Category: Semasa

  • DAP gantung keahlian individu keluar ucapan provokatif terhadap BN

    DAP gantung keahlian individu keluar ucapan provokatif terhadap BN

    SEORANG ahli DAP digantung keahlian serta-merta selepas tular video ucapannya mengecam parti UMNO dan MCA dalam Facebook, semalam.

    Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Jawatankuasa Disiplin parti juga akan mengambil tindakan susulan terhadap individu tersebut.

    “Saya mengambil maklum mengenai satu klip video yang sedang diviralkan yang melibatkan ucapan seorang ahli DAP dalam satu majlis makan malam anjuran sebuah cawangan DAP.

    “Selepas siasatan dalaman dibuat, adalah didapati majlis tersebut telah diadakan pada bulan Jun yang lalu dan bukannya semasa tempoh kempen pilihan raya.

    “Individu berkenaan adalah seorang ahli biasa DAP dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, tular sebuah video memaparkan ucapan seorang individu dipercayai ahli DAP yang mengecam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap parti UMNO dan MCA.

    Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pimpinan DAP mengutuk keras ucapan tersebut yang bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat.

    Jelasnya, klip video lama itu sengaja ditularkan pihak tertentu pada waktu kritikal bertujuan untuk mematahkan momentum kempen PH dan BN.

    “Saya menyeru semua penyokong PH dan BN tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP,” ujarnya lapor Astro Awani.

  • Bersedia untuk ‘gelombang hijau’ kembali melanda, kata penganalisis

    Bersedia untuk ‘gelombang hijau’ kembali melanda, kata penganalisis

    PENGANALISIS yakin ‘gelombang hijau’ wujud dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu dan mungkin kembali melanda PRN enam negeri esok.

    Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Asrul Hadi Abdullah Sani dari Bower Group Asia senada gelombang hijau wujud, walaupun ada yang skeptikal dan berkata sebaliknya.

    “Tiada siapa menjangkakan gelombang seperti itu sebelum PRU lalu, tetapi ia berlaku dan tiada tanda akan surut,” kata Oh kepada FMT.

    Beliau berkata, kebangkitan semula gelombang itu akibat ‘peningkatan etnosentrik Melayu dan kebangkitan semula politik Islam di seluruh dunia’.

    Istilah gelombang hijau dicipta ahli politik bagi menggambarkan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15, di mana Pas memenangi 43 kerusi Parlimen, paling banyak dalam kalangan semua parti.

    Parti Priobumi Bersatu Malasia (Bersatu) pula menguasai 25 kerusi manakala bagi pihak kerajaan, DAP memenangi 40 kerusi, PKR (31) dan UMNO (26).

    Bagaimanapun, bukan semua yakin dengan kewujudan gelombang hijau.

    Khairy Jamaluddin, sebagai contoh berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergelut mendapat sokongan orang Melayu disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kurang hala tuju ekonomi pentadbirannya berbanding gelombang hijau.

    “Apa yang berlaku di Malaysia sekarang kurang dipengaruhi ‘gelombang hijau’ ekstremis berbanding rasa tidak puas hati komuniti Melayu yang melangkaui isu 3R (raja, agama dan kaum),” kata Khairy dalam artikel dalam portal Singapura, Fulcrum pada Jun lalu.

    Kemudian, bekas ketua Pemuda UMNO itu menerusi podcast berkata, istilah gelombang hijau umpama ‘siulan anjing’ yang digunakan untuk menakutkan bukan Melayu dan Melayu sederhana.

    Asrul berkata, apa yang menjadikan gelombang hijau fenomena politik pada PRU15 ialah bagaimana UMNO tumbang di kerusi Melayu luar bandar, yang merupakan kubu tradisinya.

    “Tetapi, gelombang ini hanya berlaku di kerusi majoriti Melayu,” katanya sambil menambah perkara sama akan berlaku kali ini.

    Azmi berkata, gelombang hijau hanya melanda tiga negeri pimpinan Pas, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    “Ya, ia akan memberi impak besar di tiga negeri Pas, khasnya Kelantan dan Terengganu. Kemungkinan ia menyebabkan Barisan Nasional kalah semua kerusi agak tinggi dan mungkin di Kedah juga. Tetapi, ia kurang memberi kesan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan atau Selangor.”

    Oh berkata, PN dilihat sekurang-kurangnya boleh memecahkan majoriti dua pertiga Pakatan Harapan-BN di Selangor dan Negeri Sembilan.

