Category: Semasa

  • Peperiksaan SPM 2022 bermula 20 Feb, libatkan 403,637 calon

    Peperiksaan SPM 2022 bermula 20 Feb, libatkan 403,637 calon

    SERAMAI 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula esok hingga 15 Mac, melibatkan 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.

    Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

    “Semua calon diingatkan agar sentiasa merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

    “Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” menurut kenyataan itu.

    KPM turut mengingatkan para calon untuk mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.

  • Operasi Bersepadu Khazanah: Lebih RM4.96 juta rampasan tahun ini

    Operasi Bersepadu Khazanah: Lebih RM4.96 juta rampasan tahun ini

    SERAMAI 11 individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam lapan siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bagi membendung perdagangan, pencerobohan dan perburuan hidupan liar tanpa permit bermula 1 Jan hingga Khamis lepas di seluruh negara.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata operasi itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM4.96 juta dengan satu daripada serbuan itu mendapat penghargaan daripada Global Tiger Forum iaitu sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi habitat asal harimau.

    “Penghargaan itu diperoleh apabila Biro Jenayah Hidupan Liar serta Perisikan Siasatan Khas (PSK) pihak polis berjaya menahan seorang lelaki di Selangor dan merampas 69 hidupan liar dengan jumlah rampasan bernilai RM1.2 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

    Noorsiah berkata dalam serbuan OBK tahun lepas, sebanyak 23 kes direkodkan membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM2.68 juta.

    Katanya hasil operasi itu, pelbagai hidupan liar daripada spesies yang dilindungi berjaya diselamatkan seperti burung murai batu, blue monkey, kucing batu, burung hill myna, burung helang, musang, iguana dan ayam hutan.

    Beliau berkata dalam operasi tahun lepas juga, polis berjaya membongkar kegiatan penyeludupan haiwan melalui jalan laut menggunakan bot nelayan selepas dua lelaki termasuk seorang lelaki warga Vietnam ditahan di Kelantan.

    Menurutnya hasil penahan itu, polis berjaya merampas 59 sangkar besi berisi musang dan satu sangkar burung ruak-ruak.

  • Jana Wibawa: Tengku Zafrul tak sembuyi apa-apa, sedia beri keterangan

    Jana Wibawa: Tengku Zafrul tak sembuyi apa-apa, sedia beri keterangan

    BEKAS Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz sedia untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung bantuan rangsangan Covid-19 Jana Wibawa.

    “Tiada apa yang hendak disembunyi berhubung dana projek itu.

    “Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” katanya dalam satu hantaran di Instagram lapor FMT.

    Terdahulu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung bantuan rangsangan Covid-19 Jana Wibawa, dan beliau bukan suspek dalam siasatan itu.

    Muhyiddin berkata, Jana Wibawa, pakej yang bertujuan membantu kontraktor Bumiputera, dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan.

    Tambahnya, agensi anti-rasuah itu mungkin akan memanggil bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, untuk turut disoal siasat.

    Menyatakan bahawa projek itu dicadangkan Tengku Zafrul, Muhyiddin berkata, beliau mempersetujuinya kerana kontraktor dan vendor Bumiputera antara yang paling teruk terjejas semasa wabak Covid-19 sambil menjelaskan beliau tidak pernah menerima bayaran sehingga RM300 juta daripada kontraktor di bawah projek itu dan menganggap tuduhan ke atas beliau sebagai tidak berasas.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengambil keterangan Tengku Zafrul bagi membantu siasatan.

    Azam berkata, tindakan itu dilakukan selepas agensi berkenaan memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan berhubung siasatan sama.

    Jelas beliau, siasatan sedang giat dijalankan dan beberapa lagi saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan.

  • MEF ramal 60,000 hilang kerja tahun ini

    MEF ramal 60,000 hilang kerja tahun ini

    KUMPULAN majikan terbesar di negara ini bimbang 60,000 dijangka kehilangan pekerjaan tahun ini, atau dua kali ganda purata tahunan sebelumnya.

    Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan pekerjaan yang akan terjejas adalah dalam sektor pembuatan dan pembinaan.

    Bagaimanapun, menurut Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), pasaran kerja dijangka stabil tahun ini susulan pemulihan pasaran buruh, dengan kadar pengangguran dilihat menurun kepada 3.6 peratus pada Disember.

    Syed Hussain berkata, pengangguran akhirnya bergantung kepada situasi ekonomi, terutama sejauh mana prestasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini.

    “Memandangkan 98 peratus perniagaan di negara ini terdiri daripada PKS, sokongan kerajaan sangat penting untuk membantu perniagaan terus bertahan, terutama selepas berdepan wabak Covid-19.

