Category: Semasa

  • Warga UK dalang sindiket pelaburan RM200 juta dicekup SPRM

    Warga UK dalang sindiket pelaburan RM200 juta dicekup SPRM

    TANPA kehadiran pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga United Kingdom (UK) dalam serbuan di 24 premis berasingan, semalam.

    Op Tropicana secara serentak itu diadakan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang yang turut melibatkan pemeriksaan di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket terlibat.

    Memetik laporan Berita Harian, difahamkan, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2019 mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

    “Serbuan dijalankan dengan kaedah risikan ‘ intelligence based investigation’, financial investigation, covert operative, undercover dan beberapa kaedah siasatan digunakan.

    “Risikan juga dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM,” katanya.

    Mengulas lanjut Azam Baki berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.

    “Mereka dipercayai telah memperdaya mangsa dengan meyakinkan mereka supaya melabur ke dalam syarikat pelaburan yang tidak wujud dan syarikat tersebut hanyalah rekaan semata-mata.

    “Ini adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah AMLA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengetuai serbuan mengesahkan 11 suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan, manakala 70 individu lagi ditahan JIM.

    “Sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan, dianggarkan berjumlah RM11 juta.

    “Permohonan reman terhadap semua individu akan dilaksanakan pada 22 Februari (Rabu),” katanya.

  • Dua sahabat didakwa rompak berkumpulan, bersenjata di kedai serbaneka

    Dua sahabat didakwa rompak berkumpulan, bersenjata di kedai serbaneka

    DUA sahabat membuat pengakuan tidak bersalah atas tiga tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini.

    Tertuduh, Zainal Abidin Mohd Ghafar, 39, dan Ahmad Rifdi A. Rahman, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

    Kedua lelaki itu didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata ke atas seorang lelaki berusia 20 tahun di sebuah kedai serbaneka di Bandar Chukai, pukul 1.30 pagi, pada 2 Februari lalu.

    Tertuduh kemudian melarikan sebuah telefon bimbit, modem Wifi milik syarikat, wang tunai milik kedai terbabit berjumlah kira-kira RM7,000, dua kotak rokok, beg galas milik mangsa yang mengandungi kad bank, kunci rumah dan kereta serta wang tunai kira-kira RM250.

    Mereka juga didakwa melakukan jenayah sama terhadap lelaki berusia 35 tahun pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dengan merompak wang tunai RM300, sebuah telefon bimbit dan beg silang mengandungi lesen memandu, kad pengenalan dan kad bank.

    Bagi satu lagi pertuduhan, kedua-dua tertuduh juga didakwa merompak seorang lagi lelaki berusia 19 tahun dengan melarikan dua telefon bimbit, wang tunai RM800 dan beg silang mengandungi kad pengenalan dan kad bank pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

    Kes berkenaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurhanisah S. H. Sahul Hamid dan tertuduh diwakili peguam Rozilawati Mat Hassan.

    Menurut laporan Harian Metro, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397, kanun yang sama.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dan menetapkan 28 Mac ini sebagai tarikh serahan dokumen.

    Mahkamah turut mensyaratkan kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.

  • Tun M hairan ada pihak bersungguh-sungguh mahu beliau diam

    Tun M hairan ada pihak bersungguh-sungguh mahu beliau diam

    TUN Dr. Mahathir Mohamad akan terus bersuara dan menyatakan pandangan yang dirasakannya benar selagi ada nyawa atau pahit untuk ditelan.

    Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu menegaskan kebenaran perlu dinyatakan walaupun yang mahu mendengarnya hanyalah seorang.

    “Kebenaran itu mesti dikatakan walau tidak ada sesiapa yang mahu mendengarnya,” tegas bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.

    Kebenaran katanya, tidak dimonopoli majoriti atau minoriti atau yang tidak hilang deposit dalam pilihan raya.

    “Kalau itulah ukurannya, saya rasa kumpulan minoriti perlu diam dan menerima apa sahaja keputusan majoriti walaupun salah,” katanya melalui media sosial hari ini.

    Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) beliau selalu disuruh berehat atau berdiam diri apabila memberikan sesuatu pandangan kepada orang ramai.

