Category: Semasa

  • Polis mohon bantuan orang ramai kesan remaja hilang

    Polis mohon bantuan orang ramai kesan remaja hilang

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk membantu mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman College Height, Sikamat, Seremban sejak lima hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata Nur Dalila Amani Ahmad Syaiful, 17, kali terakhir dilihat di ruang tamu oleh bapanya yang mahu keluar bekerja kira-kira 2.45 petang, 24 Feb lepas.

    Beliau berkata bapa remaja itu menyedari kehilangan anak sulungnya hampir dua jam selepas itu dan cuba mencarinya di sekitar kawasan rumah namun gagal ditemukan.

    “Ini kali pertama Nur Dalila Amani keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga. Bapanya juga cuba mengesan remaja berkenaan melalui rakan sekolah namun gagal.

    “Bapanya menjelaskan tiada pertengkaran atau perselisihan faham antara mereka sebelum anaknya yang masih bersekolah itu menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nanda berkata Nur Dalila Amani memakai baju putih, berseluar panjang dengan beg silang coklat serta memiliki telefon bimbit, justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran. – BERNAMA

  • Angkara telur, Ka Siong terima surat saman pengimport

    Angkara telur, Ka Siong terima surat saman pengimport

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat minggu lalu.

    Ka Siong (BN-Ayer Hitam) membuat pendedahan itu semasa sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurutnya, peguam mewakili syarikat itu mendakwa beliau menyebabkan kerugian kepada klien mereka.

    “Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.

    “Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti… tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.

    “Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini. Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat kepada saya.

    “Ini floor (platform) saya. Saya pun tak sebut syarikat apa dan saya tak nak tahu (syarikat apa),” katanya, lapor Berita Harian.

    Minggu lalu, Ka Siong meraih perhatian apabila membawa tiga telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan ke Dewan Rakyat.

    Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

    Selain itu, Ka Siong juga mendakwa ketiga-tiga jenis telur itu berbeza dari saiz dan harga.

    Sementara itu, menerusi entri di Facebook, Ka Siong menyatakan beliau sudah menjawab saman yang diterimanya.

    Beliau turut memuatnaik surat saman daripada peguam syarikat pengimport dan surat jawapannya mengenai perkara itu.

  • “Kalau jatuh lagi bukan ‘tebuk atap’, tapi ‘atapnya bocor’,” kata Hadi

    “Kalau jatuh lagi bukan ‘tebuk atap’, tapi ‘atapnya bocor’,” kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan pemimpin kerajaan sedia ada agar tidak menyalahkan pembangkang sekirannya pentadbiran hari ini jatuh sekali lagi.

    Menurut Abdul Hadi (PN-Marang) pada persidangan Dewan Rakyat, jika kerajaan sedia ada runtuh sekali lagi pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengatakan ia ‘tebuk atap’ sebaliknya ia berlaku akibat ‘atap bocor.

    “Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti-parti kecil dan segala yang berpenyakit bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana yang disaksikan oleh rakyat.

    “Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan ‘tebuk atap’, tetapi ‘atapnya bocor’, ‘pintunya terbuka’ dan ‘dindingnya pecah’,”katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Susulan kejatuhan kerajaan PH pada 2020, penyokong dan pemimpin gabungan tersebut mengelarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih sebagai ‘kerajaan tebuk atap’.

    Selain itu, Abdul Hadi mendakwa, golongan muda memberikan sokongan kepada PN ketika PRU15 kerana pembohongan yang dibuat oleh PH dalam manifestonya sebelum ini.

    “Apabila pengundi muda dan luar bandar menunjukkan protes kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 kerana kesilapannya dan menolak PH kerana pembohongan janji dan manifestonya dan memberikan sokongan kepada PN.

    “Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui ‘tebuk atap’, tetapi ‘atapnya bocor’ dan ‘dinding kacanya’ yang berkecai,” katanya lagi.

    Abdul Hadi juga mendakwa PN yang mengambil alih kerajaan mampu membawa perubahan biarpun berdepan pandemik COVID-19.

  • RoS ada kuasa tangguh Pemilihan UMNO, kata Ismail Sabri

    RoS ada kuasa tangguh Pemilihan UMNO, kata Ismail Sabri

    JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sepatutnya menangguhkan proses pemilihan UMNO sehingga satu keputusan dicapai bagi permohonan usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) berkenaan pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana perkara ini akan menjadi konflik sekiranya RoS mendapati usul yang diluluskan dalam PAU 2022 itu bertentangan dengan perlembagaan parti.

    “Ini termasuk dua jawatan tertinggi parti itu yang perlu dipertandingkan dalam pemilihan parti,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

    “Kalau ini berlaku, ia sudah jadi akademik. Kalau ada yang sudah bertanding jawatan Naib Presiden sekarang ni mungkin nak bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden. Tapi dia dah hantar nama untuk Naib Presiden.