    “Kita perlu tunggu dan lihat apa yang ditawarkan untuk PKS dalam Bajet 2023. Tahun ini bukan mudah bagi perniagaan, namun masih dapat ditangani,” katanya memetik laporan FMT.

    Katanya, kelembapan dijangka berlaku dalam sektor pembuatan dan pembinaan, manakala perniagaan runcit dan perkhidmatan mungkin bergelut kerana bergantung kepada perbelanjaan domestik, selain ketibaan pelancong antarabangsa.

    Katanya, jika orang ramai mengurangkan perbelanjaan akan menyaksikan lebih banyak pemberhentian pekerja berlaku dalam sektor terbabit.

    “Sekiranya kita dapat mencapai sasaran pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), sepatutnya okey,” katanya.

    Bank Negara Malaysia menganggarkan ekonomi berkembang antara 4 hingga 5 peratus tahun ini.

    Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata, pihaknya tidak menjangkakan sebarang pemberhentian pekerja secara besar-besaran pada tahun ini.

    Katanya, pertumbuhan ekonomi 8.7 peratus tahun lepas menjadi petunjuk yang baik bagi sektor perniagaan.

    Dapatan awal menerusi kaji selidik FMM berhubung situasi perniagaan menunjukkan pasaran kerja kekal stabil walaupun prospek lemah bagi separuh pertama 2023.

    “Bersandarkan usaha berterusan majikan melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja, dan sokongan kerajaan dalam membantu penganggur memperoleh kemahiran yang tepat untuk diambil bekerja, pasaran buruh kekal berdaya tahan dan kukuh pada 2023,” katanya.

  • Hanya SPR boleh isytihar kerusi kosong, kata bekas pegawai

    Hanya SPR boleh isytihar kerusi kosong, kata bekas pegawai

    BEKAS pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan hanya badan itu sahaja berkuasa mengisytiharkan kekosongan kerusi.

    Ini susulan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim mengumumkan kerusi Batang Kali kosong pada Khamis, selepas penyandangnya daripada Pejuang, Harumaini Omar, gagal hadir ke sidang DUN lebih enam bulan, sejak 28 Jul tahun lepas.

    Harumaini bagaimanapun menuntut Ng menarik semula kenyataannya dan menyatakan Speaker tidak mempunyai hak mengisytiharkan kekosongan kerusi.

    “Perkara itu prerogatif SPR, seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Bercakap kepada FMT, Wan Ahmad Wan Omar, yang menjadi Timbalan Pengerusi SPR dari 2004 hingga 2013 berkata, Speaker tidak mempunyai kuasa mengisytiharkan kekosongan kerusi.

    “Tindakan Speaker tepat, memaklumkan kepada SPR berhubung kerusi yang dikatakan kosong itu, namun bukan (peranan) Speaker mengisytiharkan kekosongannya.

    “Itu (peranan) SPR, selepas mendapat semua fakta berhubung perkara berkenaan.

    “Apa sahaja berkaitan pengisytiharan kekosongan kerusi, kuasa itu milik SPR. Itu tanggungjawab SPR, bukan pihak lain.

    “Hanya SPR sahaja boleh secara rasmi mengisytiharkan kekosongan kerusi, dan seterusnya menentukan tarikh kekosongan termasuk tarikh untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan tersebut,” katanya memetik laporan FMT.

    Bagaimanapun, kata Wan Ahmad, berbeza sekiranya kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya, penyandang hilang kelayakan mengikut undang-undang, diisytihar bankrap, atau disabit bersalah atas kesalahan jenayah dengan denda melebihi RM2,000, atau setahun penjara.

    Katanya, kes melibatkan Harumaini mesti ‘ditafsir dengan tepat’ dalam konteks undang-undang dan undang-undang tubuh negeri.

    Wan Ahmad menambah, beliau menganggap Ng sudah merujuk perkara itu kepada penasihat undang-undang negeri sebelum membuat pengumuman.

    Dalam kenyataan pada Jumaat, Harumaini berkata, Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958 menetapkan kerusi DUN hanya boleh diisytiharkan kosong oleh SPR.

    Tambahnya, beliau hanya terlepas Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima DUN Selangor Ke-14, bermula 23 Nov 2022.

    Harumaini turut menyatakan, pengiraan tempoh enam bulan hanya bermula dari 23 Nov 2022 dan berakhir 22 Mei 2023.

    Beliau memberi tempoh tiga hari kepada Ng untuk menjawab, sebelum mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadapnya.

    FMT telah cuba mendapatkan ulasan lanjut daripada Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.

  • Kerajaan tak patut terlibat dalam perniagaan, kata Johari

    Kerajaan tak patut terlibat dalam perniagaan, kata Johari

    KERAJAAN sewajarnya tumpu kepada mentadbir negara, kata bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani, ketika menegur kecenderungan pemerintah untuk terlibat dalam perniagaan.

