ruang untuk menilai hujah-hujah yang dikemukakan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.

    Menurut Ahmad Samsuri beliau juga menolak pendapat sesetengah pihak bahawa Terengganu mengamalkan padangan sempit dengan mengharamkan filem berkenaan. 

    Katanya sudah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk menjaga moral rakyat dalam usaha mendapatkan keberkatan dan memelihara keharmonian negeri.

    “Kita nak kekalkan Terengganu supaya berada dalam keadaan yang maju, berkat dan sejahtera. Berkat inilah yang hendak kita jaga supaya rakyat terpelihara dari aspek moral dan akhlak,” katanya. – BERNAMA

  • Tuntutan bertindih punca lewat agih bantuan banjir – Ahmad Samsuri

    Tuntutan bertindih punca lewat agih bantuan banjir – Ahmad Samsuri

    TUNTUTAN bertindih menjadi punca kelewatan agihan bantuan tunai kepada mangsa banjir di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Menurut Ahmad Samsuri terdapat pasangan suami isteri yang mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri.

    Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpaksa melakukan semakan dan penyelarasan semula bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama.

    “Ada dua daerah yang belum mengemukakan senarai kerana masalah ini (tuntutan bertindih). Ini menyebabkan JPKK terpaksa semak semula.

    “Malah ada juga kes yang tak layak terima pun menuntut. Keadaan inilah yang melambatkan proses agihan kepada mangsa yang benar-benar layak,” katanya selepas merasmikan Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

    Bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata beliau telah mengarahkan supaya masalah tersebut diselesaikan segera.

    Beliau berkata dianggarkan 26,000 ketua isi rumah (KIR) di Terengganu akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 pada awal Mac ini.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata beliau akan mengadakan pertemuan rasmi buat pertama kali dengan pemimpin utama negeri Khamis ini, bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pertemuan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur itu akan melibatkan Menteri Besar Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang. – BERNAMA

  • Peratusan undi Melayu PRU-15: Penganalisis persoal metodologi kajian PH

    Peratusan undi Melayu PRU-15: Penganalisis persoal metodologi kajian PH

    DAKWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) mendapat 31 peratus undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak meyakinkan seorang penganalisis.

    Menurut Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), PH perlu menjelaskan bagaimana metodologi dan kaedah yang digunakan dalam merumuskan peratusan berkenaan.

    “Angka itu hanya anggaran. Untuk membuat anggaran, perlu melihat kepada peti undi dalam satu-satu Parlimen dan kemudian melihat demografi Melayu dan bukan Melayu,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Pada satu sidang akhbar baru-baru ini, Anwar menafikan dakwaan sokongan Melayu kepada PH berada pada tahap rendah.

    Angka 31 peratus itu katanya diperoleh daripada dapatan pasukan penyelidik PKR.

    Menurut presiden PKR itu, sokongan kepada PH berada pada tahap rendah di Kelantan dan Terengganu, namun melebihi 50 peratus di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Beliau dipercayai merujuk kepada peratusan oleh pengkaji dari Amerika Syarikat (AS) Bridget Welsh.

    Welsh menerbitkan dapatan awal yang menunjukkan PH hanya memperoleh 11 peratus undi Melayu.

    Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 33 peratus undi Melayu manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh baki selebihnya.

    Mazlan berkata, penyelidik tidak akan mempunyai data tepat kerana mereka tidak mengetahui kaum pengundi, melainkan nombor siri pada kertas undi dipadankan dengan maklumat pengundi.

    “Mustahil perkara ini dapat dibuat, lagi pun undi itu rahsia,” katanya.

    Mazlan, yang menjalankan tinjauan sebelum PRU15 berkata, PH memperoleh kira-kira 18 peratus purata undi Melayu.

    Menurut Mazlan, beliau menjalankan kajian di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar.

    Tinjauan secara fizikal katanya, jauh lebih tepat berbanding panggilan telefon yang mungkin tidak dijawab dengan baik oleh responden yang dihubungi pihak pengkaji.

    Tinjauan menerusi panggilan telefon ialah satu cara yang pernah digunakan oleh badan pemikir yang dikepalai Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Invoke.

    Di bandar, sokongan Melayu kepada PH berada pada kira-kira 25 peratus, separa bandar (18-20%) dan luar bandar (7%).

