Category: Semasa

  • Peroleh maklumat baharu kes REE, SPRM tangguh panggil Sanusi

    Peroleh maklumat baharu kes REE, SPRM tangguh panggil Sanusi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh keterangan baharu berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, merujuk kepada maklumat atau petunjuk baharu yang diterima itu, siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Beliau berkata, pihaknya akan meneliti dan menyiasat maklumat terbaharu tersebut bagi menyokong siasatan sedia ada.

    “Ada yang mempersoalkan kenapa SPRM masih tidak memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu REE ini.

    “Pada masa ini, SPRM masih menangguhkan tindakan memanggil Sanusi bagi mengambil keterangan percakapan kerana maklumat baharu yang diperoleh.

    “Kita akan melihat dan meneliti sepenuhnya keterangan atau maklumat baharu ini, sebelum tindakan selanjutnya dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis perbarisan tamat latihan kursus asas pegawai SPRM Siri 27 (Penguasa P41) di Padang Kawad Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

    Sementara itu ditanya mengenai laporan diterima SPRM sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), Azam berkata, pihaknya menerima 11 laporan berhubung pemberian berunsur rasuah.

    Kata beliau, dua laporan diterima di ibu pejabat SPRM Putrajaya, manakala selebihnya di negeri lain.

    Sehubungan itu menurut beliau, maklumat yang diterima daripada laporan sedang diproses bagi tujuan siasatan.

    “SPRM akan melihat semua maklumat dan laporan diterima dengan teliti, sebelum memutuskan ia perlu dilakukan siasatan lanjut atau sebaliknya,” ujarnya lapor Sinar Harian.

    Tambah Azam, setiap calon yang bertanding perlu memastikan tiada pemberian wang atau hadiah kepada kumpulan pengundi bagi menyokong dirinya.

    Tegasnya, calon yang mempunyai taraf pelajaran dan pengetahuan tinggi seharusnya memahami Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang tidak membenarkan perkara seumpama itu dilakukan.

    “Ia merupakan satu kesalahan lazim yang sering berlaku semasa pilihan raya.

    “Seharusnya mereka (calon) perlu faham kerana ia telah dinyatakan di dalam akta, malah telah lama diperkenalkan sejak 1954,” ujarnya.

  • Pekerja ladang mengaku bersalah cuba bunuh isteri dengan cara simbah petrol, bakar

    Pekerja ladang mengaku bersalah cuba bunuh isteri dengan cara simbah petrol, bakar

    SEORANG pekerja ladang berusia 36 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan cubaan membunuh isterinya sendiri dengan cara menyimbah petrol dan membakar mangsa, pada 31 Julai lalu.

    Tertuduh, R. Rethinasamy membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Berdasarkan pertuduhan, Rethinasamy didakwa melakukan kesalahan menyebabkan kecederaan seorang wanita di ladang Mayfield, Tasek Gelugor di Butterworth, pukul 10.30 malam.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sementara itu, Wan Amira Ruzaini menentang sekeras-kerasnya sebarang ikat jamin atas faktor tahap keseriusan jenayah yang dilakukan tertuduh.

    “Mangsa yang terlibat adalah isteri OKT (Orang Kena Tahan) sendiri dan seperti yang tular di media sosial, tertuduh bertindak membakar isteri sendiri.

    “Mangsa kini masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat melecur tahap ketiga di keseluruhan badan,” katanya.

    Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 September depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan lantikan peguam.

    Terdahulu, media melaporkan seorang wanita melecur dipercayai dibakar suaminya menggunakan petrol di rumah mereka di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

    Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun melecur sehingga 27 peratus pada anggota badan dan siasatan awal polis mendapati kejadian itu disebabkan perselisihan faham keluarga.

  • Harga getah hanya untungkan negara luar, tidak selari dengan mata wang negara

    Harga getah hanya untungkan negara luar, tidak selari dengan mata wang negara

    KERAJAAN gagal mengatasi isu kadar harga getah yang merundum sejak sekian lama meskipun negara ini kaya dengan pengeluaran hasil itu.

    Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin yang meyuarakan perkara berkenaan yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan Pusat.

