Category: Semasa

  • Lelaki dituduh tikam pesakit di Hospital Selayang diarah jalani pemeriksaan mental

    Lelaki dituduh tikam pesakit di Hospital Selayang diarah jalani pemeriksaan mental

    MAHKAMAH Sesyen Selayang hari ini mengarahkan seorang lelaki yang bertindak menikam seorang pesakit di bahagian kecemasan Hospital Selayang dua minggu lalu, untuk menjalani pemeriksaan mental.

    Tertuduh, Mohd. Khairul Kamul, 22, sebelum itu dituduh di mahkamah sama atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin pagi ini.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

    Ketika disoal oleh jurubahasa mahkamah samada dia mengaku atau tidak atas pertuduhan itu, tertuduh berkata, “saya tidak sedar dan berhalusinasi serta mendengar bisikan (ketika kejadian)”.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa yang berbangsa India dengan menggunakan pisau pada 14 Februari lalu.

    Perbuatan itu dilakukan di zon kuning non respi bahagian kecemasan di Hospital Selayang sekitar pukul 3.45 petang.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Mohd Khairul Kamul, 22, menghadapi pertuduhan mendatangkan kecederaan parah dengan menikam seorang pesakit di Hospital Selayang dua minggu lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzan membuat permohonan kepada mahkamah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Ulu Kinta bagi pemeriksaan mental.

    Hakim Nor Rajiah kemudian mengarahkan agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi pemeriksaan dan pemerhatian mental.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 29 Mac depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan laporan pemeriksaan mental tertuduh, lapor UtusanTV.

    Pada 15 Februari lalu media melaporkan seorang pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan Hospital Selayang ditikam oleh seorang lelaki.

    Kejadian difahamkan berlaku ketika mangsa yang menghidap demam denggi, pergi ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan sebelum diserang.

    Lelaki berkenaan dikatakan menyerang mangsa dengan pisau yang diambil di pantri jururawat di hospital berkenaan.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, mangsa yang berusia 20 tahun itu cedera pada dada kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan namun dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.

    Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media, mengesahkan lelaki berkenaan merupakan seorang pesakit psikiatrik selain menafikan punca kejadian itu disebabkan oleh kesesakan di hospital tersebut seperti yang tular dalam media sosial.

  • 10 individu direman bantu kes rasuah tengah laut

    10 individu direman bantu kes rasuah tengah laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    LIMA penjawat awam dari tiga agensi penguatkuasaan di laut merupakan antara 10 individu yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Alor Setar, Kedah, hari ini.

    Perintah reman terhadap kesemua mereka dikeluarkan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.

    Sumber memaklumkan, kesemua mereka yang direman berusia antara 26 hingga 57 tahun.

    “Mereka merupakan antara 19 individu yang diberkas SPRM di beberapa negeri selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah besar-besaran dan mengutip wang rasuah di tengah laut.

    “Kegiatan itu berjaya dikesan SPRM susulan risikan dijalankan terhadap tiga agensi penguatkuasaan membabitkan Jabatan Perikan (DOF), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.

    Difahamkan kakitangan ketiga-tiga agensi itu disyaki menerima rasuah diberikan pemilik bot nelayan dan pengusaha sangkar ternakan ikan dalam bentuk wang tunai.

    SPRM dikatakan sudah melakukan risikan sejak beberapa bulan lalu terhadap semua agensi tersebut di utara tanah air melibatkan Perlis, Pulau Pinang dan Kedah termasuk Langkawi.

  • Dakwa titah Agong disediakan kerajaan, Tuan Ibrahim mohon maaf

    Dakwa titah Agong disediakan kerajaan, Tuan Ibrahim mohon maaf

    AHLI Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat susulan ucapannya mengenai titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 disediakan kerajaan.

    Timbalan Presiden Pas itu berkata, satu pertemuan bersama Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul telah dilakukan bagi memberi penjelasan mengenai perkara itu.

    “Saya telah mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan (Johari) dan saya telah memberi penjelasan tentang beberapa kekhilafan yang berlaku.