    “Jadi, kalau tiba-tiba RoS kata (buat keputusan) boleh bertanding, akan jadi konflik. Saya percaya RoS ada kuasa untuk menangguhkan pertandingan sehingga RoS membuat keputusan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Latihan Amal Bera Inter-Agensi dan Komuniti 2023 di Bera Waterfront, di Bera hari ini.

    Katanya, perkara itu juga menjadi antara sebab beliau tidak mempertahan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini.

    Jelasnya, perkara berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan parti.

    “Kalau saya bertanding jawatan Naib Presiden bermakna saya setuju dan mengiktiraf jawatan itu untuk tidak dipertandingkan.

    “Jadi, saya masih lagi konsisten dengan pendirian saya dan disebabkan itu saya tidak bertanding,” ulasnya lagi.

    Beliau turut menyangkal dakwaan dikatakan merajuk dan jauh hati dengan parti dan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Jelasnya, perbezaan pandangan dalam berpolitik tidak menjejaskan hubungan baik dengan Ahmad Zahid sejak sekian lama.

    “Bukan protes, bukan merajuk. Saya tak merajuk. Tapi saya kena konsisten dengan pendirian saya,” katanya, lapor Astro Awani.

    Pada 15 Februari lalu, Ahmad Zahid memberitahu bahawa peraturan mesyuarat dan Perlembagaan UMNO telah diikuti sepenuhnya dimana terdapat klausa 9.3 dan 9.4 dalam Perlembagaan UMNO yang telah dijelaskan kepada RoS.

    Menurutnya, Perhimpunan Agung UMNO merupakan badan tertinggi UMNO, maka keputusan untuk menambah usul yang telah dibentangkan itu telah diteliti oleh pihak RoS dan juga oleh kumpulan peguam parti selain Setiausaha Agung UMNO.

    Maka, Ahmad Zahid berkata, UMNO yakin RoS akan meluluskan usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu tahun ini.

  • Pengusaha kantin jumpa ‘cahaya di hujung terowong’ ketika PN: Radzi

    Pengusaha kantin jumpa ‘cahaya di hujung terowong’ ketika PN: Radzi

    USAHA dan ikhtiar berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membantu pengusaha kantin di seluruh negara ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) dihargai dalam satu pertemuan dengan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, semalam.

    Ahli Parlimen Putrajaya itu menceritakan lebih 50 pengusaha kantin seluruh negara, termasuk Perlis, Kedah dan Johor bertemu beliau untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada PN.

    Menurutnya kehadiran mereka mengingatkan kembali liku-liku perjalanan ketika beliau di KPM pada permulaan pandemik Covid-19 yang menyebabkan sekolah terpaksa ditutup, tetapi akhirnya berjaya ditangani hingga menemukan ‘cahaya di hujung terowong’.

    “Selesai sidang Parlimen tadi, bergegas balik ke Putrajaya bagi menyantuni dan menerima kunjungan lebih 50 orang pengusaha kantin dari pelbagai negeri . Ada yang datang dari Kedah, Perlis, malah ada juga dari Johor.

    “Niat mereka untuk menzahirkan rasa berterima kasih atas keprihatinan KPM melaksanakan pelbagai usaha membantu pengusaha kantin bertahan dan kembali pulih pasca pandemik Covid-19.

    “Bagi mereka, usaha dan ikhtiar berterusan KPM untuk membantu pengusaha-pengusaha kantin ini semasa pemerintahan Perikatan Nasional sesungguhnya satu inisiatif PN yang amat baik.

    “Saya amat tersentuh dengan penghargaan yang diberikan. Setiap pendekatan yang kami laksanakan, bukan populariti serta pujian yang diharapkan tetapi kami mahu pastikan ekosistem pendidikan termasuk pengusaha kantin dan pekerja turut terpelihara.

    “Kehadiran saudara-saudari pada hari ini, mengingatkan kembali liku-liku perjalanan ketika saya di KPM pada permulaan pandemik COVID-19. Tempoh yang paling sukar untuk semua orang. Namun kita telah berjaya menempuh saat genting itu. Akhirnya kita jumpa cahaya dihujung terowong,” katanya.

    Dr. Radzi berkata ketika berada di KPM sebelum ini, PN secara berterusan memperjuangkan nasib pengusaha kantin, termasuk berusaha memberi moratorium kepada pengusaha kantin di seluruh Malaysia.

    “Kami (PN) juga berjaya meningkatkan kadar harga Rancangan Makanan Tambahan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung manakala daripada RM3 kepada RM4 untuk Sabah dan Sarawak.

    “Saya dimaklumkan, kehadiran mereka pada hari ini di Putrajaya adalah untuk menghantar memorandum kepada KPM. Insya-Allah saya akan bangkitkan isu-isu yang saudara-saudari suarakan ini di Dewan Rakyat nanti,” katanya lapor Agendadaily.