    Ahli Parlimen Titiwangsa itu mengambil contoh pelancaran 5G dan berkata langkah paling wajar adalah kerajaan berurusan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi secara langsung berbanding menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB).

    “Apabila kerajaan Thailand mahu melaksanakan 5G, mereka tidak menubuhkan entiti baharu untuk melaksanakannya. Ia dilancarkan dengan pantas dan lancar,” katanya dalam temubual FMT.

    DNB sebuah entiti kegunaan khas 100% milik Kementerian Kewangan Diperbadankan. Ia diberi tanggungjawab membina dan mengurus rangkaian 5G serta menjadi penyedia borong tunggal perkhidmatan 5G.

    Teknologi 5G sepatutnya dilancarkan pada hujung 2021 namun pelancarannya dilanda kelewatan. Beberapa pengendali rangkaian tidak mahu membeli spektrum itu pada peringkat awal atas sebab harga dan berkaitan ketelusan.

    Syarikat telekomunikasi kedua terbesar, Maxis, yang mempunyai kira-kira 20 juta pelanggan, dilaporkan masih belum menyertai rangkaian 5G DNB.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember mengarahkan pelancaran 5G dikaji semula kerana “tidak dilakukan secara telus, tanpa proses tender yang betul.”

    DNB menafikan dakwaan itu.

    “Kerajaan tubuhkan syarikat untuk berurusan dengan syarikat telekomunikasi tetapi mereka tiada keyakinan terhadap entiti kerajaan itu,” kata Johari.

    Itu antara sebab mengapa kemajuan pelancaran 5G ketika ini hanya sekitar 40%, kerana pelaksanaannya tidak mendapat sokongan penuh pemain industri, katanya.

    Sekiranya pelaksanaan itu tidak berjaya, kerajaan yang membelanjakan kira-kira RM16.5 bilion untuk prasarana 5G bagi 80% liputan tidak akan dapat semula pelaburannya.

    “Tetapi jika anda berikan kepada sektor swasta, mereka tahu cara mengendalikannya. Kita hanya perlu pastikan kita mengawal mekanisme untuk memastikan ia memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat.”

    Johari menganggarkan hasil kira-kira RM5 hingga RM6 bilion boleh diraih daripada pajakan spektrum kepada penyedia rangkaian.

    “Penyedia rangkaian itu kemudian akan melabur dalam pelancaran yang dipacu permintaan, yang bukan sahaja lebih pantas berbanding DNB tetapi sampai kepada golongan masyarakat dan industri yang perlukan 5G.”

    Johari berkata kesan gandaan ekonomi daripada kerahan sektor swasta akan mencipta lebih banyak pekerjaan.

    “Itu yang sepatutnya dilakukan kerajaan, bukannya berniaga. Pemerintah (harus) tumpu pada mentadbir kerajaan dan mengutip cukai,” katanya.

    “Apabila kerajaan mula berniaga, di situlah banyak masalah timbul.”

  • Kerugian angkara ‘scammer’ cecah RM52.4 juta

    Kerugian angkara ‘scammer’ cecah RM52.4 juta

    NATIONAL Scam Response Center (NSRC) merekodkan kerugian sejumlah RM52.4 juta akibat sindiket penipuan dalam talian di Malaysia.

    Menurut Pengarah Bahagian Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Md Zainizam Mat Jenu, rekod yang dicatatkan itu adalah berdasarkan keseluruhan laporan yang diterima semenjak Oktober 2022 hingga Januari lalu.

    “Sepanjang tempoh itu pihak NSRC telah menerima 16,752 panggilan yang mana 6,277 daripadanya merupakan aduan berhubung kes penipuan dalam talian.

    “Hasil laporan itu turut mendapati sebanyak 12,877 akaun bank disyaki sebagai keldai akaun.

    “Saya ingin ingatkan kepada mereka yang sengaja menjual atau menyewakan akaun mereka kepada pihak-pihak sindiket ini, sekiranya berlaku apa-apa, anda boleh didakwa di mahkamah,” katanya semasa Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom di Petaling Jaya, semalam.

    Hadir sama Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail dan Ketua Bahagian (Memangku) Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber CyberSecurity Malaysia (CSM), Mohd. Zabri Adil Talib.

    Md. Zainizam berkata, kewujudan keldai akaun tersebut memberi sedikit kerumitan kepada pihak berkuasa dalam menjejaki sindiket berkenaan kerana berupaya menghilangkan jejak jenayah mereka.

    Sementara itu, beliau menyatakan yang kerajaan kini sedang berusaha mewujudkan satu akta bagi pengurusan harta sindiket yang berjaya dibekukan.