    Antara alasan diberi pengkritik terbabit, kata Dr Mahathir, ialah kerana dalam PRU-15 beliau kalah teruk sehingga hilang deposit semasa cuba mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.

    “Saya agak hairan kenapa begitu beria-ia mahu saya tidak bersuara. Dulu dikata saya nyanyuk. Sekarang disuruh diam kerana hilang deposit,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Menurut Mahathir lagi dalam keadaan disuruh diam itu dia akan tetap bertekad memberikan pandangannya untuk didengar oleh ‘kumpulan yang tidak hilang deposit’.

  • KWSP: Ismail Sabri gesa kerajaan beri kebenaran kepada rakyat yang layak

    KWSP: Ismail Sabri gesa kerajaan beri kebenaran kepada rakyat yang layak

    ISU pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus menjadi topik hangat dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN – Bera) antara yang lantang menyuarakan isu tersebut, meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar, kepada yang layak.

    Mengambil contoh individu bergaji RM2,000 sebulan, Ismail Sabri berkata, selepas 10 tahun, jumlah simpanan mencecah RM50,000 dan tidak akan habis jika dikeluarkan sedikit.

    Kenyataan beliau disambut Mohd Syahir Che Sulaiman (PN – Bachok) yang menegaskan impak pengeluaran KWSP secara bersasar sangat besar kepada pemulihan ekonomi dan dapat membantu golongan rentan.

    Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH – Kuala Selangor) turut bangun, menyatakan kerajaan perlu membenarkan pengeluaran sebegitu kerana ia antara cara membantu rakyat yang terkesan.

    Semua persoalan itu kemudian dijawab Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa sesi menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja itu.

    “Saya kira dalam Bajet 2023 pada Jumaat ini, seperti mana dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada kaedah-kaedah lain untuk membantu pada kumpulan ini.

    “Mereka yang layak itu sebenarnya mereka tak mahu keluarkan pun (wang KWSP), apabila kita lihat pada angka-angka itu (jumlah KWSP dalam akaun pengguna). Yang masalahnya yang sedikit (jumlah wang KWSP) itu, makin sedikit pengeluarannya.

    “Walaupun mereka akan ada gaji tapi struktur gaji di Malaysia, strukturnya ialah gajinya rendah itu masalah struktur negara kita.

    “Pada masa sama, kita ingin pastikan rakyat berpendapatan tinggi, maka KWSP mereka merentas kaum juga tinggi dan ini antara perkara utama yang kita akan lakukan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

    Tambah Ahmad, tahap simpanan ahli KWSP telah menyusut dengan ketara akibat empat pengeluaran sebelum ini.

  • Pelajar kolej didakwa rogol remaja perempuan

    Pelajar kolej didakwa rogol remaja perempuan

    SEORANG pelajar kolej didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan berusia 13 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini pada Februari lalu.

    Tertuduh, Muhamad Zulhilmi Zainal Abidin, 18, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sekitar pukul 1 tengah hari hingga 4 petang di sebuah rumah dalam daerah Kemaman pada 7 Februari lalu, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh yang beralamat di Paka, Dungun didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 oleh seorang penjamin dan mengenakan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai dibicarakan.

    Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes itu pada 5 April depan.

    Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Azlizawani Adenan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Diisytihar kosong, tiada PRK DUN Batang Kali –  SPR

    Diisytihar kosong, tiada PRK DUN Batang Kali – SPR

    TIADA pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Selangor, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

    Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR telah menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim melalui surat semalam berhubung status kekosongan luar jangka kerusi DUN Batang Kali selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

    Ikmalrudin berkata berdasarkan kepada Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5), Speaker Dewan Negeri Selangor telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka itu.

    “Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Negeri N07 Batang Kali, Selangor akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 16 Feb lepas, Speaker DUN Selangor mengisytiharkan kerusi DUN Batang Kali kosong berkuat kuasa 28 Jan lepas ekoran penyandangnya Harumaini Omar daripada parti Pejuang tidak hadir ke sidang DUN Selangor melebihi tempoh enam bulan.

