Category: Semasa

  • Perlu lantik timbalan speaker ketiga dari pembangkang, kata Ronald

    Perlu lantik timbalan speaker ketiga dari pembangkang, kata Ronald

    RONALD Kiandee (PN-Beluran) menyuarakan semula gesaan supaya timbalan speaker ketiga Dewan Rakyat dilantik dalam kalangan pembangkang, cadangan yang pernah ditolak Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    Menurut Berita Harian, Ronald berkata, beliau faham dengan tuntutan tugas itu kerana pernah dilantik ke jawatan yang sama pada 2008 hingga 2018, dan terdapat keperluan untuk mempunyai timbalan speaker ketiga.

    “Saya rasa cadangan dua tahun lalu supaya ditambah seorang lagi timbalan speaker untuk Dewan Rakyat, perlu diteruskan oleh Yang Berhormat.

    “Saya pernah duduk di sana (sebagai timbalan speaker). Memang betul, dua timbalan speaker tidak mencukupi untuk Dewan Rakyat dan boleh ditambah.

    “Pelantikan Timbalan Speaker yang ketiga penting dan mesti daripada blok pembangkang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

    Ketika ini, Alice Lau (PH-Lanang) dan Ramli Nor (BN-Cameron Highlands) berkhidmat sebagai timbalan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

    Kiandee berkata, pelantikan timbalan speaker ketiga daripada blok pembangkang akan membantu mengharmonikan Parlimen, tambahnya mana-mana Ahli Parlimen yang dilantik ke jawatan itu perlu berlaku adil kepada mana-mana pihak.

    Sebagai maklum balas kepada cadangan Ronald itu, Johari hanya mengangguk dan berkata: “Insya-Allah.”

    Pada September 2021, menteri undang-undang ketika itu Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mencadangkan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelantikan timbalan speaker ketiga.

    Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tidak akan menyokong pindaan tersebut kerana dua timbalan speaker sudah mencukupi.

    Muhyiddin menambah, terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang memberi kuasa kepada speaker untuk membenarkan mana-mana ahli Parlimen mempengerusikan persidangan tanpa kehadiran speaker atau timbalan speaker.

  • Ahli Parlimen PN gesa KDN siasat dakwaan NGO kenakan caj bantu mangsa penipuan

    Ahli Parlimen PN gesa KDN siasat dakwaan NGO kenakan caj bantu mangsa penipuan

    ROSLAN Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menyiasat dakwaan bahawa terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenakan caj tidak masuk akal bagi membantu mangsa penipuan, scam dan pelaburan di negara ini.

    Menurutnya, beliau baru-baru ini menerima maklumat mengenai dakwaan kadar caj dikatakan tidak masuk akal dikenakan NGO untuk membantu mangsa penipuan, scam dan pelaburan.

    “Mereka dikata mengenakan caj permulaan RM5,000 untuk gerak kerja awal, termasuk draf laporan polis dan apa yang disebut sebagai ‘buka fail’ serta membuat publisiti di hadapan balai polis katanya,” di Dewan Rakyat, hari ini.

    Berdasarkan dakwaan itu katanya, kadar dikenakan itu disifatkan menekan mangsa sindiket penipuan.

    “Saya meminta KDN menyiasat (dakwaan) kewujudan NGO ‘scammer’ ini daripada terus mengaut keuntungan mudah dengan mengenakan caj tertentu sesuka hati,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Pengosongan 4 kerusi DUN Pulau Pinang hapus peranan semak dan imbang-Wan Saiful

    Pengosongan 4 kerusi DUN Pulau Pinang hapus peranan semak dan imbang-Wan Saiful

    PENGOSONGAN empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang akan menghapuskan peranan semak dan imbang di negeri itu.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pengosongan kerusi itu juga satu perkara yang dikesali dan titik hitam dalam sejarah Pulau Pinang.

