Category: Semasa

  • Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    SEBANYAK 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Segamat dan Kulai terkandas akibat banjir serta tidak dapat menduduki peperiksaan itu hari ini.

    Menurut Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh menerusi kenyataan, kesemua pelajar yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.

    “Seramai 89 calon SPM di Segamat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Labis Segamat.

    “Di Kulai pula membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik manakala sebelah petang SRT (Sains Rumah Tangga),” katanya hari ini lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Norliza berkata, terdapat calon SPM di beberapa buah pusat peperiksaan di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat dan terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain.

    “Seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi menumpang di pusat peperiksaan yang lain melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar,” katanya.

    Beliau menambah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini.

  • Pesara maut dirempuh pemandu mabuk kerana tegur buat bising

    Pesara maut dirempuh pemandu mabuk kerana tegur buat bising

    SEORANG pesara berusia 57 tahun maut akibat dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk selepas menegur suspek agar tidak membuat bising, dalam kejadian di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, di Melaka, awal pagi kelmarin.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.04 petang semalam selepas bertarung nyawa kira-kira 11 jam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, akibat pendarahan dalaman kepala, selain kecederaan pada badan dan kaki.

    Menurut anak mangsa, sebelum kejadian iaitu kira-kira 12 tengah malam, dua lelaki minum arak dalam sebuah kereta di parkir belakang sebuah restoran di Plaza Pandan Malim.

    “Kira-kira pukul 2.40 pagi saya dan ayah terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi muzik membingitkan dari arah kawasan parkir itu.

    “Ayah kemudian pergi menegur mereka dengan baik sebelum kedua-dua lelaki itu beredar meninggalkan kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor Berita Harian.

    Anak mangsa mendakwa, kira-kira 10 minit kemudian, kedua-dua lelaki terbabit datang semula dengan menaiki kereta sama sambil memasang muzik yang lebih kuat sebelum beredar meninggalkan kawasan itu.

    “Baru saja hendak baring, mereka sekali lagi datang membuat bising beberapa minit selepas itu membuatkan saya dan ayah keluar untuk meminta kedua-dua lelaki itu beredar.

    “Namun, secara tiba-tiba kereta itu cuba merempuh saya, tapi mujur saya sempat mengelak dan berlari ke belakang sebuah restoran 24 jam di bangunan plaza berkenaan.

    “Saya kemudian lihat kereta itu berpusing dan menuju ke arah bapa yang tidak sempat mengelak dan hanya mampu berpaut di atas bonet hadapan dan terseret sejauh kira-kira 20 meter ke arah belakang kedai,” katanya.

    Menurutnya, dia menjerit meminta tolong dan berkejar ke arah ayahnya yang terjatuh dan berlumuran darah di belakang kepala, dipercayai akibat terhantuk pada tebing batu longkang sebelum kedua-dua lelaki itu terus memecut kenderaan dan meninggalkan lokasi.

    Katanya, berikutan awal pagi, tiada jiran menyedari kejadian dan dalam keadaan panik itu dia segera menghubungi ambulans yang membawa ayahnya ke Hospital Melaka.

    Jenazah arwah yang juga bapa kepada tujuh anak akan disembahyangkan di Masjid Kampung Padang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi berkata, hasil siasatan, pihaknya memberkas lelaki berusia 28 tahun yang direman tujuh hari mulai semalam dan masih mengesan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kes ini

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • PN mampu sapu semua kerusi DUN Kelantan – Pemimpin Bersatu

    PN mampu sapu semua kerusi DUN Kelantan – Pemimpin Bersatu

    BERSATU Kelantan meletakkan keyakinan bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menawan semua 45 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Pengerusinya Datuk Kamaruddin Md Nor berkata sasaran itu tidak mustahil boleh dicapai berdasarkan momentum sokongan pengundi terhadap PN pada PRU15 lalu.

    “Gelombang sokongan rakyat terhadap PN sudah dibuktikan pada PRU15 khususnya di Kelantan apabila kita berjaya menang di kesemua 14 kerusi parlimen.