    Ditanya sama ada kerajaan perpaduan sudah melakukan secukupnya untuk menarik undi Melayu-Islam, katanya tentunya tidak.

    “Kerajaan perpaduan menumpukan kebimbangan sosioekonomi pengundi ini, tetapi pertempuran sebenar adalah dalam pemikiran mereka dari segi agama,” katanya.

    Azmi berkata UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak melakukan secukupnya untuk mencabar naratif DAP terlalu dominan.

    Peranan pengundi muda dalam gelombang hijau

    Ditanya sama ada belia akan menjadi ‘broker kuasa’ dalam PRN, Azmi berkata, PRU15 menunjukkan pengundi muda lebih cenderung mengambil risiko menyokong PN kerana mereka tidak terikut dengan kesetiaan kepada parti seperti UMNO berbanding generasi lebih tua.

    “Tetapi, persoalannya adakah mereka akan keluar mengundi,” katanya merujuk peratusan keluar mengundi kumpulan itu sangat rendah pada PRU15 dan biasanya ia lebih rendah untuk PRN.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, seramai 661,905 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun berdaftar untuk mengundi pada PRN enam negeri, tetapi ia hanya merangkumi 6.8% daripada keseluruhan pengundi layak (9,773,571).

  • Kes rasuah : Hamzah hantar surat tuntutan kepada kerajaan, SPR

    Kes rasuah : Hamzah hantar surat tuntutan kepada kerajaan, SPR

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Itu melibatkan pertuduhan kes rasuah terhadap seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Sim Choo Thiam yang dikaitkan dengan bekas Menteri Dalam Negeri itu membabitkan RM15 juta seperti didakwa SPRM.

    “Saya nak tegaskan sekali lagi, wallahi wabillahi watallahi, saya tiada kena mengena dengan kes ini, saya tidak menerima apa-apa imbuhan daripada apa yang telah dimaksudkan dalam pendakwaan tersebut.

    “Saya akan hantar surat tuntutan kepada kerajaan Malaysia dan SPRM. Saya lakukan kerana nak menentukan tidak ada lagi kezaliman yang berlaku dalam negara ini. Saya lakukan ini untuk saudara-saudara di hadapan saya bukan untuk kepentingan saya,” katanya ketika berucap di Pentas Setiausaha Perikatan Nasional di Shah Alam, malam tadi.

    Pada 10 Mei lalu, Datuk Seri Sim Choo Thiam, 54 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.

    Bagi pertuduhan pertama, Sim didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

    Ia sebagai dorongan untuk Hamzah yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

    Di pentas itu juga, Hamzah mendedahkan kandungan laporan polis dibuat Sim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu yang jelas menafikan penglibatannya dalam kes tersebut.

    Sim dalam laporan berbahasa Inggeris itu mendakwa diasak dengan agresif oleh pegawai SPRM supaya mengaku dan menuding jari kepada Hamzah demi dibebaskan namun beliau berkali-kali menegaskan tidak akan berbohong.

    “SPRM soal lagi, sama ada saya ada beri mana-mana dari jumlah RM15 juta itu kepada Datuk Seri Hamzah, jawapan saya ‘tidak’. Mereka kelihatan sangat terdesak mahu saya menuding jari kepada Datuk Seri Hamzah.

    “Saya kata saya minta maaf sangat tapi saya tak boleh berbohong dan menuding jari kepadanya (Hamzah). Jika saya sebut nama dia, saya akan dibebaskan segera. Saya tegaskan kepada pegawai itu saya tetap dengan jawapan saya dan saya tidak rasa saya bersalah dan saya tidak akan berbohong.

    “Pegawai itu sangat marah setiap kali saya beri jawapan sama bahawa saya tidak ada memberi duit kepada Datuk Seri Hamzah. Tujuan saya buat laporan polis ini untuk menafikan saya terlibat dalam rasuah dan menerima sebarang habuan untuk Datuk Hamzah, diri sendiri atau orang lain,” kata Sim dalam laporan polis tersebut yang dibacakan Hamzah.

    Menurut laporan itu juga, Sim turut membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel bertajuk “SPRM siasat ‘butler’ Hamzah Zainuddin ‘pau’ duit RM15 juta Syarikat Asia Coding Cetre”.

    Sementara itu, Hamzah dalam ucapan sama menyeru pengundi di keenam-enam negeri terlibat memberi kemenangan kepada PN demi menyelamatkan negara.

