Category: Semasa

  • Kerajaan tak jawab soalan syarikat mana dapat import telur

    Kerajaan tak jawab soalan syarikat mana dapat import telur

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan mengapa sehingga hari ini tidak ada penjelasan syarikat mana yang diberikan permit import (AP) telur ayam dari India oleh kerajaan.

    Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, perkara itu tidak dinyatakan menteri berkaitan dalam jawapan bertulis yang diterimanya.

    “Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini saya menerima jawapan bertulis untuk soalan saya berkaitan bekalan telur dalam negara.

    “Saya juga tanya mengenai telur import dari India. Tapi nampaknya jawapan Menteri tidak menjawab sepenuhnya soalan saya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini, lapor Agenda Daily.

    Berdasarkan satu daripada pertanyaan lisan Wan Saiful, beliau bertanyakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengimport telur dari India yang harganya lebih mahal dan saiz telur lebih kecil serta syarikat manakah yang mendapat AP import telur, bagaimana mereka dipilih dan berapa lama AP ini berkuat kuasa.

    Bagaimanapun, jawapan bertulis oleh Mohamad atau Mat Sabu hanya menjelaskan syarikat tersebut diberikan AP kerana mempunyai pengalaman sebelum ini tetapi tidak mendedahkan nama syarikat tersebut.

    “Syarikat tersebut diberikan kebenaran bagi mengimport telur dari negara India berdasarkan pengalaman mereka dalam membawa masuk telur dari India ke Qatar bagi memenuhi keperluan ketika penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.

    “Dengan keupayaan pihak syarikat yang mampu menghantar bekalan telur dalam masa yang singkat, Kementerian telah bersetuju untuk member kelulusan import khas selama tempoh 6 bulan bermula Disember 2022,” menurut jawapan bertulis itu.

    Untuk rekod, isu kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan berlaku apabila terdapat penyusutan pengeluaran yang dikesan mulai Oktober sehingga Disember 2022, di mana pengeluarannya tidak dapat menampung keperluan di dalam negara.

    Sebagai langkah intervensi jangka masa pendek bagi memastikan kecukupan bekalan telur di dalam negara, Kementerian ini telah membenarkan pengimportan telur dari India dari jenis Fresh White Shell Egg, dengan berat diantara 50-55 gram yang boleh digredkan sebagai gred D di Malaysia tau medium di India.

    Setakat ini, hanya satu syarikat yang diberi kebenaran berdasarkan permohonan dan cadangan yang diterima daripada pihak syarikat.

  • Saya diberitahu Bella terkena air panas semasa bergaduh dengan penghuni lain – Saksi

    Saya diberitahu Bella terkena air panas semasa bergaduh dengan penghuni lain – Saksi

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood ada menceritakan kepadanya mengenai  Bella terkena tumpahan air panas daripada  termos ketika remaja perempuan sindrom Down itu bergaduh dengan penghuni lain yang dikenali sebagai ‘Balqis’.

    Norhazira Masling, 35, rakan kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berkata perkara itu dinyatakan oleh Yasmin yang merupakan saksi pendakwaan kelima ketika mereka berada dalam sebuah kereta sebelum masuk ke kawasan parkir di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur, pada Julai 2021.

    Saksi pembelaan kedua itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf pada prosiding bela diri Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun berkenaan.

    Mohammad Farhan: Apa yang dia (Yasmin) beritahu puan mengenai kejadian yang berlaku pada Bella?

    Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir bagi prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpuri, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Norhazira: Saya minta Yasmin memberitahu perkara sebenar dan jangan menipu. Yasmin menyatakan Bella terkena air panas dari termos selepas Bella dan Balqis bergaduh serta berlari-lari sehingga termos itu terbuka dan terbalik. Kejadian itu menyebabkan air mengalir lalu terkena belakang badan Bella. 

    Saksi itu berkata Yasmin kemudian menghubungi ‘bonda’ iaitu Siti Bainun sebelum menarik Bella masuk ke tandas dan menyiram air sejuk pada badan Bella yang terkena air panas.

    Norhazira, seorang jururawat  berkata tiada individu lain bersama mereka semasa perbualan antaranya  dengan Yasmin mengenai insiden Bella terkena air panas itu.

    Katanya Yasmin serta dua lagi penghuni rumah itu iaitu Balqis dan Aida kerap mengadu mengenai Bella yang suka mengganggu kanak-kanak lain di kondominium berkenaan.

