Category: Semasa

  • Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Laidlaw wakili Najib

    Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Laidlaw wakili Najib

    MAJLIS  Peguam Malaysia dan tiga yang lain berjaya mengenepikan rayuan peguam UK Jonathan Laidlaw untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan kes SRC Internationalnya.

    Ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan, Hakim Zabariah Yusof berkata pihaknya berpendapat tiada isu hendak diputuskan berikutan rayuan dan semakan Najib terhadap kes itu telah dilupuskan.

    Peguam Diraja dari UK itu memohon untuk bertindak sebagai peguam utama dalam rayuan akhir SRC International bekas perdana menteri itu. Beliau dikatakan pakar dalam undang-undang jenayah perniagaan dan kewangan, lapor FMT.

    Majlis Peguam berkata, rayuan Laidlaw menjadi akademik selepas Mahkamah Persekutuan mendengar dan melupuskan rayuan terakhir Najib daripada sabitan serta hukumannya pada Ogos 2022.

    Pada 21 Julai 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw dan berkata beliau tidak memenuhi syarat kemasukan ad hoc di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

    Sebulan kemudian, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 2020 atas penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang membabitkan dana SRC International.

    Selepas itu, Najib memfailkan usul memohon kebenaran menyemak keputusan itu atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk haknya untuk mendapat perbicaraan adil dan peguam.

    Satu lagi panel Mahkamah Persekutuan, dengan majoriti 4-1, menolak permohonan bekas perdana menteri itu pada Mac tahun ini.

  • Anthony Loke yakin PH-BN sapu bersih Negeri Sembilan

    Anthony Loke yakin PH-BN sapu bersih Negeri Sembilan

    SETIAUSAHA Agung DAP Loke Siew Fook yakin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi semua 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

    Bercakap dalam sebuah program PH-BN di Kampung Chennah, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di Negeri Sembilan pada PRU 15 November lalu.

    “Gelombang yang berlaku pada PRU lalu tidak sampai ke Negeri Sembilan. Corak pengundian perlu mempertimbangkan trend (daripada PRU15), hanya lapan bulan lalu,’’ katanya lapor FMT.

    Pada PRU15, BN memenangi lima daripada lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, manakala PH menguasai baki tiga lagi kerusi.

    Ahli Parlimen Seremban itu berkata, persefahaman jentera pilihan raya PH dan BN di negeri itu positif setakat ini.

    Katanya, jentera UMNO membantu calon DAP, khasnya di kerusi campuran ditandingi parti itu.

    Loke tidak menjangkakan DUN tergantung selepas PRN Sabtu ini kerana PH dan BN mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.

    Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Datuk Jalaluddin Alias berkata trend pengundian membuktikan sokongan kuat orang Melayu untuk UMNO dan BN di negeri itu.

    “Apabila saya turun ke setiap DUN, sokongan dan pemahaman orang Melayu terhadap kerjasama BN-PH semakin meningkat dari hari ke hari,’’ katanya.

  • Ramasamy kata ‘’bukan demi proses peremajaan tetapi ‘penyingkiran’ politik

    Ramasamy kata ‘’bukan demi proses peremajaan tetapi ‘penyingkiran’ politik

    BEKAS Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy mengumumkan keluar daripada parti DAP berkuat kuasa serta-merta hari ini.

    Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, beliau sudah menghantar surat keluar parti itu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pukul 8.24 pagi ini serta kepada Pengerusi DAP negeri yang juga Ketua Menteri, seminit kemudian.

    Selain Ramasamy, turut mengumumkan keluar daripada parti itu dalam sidang akhbar bersama hari ini ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang yang juga bekas ADUN Sabai, A. D.R. Kamache; Naib Pengerusi DAPSY Kebangsaan, Jason Raj dan Penolong Setiausaha DAP Cawangan Taman Inderawasih, K. Krishnasamy.

    Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:
    Saya ingin memaklumkan kepada pihak media dan rakan-rakan bahawa saya terpaksa mengambil keputusan yang paling sukar dalam lebih daripada 15 tahun penglibatan politik saya.

    Selepas berunding secara mendalam dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang rapat, saya telah memutuskan untuk melepaskan keahlian saya daripada Parti DAP yang saya sertai 18 tahun lalu pada tahun 2005.

    Semalam iaitu pada 9 Ogos 2023, saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Saudara Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Agung DAP dan Saudara Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Pulau Pinang.

    Sebelum saya meletak jawatan, saya adalah Pengerusi Parti DAP Cawangan Taman Chai Leng dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Parti DAP Negeri Pulau Pinang.

    Selepas saya memenangi kerusi Parlimen Batu Kawan dan kerusi DUN Perai semasa PRU pada tahun 2008, saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Il Pulau Pinang. Saya berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri lI selama 15 tahun iaitu selama tiga penggal.
    Saya telah digugurkan pada 18 Julai 2023 dari bertanding dalam pilihan raya negeri yang akan datang. Parti mempunyai hak untuk menggugurkan saya dan lima lagi ADUN yang lain.

    Namun, alasan yang diberikan ialah proses peremajaan tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah penyingkiran politik. Saya boleh faham mengapa pemimpin kanan digugurkan tetapi mengapakah calon-calon muda adalah digugurkan.
    Parti DAP telah memaklumkan bahawa saya akan digugurkan selepas keputusan dibuat pada 18 Julai 2023. Tiada sebab mengapa tiga calon muda seperti Yeoh Sin Yin, Soon Lip Chee dan Satees Muniandy digugurkan.

    Dua daripadanya adalah Ahli EXCO dan seorang lagi ADUN telah berkhidmat dengan baik kepada parti dan Kerajaan Negeri.
    Ini bukannya proses peremajaan atau pemulihan parti tetapi penyingkiran politik untuk mengenepikan mereka yang dilihat atau dibayangkan sebagai penyokong kepada penyandang jawatan Ketua Menteri iaitu Chow Kon Yeow.

    Chow mungkin telah dilantik semula sebagai Ketua Menteri tetapi beliau tidak mempunyai sokongan dalam barisan calon-calon DAP negeri sekarang. Ada kemungkinan Chow Kon Yeow tidak akan memegang jawatan Ketua Menteri untuk tempoh yang penuh walaupun telah diberi jaminan oleh pemimpin-pemimpin parti peringkat nasional. Tindakan penyingkiran yang serong ini telah disokong oleh para pemimpin di peringkat nasional.

    Individu yang terkenal dengan gelaran “Maharaja” adalah punca kepada krisis yang sedang berlaku di DAP Pulau Pinang.
    Kepimpinan parti di peringkat kebangsaan nampaknya bergantung kepada individu ini yang digelar “Maharaja” ini.

    Senarai calon yang dikemukakan Chow selaku Ketua Jawatankuasa Negeri dengan lima keahlian telah diketepikan.
    Terdapat beberapa pemimpin yang baik dalam DAP tetapi kemerosotan ke arah politik yang kurang bermutu dan sikap akur kepada kepemimpinan tertinggi nampaknya tidak dapat dielakkan.

    Tidak hairanlah DAP disifatkan sebagai parti yang mengambil haluan seperti parti MCA atau MIC.
    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kompromi telah dibuat dimana ianya telah mengenepikan dan mengurangkan perjuangan parti.

    Kita dapat melihat bahawa sesetengah pemmpin parti seolah-olah hanya mengutamakan kasa dan jawatan yang disandang.
    DAP yang saya ketahui suatu ketika dahulu semasa saya menyertainya tahun 2005 tidak lagi wujud.
    Keputusan untuk meninggalkan DAP adalah satu keputusan yang sukar.

    Saya telah mengaitkan diri saya dengan parti ini semasa saya berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia, lebih lama sebelum saya menyertai parti DAP pada tahun 2005. Parti ini bukan lagi parti yang kenali pada zaman tersebut. Parti ini semakin kurang menghargai perbezaan pendapat dan sikap keterbukaan dari dalaman parti.

    Mereka yang bersuara menentang kerajaan dlipandang sebagai pengacau dan pengganggu.
    Beberapa bulan lalu, kepimpinan parti menjauhkan diri daripada kenyataan saya apabila saya membangkitkan isu kurangnya penyertaan kaum bukan Melayu dalam perkhidmatan awam negara.

    Malah, kenyataan saya ini dianggap sebagai memudaratkan Kerajaan Perpaduan yang baru ditubuhkan.
    Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sendiri menolak kenyataan saya sebagai kenyataan peribadi.
    Saya berumur 74 tahun sekarang. Saya mungkin dipanggil ‘anggur masam” kerana berhenti menjadi ahli parti.

    Tetapi saya tidak mempunyai pilihan selain mengambil keputusan mutlak untuk melakarkan Haluan politik saya pada masa hadapan.
    Seperti yang saya katakan, menggugurkan saya bukanlah satu isu tetapi isunya adalah cara saya dan calon lain digugurkan.
    lanya adalah penyingkiran tanpa penghargaan kepada khidmat kami.

    Dengan meletak jawatan dalam DAP, saya berharap dapat berfungsi dalam persekitaran politik yang luas tanpa kekangan yang wujud kepada ahli sesebuah parti atau organisasi politik. Saya sedar bahawa saya mungkin tidak akan mempunyai tempat dalam DAP lagi pada masa hadapan.

    Saya perlu berani membuat beberapa rancangan tentang peranan saya dalam arena politik Malaysia secara menyeluruh. Saya akan terus berjuang untuk menentang ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama mereka. Saya akan terus bersuara untuk golongan masyarakat yang kurang bernasib baik.

    Impian saya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik untuk semua dan memastikan masa depan adalah terjamin dengan baik untuk generasi akan datang. Saya menantikan hari tersebut walaupun saya mungkin tidak berada di sini di mana rakyat Malaysia akan berbangga untuk menyatakan bahawa negara ini milik semua warganegara. Sementara itu, saya akan terus menyokong gabungan politik PH secara amnya dan kepimpinan Anwar Ibrahim dan Chow Kon Yeow.

  • Ekonomi Malaysia mesti ada identiti, hala tuju – Syahir

    Ekonomi Malaysia mesti ada identiti, hala tuju – Syahir

    MODEL pembangunan ekonomi negara perlu dipilih mengikut ‘mazhab’ sendiri dengan mempunyai identiti dan hala tuju yang jelas.

    Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pembentukan model ekonomi berasaskan kestabilan nasional dengan teras yang jelas mampu menyelesaikan masalah sedia ada.

    “Kita kena pilih mazhab ekonomi sama ada kayakan orang di atas atau di bawah. Apa yang penting adalah kena ada identiti dan hala tuju. Matlamat saya jelas iaitu meletakkan kestabilan nasional sebagai model baharu ekonomi Malaysia.

    “Setelah itu, apa yang kita perlukan adalah kestabilan bukan seperti Ekonomi Madani yang mahu menjadikan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dalam dunia. Namun apa guna jika yang kaya itu semakin kaya dan miskin semakin miskin. Makcik Kiah dan rakan-rakan peniaga jalanan terus mengeluh hasil jualan semakin mengecil,” katanya dalam Majlis Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli malam tadi.

    Menurut Syahir, perancangan ekonomi yang berulang-ulang tanpa sebarang penyelesaian tidak mampu mengubah hala tuju negara.

    Sebaliknya, beliau menegaskan Malaysia perlu ada identiti tersendiri.