    “Jadi bagi PRN kita dengan menjadilan PRU lepas sebagai penanda aras, tidak mustahil kita boleh saou bersih kesemua kerusi DUN dalam PRN nanti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan PN Kelantan dan sasaran parti itu menjelang PRN yang dijangka berlangsung antara Jun dan Julai nanti.

    Kelantan ditadbir Pas sejak tahun 1990 sekali gus dikenali sebagai kubu kuat pembangkang ketika era pemerintahan BN di peringkat pusat.

    Pada PRU14 lalu Pas menang di 37 kerusi DUN berbanding lapan dimenangi UMNO.

    Sementara itu Kamaruddin berkata, dengan prestasi semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan BN pihaknya yakin sokongan terhadap PN akan berterusan.

    “Rakyat sudah semakin sedar dengan prestasi buruk kerajaan persekutuan yang ada sekarang, jadi tidak mustahil kita akan ulangi kejayaan seperti mana PRU lalu pada PRN nanti.

    “Tetapi sudah tentu kita perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar sekali lagi,” katanya.

    Ditanya mengenai agihan kerusi antara parti dalam PN katanya, perkara itu masih dalam proses dan diharap akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    “Agihan kerusi belum selesai sepenuhnya, kita harap ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat supaya gerak kerja dan persediaan berdepan PRN dapat dibuat lebih awal,” jelasnya.

  • Dakwaan ahli Pas jadi pekerja, TikTok nafi dipengaruhi politik

    Dakwaan ahli Pas jadi pekerja, TikTok nafi dipengaruhi politik

    SUSULAN dakwaan wujudnya pengaruh politik dalam TikTok ekoran seorang ahli politik menjadi pekerjanya, TikTok Malaysia memberi jaminan platform itu mempunyai mekanisme untuk menghalang aktiviti sedemikian.

    Lapor Malaysiakini, kenyataan itu susulan seorang pengguna akaun TikTok mendakwa ketua penerangan di satu bahagian Pas Selangor bekerja di ByteDance iaitu syarikat pemilik TikTok, malah pernah menjadi sebahagian dalam pasukan kawalan kandungannya.

    Individu itu mempersoalkan jika ia menjadi sebab berlakunya kemerosotan jumlah penonton melibatkan sebahagian pengguna TikTok yang memuat naik kandungan politik.

    Dia turut mendakwa TikTok memiliki kawalan manual untuk menentukan video mana yang akan tular, selain algoritma automatik yang menentukan kandungan yang akan dipaparkan di laman “For You” pengguna.

    Setakat ini, video berkenaan dakwaan itu telah meraih 177 tanda suka dan dikongsi 80 pengguna sejak semalam.

    Video itu turut dikongsikan di platform lain termasuk Twitter, di mana ia telah ditonton sebanyak 76,600 kali.

    Dalam kenyataan semalam, ketua dasar awam TikTok Malaysia Hafizin Tajudin menafikan dakwaan tersebut.

    Merujuk pemimpin Pas itu sebagai “bekas pekerja”, Hafizin berkata moderator kandungan tiada sebarang akses terhadap alat promosi kandungan.

    “Kita ada sistem jaminan mutu yang kukuh bagi memastikan pandangan politik dan peribadi kakitangan kami tidak mempengaruhi etika dan mutu kerja mereka, termasuk ketika mengendalikan kawalan kandungan.

    “Keputusan berhubung kawalan kandungan TikTok berdasarkan set garis panduan komuniti yang digariskan dengan jelas dan ada lapisan semak dan imbang, termasuk jaminan mutu dan penyemak fakta pihak ketiga, untuk menjaga keselamatan dan menjamin kesaksamaan,” katanya lagi.

    Hafizin berkata, TikTok mengendalikan semua kandungan, termasuk berkenaan politik, secara neutral dan berdasarkan garis panduannya, menerusi kombinasi dasar, teknologi dan pengawalan.

