Category: Semasa

  • Anwar dapat ‘markah lebih’ jika beri peruntukan sama rata – Hamzah

    Anwar dapat ‘markah lebih’ jika beri peruntukan sama rata – Hamzah

    DATUK Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat “markah lebih” jika dapat memberikan peruntukan Ahli Parlimen kepada pembangkang.

    Kata Ketua Pembangkang itu, peruntukan sama rata amat penting dan sekiranya diperoleh sudah tentu akan diumumkan kepada pengundi di kawasan masing-masing.

    “Kalau boleh beri pada semua dia (Anwar) akan ‘score a major point’ dan kita akan memaklumkan kepada pengundi penyokong kita… benar Tambun (kawasan Parlimen perdana menteri) berikan peruntukan kepada kita sama seperti sebelah sana.

    “Kita minta cara baik.. dah dapat kita umum secara baik. Ini harus kita lakukan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, di Dewan Rakyat, hari ini.

    Pada 24 Feb lalu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengkritik pembentangan Belanjawan 2023 kerana didakwa tidak menyediakan peruntukan bagi wakil rakyat pembangkang.

    Menurut Shahidan, beliau kecewa kerana hak mereka dinafikan, berbeza amalan di luar negara menyediakan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira status kerana ia akhirnya untuk kegunaan rakyat.

    Sementara itu, Hamzah berkata Belanjawan 2023 ini perlu diberi keadilan kepada semua pihak.

    “Kita fikir kalau boleh bincang… bincanglah,” katanya.

  • SPRM tahan pesara kerajaan kemuka invois palsu RM36,000

    SPRM tahan pesara kerajaan kemuka invois palsu RM36,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pesara kerajaan selepas dipercayai mengemukakan dua invois palsu berjumlah RM36,000, hari ini.

    Dua invois yang mempunyai butiran matan palsu itu dilaporkan diserahkan kepada sebuah pejabat daerah pada 2019.

    Suspek lelaki berusia 61 tahun itu mengemukakan invois berhubung pembekalan makanan dan minuman kepada petugas di sebuah Kompleks Sukan Keningau sempena Sukan SAGA IX Keningau, mulai 5 hingga 13 Disember 2019, sedangkan pembekalan itu tidak dibuat.

    Menurut sumber, suspek ditahan di pejabat SPRM Sabah cawangan Keningau, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan suspek dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, beliau juga mengingatkan kepada penjawat awam supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu dalam urusan tuntutan program kerajaan kerana merupakan kesalahan serius.

  • Dewan Rakyat: Ahli Parlimen PH mencelah, ‘kurang ajar’ dan ‘biadap’ kedengaran

    Dewan Rakyat: Ahli Parlimen PH mencelah, ‘kurang ajar’ dan ‘biadap’ kedengaran

    SELEPAS sidang Dewan Rakyat dilihat agak ‘aman’ sejak pembukaannya, perkataan kurang ajar dan biadab kedengaran semula hari ini ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, membahaskan Belanjawan 2023.

    Situasi itu membabitkan dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang memanggil Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) dengan gelaran tersebut.

    Gelaran kurang ajar itu diucapkan Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) kepada Chuan How apabila beliau cuba mencelah beberapa kali Hamzah tetapi tidak dibenarkan.

    Hamzah ketika itu, menyentuh mengenai peruntukan sekolah daif dan klinik daif berjumlah RM1.2 bilion melalui Belanjawan 2023, di mana jumlah bagi bantuan terbabit adalah lebih besar ketika pembentangan belanjawan sebelum ini oleh kerajaan terdahulu, Oktober lalu.

    “Saya mahu penjelasan kerana ia masalah besar kepada rakyat..kalau nak bantu sekolah daif tidak payah kurangkan, kekalkan…begitu juga dengan klinik daif,” kata Hamzah.

    Chuan How kemudiannya bangkit mencelah tetapi tanpa melalui peraturan mesyuarat biasa yang mana ahli perlu diberi kebenaran oleh pembahas sebelum mencelah.