    “Kerajaan yang diketuai oleh DAP dan UMNO juga akan melakukan apa saja terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang berlangsung dalam masa terdekat.

    “Bagi saya tindakan yang dilakukan meluluskan usul pengosongan empat kerusi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang ini melambangkan ketakutan mereka,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

    Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi yang diwakili ADUN Bersatu mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

    Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai selepas selesai sesi perbahasan dengan sokongan majoriti ADUN.

    ADUN dan kerusi terbabit adalah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, tindakan tersebut menggunakan segala saluran perundangan untuk memastikan kebangkitan rakyat serta sokongan kepada PN dapat dilumpuhkan.

    Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor , mereka menggunakan segala kuasa termasuk kuasa yang ada di DUN.

    Wan Saiful berkata, mereka sepatutnya menunggu daripada membawakan usul itu kerana PRN tinggal beberapa bulan lagi.

    “Seharusnya tunggulah dulu sehingga pilihan raya negeri yang kita tahu tidak berapa bulan lagi.

    “Tetapi kerakusan mereka ini menyebabkan mereka meluluskan usaha untuk memaksa empat ADUN PN di DUN Pulau Pinang terpaksa mengosongkan kerusinya hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Wujudkan Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen, kata Ronald

    Wujudkan Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen, kata Ronald

    AHLI Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mencadangkan diwujudkan satu Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen bagi membolehkan ahli Dewan Rakyat sama ada blok kerajaan dan pembangkang menyuarakan pendapat mereka sebelum belanjawan negara dibentangkan.

    Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perkara berkenaan juga sering dibangkitkan Ahli Parlimen kerajaan sekarang ketika mereka menjadi pembangkang sebelum ini.

    “Ramai Ahli Parlimen terbabit dalam perbahasan belanjawan tetapi adakah cadangan dan teguran mereka dapat diambil kira oleh kerajaan, yang boleh mengubah pembentangan belanjawan?

    “Justeru, kita perlu mewujudkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Kewangan bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk menyuarakan pendapat sebelum belanjawan dibentangkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ronald turut menekankan kepentingan untuk semua ahli Parlimen mendapat peruntukan kewangan yang sama rata, dan ia perlu dimaktubkan dalam undang-undang atau peraturan bagi memastikan peruntukan kewangan berkenaan kekal walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

    “Kerajaan sekarang (membabitkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan) berasal daripada blok sini (pembangkang). Anda lebih faham bahawa peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen diperlukan kerana duduk di sana (kerajaan) tidak kekal.

    “Ada peruntukan yang boleh dijadikan instrumen undang-undang… boleh dibuat melalui pindaan Perlembagaan atau Peraturan Mesyuarat untuk meletakkan ia sebagai satu instrumen kekal,” katanya.

    Ronald juga mencadangkan supaya kedudukan Ketua Pembangkang dijadikan instrumen jelas yang bukan saja bertaraf Menteri Kanan tetapi juga berserta faedah lain.

    “Ia perlu datang dengan faedah dari segi penyelidik, pegawai dan sebagainya, sama seperti Parlimen Komanwel lain yang menyatakan kedudukan Ketua Pembangkang sama taraf serta penting,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kelantan gesa kerajaan tunaikan janji 2018 untuk bayar royalti minyak

    Kelantan gesa kerajaan tunaikan janji 2018 untuk bayar royalti minyak

    KERAJAAN Kelantan melahirkan rasa kesal dengan keengganan kerajaan menyalurkan royalti minyak kepada negeri itu.

    Keputusan itu dilihat bertentangan dengan keputusan Putrajaya di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat pembayaran sedemikian kepada semua negeri termasuk di bawah pemerintahan pembangkang. 

    Ini susulan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima bayaran daripada Petronas kerana minyak yang dikeluarkan berada di luar lingkungan tiga batu nautika milik negeri itu di bawah Akta Laut Wilayah 2012. 

    Namun Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata DUN sudah menolak akta itu pada 2015, kerana merasakan kerajaan Pusat cuba menghalang kerajaan negeri daripada memperoleh royalti minyak dengan mengehadkan wilayah mereka.

    “Perjanjian kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 dalam fasal 1(1) jelas menyatakan Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah 5% daripada nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan,” katanya.

    Beliau juga menyebut minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa: “Memansuhkan program wang ihsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang”.

    Ahmad berkata, kerajaan negeri selama ini sudah mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum bermula 2013 hingga 2021, sambil menambah bahawa perbincangan itu turut disertai oleh pengerusi dan pegawai kanan Petronas.

    “Oleh itu, kerajaan negeri dengan ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat,” tambahnya, lapor MalaysiaNow.

    Minggu lalu, ahli Parlimen Pas menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menjunjung titah Sultan Muhammad yang mahu tuntutan bayaran petroleum kepada negeri Kelantan dapat ditunaikan mengikut perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

    “Kawasan ‘joint-development area’, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand jaraknya dengan pantai Bachok hanya 145 kilometer.

    “Tetapi keputusan kerajaan pada 1996 yang mana Tambun (Anwar Ibrahim) sebagai Menteri Kewangan ketika itu telah melarikan pendaratan ke Songkhla, jaraknya 230 kilometer.

    “Kalau hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu ada mana di Songkhla? Kalau hendak menoktahkan miskin tegar, sepatutnya ia didaratkan di Bachok,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

  • 4 ADUN Bersatu sifatkan keputusan DUN P. Pinang tidak adil

    4 ADUN Bersatu sifatkan keputusan DUN P. Pinang tidak adil

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini yang mengarahkan mereka mengosongkan kerusi masing-masing sebagai tidak adil.

    ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, keputusan berkenaan tidak mengejutkan dan menerima keputusan berkenaan dengan perit.

    Beliau mempersoalkan bagaimana pembangkang Pulau Pinang mampu berperanan dan berfungsi dengan aktif memandangkan hanya tinggal satu-satunya ADUN pembangkang di DUN kini iaitu Mohd. Yusni Mat Piah daripada Pas.

    “Saya juga hairan kerana ADUN UMNO Sungai Dua, Datuk Muhammad Yusoff Mohd. Noor masih berperanan sebagai Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Kami terpaksa menerima keputusan ini sebab kami tahu kalau sudah melalui proses undian kami akan kalah. Sebab secara logiknya pun nombor (jumlah) ADUN kerajaan melebihi ADUN pembangkang.

    “Sekiranya ada ADUN kerajaan yang bersetuju dengan kami sekali pun kerana beranggapan kami betul, mereka akan kena pecat kalau jika menyokong kami,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan bangunan DUN selepas diarahkan keluar daripada sidang DUN berikutan usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan majoriti ADUN hari ini.

    Selain Khaliq Mehtab, turut diarahkan mengosongkan kerusi dan meninggalkan sidang DUN ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang).

    Usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu diluluskan dengan sokongan majoriti ADUN selepas dibahaskan oleh seramai 12 ADUN.

    Terdahulu, usul itu dicadangkan Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR-Pinang Tunggal) dan disokong Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).

    Usul itu dibentangkan hari ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

    Ini berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

    Dalam pada itu, Khaliq Mehtab berkata, keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengosongkan kerusi mereka menerusi usul di sidang DUN itu adalah jelas satu tindakan bermotifkan politik.

    “Insya-Allah, kita akan kembali selepas ini dengan lebih besar dan lebih kuat,” ujar beliau lagi.

  • Lantikan ahli DAP ‘setahun jagung’ jadi Senator dipersoal

    Lantikan ahli DAP ‘setahun jagung’ jadi Senator dipersoal

    KEPIMPINAN DAP Pusat didakwa tidak menghormati akar umbi apabila mencalonkan individu yang ‘setahun jagung’ dalam parti untuk dilantik menjadi Ahli Dewan Negara.

    Perkara berkenaan disuarakan ahli akar umbi dari 25 cawangan DAP di sekitar kawasan Perai apabila mereka mengetahui nama pengarah sebuah hospital di negeri ini dicalonkan untuk jawatan Senator sedangkan individu terbabit baharu menjadi ahli parti sejak dua bulan lalu.

    Jurucakap kumpulan berkenaan, Kriubanantha dari DAP Cawangan Flat Teluk Indah berkata, individu terbabit merupakan anak kepada bekas Timbalan Presiden MIC malah tidak mempunyai sebarang jasa kepada parti namun mahu diangkat oleh DAP sebagai Senator.

    “Ramai lagi pimpinan DAP yang berkebolehan dan layak untuk mengisi jawatan terbabit termasuk dalam kalangan ahli India yang lain termasuk mereka yang sudah berpuluh tahun berjuang untuk parti.

    “Adakah DAP sudah tiada ahli yang berkebolehan ataupun semua ahli yang sedia ada tidak layak untuk dilantik untuk jawatan penting seperti ini?

    “Kenapa ahli-ahli yang bertahun bekerja untuk parti tidak dipertimbangkan tetapi seorang ini ‘dipayung terjunkan’ secara tiba-tiba,” katanya ketika mengadakan bantahan aman di hadapan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang di George Town, hari ini.

    Kriubanantha berkata, ahli akar umbi yang selama ini bekerja keras untuk parti amat kesal dengan keputusan pimpinan itu dan merasakan dipinggirkan apabila nama individu yang asing bagi mereka dicalonkan untuk jawatan terbabit.

    Beliau turut mempersoalkan siapakah pemimpin DAP yang mencalonkan nama dan mahu melantik individu calon payung terjun berkenaan sehingga nama individu yang layak diketepikan.

    “Adakah ahli-ahli DAP sedia ada begitu hina dan rendah martabat kami di mata pemimpin DAP? Inikah penghormatan yang diberikan oleh parti DAP kepada ahli-ahli akar umbi?

    “Kami ahli akar umbi bukan sahaja kecewa, tetapi malu dengan keputusan pimpinan DAP ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan, nama Pengarah Hospital Sungai Bakap, Lingeshwaran R Arunasalam dicalonkan untuk dilantik jawatan Ahli Dewan Rakyat yang mana keputusan itu dikatakan dibuat pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif Pusat DAP pada Jumaat lalu.

    Selain itu, dua nama lain yang disenaraikan ialah Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel dan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Harvindar Singh.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, senarai nama yang disenarai pendek untuk mengisi jawatan itu akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri esok.

    Katanya, calon yang terpilih akan mengisi kerusi Ahli Dewan Rakyat yang ditinggalkan oleh dua bekas senator selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

    Dua bekas Senator itu ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

  • Sultan puji pendirian Anwar tak iktiraf LGBT, negara sekular

    Sultan puji pendirian Anwar tak iktiraf LGBT, negara sekular

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan konsep negara sekular.

    Sultan Sharafuddin bertitah, baginda baru-baru ini ada membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Anwar tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan berkenaan.

    “Baru-baru ini beta telah membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan konsep negara sekular.

    “Jaminan ini bertepatan dan kena pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda, lapor MalaysiaKini hari ini.

    Anwar selepas kira-kira sebulan setengah menjadi Perdana Menteri memberi jaminan bahawa golongan LGBT, konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak akan diiktiraf oleh pentadbirannya.

    Bercakap dalam program khas RTM pada 7 Januari, Anwar berkata, perkara itu hanya dibangkitkan pihak tertentu yang cuba menyebarkan perkara tidak benar.

    Beliau juga menyaman Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mengaitkannya dengan agenda LGBT semasa kempen pilihan raya umum lalu.

    Saman fitnah itu bagaimanapun selesai apabila Razman menarik balik kenyataan, memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Taiping dan berjanji tidak akan mengulanginya.

    Dalam titah di Istana Melawati, Putrajaya, baginda juga menyeru sokongan semua pihak kepada usaha mendaulatkan Islam dan memperkasakan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta meletakkan pentadbiran institusi Islam persekutuan pada landasan sepatutnya.

    “Wakil-wakil di negeri masing-masing juga hendaklah mengusulkan apa-apa cadangan yang telah dilaksanakan di peringkat negeri yang sesuai dikongsikan untuk kepentingan bersama bagi negara kita dan umat Islam.

    “Beta mengharapkan dengan bermulanya lembaran baharu MKI ini, kita semua mampu berjalan seiring dengan semangat dan mentaliti yang baharu, membawa perubahan yang baik dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia,” titah Sultan Sharafuddin.

    Ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-258 tahun lepas, Sultan Sharafuddin dipilih sebagai pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.

    Sebelum ini, jawatan itu disandang Perdana Menteri bermula dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

    Sementara itu, Bernama melaporkan baginda berharap mesyuarat MKI ke-69 yang dipengerusikan baginda hari ini akan menjadi titik tolak dalam usaha mengembalikan peranan mentadbir agama Islam kepada pihak yang berhak.

    Sultan Selangor, yang julung kali mempengerusikan mesyuarat majlis itu sejak dipilih sebagai pengerusi MKI tahun lepas, berharap agar semua pihak menghormati peruntukan dalam perlembagaan yang menjamin hak dan kuasa raja-raja.

    “Beta yakin dengan bermulanya lembaran baharu ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara raja-raja pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam di peringkat persekutuan dan membolehkan hubungan yang lebih akrab dengan negeri-negeri, selari dengan lunas-lunas perlembagaan,” titah baginda.

    Anwar yang juga Timbalan Pengerusi MKI dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar turut hadir.

  • Mayat kanak-kanak lelaki lemas di Bachok dijumpai

    Mayat kanak-kanak lelaki lemas di Bachok dijumpai

    MAYAT seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya yang tergelincir di Pantai Kemayan, Bachok semalam, ditemukan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata mangsa Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, ditemukan pada 1.40 tengah hari tadi oleh orang awam di Pantai Senok, kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat dan proses selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat mangsa turut mendapat bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

  • Saifuddin belum tengok surat RoS, kelulusan usul tambahan PAU 2022

    Saifuddin belum tengok surat RoS, kelulusan usul tambahan PAU 2022

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih belum melihat surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung kelulusan usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

    “Saya baru tiba dari urusan luar negara hari ini (Manila, Filipina) dan tidak pernah berkomunikasi dengan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.

    “Saya tidak tengok lagi surat itu. Jadi ‘to be fair’ (untuk berlaku adil), bagi saya ‘prepare’ (buat persediaan) untuk saya berkomunikasi dengan pihak yang disebut.

    “Bagi saya peluang untuk tengok surat itu dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di George Town hari ini.

    Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ibu pejabat UMNO telah menerima surat daripada KDN menerusi RoS berhubung usul tambahan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

    Namun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat daripada RoS itu susulan terdapat dua laporan media berbeza mengenai usul tambahan yang diluluskan PAU 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

    Dalam reaksi balas, Ahmad Zahid berkata, UMNO sedia mendedahkan surat itu dengan harapan dapat memberhentikan segala isu yang timbul berkaitannya dan mengesahkan bahawa tiada pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

    Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau juga tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai surat RoS tersebut dan akan memanggil Ketua Setiausaha KDN dan pegawainya selepas melihat surat itu.

    “Esok saya tengok surat itu, saya akan panggil KSU saya, pegawai saya, itu baru betul. Saya tidak akan membuat spekulasi sana sini, dia ni kata ada surat, dia ni kata tidak ada surat.

    “Takkan saya nak buat kenyataan teraba-raba begitu,” ujar beliau.