Category: Semasa

  • Dua pelajar ditahan dalam Op Samseng Jalanan

    Dua pelajar ditahan dalam Op Samseng Jalanan

    DUA pelajar ditahan dalam Op Bersepadu Luaran Samseng Jalanan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sekitar Kuantan pada Sabtu dan Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pelajar itu ditahan mengikut Seksyen 108 (3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana motosikal ditunggangnya didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

    “Seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    “Dua motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha LC yang digunakan pelajar berusia 18 tahun itu turut disita,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Katanya, operasi yang terbahagi kepada tiga fasa utama itu membabitkan 58 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    “Hasil operasi itu, polis mengeluarkan 202 saman atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal,” katanya.

    Wan Mohd Zahari berkata, kesalahan tertinggi melibatkan kesalahan nombor pendaftaran dengan 42 kes diikuti lesen memandu (33), ubah suai (25), tiada cermin sisi (25), ubah suai ekzos (24), topi keledar (21), cukai jalan (9), insurans (7), penunggang bawah umur (3) dan lain-lain kesalahan (13).

    “Dalam operasi sama, JPJ Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 171 kenderaan dan enam notis arah periksa dikeluarkan.

    “Turut dikeluarkan enam notis PG1 (arahan kembalikan motosikal diubah suai kepada keadaan asal) dan 18 saman atas pelbagai kesalahan manakala JAS mengeluarkan 12 notis dan 11 kompaun atas kesalahan ekzos bising hasil pemeriksaan ke atas 33 kenderaan dalam operasi itu,” katanya.

    Beliau berkata, operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

  • Penjawat awam tertinggi terlibat rasuah – SPRM Selangor

    Penjawat awam tertinggi terlibat rasuah – SPRM Selangor

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini mendedahkan penjawat awam merupakan kumpulan tertinggi ditahan suruhanjaya itu bagi siasatan berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa antara 2018 dan 2022.

    Pengarahnya, Datuk Alias Salim berkata, berdasarkan rekod seramai 170 penjawat awam telah ditahan, diikuti 84 tangkapan melibatkan pekerja swasta, 50 orang awam dan masing-masing lima ahli politik serta individu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Sepanjang tempoh tersebut, 314 tangkapan yang dibuat sebelum ini menunjukkan tahun 2022 merekodkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 72 tangkapan, diikuti 2018 (66) dan 2021 (63).

    “Daripada jumlah tangkapan itu, pihak kami telah membuka 269 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dengan 135 pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini

    Katanya, tahun 2020 menunjukkan pembukaan kertas siasatan tertinggi sepanjang tempoh lima tahun tersebut iaitu 64 kertas siasatan diikuti 2019 (57) dan 2022 (50).

    Alias berkata, dalam tempoh yang sama SPRM Selangor telah menerima 1,764 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    “Pada 2018, sebanyak 378 maklumat diterima, diikuti 2019 (344) dan 2022 (331). SPRM Selangor turut mencatatkan sitaan berjumlah RM366,845 selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM1,768,554.89,” katanya.

    Beliau berkata, selain daripada menjalankan siasatan berkaitan kes-kes rasuah di Selangor, badan itu turut melaksanakan tindakan pencegahan rasuah dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas amalan, sistem serta prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

    Tambahnya sepanjang tempoh tersebut, 406 ceramah khusus buat kumpulan sasar dengan 721 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, GLC, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

  • Dua lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    Dua lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    POLIS menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 39 tahun kerana terlibat dalam kejadian ragut seorang wanita sehingga mangsa mengalami luka kecil di lengan dan tangan kiri di Jalan Kelochor, Kota Bharu, pada 16 Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata kedua-dua suspek ditahan di Pasir Puteh, pada 6.30 petang pada Sabtu lepas, hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.

    “Susulan penahanan suspek, polis merampas sebuah motosikal yang digunakan sewaktu kejadian dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah, selain turut mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

    “Kedua-dua suspek direman selama empat hari mulai semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, video kejadian ragut itu tular dalam laman sosial dan pihak polis turut mengesahkan menerima laporan mengenai insiden itu yang mangsa wanita berusia 54 tahun dilihat berseorangan menunggang motosikal di Jalan Kelochor diragut dua lelaki tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal berwarna kuning sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

  • Zulkapli dilantik KPPA baharu, Johan KSU Perbendaharaan

    Zulkapli dilantik KPPA baharu, Johan KSU Perbendaharaan

    DATUK Dr Zulkapli Mohamad diumumkan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa hari ini.

    Pelantikan Zulkapli sebagai KPPA itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus mengisi kekosongan jawatan tersebut sejak Disember lalu.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, Zulkapli, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

    Menurut Mohd. Zuki, Zulkapli juga memegang Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji, Jepun.

    Katanya, Zulkapli telah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertama yang disandang adalah sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, JPA pada 1 Disember 1992.

    “Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pembangunan modal insan.

    “Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Zulkapli mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkapli sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), JPA.

    Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di SWCorp dan Setiausaha Persekutuan Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

    Sementara itu, Mohd. Zuki dalam kenyataan berasingan turut mengumumkan pelantikan Datuk Johan Mahmood Merican sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu berkuat kuasa tarikh sama.

    Beliau berkata, pelantikan Johan, 50, adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.

    “Merupakan lulusan kelas pertama dari University of Cambridge serta akauntan bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corp.

    “Selain itu, Johan juga pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi dan Pengarah Belanjawan Negara.

    “Jawatan terakhir beliau adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan,” katanya, lapor Utusan TV.

    Jawatan KPPA kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember tahun lalu. Ia susulan insiden tular kontroversi di antara beliau dengan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu.

    Jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pula kosong selepas Datuk Seri Asri Hamidon dicutikan sejak 6 Disember lalu dan beliau turut meletak jawatan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkuat kuasa 5 Januari.

  • Budak 12 tahun maut jatuh tingkap hotel

    Budak 12 tahun maut jatuh tingkap hotel

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut apabila terjatuh dari tingkap tingkat 14 sebuah hotel di Kota Kinabalu pagi ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah ketika dihubungi memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa jatuh dari tingkat 14 ke kawasan beranda di tingkat lima hotel tersebut.

    Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.44 pagi tadi, sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu bersama jentera ke tempat kejadian bagi memberikan bantuan.

    “Pasukan bomba menjalankan operasi membawa turun mangsa ke bawah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.

    “(Mayat mangsa) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada 7.53 pagi,” katanya.

    Katanya identiti mangsa masih dalam proses untuk dikenal pasti.

  • Ahli Parlimen PN adakan pemukiman bincang Belanjawan 2023

    Ahli Parlimen PN adakan pemukiman bincang Belanjawan 2023

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengadakan pemukiman bagi membincangkan Belanjawan 2023 sebagai langkah kesediaan mereka untuk menghadiri sesi Perbahasan di Dewan Rakyat pada esok.

    Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, esok petang adalah gilirannya untuk berbahas.

    “Sedang buat persiapan untuk Perbahasan Belanjawan 2023 yang akan bermula esok selama enam hari nanti,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

    Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2023, iaitu belanjawan sulung beliau sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada November lalu, serta selepas membentangkan ‘Bajet Mini’ pada Disember lalu.

    Kerajaan mengambil langkah berani dengan menyediakan peruntukan besar RM388.1 bilion pada Belanjawan 2023 berbanding RM372.3 bilion pada Oktober 2022.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad memberitahu, ahli-ahli Parlimen PN berkumpul dan berbincang bagi menyemak serta mengimbangi Belanjawan 2023.

    Katanya, sesi pertama kupasan adalah daripada bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau dikenali sebagai Tok Pa.

    “Tok Pa adalah ‘key leader’ dalam merangka program pebasmian kemiskinan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan banyak sudah beliau siapkan.

    “Banyak lagi akan kami bahaskan esok. Bak pepatah Inggeris: the devils are in the details. We are checking and ‘exorcising’ them for the rakyat,” jelasnya.

    Tambahnya lagi, turut sama yang membuat pembentangan ialah Ahli Parlimen Putrajaya yang juga bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.

    “Diingatkan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen PN ramai yang pernah memegang jawatan menteri dan timbalan menteri sekali gus terlibat dalam membikin Belanjawan sebelum ini serta Rancangan Malaysia ke-12,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • 15 minit pujuk wanita cuba terjun jambatan kedua P. Pinang

    15 minit pujuk wanita cuba terjun jambatan kedua P. Pinang

    ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk seorang wanita yang cuba terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau lebih dikenali sebagai jambatan kedua Pulau Pinang petang tadi.

    Mangsa berusia 22 tahun yang dipercayai penuntut di sebuah universiti swasta itu dilaporkan cuba bertindak terjun di Kilometer (KM) 18.1 jambatan itu menghala ke bahagian pulau.

    Terdahulu, mangsa turut bertindak meninggalkan kereta jenis Perodua MyVi berwarna putih miliknya di bahu jalan.

    Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Azman Mohd. Radzi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 4.02 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya, maklumat awal yang diterima mengatakan wanita itu dilihat sudah berdiri di tembok jambatan berkenaan sejak pukul 3 petang.

    “Sebaik sahaja anggota tiba di tempat kejadian, didapati wanita terbabit masih berdiri di situ dan berada dalam keadaan dehidrasi dan lemah kerana cuaca panas.

    “Kami dengan kerjasama anggota polis mengambil masa kurang 15 minit untuk memujuk sebelum menariknya ke belakang.

    “Wajah mangsa kelihatan sedih dan hanya mendiamkan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, mangsa berjaya diselamatkan pukul 4.44 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, katanya, mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 untuk mendapatkan bantuan.

  • Dua beradik maut ‘ditelan’ air berpusar di Sungai Sedim

    Dua beradik maut ‘ditelan’ air berpusar di Sungai Sedim

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA beradik lelaki maut akinat lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakan mereka di air terjun Sungai Sedim, dekat Sungai Kob di Kulim, petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia berusia 33 dan 26 tahun.

