Category: Semasa

  • Kereta langgar kerbau hingga melambung, wanita parah

    Kereta langgar kerbau hingga melambung, wanita parah

    LIMA beranak berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan seekor kerbau dalam kejadian di KM 2.6 Jalan Bypass Pasir Puteh ke Tok Bali, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu mengakibatkan seorang wanita cedera parah manakala suami dan tiga anaknya cedera ringan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, ketika kejadian wanita berusia 27 tahun itu berada di bahagian hadapan penumpang manakala kereta dipandu suami mangsa serta tiga anak mangsa berada di bahagian belakang.

    Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, kereta mereka dipercayai terlanggar kerbau yang berada di laluan Tok Bali.

    “Pelanggaran itu menyebabkan haiwan itu melambung dan menghempap bumbung kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

    Difahamkan wanita berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Mengulas lanjut, Zaizul berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kita masih jalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian,” katanya.

    Bagi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik,Sarjan Mohd Jailani Mokhtar di talian 019-9899469.

  • Hasni,Johari mampu beri nafas baru kepada UMNO

    Hasni,Johari mampu beri nafas baru kepada UMNO

    PERSAINGAN bagi kerusi Naib Presiden UMNO semakin menarik, apabila hari ini dua lagi calon menghantar borang pencalonan. Kedua-dua mereka bukanlah calang-calang individu sebaliknya mempunyai rekod yang pastinya akan memberi pilihan terbaik kepada ahli UMNO jika mahu melakukan perubahan dalam parti itu.

    Dua individu tersebut ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohammad.

    Menariknya dua calon itu yang kali pertama bertanding jawatan berkenaan menyerahkan borang pencalonan untuk menjadikan setakat ini empat calon mengesahkan penyertaan mereka. Dua calon sebelum ini ialah penyandang jawatan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Seorang lagi penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat keputusan selewat-lewatnya Ahad ini sama ada akan mempertahankan kedudukannya atau tidak.

    Nama lain yang disebut-sebut akan menawarkan diri ialah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

    Bagaimanapun berbanding calon lain, kehadiran Johari dan Hasni seolah-olah boleh memberi nafas baru kepada saf kepemimpinan UMNO selepas arus gelombang mahu perubahan ‘tersangkut’ sedikit apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan manakala beberapa pemimpin berpotensi dipecat atau digantung keahlian.

    Namun dengan kesediaan Johari dan Hasni  bertanding ditambah pula dengan kesudian Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk kembali menerajui Wanita UMNO, sudah tentulah ia akan menggembirakan ahli-ahli di peringkat akar umbi yang kita tahu mempunyai pendirian berbeza dengan ketua-ketua bahagian.

    Johari dan Hasni disifatkan mampu membawa perubahan dan menyumbang kepada usaha kebangkitan semula UMNO yang kini sudah ditolak oleh rakyat hampir secara total.

    Dengan hanya memiliki 15 kerusi di Parlimen, UMNO kini ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ dan disifatkan menjadi parti tempelan dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggap musuh ketat UMNO suatu ketika dahulu iaitu DAP. 

    Hasni dan Johari dilihat pemimpin masa depan kepada UMNO dan boleh disandarkan harapan oleh ahli-ahli UMNO. Johari walaupun pernah tewas dalam PRU-14 tetapi bangkit semula pada PRU-15 di Parlimen Titiwangsa.

    Bagi Hasni pula, kewibawaan dan kemampuan sebagai seorang pemimpin tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Beliau memimpin BN Johor menang cemerlang dalam PRN tetapi sekadar menjadi ‘poster boy’ bukannya meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar yang diambil alih oleh Onn Hafiz.

    Lebih perit lagi, walaupun meneruskan kecemerlangan dalam PRU-15 namun rupa-rupanya ia bukanlah ukuran untuk Hasni kekal sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, tempat beliau diambil alih oleh Khaled yang ketika menjadi Menteri Besar Johor pada PRU-14 gagal mempertahankan kuasa pemerintahan BN di Johor. 