    Harumaini didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan Persidangan Dewan dari 23 hingga 30 Nov 2022, 1 hingga 2 Dis 2022 dan 5 hingga 6 Dis 2022. – BERNAMA

  • Tuduh ‘Anwar pendendam’, PM beri MP Pas tiga hari untuk mohon maaf

    Tuduh ‘Anwar pendendam’, PM beri MP Pas tiga hari untuk mohon maaf

    PENGERUSI Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Ahli Parlimen Pendang daripada Pas, Datuk Awang Hashim memohon maaf kerana dilapor menyifatkan perdana menteri sebagai “lebih pendendam berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad”.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, dalam surat tuntutan itu, Anwar menuntut Awang menarik balik kenyataannya dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan itu pada masa akan datang atau Presiden PKR berkenaan akan membawa pemimpin Pas itu ke mahkamah.

    Perdana Menteri juga menuntut ganti rugi daripada Awang kerana mencemarkan nama baiknya, memberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat tuntutan itu.

    Dalam surat difailkan oleh Tetuan S N Nair & Partners, Anwar berhujah kenyataan Awang adalah berniat jahat, tidak benar, memfitnah dan tidak berasas.

    Semalam, Malaysiakini memetik Awang yang menuduh Anwar “lebih berdendam” daripada Mahathir, susulan pertuduhan rasuah terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada pertuduhan lain berhubung projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS), yang membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai menteri pertahanan ketika projek itu mula diluluskan.

    Anwar berkata kenyataan Awang itu menyindir beliau menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan serta campur tangan dalam hal ehwal Jabatan Peguam Negara (AGC) dan agensi penguatkuasaan.

    Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata, ia memberi gambaran beliau seorang berdendam, tidak beretika atau tidak berprinsip, dan bukan seorang Muslim yang baik yang menghormati Perlembagaan Persekutuan.

    “Sebagai Ahli Parlimen, (Awang) seharusnya lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan tidak benar, berunsur fitnah dan tidak bersandarkan pada bukti. Tindakannya menyebabkan anak guam kami tiada pilihan selain memulakan tindakan ini untuk menjaga reputasinya.

    “Jika anak guam kami tidak menerima sebarang maklum balas memuaskan dalam tempoh tiga hari selepas menerima notis ini, tindakan undang-undang akan dimulakan terhadap anda,” katanya dalam surat tuntutan.

  • Warga emas mengaku tidak bersalah rogol dua remaja

    Warga emas mengaku tidak bersalah rogol dua remaja

    KAKITANGAN hotel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan merogol dua pekerja sambilan yang masih remaja di hotel berkenaan.

    Tertuduh, Wan Tazilah Wan Harun, 61, mengakut tidak bersalah dan meminta dibicarakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa yang berusia 18 tahun 7 bulan antara 6.30 petang hingga 10 malam, 27 Disember 2022.

    Tertuduh turut didakwa merogol seorang lagi mangsa yang berusia 16 tahun 3 bulan di lokasi, masa dan tarikh sama.

    Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

    Mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

  • Kerajaan tak akan benar keluar KWSP, kata Ahmad Maslan

    Kerajaan tak akan benar keluar KWSP, kata Ahmad Maslan

    KERAJAAN kekal berpendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk secara bersasar pada ketika ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan kaedah lain bagi membantu rakyat terkesan setelah membenarkan pengeluaran KWSP sebanyak empat kali ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.

    Malah katanya, negara yang membenarkan langkah sama, turut tidak lagi membenarkan pengeluaran wang caruman itu.

    Berdasarkan rekod katanya, sebanyak 6.7 juta atau 51.5 peratus pencarum di bawah usia 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah.

    “Saya kira dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, sebagaimana yang dijanjikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), ada kaedah lain untuk membantu kumpulan ini.

    “Apabila kita melihat kepada angka, mereka yang layak (untuk membuat pengeluaran), sebenarnya mereka tidak mahu keluarkan pun, masalahnya bagi yang sikit (simpanan), makin sikit pengeluaran (untuk dilakukan).