    “Namun angka 18 peratus ini tidak semestinya diterjemahkan dalam PRU. Mungkin pada saat-saat akhir ada isu yang menyebabkan penolakan atau penambahan undi kepada PH.

    “Ada responden yang tiada masalah menjawab parti mana yang disokong, ada yang tidak tahu. Peratusan yang tidak tahu atau atas pagar melebihi kumpulan yang sudah membuat keputusan,” katanya.

    Menurut Mazlan, angka sokongan kepada PH itu boleh meningkat kepada 25 peratus selepas responden membuang undi.

    Katanya, PH banyak menang di kawasan majoriti Melayu di pantai barat, sekali gus menjadikan angka 11 peratus sokongan Melayu kepada PH yang disebut-sebut sebelum ini sebagai mustahil.

    PH menjadi blok terbesar di Parlimen selepas memenangi 82 kerusi, diikuti PN dengan 74 kerusi.

    BN pula menang 30 kerusi dan selebihnya ialah parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

    Dalam pada itu, Mazlan berkata perbincangan mengenai angka sokongan kekal menjadi subjektif.

    “Dapatan kajian juga mungkin berubah.

    “Sikap responden semasa kajian dijalankan tidak sama dengan semasa mereka memangkah kertas undi.”

  • Cili, terung panjang naik harga

    Cili, terung panjang naik harga

    BEBERAPA jenis sayur di negara ini terutama cili didapati mengalami sedikit kenaikan harga.

    Ia berdasarkan perbandingan dibuat mengikut paparan cadangan harga pasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan laman sesawang ‘Price Catcher’ disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

    Memetik laporan Berita Harian, mengikut perbandingan itu, cili merah dan cili hijau di sebuah pasar raya di Putrajaya dijual pada harga sedikit tinggi, iaitu RM12 sekilogram (kg) berbanding RM10 dicadangkan FAMA.

    Selain itu, terung panjang di Pasar Pudu pula dijual pada RM11kg berbanding RM9 dicadangkan FAMA.

    Bagaimanapun, terdapat juga penurunan harga berbanding yang dipaparkan FAMA, termasuk kacang panjang yang dicadangkan pada harga RM8kg, namun dijual pada RM6.99, manakala kobis bulat diunjurkan pada harga RM3kg, tetapi ada peniaga menjual pada RM1.69.

    Timun dan sawi turut dijual lebih murah, masing-masing pada RM2.90 dan RM3.69kg, berbanding RM9 dan RM6.25kg harga pasaran dicadangkan FAMA.

    Jurucakap FAMA memaklumkan, kenaikan harga melebihi kadar cadangan dipaparkan agensi berkenaan adalah wajar sekiranya ia dijual di pasar raya besar kerana turut mengambil kira kos logistik yang perlu ditanggung.

  • Kit Siang tak layak tegur kredibiliti PN, kata Wan Saiful

    Kit Siang tak layak tegur kredibiliti PN, kata Wan Saiful

    PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang didakwa sudah tidak ada pendirian moral untuk bercakap soal kredibiliti politik sesiapapun, termasuk Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana Kit Siang sebenarnya telah menggadai prinsip perjuangan dan maruah dirinya apabila berdiam diri melihat Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat rundingan pintu belakang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

    “Mana suara Uncle Lim apabila Presiden UMNO yang masih mempunyai 47 pertuduhan mahkamah dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Adakah Uncle Lim sanggup terima kleptokrat dan perasuah demi kuasa dan kedudukan?

    “Mana suara Uncle Lim dalam isu nepotisme membabitkan Anwar Ibrahim? Adakah Uncle Lim takut orang tersedar bahawa dia juga mengamalkan nepotisme untuk memberi tempat dalam parti kepada anak dan menantu sendiri?

    “Saya faham Uncle Lim terpaksa bercakap walaupun dah bersara sebab setakat ini Anwar belum bagi jawatan kepada anak lelaki harapan Uncle Lim.

    “Saya ucapkan good luck, Uncle Lim. Semoga anak dan menantu Uncle Lim diangkat oleh Anwar. Lagipun perangai nepotisme dah lebih kurang sama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Terdahulu, Lim Kit Siang dalam ruangan Malaysiakini mengkritik Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin, telah melakukan dua kesilapan pada hari pertama selepas istiadat pembukaan Parlimen ke-15 oleh Yang di Pertuan Agong pada Isnin, 13 Februari lalu.

