Category: Semasa

  • Dr Mahathir kritik parti diterajui anak sendiri

    Dr Mahathir kritik parti diterajui anak sendiri

    TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui anaknya sendiri, lebih mengutamakan parti lain terkait rasuah berbanding terus bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

    Bekas Pengerusi Pejuang itu hairan kenapa parti diketuai anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai presiden itu sanggup bertindak untuk keluar GTA yang mana pemimpinnya langsung tidak terpalit dengan rasuah.

    “Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih rasuah menerusi GTA kerana parti yang besar semua terbabit dengan rasuah.

    “Parti kecil yang tinggal sekarang hanyalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman),” katanya pada sidang media, hari ini.

    Selain itu, bekas Perdana Menteri itu mengakui kecewa dengan keputusan Pejuang keluar dari GTA.

    Ditanya mengenai reaksi Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung perkara itu, bekas Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

    “Saya tak tahu, itu pemikiran dia (Mukhriz),” katanya, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan Dr. Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang, difahamkan kerana kecewa parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Disember tahun lalu.

  • PRN: KKD akan pastikan lebih ramai keluar mengundi

    PRN: KKD akan pastikan lebih ramai keluar mengundi

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) akan berusaha memastikan kehadiran lebih ramai pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.

    Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata KKD akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi yang terlibat supaya maklumat mengenai PRN sampai kepada pengundi.

    “Sebagai agensi kerajaan, tanggungjawab kita adalah pastikan bahawa lebih ramai pengundi keluar mengundi kerana itu merupakan tanggungjawab warga Malaysia tidak kira mana satu parti mereka sokong.

    “Yang penting kita nak nampak pengundi yang keluar mengundi itu cukup tinggi dan banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Jabatan Penerangan Pulau Pinang hari ini.

    Enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu mengadakan PRN masing-masing, tahun ini.

    Teo berkata memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi pada hari pengundian PRN nanti adalah agenda KKD pada masa ini.

    “Jadi untuk tempoh masa yang akan datang ini, kami juga akan membawa mesej ini kepada pengundi-pengundi enam negeri itu supaya kita siap sedia supaya hari mengundi, mereka akan keluar mengundi,” katanya.

    Hari ini, Teo mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang yang melibatkan sesi dialog bersama warga Jabatan Penerangan Pulau Pinang, melawat pejabat RTM Pulau Pinang dan sesi temu bual bersama stesen radio Mutiara FM.

  • Gerakan Anti Sanusi cuma permainan politik, tak perlu diambil peduli

    Gerakan Anti Sanusi cuma permainan politik, tak perlu diambil peduli

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak ambil pusing mengenai tindakan pihak tertentu yang menubuhkan kumpulan bergelar Gerakan Anti Sanusi (GAS) bagi mengkritik kepimpinan kerajaan negeri diketuainya di Kedah.

    Menurutnya, beliau menganggap perkara itu sebagai permainan politik yang hanya perlu diselesaikan di medan politik semata-mata.

    “Kalau mereka melampu dengan membuat fitnah atau apa-apa, kita tengoklah nanti. Tetapi saya rasa iu cuma permainan politik saja dan saya tak peduli pun.

    “Mereka ini gambar tak ada, muka pun tak ada tetapi cuma bersuara di sebalik poster semata-mata. Kita kalau nak bercakap dalam politik dan rasa mampu utarakan perkara yang benar, maka tampillah dengan berani.

    “Itu semua pengecut dan orang bacul yang cuba lontarkan pandangan dalam politik, tetapi tak berani. Eloknya tak payahlah main politik sebaliknya main sajalah congkak atau batu seremban,” katanya.

    Beliau ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran ‘Kedah Cashless’ di Hotel Raia, hari ini.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, setakat ini kerajaan negeri belum membincangkan mengenai kemungkinan mengharamkan filem ‘Pulau’ seperti dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu, baru-baru ini.

    “Belum ada perbincangan lagi berkaitan perkara itu. Tetapi sebagai orang yang mempunyai kuasa terhadap pusat tayangan dan pawagam, mungkin ada pihak yang ambil tindakan dari sudut itu di tempat lain.

