Category: Semasa

  • PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

    Gesaan itu dibuat selepas tular di media sosial semalam mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Menurut Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, pihaknya tampil membuat satu laporan polis berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan pihak PDRM memulakan siasatan terhadap Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang didakwa mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan.

    Katanya, laporan polis dibuat berdasarkan laporan berita disiarkan sebuah portal berita semalam berkaitan Amirudin dan EXCO Selangor, Izham Hashim yang didakwa mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dianugerahkan projek mega itu iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).

    “Syarikat itu dianugerahkan satu projek untuk mendalamkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer berjumlah RM700 juta secara rundingan terus.

    “Tujuan saya membuat laporan supaya pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan salah guna kuasa yang serius,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, di Serdang, hari ini.

    Katanya, laporan berita diterbitkan portal berita itu adalah berdasarkan pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Abdul Razak mendakwa Amirudin dan Izham yang juga EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor disenaraikan sebagai pengarah syarikat terbabit bersama empat lagi individu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    Semalam, Abdul Razak menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat LLB dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

    Dalam perkembangan sama, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis memaklumkan projek itu bukan dianugerahkan oleh kerajaan negeri secara terus kepada LLB.

    “LLB sedang mengumpul dana melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI). Syarikat ini adalah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

    “Beliau (Amirudin) adalah pengarah syarikat itu memandangkan projek itu berada di bawah MBI,” katanya ketika dihubungi.

    Tambahnya, Amirudin ada dalam syarikat itu sebagai Menteri Besar Selangor bagi memastikan usaha kerajaan negeri memulihkan kualiti air dan pemulihan Sungai Klang tercapai, selaras dengan keputusan mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

  • Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

    Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

    EMPAT kakitangan Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan, semalam ditemui selamat oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di perairan negara itu tengah hari tadi.

    Mereka yang menaiki bot PL87 itu ditemui pada jarak kira-kira 13 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dikesan atau satu batu nautika dari Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia, pada pukul 1.45 tengah hari.

    Bot PL87 diketuai Fatimah Razak, 36; bersama tiga kru lain, Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata hasil maklumat awal diperolehi, bateri bot berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan.

    “Bot kemudian tidak dapat berfungsi dengan baik sebelum dihanyutkan.

    “Ketika ditemui, semua kru dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai di Iskandar Puteri, hari ini lapor, Berita Harian.

    Nurul Hizam dalam pada itu mengesahkan ketika ini, bot berkenaan masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang menjalankan urusan membawa pulang semua mangsa dengan kerjasama TNI.

    “Bot PL87 kini dalam proses pembaikan oleh TNI, jika ia boleh dibaiki, bot akan bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita.

    “Kita berharap semua urusan membawa pulang bot PL87 dan mangsa dapat diselesaikan hari ini dan proses serahan dijangka dibuat di perairan Johor Barat,” jelasnya.

    Semalam, bot yang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi ke Pengkalan Jabatan Perikanan di Tampoi, Johor Bahru, sejak j 12.45 tengah hari semalam, gagal dikesan dan dihubungi kira-kira 3 petang.

    Bot berkenaan dijadualkan tiba di Tampoi pada 6.30 petang.

    Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan bermula malam tadi membabitkan keluasan carian sehingga 47 batu nautika.

    Lapan aset digerakkan termasuk helikopter APMM, bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor.

    “Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi SAR ini,” katanya yang menamatkan SAR kes berkenaan 2 petang tadi.

  • ‘Alangkah baik jika Top Glove kongsi keuntungan dengan penoreh’ – Tuan Ibrahim

    ‘Alangkah baik jika Top Glove kongsi keuntungan dengan penoreh’ – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN – Kubang Kerian) menggesa pengeluar sarung tangan, Top Glove berkongsi keuntungan dengan penoreh getah bagi membantu meringankan beban mereka.

    Kata Timbalan Presiden Pas itu, Top Glove mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit ketika gelombang Covid-19 dengan membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia.

    Justeru katanya, Top Glove sewajarnya mencontohi Padibernas Nasional Berhad (Bernas) yang berkongsi keuntungan dengan pesawah.

    “Alangkah baik jika syarikat lain seperti Top Glove, yang mengaut untung jutaan ringgit membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia semasa Covid turut menyumbang kepada penoreh getah yang berdepan masalah kos dan harga getah tak stabil dan tidak mampan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian semasa berucap membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, walaupun kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sen sekilogram, namun langkah itu tidak memadai dalam membantu penoreh getah yang berdepan kesulitan.

    “Hari ini penoreh getah berdepan dengan masalah penyakit (pokok getah) yang melanda seluruh negara, sebelum ini dengan (tanaman) pisang. Sampai sekarang kerajaan tak ada penyelesaian kepada penyakit yang melanda penanam pisang.

    “Getah meluruh tiga kali setahun, menyebabkan susu tak keluar hasil dan penoreh getah berdepan dengan masalah serius,” katanya.

