Category: Semasa

  • Lelaki parah diserang 6 lelaki bersenjatakan parang

    Lelaki parah diserang 6 lelaki bersenjatakan parang

    SEORANG lelaki cedera parah selepas diserang enam lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian rusuhan di sebuah kedai makan di Jalan Senai Utama, Kulai, pukul 1.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mangsa, 44, mengalami kecederaan di kepala dan perut telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 23 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.

    “Siasatan awal mendapati punca rusuhan itu adalah disebabkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan kumpulan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya masih mencari beberapa individu yang dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan.

    Semua suspek katanya, kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Kesesakan iaitu merusuh menggunakan senjata.

    Menurut Beng Yeow, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    “Mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat kepada IPD Kulai atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Azri di talian 010-7647789,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ADUN Petagas pula keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat

    ADUN Petagas pula keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat

    PARTI Warisan terus bergolak apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Awang Ahmad Sah Awang Sahari mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

    Perkara itu diumumkan Awang Ahmad Sah yang juga bendahari agung Warisan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas melakukan perbincangan dengan pemimpin bahagian.

    “Pada hari ini, saya beserta dengan keseluruhan cawangan kecuali tiga atau empat cawangan mengumumkan bahawa kami meninggalkan Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya lapor Sinar Harian.

    Tindakan Awang Ahmad keluar parti itu susulan cubaan menyingkirkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor Hajiji pada Januari yang didalangi Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

    Pada 6 Februari lalu, tiga ADUN Warisan keluar daripada parti itu. Mereka ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

    Lima ADUN UMNO juga mengumumkan keluar parti minggu lepas untuk menyertai Gagasan Rakyat selepas enggan menyertai gerakan menggulingkan Hajiji sebagai ketua menteri.

    Awang Ahmad, yang juga bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Jeffrey Kitingan, dipilih sebagai Adun Petagas atas tiket Warisan pada pilihan raya negeri Sabah 2020.

    Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 261 undi, menewaskan Arsit Sidik dari Perikatan Nasional dalam pertandingan enam penjuru.

    Beliau pertama kali bertanding untuk kerusi DUN Petagas pada pilihan raya umum 2013 atas tiket STAR, tetapi hanya berjaya memperoleh 1,111 undi apabila Yahyah Hussin dari BN memenangi kerusi itu.

  • PN cadang KWSP bersasar bantu golongan sangat memerlukan

    PN cadang KWSP bersasar bantu golongan sangat memerlukan

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kepada golongan yang memerlukan dengan mencari satu mekanisme yang sesuai.

    Ketua pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini bagi memastikan, hanya golongan yang benar-benar layak sahaja sahaja yang dapat mengeluarkan caruman itu demi meneruskan kelangsungan hidup.

    “Ada pencarum yang mencarum KWSP secara suka rela…sebagai contoh sebelum pendemik dia ada kedai dan perniagaannya maju. Dia buat simpanan (KWSP) dan dia beli rumah, namun selepas tiga tahun semasa pandemik, pendapatan dia sudah berbeza berbanding zaman dia mencarum.

    “Sekarang dia minta untuk keluarkan duit sebab sudah enam bulan tak bayar hutang rumah dan bank hendak lelong rumahnya. Jika kita tidak bantu orang seperti ini, apa yang akan terjadi? 

    “Rumahnya akan dilelong dan apabila dia hendak beli semula  aset itu setahun atau dua tahun akan datang, saya rasa amat susah sekali. Sebab tu saya minta sangat kerajaan untuk mecari mekanisme untuk tujuan ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

    Selain itu, Hamzah meminta kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera yang bergadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara, namun hanya menerima pencen RM500 sebelum penyelarasan gaji dilaksanakan pada 2013.

    Pada masa sama, beliau turut mencadangkan penubuhan Jabatan Warga Emas seiring Malaysia menuju ke arah negara menua, yang membolehkan golongan berkenaan menyertai tenaga kerja bagi membolehkan mereka mempunyai pendapatan, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi ketika ini .

    “Kalau boleh kita gunakan lagi mereka sebagai tenaga kerja dan cara membayarnya, tak payah ikut gaji minima tapi menggunakan model baharu,” katanya. – BERNAMA

  • Apa strategi noktahkan miskin tegar tahun ini, soal Hamzah

    Apa strategi noktahkan miskin tegar tahun ini, soal Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perincian dalam usahanya ‘menoktahkan’ kemiskinan tegar dalam tahun ini juga.

