Category: Semasa

  • Tuduhan jahat Pas bawa ideologi radikal hanya ilusi semata

    Tuduhan jahat Pas bawa ideologi radikal hanya ilusi semata

    DAKWAAN kononnya Pas membawa ideologi radikal berbaur ekstremisme, meleset dan hanya ilusi yang tiada asas kukuh daripada realiti sebenar.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tuduhan itu lebih kepada berniat jahat untuk memomokkan perjuangan mempertahankan agama berwajah ekstrem.

    “Adakah dengan mempertahankan hak agama, bersikap tegas terhadap isu-isu melibatkan kepentingan agama dianggap tindakan radikal?

    “Sedangkan Pas sentiasa mengamalkan prinsip politik bersemuka sejak awal penubuhannya dan terus dipertahankan sehingga hari ini,” kata beliau pada satu kenyataan di Alor Setar.

    Beliau membidas tohmahan Ketua Pengarah Komunikasi Komuniti (J-KOM) Prof. Datuk Dr. Agus Yusoff, konon wujudnya ideologi radikal di kalangan parti politik pembangkang yang mampu menggugat kestabilan negara untuk menggulingkan kerajaan persekutuan hari ini.

    Malah kenyataannya yang dilaporkan oleh sebuah media tempatan pada 6 Mac lalu secara terang menyamakan ideologi radikal yang diamalkan pembangkang mendorong ahlinya berkelakuan selari dengan kumpulan militan Islam (IS).

    Justeru Ahmad bertanya, adakah bersikap tegas terhadap perkembangan golongan lesbian, gay, bioseksual dan transeksual (LGBT), liberalisme serta pluralisme yang bangkit mewajahkan diri sebenar mereka sejak kebelakangan ini dianggap ekstrem.

    “Adakah ini juga termasuk dalam definisi ekstrem oleh Ketua Pengarah J-KOM? Adakah pendirian Pas itu juga suatu tindakan radikal sedangkan Pas mengingatkan umat Islam tentang bahaya golongan ini kepada akidah sebagai seorang Muslim.

    “Bagaimana pula sokongan besar rakyat terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Adakah mereka yang menyokong Pas dan PN juga radikal,” soal beliau.

    Malah tambah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat itu, kerajaan yang dikatakan meletakkan prinsip madani di hadapan pernah menuduh Pas mengambil dana tajaan syarikat perjudian sedangkan dalam masa parti itu membuktikan komitmen menutup premis perjudian di negeri-negeri di bawah pentadbirannya.

    “Di mana pertimbangan rasional, etika serta bersikap tidak bias dalam sesuatu penilaian yang cukup dititiberatkan oleh seseorang yang pernah berada lapangan akademik?

    “Terlalu banyak jawapan berbanding persoalan yang dibangkitkan. Malangnya, pemikiran golongan sebegini telah cuba mensudutkan Pas sebagai ekstrim dan radikal,” tambahnya, lapor Harakah Daily.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan Ketua Pengarah J-KOM agar lebih memokuskan tugas hakikinya dan mengubah mentaliti agar lebih matang.

    Katanya, rakyat menilai tindak tanduk kerajaan pada hari ini dan usahlah menjadi ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’.

  • OPR dijangka naik kepada 3.0 peratus Mei ini

    OPR dijangka naik kepada 3.0 peratus Mei ini

    KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dibuat pada Mei ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah di luar jangkaan mengekalkannya pada paras 2.75 peratus Januari lalu, demikian menurut Standard Chartered.

    Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Bank (Singapore) Limited, Edward Lee berkata, pihaknya menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan mengekalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada paras semasa pada mesyuaratnya 9 Mac ini.

    “Memandangkan subsidi masih ada, inflasi Januari menyederhana sedikit dan dengan hanya satu bulan data sejak Januari, BNM diunjur mengekalkan pendirian tunggu dan lihat untuk menilai kesan pelarasan OPR terkumpul yang lalu.

    “Justeru, pihak kami akan memerhatikan penilaian BNM terhadap pertumbuhan domestik dan prospek perkembangan inflasi.

    “Walaupun bank pusat menghentikan seketika pada Januari (menaikkan OPR), nada penyataan dasar monetari adalah tidak lembut.

    “BNM mempunyai penilaian positif terhadap ekonomi domestik dan membiarkan ruang terbuka untuk kenaikan selanjutnya,” katanya dalam satu nota penyelidikan, lapor BH Online.

    Mengulas lanjut, Lee berkata, pihaknya mengekalkan jangkaannya bahawa BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus Mei ini.

    Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan kemungkinan rasionalisasi subsidi bahan api pada separuh kedua, yang mungkin mengecualikan kumpulan pendapatan 20 peratus teratas (T20) daripada subsidi bahan api.

    Katanya, berdasarkan andaian harga minyak AS$80 setong oleh Kementerian Kewangan (MoF), pihaknya menganggarkan bahawa pemansuhan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan menambah 0.5 mata peratusan kepada inflasi setiap tahun.

    Januari lalu, BNM menerusi MPC membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.

    OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

  • Puteri Sarah dakwa pernah dipukul Syamsul

    Puteri Sarah dakwa pernah dipukul Syamsul

    PELAKON Puteri Sarah Liyana mengemukakan bukti baharu mendakwa dirinya pernah dipukul oleh suaminya, Syamsul Yusof pada 2020 hingga menyebabkan dia keluar dari rumah.

    Puteri Sarah berkata demikian di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas ketika prosiding tuntutan cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur, hari ini.

    Puteri Sarah berkata, bukti baharu itu dikemukakan selepas Syamsul enggan melafazkan cerai terhadapnya hari ini.

    “Sebolehnya saya tak mahu buka cerita mengenai kejadian itu,  tapi disebabkan Syamsul tidak mahu melepaskan saya maka saya dedahkan kepada mahkamah. 

    “Sebelum ini saya bertindak berdiam diri kerana masih menyimpan rasa sayang. Tambah pula, bila orang kata saya buka aib ketika itu, saya tak nak buat apa-apa tindakan atau buat laporan polis. Tiada siapa yang tahu mengenai perkara itu. 

    “Namun yang selamatkan saya ketika itu ialah ibu mentua saya. Dia yang keluarkan saya daripada rumah dua tahun lalu. Malah Syamsul pun tahu kenapa (keluar rumah),” katanya lapor Harian Metro.

    Menurut peguam yang diwakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader,  insiden dipukul itu adalah salah satu fakta anak guamnya keluar dari rumah selepas didakwa nusyuz oleh Syamsul. 

    Pelakon, Puteri Sarah bersama peguamnya ketika hadir bagi merujuk kes penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kejadian dipukul antara fakta mengapa Sarah membuat keputusan keluar rumah. Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz). 

    “Pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa yang sebenarnya berlaku. Namun begitu, mengenangkan hubungan baik dengan keluarga mentua dia kembali semula ke rumah.

    “Jadi andaian anak guam saya keluar ke rumah tanpa izin adalah tidak betul sebab anak guam saya ada alasan kukuh,” katanya.

    Terdahulu, Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof ketika hadir bagi merujuk kes penceraian dengan isterinya, Puteri Sarah kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

    Sebelum ini pada 16 Januari lalu Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Terdahulu Puteri Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua pada awal tahun ini.

    Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Bantuan KWSP RM500 hanya boleh dirasai bertahun-tahun akan datang – Ismail Sabri

    Bantuan KWSP RM500 hanya boleh dirasai bertahun-tahun akan datang – Ismail Sabri

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyindir bantuan RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023.

    Sambil memanggil usaha itu sebagai ‘murni’, katanya bantuan itu bagaimanapun hanya boleh dirasai bertahun-tahun akan datang. 

    “Rakyat memerlukan bantuan pada masa sekarang, terutama mangsa-mangsa banjir. Namun keperluan rakyat adalah pada hari ini.

    “Rumah hendak kena lelong, anak hendak masuk universiti, mereka mereka memerlukan wang pada masa sekarang bukan 10 atau 15 tahun lagi,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023. 

    Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan RM500 ke dalam akaun simpanan individu yang mempunyai kurang daripada RM10,000.

    Bantuan itu membabitkan RM1 bilion yang akan diberikan kepada hampir dua juta ahli yang berusia antara 40 hingga 54 tahun.

    Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera turut mengulangi gesaan agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar. 

    Beliau turut menyentuh cukai barangan mewah yang diperkenalkan dalam belanjawan itu. 

    Katanya, langkah tersebut dilihat bakal menjejaskan sumber pendapatan daripada pelancongan. 

    “Aktiviti membeli belah pelancong asing menyumbang sebanyak 30 peratus daripada RM86.1 bilion hasil pendapatan pelancongan negara pada tahun 2019 adalah disumbangkan oleh aktiviti membeli belah pelancong asing.

