Category: Semasa

  • Wanita berpakaian mencolok mata di Terengganu akan diambil tindakan

    Wanita berpakaian mencolok mata di Terengganu akan diambil tindakan

    KERAJAAN Terengganu bersedia untuk menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sebelum ini mereka yang ditahan kerana berpakaian mencolok mata hanya diberi nasihat oleh penguat kuasa Majlis Agama Islam Negeri dan daerah di negeri ini.

    Justeru katanya, sudah tiba masanya kerajaan negeri akan menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah.

    “Malah, Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sudah meluluskan rang-rang undang berkaitan perkara ini sebelum ini dan kita bersedia untuk melaksanakannya.

    “Sebelum ini kerajaan negeri sudah melaksanakan penguatkuasaan terhadap penunggang dan pembonceng bukan mahram yang membonceng bersama.

    “Walaupun mengikut fesyen terkini, namun mereka terutama golongan muda ini dapat mematuhi etika pakaian dengan patuh syariah,” katanya.
    selepas merasmikan Sambutan Terengganu Hijab Day di Kuala Nerus, hari ini.

    Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din.

    Sementara itu, Zuraida berkata, pihaknya sentiasa cakna dan tidak mengenepikan peranan dan sumbangan wanita bagi pembangunan negeri sama ada pembangunan material mahupun pembangunan insan.

    “Selagi mana menjaga batasan dan peraturan syariah, wanita boleh menyumbangkan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki.

    “Menyedari betapa pentingnya peranan wanita dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera, kerajaan Terengganu sudah menggubal dan menetapkan satu Dasar Wanita Terengganu untuk memelihara, melindungi, memperkasa dan membangunkan wanita,” katanya, lapor Harian Metro.

  • ‘Jangan takut, Pas bukan parti ekstrem’

    ‘Jangan takut, Pas bukan parti ekstrem’

    “PAS tidak pernah mencetuskan provokasi, rusuhan atau sebarang tindakan melanggar undang-undang walaupun kalah dalam pilihan raya, kata Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat.

    Jelas beliau, Pas bukan sebuah parti yang ekstrem dan ganas malah tidak perlu ditakuti oleh mana-mana pihak kerana tidak pernah membangkitkan sentimen perkauman dan agama di negara ini.

    Menurutnya, isu yang ditimbulkan mengenai replika senjata yang dibawa kontinjen Pemuda Pas ketika program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu baru-baru ini merupakan provokasi politik.

    “Isu perarakan yang melibatkan replika senjata itu sebenarnya tidak wajar dipolitikkan kerana ia hanyalah sebahagian daripada pertandingan dalam program tersebut.

    “Mengenai perarakan itu, ia juga bukanlah satu perkara baharu kerana ia telah dianjurkan sejak 10 tahun lalu dan tidak pernah timbul sebarang isu.

    “Ia hanya pertandingan yang bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam. Peserta juga tidak bawa senjata tajam kerana semuanya adalah replika,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Terengganu Hijab Day di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di Kuala Nerus, hari ini.

    Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu menjelaskan, beliau percaya isu itu dibangkitkan oleh ‘tangan ghaib’ bagi tujuan memberikan imej buruk terhadap parti itu.

    “Ada ‘tangan ghaib’ yang menularkan perkara itu untuk memberi gambaran seolah-olah ada satu gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

    “Jangan takut kepada Pas kerana kita sudah perjuangkan Islam hampir 60 tahun. Kita warnai parti politik dalam negara bahkan kita sudah sertai 15 kali Pilihan Raya Umum (PRU) di negara ini, ” tegasnya.

    Bagaimanapun Hanafiah berkata, kesemua pemimpin Pas sedia bekerjasama dengan pihak polis yang kini menjalankan siasatan terhadap perkara itu.