    “Sekiranya ia berjaya diluluskan, aset-aset itu akan digunakan kerajaan bagi kebajikan negara,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Penuntut UniKL dikhuatiri lemas ketika mandi di Tanjung Rhu

    Penuntut UniKL dikhuatiri lemas ketika mandi di Tanjung Rhu

    SEORANG penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, di Langkawi, semalam.

    Menueut Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, mangsa Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20 tahun, berasal dari Batu 8 1/2 Jalan Jelai, Mukim Tajar, Langgar, baru dua minggu datang ke Langkawi untuk menjalani latihan amali.

    “Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menerima laporan kejadian pada jam 7.20 petang, terdapat seorang lelaki lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu.

    “Mangsa merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai, tiba-tiba lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana alun air kuat.

    Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan seramai 57 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

    “Operasi ditangguhkan jam 12 tengah malam dan akan disambung pagi ini,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Bila Zahid nak saman Raja Petra isu skandal LCS, soal Sayap Bersatu

    Bila Zahid nak saman Raja Petra isu skandal LCS, soal Sayap Bersatu

    KETUA penerangan sayap Bersekutu Bersatu, S Subramaniam mempersoalkan bilakah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan saman fitnah terhadap Raja Petra Kamarudin atau lebih dikenali sebagai RPK.

    Ini berikutan penulis blog itu mendakwa Zahid menerima sogokan RM67 juta dalam projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS).

    “Pada hari penamaan calon (PRU lalu), Zahid berkata dia akan mengemukakan saman fitnah terhadap RPK.

    “Namun sehingga hari kini setahu pengetahuan kami tidak ada sebarang notis saman diserahkan kepada penulis blog itu.

    “Jadi kami nak tahu bila Zahid nak saman RPK demi menegakkan kebenaran dan bahawa dakwaan RPK itu tidak benar dan fitnah,” katanya kepada Malaysiakini.

    5 Nov tahun lalu, Zahid yang juga presiden UMNO memberitahu pemberita bahawa dia sedia menyaman Raja Petra.

    Ini selepas penulis blog itu mendakwa dia memiliki bukti menunjukkan kira-kira SGD20 juta telah dibayar secara berperingkat oleh kontraktor kepada Zahid antara pertengahan 2012 dan pertengahan 2013.

    Zahid adalah Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.

    Penulis blog itu mendakwa sogokan dibayar melalui pengurup wang di Singapura, yang memindahkan wang itu kepada pengurup wang di Malaysia.

    Dia mendakwa wang itu juga telah melalui beberapa lapisan sebelum sampai ke tangan Zahid.

    “Sebelum membuat tuduhan beliau (Raja Petra) perlu mempunyai bukti atau dokumen untuk mengemukakan tuduhan itu.

    “Jika tidak saya akan mengemukakan saman malu pada beliau dan saya akan meminta peguam-peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” kata Zahid ketika itu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 3 Nov tahun lepas berkata, suruhanjaya itu akan bertemu Raja Petra sebelum memutuskan apakah perlu memanggil Ahmad Zahid untuk disoal siasat berhubung kontrak LCS itu.

    Azam juga berkata pihaknya perlu meneliti dokumen yang diperolehi terlebih dahulu.

    Katanya, pasukan SPRM ditugaskan untuk bertemu Raja Petra di lokasi di luar negara yang dipersetujui kedua-dua pihak.

    Menurutnya, siasatan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas kes LCS.

  • Murid rosakkan harta benda sekolah jalani program komuniti

    Murid rosakkan harta benda sekolah jalani program komuniti

    MURID yang merosakkan harta benda sebuah sekolah di Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang semalam, akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak sekolah memanggil murid yang terbabit bersama waris mereka, hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

    Menurut JPN negeri, pihaknya amat kesal dengan kejadian pada hari akhir sesi persekolahan itu dan akan memastikan ia diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah.

    “Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita 

    Hari ini, tular di media sosial beberapa klip video berdurasi 28 dan 58 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah selepas tamat sesi persekolahan, semalam.

    Menerusi video itu, kumpulan pelajar yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan, di sini dilihat merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas siling dan pintu tandas.

    Mengulas lanjut, JPN Pulau Pinang berkata, nilai kerugian kerosakan harta benda berkenaan sedang dalam siasatan.

    Katanya lagi, JPN Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku, termasuk vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri ini serta sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian.

    “Pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering diingatkan untuk mengambil langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.

    “Kempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiat supaya selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

    Sementara itu, JPN Pulau Pinang turut mengingatkan portal yang menyiarkan video berkenaan tanpa melindungi muka murid supaya memadamnya kerana ia bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.