    “Saya perjuangkan ini semata-mata untuk beritahu kepada semua pengundi yang mengundi pada 12 Ogos ini bahawa jika kamu bersama saya untuk menentang kezaliman, ingin melihat negara ini menjadi negara yang aman dan damai, mahu melihat kepimpinan negara ini akan dipimpin oleh seorang yang lebih berkaliber, penuh dengan integriti maka kamu undilah Perikatan Nasional. Berikan sokongan kepada calon-calon PN di seluruh negara.

    “Saya mohon kepada semua pengundi, tolong bantulah selamatkan negara ini daripada seorang pemimpin yang hanya melakukan penipuan, bohong…bukan hanya rakyat tetapi juga seluruh negara kita ini. Saya mohon kepada semua,” katanya, lapor FMT.

    Malah beliau memberi jaminan kepada penyokong bukan Melayu agar tidak takut dengan kehadiran Pas dalam PN kerana Islam tidak membenarkan umatnya menzalimi orang lain.

  • Mahkamah tolak rayuan Najib singkir dua peguam Tommy Thomas

    Mahkamah tolak rayuan Najib singkir dua peguam Tommy Thomas

    MAHKAMAH Rayuan menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk melucutkan kelayakan firma guaman Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili Tommy Thomas, dalam perbicaraan saman RM1.9 juta dikemukakan bekas Perdana Menteri itu terhadap bekas Peguam Negara terbabit.

    Panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan Najib yang sebelum ini menyaman Thomas atas tuduhan melakukan pendakwaan berniat jahat terhadapnya dalam kes 1MDB, lapor Malaysiakini.

    Hanipah memutuskan bahawa panel hakim mendapati tiada kaitan antara dua peguam daripada firma berkenaan dengan tindakan undang-undang yang diambil terhadap Najib.

    Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk melucutkan kelayakan firma terbabit.

    Mahkamah juga membenarkan permohonan Tommy membatalkan saman tersebut tanpa meritnya didengar dalam perbicaraan penuh.

    Najib merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan berkenaan. Keputusan hari ini adalah mengenai isu kelayakan firma guaman yang didakwa tidak dapat bertindak secara profesional ketika mewakili Thomas.

  • PN menang enam negeri jika 90 peratus pengundi Melayu keluar

    PN menang enam negeri jika 90 peratus pengundi Melayu keluar

    Oleh BADLISHAH MAT

    PULAU Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan boleh ditawan Perikatan Nasional (PN) sekiranya 90 peratus pengundi Melayu menunaikan tanggungjawab mereka, Sabtu ini.

    Malah, situasi itu juga membolehkan Kedah, Kelantan dan Terengganu turut akan kekal ditadbir PN selepas pilihan raya negeri (PRN) kelak.

    Namun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peratusan orang Melayu yang keluar mengundi pada pilihan raya sebelum ini sering kali dicatatkan rendah.

    “Menerusi pengamatan kita dan rekod yang ada mendapati kira-kira 30 peratus pengundi Melayu tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu. Angka 30 peratus itu adalah jumlah undi yang besar dan ia boleh menentukan parti mana yang akan menubuhkan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Sembang Santai di Pangkalan Nelayan Kuala Chenang di Langkawi.

    Kelantan dan Terengganu dimenangi PN pada PRU14, sebelum Kedah dikuasai gabungan itu sejak Mei 2020 setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

    PH pula mendominasi Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang turut terlibat dalam PRN kali ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, PN turut boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 lalu sekiranya pengundi di setiap kawasan Parlimen tinggi ketika itu.

    “Kalau jumlah yang keluar mengundi semua kawasan ramai pada PRU15 lalu, kita yakin PN sudah boleh tubuh kerajaan Pusat,” katanya.

    Beliau berkata, pilihan raya adalah teras kepada amalan demokrasi dalam negara untuk memilih pemimpin dan kerajaan.

  • Kedah kena pilih kerajaan kuat, berani kata ‘No’ – Sanusi

    Kedah kena pilih kerajaan kuat, berani kata ‘No’ – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    RAKYAT Kedah perlu memilih kerajaan negeri yang kuat dan kukuh serta tidak takut untuk berkata ‘no’ kepada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri sekali pun sekiranya mereka membuat keputusan yang tidak menguntungkan negeri ini.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah mahukan supaya semua keputusan dibuat negeri ini, boleh diikuti pihak-pihak lain demi kepentingan negeri dan rakyat.

    “Kalau nak undi, rakyat Kedah kena pilih satu kerajaan yang kuat dan kukuh, yang boleh berkata ‘no kepada Perdana Menteri. Kita boleh berkata ‘no’ kepada sesiapa pun yang pada fikiran kita, keputusan dibuat mereka tidak menguntungkan kita.

    “Kita mahu supaya apa-apa keputusan yang kita buat, mereka boleh ikut kerana alasan dan justifikasi diberikan untuk setiap keputusan itu adalah munasabah untuk kepentingan negeri dan rakyat negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu di Naka, hari ini.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, sekiranya rakyat Kedah memilih memberi kuasa di negeri ini kepada pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), mereka tidak akan berani untuk berbuat demikian.

    “Kalau beri negeri ini kepada ‘Cak Uban’ (Datuk Mahfuz Omar), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid), mereka takkan berani berkata tidak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan pakatan yang dibina.

    “Kena ada satu keputusan yang kuat, kukuh di Kedah kerana kita nak pastikan, kitalah yang mengawal hasil mahsul negeri ini untuk kepentingan rakyat Kedah Darul Aman keseluruhannya. Bukan untuk kepentingan tauke-tauke. Pilihan Raya Negeri ini tak penting kata mereka, tak boleh ubah kedudukan kerajaan Persekutuan katanya. Yang mereka dok ‘pulun’ itu pasal apa? Pasal kekayaan negeri kitalah,” katanya.

    Menurutnya, rakyat Kedah perlu memastikan bahawa orang yang akan menjadi kerajaan di negeri ini memiliki ikatan, kecintaan, kesetiaan dan kefahaman tentang geopolitik serta ekonomi bagi mengawal, juga melindungi negeri ini.

    “Penting Kedah ini untuk negara, sebab itu pakat berebut semua. Sebab strategiknya kedudukan dari segi geopolitik Kedah yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara.

    “Kena sedar dan faham akan kepentingan negeri ini. Tak ada dah puak lain yang boleh buat semua tugasan itu melainkan PN,” tegasnya.

  • PRN : Polis perketat kawalan keselamatan istana, kompleks kerajaan negeri

    PRN : Polis perketat kawalan keselamatan istana, kompleks kerajaan negeri

    POLIS  akan memperketat kawalan keselamatan di lokasi strategik termasuk di istana negeri yang berkemungkinan menjadi tumpuan pihak tertentu sebaik keputusan PRN enam negeri diumumkan pada Sabtu.

    Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata langkah itu adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di lokasi strategik berkenaan terjamin selepas pasca PRN.

    Beliau berkata, keselamatan di sesebuah istana itu amat penting kerana polis tidak mahu sebarang gangguan terhadap istana pada tengah malam sebaik keputusan diumumkan.

    “Kami tidak mahu istana atau sultan di negeri diganggu tengah-tengah malam untuk (pimpinan kerajaan negeri yang baharu) angkat sumpah.

    “Kami akan memastikan peralihan kepimpinan sesebuah kerajaan negeri berlangsung dalam keadaan aman berdasarkan Perlembagaan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, lapor BERNAMA.

    Razarudin berkata, sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri melibatkan enam negeri dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ini, polis telah membuat persiapan penugasan sebelum hari penamaan calon, undi awal, dan tempoh kempen bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

    Beliau berkata, sebanyak 36,492 pegawai dan anggota polis yang bersedia mengawasi perjalanan PRN kali ini disertai oleh antaranya Polis Simpanan Persekutuan, Pasukan Gerakan Udara, dan Pasukan Gerakan Am.

    “Ini termasuklah menjaga dan mengangkat peti undi untuk disimpan di dalam lokap-lokap yang telah dikosongkan,” katanya.

    Selain itu, Razarudin juga memberi jaminan keselamatan kepada semua pihak termasuk calon PRN, penyokong, dan pengundi untuk keluar mengundi tanpa rasa takut.

    “Saya tahu ketika ini, polis sedang bertugas pada PRN sehinggalah pasca PRN, saya hendak mereka ini (calon, penyokong dan pengundi) keluar mengundi tanpa rasa disekat atau dihalang.

    “Saya sebagai KPN dan timbalan saya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua polis negeri dan ketua polis daerah di enam negeri PRN ini telah bersedia dan anda boleh keluar mengundi dengan selamat,” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian bagi PRN enam negeri serta PRK Kuala Terengganu pada 12 Ogos dengan tempoh berkempen selama 14 hari hingga 11.59 malam pada 11 Ogos.

  • 5 lelaki rogol remaja secara bergilir ditahan

    5 lelaki rogol remaja secara bergilir ditahan

    LIMA lelaki termasuk remaja berusia 15 tahun dicekup disyaki merogol berkumpulan, di Telok Panglima Garang, Banting pada 29 Julai.

    Ketua Polis Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor, berkata tangkapan itu susulan laporan diterima daripada mangsa berusia 15 tahun yang mendakwa diperlakukan sedemikian kira-kira 2 pagi.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dibawa seorang daripada suspek ke sebuah rumah sebelum dirogol secara bergilir-gilir.

    “Bertindak atas maklumat, polis menahan lima lelaki warga tempatan berumur antara 15 hingga 23 tahun di kawasan Klang dan Telok Panglima Garang.

    “Hasil semakan, kesemua suspek didapati tidak memiliki sebarang rekod jenayah. Ujian saringan awal air kencing terhadap mereka juga negatif dadah,” katanya dalam kenyataan lapor FMT

    Katanya, semua suspek telah direman lapan hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

  • Polis tumpaskan sindiket penipuan pelaburan, 101 individu dicekup

    Polis tumpaskan sindiket penipuan pelaburan, 101 individu dicekup

    TAKTIK licik sindiket penipuan pelaburan yang bersembunyi di sebuah premis di USJ 1, Subang Jaya selama setahun berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 101 ahli sindiket itu berjaya ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan pada 7 Ogos lalu.

    Jelas beliau, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya mengesyaki sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia.

    “Hasil serbuan tersebut, seramai 65 lelaki dan 36 wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 19 hingga 41 tahun ditangkap.

    “Tangkapan terdiri daripada pengurus, pengurus operasi, juruteknik bahagian IT dan pekerja khidmat pelanggan pusat panggilan tersebut.

    “Polis turut membuat rampasan sebanyak 94 komputer, 47 telefon pejabat, 96 telefin bimbit, sebuah modem dan sebuah router,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

    Mengulas lanjut, Hussein berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan media sosial dan rangkaian internet dalam mempromosikan pelaburan mereka.

    Katanya, operator di bahagian pemasaran akan membuat panggilan kepada orang ramai melalui nombor telefon yang dibekalkan oleh ketua sindiket.

    Menurut Hussein, pelabur akan diberikan link untuk melayari lama web GCM Asia dan membuat pendaftaran sebelum membuat pembayaran mengikut jumlah yang ditetapkan.

    “Pelaburan tersebut menawarkan pakej pelaburan dalam bidang forex, emas, minyak, saham dan lain-lain dengan jumlah minimum USD 100,” katanya.

    Sementara itu, Hussein memaklumkan, pemeriksaan awal terhadap barang kes yang dirampas mendapai aplikasi pelaburan GCM Asia dan nombor akaun bank yang diguna pakai terlibat dengan beberapa laporan polis yang telah dibuat mangsa di Selangor dan negeri lain.

    Menurut Hussein, sasaran sindiket tersebut adalah warganegara Malaysia dan anggaran kerugian mangsa setakat ini mencecah RM2 juta.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dalam mencari pekerjaan dalam media sosial yang menawarkan gaji lumayan.

    “Selidik dahulu latar belakang syarikat tersebut sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.

    “Pihak polis juga memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak bekerja dengan sebarang sindiket penipuan seperti ini,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Pereka bebas mengaku tak salah hendap jurugambar wanita diarah jalani pemeriksaan mental

    Pereka bebas mengaku tak salah hendap jurugambar wanita diarah jalani pemeriksaan mental

    SEORANG pereka bebas yang didakwa atas satu pertuduhan menghendap seorang jurugambar wanita selama hampir lapan tahun diarahkan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

    Lelaki berkenaan yang menjadi individu pertama didakwa mengikut Akta Anti-Menghendap itu diarahkan sedemikian selepas Majistret Sasha Diana Sabtu membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abas.

    Zilfinaz memohon agar tertuduh itu dihantar ke hospital psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Terdahulu, tertuduh Mohamad Safiq Rosli, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud secara berulang menerusi akaun Twitter @sopert99 milik tertuduh.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan menghantar tiga komunikasi meluahkan perasaan cintanya kepada akaun Twitter @ShaForShizzle yang dibaca di sebuah kediaman di Kuala Lumpur yang mana tertuduh sepatutnya tahu gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan ke atas mangsa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jam 1.40 pagi pada 15 Julai lalu sehingga sekitar pukul 5.58 petang pada 21 Julai 2023.

    Justeru tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan menghendap di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 507A (3) Kanun yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh yang kini tidak bekerja itu boleh dipenjara sehingga tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya.