Category: Semasa

  • Warga Malaysia ditahan cuba seludup 4.7kg dadah ke Singapura

    Warga Malaysia ditahan cuba seludup 4.7kg dadah ke Singapura

    PIHAK berkuasa Singapura menumpaskan cubaan menyeludup lebih 4.7 kilogram (kg) heroin menggunakan sebuah kenderaan didaftarkan di Malaysia di pusat pemeriksaan Woodlands pada 5 Ogos lalu.

    Menurut kenyataan bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun yang berada dalam kenderaan berkenaan ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah.

    Menurut kenyataan mengenai penahanan itu di laman sesawang ICA semalam, pihak berkuasa menemui sebuah guni di ruang simpanan barang ketika memeriksa kenderaan terbabit.

    “Guni besar dipercayai mengandungi dadah ditemui. Pegawai CNB dimaklumkan dan sejumlah 10 bungkusan kecil heroin seberat 4,723 gram (g) ditemui dalam guni berkenaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

    Pihak berkuasa menganggarkan rampasan 4,723g heroin bernilai lebih SGD$331,400 itu boleh dibekalkan kepada 2,240 penagih untuk kegunaan seminggu.

    “Siasatan mengenai kegiatan penyeludupan dadah suspen berkenaan masih diteruskan,” katanya.

  • PN capai kata sepakat calon MB Selangor

    PN capai kata sepakat calon MB Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah mencapai konsensus calon Menteri Besar Selangor jika berjaya menang pilihan raya di negeri itu pada Sabtu ini.

    Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pada masa ini, gabungan itu mengambil pendirian tidak mengumumkan nama pemimpin berkenaan.

    Jelas bekas Menteri Besar Selangor itu, ini selepas mengambil kira bahawa kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar itu terletak di bawah kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    “Saya percaya dalam kalangan pimpinan PN sudah ada dalam pemikiran mereka siapa individu akan diberi tanggungjawab yang besar ini. Sudah ada konsensus (siapa calonnya).

    “Namun, kita ambil keputusan untuk tidak menamakan sesiapa sebagai ‘poster boy’ kerana pertama, itu adalah kuasa mutlak sultan untuk melantik Menteri Besar. Sebab, kita ada pengalaman di (PRN) Johor. insya-Allah sudah ada (calonnya),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditembual dalam program Keluar Sekejap dikelolakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan malam tadi.

    Calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, yang juga bekas Setiausaha Politik Mohamed Azmin baru-baru ini menyatakan Mohamed Azmin akan dinamakan sebagai calon Menteri Besar jika PN menang PRN di negeri itu.

    Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Selangor juga negeri yang cukup penting kepada PN dan optimis ia mampu dirampas kali ini.

    “Manifesto yang kita bentangkan juga tidak menyentuh isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti dalam masyarakat. Kita bincang soal pekerjaan, ekonomi, alam sekitar, itu tawaran dan komitmen PN. Sebab kita masuk bukan sebagai Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, tidak ada salah untuk berbicara soal Islam dan Melayu, namun sebaiknya ia tidak menyentuh dan menimbulkan sebarang provokasi terhadap agama dan kaum lain.

    “Sebab ini adalah aset kita. Bagi saya kepelbagaian kaum dan agama ini aset kepada Malaysia dan juga Selangor,” katanya turut menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor yang menyentuh kuasa Sultan Selangor, sebagai tidak wajar.

  • PRN: Turun kempen bantu calon, kata KJ

    PRN: Turun kempen bantu calon, kata KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan kehadiran beliau pada kempen calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harisson Hassan, di Puncak Alam baru-baru ini, bukan tanda beliau menyokong parti itu.

    “Saya turun semata-mata untuk membantu dan menyokong Harisson, yang disifatkan sebagai rakan lama saya dalam perjuangan politik,” katanya menerusi siaran podcast Keluar Sekejap malam tadi.

    Menurutnya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), terdapat ruang untuk menyokong calon bagi memberi fokus kepada isu tempatan dan masalah setempat.

    “Untuk makluman pendengar, Keluar Sekejap akan kekal ‘keluar sekejap’ untuk tempoh agak lama. Saya turun ke Jeram baru-baru ini untuk membantu calon, bukan untuk memilih parti.

    “Ramai yang kata saya turun membantu PN dan sebagainya, tetapi saya rasa, dalam pertandingan negeri ini, ada ruang untuk kita sokong calon dan Harrison.

    “Saya nak terangkan, sebab, kita di (peringkat) Parlimen, (ialah bagi) pembentukan Kerajaan Persekutuan. Tetapi di negeri, banyak fokus kepada isu tempatan, kehidupan harian, masalah setempat.

    “Yang mana, saya rasa, pemilihan itu jangan hanya berkisar kepada bendera parti, tetapi kepada calon. Atas semangat tersebut, untuk kali ini, saya sokong calon.

    “Saya pergi ke Jeram sebab calonnya adalah Datuk Harisson Hassan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Khairy berkata, beliau berkempen untuk Harisson yang juga pencadang kepada beliau ketika bertanding di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, sebagai membalas budi.

    Malah, katanya, selepas ini, beliau akan menyokong dan turun berkempen bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Beliau akan menyokong rakan seperjuangannya itu kerana berpendapat Reezal adalah calon terbaik bagi DUN tersebut.

  • Anwar tangguh keputusan kes Zahid sebab takut kalah PRN, dakwa Hamzah

    Anwar tangguh keputusan kes Zahid sebab takut kalah PRN, dakwa Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa keputusan perbicaraan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya diumumkan minggu lalu tetapi ditangguhkan kerajaan kerana pilihan raya negeri.

    Bercakap dalam satu ceramah di Taman Medan, Petaling Jaya malam tadi, Hamzah mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dalang di sebalik penangguhan tersebut.

    “Macam-macam hoi hoi hoi ya hoi.

    “Hari ni dia lupa orang yang dia kata (rasuah) duduk sebelah dia tu.

    “Bila (Anwar) kata ‘kita akan tentang rasuah habis-habisan’, akan pastikan yang rasuah kita akan masukkan ke dalam, saya duk tengok TPM monyok.

    “Bila sampai masa nak buat keputusan (kes Zahid), mahkamah tangguh. Kami nak bagitau kepada kamu keputusan yang sepatutnya dibuat minggu lepas tu ditangguhkan.

    “Dia (Anwar) takut kalau keputusan TPM salah masuk ke dalam (penjara), orang UMNO marah dia, (kerajaan) jatuh.

    “Kalau tak bersalah, rakyat marah, pun dia jatuh,” kata Hamzah di hadapan kira-kira 100 orang lapor Malaysiakini.

    Pemimpin kanan Bersatu itu berkempen untuk calon PN, Dr. Afif Bahardin, yang bertanding di kerusi DUN Taman Medan.

    Hamzah dipercayai merujuk kepada penangguhan perbicaraan kes Zahid membabitkan Yayasan Akalbudi berikutan timbalan perdana menteri itu perlu menghadiri mesyuarat kabinet minggu lalu.

    Bagaimanapun, ia bukan keputusan seperti yang didakwa Hamzah, kerana kes itu masih dalam peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan masih belum diputuskan.

    Zahid menghadapi 47 pertuduhan membabitkan 12 kes pecah amanah, lapan kes rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu.

  • PN menang 6 negeri boleh ubah kerajaan Persekutuan – Sanusi

    PN menang 6 negeri boleh ubah kerajaan Persekutuan – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN Perpaduan tidak mustahil mampu ditumbangkan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil apabila rakyat sudah menunjukkan referendum penolakan mereka kepada Kerajaan Perpaduan, dengan mengundi PN di kesemua enam negeri.

    “Semalam Perdana Menteri kata nak ubah kerajaan perlu melalui keputusan Ahli Parlimen, bukan keputusan PRN. Hoi Anwar, kalau enam negeri ini ‘hang’ kalah, Ahli-ahli Parlimen pun tak sedap tahu nak duduk dengan ‘hang’.