    Menurut Wan Saiful, beliau terpaksa menegur Kit Siang kerana meskipun sudah berasa, veteran DAP itu terlupa untuk mencermin muka sendiri.

    “Saya antara generasi baru dalam Dewan Rakyat. Saya tahu sejarah dan saya hormat Lim Kit Siang selaku pemimpin veteran dalam arena politik tanah air.

    “Tetapi apabila Uncle Lim yang dah bersara terlupa untuk mencermin muka sendiri, saya terpaksa tegur,” tambahnya.

  • Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    KERAJAAN Kelantan bersedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau menjangkakan perkara itu akan dibincang dalam pertemuan tidak langsung menteri-menteri besar yang hadir sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu depan, bagi mencari kata sepakat tentang tarikh sesuai diadakan PRN.

    “Pertemuan adalah sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja, itu merupakan perkara biasa dengan menteri besar akan berperanan mengiringi serta menjadi penasihat kepada Raja-Raja Melayu negeri masing-masing.

    “Jadi, pada masa sama kita juga mungkin akan adakan perbincangan secara tidak langsung mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh PRN.

    “Tempoh akhir bagi DUN Kelantan adalah pada 26 Jun, (namun) saya rasa PRN boleh dilaksanakan pada bila-bila masa kerana kita telah bersedia untuk menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad berkata kerajaan Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai soladiriti kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

    “Kita (kerajaan negeri) sangat bersimpati dengan bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua negara berkenaan dengan jumlah mangsa korban mencecah lebih 40,000 orang.

    “Kita menyumbang walaupun jumlahnya tidak seberapa bagi membantu rakyat kedua-dua negara yang terlibat,” katanya. – BERNAMA

  • Polis buru lima suspek kes samun bersenjatakan parang

    Polis buru lima suspek kes samun bersenjatakan parang

    POLIS sedang memburu lima suspek kes samun bersenjata di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Petaling, Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian pada sebelah petang itu, lima suspek yang memakai topeng, sarung tangan serta bersenjatakan parang telah meletakkan kenderaan mereka di laluan belakang sebuah rumah sebelum memasuki kediaman itu melalui pintu belakang.

    Beliau berkata lima sekeluarga berumur 38 hingga 70 tahun berada di dalam rumah itu semasa kejadian, dan suspek mengikat tangan serta menutup mulut empat daripada mereka sebelum ditempatkan di dalam dua bilik, manakala seorang lagi mangsa tidak diikat, dipercayai atas faktor usia.

    Menurutnya beberapa suspek turut memukul seorang mangsa perempuan berusia 45 tahun di bahagian hidung dan badan sebelum mengetuk kepalanya menggunakan belakang parang sehingga menyebabkan kecederaan.

    “Suspek kemudian menyelongkar bilik dan melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, barang kemas bernilai sekitar RM20,000 dan lima telefon bimbit, sebelum keluar melalui pintu sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Cha berkata kereta yang digunakan suspek kemudiannya dijumpai di sebuah lorong di kawasan perumahan Taman Desawan, Klang, dan semakan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor plat palsu.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan auspek atau kejadian itu diminta menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Klang Selatan dengan menelefon 03-33762222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

    Beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan samun, dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebatan.

    Terdahulu satu rakaman video berkaitan kejadian itu didapati tular di media sosial, memaparkan sekumpulan lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah dan menaiki sebuah kereta. – BERNAMA

  • KJ akhirnya menang pemilihan, kini Naib Presiden PKBM

    KJ akhirnya menang pemilihan, kini Naib Presiden PKBM

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipilih sebagai Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang baharu pada pemilihan jawatankuasa badan induk itu di Melaka semalam.

    Memetik laporan Berita Harian, Khairy atau turut dikenali sebagai KJ dipilih sebagai naib presiden 5 apabila berjaya meraih 33 undi manakala Datuk Amarjit Singh diangkat naib presiden 1 dengan 71 undi.

    Seramai 10 calon bertanding bagi merebut jawatan berkenaan, namun hanya lima terpilih.

    “Nasib baik saya menang pemilihan ini. Kalau tak, maknanya saya kalah semua pertandingan,” katanya yang sebelum ini tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi Parlimen Sungai Buloh, November tahun lalu.