    “Walaupun mereka akan ada gaji, tapi struktur gaji di Malaysia ini adalah rendah. Kita ingin pastikan rakyat berpendapatan tinggi, maka KWSP mereka merentas kaum juga akan tinggi dan ini antara perkara utama yang ingin kita lakukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad menjawab celahan beberapa Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) dan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar, dengan syarat yang lebih ketat.

    Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, Malaysia dijangka tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini, berdasarkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang masih kekal positif, terutama disokong permintaan domestik yang stabil, khususnya perbelanjaan swasta.

    Ia susulan jangkaan penambahbaikan pasaran buruh yang berterusan serta peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial, terutama berkaitan pelancongan.

    Katanya, Fitch Ratings turut mengekalkan penarafan kredit negara pada tahap “triple B plus”, dengan tinjauan stabil pada 2023.

    “Ini mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan dan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.

    “Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan daya tahan ekonomi, dengan mempelbagaikan sumber pertumbuhan serta memastikan persekitaran kondusif bagi menarik minat pelabur asing dan domestik, terutama dalam bidang bernilai tambah tinggi, yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan berpendapatan tinggi,” katanya.

    Selain itu, Ahmad berkata, kerajaan akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal pada tahun ini, yang antara lain akan mengehadkan pinjaman kerajaan hanya bagi tujuan pembangunan dan kadar pembayaran khidmat hutang tidak lebih 15 peratus daripada hasil.

    “Dari segi tanggungjawab fiskal, kita tidak boleh meminjam untuk membayar gaji atau perbelanjaan mengurus (OE) dan kita hanya meminjam untuk membayar perbelanjaan pembangunan (DE). Itu adalah garis panduan fiskal.

    “Sama ada akan berlaku (pinjaman selain untuk DE) pada masa akan datang, itu kita akan lihat dan cuba untuk mengelakkannya dan sebab itu, kita akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal,” katanya.

    Beliau menjawab celahan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai kemungkinan kerajaan akan menggubal undang-undang, yang akan membolehkan pinjaman dibuat bagi menampung OE, berikutan pendapatan kerajaan tidak berganjak, sedangkan OE meningkat.

  • PDRM tidak kompromi, lindungi anggota terlibat salah laku jenayah -Razarudin

    PDRM tidak kompromi, lindungi anggota terlibat salah laku jenayah -Razarudin

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi atau menyembunyikan warga kerjanya yang terlibat dengan sebarang bentuk salah laku jenayah atau dadah.

    Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM sama sekali tidak akan berkompromi dengan hal itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

    “Suka saya mengulangi peringatan pucuk pimpinan bahawa PDRM tidak akan melindungi atau menyembunyikan anggotanya yang terlibat dengan sebarang bentuk jenayah, dadah mahupun menjadi ahli kepada mana-mana kumpulan haram.

    “Warga PDRM juga diingatkan supaya sentiasa menjaga tingkah laku walau di mana berada serta apa jua keadaan sekalipun…kepesatan teknologi media sosial masa kini membuatkan kita sering menjadi perhatian masyarakat…setiap salah laku warga PDRM akan dilaporkan di media sosial,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang (IPD), di Serdang, hari ini.

    Pembinaan IPD Serdang yang menelan kos sebanyak RM60 juta siap sepenuhnya pada 2011 dan memulakan operasinya pada 2012.

    “Saya yakin prasarana moden yang dibina dengan kos sebanyak RM60 juta ini, bukan sahaja menjadi mercu kebanggaan buat warga IPD Serdang, tetapi juga dapat menyuntik semangat warga kerjanya untuk menjalankan tugas dengan efisien dalam persekitaran kerja yang lebih kondusif.

    “Pada masa yang sama, manfaat ini juga dapat memberikan keselesaan kepada masyarakat setempat yang datang berurusan di IPD Serdang,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai punca IPD Serdang lambat dirasmikan, Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata perkara itu melibatkan perkara dasar PDRM.

    “Bukit Aman akan memilih IPD mana yang belum dirasmikan. Mungkin ada IPD lain yang lebih lama dan belum dirasmikan. Kebetulan IPD Serdang satu daripadanya dan tiada sebab lain,” katanya.

    Turut hadir sama pada majlis berkenaan ialah pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi.