Category: Semasa

  • Campak mayat lelaki tempatan dalam tasik, dua warga India didakwa

    Campak mayat lelaki tempatan dalam tasik, dua warga India didakwa

    DUA lelaki warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki tempatan yang mayatnya ditemui di sebuah tasik dekat Cyberjaya 12 Februari lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh, Barathi, 23, dan Sekar, 42, didakwa telah membunuh mangsa, Siva Vadivaloo sekitar pukul 3 pagi di kandang lembu di bawah jambatan Lebuhraya Lingkaran Putrajaya-Cyberjaya pada 11 Februari lalu.

    Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, lapor UtusanTV.

    Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi manakala kedua-kedua tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

    Majistret Ayuni kemudian menetapkan 25 Mei depan bagi sebutan semula kes selain tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

    Sebelum ini pada 13 Februari lalu, media melaporkan mayat seorang lelaki ditemui terapung di dalam sebuah tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah bersama sebuah pacuan empat roda.

    Susulan kejadian itu polis menahan tiga warga India yang bekerja di pusat mencuci kereta di Puchong dan seorang wanita berbangsa India warga tempatan berusia 20-an.

    Kes dipercayai akibat berebut wanita.

  • LHDN bantah permohonan Shafee untuk fail tuntutan balas

    LHDN bantah permohonan Shafee untuk fail tuntutan balas

    KERAJAAN Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini membantah permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memfailkan tuntutan balas terhadap LHDN yang menuntut agar beliau membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

    Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus, yang mewakili LHDN, berkata pihaknya membantah permohonan itu atas alasan Aturan 73 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Subseksyen 42(2)(e)(i) Akta Prosiding Kerajaan 1956 menyatakan tuntutan balas tidak boleh difailkan terhadap kerajaan bagi tindakan pemungutan cukai.

    Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain kemudian menetapkan 13 April untuk memutuskan perkara itu.

    Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Muhammad Shafee, ketika dihubungi mengesahkan tarikh itu.

    Muhammad Shafee juga diwakili Datuk Seri Rajan Navaratnam manakala Peguam Kanan Hasil Norzilah Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause turut bertindak bagi LHDN.

    Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada Mei 2021 antaranya atas alasan tuntutan cukai tersebut merupakan serangan terhadap beliau sebagai mangsa politik atas kapasitinya selaku peguam Datuk Seri Najib Tun Razak dan dianggap sebagai peguam UMNO walaupun beliau bukan peguam parti berkenaan.

    Pada 27 Sept 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

    LHDN, yang memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021, mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

    Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pada 28 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

    Bagaimanapun, pendakwaan pada 1 Nov 2022 telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

  • Hanya 7 negeri kuat kuasa undang-undang lompat parti

    Hanya 7 negeri kuat kuasa undang-undang lompat parti

    KERAJAAN akan meneliti semula penambahbaikan yang boleh dibuat terhadap undang-undang berkaitan anti lompat parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

    “Ini bagi memastikannya dapat terus melindungi mandat rakyat dalam pemilihan wakil rakyat,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

    Menurut beliau, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sudah diwartakan pada 6 September 2022 dan berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022.

    “Peruntukan Seksyen 6 Akta A1663 memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri/Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri.

    “Sehingga kini, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak sudah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti di peringkat DUN,” katanya.

    Menjawab celahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai usaha Kerajaan Persekutuan untuk menyelaraskan penguatkuasaan undang-undang berkaitan anti lompat parti bagi semua negeri, Azalina berkata, perkara itu berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri sepenuhnya.

    “Kerajaan Pusat tidak boleh (campur tangan) sebab isu lompat parti ini tidak berada dalam ‘concurrent list’ (senarai pelaksanaan serentak) antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

    Sementara itu, Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang memuktamadkan dasar dan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanajaya Perkhidmatan Parlimen untuk menjadikan perkhidmatan Parlimen berasingan daripada perkhidmatan awam, yang dikenali sebagai perkhidmatan Parlimen.

    Katanya, pemberian kuasa autonomi kepada Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ini amat penting dan adalah satu kemajuan yang baik dalam memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara Badan Perundangan dan Badan Eksekutif.

    “Memorandum Jemaah Menteri mengenai perkara ini akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Bekas Ahli Parlimen Padang Serai diarah bayar ganti rugi RM150,000 kepada suami isteri

    Bekas Ahli Parlimen Padang Serai diarah bayar ganti rugi RM150,000 kepada suami isteri

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan membayar ganti rugi RM150,000 kepada sepasang suami isteri berhubung mesej WhatsApp berbaur fitnah membabitkan dakwaan mereka menipu beberapa ahli perniagaan.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pasangan itu terhadap Gobalakrishnan.

    Ketika mengesahkan perkara itu, peguam Rueben Mathiavaranam yang mewakili pasangan tersebut, berkata mahkamah turut mengarahkan Gobalakrishnan membayar RM40,000 sebagai kos kepada seorang juruterbang iaitu S. Selvakumar dan isterinya, R. Indrani yang merupakan bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat cawangan Sungai Siput.

    Beliau berkata dalam penghakimannya, Raja Ahmad Mohzanuddin memutuskan ketiga-tiga mesej defendan melalui WhatsApp pada 4 Jun 2019 adalah bersifat fitnah terhadap pasangan itu.

    “Mahkamah turut menolak tuntutan balas Gobalakrishnan terhadap Indrani kerana ketiadaan bukti,” kata Rueben.

    Pernyataan tuntutan pasangan itu, yang difailkan pada 7 Nov 2019, antara lain memohon ganti rugi am, perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menulis atau menyiarkan perkataan berbaur fitnah, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • Polis tahan tiga lelaki disyaki baling mercun ke rumah jiran

    Polis tahan tiga lelaki disyaki baling mercun ke rumah jiran

    POLIS menahan tiga suspek lelaki berusia 19 sehingga 41 tahun kerana terlibat membaling mercun buatan sendiri ke sebuah rumah di Felda Kemahang 3, di Tanah Merah pada 17 Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan di tiga rumah berasingan di Felda Kemahang 3, Selasa lalu.

    “Tangkapan dilakukan susulan polis menerima laporan seorang mangsa yang merupakan peneroka di Felda itu berkaitan bunyi letupan pada awal pagi 17 Feb lalu,“ katanya dalam kenyataan di Tanah Merah, hari ini.

    Katanya mangsa terdengar bunyi  beberapa orang berjalan di luar rumahnya sebelum terdengar bunyi dua letupan yang kuat di hadapan rumah di Felda berkenaan.

    Mohd Haki berkata siasatan di tempat kejadian menemukan serpihan besi disyaki komponen bahan letupan buatan sendiri dan bukti itu telah dihantar ke unit forensik untuk dianalisis.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah  telah melakukan serbuan terhadap rumah ketiga-tiga suspek terbabit.

    “Serbuan di rumah pertama suspek bertindak melarikan diri setelah kehadiran polis namun dapat ditahan setelah berlakunya pergelutan,” katanya sambil menambah polis turut menemukan 12 biji pil yaba di dalam beg suspek.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas rumah dua lagi suspek, polis menemukan satu paket mercun bola dan sebuah beg silang yang mengandungi sumbu dan serbuk belerang (karbait) di dalam sebuah almari di rumah itu.

    “Pemeriksaan lanjut, pihak kami telah menjumpai satu guni berwarna putih di dalamnya berisi tiga paket mercun bola yang disimpan dalam sebuah almari lain,” katanya menambah hasil ujian saringan mendapati dua daripada suspek positif methaphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

  • Warga emas maut dihempap pokok kelapa

    Warga emas maut dihempap pokok kelapa

    SEORANG wanita warga emas maut selepas dipercayai dihempap pokok dalam kejadian di Felda Palong 8 di Jmepol hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Hazren Mohd Zahar berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian orang dihempap pokok pada pukul 1 petang.

    “Mangsa merupakan seorang wanita warga emas berusia 66 tahun telah dihempap sebatang pokok kelapa tumbang,” katanya ketika dihubungi.

    Pihak bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Saipol Azlee Abd Rahim bergegas ke lokasi kejadian sebaik panggilan diterima.

    Mangsa katanya, berjaya dikeluarkan namun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Dua mesin ATM diletupkan, 3 suspek larikan RM349,000

    Dua mesin ATM diletupkan, 3 suspek larikan RM349,000

    TIGA suspek dipercayai meletupkan dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank sebelum melarikan sejumlah RM349,000 dari mesin berkenaan dalam kejadian di Setia Alam pagi tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian pada pukul 6.48 pagi tadi.

    Polis yang bergegas ke tempat kejadian kemudian mendapati dua mesin ATM dalam keadaan rosak teruk dipercayai diletupkan.

    Siasatan awal di lokasi mendapati sebuah mesin ATM dapat dibuka manakala sebuah lagi tidak berjaya dibuka.

    “Siasatan setakat ini juga mendapati tiga suspek dilihat memasuki premis ATM bank berkenaan. Suspek menaiki kereta berwarna putih disyaki jenis Mitsubishi ASX.

    “Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kabur dan tidak jelas kerana suspek menyembur CCTV di premis bank menggunakan cat hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, pihak forensik Unit Pemusnah Bom (UPB) turut ke tempat kejadian bagi memastikan keadaan selamat serta membantu siasatan.