    Kenapa Hasni diganti sebagai MB dan Pengerusi Perhubungan UMNO, usah diperkatakan lagi, ia sudah menjadi rahsia umum. Tetapi apa yang penting penawaran diri beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden akan memberi peluang kepada ahli-ahli UMNO untuk meletakkan pemimpin seperti Hasni di tempat sewajarnya bukannya dipinggirkan.

    Kesimpulannya, ahli-ahli UMNO tidak harus melepaskan peluang melalui pemilihan parti itu beri isyarat kepada kepemimpin parti, pemimpin seperti manakah yang mereka mahukan memimpin UMNO. 

  • Diskaun bayaran balik PTPTN selama 3 bulan bermula Mac

    Diskaun bayaran balik PTPTN selama 3 bulan bermula Mac

    KERAJAAN bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan bermula 1 Mac ini, sehingga 20 peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ringgit ke bawah, untuk tempoh enam bulan.

    “Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2023,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi akan diperuntukkan RM15.3 bilion dalam Belanjawan 2023 berbanding RM14.5 bilion pada 2022, antaranya sejumlah RM436 juta ringgit disediakan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

    “Sejumlah RM35 juta juga tersedia sebagai dana untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi Malaysia di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN). – BERNAMA 

  • Belanjawan 2023: Bantuan musim tengkujuh naik kepada RM800

    Belanjawan 2023: Bantuan musim tengkujuh naik kepada RM800

    GOLONGAN pesawah dan pekebun kecil getah yang bertarung dengan cuaca tidak menentu terutama sewaktu musim tengkujuh, turut tidak terkecuali daripada mendapat manfaat dalam Belanjawan 2023 melalui pemberian pelbagai subsidi. 

    Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi pesawah, kerajaan akan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan RM1.6 bilion. 

    Beliau berkata sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta. 

    “Selain sumbangan RM60 juta yang disediakan, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) turut bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.  

    Anwar berkata bagi meningkatkan pendapatan minimum penoreh, kerajaan juga bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta.

    Sehubungan itu beliau menggesa Lembaga Getah Malaysia (LGM) memudah cara tuntutan terutamanya melibatkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif tersebut kerana ia menyusahkan rakyat. 

    “Saya mahu LGM dan semua agensi yang terlibat lebih responsif turun padang menguruskan tuntutan pekebun kecil dan mula bertindak proaktif dalam memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan,” katanya. 

    Beliau berkata kerajaan juga bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh pekebun kecil daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan bagi meringankan beban ditanggung 320,000 golongan berkenaan, membabitkan peruntukan RM256 juta. 

    Anwar berkata bagi meningkatkan permintaan getah sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil, kerajaan akan menyediakan RM50 juta untuk menggunakan Cuplum Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan, memandangkan bahan CMB dilihat lebih memanjangkan jangka hayat jalan. – BERNAMA

  • Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam, RM300 pesara

    Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam, RM300 pesara

    KERAJAAN bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. 

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan itu diberi sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam. 

    “Kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang kerajaan setia menggalas amanah negara.

    “Ke arah Malaysia MADANI, penjawat awam perlu segera bawa perubahan, menerapkan pembaharuan dengan matlamat akhir menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

    Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

    Beliau berkata kerajaan turut bersetuju untuk memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang terlibat dalam misi di Turkiye dan Syria. 

    “Elaun ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas jasa besar yang diberikan atas nama kemanusiaan,” kata beliau.

    Sementara itu, bagi memastikan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang berkesan, beliau berkata Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengambil startegik dengan menaik taraf perkhidmatan MyGovCloud.

    “Perkhidmatan ini mampu berfungsi secara hibrid dengan turut menggabungkan perkhidmatan public cloud oleh penyedia perkhidmatan awan yang dilantik kerajaan,” katanya. – BERNAMA

  • Kerajaan tambah RM500 simpanan ahli KWSP kurang RM10,000

    Kerajaan tambah RM500 simpanan ahli KWSP kurang RM10,000

    KERAJAAN bersetuju untuk menambah sebanyak RM500 dalam caruman simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan Akaun 1 pencarum yang mempunyai simpanan kurang RM10,000.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan diberikan kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun.

