Category: Semasa

  • Terengganu larang ahli politik beri kuliah di masjid, surau

    Terengganu larang ahli politik beri kuliah di masjid, surau

    TERENGGANU melarang ahli politik memberikan kuliah, ceramah agama dan khutbah Jumaat di seluruh masjid serta surau negeri itu.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan dibuat supaya semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

    “Semua ahli yang berhormat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid.

    “Semua kepimpinan dan aktivis parti politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terengganu,” katanya dalam kenyataan.

    Bagaimanapun, beliau berkata pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran Maidam.

    Shaikh Harun berkata, arahan larangan itu dikeluarkan susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

    Jelas beliau, masjid adalah institusi agama sangat penting dan mulia bagi umat Islam selain menjadi simbol perpaduan umatnya, justeru ia perlu dimakmurkan sebaik mungkin.

    Menurutnya, masjid dan surau tidak boleh sama sekali digunakan untuk kegiatan menimbulkan keresahan atau perselisihan dalam kalangan masyarakat.

    Ini termasuk katanya, menggunakan masjid atau surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.

    “Sultan Mizan turut menyeru semua pihak menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan dikeluarkan Maidam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT),” katanya, lapor FMT.

    Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan arahan masjid dan surau di negeri itu melarang ahli politik menyampaikan ceramah atau kuliah.

    Larangan itu dibuat bagi memelihara kesucian tempat ibadat Islam daripada dicemari politik kepartian.

    Susulan larangan itu, MAIS menarik balik tauliah yang pernah diberikan kepada beberapa ahli politik.

  • Keputusan audit 1MDB: “Najib bersyukur, lega” – Shafee

    Keputusan audit 1MDB: “Najib bersyukur, lega” – Shafee

    TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan kesyukuran dan kelegaan selepas Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan bekas Perdana Menteri itu atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Keputusan ini jelas menunjukkan mahkamah berpuas hati terhadap kes anak guam saya bahawa tiada sebarang elemen rasuah boleh dikaitkan dengan pertuduhan berkenaan.

    “Najib berkomunikasi dengan kami. Beliau sangat lega kerana hakim membuat keputusan ini kerana ia bukan sekadar pembebasan dan pelepasan. (Tetapi) Anda mesti melihat lebih daripada itu.

    “Hakim boleh sahaja berkata tiada prima facie dan dibebaskan dan dilepaskan tetapi pertuduhan itu membuat penemuan khusus.

    “Dalam kes Arul Kanda (Kandasamy), beliau diberi sijil (indemniti), di mana beliau disingkirkan daripada sebarang kewajaran (pertuduhan) dan didapati sebagai orang yang boleh dipercayai,” katanya dalam sidang media di lobi mahkamah, Kuala Lumpur, hari ini.

    Dengan pembebasan Najib juga, Muhammad Shafee mendakwa, pertuduhan itu adalah bermotifkan politik.

    “… dan apabila ia berunsurkan politik, terdapat dimensi dan konspirasi lain. Peguam dalam kes tersebut tidak dapat meramalkan (pertuduhan) kerana ia dinamika politik.

    “Dalam kes ini, ia adalah kes pertama pertuduhan politik yang kami mendapat keputusan positif,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, Muhammad Shafee tidak menolak bahawa keputusan tersebut sebagai permulaan yang baik bagi pertuduhan lain yang dihadapi Najib termasuk melibatkan SRC International Sdn Bhd.

    Sebelum ini media melaporkan Mahkamah Persekutuan akan memutuskan permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan terdahulu dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International selewat-lewatnya 31 Mac ini.

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membebaskan Najib dan Arul Kanda Kandasamy tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.

    Mahkamah turut membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang beliau berikan selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

    Najib, 70, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

    Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula hari pertama pembukaan perbicaraan kes pada 18 November 2019.

    Pada 24 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

  • Keputusan audit 1MDB: “Ini kemenangan untuk Najib, keluarga” – Rosmah

    Keputusan audit 1MDB: “Ini kemenangan untuk Najib, keluarga” – Rosmah

    DATIN Seri Rosmah Mansor menyifatkan pembebasan suaminya, Datuk Seri Najib Razak daripada pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai kemenangan buat keluarga dan bekas Perdana Menteri itu.

    Rosmah yang berbaju kurung warna kuning hadir memberikan sokongan pada prosiding hari ini berkata, kemenangan itu juga telah menyuntik semangat baharu buat mereka sekeluarga.