    “Saya fikir perkara ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita banyak isu-isu penting (untuk dibahaskan). Jadi sekiranya timbul kekhilafan, saya mohon maaf dan (dewan) teruskan agenda yang lebih penting untuk kepentingan rakyat,” katanya.

    Ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 21 Februari lalu, Tuan Ibrahim mendakwa, titah perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah disediakan kerajaan sebelum diluluskan dalam Kabinet ekoran tidak memasukkan mengenai nilai keadilan sebagai prinsip utama Malaysia Madani.

    Ucapan beliau itu menarik perhatian RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangun mencelah dengan membangkitkan mengenai Peraturan Dewan 36 (6) bahawa ucapan itu membuat sangkaan jahat.

    Dalam pada itu, Johari berkata, beliau telah memanggil bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu setelah mendapat permohonan daripada Rayer yang meminta penjelasan perkara itu.

    “Saya dah jumpa Kubang Kerian (Tuan Ibrahim) dan pemahaman kita berbeza, namun apa yang telah disebutkan itu telah dimaklumkan kepada saya,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Digilis ‘forklift’, warga emas hilang dua belah kaki

    Digilis ‘forklift’, warga emas hilang dua belah kaki

    SEORANG pekerja pembersihan kehilangan kedua-dua belah kaki selepas digilis trak angkat susun (forklift) dalam kejadian di Kompleks MASKargo Bayan Lepas semalam.

    Kejadian itu dirakam dalam sebuah klip video yang menjadi tular di media sosial. Dalam video berdurasi 15 saat itu, mangsa, Jami @Jumi Shariff, 75, dilihat dilanggar trak angkat susun ketika berjalan di kawasan kargo itu.

    Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Barat Daya, Leftenan (PA) Noor Azizan Zakaria, susulan menerima panggilan pada 12.16 tengah hari, empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Tambahnya, apabila tiba di lokasi, anggotanya mendapati kedua-dua belah kaki mangsa telah hancur digilis jentera berkenaan

    “Anggota pasukan kemudian memberi rawatan awal dengan membuat balutan dan memasang alat sokongan pada kaki mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ketika diberi rawatan awal, katanya, mangsa masih berada dalam keadaan sedar dan berada dalam keadaan stabil ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

  • Penganggur didakwa edar dadah bernilai RM2.16 juta

    Penganggur didakwa edar dadah bernilai RM2.16 juta

    SEORANG lelaki didakwa Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas empat pertuduhan mengedar 43.17 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM 2.16 juta, di daerah ini, pada dua minggu lalu.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh, Ng Kah Jun hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa mandarin dihadapan hakim, Mujib Saroji.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, pemuda berusia 27 tahun dan tidak bekerja itu didakwa mengedar 37.42 kilogram dadah jenis ekstasi, selain 3.24 kilogram eramin lima dan 2.5 kilogram dadah ketamin.

    Menurut Astro Awani, kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang 1.30 petang, di sebuah rumah di Jalan Bidara 2, Taman Suria, di Kluang, pada 16 Februari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

    Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia manakala tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

  • Annuar dialu-alukan bersama Pas

    Annuar dialu-alukan bersama Pas

    BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dialu-alukan untuk bersama Pas tidak lama selepas beliau menyuarakan keinginan untuk menyertai parti politik.

    Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bekas Setiausaha Agung UMNO itu memiliki pengalaman yang mesti dimanfaatkan namun pandangan beliau tidak kuat jika tidak bersama parti politik.

    “Peranan beliau untuk melihat parti Melayu bersama seharusnya diteruskan bersama Pas.

    “Malah Tuan Ibrahim menambah Annuar bukanlah asing bagi Pas. “Kami banyak bersama dalam perbincangan semasa dalam Muafakat Nasional lalu,” katanya, lapor FMT.

    Semalam, Annuar yang dipecat UMNO pada Disember lalu menyuarakan hasrat untuk kembali berpolitik secara berparti, dan ingin menyertai parti yang sesuai dengan perjuangannya.

    Annuar menyifatkan perjuangannya untuk menegakkan syiar agama dan membela bangsa serta negara.

    Beliau ketika ini bersama NGO, Muafakat Nasional, yang diaktifkan selepas Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

    “Sebagai ahli politik, beliau seharusnya bersama dengan parti dalam memperjuangkan sesuatu perkara. Tanpa bersama parti politik, tentunya pandangan beliau tidak kuat berbanding parti,” kata Tuan Ibrahim.

    Annuar sebelum dipecat dilihat lantang mengkritik Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi malah dilabel ‘mesra Bersatu’. Pemecatan beliau mengikut fasal yang memberi hak kepada majlis kerja tertinggi UMNO melucutkan keahlian.

  • Jana Wibawa:Adam Radlan kena tuduhan ke-5

    Jana Wibawa:Adam Radlan kena tuduhan ke-5

    AHLI perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan meminta rasuah berjumlah RM2 juta berhubung program Jana Wibawa.

    Itu merupakan tuduhan kelima berkait Jana Wibawa dikenakan terhadapnya selepas empat tuduhan minggu lalu, lapor FMT.

    Adam, yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, meminta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Isteri Ustaz Farid Ravi meninggal dunia

    Isteri Ustaz Farid Ravi meninggal dunia

    ISTERI kepada pendakwah Prof Madya Datuk Dr Mohd Ravi atau dikenali Ustaz Farid Ravi iaitu Datin Suziana Mohd Soyong dilaporkan meninggal dunia, hari ini.

    Perkembangan itu dimaklumkan oleh pendakwah tersebut menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya pukul 6.21 petang tadi.

    “Dukacita dimaklumkan bahawa isteri saya, Datin Suziana Mohd Soyong kembali kepada penciptanya pukul 5.40 petang tadi di Hospital Serdang.

    “Kepada semua yang mengenali isteri saya mohon doakan kebaikan dan keampunan untuk almarhumah.

    “Juga minta dimaafkan salah dan silap almarhumah sekiranya ada berhutang mohon dihalalkan atau tuntutlah hutang almarhumah daripada saya.

    “Doa saudara dan saudari saya dahului dengan ucapan jazakumullah khairan kathira,” tulisnya pada entri Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ustaz Farid Ravi berkata, solat jenazah akan diadakan selepas solat Isyak di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, hari ini.

    “Perginya insan yang paling mengenali saya dan banyak jasanya. Abang doakan agar ummi ditempatkan bersama para solihin.

    “Semoga abah kuat jaga hadiah ummi enam orang dengan baik. Tenanglah ummi di sana,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kerajaan perlu telus, henti sembunyi perbelanjaan mengurus – Johari

    Kerajaan perlu telus, henti sembunyi perbelanjaan mengurus – Johari

    KERAJAAN mesti lebih telus mengenai perbelanjaannya dan menghentikan “amalan salah” menyembunyikan perbelanjaan pembangunan dalam pembentangan kewangannya.

    Datuk Seri Johari Ghani (BN-Titiwangsa) berkata, Akta Tatacara Kewangan memperuntukkan perbelanjaan mengurus dibayar hanya daripada hasil kerajaan, manakala perbelanjaan pembangunan dibayar menggunakan pinjaman.

    Bagaimanapun katanya, kerajaan telah meminjam sehingga RM300 bilion semasa pandemik Covid-19, sebahagiannya untuk mendapatkan vaksin, yang sepatutnya dianggap sebagai perbelanjaan mengurus.

    Selain itu katanya, jumlah tersebut telah disembunyikan sebagai perbelanjaan pembangunan.

    “Jadi kita tidak ada ketelusan report (laporan). Laporan kita tidak telus. Bila tidak telus bagaimana orang nak melihat bahawa kita mentadbir ini secara ketelusan? Kenapa kita kena sorok perbelanjaan vaksin ini dalam DE (perbelanjaan pembangunan)? Sedangkan DE ini “definition” dia ‘very clear’ “, katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

    “Kalaulah kita nak kena berdepan dengan defisit, kita berdepan dengan defisit sebab kita kena “manage” defisit ini daripada kita menyorok kita punya perbelanjaan mengurus dalam sistem ‘off-balance sheet’ ini,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Perlu reformasi sistem subsidi

    Dalam perkembangan berasingan, Johari menggesa subsidi lebih disasarkan, memetik contoh Arab Saudi yang kaya dengan minyak, yang mereformasi sistem subsidinya pada 2016 dengan mengurangkan subsidi menyeluruh yang hanya menguntungkan golongan kaya.