    Kandungan yang didapati melanggar garis panduan sama ada dipadam atau tidak dipaparkan di laman “For You”, menjadikan pengguna lain sukar menemuinya.

    Pada masa sama dia mengakui TikTok ada mempromosikan sebahagian kecil kandungan bagi mempelbagaikan pengalaman penggunanya dan memperkenalkan selebriti dan pencipta kandungan yang sedang meningkat naik kepada pengguna.

    Namun dia menegaskan ia tidak membenarkan kempen politik di platform tersebut. Dasar itu diperkukuh dengan perubahan dasar berkaitan akaun kerajaan, ahli politik dan parti politik pada September tahun lalu.

    Sejak PRU lalu, TikTok menjadi media sosial yang paling diperhatikan kerajaan. Ramai pemerhati berpandangan kejayaan PN dalam PRU15 adalah kerana kempen di TikTok yang berjaya meraih sokongan golongan muda.

    Sebaik selepas keputusan PRU diumumkan, kandungan yang membayangkan pengulangan rusuhan kaum 13 Mei 1969 disebarkan di platform itu, dengan sebahagiannya dibayar.

    TikTok kemudian berkata kandungan tersebut pada mulanya terlepas daripada pemeriksaan kawalan automatik namun kemudiannya dipadam selepas pemeriksaan manual dibuat.

  • Bot Jabatan Perikanan Johor, empat kru dilapor hilang

    Bot Jabatan Perikanan Johor, empat kru dilapor hilang

    SEBUAH bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru dipercayai hilang, dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, di Johor Bahru, dari Pengerang, Kota Tinggi, petang semalam. 

    Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.51 malam tadi. 

    Beliau berkata bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang, pada hari yang sama. 

    “Susulan itu, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggerakkan bot PENGAWAL 46 dan bot KILAT 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang terlibat pada 8 malam tadi. 

    “Pasukan Polis Marin turut menggerakkan tiga aset dengan lokasi pencarian tertumpu sekitar perairan Tuas dan Tanjung Piai berikutan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir bot itu dikesan di perairan Tuas sekitar 3 petang, semalam, ” katanya menerusi, kenyataan hari ini. 

    Nurul Hizam berkata pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya turut berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia, sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan mengenai bot tersebut, di perairan negara jiran. 

    Beliau berkata operasi berkenaan turut dibantu kapal KM RAMUNIA milik Maritim dan bot PL39 milik Jabatan Perikanan Johor. – BERNAMA 

  • Kereta bawa 5kg ketum musnah terbakar, pemandu hilangkan diri

    Kereta bawa 5kg ketum musnah terbakar, pemandu hilangkan diri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH kereta ditemukan terbakar dalam keadaan mencurigakan apabila pemandunya menghilangkan diri dan meninggalkan kenderaan itu di Jalan Kampung Tala, Sik Kedah, pagi ini.

    Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari orang awam kira-kira pukul 6 pagi.

    “Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Proton Saga itu terbabas sendiri di selekoh.

    “Pemeriksaan dijalankan terhadap kereta itu menemukan satu beg plastik terbakar yang disyaki berisi daun ketum seberat kira-kira lima kilogram,” katanya.

    Tambahnya, pemandu kenderaan itu tidak berada di lokasi kejadian.

    “Setakat ini kami masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu jurucakap bomba memaklumkan, kemusnahan kereta itu akibat kebakaran dianggarkan kira-kira 90 peratus.

    “Kereta itu dipercayai terbabas lalu melanggar penghadang jalan dan terbakar. Pemandu tiada di lokasi dan nombor pendaftaran kereta tidak diperolehi.

    “Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air tangki jentera. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.22 pagi,” katanya.

  • Lagi penjawat awam ditahan kes rasuah tengah laut

    Lagi penjawat awam ditahan kes rasuah tengah laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 34 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ di laut.