    “Di Kedah, kerajaan negeri belum bincang apa-apa lagilah,” katanya.

  • Lelaki diberkas edar 43.17 kg dadah bernilai RM2.16 juta

    Lelaki diberkas edar 43.17 kg dadah bernilai RM2.16 juta

    SEORANG lelaki yang sebelum ini licik dalam pengedaran dadah, namun akhirnya berjaya dicekup polis dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang ke atas sebuah rumah sewa di Kluang, Khamis lalu.

    Antara taktik yang digunakan suspek yang berusia 27 tahun itu untuk mengaburi pihak berkuasa dengan membungkus dadah tersebut dalam bungkusan teh.

    Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.16 juta, antaranya 35.74 kilogram (kg) serbuk ekstasi, ketamin (2.52 kg), 10,800 biji pil erimin 5 (3.24 kg) dan 4,869 biji pil ekstasi (1.67 kg).

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah melancarkan empat serbuan ke atas empat buah rumah di sekitar Kluang.

    “Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun ditangkap dan dadah berkenaan dirampas dalam serbuan pertama. Tiga serbuan berikutnya kita tidak menemukan apa-apa barang kes,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, modus operandi yang digunakan suspek yang aktif sejak November tahun lalu dengan menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan dalam pasaran tempatan.

    “Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut tentang penglibatan individu lain termasuk penyewa rumah dengan suspek dalam kegiatan itu.

    “Hasil siasatan awal kita mendapati, kesemua rumah terbabit adalah disewa oleh individu lain dan kita masih melakukan siasatan terhadap hubungan mereka.

    Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif penyalahgunaan dadah katanya dan memaklumkan pihak polis turut merampas empat buah kereta, termasuk sebuah kereta Proton Persona yang didaftarkan atas nama suspek.

    Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 lapor SatuBerita.

  • Kontraktor didenda RM30,000 guna penyata akaun bank palsu mohon tender

    Kontraktor didenda RM30,000 guna penyata akaun bank palsu mohon tender

    SEORANG kontraktor didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di Alor Setar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender pembersihan awam, empat tahun lalu.

    Hakim Rohatul Akmar Abdullah turut memerintahkan tertuduh Ronie Maharudin, 46, membayar denda itu serta-merta tanpa ansuran dan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama tempoh setahun.

    Ronie didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender berkenaan.

    Dia dituduh mempunyai sebab untuk mempercayai yang dokumen itu adalah palsu dan dituduh melakukan perbuatan tersebut di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada 22 Feb 2019.

    Ronie didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Ronie dalam rayuan yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan memohon supaya dikenakan hukuman ringan iaitu denda yang rendah tanpa penjara memandangkan perniagaan anak guamnya merudum sejak setahun lalu di samping keadaan ekonomi tidak menentu selepas pascapandemik.

    Dia juga mempunyai tiga anak yang masih belajar berumur 15 hingga 21 tahun serta perlu menjaga kedua ibu bapanya yang telah tua.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rehab Abdul Shukur yang mengendalikan kes itu memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya dapat memberikan teladan kepada masyarakat.

    Tertuduh kemudian membayar denda itu.

  • Tiga remaja terlibat kes gaduh ditahan

    Tiga remaja terlibat kes gaduh ditahan

    TIGA remaja berusia 14 hingga 16 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di taman perumahan awam dan kawasan tempat letak kenderaan pasar raya di Ara Damansara, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian pada 11 malam itu menyebabkan ada di antara mereka cedera akibat pergaduhan dua kumpulan berkenaan.

    Siasatan awal katanya, mendapati kejadian itu dipercayai berpunca dari cemuhan dan mempersendakan antara dua kumpulan terbabit

    Mohamad Fakhrudin berkata, susulan maklumat itu, pada 1.10 pagi sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menahan tiga remaja di sekitar kawasan berkenaan.