    “Syukur Alhamdulillah sebab kes hari ini adalah satu kemenangan kepada bukan sahaja suami saya tetapi juga kepada keluarga kami.

    “Saya sempat jumpa Datuk Seri (Najib). Datuk Seri kata rasa bersyukur dan ini adalah satu kemenangan untuk beliau. Insya-Allah, lebih baik akan datang.

    “Sudah tentu keputusan ini memulihkan semangat dan yang kami nanti-nanti bukan sahaja untuk Datuk Seri, tetapi untuk keluarga kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi mahkamah, di Kuala Lumpur hari ini, lapor Astro Awani.

    Mahkamah Tinggi hari ini, membebaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.

    Mahkamah turut membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang diberikan beliau selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

    Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Najib yang juga bekas Presiden UMNO ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

  • Bekas pegawai bank didenda RM8,000 tipu kad kredit pelanggan

    Bekas pegawai bank didenda RM8,000 tipu kad kredit pelanggan

    BEKAS pegawai bank didenda RM8,000 selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan menipu majikannya dengan meluluskan kad kredit pelanggan untuk kegunaan sendiri, tahun lalu.

    Tertuduh, Leong Yew Hong, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.

    Tertuduh turut diperintahkan dipenjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pegawai pemasaran eksekutif bertanggungjawab menguruskan permohonan dan kelulusan kad kredit milik seorang individu.

    Lelaki itu telah menipu pihak bank dengan meluluskan kad kredit individu berkenaan yang mana kepentingannya dalam urusan tersebut perlu dilindungi suatu kontrak di sisi undang-undang pada 27 November 2022.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat aduan kepada pihak bank setelah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) menunjukkan terdapat kad kredit dikeluarkan atas namanya yang telah digunakan berjumlah RM8,564.40.

    Siasatan lanjut yang dijalankan pengurus siasatan bank mendapati tertuduh mempunyai 17 kad kredit milik pelanggan lain setelah mendapatkan maklumat pelanggan sewaktu mengadakan promosi di sekitar Taiping.

    Tertuduh melakukan permohonan dengan menggunakan kad pengenalan serta mencetak maklumat kad pengenalan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

    Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad memohon hukuman ringan dikenakan dengan mengambil kira pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

    Peguam juga berhujah bahawa tertuduh kesal dengan perbuatan itu dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kerana tertuduh menggunakan posisinya bagi mendapatkan butiran hingga menyebabkan kerugian kepada pengadu.

    Media pada Selasa lalu melaporkan polis menahan seorang pegawai bank selepas disyaki menggunakan maklumat pelanggan untuk membuat permohonan kad kredit bagi kegunaan sendiri yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM563,422.

  • Hakim baharu dengar bicara kes Najib ubah wang SRC RM27 juta

    Hakim baharu dengar bicara kes Najib ubah wang SRC RM27 juta

    PERBICARAAN kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.

    Hakim K Muniandy menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

    Semasa sebutan kes hari ini, beliau menetapkan pengurusan kes tersebut pada 29 Mei ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, kedua-dua pihak sebelum ini memohon kepada mahkamah agar perbicaraan kes itu ditangguhkan kerana keputusan permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan belum diputuskan.

    “Tarikh keputusan semakan masih belum diputuskan, dan ia (tarikh) akan diberitahu oleh pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat. Pihak kami dan pembelaan mohon agar tarikh pengurusan kes ini (pengubahan wang haram) ditetapkan pada Mei,” kata Mohd Ashrof Adrin.

    Peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Najib mengesahkan perkara itu dan bersetuju agar pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada Mei ini.

    Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Bagai pulau, 80 peratus perumahan Segamat diliputi air

    Bagai pulau, 80 peratus perumahan Segamat diliputi air

    BAGAIKAN pulau-pulau kecil. Itu keadaan dilihat di sekitar Segamat menerusi tinjauan udara, selepas beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak malam Isnin.

    Tinjauan Bernama bersama bomba lewat petang semalam mendapati air banjir masih meliputi hampir 80 peratus kawasan perumahan di lokasi terjejas.

    Selain itu, terdapat beberapa laluan ditutup kerana dinaiki air, dengan di kawasan Kampung Tenang dan Kampung Jawa di Segamat hanya kelihatan bumbung rumah penduduk.

    Air di Empangan Juaseh, Labis juga sudah melimpah ke kawasan perumahan. Bernama difahamkan ia menjadi ‘petanda’ kepada keadaan banjir kritikal, apabila kawasan itu sudah ditenggelami air.

