Category: Semasa

  • Banyak retorik tapi isu kos sara hidup masih tidak selesai – Wan Saiful

    Banyak retorik tapi isu kos sara hidup masih tidak selesai – Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpendapat, masih banyak perlu diperbaiki Kerajaan Perpaduan apabila dinilai prestasi menjelang 100 hari pentadbirannya.

    Tegasnya, banyak retorik dikeluarkan dan banyak juga perkataan sastera baharu namun isu pokok melibatkan rakyat masih belum diselesaikan.

    “Banyak retorik-retorik yang dikeluarkan, banyak perkataan sastera baharu yang digunakan tapi penyelesaian untuk rakyat, kita belum nampak. Rakyat merintih di luar sana, minta KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) bersasar.

    “Duit mereka, bukan duit kerajaan, tak susah pun nak diberikan tapi tidak dilayan oleh kerajaan. Begitu juga perkara lain, seperti elaun sara hidup untuk nelayan, diminta naikkan dari RM300 ke RM500, juga tiada layanan daripada kerajaan…banyak lagi lah.

    “Jadi saya rasa penyelesaian mengenai kos sara hidup rakyat belum dapat dilahirkan secara tuntas oleh kerajaan sekarang dan saya harap akan ada perubahan selepas ini,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen, lapor Astro Awani.

    Tambah beliau, kerajaan selepas ini harus memberikan tumpuan kepada isu kos sara hidup rakyat.

    Beliau faham kerajaan sekarang sedang cuba melahirkan idea-idea baharu untuk menyelesaikan isu tersebut namun tidak boleh mengambil masa terlalu lama.

    Wan Saiful juga mencadangkan kerajaan menyediakan platform buat pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menyampaikan pandangan mereka berkaitan Malaysia.

  • Sanusi persoal PM bandingkan Kedah Aerotropolis dengan projek naik taraf LTAPP, LTSAAS

    Sanusi persoal PM bandingkan Kedah Aerotropolis dengan projek naik taraf LTAPP, LTSAAS

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Dauk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membandingkan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dengan projek baharu Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

    Menurut Muhammad Sanusi, projek menaik taraf LTSAAS dan dan LTAPP dibina di kawasan yang sangat terhad menyebabkan sekali gus menjadikan kos projek kerajaan Persekutuan itu lebih murah.

    Sedangkan katanya, Kedah Aerotropolis yang dirancang untuk dibiayai sepenuhnya oleh pelabur swasta merupakan projek yang amat besar merangkumi pelabagai komponen lain.

    “Kedah Aerotropolis melibatkan pembinaan landasan kapal terbang sebagai kemudahan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), industri komponen pesawat, pusat latihan juruterbang dan hub kargo asia.

    “Itu merupakan projek kerajaan negeri dengan inisiatif pembiayaan swasta sepenuhnya tanpa melibatkan pembiayaan kerajaan Persekutuan. Ia bukan saja lapangan terbang tetapi pusat industri dan pembangunan ekonomi baharu dengan pelbagai komponen lain yang akan menjadi ‘game changer’ wilayah utara,” katanya menerusi hantaran terbaru di Facebook, malam tadi.

    Menerusi pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen Jumaat lalu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan bercadang untuk menaik taraf LTAPP dan LTSAAS berbanding membangunkan hab baharu.

    Menurut Perdana Menteri, kerja-kerja naik taraf itu akan diterajui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.

    Sehubungan itu kata Perdana Menteri, cadangan lapangan terbang Kulim tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan semasa.

    Pada akhir status dimuat naik itu, Muhammad Sanusi turut mengingatkan Perdana Menteri agar tidak membatalkan projek Kedah Aerotropolis itu.

    “Jangan pi dok batal projek orang sudah la…” katanya.

  • MB Terengganu harap kerajaan terus salur dana khas

    MB Terengganu harap kerajaan terus salur dana khas

    KERAJAAN Terengganu berharap Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang diterima negeri itu sebelum ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar.

    Beliau berkata pihaknya akan berbincang perkara itu dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan mendapatkan penjelasan sama ada agihan DKKP kepada negeri itu sebelum ini merupakan wang royalti petroleum atau sebaliknya.