    Chuan How terus mencelah menyatakan peruntukan itu bersifat bantuan khusus membabitkan 400 klinik dan 380 sekolah.

    Berikutan itu, Che Mohamad mencelah dengan meminta Chuan How supaya tidak biadap dan menggangu sesi perbahasan itu.

    “Janganlah biadab, kacau…ini satu perbuatan kurang ajar Yang Dipertua…ini perbuatan kurang ajar, kamu jangan jadi kurang ajar dalam dewan ini, mengacau,” katanya, lapor Berita Harian.

    Shahidan pada masa sama turut menggelarkan Chuan How sebagai kurang ajar.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, kemudiannya menegur Chuan How supaya meminta izin Hamzah terlebih dahulu sebelum mencelah.

    Johari sebelum ini mengingatkan semua ahli dewan supaya tidak mengeluarkan perkataan tidak berparlimen bagi menjaga keharmonian sidang.

  • Dua beradik ditemukan lemas ketika mandi di kolam renang

    Dua beradik ditemukan lemas ketika mandi di kolam renang

    DUA beradik ditemukan lemas ketika mandi di sebuah kolam renang di Ipoh petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian lemas itu pada 6.10 petang.

    “Pihak kami telah menyiasat lokasi kejadian dan mendapati dua beradik berumur sembilan dan lapan tahun yang berasal dari Ipoh didapati lemas semasa berenang di dalam kolam tersebut.

    “Mangsa yang merupakan seorang kakak dan adik lelaki itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh oleh ambulans dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataan.

    Yahaya memaklumkan bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas dalam air, hasil daripada proses bedah siasat yang selesai dijalankan pada hari ini.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) iaitu mengabaikan, mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

    “Orang awam khususnya ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya tidak mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti yang mungkin mendatangkan bahaya bagi mengelakkan berlaku sebarang tragedi tidak diingini,” tambahnya.

  • Golongan muda berpendidikan rendah undi PN pada PRU15, kata Saifuddin

    Golongan muda berpendidikan rendah undi PN pada PRU15, kata Saifuddin

    SEORANG menteri Pakatan Harapan (PH) melabelkan golongan muda yang menyokong dan menyumbang undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini sebagai tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap dalam kehidupan.

    Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa hal itu dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh PH selepas PRU15 pada November tahun lalu.

    Pada masa sama, beliau yang juga ketua setiausaha PH berkata, dalam kalangan pengundi muda yang mempunyai pendapatan stabil dan pendidikan yang lebih tinggi akan cenderung menyokong gabungan dipimpin Anwar Ibrahim itu.

    “Peratus pengundi muda dan medium pendapatan maknanya purata pendapatan, kita dapati bahawa semakin tinggi pelajaran semakin stabil pendapatan dia, hat (yang) lepas pilihan raya baru ni  depa (mereka) ni undi kita (PH).

    “Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap, hat naik motor sana sini bagi (undi) kat Perikatan (PN).

    “Dia (data) tunjuk lagu (macam) tu,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PH Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani, pada 25 Februari lalu.

    Sehingga kini, klip video berdurasi pendek menunjukkan ucapannya masih tersebar luas di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

    Rata-ratanya tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau yang disifatkan tidak adil dan terlalu menghina golongan muda.

    Saifuddin antara pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya.

    Beliau kalah di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU15 lalu, kemudiannya dilantik jawatan senator untuk menjawat menteri dalam negeri dalam kerajaan campuran PH-Barisan Nasional (BN).

    Pada PRU15, Pas mendapat 49 kerusi Parlimen (6 daripada Bersatu) sekali gus menjadi parti Melayu tertinggi mendominasi kerusi Parlimen Melayu iaitu hampir 43% berbanding UMNO 23% dan PKR 11%.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PH turut mendapatkan data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Perangkaan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mendapatkan dapatan tersebut.