    Tuan Ibrahim sementara itu meminta kerajaan mengenal pasti keluasan tanaman getah yang dijangkiti penyakit dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi perkara itu.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 baru-baru ini mengumumkan Bernas bersetuju berkongsi keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus daripada keuntungan bersihnya kepada pesawah.

    Anwar,yang juga menteri kewangan, berkata ia adalah tambahan kepada sumbangan RM60 juta yang akan terus disalurkan Bernas.

  • Pekerja kilang sawit korban pertama banjir di Johor

    Pekerja kilang sawit korban pertama banjir di Johor

    SEORANG lelaki warga tempatan menjadi korban pertama banjir di negeri ini setelah ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta, di Jalan GSA Chamek, Paloh, dekat Kluang, tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa yang berusia 20an itu, dipercayai dibawa arus banjir ketika sedang memandu keretanya di lokasi kejadian, kira-kira 7.20 pagi tadi.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

    “Usaha mengesan mangsa terus dilakukan dan pada pukul 12.20 tengah hari, sebuah kereta jenis Toyota Avanza telah ditemui dengan keadaan ditenggelami banjir.

    “Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai seorang lelaki dan didapati telah meninggal dunia. Mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat menafikan terdapat kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus seperti yang didakwa dalam satu video tular di aplikasi TikTok.

    ”Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian tidak berlaku di negeri Johor dan dipercayai telah berlaku di luar negara.

    “Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat. Mana-mana pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. 

    Video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus itu dipercayai bertarikh 12 Dis tahun lepas, tular di media sosial sejak semalam. – BERNAMA

  • Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

    Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

    USAHA menyelamatkan mangsa banjir di sekitar Chaah oleh Balai Bomba Penyelamat (BBP) Labis terjejas apabila Jalan Labis-Chaah, dekat Segamat, terputus hubungan akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

    Bagaimanapun, Ketua BBP Labis Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata operasi menyelamat mangsa di kawasan itu diambil alih oleh pasukan BBP Yong Peng dan pasukan Bomba Sukarela Chaah.

    “Misi menyelamat di sekitar Chaah dilapor berjalan lancar dengan sokongan dari BBP Yong Peng dan pasukan sukarela Chaah.

    “Hujan lebat telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dan jumlah mangsa yang terperangkap akibat banjir dijangka terus meningkat. Kerja-kerja memindahkan mangsa banjir masih berjalan dan beberapa kawasan terputus hubungan seperti di Kampung Tenang, Pekan Air Panas dan Kampung Juaseh,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

    Beliau berkata BBP Labis kemudiannya menumpukan perhatian pada misi menyelamat di sekitar Labis yang dijalankan oleh dua pasukan. 

    Muhammad Hafifi berkata situasi banjir di pekan Labis dan sekitarnya serta beberapa perumahan, dinaiki air sedalam satu meter dengan paras air paling dalam dikenal pasti di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, dekat sini.

    “Antara aset yang digunakan adalah Jentera Scania J1-30, Ambulans J2-18, lori 3 tan, hilux, kembara, bot getah dan bot fiber.

    “Hujan lebat masih berterusan dan dijangka berlarutan sehingga esok. Seawal 4 pagi tadi, kami dah pindahkan 209 keluarga melibatkan 746 mangsa ke enam PPS di sekitar Labis,” kata beliau.

    Sementara itu, seramai 6,694 mangsa banjir dipindahkan ke 63 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah terjejas banjir setakat 2 petang ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. – BERNAMA

  • MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap bahaya di 4 negeri

    MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap bahaya di 4 negeri

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di empat negeri sehingga esok.

    MetMalaysia dalam kenyataan yang dikemas kini pada 1.05 tengah hari tadi memaklumkan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan daerah Jerantut, Maran dan Kuantan di Pahang.

    Hujan lebat berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh di Pahang sehingga esok.

    Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) sehingga hari ini.

    Situasi sama juga diramal berlaku di Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron), Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah) sehingga esok. – BERNAMA

  • Terperangkap atas bumbung rumah, mangsa banjir rayu diselamatkan

    Terperangkap atas bumbung rumah, mangsa banjir rayu diselamatkan

    SEPASANG suami isteri bersama tiga anak dan seorang lagi ahli keluarga terperangkap di atas bumbung rumah mereka di Kampung Jawa, Chaah, dekat Segamat sejak pagi tadi merayu pasukan keselamatan menyelamatkan mereka.

    Ini setelah petempatan itu dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Azizah Bani, 53, berkata, dia terpaksa memecahkan bumbung rumah mereka di Jalan Sidek, berhampiran Masjid Chaah itu sebelum bersama abangnya, suami dan tiga anak memanjat keluar untuk menyelamatkan diri setelah rumahnya mula ditenggelami air, kira-kira 8 pagi tadi.

    Dia turut menggunakan laman Facebook melalui tayangan video secara terus, meminta diselamatkan dengan segera.

    “Saya mohon bantuan segera untuk selamatkan saya sekeluarga atas bumbung ini. Tolong hantar bantuan helikopter dengan kadar segera.

    “Kami sehelai sepinggang, tiada makanan minuman dan basah akibat hujan lebat.