    Lebih menyedihkan, tegas Mohd. Radzi, kadar harga getah di negara ini juga tidak selari dengan kadar mata wang negara yang hanya akan menguntungkan negara luar.

    “Produk yang termasyhur di dunia (getah) tetapi saya hairan mengapa harganya terlalu rendah jika nak dibandingkan dengan negara luar.

    “Misalnya satu dolar kedudukan wang negara kita dalam RM4.60 atau RM4.70 tetapi harga getah kita cuma RM2.20, adakah ini bermakna negara luar beli getah kita di bawah paras satu dolar?

    “Perbezaan separuh daripada kadar yang saya sebutkan jadi adakah ia munasabah (harga getah) sedangkan kita barang luar semuanya mahal tetapi harga getah masih lagi tak meningkat,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kadar harga getah yang seterusnya mengheret golongan penoreh terus dalam keadaan terbeban.

    Situasi yang memerangkap golongan penoreh katanya memaksa golongan itu untuk mencari pendapatan sampingan untuk menyara keluarga.

    Selain kebajikan penoreh getah, Mohd. Radzi yang juga penyandang kerusi DUN Pedu akan turut memberi tumpuan pada pembangunan hab pelancongan di kawasan berkenaan menerusi perancangan melibatkan Tasik Pedu.

    “Selain membantu golongan nelayan tempatan, usaha ini akan turut memanfaatkan semua pihak terutamanya dari segi peluang pekerjaan,” ujarnya.

    Beliau bakal bertemu dengan pesaingnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri kali ini.

  • PRN jadi medan penilaian prestasi kerajaan Persekutuan

    PRN jadi medan penilaian prestasi kerajaan Persekutuan

    FAKTOR Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri akan menjadi penyumbang kepada keputusan pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini.

    Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas, Muhammad Nazrul Hakim Md. Nazir, walaupun tidak menafikan kelesuan atau political fatigue juga akan mempengaruhi pengundi, PRN tetap akan dilihat rakyat sebagai masa untuk membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan Persekutun.

    “Ketidakpuasan hati mungkin diterjemah dalam PRN. Dalam masa sama, prestasi kerajaan negeri juga menjadi taruhan sama ada rakyat di negeri itu akan mengekalkan pemerintahan sedia ada atau pun akan diubah.

    “Kedua-duanya akan beri kesan kepada trend pengundian kerajaan negeri. Suka atau tidak, PRN ini jadi satu referendum penilaian terhadap kerajaan persekutuan, sebab kita baru saja lepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

    “Dalam keadaan lepas PRU dan dalam keadaan penat, semua parti, termasuk Pas, merasakan kepenatan itu.

    “Pembentukan kerajaan perpaduan menerusi PRU akan dinilai dalam PRN ini,” katanya ketika menyertai sesi diskusi bertajuk ‘PRN: Referendum PMX Atau Kerajaan Negeri?’ hari ini.

    Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pula melihat faktor kelesuan bukan sahaja memberi impak kepada pengundi, tetapi juga calon dan penyokong mereka.

    “Kempen PRU baru lapan bulan lepas. Jadi, agak sukar untuk sukarelawan dan penyokong yang selalu membantu kita untuk bagi sokongan padu seperti apa yang diberikan pada bulan November yang lepas.

    “Political fatigue itu satu realiti untuk semua bukan saja pengundi tetapi juga untuk yang mendokong kempen calon juga. Ini adalah satu cabaran untuk kita,” katanya.

    Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan melihat parti kecil seperti PSM mempunyai kelebihan dalam memikat hati pengundi.

    Ini kerana, beliau berpendapat parti kecil lebih fokus dalam memperjuang dan menyelesaikan isu rakyat, berbeza dengan parti besar yang lebih tertumpu isu populis.

    “Parti besar ghairah berbincang tentang isu kaum dan agama sehingga naratif isu seperti gaji minimum, jaminan kerja, harga perumahan dan sebagainya (tidak diberi perhatian).