    Dalam pada itu mengikut kenyataan sama PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab kekal menjawat jawatan presiden badan induk berkenaan buat penggal kesembilan berturut-turut apabila menang tanpa bertanding.

    Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) akan menyandang jawatan berkenaan bagi penggal 2023-2026.

    Dalam pada itu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), melakar kejutan besar apabila meraih hampir 100 peratus undi dengan meraih 71 darpada 72 undi untuk jawatan naib presiden 1.

    “Saya terharu dengan sokongan daripada perwakilan negeri. Ini menunjukkan perwakilan negeri percaya saya boleh memberi sumbangan positif kepada sukan berbasikal. Pada waktu yang sama, saya akan menjaga kepentingan UCI dan ACC dengan baik,” katanya.

    Bagi jawatan timbalan presiden pula, pertandingan menyaksikan kejutan terbesar apabila penyandang jawatan, Yunus Ibrahim dari Negeri Sembilan tewas apabila hanya memperoleh 26 undi berbanding 45 diraih lawannya, Mazlan Md Jail.

    Mazlan mengaku sangat terkejut dengan keputusan itu namun bersedia memikul tanggungjawab selaku timbalan presiden baharu dan berjanji akan memberikan sumbangan terbaik bagi mengekalkan martabat Malaysia sebagai antara kuasa berbasikal terbesar di Asia.

    “Saya sangat terkejut. Namun, saya percaya ini adalah satu keputusan daripada semua perwakilan negeri. Saya anggap ini hari bertuah kepada diri saya. Saya berjanji akan bekerjasama erat membantu Presiden PKBM (Datuk Abu Samah Abd Wahab),” katanya.

    Mohd Shaiful Abd Jalil daripada Putrajaya turut melakar kejayaan apabila dipilih sebagai naib presiden 2 dengan 54 undi manakala calon Kedah, Dr Zaim Ahmad menjadi naib presiden 3 apabila memungut 46 undi disusuli wakil Melaka, Norazman Abu Samah yang meraih 42 undi.

    Terdahulu, Abu Samah dalam ucapan pembukaan mengharapkan semua pelumba khususnya jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan meneruskan kecemerlangan di Sukan Olimpik 2024 di Paris nanti.

    Sebagai permulaan, beliau berharap Kejohanan Lumba Basikal Asia (Trek) 2023 (ACC 2023) di Velodrom Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan akan menjadi medan terbaik untuk Azizul menyerlahkan kehebatannya sekali gus meraih lebih banyak mata kelayakan Sukan Olimpik 2024.

    Pada masa yang sama, beliau menjelaskan PKBM akan menganjurkan 76 kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk Jelajah Malaysia, Le Tour de Langkawi, Tour of Femina dan Tour of Peninsula.

    Jawatankuasa Tertinggi PKBM penggal 2023-2026

    Presiden: Datuk Abu Samah Abd Wahab (Menang tanpa bertanding)

    Timbalan Presiden : Mazlan Md Jail (45 undi)

    Naib Presiden 1 : Datuk Amarjit Singh (71 undi)

    Naib Presiden 2 : Mohd Saiful Abd Jalil (54 undi)

    Naib Presiden 3 : Dr Zaim Ahmad (46 undi)

    Naib Presiden 4 : Norazman Abu Samah (42 undi)

    Naib Presiden 5 : Khairy Jamaluddin (33 undi)

  • Lelaki berburu maut dengan 43 kesan tembakan peluru penabur

    Lelaki berburu maut dengan 43 kesan tembakan peluru penabur

    SEORANG lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa tembakan dilepaskan abang dan adiknya ketika mereka keluar berburu di kawasan hutan berdekatan Sungai Boyuh, Kampung Jugan di Bau, malam kelmarin.

    Terdapat 43 kesan tembakan peluru penabur pada badan, tangan dan paha mangsa berusia 49 tahun itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, polis dihubungi pihak Hospital Bau memaklumkan seorang lelaki tempatan meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika berburu pada pukul 11.45 malam.

    “Sehubungan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menahan dua lelaki berusia 40 dan 50 tahun iaitu abang dan adik mangsa pada pukul 5 petang semalam.

    “Pihak polis kemudian merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, sebutir kelongsong peluru dan sejumlah peluru hidup,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Nyaon berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah dibawa ke mahkamah Bau untuk dimohon tahanan reman.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.