    Katanya, apa bentuk strategi akan digunakan kerajaan berikutan berbaki sembilan bulan lagi demi merealisasikan hasrat itu.

    “Saya ucapkan tahniah.. (tetapi) jelaskan tentang noktahkan kemiskinan tegar tahun ini.

    “Strategi mana. Tak dengar,” katanya ketika dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, lapor FMT.

    Pada 24 Februari lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan iltizam kerajaan menjadikan 2023 sebagai tahun menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

    Anwar berkata, kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menumpukan pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.

    Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan tahun ini kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

    Dalam pada itu, Hamzah berharap peruntukan saksama diberikan kepada enam negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah, dan Sarawak.

    Beliau juga mencadangkan kerajaan mewujudkan jabatan khusus warga emas.

  • Gaji penjawat awam tak akan dinaikkan, kata Anwar

    Gaji penjawat awam tak akan dinaikkan, kata Anwar

    KERAJAAN tidak mencadangkan kenaikan gaji penjawat awam dalam Belanjawan 2023 kerana ia boleh menyebabkan defisit tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata defisit tinggi boleh mengurangkan keyakinan pelabur terhadap negara kerana mereka tidak yakin ada tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.

    “Apa masalah kita (sekarang ialah), hutang RM1.5 trilion dan defisit (sekarang) 5.6 peratus dan kalau tambah gaji, defisit jadi 6.5 peratus. Tiada orang datang lagi melabur ke negara kerana dia tidak yakin ada kekuatan tekad politik untuk urus negara dengan baik,” kata beliau kepada media selepas menghadiri Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia, di Putrajaya hari ini.

    Anwar mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat yang berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah dalam Belanjawan 2023.

    Anwar meminta Cuepacs supaya bersabar kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat yang lebih miskin.

    “Jadi sabar sekejap, hasil banyak cuba dicurahkan. Apakah ia tidak penting untuk selamatkan miskin tegar yang lebih teruk daripada pekerja sedia ada.

    “Saya ingin beritahu ia tidak mudah untuk pesawah padi, pekebun kecil, nelayan dan miskin tegar… dia nak hidup pun susah,” kata beliau.

    Pada 24 Feb lepas, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion, melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

    Menerusi Belanjawan 2023 itu, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. 

  • Kenyataan didakwa fitnah TPM, BN hantar surat tuntutan kepada Muhyiddin, Azmin

    Kenyataan didakwa fitnah TPM, BN hantar surat tuntutan kepada Muhyiddin, Azmin

    BARISAN Nasional (BN) mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik balik tuduhan yang mengaitkan Presiden UMNO sebagai ‘dalang’ kepada pertuduhan rasuah terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Ia dinyatakan melalui surat tuntutan dihantar BN melalui peguamnya selepas menyifatkan kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Azmin selaku Ketua Penerangannya, sebagai satu tuduhan yang melampau.

    Menurut Bahagian Komunikasi BN melalui kenyataan, selain menarik kenyataan, dua pemimpin PN itu juga perlu memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah dilakukan.

    “Fitnah liar ini tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang dilakukan.

    “Di dalam surat tuntutan dihantar, kedua-dua penama terbabit mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, katanya kenyataan Muhyiddin yang menuduh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan Wan Saiful itu jelas satu fitnah melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN sendiri.

    Katanya, ini termasuk tuduhan sama dibuat Mohamed Azmin yang menyatakan pendakwaan rasuah ahli PN dan Bersatu sebelum ini adalah tindakan yang sudah dirancang.

    “Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan kedua-dua individu utama dalam PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.

    “Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik, sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah daripada kepemimpinan parti mereka sendiri,” katanya.

    Kenyataan sama memaklumkan, Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin PN dan fokus Timbalan Perdana Menteri itu adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa.

  • 100 hari kerajaan Anwar kekal ditolak Melayu

    100 hari kerajaan Anwar kekal ditolak Melayu

    BERDASARKAN Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan, penolakan orang Melayu kepada kerajaan semasa dilihat semakin ketara.

    Daripada lebih 35,000 responden yang mengambil bahagian, 71 peratus masyarakat Melayu Semenanjung menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    60 peratus berpandangan keadaan semasa negara adalah lemah.

    51 peratus menyatakan ekonomi negara bertambah buruk.

    Dan 43 peratus bersetuju bahawa hala tuju semasa negara adalah salah.

    Sememangnya kerajaan semasa bukanlah pilihan pengundi Melayu berdasarkan keputusan PRU15 lagi apabila majoriti orang Melayu telah memilih PERIKATAN NASIONAL.

    Ditambah pula dengan tindak tanduk Kerajaan PH-BN kini yang sangat cenderung kepada menjaga hati orang bukan-Melayu berbanding menjaga kepentingan orang Melayu sendiri.

    Perkara ini jelas dapat dilihat menerusi Bajet 2023 apabila aspek pemerkasaan ekonomi Bumiputera tidak benar-benar dipeduli oleh Kabinet Anwar Ibrahim.

    Tanpa sebarang pencapaian dan tanpa pelan pembangunan yang konkrit sebagai hala tuju membangunkan semula negara, 100 hari kerajaan campuran ini tidak lebih hanya menjadi wayang politik PH dan BN.

    Pastinya, Anwar dan Zahid Hamidi akan terus berdepan cabaran untuk menawan hati orang Melayu Semenanjung.

    Dan tidak mustahil, masyarakat bukan-Melayu juga akan hilang kepercayaan kepada kerajaan sekarang dengan prestasi mereka yang mengecewakan.

    NAZIR HELMI
    Ketua Penerangan Pemuda Pas


    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Banyak formula, tapi Rafizi guna juga program diusaha PN: Hamzah

    Banyak formula, tapi Rafizi guna juga program diusaha PN: Hamzah

    WALAUPUN banyak mengemukakan pelbagai formula sebelum dan selepas menjadi kerajaan, Menteri Ekonomi kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Rafizi Ramli, akhirnya menerima juga usaha dan program yang disusun PN sebelum ini.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, IPR yang dirasmikan Rafizi semalam telah diusahakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Saya melihat bahawa apabila kita bercakap tentang kos sara hidup ini banyak menteri buat bermacam-macam pengumuman. Semalam saya dengar ada seorang menteri dah merasmikan satu program IPR… inisiatif pendapatan rakyat.

    “Alhamdulillah saya bersyukur kerana akhirnya seorang menteri yang sarat dengan bermacam-macam formula akhirnya menerima formula yang telah diusahakan oleh bekas menteri ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam prospek membasmi kemiskinan,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian ketika membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Hamzah berkata, PN telah berbincang mengenai kos sara hidup yang membebankan rakyat sebelum ini.

    Sehubungan itu, beliau menawarkan kerjasama untuk membantu kerajaan PH-BN dalam usaha menyelesaikan masalah kemiskinan serta kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.

    “Kami ni bersedia. Saya nak bagi tahu (Ahli Parlimen) Putrajaya (Datuk Dr. Radzi Jidin)… dia bincang pasal bab kemiskinan ini semasa beliau menjadi timbalan menteri, akhirnya menjadi menteri, boleh (bekerjasama).

    “Bekas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bos saya… macam-macam jawatan yang telah dipegangnya. Jadi (mari) kita bincang.

    “Kita tahu sehebat mana formula yang dikatakan oleh Yang Berhormat Pandan (Rafizi) itu akhirnya terima juga apa yang telah pun kita (PN) kemukakan.

    “Sebab ini (PN mengutamakan) kepentingan negara dan rakyat. Jangan nak angkuh sangatlah. Kami (PN) ni bersedia (memberi cadangan). Sebab itu cadangan-cadangan yang dibangkitkan oleh kami. Saya dapat macam-macam mesej daripada rakyat di bawah sana,” tegas beliau lagi.

    Mengambil contoh Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang diperkenal kerajaan PN sebelum ini, Hamzah berkata, PN berpendapat keutamaan mesti diberikan kepada melaksanakan aktiviti yang boleh menjamin pertumbuhan ekonomi utama dalam negara.

    “Bila kita tanya, ada menteri yang menjawab bahawa Wawasan Kemakmuran Bersama ini tidak mahu diguna pakai lagi, sedangkan sebenarnya apa yang kita (PN) lakukan adalah sesuatu untuk mencari pendapatan atau hasil daripada ekonomi baru.