    “Apa yang boleh kita katakan, parti kecil akan tengok isu yang kecil kerana parti besar akan cakap isu besar, tetapi selepas pilihan raya, cuba tanya dia, apa masalah? Dia akan cakap isu asas seperti inflasi, jaminan kerja dan sebagainya,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Saya bukan pengkhianat, sebaliknya saya ‘ditikam’ – Azmin Ali

    Saya bukan pengkhianat, sebaliknya saya ‘ditikam’ – Azmin Ali

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan tuduhan bahawa beliau ialah pengkhianat dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Beliau mendakwa ‘ditikam’ oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipecat daripada parti berkenaan.

    “Saya dilantik oleh Tun Dr. Mahathir (Mohamad), bukan Anwar. Sekali lagi, ini bukti yang menunjukkan dia tidak mahu saya lebih berjaya daripada dia.

    “Dia tikam belakang saya. Dia pecat saya. Saya tidak pernah lompat parti. Ini rekod yang saya nak pertahankan. Tidak benar kalau ada laporan (yang berbunyi) ‘semenjak Azmin meninggalkan Keadilan’.

    “Apa sebab saya tinggalkan parti, walhal dua pertiga kumpulan saya menang dalam pemilihan parti? Tetapi, oleh kerana Keadilan cukup tidak demokratik, tidak boleh menegur Presiden, maka kami dipecat,” jelasnya, lapor Astro Awani.

    Mohamed Azmin berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dilontarkan Shahril Hamdan berkenaan ‘ketidakpercayaan’ Anwar terhadapnya, menerusi siaran podcast Keluar Sekejap pada malam tadi.

    Jelas bekas Menteri Besar Selangor itu, beliau dinafikan dalam banyak perkara, termasuk ketika Pakatan Harapan (PH) berjaya mentadbir Kerajaan Persekutuan pada 2018.

    Ujarnya, beliau tidak pernah disenaraikan untuk menyandang apa-apa jawatan walhal sebelum ini beliau merupakan Timbalan Presiden parti dan ahli paling lama dalam parti.

    Untuk rekod, pada Februari 2020, Majlis Pimpinan Pusat PKR memutuskan Azmin dipecat sebagai anggota parti.

    Keputusan tersebut dilaporkan dibuat susulan tindakan Azmin yang ketika itu disifatkan sebagai ‘satu pengkhianatan terbuka’ dan mampu menjejaskan kestabilan PH.

  • Penganggur mengaku bersalah tuduhan cubaan bunuh dua anak saudara

    Penganggur mengaku bersalah tuduhan cubaan bunuh dua anak saudara

    SEORANG lelaki berusia 28 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas dua tuduhan cubaan membunuh dua anak saudaranya yang berusia 44 hari dan tiga tahun dalam kejadian Rabu lalu.

    Tertuduh, Mohammad Azmin Hamanullah yang juga penganggur membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Azmin dituduh dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang bayi perempuan berusia 44 hari.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 2 Ogos, kira-kira pukul 3 petang, di Flat Nusantara, Jalan Makloom, di Georgetown.

    Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Azmin dituduh dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di lokasi dan tarikh yang sama.

    Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, namun jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, maka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong dan Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar.

    Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental dengan mengguna pakai Seksyen 342 (5) Kanun Prosedur Jenayah.

    Hakim kemudian mengarahkan tertuduh menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dan tertuduh tidak dibenarkan dijamin.

    Mahkamah turut menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

    Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan patah kaki kiri dan cedera pada mulut akibat dicampak suspek dari tingkat satu koridor rumah berkenaan.

    Dalam kejadian itu, adik kanak-kanak perempuan itu berusia 44 hari turut dihempas ke lantai rumah.

  • Najib mohon AG semak kes RM6.6 bilion IPIC

    Najib mohon AG semak kes RM6.6 bilion IPIC

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghantar surat representasi kepada Peguam Negara (AG) minggu lalu berhubung kes pecah amanah (CBT) terhadapanya melibatkan RM6.6 bilion yang dikaitkan dengan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada pasukan peguam Najib minggu lepas.

    Mengikut undang-undang, surat representasi adalah satu kaedah untuk tertuduh meminta pendakwa raya menyemak semula kes jenayah terhadapnya, seperti melalui pengguguran pertuduhan atau untuk tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang lebih ringan, lapor Malaysiakini.

    Sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah juga telah menghantar representasi kepada AGC berhubung kes yang sama.

    Berikutan itu hakim perbicaraan Muhammad Jamil Hussin menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula agar pihak pendakwa raya memaklumkan status terkini representasi kedua-dua tertuduh.

    Hari ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan bagi pihak pendakwaan bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai status terkini representasi Irwan.

    Jamil melapangkan tarikh perbicaraan terhadap Irwan dan Najib pada 3 April lalu bagi membolehkan AGC memutuskan sama ada membenarkan representasi Irwan.

    Representasi itu dibuat susulan perkembangan pada Februari tahun ini, yang menyaksikan Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkanr bahawa IPIC Abu Dhabi dan unitnya Aabar Investments PJS bersetuju membayar AS$1.8 bilion (RM8.06 bilion) untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Disaksikan Najib dan Irwan dari kandang tertuduh semasa prosiding di mahkamah hari ini, Saifuddin memohon tarikh sebutan sekitar satu setengah bulan dari hari ini memandangkan AGC sedang meneliti representasi kedua-dua tertuduh, yang melibatkan banyak dokumentasi.

    Peguam bela Irwan, K. Kumaraendran tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan penangguhan itu, tetapi memohon tarikh sebutan awal dalam tempoh sebulan dari hari ini.

    Kumaraendran berkata, ini kerana anak guamnya telah menghantar representasi lebih awal tiga bulan lalu.

    Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan penangguhan oleh pihak pendakwaan, sambil meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan awal dalam tempoh sebulan dari hari ini.

    Jamil kemudian menetapkan 12 September untuk sebutan kes itu.

    Kes jenayah membabitkan Najib dan Irwan adalah berkenaan urusan 1MDB dengan IPIC, khususnya penyelesaian pada 2017 antara kedua-dua pihak apabila 1MDB yang bermasalah membayar AS$1.2 bilion kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu.

    Ini selepas IPIC menarik diri daripada perjanjiannya pada 2015 untuk menyelamatkan 1MDB, yang, pada masa itu, bergelut untuk membayar pinjaman bank.

    1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). Najib adalah menteri kewangan ketika itu manakala Irwan pernah berkhidmat di bawahnya di kementerian itu.

    Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Irwan mengaku tidak bersalah atas di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan pecah amanh berjumlah RM6,636,065,000 dana milik kerajaan tersebut.

    Najib dan Irwan didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Bagi pertuduhan pertama, Najib dan Irwan didakwa secara bersama atas kapasiti mereka sebagai menteri kewangan dan ketua setiausaha Perbendaharaan yang diamanahkan RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia – dengan melakukan pecah amanah terhadap dana itu.

    Bagi pertuduhan kedua, Najib dan Irwan didakwa secara bersama atas kapasiti yang sama seperti jawatan mereka ketika itu melakukan pecah amanah sebanyak RM655 juta milik kerajaan Malaysia yang diamanahkan kepada mereka.

    Bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh bersama – atas kapasiti mereka sebagai penjawat awam dan memegang jawatan yang sama melakukan pecah amanah sebanyak RM220 juta milik kerajaan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan di bawah ‘Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)’ yang diamanahkan kepada mereka.

    Kedua-duanya juga didakwa secara bersama – manakala dalam kapasiti yang sama dengan CBT sebanyak RM1.3 bilion, yang diamanahkan kepada mereka oleh Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan di bawah ‘Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)’ milik kerajaan Malaysia.

    Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa bersama, atas kapasiti yang sama melakukan pecah amanah sebanyak 1,950,000,000 yuan China (berjumlah RM1,261,065,000) dan RM2 bilion, milik kerajaan.

    Najib dan Irwan didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

    Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, disebabkan umur Najib dan Irwan pada masa ini masing-masing melebihi 50-69 dan 66 serta pertuduhan yang tidak melibatkan kesalahan seksual, kedua-duanya akan dikecualikan daripada rotan jika sabit kesalahan.