    “Difahamkan mangsa bersama rakan mandi di kawasan air terjun itu kira-kira pukul 3.20 petang.

    “Semasa mandi, tiba-tiba air di kawasan itu berpusar, empat daripada mereka berjaya naik ke darat namun seorang didapati tiada dan disyaki lemas,” katanya.

    Lokasi dua beradik lelaki maut akibat lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakan

    Melihatkan adiknya yang berusia 26 tahun itu tiada, Mohd. Redzuan berkata, abangnya yang berusia 33 tahun terjun semula ke sungai.

    “Namun kali ini, abangnya pula yang tidak muncul kembali. Penduduk kampung kemudiannya membantu mencari dan berjaya menemukan kedua-dua mangsa dan membawa mereka ke darat,” katanya.

    Tambahnya, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya mengesahkan dua beradik itu meninggal dunia.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (sdr) dan kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

  • Buruh dikhuatiri lemas ketika cuba selamat anak

    Buruh dikhuatiri lemas ketika cuba selamat anak

    SEORANG buruh kilang dikhuatiri lemas, selepas hilang dibawa arus ketika cuba menyelamatkan anaknya daripada lemas di Sungai Lubuk Tapeng dekat Air Puteh di Kemaman, pukul 1.45 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Mohd. Mirwan Mohd. Remli, 40, tenggelam dibawa arus sungai berkenaan.

    “Sebelum kejadian mangsa bersama isterinya, Haryati Sulaiman, 36, serta anak mereka ke sungai itu untuk memancing dan mandi, mulai pukul 9.30 pagi.

    “Ketika sedang mandi, anaknya Muhammad Zafran Aidil, 12, tiba-tiba dibawa arus dan hanyut sehingga ke tengah sungai.

    “Mangsa dikatakan bertindak untuk menyelamatkan anaknya itu, namun isteri mangsa kemudiannya mendapati suaminya itu tenggelam.

    “Bagaimanapun, anak mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok yang ada di sungai terbabit,” katanya dalam kenyataan.

    Hanyan berkata, menyedari suami hilang, isterinya bergegas mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung sebelum datang ke balai polis membuat laporan.

    Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Mohd. Hafiezul Mohamad berkata, seramai 16 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Cheneh dan Chukai, bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan membabitkan kerjasama daripada polis, Rela dan penduduk kampung.

    “Seramai tujuh anggota Bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menyertai operasi ini dan setakat ini usaha pencarian mangsa masih belum berhasil,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Ketirisan RM10 bilion: ‘MOF perlu semak fakta subsidi diesel dengan betul’ – Ismail Sabri

    Ketirisan RM10 bilion: ‘MOF perlu semak fakta subsidi diesel dengan betul’ – Ismail Sabri

    KEMENTERIAN Kewangan (MOF) perlu ‘memeriksa’ dengan betul, dakwaan ketirisan subsidi diesel berjumlah hampir RM10 bilion sepanjang 2022 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2023, kelmarin.

    Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana jika benar ketirisan berlaku dalam jumlah terbabit, bermakna wujudnya penyelewengan besar terhadap subsidi berkenaan.

    “Kalau tidak silap saya, subsidi (bahan bakar) minyak RON 95 dan diesel semua sekali, kira-kira RM30 bilion (tahun lalu). Daripada jumlah itu, mungkin RM10 hingga RM12 billion adalah subsidi diesel.

    “Kalau RM10 bilion subsidi diesel diselewengkan (seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023), apa yang tinggal? Elok periksa betul-betul,” katanya kepada BH, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Anwar yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan Belanjawan 2023, mendedahkan wujudnya ketirisan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion sepanjang tahun lalu.

    Kenyataan Perdana Menteri dalam belanjawan itu memberi gambaran seolah-olah sepanjang tempoh pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada 2022, ketirisan subsidi diesel itu kira-kira RM830 juta sebulan.

    Semakan BH dalam portal rasmi Kementerian Kewangan (MOF) menemui siaran media bertarikh 25 Jun 2022 yang dibuat oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

    Berdasarkan kenyataan media itu, Zafrul dilaporkan berkata, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi 2022 setakat tarikh itu berjumlah RM77.3 bilion, adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

    Subsidi kepenggunaan itu meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, dan bil subsidi (tidak termasuk bantuan kebajikan)

    Berdasarkan unjuran subsidi untuk tahun 2022 jika harga bersubsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa (pada Jun 2022), jumlah subsidi bahan bakar merangkumi petrol, diesel dan LPG berdasarkan keperluan tahun 2022 ialah RM37.3

    Jumlah subsidi bahan bakar itu adalah paling tinggi berbanding pada 2021 iaitu sebanyak RM13.2 bilion; RM1.6 bilion (2020); RM6.1 bilion (2019) dan RM7.4 bilion (2018).