    “Aktiviti-aktiviti pertumbuhan ekonomi utama kita ini seharusnya kita berikan penekanan. Jadi potensi ekonomi, persisiran dan maritim juga boleh kita manfaatkan. Jadi dengan kawasan pesisiran pantai dan maritim Malaysia yang luas dan strategik, ianya sangat sesuai untuk kita bangunkan pusat ekonomi baru dalam negara.

    “Jadi apa yang saya sebutkan ini contoh-contoh yang ada dalam wawasan tersebut. Kalau YAB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh melihat kembali (wawasan itu) tak salah.

    “Kita di sini tak apalah nak tukar nama wawasan itu. Itu tak jadi masalah kepada kita. Yang pentingnya untuk kepentingan bersama, untuk kepentingan negara dan rakyat,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • 100 hari Kerajaan PH-BN: Tiada perubahan rungkai masalah rakyat – MP GPS

    100 hari Kerajaan PH-BN: Tiada perubahan rungkai masalah rakyat – MP GPS

    KERAJAAN Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) tidak menunjukkan kesungguhan untuk melakukan satu perubahan reformasi yang menyerlah dalam merungkai setiap permasalahan rakyat, terutama dalam menangani kos sara hidup serta peluang pekerjaan.

    Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, kerajaan dan barisan Kabinet dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim Anwar sewajarnya merangka strategi segera dan menyusun semula apa yang perlu dilakukan dalam menangani permasalahan rakyat.

    “Kita perlu merungkai setiap permasalahan dan juga kita perlu susun semula apa yang perlu kita beri penekanan.

    “Rakyat di bawah terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat dengan mendadak dan juga kita melihat peluang pekerjaan walaupun ketika ini kadar pengangguran dikatakan telah menurun tetapi rakyat tidak merasakannya.

    “Jadi ada perlunya kita melakukan satu strategi formula yang ada supaya kita membantu dua perkara utama pertama, kos sara hidup meningkat dan peluang pekerjaan kepada generasi muda,” katanya lapor Awani berhubung 100 hari pentadbiran kerajaan Anwar.

    Mengulas lanjut Willie berkata, beliau juga tidak melihat kerajaan Malaysia Madani ini mempunyai pelan pembangunan yang konkrit sebagai hala tuju membangunkan semula negara.

    Kata beliau, kerajaan perlu melihat cara dan penyampaian baharu untuk mendapat sumber pendapatan negara memandangkan rizab negara dipercayai hanya boleh bertahan dalam tempoh enam hingga tujuh bulan sahaja.

    Cadang Willie, kerajaan boleh menggerakkan aktiviti pertanian secara besar-besaran selain sektor industri dengan membawa kepada teknologi baharu yang boleh dijadikan sumber pendapatan negara yang baharu.

    “Kita tidak boleh bergantung kepada sumber pendapatan cukai mahupun minyak dan gas kerana kita dalam keadaan dinamik yang boleh berubah. Kita perlu bersedia melibat sumber pendapatan baharu buat Malaysia,” katanya.

  • Kes dadah: Ismahalil Hamzah diperintah bela diri

    Kes dadah: Ismahalil Hamzah diperintah bela diri

    BEKAS penyampai radio Ismahalil Hamzah hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismahalil, 49, di akhir kes pendakwaan.

    Muhammad Jamil, dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mendapati 22 paket dadah yang ditemukan dalam bilik tertuduh (Ismahalil) berada dalam kawalan dan jagaannya.

    “Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah dari lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.

    “Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut. Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh.

    Justeru, hujahan peguam bela bahawa anak guamnya tidak mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan dadah berkenaan tidak mempunyai merit,” katanya dan menambah keterangan saksi-saksi pendakwaan tidak bercanggah dan boleh dipercayai.

    Hakim itu turut memaklumkan kepada tertuduh bahawa bagi tujuan membela diri, dia mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri; atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang keterangan secara tidak bersumpah; atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

    Ismahalil kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

    Selepas mahkamah memberikan keputusan, tertuduh dilihat menangis teresak-esak sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya yang berada di galeri awam.

    Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang mewakili Ismahalil memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil seramai lima saksi pembelaan termasuk tertuduh untuk prosiding membela diri yang ditetapkan oleh mahkamah pada 30 dan 31 Mei depan.

    Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Oktober 2022.

    Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ahmad Zaharil turut dibantu peguam Adi Zulkarnain Zulkafli. – BERNAMA