    Setakat ini, tiga mukim yang terjejas teruk termasuk bandar Segamat, Chaah dan Labis, sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Ahmad Izram Osman, yang turut serta dalam tinjauan itu berkata setakat malam tadi air masih meliputi 80 peratus kawasan perumahan berkenaan.

    Katanya, operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir masih giat dijalankan dengan menggunakan aset jentera dan bot termasuk dron.

    “Empat dron digunakan unit udara bomba bagi operasi menyelamat di Johor, selepas negeri itu dilanda banjir sejak Isnin lepas.”

    “Penggunaan dron menjangkau kawasan yang lebih jauh dan digunakan untuk memantau lokasi yang sukar diakses, jadi kita boleh merancang strategi proses menyelamat mangsa banjir,” katanya.

    Ahmad Izram berkata, selain dron, pihak bomba turut menyediakan sebuah pesawat dalam operasi menyelamat dan turut membantu membawa kertas soalan SPM baru-baru ini.

    Menerusi tinjauan udara itu juga, dapat dilihat kenderaan diparkir di kawasan tinggi selain penduduk menunggu di laluan yang dinaiki air, dengan harapan jalan tersebut dapat dilalui untuk pulang ke rumah masing-masing.

    Pemandu lori, Mohd Hairulnizam Abu Bakar, 36, berkata beliau tidak menyangka air Sungai Segamat akan melimpah di laluan utamanya pulang ke rumah, yang menyebabkan dia terpaksa tidur atas motosikalnya berhampiran laluan itu.

    “Saya pulang dari kerja pada Rabu pukul 4 petang dan laluan Jambatan Lama Segamat sudah ditutup. Saya terpaksa tidur atas motosikal menunggu air surut,” katanya ketika ditemui Bernama di Jambatan Lama Bandar Segamat.

    Hairulnizam berkata, banjir di kawasan Segamat disifatkan terburuk, selepas kawasan itu pernah mengalami situasi sama pada 2006, 2011, 2013 dan 2017.

    Setakat petang semalam, dua laluan utama ditutup sehingga petang ini, iaitu Jalan Jabi-Bukit Tempurung (Segamat) sejauh 10km dan Jalan Kampung Tungku Tiga-Felda Pemanis.

    Segamat antara 10 daerah di Johor yang terjejas teruk akibat banjir, melibatkan 3,519 keluarga dipindahkan ke 77 PPS setakat 8 pagi tadi.

  • Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara

    Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara

    TAN Sri Idrus Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa Isnin ini.

    Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali memaklumkan dalam kenyataan hari ini selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Idrus.

    Idrus, 67, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan menjadi peguam negara sejak 2020 selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8.

  • Najib, Arul Kanda bebas tuduhan meminda laporan audit 1MDB

    Najib, Arul Kanda bebas tuduhan meminda laporan audit 1MDB

    MAHKAMAH Tinggi sebentar tadi membebaskan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.

    Sementara itu mahkamah membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang diberikan beliau berikan selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

    Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan lapor Berita Harian.

  • PH yang main isu perkauman, bukan PN-Wan Saiful

    PH yang main isu perkauman, bukan PN-Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Pakatan Harapan (PH) memainkan isu perkauman, malah bersifat rasis setelah rata-rata ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Kita lihat peratusan yang amat besar dalam kalangan bukan Melayu memilih PH dan apabila orang Melayu nak pilih yang lain, maka PH melabel orang Melayu rasis.

    “Mereka (PH) hidup atas undi bukan Melayu dan mereka ‘survive dan thrive’, hasil daripada mengapi-apikan perkauman tetapi … tuduh kita mainkan isu perkauman,” kata bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kepada FMT.

    Wan Saiful berkata, PN tidak memainkan isu perkauman, sebaliknya mendakwa PH yang sering mengungkit isu sensitif dan melontar tohmahan terhadap gabungan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

    “Kita tak main isu. Dia (PH) mainkan isu Taliban, isu ekstremisme,” katanya.

    Pas sebelum ini mendakwa tahap sokongan Melayu jelas memihak kepada PN manakala PH yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memperolehi sokongan kira-kira 19 peratus pengundi Melayu pada PRU15.

    Bagaimanapun, Anwar mendakwa PH memperolehi 31 peratus undi Melayu, sekaligus menunjukkan sokongan kaum Melayu untuk gabungan itu masih kuat.

    Wan Saiful berkata, politik perkauman tidak mungkin dihapuskan selagi PH tidak mengubah strategi politiknya.

    “Kalau nak melangkah ke depan (move forward), politik di sebelah PH perlu dikaji balik. Adakah strategi perkauman dan strategi menuduh orang lain rasis yang mereka selalu gunakan ini adalah sesuatu yang tidak sihat untuk negara,” soal beliau.

    Wan Saiful akur ada kalanya kalangan pengundi bukan Melayu gusar mengenai isu-isu yang menyentuh budaya dan amalan mereka, namun tidak harus dimomokkan sebagai isu perkauman atau kebebasan agama.

    “Dalam kalangan pengundi sudah pasti ada yang bimbang mengenai pengamalan agama, bimbang mengenai kebolehan mempertahankan budaya sendiri. Ini semua benda biasa untuk ditimbulkan tetapi janganlah bawa ke arah yang rasis. Jangan kita nafikan hak mereka yang nak mengamalkan agama (mereka).

    “Kita perlu pertahankan kemajmukan negara, ini kekuatan kita bukan kelemahan kita. Jangan tukarkan kepada sesuatu yang boleh memecah-belahkan kita,” katanya lagi.

  • Mangsa banjir di empat negeri terus meningkat, lebih 31,000 dipindahkan

    Mangsa banjir di empat negeri terus meningkat, lebih 31,000 dipindahkan

    JUMLAH mangsa banjir di empat negeri terus meningkat malam ini dengan 31,375 orang ditempatkan di 241 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 29,091 mangsa petang tadi.

    Di JOHOR, jumlah mangsa meningkat kepada 28,486 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 26,633 orang petang tadi dengan sebuah lagi PPS dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 198 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), memaklumkan, Segamat masih teruk terjejas dengan 2,933 keluarga dipindahkan ke 70 PPS, diikuti Kluang (1,485 keluarga/37 PPS); Kota Tinggi (761 keluarga/18 PPS); Johor Bahru (366 keluarga/tujuh PPS) dan Pontian (65 keluarga/empat PPS).

    Turut terjejas daerah Muar dengan 650 keluarga ditempatkan di 13 PPS; Kulai (167 keluarga/tiga PPS); Mersing (177 keluarga/ enam PPS) dan Tangkak (335 keluarga/ 18 PPS) serta Batu Pahat (1,018 keluarga/22 PPS), menurut jawatankuasa itu.

    Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat malam ini dengan 1,769 mangsa berada di 27 PPS berbanding 1,373 mangsa di 25 PPS, tengah hari tadi.

    Bera menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila sebuah PPS dibuka petang ini bagi menempatkan 29 mangsa manakala Rompin terus merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,068 orang di 13 PPS diikuti Maran dengan 402 orang di lima PPS.

    Seramai 106 mangsa lagi berada di dua PPS di Pekan, Jerantut (96 mangsa/1 PPS) dan Raub (68 mangsa/ lima PPS).

    Di NEGERI SEMBILAN, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 1,042 mangsa daripada 290 keluarga ditempatkan di 12 PPS setakat jam8 malam ini membabitkan Tampin dan Jempol manakala dua PPS di Kuala Pilah telah ditutup pada jam 4 petang tadi.

    Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, dalam kenyataan, turut memaklumkan tiga laluan ditutup kepada semua kenderaan akibat dinaiki air iaitu di Jalan Londah-Pasir Besar (jalan ladang), Jalan Gemas-Seremban (Jambatan Sungai Kelamah) dan Felda Jelai 2-Pasir Besar (laluan utama).

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 78 mangsa daripada 20 keluarga pada jam 8 malam ini berbanding 49 mangsa daripada 15 keluarga pada 12 tengah hari tadi.

    Sekretariat JBPN Melaka, dalam kenyataan, memaklumkan satu lagi PPS di Jasin dibuka pada jam 1 tengah hari membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat yang menempatkan 30 mangsa daripada lima keluarga.

    “Selain itu, PPS SK Chohong menempatkan 36 mangsa dari sembilan keluarga juga di Jasin manakala 12 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun di Alor Gajah.

    “PPS SK Asahan yang sebelum ini dibuka telah ditutup pada jam 2 petang tadi manakala SK Parit Penghulu baru dibuka pada jam 7.30 malam tadi dan dalam proses pemindahan mangsa,” katanya.

    Sementara itu, di SABAH, bencana banjir di negeri ini pulih malam ini dan semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

    Sekretariat JPBN Sabah, dalam kenyataan, memaklumkan PPS terakhir iaitu Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod sebelum ini menempatkan 108 orang daripada 24 keluarga ditutup petang tadi. – BERNAMA