    “Data tadi itu kita buat semua sekali 222 kerusi Parlimen. Semua kita analisa.

    “Kemudian kita tengok ada beberapa trend yang berlaku peringkat nasional tapi tak sama berlaku di Kedah.

    “Ada beberapa trendlah yang kita kesan itu adalah makin tinggi pendapatan rakyat, makin padat satu-satu kawasan iaitu perbandaran, kebanyakannya corak mengundi itu mai kat kita (PH),” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • Pekerja ladang sawit didenda RM6,500 akibat hina Agong

    Pekerja ladang sawit didenda RM6,500 akibat hina Agong

    PEKERJA ladang sawit didenda RM6,500 atau berdepan enam bulan penjara kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, dalam hantaran Facebook pada Disember tahun lalu.

    Hanis Nordin, 34, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak susulan menghina Agong berkaitan pembentukan kerajaan perpaduan.

    Dia mengaku menerbitkan hantaran dalam Facebook, pada 3 pagi, 10 Disember tahun lalu.

    Hantaran itu dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) persekutuan, pada 13 Disember.

    Kesalahan itu dihukum mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, memperuntukan maksimum denda RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, termasuk denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan berulang selepas sabitan.

    Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam, merayu hakim mengenakan hukuman ringan atas alasan hantaran itu disalah tanggap dan dia tidak bermaksud menyakiti sesiapa.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon mahkamah mengenakan hukuman pencegahan.

    “Tertuduh melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan gagal mengikuti prinsip Rukun Negara kedua dan kelima, yang mana kesetiaan kepada raja dan negara, dan kesopanan dan kesusilaan,” katanya, lapor FMT.

  • Kerajaan tidak akan pertimbang pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim

    Kerajaan tidak akan pertimbang pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim

    KERAJAAN tiada sebarang cadangan untuk membina Lapangan terbang Antarabangsa Kulim (KXP), kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

    Menurutnya, perkara itu hanya akan dipertimbangkan sekiranya keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mencapai tahap maksimum.

    “Sebelum Covid-19, LTAPP menerima lapan juta penumpang, tahun lepas empat juta lebih, di sini kita melihat sekiranya lapangan terbang itu sudah mencapai tahap tidak mampu lagi, mungkin KXP akan menjadi lapangan terbang alternatif.

    “Saya difahamkan lapangan terbang ini lebih kepada kargo, LTAPP pun ada perkhidmatan kargo, jadi sehubungan itu kerajaan belum lagi mempertimbangkan pembinaan KXP,” katanya di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada soalan Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang mahu Menteri Pengangkutan menyatakan rancangan untuk menyelesaikan masalah pengangkutan di Pulau Langkawi dan juga perkembangan terkini cadangan pembinaan KXP.

    Hasbi menjelaskan, pembinaan lapangan terbang baharu mesti mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan, selain perlu menubuhkan Aerodrom mengikut akta sedia ada bagi membolehkan mereka memohon Lesen Pengendali Aerodrom (AOL).

    Sehingga hari ini katanya, tiada kelulusan daripada kerajaan Persekutuan untuk tujuan itu.

    “Cadangan pembinaan KXP adalah inisiatif anak syarikat kerajaan negeri dengan syarikat swasta yang lain, oleh projek ini tidak melibatkan Malaysia Holding Sdn Bhd (MHSB) secara langsung dan setakat ini tidak disenaraikan sebagai projek pembangunan di bawah Kementerian Pengangkutan.

    “Dalam Belanjawan 2023 baru-baru, kerajaan memutuskan untuk memberi keutamaan untuk menaik taraf dan pembesaran yang akan diterajui MAHB, pembangunan ini akan dijangka pertumbuhan ekonomi dalam kos yang rendah berbanding pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim,” katanya, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya membandingkan projek menaik taraf LTAPP dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dengan pembinaan Kedah Aerotropolis pada pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu.