    “Soal adakah DKKP sama dengan wang royalti, kita akan rujuk semula dengan MOF. Terma wang royalti disebut Menteri Kewangan dan Menteri Undang-Undang pada 2021, namun bayaran yang diterima tidak pernah menyebut istilah royalti sebaliknya hanya DKKP,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu 2023 di Sungai Tarom hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam, yang memaklumkan bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.

    Menurut Azalina ini kerana Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dan Petronas juga tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar kawasan itu.

    Beliau dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanyakan sama ada kerajaan Persekutuan bercadang untuk menyalurkan hasil petroleum secara terus kepada Kelantan dan Terengganu seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    Dalam perkembangaan lain, Ahmad Samsuri mengumumkan pengecualian bayaran lesen khas nelayan sampan kepada kira-kira 2,000 nelayan di Terengganu pada tahun ini.

    “Ia sebagai penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada warga nelayan yang mengharungi lautan demi membekalkan makanan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

  • Pemandu teksi warga asing dicekup, cabul polis wanita

    Pemandu teksi warga asing dicekup, cabul polis wanita

    PEMANDU teksi warga Indonesia dicekup polis selepas disyaki mencabul seorang anggota polis wanita, dalam kejadian di medan selera di AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian 10.55 pagi Khamis lalu, mangsa ketika itu sedang berdiri di bahagian meja untuk memilih kuih, namun secara mengejut suspek berusia 58 tahun berada di belakangnya dan didakwa bertindak meraba punggungnya.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata tidak puas hati dengan tindakan suspek, mangsa berusia 30 tahun mempersoal tindakannya, namun suspek tidak mengaku.

    “(Sebaliknya) suspek menyalahkan pengadu kerana berdiri di kawasan sempit sambil memberitahu dirinya bersama isteri sedang bersarapan di situ.

    “Susulan itu, polis membuat tangkapan terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor FMT.

    Farouk berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

  • Agihan kerusi PH, BN dan parti Kerajaan Perpaduan untuk PRN diumum akhir Mac

    Agihan kerusi PH, BN dan parti Kerajaan Perpaduan untuk PRN diumum akhir Mac

    HASIL rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan bagi berdepan pilihan raya negeri (PRN), dijangka diumum sebelum hujung bulan depan.

    Menurut Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, perkara berkenaan mungkin diumum lebih awal kerana rundingan secara rasmi mengenai pembahagian kerusi di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah berlangsung agak lama.

    “Rundingan berjalan lancar di setiap negeri ketika ini dan hasilnya akan dibawa ke Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan.

    “Saya jangka (pengumuman hasil rundingan pembahagian kerusi PRN) dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang sebab perbincangan rasmi sudah berlangsung agak lama.

    “Mungkin diumumkan sebelum hujung Mac atau lebih awal. Tidak semestinya semua negeri diumumkan serentak, mungkin ada sesetengah negeri diumum dahulu.

    “Apa pun kita tunggu pengumuman rasmi daripada Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor, Petaling Jaya, hari ini.

  • 100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kaum bukan Melayu lebih ramai rasakan hala tuju negara betul

    100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kaum bukan Melayu lebih ramai rasakan hala tuju negara betul

    MALAYSIA Madani menjadi tunjang dan garis panduan dalam mengemudi negara sebagai hala tuju Kerajaan Perpaduan.

    Dalam memenuhi aspirasi Kerajaan demi kesejahteraan rakyat, setiap program dan agenda yang dilakukan perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan agar ia benar-benar dirasai setiap anggota masyarakat.

    Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan menunjukkan, 45 peratus daripada lebih 35,000 responden mengatakan hala tuju semasa negara adalah betul.

    Numun 30 peratus responden mengatakan hala tuju salah, dan 25 peratus lagi tidak pasti, lapor Astro Awani.

    Kaum bukan Melayu terus menaruh kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan, apabila masing-masing 76 peratus kaum Cina dan India mengatakan hala tuju negara adalah betul.

    Namun, hanya 13 peratus responden kaum Cina dan 7 peratus responden kaum India merasakan hala tuju negara salah.

    Berbeza pula dengan kaum Melayu di Semenanjung apabila hampir separuh atau 43 peratus daripada responden bertegas, hala tuju negara adalah salah, dan hanya 26 peratus mengatakan hala tuju negara betul.

    Bumiputera Sabah dan Sarawak pula masing-masing merekodkan 59 peratus dan 60 peratus responden mengakui hala tuju negara betul.