    “Tiga remaja yang ditahan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini

    Dalam kes berasingan, seramai dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah gerai makanan di Taman Medan, semalam.

    Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 28 tahun dan 32 tahun serta merampas sebilah parang dan satu bilah pisau.

    “Kedua-dua individu itu direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Mayat penuntut UniKL lemas ditemukan

    Mayat penuntut UniKL lemas ditemukan

    Oleh BADLISHAH MAT

    MAYAT penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dilaporkan hilang petang semalam ketika mandi-manda ditemukan lemas pada pukul 1.24 petang ini di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi.

    Mangsa, Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20, yang berasal dari Mukim Tajar, Langgar di Alor Setar ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai berkenaan oleh pasukan penyelamat.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, identiti mangsa disahkan ibu, ibu saudara dan sepupu mangsa yang berada di lokasi kejadian.

    “Pengesahan kematian dibuat oleh kakitangan perubatan sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, mangsa yang merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan di UniKL MIAT, Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai tersebut sebelum didapati dia tiba-tiba lemas.

    Difahamkan, rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkannya, namun gagal kerana ombak yang kuat di kawasan kejadian.

    Mangsa baru dua minggu berada di pulau pelancongan tersebut untuk menjalani latihan amali.

    Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan seramai 69 pegawai dan anggota melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

  • Selepas Muhyiddin, SPRM akan panggil Tengku Zafrul

    Selepas Muhyiddin, SPRM akan panggil Tengku Zafrul

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan mengambil keterangan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz bagi membantu siasatan berhubung dana Jana Wibawa kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    “Tindakan ini dilakukan selepas agensi berkenaan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan berhubung siasatan sama.

    “Pegawai penyiasat sedang memanggil mana-mana saksi yang boleh membantu dalam siasatan tersebut. Saya tidak menolak kemungkinan bekas Menteri Kewangan juga dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya di Putrajaya, hari ini.

    Azam mengesahkan SPRM telah memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan berhubung dana Jana Wibawa.

    Sehubungan itu, Azam juga menyatakan pegawai penyiasat sedang memanggil mana-mana saksi yang boleh membantu dalam siasatan tersebut.

    “Siasatan sedang giat dijalankan dan beberapa lagi saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah menerima bayaran sehingga RM300 juta daripada kontraktor di bawah projek Jana Wibawa dan menganggap tuduhan ke atas beliau sebagai tidak berasas.

    Justeru, idea berkenaan datang daripada Tengku Zafrul kepada beliau dan bersetuju dibawakan kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan.

    Muhyiddin turut menegaskan beliau tidak mengenali mana-mana kontraktor itu dan pada masa itu, Kementerian Kewangan yang membawa masuk senarai kontraktor.

    Dakwa beliau, nama-nama kontraktor itu adalah kontraktor yang mendapat kelulusan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bertaraf tiga hingga lima bintang, ada lebih kurang 54 syarikat.

    Jelas Muhyiddin, sekiranya SPRM mahu maklumat lanjut, mereka boleh memanggil Menteri Kewangan pada masa beliau mentadbir negara.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan demikian selepas ditanya mengenai sesi soal siasat yang dijalankan oleh SPRM ke atasnya.

    Kata beliau, ketika itu negara dilanda pandemik COVID-19 dan yang paling teruk terkesan adalah pihak-pihak kontraktor bumiputera yang amat memerlukan bantuan.

  • Mukhriz jumpa pimpinan Pas, apa intipatinya?

    Mukhriz jumpa pimpinan Pas, apa intipatinya?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERTEMUAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad 13 Februari lalu tidak langsung melibatkan soal politik.

    Menurut Muhammad Sanusi, perbincangannya bersama negarawan tersebut lebih banyak berkisar mengenai negeri Kedah, sejarah, Langkawi, industri, padi dan pertanian.

    Begitu pun katanya, beliau difahamkan anak Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ada berjumpa dalam kalangan pimpinan lima tertinggi Pas baru-baru ini.