    “Ini kerana Malaysia adalah syurga membeli belah kepada pelancong asing. Pengenalan cukai ini  menyebabkan mereka akan pergi ke negara-negara jiran untuk berbelanja, di Indonesia semakin banyak gedung yang menjual barangan mewah,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • 2 bot nelayan ditahan tiada lesen, gajikan PATI

    2 bot nelayan ditahan tiada lesen, gajikan PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan tanpa lesen dan melanggar syarat kerana mengajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pukul 10.41 pagi dan 10.20 malam semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh kapal dan bot Maritim Malaysia ketika dalam rondaan rutin OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

    Menurut beliau, penahanan pertama dilakukan selepas pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan kelas C yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak di kedudukan 16.5 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

    Maritim menahan dua buah bot nelayan tempatan tanpa lesen dan melanggar syarat kerana mengajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

    Katanya, pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta seorang kru warga Myanmar berumur antara 23 hingga 63 tahun.

    “Dua di antara kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta menggajikan kru warga asing.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     

    Maritim menahan seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta seorang kru warga Myanmar berumur antara 23 hingga 63 tahun daripada salah sebuah bot berkenaan


    Tambah beliau, penahanan bot nelayan kedua dilakukan pada kedudukan 0.61 batu nautika tenggara Gertak Sanggul yang berpangkalan di Jeti Teluk Kumbar dikendalikan oleh empat kru kesemuanya warga tempatan berumur antara 18 hingga 51 tahun.

    Katanya, bot itu ditahan kerana gagal mempamerkan lesen serta tidak diusahakan sendiri pemiliknya dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

    “Kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan bersama 500 kilogram hasil laut bagi bot nelayan kelas C dan lima kilogram hasil laut bagi bot kelas A seterusnya dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung dan jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggajikan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran dan tangkapan telah dibuat.

    “Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.
     
    Ujar beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • 70 peratus aset, dana 1MDB dikembalikan – Azam Baki

    70 peratus aset, dana 1MDB dikembalikan – Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, RM28.93 bilion iaitu lebih 70 peratus aset dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dikembalikan sehingga kini.

    “SPRM merupakan agensi utama dalam membantu kerajaan untuk mendapatkan kembali aset 1MDB.

    “Sehingga kini, sebanyak RM28.93 bilion, lebih 70 peratus daripada aset dapat dikembalikan dalam kes 1MDB ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis tandatangan persefahaman antara SPRM, Universiti Teknologi Malaysia Mara dan Institut Akauntan Malaysia di Putrajaya hari ini.

    Katanya, aset dan dana terbaharu ditemui ialah AS$1.8 bilion (RM8 bilion) berikutan penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

    Pihaknya menganggarkan kira-kira 70 peratus daripada aset dan dana telah diperoleh semula.

    Azam berkata, SPRM adalah antara agensi utama yang ditugaskan untuk mendapatkan semula aset dan dana milik 1MDB.

    “Kita telah memainkan peranan penting dalam usaha mendapat semula (dana dan aset) termasuk menjalankan siasatan, membuat tangkapan dan mendakwa mereka yang terlibat dalam 1MDB,” ujar beliau.

    SPRM katanya, terutama bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram telah memainkan peranan penting sepanjang usaha mendapatkan semula aset tersebut.

    Tambahnya, usaha untuk mendapatkan semula aset dan dana 1MDB lain masih diteruskan.

    “Kita akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin dana aset berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha penjawat awam terutamanya Jabatan Peguam Negara dan SPRM merujuk kepada kejayaan itu.

    Pemerolehan semula dana dari dua firma pelaburan IPIC dan Aabar PJS sebagai kejayaan besar.

    Anwar dilaporkan berkata, kejayaan itu juga menunjukkan kepakaran dan ketrampilan pegawai kerajaan sedia ada tanpa perlu bergantung kepada perunding atau konsultan.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan dua firma pelaburan itu bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.

    Kementerian Kewangan memaklumkan penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang yang berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

    Dengan penyelesaian ini, Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan faedah ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan.

  • Lebih 42,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

    Lebih 42,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

    JUMLAH mangsa banjir di tiga negeri sedikit menurun dengan 42,909 orang ditempatkan di 234 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di sembilan daerah berkurang daripada 40,129 semalam kepada 39,620 orang susulan penutupan 16 PPS malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata keadaan banjir di daerah Segamat semakin surut, bagaimanapun terdapat peningkatan mangsa di daerah Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

    Daripada sembilan daerah, tiga daerah paling teruk terjejas adalah Batu Pahat melibatkan 22,209 orang, diikuti Muar dengan 5,094 orang dan Segamat 4,036 orang.

    Setakat ini, sebanyak 10,862 keluarga ditempatkan di 210 PPS dan angka korban akibat banjir kini lima orang susulan penemuan mayat wanita yang dipercayai hanyut akibat arus deras bersama keretanya di Mersing, malam tadi.

    Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal pada 2,684 orang daripada 766 keluarga seperti malam tadi.

    Sebanyak 2,671 mangsa berada di 18 PPS di Rompin manakala 13 lagi ditempatkan di sebuah PPS di Maran.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin meningkat sedikit kepada 605 mangsa daripada 161 keluarga berbanding 593 mangsa daripada 160 keluarga pada 8 malam tadi.

    Kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah; SK Parit Penghulu, SK Seri Mendapat; SK Sungai Rambai dan SK Parit Gantong.

  • Pegawai penyelidik dakwa SPRM tawar RM10 juta dihadap ke mahkamah

    Pegawai penyelidik dakwa SPRM tawar RM10 juta dihadap ke mahkamah

    SEORANG pegawai penyelidik yang membuat dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.

    Mohamad Shafiq Abdul Halim, 32, yang juga pemerhati politik didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi perintah menghadirkan diri untuk diperiksa secara lisan berhubung kes yang disiasat SPRM.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Mohamad Shafiq didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 3 Mac lepas mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 69 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

    “Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah supaya mengeluarkan satu perintah larangan agar tertuduh tidak membuat sebarang komen atau ulasan bersifat subjudis terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh,” katanya.

    Peguam Chetan Jethwani yang mewakili tertuduh membantah permohonan pendakwaan berhubung perintah larangan tersebut dengan alasan ia agak keterlaluan kerana hanya mahkamah yang akan menentukan isu subjudis.

    “Kes ini sudah mendapat perhatian media dan jika pendakwaan bercadang memohon perintah larangan itu, ia perlu dibuat secara permohonan rasmi di mahkamah,” katanya.

    Suzana bersetuju dengan pembelaan supaya pihak pendakwaan memfailkan permohonan secara rasmi.

    Beliau membenarkan Mohamad Shafiq diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 7 April untuk sebutan kes.

    Sebelum ini media melaporkan, seorang pegawai penyelidik ditahan SPRM dan dia dikatakan mendakwa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sebelum ini satu video berdurasi 44 saat yang tersebar di Twitter memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Wan Saiful.

  • Penahanan Bendahari Agung Bersatu ikut kehendak kes-Azam Baki

    Penahanan Bendahari Agung Bersatu ikut kehendak kes-Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tindakan reman ke atas Bendahari Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Salleh Bajuri baru-baru ini dibuat mengikut peraturan ditetapkan dan kehendak siasatan.

    “Tindakan tersebut mengikut kehendak dan keperluan kes,” tegas Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

    Menurutnya, SPRM sebagai agensi penguat kuasa mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dan penahanan dibuat atas kuasa budi bicara pegawai penyiasat.

    “Saya menyerahkan kepada pegawai penyiasat saya dan mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di Putrajaya hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertikai penahanan Salleh oleh SPRM memandangkan parti itu memberi kerjasama penuh kepada agensi itu sejak Januari lalu.

    Hamzah dilaporkan berkata, tiada sebab munasabah untuk SPRM memohon penahanan reman terhadap Salleh atas alasan siasatan.

    Salleh ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lalu hingga semalam selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.

    Berdasarkan rekod, ini penahanan kedua membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.

  • Mahkamah arah Puteri Sarah, Syamsul dirujuk kepada JKP

    Mahkamah arah Puteri Sarah, Syamsul dirujuk kepada JKP

    MAHKAMAH Rendah Syariah hari ini mengarahkan pengarah, Syamsul Yusof dan pelakon, Puteri Sarah merujuk kes mereka kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).

    Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas, memutuskan supaya Syamsul atau nama penuhnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, dan Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, melantik wakil masing-masing-masing dalam JKP, lapor Berita Harian.

    Pelakon, Puteri Sarah ketika hadir bagi merujuk kes penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu dilaporkan berkata tuntutan cerai dibuat selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan perdamaian, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof ketika hadir bagi merujuk kes penceraian dengan isterinya, Puteri Sarah kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Puteri Sarah menegaskan keputusan memfailkan perceraian adalah muktamad dan tidak akan menarik balik hasratnya walau apapun berlaku.

    Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam dan Summayah, masing-masing berusia lima dan tiga tahun.