  • Bajet kerajaan PH-BN ibarat ‘selimut yang senteng’: Ketua Pembangkang

    Bajet kerajaan PH-BN ibarat ‘selimut yang senteng’: Ketua Pembangkang

    PERIKATAN Nasional (PN) menyifatkan Bajet 2023 kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) adalah seperti ‘selimut yang senteng’ – tutup muka nampak kaki, tutup kaki muka terdedah.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, banyak perkara dalam belanjawan tersebut yang kurang daripada” segi pendekatan untuk menentukan masa depan negara kerana sepatutnya belanjawan itu sesuatu yang boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara.

    “Belanjawan ini sepatutnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, terutama mereka anak-anak muda, selain berupaya meringankan bebanan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup.

    “Apabila mendengar ucapan Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya agak simpati juga kerana dalam keadaan ekonomi negara kita ini yang agak runcing, begitu juga dengan ekonomi dunia.

    “Jadi saya merasakan mungkin ini yang menyebabkan ucapan Tambun pada hari itu adalah sesuatu yang saya beranggapkan seperti ‘bajet selimut yang senteng maksudnya kalau kita tutup muka betis kita terselak. Kalau kita tutup kaki, muka kita terdedah.

    “Jadi segala apa yang kita dengar belanjawan ini seharusnya adalah sesuatu belanjawan yang harus diberikan atau diagihkan secara saksama kepada semua.

    “Bukankah matlamat utama sesebuah pembangunan itu adalah untuk memberi nilai tambah dan limpahan yang berganda bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan daya saing negara,” katanya ketika membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Pada masa sama, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, pembangkang berasa hairan dengan perbezaan ucapan dan teks ucapan disampaikan Anwar ketika membentangkan bajet berkenaan.

    “Yang saya hairannya ketika beliau membentangkan ucapan tersebut. Saya nak maklumkan bahawa selepas beberapa minit kita dah dapat (teks ucapan). Dan kita boleh ikut teks ucapan yang telah pun disediakan.

    “Dan ketika itu kita rasa amat hairan… yang mana satu? Apakah yang dibaca oleh Tambun sendiri ataupun teks yang diberikan kepada kita? Dan sebab itu saya ingin persoalkan di sini kenapa perkara ini boleh berlaku?

    “Kerana bukankah belanjawan itu sepatutnya berdasarkan kepada realiti yang ada di hadapan kita. Kalau ianya berdasar kepada realiti, teks yang sepatutnya yang diberikan kepada kita itu adalah sesuatu yang melambangkan kepentingan semua pihak.

    “Tapi apabila kita dengar ada perkara-perkara yang kurang sana, kurang sini… maka saya terpaksa membangkitkan isu ini kerana saya percaya di mana kita nak merangka dokumen yang begitu besar untuk negara, sudah tentu kita perlu memakan masa dan penelitian 100 peratus.

    “Namun, ramai, termasuk penganalisis yang agak keliru mendengar ucapan (Anwar) berbanding teks yang telah pun disediakan,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Menu Rahmah: Halimah susun 10 jari ‘andai ucapan disalah erti’

    Menu Rahmah: Halimah susun 10 jari ‘andai ucapan disalah erti’

    HALIMAH Ali (PN-Kapar) hari ini secara berkias memohon maaf berhubung kenyataannya pada 14 Februari lalu sekiranya disalah erti.

    Beliau menyatakan secara kiasan melalui kenyataan balas yang dipersetujui bersama Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

    Ini susulan kenyataannya yang mencetuskan kontroversi berhubung inisiatif Menu Rahmah yang didakwa mengelirukan, sehingga Dr. Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) merujuk perkara itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

    “Kalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti. Andai ada ucapan disalah erti, saya menyusun 10 jari.

    “Niat di hati suara rakyat saya juarai, semak imbang kerajaan Madani. Biar integriti, bukankah itu peranan hakiki?