    Begitu juga bagi kaum lain dengan 58 peratus merasakan hala tuju negara betul.

    Tinjauan berkenaan merupakan sentimen rakyat berhubung prestasi dan populariti pentadbiran Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Seramai 35,077 respon berjaya diperoleh daripada pembaca dan pelayar agensi media dan berita dari seluruh negara.

    Pengumpulan data kajian telah dijalankan selama 10 hari bermula 6 Februari hingga 16 Februari 2023.

    Kerjasama kajian dijalankan antara firma penyelidikan O2 Malaysia dengan lima media arus perdana, Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban.

  • 100 Hari Kerajaan Perpaduan: Anthony Loke jadi ‘Menteri Pilihan Rakyat’ – Kaji selidik

    100 Hari Kerajaan Perpaduan: Anthony Loke jadi ‘Menteri Pilihan Rakyat’ – Kaji selidik

    MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, adalah menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan yang paling popular dalam kalangan rakyat.

    Dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan, menyaksikan populariti Loke mendahului Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan memperoleh 49 peratus undi, sekali gus meletakkan Anwar di tempat kedua dengan 40 peratus undi.

    Selain itu, turut menyerlah dalam penilaian rakyat ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di tempat ketiga dengan 39 peratus undi.

    Dua lagi tempat dalam senarai Top 5 Menteri Pilihan Rakyat diisi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan 34 peratus, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, yang memperoleh 33 peratus undi.

    Beberapa lagi menteri yang turut menunjukkan prestasi yang baik berdasarkan pilihan rakyat, antaranya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (30 peratus), Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (28 peratus) dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Salahuddin Ayub (27 peratus).

    Kaji selidik secara dalam talian itu digerakkan secara bersama oleh Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew, The Star dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research.

    Lebih 36,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari tersebut, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, kaji selidik mega pernah digerakkan lima media perdana negara bersama firma penyelidikan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan membawa mesej jelas iaitu mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia.

    Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November tahun lalu setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  • Bekas pegawai bank Goldman Sachs mohon belas ihsan dalam kes 1MDB

    Bekas pegawai bank Goldman Sachs mohon belas ihsan dalam kes 1MDB

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs yang disabitkan bersalah kerana membantu menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengemukakan rayuan kepada Mahkamah New York pada Sabtu, untuk tidak memaksanya menghabiskan lebih banyak masa di penjara.

    Peguam Roger Ng dalam menjangkakan perbicaraan hukumannya yang dijadualkan pada 9 Mac,
    meminta mahkamah menunjukkan belas kasihan dan menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya mengikut tempoh yang telah dikenakan terhadapnya di Malaysia.

    Bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia itu menghabiskan masa enam bulan di penjara Malaysia sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat pada 1 Nov 2018, menurut pemfailan mahkamah.

    Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

    Perkara itu dilakukan untuk menyelesaikan siasatan terhadap rompakan berbilion dolar daripada 1MDB dan pembayaran rasuah untuk memenangi perniagaan bagi bank Wall Street.

    Juri persekutuan di Brooklyn mensabitkan Ng pada April tahun lalu kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah dan melakukan pengubahan wang haram.

    Ng berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

    Menurut peguamnya semasa meminta kebenaran hakim untuk pulang ke Malaysia, Ng “telah dilucutkan maruahnya di penjara Malaysia, diperlakukan sehingga sakit, takut, bersendirian dan putus asa, malah masih mengalami kesan PTSD (post-traumatic stress disorder).”

    Pendakwa raya berkata, beliau membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana, mencuci hasilnya dan merasuah pegawai untuk memenangi perniagaan untuk Goldman.

    “Peranan Ng dalam kesalahan itu adalah minimum dan satu-satunya tuntutan sebaliknya telah disediakan oleh Tim Leissner, yang sangat tidak boleh dipercayai,” kata pihak pembela dalam pemfailan mahkamah itu, lapor Astro Awani.

  • Terengganu harap Kerajaan Persekutuan teruskan bayaran DKKP

    Terengganu harap Kerajaan Persekutuan teruskan bayaran DKKP

    KERAJAAN Terengganu berharap Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang diterima negeri itu sebelum ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar.

    Beliau berkata pihaknya akan berbincang perkara itu dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan mendapatkan penjelasan sama ada agihan DKKP kepada negeri itu sebelum ini merupakan wang royalti petroleum atau sebaliknya.