    “Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir 1 bilion ringgit,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.

    Katanya ini kerana, setelah negara dibelenggu dengan musibah pandemik COVID-19, rakyat terpaksa beberapa kali mengorbankan simpanan hari tua mereka bagi menampung keperluan hidup sewaktu pandemik.

    “Kini setelah rakyat beransur-ansur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima untuk menyera kehidupan sementara simpanan hari tua masih rendah.

    “Kerajaan berharap rakyat yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi akan terus menyumbang supaya semua lapisan pencarum mendapat manfaat,” tambahnya.

  • Golongan M40 diberi pengurangan cukai individu dua peratus

    Golongan M40 diberi pengurangan cukai individu dua peratus

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, bermula tahun ini, kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna golongan pertengahan M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak dua peratus.

    Menurut Perdana Menteri, pengurangan cukai itu membabitkan banjaran antara lebih RM35,000 hingga RM100,000.

    “Selama ini, golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan sementara kumpulan pertengahan, M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam.

    “Pengurangan ini (kadar cukai) dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, sementara M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus membabitkan lebih RM100, 000 hingga RM1 juta.

    Namun katanya, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menambah, menerusi pendekatan itu, cukai bersih kerajaan berkurang sebanyak RM900 juta yang dimanfaatkan sepenuhnya rakyat, khususnya golongan M40.

  • Cukai terhadap cecair rokok elektronik – Belanjawan 2023

    Cukai terhadap cecair rokok elektronik – Belanjawan 2023

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengenakan cukai terhadap produk cecair bagi rokok elektronik yang mengandungi nikotin.

    Perdana Menteri berkata, penggunaan rokok elektronik yang mengandungi nikotin telah dijual secara berleluasa meskipun ia masih tidak sah disisi undang-undang.

    “Walaupun rokok elektronik atau vape belum sah disisi undang-undang tetapi hakikatnya ia dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

    “Alangkah baiknya sekiranya dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape,” katanya pada sesi pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, hari ini.

    Anwar menjelaskan, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan Generational End Game (GEG) selain bersetuju untuk menyalurkan hasil cukai berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Langkah itu katanya bagi meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan kesihatan dan sokongan terhadap kempen anti rokok dan sebagainya dengan lebih berkesan.

  • Guru didakwa laku amang seksual terhadap murid 11 tahun

    Guru didakwa laku amang seksual terhadap murid 11 tahun

    SEORANG guru di sebuah pusat pendidikan Islam didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 11 tahun.

    Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Zakri Amirsah, 29, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, menurut Berita Harian.

    Dia yang mula mengajar di sekolah terbabit pada akhir 2021 didakwa melakukan perbuatan itu sejak Mac 2022 hingga Januari lalu ketika mengajar mangsa membaca Iqra dalam bilik guru muslimin.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, sesi mengaji sebelum ini diadakan setiap Sabtu dan Ahad pada waktu siang di surau berkenaan, namun tertuduh menukar waktu itu sekitar Mac 2022 kepada malam Isnin dan Selasa.

    Mangsa menghadiri kelas mengaji berkenaan bersama seorang adik lelakinya.

    Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Ia dibaca bersama Seksyen 16(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan rotan tidak kurang dua sebatan.

    Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin.

    Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus dan Najiha Farhana Che Amat mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.

    Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Mac depan.

  • Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

    Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata demikian mengulas isu pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang akan diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini pada Ahad ini.

    Katanya, kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

    “Semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

    “Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu tidak memiliki tauliah mengajar diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus semalam berkenaan kuliah maghribnya yang sepatutnya diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.

    “Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliyah di negeri anda.

    “Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Feb ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya,” katanya. – BERNAMA