    “Bagi mengembangkan dasar ekonomi negara, kita perlu bertindak secara serampang dua mata dan struktur kembali masyarakat. Teras yang paling utama dalam kestabilan nasional adalah keadilan, kitaran, kesederhanaan dan integriti ekonomi bagi kita melihat hasilnya. Kita nak bincang model ekonomi tetapi pembentangan Rafizi yang berulang-ulang tidak mampu menyelesaikan perkara utama jika hanya menyebut tentang masalah tanpa sebarang tindakan,” jelasnya.

    Penolong Setiausaha Agung Pas menambah, walaupun kos perbelanjaan Kelantan tidak tinggi seperti negeri lain tetapi kuasa membeli di negeri itu adalah yang tertinggi.

    Katanya, masyarakat Kelantan lebih cenderung untuk menyimpan harta sebagai aset berbanding berbelanja kerana ia adalah kitaran ekonomi yang diamalkan sejak dulu lagi.

    “Orang Kelantan duduk rumah biasa tetapi ada tanah, lembu dan kambing kerana mereka menyimpan aset, bukan berbelanja. Jadi, inilah kitaran ekonomi yang ada di Kelantan walaupun tidak dipacu oleh kerajaan tetapi dipacu oleh kuasa beli dan pelaburan,” ujarnya menurut laporan Sinar Harian.

  • ‘’Setelah bersama PH…UMNO bukan lagi parti keramat’ – Shahidan

    ‘’Setelah bersama PH…UMNO bukan lagi parti keramat’ – Shahidan

    UMNO bukan lagi parti keramat sekiranya memilih untuk terus bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang, kata Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata, ia juga kini bukan lagi menjadi parti utama sebaliknya berada pada kedudukan kedua atau ketiga dalam kalangan gabungan kerajaan perpaduan Barisan Nasional (BN)-PH.

    “Kita ingatkan ini (hubungan BN dan PH) perkahwinan sementara untuk tempoh ini saja… tetapi nampaknya akan bekerjasama sehingga pilihan raya akan datang. DAP mempunyai 40 kerusi, PKR (ada) 31 kerusi dan UMNO 30 kerusi. UMNO jadi nombor tiga,” katanya kepada media selepas Ceramah Perdana PN DUN Labu, lapor FMT.

    Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk SeriDr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan janjinya bahawa BN akan terus bersama dengan PH begitu juga Gabungan Parti Sarawak(GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Menurutnya, seramai 148 Ahli Parlimen daripada semua parti itu akan terus setia menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Dalam pada itu, Shahidan berkata, Zahid kini bukan hanya dilihat sebagai beban kepada UMNO, malah PH.

  • Jangan ragu…undi dengan yakin, undi Perikatan Nasional – Muhyiddin

    Jangan ragu…undi dengan yakin, undi Perikatan Nasional – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru pengundi di enam negeri supaya mengundi dengan bijak dan penuh keyakinan bahawa wakil yang dipilih mampu membawa suara dan aspirasi mereka di masa depan.

    “Jangan tunggu lagi. Jangan berleka dan jangan ambil mudah. Jangan biarkan masa depan anda tergadai dengan mengundi parti yang tidak peka kesusahan rakyat dan tidak bijak untuk mengurus dan mentadbir negara.

    “Buktikan dengan jelas siapa pilihan anda. Jangan keliru. Jangan ragu dan jangan biar undi anda diperlekehkan,” katanya dalam amanat kepada pengundi di enam negeri yang akan membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri pada Sabtu ini.

    Muhyiddin berkata, ada yang mengatakan PRN kali ini tidak penting, lebih-lebih lagi negara baru saja melalui Pilihan Raya Umum lapan bulan lalu.

    “Saya ingin ingatkan PRU dan PRN dua tanggungjawab berbeza. Tambahan lagi keputusan PRU lepas mengingatkan kita untuk tidak leka kerana jika kita tidak berusaha sedaya upaya memberikan kemenangan mutlak kepada parti sokongan kita, maka masa hadapan kita akan ditentukan dan dicorak oleh mereka yang tidak peka kepada permasalahan segenap lapisan masyarakat.

    “Jadi untuk memastikan bahawa anda dapat menentukan masa hadapan yang selari dengan aspirasi anda semua saya menyeru semua pengundi di enam negeri untuk keluar mengundi beramai-ramai pada hari Sabtu 12 Ogos ini,” ujarnya.

    Muhyiddin turut mengajak pengundi yang tinggal di luar negeri mengundi supaya pulang beramai-ramai tunaikan tanggungjawab di negeri masing-masing.

    “Mari kita tunjukkan gelombang kuasa rakyat untuk menentukan masa hadapan yang lebih baik untuk kita bersama.

    “Ajak dan bawa ibu bapa, pak cik, mak cik, anak, sepupu, jiran sebelah kanan, kiri, depan, belakang untuk undi dan menangkan semua calon Perikatan Nasional di kawasan anda.

    “Kepada pengundi luar yang pulang ke negeri masing-masing, semoga perjalanan anda selamat dan dilindungi. Undi dengan yakin dan undi dengan berani. Undilah Perikatan Nasional,” ujarnya

  • Ramasamy umum keluar DAP

    Ramasamy umum keluar DAP

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Dr. P. Ramasamy mengumumkan keluar DAP berkuat kuasa serta-merta hari ini.

    Ramasamy yang juga Timbalan DAP Pulau Pinang berkata, beliau sudah menghantar surat keluar parti itu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pukul 8.24 pagi ini serta kepada Pengerusi DAP negeri yang juga Ketua Menteri, seminit kemudian.

    Berita lanjut menyusul

  • Tiga nama dari Bersatu Bakri dicadang bertanding PRK DUN Simpang Jeram

    Tiga nama dari Bersatu Bakri dicadang bertanding PRK DUN Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA pemimpin utama daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bakri antara nama yang disenaraikan untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.

    Mereka terdiri daripada Ketua bahagian, Mahadzir Abu Said, Ketua Penerangan bahagian, Mohd. Radzi Amin dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bahagian, Mohamad Syafiq Muhd. Khairul Sam.

    Sumber dalaman Bersatu Bahagian Bakri memberitahu, Mahadzir merupakan seorang pengarah syarikat berusia 57 tahun manakala Mohd. Radzi, 45, seorang peniaga dan Mohamad Syafiq, 28, pula adalah Setiausaha Kerja Armada Pusat.

    Mahadzir Abu Said

    “Mohd Radzi pernah menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14). Setakat ini belum ada kata putus berkaitan calon sebenar atau secara rasmi yang akan diketengahkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Pusat.

    “Ini dijangka diketahui menjelang hari-hari terakhir sebelum penamaan calon pada 26 Ogos nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, semua nama yang dicadangkan itu adalah antara nama besar Bersatu bahagian itu, merupakan anak tempatan dan mudah didekati orang ramai pada bila-bila masa.

    Mohd. Radzi Amin

    “Pemilihan anak jati setempat ini adalah salah satu kriteria yang diharap pengundi di sini kerana mereka yang sentiasa bersama masyarakat sahaja dapat mengenal erti payah jerih penduduk di Simpang Jeram ini,” katanya.

    Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, PN diwakili Zarul Salleh mendapat 6,360 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili Datuk Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 undi sekali gus menang dengan majoriti 2,389 undi.

    Seorang lagi calon, Datuk Lokman Md. Don daripada BN memperolehi 6,062 undi.

    Mohamad Syafiq Muhd. Khairul Sam

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

    PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

    Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

  • Pemuda Pas Pulau Pinang dakwa ada cubaan manipulasi undi, bawa ‘pengundi hantu’

    Pemuda Pas Pulau Pinang dakwa ada cubaan manipulasi undi, bawa ‘pengundi hantu’

    DEWAN Pemuda Pas Pulau Pinang mendakwa terdapat parti tertentu cuba memanipulasi undi dengan membawa pengundi hantu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

    Ketua Penerangannya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar berkata, maklumat itu diperoleh daripada satu sumber yang boleh dipercayai yang turut memaklumkan usaha itu hanya dikesan di Pulau Pinang ketika ini.

    Dakwanya lagi, modus operandi parti terbabit adalah cuba mendapatkan dan mengumpulkan sebanyak mungkin kad pengenalan pengundi di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama daripada anak muda dengan menawarkan balasan berbentuk wang.

    “Kemudian, kad pengenalan tersebut akan digunakan pula oleh ‘pengundi hantu’ untuk mengundi sesuatu parti tertentu sebelum ia dipulangkan semula kepada pemilik sebenar sebaik sahaja pilihan raya selesai.

    “Kami percaya skandal penipuan pilihan raya dengan cara terdesak ini adalah sebahagian daripada cubaan terakhir mereka untuk memperoleh kemenangan secara total, tidak bersih dan tidak adil,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut Mohamad Ikhwan Afiq, mereka turut diberitahu oleh sumber itu yang terlibat dalam perancangan strategik parti bahawa ada perancangan membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi untuk memenangkan sesuatu parti tertentu.

    “Pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertandingan secara sihat dalam suasana demokrasi yang matang tanpa mengira parti dan bukan seperti ini (ada unsur penipuan),” katanya.

    Ditanya sama ada pihak Pas ada membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut, beliau bagaimanapun berkata, laporan polis hanya akan dibuat sebaik sahaja pihaknya menerima bukti kukuh berhubung percubaan manipulasi undi terbabit.

    Sehubungan itu juga, jelasnya, sidang akhbar hari ini dibuat untuk meminta pengundi memberikan kerjasama supaya isu terbabit dapat dibanteras lebih awal.

    “Kami jangkakan, menjelang pusingan terakhir ini (kempen) lebih banyak usaha terdesak akan dilakukan oleh pihak tertentu semata-mata untuk menang,” katanya.

  • Pas Terengganu nafi upah pempengaruh promosi parti

    Pas Terengganu nafi upah pempengaruh promosi parti

    PAS Terengganu menafikan dakwaan bahawa parti itu mengupah pempengaruh untuk mempromosikan parti pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) pada 12 Ogos ini.

    Menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr. Alias Razak, tuduhan yang disebarkan di media sosial itu seolah-olah menjatuhkan reputasi pempengaruh berkenaan kerana disifatkan sebagai mudah ‘dijual beli’.

    “Semalam tular dakwaan mengatakan kononnya Pas Terengganu telah memberikan upah kepada Ervan seorang pempengaruh media sosial.

    “Ini satu fitnah yang jahat dan tidak benar malah tuduhan jahat ini merupakan satu penghinaan kepada Ervan dan juga anak muda Terengganu kerana seolah-olah harga diri mereka amat murah untuk dijual beli,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Terengganu hari ini.

    Katanya, video memaparkan sokongan terhadap Pas yang dimuat naik pempengaruh berkenaan dalam media sosialnya dihasilkan sendiri secara sukarela.

    “Saya yakin saudara Ervan membuat video-video sokongan beliau kepada Pas bukan kerana apa-apa habuan yang diterima daripada mana-mana pihak namun kerana beliau sebagai anak muda tahu menilai yang mana kaca dan yang mana permata.

    “Saya juga ingin merakam penghargaan kepada anak-anak muda Terengganu yang teguh dan terus menyokong Pas,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pas Terengganu pada Selasa didakwa cuba menguasai kempen pilihan raya negeri dengan menggunakan ‘influencer’ tersohor, Ervan Rizuan bagi mempromosi parti itu di media sosial.

    Baru-baru ini Ervan atau nama sebenarnya Muhammad Syahmie Rizuan Mohd. Yusof memuat naik video berdurasi 22 saat di laman sosial Facebook mengingatkan supaya orang ramai menjalankan kewajipan mengundi pada 12 Ogos ini.