    “Kita sedia dipanggil untuk disiasat. Bagi kita isu ini juga tidak menjejaskan persediaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Saya yakin gelombang hijau ini akan berterusan hingga berlakunya PRN sekitar bulan Jun atau Julai nanti, malah saya yakin enam negeri akan berjaya ditawan ‘gelombang hijau’,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Hanafiah berharap provokasi politik itu dihentikan segera kerana tumpukan sebenar yang perlu diberikan ialah terhadap usaha mensejahterakan rakyat.

    Ahad lalu tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak dalam program yang dianjurkan di Setiu, Terengganu.

    Selain replika senjata yang dipegang oleh sekumpulan lelaki yang memakai kostum perang, terdapat juga replika sebilah pedang gergasi dibawa kenderaan pacuan empat roda yang difahamkan antara alatan bagi pertandingan dalam program tersebut.

  • Tengku Zafrul sahkan dipanggil SPRM untuk bantu siasatan

    Tengku Zafrul sahkan dipanggil SPRM untuk bantu siasatan

    MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.

    Menurut Tengku Zafrul, beliau akan berjumpa dengan pihak SPRM dalam masa terdekat dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi itu.

    Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan sama ada ia berkaitan projek Jana Wibawa yang sedang disiasat pihak SPRM.

    “Saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Selepas dipanggil baru boleh saya sahkan mengenai apa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MITI dan agensi, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, SPRM, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya akan memanggil Tengku Zafrul yang merupakan bekas Menteri Kewangan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa Tengku Zafrul akan dipanggil dalam masa terdekat.

    Menurut Tengku Zafrul, sepanjang pengetahuannya semasa menerajui Kementerian Kewangan sebelum ini, tiada ‘perbelanjaan’ yang tidak sepatutnya berlaku.

    “Tapi itu setakat pengetahuan saya, biarlah SPRM buat siasatan mereka,” katanya.

    Sementara itu, Tengku Zafrul, menerusi catatan di Facebook semalam, berkata tiada apa yang perlu disembunyikan dan beliau sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.

  • Polis lumpuhkan sindiket dadah, heroin base RM4.05 juta dirampas

    Polis lumpuhkan sindiket dadah, heroin base RM4.05 juta dirampas

    SEORANG pemandu bas kilang antara tiga individu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Kedah yang menemukan 123 ketulan dadah jenis heroin base bernilai RM4.05 juta untuk pasaran Lembah Klang pada Rabu lalu.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak November tahun lalu itu ditumpaskan menerusi serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

    “Ketiga-tiga suspek yang diberkas merupakan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 37 sehingga 53 tahun.

    “Serbuan pertama dijalankan di sekitar Klang menerusi tangkapan ke atas seorang lelaki yang dipercayai sedang menjalankan urusan pengedaran dadah.

    “Pemeriksaan kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki suspek menemui satu plastik hitam mengandungi 10 ketulan mampat heroin base seberat 3.8 kilogram,” katanya.

    123 ketulan dadah jenis heroin base bernilai RM4.05 juta untuk pasaran Lembah Klang dirampas pada Rabu lalu

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

    Menurutnya, hasil siasatan berdasarkan serbuan pertama seterusnya membawa kepada tangkapan suspek kedua pukul 4.20 petang di sebuah rumah di Kapar, Klang.

    Tangkapan suspek kedua kata beliau, kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Kapar, Klang yang berjaya menemukan satu plastik hitam mengandungi 113 ketulan heroin base seberat 42.5 kilogram di bahagian ruang tamu.

    “Siasatan dijalankan berdasarkan serbuan dijalankan ini turut membawa kepada penangkapan suspek ketiga di sebuah rumah di kawasan Kupang, Kedah,” katanya.

    Tambahnya, seorang suspek bekerja sebagai pemandu bas kilang dan dua lagi suspek tidak bekerja.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Semakan dijalankan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes di bawah penipuan dan dadah.

    “Ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ujar Sasikala, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    “Keseluruhan heroin dirampas ini dipercayai boleh dibekalkan kepada 2.51 juta penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Penjawat awam paling ramai terbabit rasuah di Johor

    Penjawat awam paling ramai terbabit rasuah di Johor

    PENJAWAT awam adalah kumpulan tertinggi yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor bagi tempoh 2020 sehingga Disember tahun lalu.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, seramai 219 yang ditahan, 90 daripadanya terdiri penjawat awam.

    “Sejumlah 75 yang ditahan adalah pekerja swasta, manakala 54 lagi orang awam.

    “Dalam tempoh sama, sebanyak 196 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dibuka dengan 101 kes didakwa di mahkamah.

    “Daripada 219 tangkapan yang dilakukan sebelum ini menunjukkan tahun 2021 merekodkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 89 tangkapan, diikuti 2022 (86 tangkapan) dan 2020 (41 tangkapan),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Drama Radio ‘Ringgit Ke Syurga?’ di Auditorium Permata Sari, Kompleks Penerangan Dan Penyiaran Sultan Iskandar, di Johor Bahru hari ini.

    Katanya, berdasarkan statistik SPRM Johor dalam tempoh yang sama, sebanyak 82 kertas siasatan dibuka pada 2020 diikuti 61 kertas siasatan dibuka pada 2021 dan 53 pada tahun lalu.

    Menurutnya, penjawat awam adalah kumpulan tertinggi yang ditahan SPRM Johor iaitu sebanyak 90 orang diikuti 75 tangkapan membabitkan pekerja swasta dan 54 lagi orang awam.

    Azmi berkata, pihaknya juga 940 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh sama.

    Sementara itu, beliau berkata, SPRM Johor mencatat jumlah sitaan sebanyak RM3.65 juta, selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM213,831.60 dalam tempoh yang sama.

    “Sebanyak 286 ceramah diberikan kepada kumpulan sasar termasuk 131 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah,” katanya, lapor Berita Harian.

  • 90 tangkapan SPRM Johor sejak 2020 hingga 2022 babitkan penjawat awam

    90 tangkapan SPRM Johor sejak 2020 hingga 2022 babitkan penjawat awam

    SEBANYAK 90 tangkapan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2020 hingga Disember tahun lepas di Johor melibatkan penjawat awam, diikuti dengan 75 pekerja swasta serta 54 individu awam.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias berkata dalam tempoh itu juga SPRM Johor telah mencatatkan sitaan berjumlah RM3.65 juta, selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM213,831.60.

    “SPRM Johor telah menerima 940 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh yang sama. Sebanyak 196 kertas siasatan dibuka dengan melibatkan 219 tangkapan dan 101 pertuduhan di mahkamah,” katanya.

    Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Drama Radio ‘Ringgit Ke Syurga?’ di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Johor di Johor Bahru hari ini yang dirasmikan Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia Nor’ Ain Bakir.

    Azmi Alias

    Menurutnya dalam tempoh yang sama pihaknya menjayakan 286 ceramah khusus buat kumpulan sasar, dengan 131 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

    Sementara itu merujuk kepada pelancaran drama radio sempena Sambutan Ulang Tahun JohorFM Ke-58, Azmi berkata buat julung kalinya SPRM Johor dan Jabatan Penyiaran Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dalam menerbitkan drama radio berkisarkan kes rasuah sebenar yang pernah disiasat oleh SPRM Johor sebelum ini.

    Beliau berkata penyediaan skrip drama radio itu ditulis oleh pegawai SPRM Johor dari Unit Pendidikan Masyarakat (PenMas) dan tiga cawangan SPRM iaitu Batu Pahat, Kluang dan Segamat.

    “Kerjasama dalam menyebarluaskan mesej anti rasuah melalui media amatlah penting dalam menjadi medium perantaraan antara suruhanjaya ini dan masyarakat, bagi memastikan setiap peringkat dapat memahami betapa bahayanya jenayah rasuah, dan pada masa sama menghindari daripada melakukan perbuatan keji itu,” tambahnya.

  • 1.84 juta anak muda B40 peminjam PTPTN perlu bantuan: Armada

    1.84 juta anak muda B40 peminjam PTPTN perlu bantuan: Armada

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) membantu anak muda, khususnya mereka yang terlibat dengan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

    Beliau yang sebelum ini turut berjuang supaya kerajaan PH-BN memberi pengampunan kepada peminjam PTPTN secara bersasar berkata, anak muda sekarang ini adalah aset negara yang berharga pada masa depan.

    Menurutnya adalah menakutkan apabila kira-kira 1.84 juta anak muda peminjam PTPTN itu tergolong dalam kelas ekonomi B40.

    “Mereka adalah aset dan harapan negara! Kalau mereka ditakuk ini maka negara akan hilang kekuatan untuk maju dan membangun.

    “Produktiviti akan jatuh dan hasil negara termasuk kadar kutipan cukai akan merudum,” kata Ketua Armada Bersatu itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal mendesak kerajaan memberi keutamaan membantu segera dua kelompok anak muda untuk elak masalah ini daripada melarat.

    Dua kelompok itu ialah:

    (1) Pandemials – generasi Millennial (lahir tahun 2000 ke atas) yang tercicir dalam semua segi akibat pandemik Covid-19.

    (2) Precariats (belia eesah) yang kerja kais pagi makan pagi, kais petang tetap tak dapat makan malam! Mereka ada sijil pendidikan tapi peluang pekerjaan mereka terhad dan tidak padan dengan kemampuan mereka.

    “Semua mereka ini adalah Generasi Sandwich! Dihimpit dari luar (pasaran kerja, sistem ekonomi) dan dalam (tanggungjawab jaga ibu, ayah dan anak-anak). Kerajaan perlu bantu segera demi selamatkan mereka dan negara,” katanya lapor Agendadaily.

    Pada 14 Februari lalu, Ahli Parlimen kerajaan PH-BN (Pandan), Rafizi Ramli mahu merujuk Wan Ahmad Fayhsal kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan dalam manifesto PH sebelum ni ada janji menghapuskan PTPTN.

    “YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (ada janji) menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.

    “Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” kata Rafizi.

    Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal kemudian mendedahkan manifesto PH membuktikan penghapusan pinjaman PTPTN secara bersasar.

    Pada 2 November tahun lalu, 17 hari sebelum PRU-15 diadakan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan manifesto itu berkata Program Pengampunan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan diperkenalkan, jika pakatan memerintah.

    Ini bermakna PH bersetuju memansuhkan secara bersasar hutang pinjaman PTPTN oleh golongan miskin dan B40.

    Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi (PH-UMNO), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40, buat masa ini.

  • Pembangkang tak dapat peruntukan boleh mohon melalui Ketua Whip

    Pembangkang tak dapat peruntukan boleh mohon melalui Ketua Whip

    AHLI Parlimen dalam pembangkang yang tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan boleh membuat permohonan melalui Ketua Whip.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat ini terdapat Ahli Parlimen pembangkang diberikan peruntukan tetapi kadarnya berbeza mengikut pentadbiran, namun ada yang tidak menerima sebarang peruntukan.

    “Sebenarnya peruntukan kepada Ahli Parlimen adalah berbeza kadarnya mengikut pentadbiran (kerajaan), ada pentadbiran yang hanya berikan peruntukan RM100,000 kepada Ahli Parlimen pembangkang.

    “Ada pentadbiran langsung tidak berikan walau satu sen kepada Ahli Parlimen pembangkang…ada pentadbiran yang memberikan peruntukan tapi perlu tandatangan memorandum persefahaman (MoU) dulu… yang tidak tandatangan, tidak dapat peruntukan.

    “Namun asasnya kerajaan hari ini sentiasa mempertimbangkan permohonan tapi ia melihat di peringkat awal untuk memastikan pengurusan dan perancangan fiskal kewangan negara diberikan penekanan utama,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Armizan berkata demikian dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shein (PBM-Julau) sama ada kajian dibuat untuk memberikan peruntukan sama rata atau jumlah bersesuaian yang adil untuk Ahli Parlimen pembangkang.

    Pada masa sama, menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada Kerajaan Perpaduan boleh memberikan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua Ahli Parlimen, Armizan berkata, kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia mempertimbangkan permohonan terbabit.

    “Mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang belum menerima permohonan, berundinglah melalui Ketua Whip untuk dipertimbangkan peruntukan… asasnya keterbukaan kita sebagaimana komitmen diberikan kerajaan dengan adanya kedudukan kewangan yang baik, saya fikir kerajaan tidak akan ragu untuk mempertimbangkan peruntukan Ahli Parlimen dari seluruh kawasan demi kepentingan rakyat,” katanya.

  • Rasuah: Bung Moktar, Isteri beri keterangan bermula 15 Jun

    Rasuah: Bung Moktar, Isteri beri keterangan bermula 15 Jun

    AHLI Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 15 Jun.

    Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu pada sebutan kes hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan, peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar dan peguam Teh See Khoon mewakili Zizie Izette.

    “Mahkamah perlu menetapkan tarikh perbicaraan memandangkan kes ini telah lama. Oleh itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula Jun pada 15, 16, 26 dan 27 manakala Julai pada 10 hingga 14, 20, 21, 24 dan 25,” kata Rozina yang turut menetapkan 27 Mac untuk sebutan.

    Terdahulu, Athimulan berkata setakat ini seramai enam saksi pembelaan termasuk Bung Moktar dan isterinya akan memberi keterangan pada perbicaraan yang ditetapkan selama 13 hari itu.

    “Pihak kami masih dalam pertimbangan sama ada akan menyediakan pernyataan saksi atau tidak,” katanya.

    Ditanya Rozina mengenai status rayuan pasangan itu di Mahkamah Rayuan, Teh berkata pengurusan kes terhadap rayuan itu ditetapkan pada 22 Mac ini sementara menunggu rekod rayuan yang masih belum siap.

    Pasangan itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-duanya membela diri atas tiga pertuduhan tersebut.

    Pada 3 Jan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Bung Moktar, 63, dan Zizie Izette, 44, untuk menggantung perbicaraan membela diri, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

    Pada 2 Sept 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

  • Kanak-kanak lemas di homestay milik keluarga

    Kanak-kanak lemas di homestay milik keluarga

    SEORANG kanak-kanak perempuan ditemui lemas ketika bermandi manda di kolam renang sebuah inap desa (homestay) di Kampung Pulai, Merlimau, pukul 10.50 pagi semalam.

    Mangsa, Auni Falisha Muhammad Firdaus yang berusia tiga tahun itu dikatakan pergi ke inap desa yang berhampiran kediamannya bersama abangnya yang berumur lima tahun.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati dua beradik itu berjalan kira-kira 500 meter ke inap desa berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa bersama abangnya yang berumur lima tahun telah berjalan kaki ke kolam renang yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah mereka tanpa sebarang pengetahuan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

    “Kolam renang itu adalah hak milik ahli keluarga si mati sendiri dan semasa kejadian didapati tiada pelanggan yang mengunjungi dan berada di kolam renang tersebut,” katanya metika dihubungi hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, kejadian itu disedari selepas abang mangsa pulang ke rumah dalam keadaan basah dan memaklumkan adiknya berada di kolam renang sendirian.

    Ibunya kemudian menghubungi rakan sekerja dan meminta bantuan untuk pergi ke kolam renang tersebut bagi melihat keadaan kanak-kanak itu.

    “Semasa rakan ibu bapanya tiba di kolam renang mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dalam kolam renang dan tidak sedarkan diri.

    “Pemeriksaan secara fizikal ke atas mayat mangsa mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah dan bedah siasat telah dilakukan,” tambahnya lapor Astro Awani.

    Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.