    “Selaku wakil rakyat, suara rakyat yang diwakili, sudi sekiranya (ia) dirujuk penyata rasmi muka surat 134 hingga 137 pada 14 Februari,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Dalam surat kepada speaker pada 21 Februari, Dr. Kelvin Yii merujuk kepada perbahasan Halimah mengenai inisiatif Menu Rahmah dan mengaitkannya dengan ancaman kesihatan termasuk kanser dan autisme.

    Dr. Kelvin Yii mengemukakan usul agar Halimah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

    Katanya kenyataan yang dibuatnya pada 14 Februari itu boleh dianggap menghina parlimen.

    Sebelum itu, Halimah berulang kali menafikan kecaman ke atasnya, bahawa beliau mengaitkan inisiatif Menu Rahmah dengan penyakit kanser.

    Malah beliau meminta sesiapa yang mengecamnya untuk merujuk kepada hansard (rekod rasmi parlimen) untuk membuktikan kenyataan dibuat sebelum ini.

  • Ustaz Azhar Idrus jelaskan isu kuliah dibatalkan

    Ustaz Azhar Idrus jelaskan isu kuliah dibatalkan

    PENDAKWAH dan penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus sedia maklum bahawa Selangor membenarkan kuliah bagi penceramah yang mempunyai tauliah mengajar di negeri berkenaan sahaja.

    Bagaimanapun, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI itu berkata, pihak pengurusan Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong tetap meminta supaya beliau hadir bagi menyampaikan kuliah di masjid mereka.

    “Kita memang dah tahu dari zaman Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan 22 bulan lagi, memang (saya) tidak boleh di Selangor sebab (negeri itu benarkan penceramah) untuk yang bertauliah sahaja.

    “Cuma ada masjid di Bukit Jelutong ini, mereka minta juga (supaya saya hadir). Kami kata boleh (tetapi) sediakan surat sokongan baru kami boleh pergi, mohon tauliah sementara untuk malam itu sahaja, dan mereka sudah pun mohon.

    “Selesai semua benda, dan (kemudian kuliah itu) dibatalkan. Kami akur, tukar ke Kampung Pandan, tidak ada isu pun,” katanya ketika menjawab salah soalan daripada salah satu jemaah di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur semalam.

    Sebelum ini pembatalan ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, mendapat perhatian apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan kuliah maghrib di masjid berkenaan susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

    Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

    Semalam, meskipun terpalit kontroversi tersebut, namun Kuliah Maghrib Perdana oleh Ustaz Azhar Idrus di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan itu dihadiri oleh ribuan jemaah.

    Ujar beliau, masjid di Bukit Jelutong itu telah membuat permohonan rayuan sebanyak dua kali namun masih tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

    “Masjid rayu, tidak boleh rayu, mereka minta (buat permohonan) rayu sekali lagi (tetapi) tidak boleh juga.

    “Jadi kami ambil keputusan pindah (kuliah) ke Kuala Lumpur. Kenapa mu koyak? Bukan kita marah pun.

    “Awak tidak bagi kami berkuliah, kami berpindah ke Kampung Pandan. Comel dah (keputusan itu), eh koyak juga,” menurutnya.

    Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus berkata, bahawa kebenaran bertauliah sememangnya dibenarkan dalam syarak kerana bertujuan bagi mengawal penceramah-penceramah yang membawa ajaran sesat.

    “Yang ada mengajar ajaran sesat, memang dilarang. Itu memang betul, dibolehkan.

    “Tetapi janganlah kita gunakan untuk nafsu. Kita halau orang berkuliah kerana nafsu sahaja, bukan kerana ajaran sesat dan sebagainya.

    “Nasihat saya, kamu-kamu ini nanti jadi menteri, jadi orang yang ada kuasa. Gunakan kuasa itu untuk luaskan ilmu Allah dan gunakan kuasa kamu untuk sekat maksiat,” jelasnya, lapor Sinar Harian.