    “Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • Batal 6 projek tebatan banjir, Tuan Ibrahim pelik PM umum jimat RM2b

    Batal 6 projek tebatan banjir, Tuan Ibrahim pelik PM umum jimat RM2b

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) hairan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penjimatan kira-kira RM2 bilion selepas enam projek tebatan banjir ditamatkan.

    Memetik laporan Astro AWANI, Timbalan Presiden Pas itu bertanya bagaimana boleh adanya penjimatan sedangkan projek tersebut belum lagi bermula?

    “Saya rasa pelik sebab projek yang nak ditamatkan ini belum mula, belum laksana, belum ada Surat Setuju Terima, belum lantik kontraktor.

    “Bagaimana kerajaan tiba-tiba nak umum tamat perkara yang belum mula…yang peliknya umum penjimatan.

    “Saya fikir kalau kita tunda projek tersebut, bukan penjimatan (dapat dicapai) tapi kerajaan berdepan kerugian pula,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar kata beliau perlu menjelaskan isu penamatan kontrak itu kepada Dewan Rakyat.

    Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) kemudian mencelah, menyatakan Perdana Menteri mungkin tidak faham apa yang dikatakan beliau berhubung isu tersebut.

    “Projek tebatan banjir, setuju atau tidak apa yang dicakapkan PM mungkin tak faham apa yang diperkatakan atau tidak faham macam ‘burung tiung’ bercakap?” soal Rosol.

    “Burung tiung itu saya setuju, sebab dia pun tak faham apa yang dia cakap.

    “Dewan kena dapatkan penjelasan yang jelas tentang isu ini,” balas Tuan Ibrahim.

    Anwar pada 6 Disember 2022 mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta kerana tidak mematuhi peraturan serta diluluskan secara rundingan terus.

    Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan pegawai Kementerian Kewangan untuk meneliti semula kelulusan itu bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

    Begitupun, pada 24 Februari lepas, Astro AWANI melaporkan kerajaan akan menilai semula tender kerajaan membabitkan projek-projek tebatan banjir bagi memastikan proses yang berjalan akan dilaksanakan secara telus.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengeluarkan semula tender bagi enam projek tebatan banjir selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

  • Pereka hiasan dalaman didakwa buat hantaran jelik hina Agong

    Pereka hiasan dalaman didakwa buat hantaran jelik hina Agong

    SEORANG pereka hiasan dalaman didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman media sosial Instagram miliknya, tahun lepas.

    William Khor Wai Loon, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

    Lelaki itu didakwa telah mengeluarkan kenyataan kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

    Khor didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Teratai, Ampang di sini pada 3.31 pagi, 20 Nov 2022 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Dia juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil ‘williamkhor87’ pada masa dan tarikh sama dan kemudiannya dibaca di lokasi sama pada 8 malam, 21 Nov tahun lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta tidak dibenarkan membuat hantaran bersifat jelik di media cetak atau elektronik.

    Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

    “Bapanya berusia 64 tahun mempunyai masalah kesihatan mata dan telinga. Sementara ibunya 62 tahun merupakan pesakit kanser,” katanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak membuat sebarang hantaran berhubung kes tersebut.

    Wan Mohd Norisham menetapkan 5 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

    Sebelum ini media melaporkan, polis telah menahan seorang lelaki dipercayai memuat naik rakaman video di akaun Instagramnya yang memaparkan ketidakpuasan hati terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan proses pemilihan Perdana Menteri ke-10. – BERNAMA

  • Banjir di Johor makin buruk, 5,878 mangsa di enam daerah dipindah

    Banjir di Johor makin buruk, 5,878 mangsa di enam daerah dipindah

    SITUASI banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir melonjak kepada 5,878 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 1,591 mangsa direkodkan pagi tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 1,575 keluarga ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,952 orang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Segamat dengan 1,431 orang dipindahkan ke 16 PPS.

    “Turut terjejas bencana itu ialah Kota Tinggi melibatkan 1,156 mangsa, Johor Bahru (1,004 orang), Kulai (320 orang) dan Pontian (15 orang),” menurut kenyataan itu.

    Di Segamat, beberapa sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat Kecil yang merekodkan bacaan 38.32 meter (m); Sungai Bandar Segamat (9.2m); Sungai Labis (41.31m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah (8.11m).

    Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Kahang, Kampung Contoh (Kluang) di paras 16.95m; Sungai Siku, Kampung Murni Jaya (Kulai) 21.51m; Sungai Skudai, Kampung Separa (Kulai) 18.66m; Sungai Siam, Kampung Sungai Siam 21.51m dan Sungai Pontian Besar, Kampung Melayu Bukit Batu 12.86.

    Selain itu, paras air Sungai Pulai, Kampung Ulu Pulai (Pontian) turut  melepasi paras bahaya iaitu 2.81m dan Sungai Skudai, Kampung Laut (Johor Bahru) 5.79m.

    Cuaca di kesemua 10 daerah dijangka hujan sehingga petang. – BERNAMA