    Sumber memaklumkan, tindakan meminta dan menerima rasuah itu dipercayai sebagai balasan untuk pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Difahamkan kegiatan rasuah itu berlaku antara 2015 hingga 2022.

    “Suspek yang ditahan merupakan pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Langkawi.

    “Dia ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, Alor Setar kira-kira pukul 9.30 pagi semalam,” katanya.

    Sumber memaklumkan, penahanan suspek dibuat susulan satu operasi khas dikenali sebagai Op Tunda di Kedah.

    Semalam seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia 26 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan.

    Sumber itu menambah, suspek terbaharu yang ditahan dibenarkan direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Alor Setar bermula hari ini.

    “Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret, Nurshahida Abd. Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar,” katanya.

    Dalam pada itu Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    “Kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

  • “Insya-Allah kerajaan Anwar akan tumbang,” dakwa Hadi

    “Insya-Allah kerajaan Anwar akan tumbang,” dakwa Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.

    Beliau bagaimanapun tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat.

    “Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.

    “Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur semalam.

    Ahli Parlimen Marang itu juga tidak menyebut jika Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai partinya bersama sekutu utamanya, Bersatu sedang mengaturkan sesuatu.

    Semalam, Hadi ketika berucap di Dewan Rakyat berkata bahawa pembangkang tidak boleh dipersalahkan sekiranya pentadbiran PH runtuh sekali lagi.

    “Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya merujuk pentadbiran PH yang ditumbangkan melalui Langkah Sheraton pada 2020.

    Untuk rekod, Hadi sebelum ini pernah berkata dirinya adalah individu yang memulakan langkah untuk menumbangkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohammad ketika itu selepas 22 bulan memerintah negara.

    Jelasnya, ini sebagai tindak balas terhadap usaha pentadbiran PH mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan memeterai Statut Rom dan cubaan menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai anti penindasan kaum (Icerd).

    Mengulas lanjut, Hadi berkata bahawa Pas adalah kumpulan Islam yang terbuka dan sentiasa memperjuangkan penyatuan ummah.

    “Kita pernah ajak ulama-ulama UMNO bermuzakarah buka al-Quran dan hadis. Tapi, dulu kita ajak muzakarah mereka tidak mahu.

    “Yang sekarang ini tidak tahu kalau mereka nak datang muzakarah.

    “Kita bersedia, buka al-Quran, pada yang asal kita ini untuk menyatukan ummah. Ini sangat penting,” katanya.

  • Simpanan KWSP pencarum Melayu rendah, kerajaan diminta cari penyelesaian

    Simpanan KWSP pencarum Melayu rendah, kerajaan diminta cari penyelesaian

    AHLI ekonomi mahu kerajaan mencari jalan meningkatkan simpanan persaraan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), terutama ketika situasi dalam kalangan pencarum Melayu membimbangkan.

    Pensyarah dari Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai berkata, simpanan median RM5,000 pencarum Melayu bermakna tujuh juta ahli KWSP daripada kalangan kumpulan itu tidak akan mempunyai wang mencukupi menjelang persaraan.

    Menurutnya, sasaran simpanan asas minimum KWSP adalah RM240,000 yang sepatutnya menjana pulangan 6% setahun. Ini bermakna, pesara boleh mendapat RM1,000 sebulan.

    “Jika seseorang bersara dengan simpanan RM50,000 dalam KWSP, ini bermakna mereka hanya mendapat pulangan tahunan RM250 sebulan. Itu tak cukup.

    “Bayangkan situasi mereka bersara kurang daripada RM50,000. Ini menggusarkan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, simpanan median KWSP dalam kalangan Melayu menurun daripada RM16,900 kepada RM5,500 susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.

    Ahmad berkata, ia menjadi penyebab utama kerajaan tidak membenarkan pengeluaran sekali lagi.

    Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, sekiranya masalah simpanan rendah tidak diselesaikan, ramai orang Melayu berusia terpaksa berterusan bekerja selepas bersara. Katanya, pasaran kerja akan penuh dengan orang berusia.