    “Pasal ‘hang’ telah hilang sokongan dari segi moral. Rakyat telah beri referendum, petunjuk dan isyarat untuk ‘hang’ ‘blah’.

    “Pasal rakyat tak mahu hang, maka ahli-ahli Parlimen yang geli kaki nak pegang jawatan lama, mereka kena ‘lari’,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan berceramah pada Program Mai Sat Menteri Besar Kedah di Gelanggang Sepak Raga Tuju, Taman Tunku Yaakob semalam.

    Beliau menambah, tindakan ahli Parlimen untuk ‘lari’ itu tidak akan dibuat secara sendirian kerana perbuatan itu akan menyebabkan mereka hilang jawatan.

    “Dia bukan lari seorang-seorang tetapi lari segerombolan, barulah tak jatuh (hilang jawatan). Kalau keseluruhan parti keluar dari bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), maka mereka tak hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

    “Barisan Nasional (BN) keluar, parti Sabah, Sarawak pun keluar. ‘Hang’ nak tinggal berapa orang? ‘Babai’ sungguhlah bulan lapan,” katanya.

    Muhamad Sanusi dalam pada itu menyifatkan, PRN kali ini merupakan yang paling kasar dan tajam pernah dilaluinya sejak mula terlibat dalam Pilihan Raya sejak 1995.

    “Mereka (pihak lawan) guna habis semua. Kalau boleh guna ‘steam roll’, habis dileyeknya kita. Agensi dan jabatan digunakan sepenuhnya untuk memenangkan kerajaan.

    “Yang datang ‘mai’ berlawan dengan kita ini pun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. Mereka bukan bertanding pun kali ini,” katanya.

  • Tiada permohonan maaf Sanusi kepada Vincent Tan

    Tiada permohonan maaf Sanusi kepada Vincent Tan

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bertegas tidak meminta maaf kepada Pengasas Berjaya Corporation Berhad dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land), Tan Sri Vincent Tan yang menuntutnya berbuat demikian hingga tamat waktu bekerja hari ini.

    Menurut Menteri Besar Kedah itu, kes yang didakwa pihak ahli perniagaan tersebut sebagai mengandungi kenyataan berbaur fitnah masih berkembang dengan dokumen-dokumen mengenainya sedang didedahkan.

    “Tak (mohon maaf). Kes masih berkembang dan dokumen-dokumen sedang didedahkan. Kita tengok sehari dua lagi, tiada ulasan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Mai Sat Menteri Besar Kedah di Taman Tunku Yaakob, Alor Setar, petang tadi.

    Vincent melalui surat tuntutan dihantar firma guaman, Piere Chuah & Associates pada Jumaat lalu memberi masa hingga tamat waktu bekerja hari ini untuk Muhammad Sanusi meminta maaf kepadanya dan membayar ganti rugi sebanyak RM200 juta.

    Menurut surat itu, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) pada program Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Dataran Darulaman, Jitra di Kedah, 2 Ogos lalu.

    Jika gagal berbuat demikian, Vincent akan memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi mempersoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan kenaikan skim subsidi harga padi (SSHP) menjelang hari pengundian pilihan raya negeri.

    “Tak patutlah (umum). Kalau tak ada pilihan raya, tak boleh buatkah? Buatlah di luar musim pilihan raya, apa yang dilakukan ini nampak sangat (pancing undi),” katanya.

    Beliau bagaimanapun menasihatkan pesawah terlibat agar mengambil wang tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan namun tetap memberi undi kepada PN.

    “Kalau kita ambil duit itu dan beri undi kepada dia, duit itu jadi rasuah pilihan raya. Jadi untuk mengelak daripada menjadi rasuah pilihan raya, maka undi PN, ‘halal’ duit itu,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau mendakwa ada dalam kalangan calon Pakatan Harapan (PH) yang turut membeli undi.

    “Saya dapati ada juga berjalan seluk poket kemudian sua (hulur) kepada orang. Menjelang hari pengundian, mungkin ada lagi perkara itu. Jadi siapa bagi duit jangan undi dia sebaliknya undi lawan dia. Kalau UMNO bagi, undi PN dan duit itu halal,” katanya.