  • Gelombang tukar kerajaan jika PN menang di enam negeri, kata Azmin

    Gelombang tukar kerajaan jika PN menang di enam negeri, kata Azmin

    GERAKAN besar-besaran menukar kerajaan Persekutuan boleh berlaku sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri Sabtu ini.

    Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, petunjuk itu bersandarkan beberapa senario termasuk keyakinan yang mula pudar oleh rakan politik Kerajaan Perpaduan khususnya di Borneo terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Jelas beliau, kemungkinan besar boleh bertukar kerajaan) itu akan berlaku sekiranya PN berjaya mengekalkan kemenangan di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta menawan tiga negeri yang lain.

    “Pastinya ini merupakan suara rakyat terhadap Putrajaya. Bahawa mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada PN untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan mereka memberi petunjuk keyakinan itu kepada PN. Sebab itu mesej itu harus diberikan perhatian serius Putrajaya.

    “Saya percaya rakan kongsi dalam kerajaan sedang memantau keadaan khususnya di Borneo. Mereka mahu rakan yang kuat, yang diterima rakyat. Sekiranya mereka melihat Anwar dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi mendapat sokongan rakyat, bagaimana mereka ingin mengekalkan perkongsian kuasa di peringkat persekutuan. Ini yang sedang berlaku,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Keluar Sekejap dikelolakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan malam tadi.

    Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor berkata, ketika ini, parti politik di Sabah dan Sarawak memerlukan satu bentuk perkongsian kuasa yang kukuh serta mendapat dukungan kuat daripada rakyat.

    “Bila melihat rakan mereka di Semenanjung lemah dan tak dapat dukungan rakyat, saya melihat rakan di Borneo mahu melihat satu perkongsian yang kuat dan dapat dukungan kuat.

    “Memang dari segi perundangan tidak ada peruntukan kalau kita menang (PRN) di negeri, kita boleh merubah (kerajaan) di Persekutuan, tetapi ini soal pertimbangan politik yang harus diambil kira rakan di Borneo, mereka mahukan rakan yang kuat,” katanya.

    Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang kali ini menjelaskan, dalam situasi politik semasa, ia sukar dibaca dan diramal, terutama apa yang akan berlaku selepas ini.

    “Kita tak boleh baca situasi politik. Jika berlaku gelombang, kita tak boleh melihat apa kemungkinannya namun sebagai rakan dalam kerajaan sedia ada, mereka memantau secara dekat.

    “Kalau saya jadi rakan dalam sebuah syarikat pun, saya mahu rakan kongsi saya yang untung, kuat supaya syarikat boleh lebih maju,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Jelasnya, PRN bukan soal merampas harta atau takhta tetapi bertanggungjawab untuk menguruskan sebuah kerajaan yang jujur, ikhlas dan tidak berbohong kepada rakyat.

    Bulan lalu, Anwar memberi jaminan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus menyokong dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan selepas PRN Sabtu ini.

  • Polis ikut kehendak DAP jika undi parti selain PN – Hamzah

    Polis ikut kehendak DAP jika undi parti selain PN – Hamzah

    DAP merupakan parti yang menjadi punca perpecahan kaum dan agama di negara ini, kata pemimpin PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Bercakap di hadapan kira-kira 100 orang pada ceramah di Taman Medan, Selangor malam tadi, bekas Menteri Dalam Negeri itu menegur anggota polis yang mengundi parti selain PN, dengan mendakwa mereka mengikut kehendak DAP.

    “Kerana DAP-lah yang memecahbelahkan kaum dalam negara kita ini. Dulu semasa DAP kecil, sokongan DAP begitu kecil sekali.

    “Negara ini aman. Orang Cina boleh niaga aman. India boleh buat apa saja. Melayu boleh hidup aman sejahtera tanpa diganggu sesiapa.

    “Hari ni yang cakap macam-macam memecahbelahkan kita adalah DAP.

    “Kalau polis yang undi bukan PN, juga mengikut kehendak DAP memecahbelahkan negara kita ini,” katanya menurut Malaysiakini.

    Semalam, seramai 98,785 anggota polis, tentera dan pasangan mereka mengundi pada pengundian awal bagi enam pilihan raya negeri.