    “Soal adakah DKKP sama dengan wang royalti, kita akan rujuk semula dengan MOF. Terma wang royalti disebut Menteri Kewangan dan Menteri Undang-Undang pada 2021, namun bayaran yang diterima tidak pernah menyebut istilah royalti sebaliknya hanya DKKP,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu 2023 di Sungai Tarom di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam, yang memaklumkan bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.

    Menurut Azalina ini kerana Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dan Petronas juga tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar kawasan itu.

    Beliau dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanyakan sama ada kerajaan Persekutuan bercadang untuk menyalurkan hasil petroleum secara terus kepada Kelantan dan Terengganu seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    Dalam perkembangaan lain, Ahmad Samsuri mengumumkan pengecualian bayaran lesen khas nelayan sampan kepada kira-kira 2,000 nelayan di Terengganu pada tahun ini.

    “Ia sebagai penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada warga nelayan yang mengharungi lautan demi membekalkan makanan kepada rakyat negeri ini,” katanya. – BERNAMA

  • Belanjawan 2023: Bersih kritik kurang peruntukan untuk pembangkang

    Belanjawan 2023: Bersih kritik kurang peruntukan untuk pembangkang

    BERSIH mengkritik kekurangan peruntukan dana kawasan untuk ahli Parlimen pembangkang dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 semalam.

    Memetik laporan Malaysiakini, Bersih mengingatkan bahawa manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 2022 termasuklah memberikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang saksama kepada semua ahli parlimen.

    “Perkara ini adalah dikesali kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah terlepas peluang untuk menunjukkan sisi reformisnya dan bagaimana Malaysia Madani akan dilihat,” kata jawatankuasa pemandu badan pemantau pilihan raya itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Bersih menegaskan, sudah tiba masanya untuk kerajaan dan pembangkang duduk bersama untuk merundingkan undang-undang untuk menyediakan CDF yang saksama.

    Bersih menyatakan Perikatan Nasional (PN), dengan 74 Ahli Parlimen, mewakili kira-kira 30 peratus (4,666,529 pengundi) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dan dengan ketiadaan CDF adalah sama dengan tidak menghormati pilihan pengundi dan hak untuk mengundi wakil pilihan mereka.

    “CDF diperlukan oleh MP untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dengan lebih baik dengan menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan persekutuan atau negeri.

    “CDF juga melingkupi sedikit peruntukan untuk kos pengoperasian pusat khidmat rakyat,” katanya.

    Semalam, Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) mengkritik kerajaan kerana tidak memperuntukkan sebarang dana kawasan kepada ahli parlimen pembangkang.

    Bersih menyatakan bahawa menafikan CDF kepada pembangkang telah lama menjadi taktik oleh kerajaan untuk “menghukum” pembangkang, bertujuan untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengundi terhadap wakil pembangkang.

    Apabila ini berlaku, katanya, dana yang diperuntukkan kerajaan sebaliknya disalurkan kepada ‘penyelaras’ daripada kalangan parti kerajaan untuk meraih sokongan.

    “Taktik sebegini telah digunakan sebelum ini untuk menggoda wakil rakyat pembangkang melompat dan penjajaran semula parti-parti sebagaimana yang kita lihat pasca kejatuhan BN selepas 9 Mei 2018, sehinggalah tandatangan MOU antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH pada 13 September 20121.

    “Malah keadaan ini masih berterusan di Sabah. Siapapun yang benar-benar membenci Langkah Sheraton, mereka sepatutnya membenci diskriminasi peruntukan CDF terhadap pembangkang, bukan menjerit ketika menjadi mangsa tetapi kemudiannya melakukan perkara yang sama apabila berkuasa,” katanya.

    Menafikan pembangkang CDF juga boleh menjadi taktik makan diri semasa pilihan raya negeri akan datang, kata Bersih lagi.

    “Kami berharap kerajaan Anwar lebih berhikmah untuk tidak meneruskan amalan yang keji, tidak demokratik dan pendek akal ini,” katanya.

    Tegas Bersih, jika Anwar tidak menangani isu itu, ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin harus menyediakan rang undang-undang persendirian mengenai CDF yang saksama selepas maklum balas daripada kumpulan masyarakat sivil, ahli akademik dan pihak berkepentingan lain.