    Pembaharuan itu membantu menjimatkan wang untuk kerajaan Saudi, dan membenarkannya memberikan bantuan tunai terus kepada golongan miskin.

    “Petronas bayar kita dividen 50 bilion 2022, habis untuk bayar subsidi sahaja. Tidak dapat manfaat kepada negara untuk kita ‘”create” kita punya “reserve”,” katanya.

    Tahun lepas, kerajaan membelanjakan RM77.7 bilion untuk subsidi.

    Johari berkata antara 1974 dan 2022, Petronas menyumbang kira-kira RM1.3 trilion kepada tabung kerajaan, namun Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) pada masa ini hanya mempunyai RM16 bilion.

  • Belanjawan 2023: Kerajaan tak rasa denyut nadi rakyat

    Belanjawan 2023: Kerajaan tak rasa denyut nadi rakyat

    DATUK Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pentadbiran yang tidak merasa denyut nadi rakyat.

    Wan Saiful berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, yang antara lain membangkitkan tiadanya pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) memperjuangkan isu tersebut ekoran rayuan daripada pencarum serta maklum mereka berdisiplin dalam mengeluarkan simpanan mereka.

    “Malangnya, kerajaan campuran BN-PH ini terus bersemayam di tingkat kayangan. Ini adalah kerajaan yang terpisah daripada kesusahan hidup rakyat kerana duduknya terlalu tinggi di atas sana.

    “Mereka (kerajaan) tak rasa denyut nadi rakyat yang semakin hari semakin terhimpit. Bukan kerana mereka (rakyat) tiada wang tapi kerana wang yang mereka ada tersangkut dalam tabungan KWSP.

    “Pencarum KWSP ni bukan datang dari kelompok kayangan yang mampu hidup mewah walaupun tak ambil gaji bulanan…mereka datang dari kelompok yang sekian lama mencarum dan menabung untuk masa depan tapi malangnya kesusahan datang lebih awal dari tarikh persaraan,” katanya yang meminta supaya kebenaran untuk pengeluaran KWSP dipertimbangkan, lapor Malaysiakini.

    Sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2023, Anwar dalam perbahasannya di Parlimen berkata 71 peratus pencarum KWSP aktif yang berumur 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara di atas paras kemiskinan negara, susulan empat pengeluaran khas yang dibenarkan ketika penularan wabak Covid-19.

    Belanjawan kali ini juga tidak lagi membenarkan pengeluaran seumpama itu dibuat, sebaliknya kerajaan akan menyalurkan RM500 ke dalam akaun KWSP pencarum berusia antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai jumlah kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1.

    Isu pengeluaran KWSP juga dibangkitkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dalam perbahasannya hari ini.

    Dalam perbahasannya, Wan Saiful turut menyentuh pembentangan belanjawan oleh Anwar pada Jumaat lalu, yang menurutnya seakan menjurus kepada pertembungan kelas dalam masyarakat.

    “Nak sentuh sikit intonasi retorik yang digunakan YAB Tambun (Anwar)…beberapa kali dalam ucapannya, digunakan ayat-ayat yang menggambarkan seolah-olah YAB Tambun memulakan apa yang dipanggil class warfare, atau pertembungan kelas, dalam negara kita.

    “Ini adalah taktik populis yang berasal daripada pemikiran tokoh aliran kiri terutama Karl Marx dan Friedrich Engels. Saya mengesan bau-bau pemikiran aliran kiri tersebut dalam ucapan YAB Tambun,” katanya.

    Wan Saiful tidak memberikan sebarang contoh berhubung kenyataannya itu.

    Namun Anwar dalam ucapannya antara lain ada menyentuh keperluan untuk rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama berkenaan hasrat melaksanakan subsidi bersasar dan struktur percukaian yang dapat melindungi golongan kurang bernasib baik.