  • Saifuddin diselar gelar pengundi PN ‘kurang pendidikan’

    Saifuddin diselar gelar pengundi PN ‘kurang pendidikan’

    GOLONGAN belia di kawasan Parlimen Bukit Gantang menyampaikan pesanan mereka kepada pemimpin PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dengan mengatakan beliau tidak layak menjadi menteri di Kementerian Dalam Negeri selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal berkata, pesanan itu dikirimkan oleh anak-anak muda di tempatnya supaya didedahkan ke persidangan Dewan Rakyat.

    “Yang Berhormat Senator menteri dalam negeri telah merendahkan-rendahkan tahap pendidikan dan tangga gaji mereka.

    “Mereka mengatakan agar disebut dalam Parlimen ini bahawa menteri juga tak layak jadi menteri,” katanya merujuk kepada ucapan Saifuddin yang melabelkan golongan muda menyokong PN tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap dalam kehidupan.

    Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu dipercayai membuat kenyataan tersebut ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani, pada 25 Februari lalu.

    Terdahulu, tular video pendek tersebut di media sosial.

    Rata-ratanya tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau yang disifatkan tidak adil dan terlalu menghina golongan muda.

    Saifuddin antara pemimpin PKR yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya.

    Beliau kalah di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU15 lalu, kemudiannya dilantik jawatan senator untuk menjawat menteri dalam negeri dalam kerajaan campuran PH-Barisan Nasional (BN).

  • Bot nelayan tempatan langgar syarat lesen ditahan

    Bot nelayan tempatan langgar syarat lesen ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan sekitar pukul 7.55 petang semalam selepas didapati menangkap ikan di luar zon dibenarkan.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan kelas B1 itu ditahan Maritim Malaysia ketika rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG sewaktu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

    Katanya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Kuala Kurau, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 6.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi iaitu kurang lapan batu nautika dari pantai mengikut syarat sah lesen.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru warga tempatan berumur di antara 38 hingga 63 tahun.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di Kawasan yang tidak dibenarkan mengikut syarat lesen iaitu kurang lapan batu nautika dari Pulau Kendi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru warga tempatan berumur di antara 38 hingga 63 tahun.

    Menurut Abd. Razak, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 200 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

    Jelasnya, sebarang aduan, salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

    “Penahanan kes berkenaan adalah sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia.

    “Bagi memahami lebih dekat tugas yang dilaksanakan oleh agensi ini, seluruh rakyat Malaysia dialu-alukan untuk menyaksikan Filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang yang masih ditayangkan di pawagam seluruh negara,” katanya.

  • SPRM reman 6 individu berkait kes rasuah pemilik bot

    SPRM reman 6 individu berkait kes rasuah pemilik bot

    SEORANG wanita menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman berkait siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sejak tujuh tahun lalu.

    Wanita itu merupakan antara enam individu termasuk empat penjawat awam yang direman lima hari bagi membantu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Perintah reman ke atas kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 36 hingga 56 tahun itu dikeluarkan Majistret Azlan Basri.

    Suspek yang terdiri daripada penguat kuasa agensi di laut itu dikatakan meminta rasuah supaya tiada tindakan undang-undang diambil ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Menurut sumber, seramai tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan semalam di sekitar Pulau Pinang antara pukul 9 pagi hingga 10 malam.

    Bagaimanapun, seorang suspek lelaki dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas kenyataannya direkodkan.

    Terdahulu, SPRM menahan 17 individu termasuk sembilan penjawat awam di Kedah dan Pulau Pinang kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

    Menerusi Op Tunda itu, seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Kuala Lumpur antara pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari semalam.

  • Terima hakikat kerusi menang PH kekal ditandingi PH – Mahfuz

    Terima hakikat kerusi menang PH kekal ditandingi PH – Mahfuz

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan parti-parti yang berada dalam kerajaan Perpaduan untuk menerima hakikat bahawa kerusi dimenangi mana-mana parti akan kekal ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Mahfuz berkata, kaedah pembahagian tersebut sudah biasa diamalkan dalam PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, namun situasinya mungkin berbeza apabila melibatkan Barisan Nasional (BN) yang kini sebahagian rakan kerjasama dalam kerajaan.

    “Asas pembahagian sudah ada iaitu semua pihak yang berada dalam kerajaan Perpaduan perlu menerima hakikat bahawa kerusi yang dimenangi mana-mana parti akan terus menjadi hak mereka untuk bertanding.

    “Kerusi dimenangi BN akan terus dipertahankan mereka, kemudian kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika bersama PH akan kekal milik PH seperti diumum Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mereka menang atas PH,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH menang 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah termasuk lima yang dimenangi Bersatu iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam, Jitra dan Anak Bukit.