    “Apa akan jadi mereka yang tidak mampu lagi bekerja? Mereka akan menjadi beban kepada kerajaan kerana mereka perlu dibela.”

    Mengulas pemberian ‘one-off’ RM500 kepada ahli KWSP berumur 40 hingga 54 yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam Akaun 1, Barjoyai berkata, ia tidak banyak membantu memandangkan jumlah itu sedikit.

    Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan pemberian ‘one-off’ tersebut dalam pembentangan Belanjawan 2023, sambil menambah inisiatif itu memanfaatkan dua juta ahli KWSP melibatkan kos RM1 bilion.

    Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula mencadangkan dasar perlindungan sosial baharu dilaksana demi memastikan simpanan mencukupi apabila tiba persaraan.

    “Masalah utama dalam KWSP adalah orang ramai tidak mempunyai simpanan cukup, jadi anda tidak menyimpan secukupnya untuk berdepan kos sara hidup.”

    Beliau mencadangkan penubuhan dana bagi mereka yang bersara, namun tidak mempunyai simpanan mencukupi.

    “Kita boleh mencari jalan bagi meningkatkan dana, seperti bon atau sumbangan. Dana itu sendiri mesti diuruskan KWSP atau Perkeso.

    “Tetapi, ideanya adalah membantu agihan dana kepada yang memerlukan. Dalam pada itu, kerajaan perlu memacu usaha menambah kemahiran demi membantu pekerja mendapat lebihan wang, jadi mereka mampu menyimpan untuk persaraan.”

  • Agih peruntukan sama rata jika kerajaan mahu berlaku adil, kata Hadi

    Agih peruntukan sama rata jika kerajaan mahu berlaku adil, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan peruntukan di kawasan dan kerajaan negeri dikuasai pembangkang perlu diagihkan secara sama rata jika kerajaan mahu berlaku adil.

    Menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, kerajaan pusat harus menghormati hak kerajaan negeri termasuk daripada pihak pembangkang, selari dengan prinsip Islam dan demokrasi.

    “Mengikut konsep demokrasi, selepas pilihan raya mesti berlaku adil, ini demokrasi yang diamalkan di Barat, apa lagi Islam. Terhadap musuh pun mesti adil, apa lagi terhadap kita sama-sama dalam negara ini, kita cuma berbeza pendapat.

    “Sebab itu kita kena sedar, kalau kerajaan ambil cukai, diambil semua termasuk daripada pembangkang, (jadi) ia perlu diagih sama rata,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Dialog Ulama Negarawan sempena pelancaran buku Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan, mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974, kerajaan pusat tidak sepatutnya menafikan hak Kelantan dan Terengganu bagi hasil petroleum seperti yang telah dimeterai pimpinan terdahulu.

    “Pada asalnya, hasil mana-mana negeri milik kerajaan negeri. Apabila Sabah dan Sarawak tidak mahu hasil petrol mereka di darat diberi kepada kerajaan pusat, timbul ketegangan, tetapi akhirnya persetujuan dicapai, hasil sama ada di darat atau laut diserah kepada satu syarikat Petronas.

    “Royalti kemudian dibahagi, 10% buat kerajaan, iaitu 5% untuk kerajaan negeri dan 5% lagi kerajaan pusat, bakinya Petronas pegang.

    “(Royalti) diberi kepada semua negeri yang ada hasil petroleum. Terengganu antara yang awal ada petroleum selepas Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5%.

    Katanya, ini kerana medan pengeluaran petroleum terletak di luar 3 batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-dua negeri Pantai Timur itu.

    Sementara itu, berkenaan Majlis Ulama UMNO, Abdul Hadi berkata, masih terlalu awal untuk beliau mengulas mengenainya kerana ia baru sahaja ditubuhkan, dengan hanya mempunyai rangka asas setakat ini.

    “Kita tunggu dan lihat, tak boleh komen sekarang, (mereka) belum buat apa-apa lagi,” katanya.