    “Saya difahamkan Mukhriz ada jumpa beberapa pemimpin Pas. Saya tak tahu di mana mereka berjumpa dan tak pasti apa yang dibincangkan tetapi harap-harap ia sesuatu yang positif.

    “Pertemuan itu diadakan baru-baru tetapi saya tak tanya pun apa dibincangkan. Pertemuan itu melibatkan pemimpin dalam kalangan lima tertinggi Pas,” katanya.

    Beliau ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran ‘Kedah Cashless’ di Hotel Raia, hari ini.

    Ditanya sama ada Pas akan menerima sekiranya Mukhriz berhasrat menyertai parti itu, Muhammad Sanusi berkata Pas sedia menerima sesiapa saja yang menyokong parti itu.

    “Kalau Mukhriz nak masuk Pas kita terima, wartawan masuk Pas pun kita terima.

    “Itu kalau nak masuk Pas lah… Kalau nak jadi Menteri Besar, susahlah sikit,” katanya dalam nada berseloroh.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, Tun Mahathir dalam pertemuan bersamanya turut menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu penempatan haram melibatkan golongan Melayu Islam Kedah di Bukit Malut, Langkawi.

    Katanya, selaku antara pencetus yang membawa MIK ke situ, Tun Mahathir merupakan individu paling tepat untuk bercerita mengenai sejarah MIKi serta lokasi tersebut.

    Kini katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera memainkan peranan dalam memastikan isu tersebut diselesaikan secepat mungkin.

    “Dalam pertemuan itu saya minta sokongan Tun Mahathir terhadap cadangan kerajana negeri untuk MKN ambil alih sebahagian tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malayysia (LKIM) di Bukit Malut bagi dijadikan penempatan baharu untuk menggantikan penempatan haram itu. Tun Mahathir bersetuju dan sedia bagi kerjasama penuh.

    “Cumanya beliau tegaskan, tak bolehlah ambil tanah LKIM itu mahal-mahal. Itu bagi pastikan rumah dibina tak terlalu mahal dan mampu dibeli oleh mereka yang tinggal di penempatan haram ketika ini,” katanya.

  • JAIM siasat sindiket nikah ekspres babitkan warga asing

    JAIM siasat sindiket nikah ekspres babitkan warga asing

    JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) mengesan kegiatan sindiket pernikahan palsu membabitkan pasangan warga asing terutama etnik pelarian Rohingya di negeri berkenaan.

    Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, dalam serbuan itu, pasangan berusia 30 tahun terbabit mengakui bernikah di sebuah rumah di Melaka yang dikendalikan oleh seorang ‘ustaz’.

    “JAIM dalam pada itu juga akan membuka kertas siasatan berhubung kegiatan sindiket itu selepas menahan pasangan terbabit.

    “JAIM sedang siasat tetapi dalam kes ini kita fokus kepada Seksyen 53 dahulu. Cuma pada hari ini, kita fokuskan tangkapan khalwat sahaja.

    “Walau bagaimanapun untuk seksyen seterusnya yang melibatkan pernikahan pertama kali yang tidak sah itu akan diuruskan kertas siasatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai operasi bersepadu menggempur penempatan etnik Rohingya di Semabok awal pagi tadi.

    Beliau berkata, pihaknya memang tidak menafikan kewujudan sindiket pernikahan itu tetapi perkara itu akan diuruskan dan disiasat semula oleh Jabatan Agama Islam Melaka ekoran daripada penemuan kes.

    Kata beliau, pasangan berkenaan gagal menunjukkan sijil nikah yang sah kepada penguat kuasa JAIM.

    Ujarnya, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan mendatangkan syak.

    Sementara itu, operasi bersepadu selama tiga jam bermula 12 tengah malam itu melibatkan lima agensi termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

    Dalam operasi berkenaan, seramai 11 warga Nepal berusia di antara tiga dan 40 tahun ditahan selepas didapati tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.

    Turut menyertai operasi berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.

    Mohd. Noor Helmy ketika ditemui selepas operasi itu berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk tempatan berhubung masalah sosial yang ditimbulkan etnik terbabit.