    “Siasatan dari pihak forensik menyatakan letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas. Tiada kesan kebakaran di tempat kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    “Anggaran keseluruhan kerugian adalah RM409,000 yang mana wang tunai sebanyak RM349,000 manakala selebihnya kerugian mesin ATM terbabit yang berharga RM30,000 setiap satu,” katanya sambil menambah gerakan mengesan suspek sedang diperhebat.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai Penyiasat kes ASP Mohammad Khairi di talian 012-2666025,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 8 saat memaparkan keadaan mesin ATM berkenaan dalam keadaan rosak teruk.

  • Siti Bainun akui Bella cedera semasa di rumahnya

    Siti Bainun akui Bella cedera semasa di rumahnya

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, mengakui kecederaan yang dialami remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella berlaku ketika di rumahnya di Kondominium Irama Wangsa, Wangsa Maju.

    Siti Bainun, 31, mengesahkan perkara itu selepas bersetuju dengan cadangan soalan semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.

    Pertanyaan itu merujuk kepada video yang dirakam oleh saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin ketika datang ke rumahnya pada 24 Jun 2021.

    Zahida: Memandangkan Bella berada dalam jagaan kamu di rumah, saya katakan kesemua kecederaan itu berlaku semasa Bella berada di rumah kamu?

    Siti Bainun: Setuju.

    Zahida: Saya cadangkan kesemua kecederaan Bella dalam rakaman video adalah sama dengan kecederaannya apabila sampai di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Siti Bainun: Tak pasti.

    Zahida: Saya cadangkan kesemua kecederaan dalam video adalah sama dengan gambar (barang kes) apabila Bella sampai di hospital.

    Siti Bainun: Tak setuju.

    Zahida: Kalau saya katakan kesemua gambar dalam video sama dengan kamu melihat Bella sebelum Zurianty jumpa Bella pada 24 Jun 2021.

    Siti Bainun: Betul.

    Zahida: Saya cadangkan memandangkan kesemua kecederaan itu berlaku semasa berada dalam rumah kamu, kamu mengabaikan Bella.

    Siti Bainun: Tak setuju.

    Dalam prosiding sama, Siti Bainun menafikan dia gagal menjalankan tanggungjawabnya menjaga Bella dan kanak-kanak lain sehingga melanggar perintah jagaan ditetapkan.

    Siti Bainun turut tidak bersetuju dengan cadangan soalan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas bahawa kanak-kanak termasuk Bella, tidak dijaga orang dewasa lain semasa ketiadaannya di rumah.

    Dia juga menafikan tidak dapat menjaga kanak-kanak kurang upaya dengan baik kerana tiada latar belakang pendidikan berhubung penjagaan kanak-kanak kurang upaya itu.

    Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, lapor BH.

  • Jana Wibawa:Adam Radlan bakal berdepan tuduhan kelima

    Jana Wibawa:Adam Radlan bakal berdepan tuduhan kelima

    AHLI perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad yang berdepan empat tuduhan rasuah berhubung program Jana Wibawa, akan didakwa lagi dengan pertuduhan kelima pada 28 Februari ini.

    Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, timbalan ketua Bersatu Segambut itu pada mulanya dijadualkan didakwa lagi hari ini.

    Bagaimanapun, Adam Radlan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu depan, lapor FMT.

    Kelmarin, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan meminta dan menerima rasuah RM500,000 berkait Jana Wibawa untuk projek jalan raya bernilai RM47.8 juta di Perlis.

    Projek itu diberikan Putrajaya menerusi rundingan terus.

    Semalam, beliau mengaku tidak bersalah atas dua lagi dakwaan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan inisiatif bagi membantu kontraktor Bumiputera ketika pandemik Covid-19.

  • SPRM bukan alat politik-Azam Baki

    SPRM bukan alat politik-Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki menegaskan, agensi bukan menjadi alat kerajaan.

    Katanya, agensi berkenaan tidak pernah memilih untuk melakukan siasatan.

    “Sekiranya anda melihat rekod dari 2006 hingga sekarang, kami sangat konsisten.

    “Sebagai contoh pada 2016, SPRM memfokuskan kes membabitkan jumlah besar dana awam, seperti isu 1MDB dan skandal air Sabah.

    “Jadi, tiada alasan untuk sesiapa melabelkan kami alat, tidak kira parti mana menjadi kerajaan, SPRM tetap konsisten,” katanya menjawab soalan berhubung kritikan terhadap agensi itu, lapor FMT.

    Kelmarin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa parti itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas bekas ketua penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah.

    Semalam, bekas ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan rasuahnya, seorang pegawai SPRM memaklumkan agensi anti-rasuah itu ‘digunakan’ setiap kali berlaku pertukaran kerajaan.

    Sebelum ini, terdapat gesaan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen untuk memastikan kekal bebas.