  • Ketua pasukan pendakwaan kes Zahid mohon bersara awal – Peguam Negara

    Ketua pasukan pendakwaan kes Zahid mohon bersara awal – Peguam Negara

    KEPUTUSAN untuk menggantikan Datuk Raja Rozela Raja Toran sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan berkenaan kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilakukan setelah mengambil kira pelbagai faktor dan pertimbangan yang teliti.

    Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, Raja Rozela telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal iaitu pada 3 April lalu dan telah diluluskan serta akan berkuat kuasa pada 1 November depan.

    “Selanjutnya, Raja Rozela binti Raja Toran telah memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, media melaporkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Ahmad Zahid tidak lagi mengendalikan kes berkenaan.

    Raja Rozela yang mengetuai pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

    Media tempatan turut melaporkan bahawa perbicaraan yang bersambung minggu lalu diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela.

    Dalam masa sama, Idrus memaklumkan bahawa Datuk Mohd Dusuki Mokhtar telah dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan yang baharu berdasarkan pengalaman luas hampir 30 tahun sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya.

    Menurutnya, Mohd Dusuki merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuklah pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

    “Memandangkan kes melibatkan Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga bulan Disember tahun 2023, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan melibatkan Ahmad Zahid.

    “Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

    Sementara itu, Raja Rozela enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.

    “No comment, mohon maaf,” jawabnya ringkas selepas ditanya mengenai ketiadaannya dalam prosiding kes Ahmad Zahid minggu lalu.

  • Peja lantik peguam dapatkan nasihat, lindungi daripada laporan palsu

    Peja lantik peguam dapatkan nasihat, lindungi daripada laporan palsu

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggunakan khidmat peguam bagi mendapatkan nasihat untuk melindunginya daripada laporan palsu.

    Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan dakwaan beliau membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita baru-baru ini.

    “Sebelum meneruskan tindakan sivil terhadap pengadu, saya akan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan mereka ke atas laporan tersebut supaya tidak menghalang tugasan efektif yang sedang dilakukan.

    “Saya ingin merakamkan di sini bahawa laporan polis dibuat dengan tujuan memastikan tuduhan-tuduhan palsu dan tidak berasas ini diperiksa dengan teliti dalam usaha mencegah rosaknya reputasi seseorang yang tidak bersalah.

    “Saya membuat laporan ini untuk memastikan insiden seperti membuat laporan palsu ini dihukum berat oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Faizal telah membuat laporan polis pada 24 Julai lalu apabila tersebarnya dakwaan berkenaan dan pengadu juga telah menarik balik laporan pada hari yang sama laporan itu dibuat.

    Ujar beliau, laporan polis yang dibuat bertujuan untuk membentuk satu persekitaran di mana seseorang mangsa tidak sekali-kali takut untuk melaporkan situasi mereka tanpa bimbang akan tindakan balas dendam atau keraguan daripada mana-mana pihak.

    “Saya ingin menjelaskan bahawa saya berdiri teguh dengan sesiapa sahaja yang menjadi mangsa gangguan seksual dan menyokong hak mereka untuk tampil ke hadapan dan menuntut keadilan.

    “Adalah penting untuk kita bertindak menentang laporan palsu untuk mengukuhkan kredibiliti dakwaan-dakwaan yang tulen. Saya mempunyai keyakinan penuh dengan kewibawaan polis dan akan terus membantu mereka dalam siasatan ini,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Mohd. Amar tidak terfikir jadi MB, serahkan kepada ketentuan Ilahi

    Mohd. Amar tidak terfikir jadi MB, serahkan kepada ketentuan Ilahi

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah menyatakan beban tanggungjawan yang digalasnya sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan selama ini sudah cukup berat.

    Justeru beliau tidak terfikir pun untuk mendapatkan jawatan yang lebih tinggi daripada apa yang sudah dilaluinya.

    Namun beliau yang akan cuba mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor untuk penggal kelima terpaksa akur terhadap apa saja ketentuan Ilahi.

    “Setakat ini (jawatan yang ada) dah cukup bagi saya secara peribadi.

    “Jawatan sekarang pun bebannya berat, tetapi ketentuan Allah kita tak tahu,” katanya pada sidang media harian calon-calon Pas bagi pilihan raya negeri (PRN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Sebelum itu Mohd. Amar ditanya mengenai kesediaannya jika dinamakan sebagai Menteri Besar yang baharu untuk Kelantan.

    Soalan itu dibangkitkan kerana penyandang jawatan tersebut, Datuk Ahmad Yakob, sudah menyatakan bahawa penggal ini adalah yang terakhir untuk beliau menjadi wakil rakyat.

    Ini sekali gus membuka pelbagai spekulasi mengenai penggantinya.

    Kedudukan Mohd. Amar yang sudah berkhidmat sebagai timbalan Ahmad sejak 2013 menguatkan kemungkinan beliau akan menjadi Menteri Besar ke-19 Kelantan.

    Semasa menjawab pertanyaan media, Mohd. Amar juga sempat berseloroh mengenai masa depan politiknya.

    “Saya nak jadi Perdana Penteri,” katanya disusuli dengan ketawa, lapor Malaysiakini.

    Sebelum ini Ahmad selaku Menteri Besar sementara Kelantan sudah menjelaskan Pas tidak berdepan dengan masalah untuk mencari wakil rakyat bagi menggantikan tempatnya.

    Hal itu kerana kata Ahmad, semua calon Pas kali ini layak untuk menjadi Menteri Besar.

    Menurut Ahmad, keputusan mengenai Menteri Besar baru Kelantan hanya akan diumumkan selepas PRN berakhir Sabtu ini dan Pas serta Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri.

    “Tidak perlu bayangan, semua (calon yang bertanding pada PRN) dah layak menjadi menteri besar,” katanya.

    Sementara itu Mohd. Amar berkata, bagi Pas dan PN nama calon Menteri Besar adalah tidak penting kerana matlamat utama gabungan itu ialah mengekalkan kemenangan di Kelantan.

    “(Kalau) Kita nak cakap calon Menteri Besar, tiba-tiba kita tak boleh menang pada PRN ini, buat apa?

    “Kita fokus nak menang dahulu. Menteri Besar ini, yang pertamanya akan diputuskan oleh Pas Pusat terutama presiden, (kemudian) kedua perlu dapat perkenan istana. Ini dua faktor penting.

    “Sebab itu kita di peringkat negeri tidak pernah bincang pun siapa nak jadi menteri besar,” jelasnya.

  • PRN: Bekas ADUN Pas tak jadi calon tapi rancak bantu berkempen

    PRN: Bekas ADUN Pas tak jadi calon tapi rancak bantu berkempen

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad memuji tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mohd. Nazlan Mohamed Hasbullah yang rancak membantu calon parti itu pada pilihan raya negeri (PRN).

    Beliau berkata, tindakan itu patut dijadikan contoh oleh seluruh ahli Pas.

    “Masya-ALLAH…hebat Ustaz Nazlan, walaupun bukan beliau yang menjadi calon, bekerja macam calon.

    “Prestasi sebagai wakil rakyat pun baik, tetapi apabila diputus oleh parti untuk diganti dengan Ustazah Asilah, maka dia akur,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook hari ini.

    Mohd. Nazlan dan isteri membantu calon Pas pada pilihan raya negeri (PRN) berkempen. – Foto Facebook Mohd. Nazlan Mohamed Hasbullah

    Katanya, tindakan itu memperlihatkan Mohd. Nazlan sedar bahawa calon bukan hak peribadi tetapi keputusan parti.

    “Akhlak seperti ini boleh melangkah lebih jauh dalam menjadi pemimpin masa depan parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini Mohd. Nazlan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Bagaimanapun pada PRN kali ini namanya digugurkan sebagai calon dan diganti oleh Nor Asilah Mohamed Zin.