    Sementara itu, pada ceramah di Tanjong Karang malam tadi, Pesuruhjaya Pas Selangor, Ahmad Yunus Hairi mendakwa Datuk Seri Amirudin Shari sebagai seorang Menteri Besar yang lemah.

    Beliau mendakwa seorang speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menggagalkan usaha Menteri Besar Selangor itu membentangkan rang undang-undang berkaitan undang-undang Islam.

    “MB Selangor lemah, ini fakta. Tuan-tuan masih ingat, Selangor nak bawa satu RUU pindaan pentadbiran Islam Selangor.

    “Ini bukan soal nak mainkan (sentimen) agama.

    “Nak bawa RUU pindaan enakmen di sidang negeri, ia kena masuk aturan mesyurat, kena dapat kelulusan dari kerajaan, masuk di dalam aturan mesyurat.

    “Tetapi akhirnya MB kena dikantoi oleh speaker.

    “Di Selangor, biasa kita bersidang dua minggu, itu kali tiga hari saja dah selesai. Saya tak mainkan apa isu kandungannya, tapi inilah kelemahan MB sebagai exco agama untuk bawa RUU yang telah ada dalam aturan mesyuarat,” katanya tanpa menyebut nama individu atau parti terbabit.

    Difahamkan Yunus merujuk kepada cadangan pindaan bagi penukaran agama sepihak kanak-kanak bawah umur di Selangor.

    Sebelum ini, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir mendakwa penyandang speaker DUN, Ng Suee Lim menjadi punca cadangan pindaan itu ditolak.

    Ng yang merupakan pemimpin DAP menyangkal dakwaan itu dan menuduh Roslan menyebarkan pembohongan.

  • PN janji laksana manifesto segera jika menang PRN Selangor, kata Muhyiddin

    PN janji laksana manifesto segera jika menang PRN Selangor, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis memastikan segala janji manifesto ditawarkan kepada rakyat Selangor dilaksanakan segera sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu pada Sabtu ini.

    “Proses implementasi mesti dilakukan bagi membolehkan segala janji manifesto ditunaikan dan tidak tertangguh terlalu lama.

    “Kenapa (manifesto) tidak boleh lambat, (sebab) rakyat hari ini tidak boleh tahan walaupun sehari (akibat tekanan kos sara hidup),” katanya ketika berucap semasa Program Restart Permatang, Ayuh Bangkit Tanjong Karang di Kuala Selangor malam tadi.

    Katanya, jika PN menang dan mentadbir kerajaan Selangor sudah tentu kerajaan baharu dibentuk mempunyai komitmen besar bagi melaksanakan manifesto bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion.

    Jelas beliau, negara ketika ini berhadapan dengan masalah ketidaktentuan ekonomi, tetapi tiada peruntukan disediakan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM10, RM50 atau RM100 bilion untuk membantu rakyat.

    “Selangor kecil pun jika PN menang (sedia peruntukan RM2 bilion) yang diperoleh hasil daripada simpanan untuk selesai masalah rakyat,” jelas beliau.

    Muhyiddin menegaskan, Menteri Besar Selangor yang dilantik mengetuai PN mestilah bertanggungjawab sepenuhnya bagi memulihkan dan memajukan negeri ini.

    Sehubungan itu, katanya, satu badan pemantau bebas juga perlu diwujudkan bagi memantau perbelanjaan digunakan bagi melaksanakan semua janji manifesto PRN Selangor.

    Kata beliau, semua perbelanjaan termasuk penerima manfaat itu mesti direkod dalam sistem bagi memastikan pengagihan dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

    “Sistem (dilaksanakan mesti mudah dan mesra pengguna) contohnya bagaimana cara memohon bantuan dan paling penting jangan mohon hari ini, tiga tahun baru nak lulus.

    “Susah kita (apabila) sampai pilihan raya, (pengundi) cakap (kita) bohong, kata janji nak buat cepat, tetapi dah tiga tahun tak selesai.

    “Justeru, kita akan teliti dan lihat (manifesto rakyat) supaya ia akan dilaksanakan sepenuhnya,” tambahnya, lapor Sinar Harian.