    Bagaimanapun, Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah berkata, PH Kedah akan menunggu format pengagihan kerusi yang mungkin diputuskan pada pertemuan Sekretariat Kerajaan Perpaduan, 19 Mac ini sebelum meneruskan rundingan secara rasmi bersama BN di negeri itu.

    “Saya percaya bahawa akan ada penyelesaian pada 19 Mac nanti. Bagaimana format untuk kerusi itu, tetapi pendiriannya begitulah dan saya percaya mungkin akan ada sedikit kelonggaran,” katanya.

    Tambahnya, hanya beberapa perbincangan tidak rasmi diadakan bersama BN termasuk bertemu Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pimpinan lain bagi membincangkan perkara berkaitan PRN.

    “Kita nak tunggu pertemuan 19 Mac ini. Apakah bentuk format yang akan digariskan oleh sekretariat di peringkat nasional untuk menentukan bagaimana pengagihan kerusi yang akan dibuat.

    “Jadi (keputusannya nanti) kita akan laksanakan di peringkat negeri supaya proses pengagihan itu boleh dibuat seperti mana sekretariat tentukan di peringkat nasional,” tegasnya.

    Dalam perkembangan lain, Mahfuz menganggap pemilihan UMNO kelak akan memantapkan jentera pilihan raya bersama antara PH dan BN untuk berdepan PRN kerana ahli-ahli UMNO sendiri sudah pasti mahu memastikan kerajaan Perpaduan terus mantap.

    “UMNO-BN kini sebahagian daripada kerajaan Perpaduan yang mesti diperkukuhkan, saya tak nampak ia akan memberi kesan yang negatif tetapi sebaliknya kesan yang lebih positif untuk pilihan raya khususnya di negeri ini,” katanya.

    Sementara itu, Mahfuz menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meletak jawatan susulan kenyataan yang didakwanya mempersenda agama Islam apabila mengaitkan perbuatan melontar jamrah ketika ibadah haji dengan pilihan rakyat pada PRN akan datang.

    Beliau sehubungan itu meminta pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara terutama di Kedah mengambil tindakan segera terhadap kenyataan berbentuk ‘takrifi’ selain’ fatwa-fatwa politik’ yang didakwanya sebagai sesat kerana memberi gambaran tidak baik kepada agama Islam, selain mencemarkan Institusi Diraja sebagai ketua agama Islam.

    “Saya minta pihak berkuasa agama harus bertegas dalam soal fatwa yang sangat tidak wajar ini, khususnya fatwa Menteri Besar yang kata orang BN yang pergi ke Mekah melontar syaitan tetapi (apabila) balik berkawan dengan syaitan. Ini amat biadab,” katanya.

    Minggu lalu, menerusi satu video yang tular di aplikasi media sosial, Muhammad Sanusi menyatakan pengundi BN yang menunaikan haji pulang ke tanah air bagi mengundi kumpulan yang didakwanya sebagai ‘syaitan’ di dalam PRN akan datang.

  • Ajaran sesat: bekas penyarah asaskan ‘Asmaul Husna’ didakwa

    Ajaran sesat: bekas penyarah asaskan ‘Asmaul Husna’ didakwa

    BEKAS pensyarah yang merupakan pengasas ajaran ‘Asmaul Husna’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini atas pertuduhan menyebarkan ajaran salah kepada masyarakat Islam di kediamannya di Kuala Pilah.

    Tertuduh Wan Maseri Wan Mohd, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ruzita Ramli selepas kertas pertuduhan dibacakan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam dengan menyatakan antara lainnya bahawa dirinya merupakan ‘Jurutaip Allah’ dan roh manusia adalah daripada ‘Zat Allah’ dan segala tindakannya adalah berdasarkan arahan terus dari Allah.

    Kesalahan itu dilakukan pada 27 Februari 2023, pukul 9.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Nuri Balai Panjang, Johol, Kuala Pilah.

    Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya.

    Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dari kalangan penjawat awam.

    “Kes ini telah diketahui secara umum dan meluas bahawa fahaman ajaran ini telah tersebar melalui media sosial dan pengakuan taubat secara rasmi telah dibuat tertuduh melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM),” katanya, lapor Sinar Harian.

    Wan Maseri yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM4,000.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin merupakan penjawat awam dan 4 April depan jam 9 pagi tarikh perbicaraan.

    Sebelum ini media melaporkan wanita terbabit bersama 17 pengikutnya ditahan di kediamannya di Johol, Kuala Pilah pada Isnin ketika sedang menyampaikan ‘kuliah’.

    Kesemua yang ditahan merupakan wanita berusia antara 20 tahun hingga 60 tahun yang kebanyakannya merupakan suri rumah dan tinggal di luar Negeri Sembilan.