    Menurutnya, dari awal melihat Bella membuatkan dia berasa tidak sedap hati dan bimbang Siti Bainun sukar menguruskan remaja itu yang menghidap sindrom Down.

    Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir bagi prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpuri, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Sejujurnya dari hati, saya pernah cakap dekat Siti Bainun hantar Bella balik sebab dia mungkin tidak macam anak-anak yang lain tapi Siti Bainun cakap sayang,” katanya.

    Semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas, Norhazira tidak bersetuju bahawa keterangannya di mahkamah hari ini adalah penipuan dan rekaan semata-mata demi menyelamat Siti Bainun.

    Sementara itu, saksi pembelaan ketiga yang juga rakan tertuduh, Noor Marliana Ramlee, 28, berkata beliau menganggap Siti Bainun seperti kakaknya selain menyifatkan pengasas rumah kebajikan itu seorang yang sayangkan kanak-kanak dan suka membantu orang.

    Mengenai kejadian Bella terkena air panas, Noor Marliana berkata beliau  tidak melihat kejadian itu sebaliknya hanya mengetahuinya selepas Yasmin menghubungi Siti Bainun yang menyatakan Bella terkena air panas.

    “Selepas Yasmin memaklumkan mengenai kejadian itu, saya dan Siti Bainun terus pulang ke kondominium dan saya cuma nampak ada merah-merah pada badan Bella. Siti Bainun kemudian letak krim atau aloe vera pada badan Bella yang merah-merah,” katanya.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

  • Hala tuju ekonomi pentadbiran Anwar masih belum jelas – Shahril Hamdan

    Hala tuju ekonomi pentadbiran Anwar masih belum jelas – Shahril Hamdan

    BEKAS Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mempersoalkan hala tuju ekonomi pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jenis pelaburan yang ia inginkan.

    Shahril, dalam temubual podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, hala tuju ekonomi ‘masih belum jelas’.

    “Saya nak dengar, misalnya, sektor apakah yang kita nak tumpu. Saya nak dengar, misalnya, Perdana Menteri menyentuh bahawa inilah jenis pelaburan yang hendak kita tarik, apakah kriteria-kriteria yang kita akan pentingkan.

    “Butiran-butiran ini belum ada lagi, tidak apa, baharu 100 hari, tetapi kita mesti ada dalam tempoh enam bulan pertama,” kata Shahril, yang pernah berkhidmat sebagai pengarah ekonomi di Pejabat Perdana Menteri semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Shahril antara ahli UMNO yang digantung keahlian selama enam tahun, manakala keahlian Khairy dipecat parti atas pelanggaran disiplin parti kerana kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15.

    Sementara itu, Khairy mahu kerajaan mengesahkan semula rangka kerja dasar pertahanan dan luar negeri, berlatarkan geolitik sejagat yang sangat tidak menentu.

    Bekas menteri itu juga menyeru kerajaan menyatakan rancangannya untuk menstruktur semula program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

    “Bagi saya ini amat penting untuk sumber manusia masa depan. Adakah penstrukturan semula TVET benar-benar akan berlaku,” kata Khairy, lapor FMT.

    Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Januari berkata, kementeriannya sedia membantu Kementerian Sumber Manusia menstruktur semula program TVET yang kini dilaksana pelbagai kementerian dengan program masing-masing.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam berkata, kementeriannya akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara tahun ini, sebagai kerangka perundangan yang teratur untuk industri pertahanan.

  • Tiada PRK DUN Pulau Pinang – SPR

    Tiada PRK DUN Pulau Pinang – SPR

    TIADA keperluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, kata Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak.

    Empat kerusi DUN berkenaan ialah Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Telok Bahang, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ikmalrudin berkata SPR telah menerima pemakluman daripada Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang melalui surat semalam berhubung status kekosongan luar jangka empat kerusi DUN itu selepas usul pengisytiharan kekosongan di bawah perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

    “Berdasarkan pemakluman tersebut dan mengambil kira proviso di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, tiada keperluan untuk SPR mengadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka memandangkan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang dari dua tahun,” katanya.

    Sidang DUN Pulau Pinang semalam meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu.

    Empat ADUN berkenaan ialah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) turut diarah keluar meninggalkan dewan.

  • Klang tidak dianaktirikan KPM, Radzi nafi dakwaan Ganabatirau

    Klang tidak dianaktirikan KPM, Radzi nafi dakwaan Ganabatirau

    BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menafikan dakwaan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau bahawa kawasan itu dianaktirikan kerajaan terdahulu apabila tiada sekolah baharu dibangunkan dalam tempoh 20 tahun.

    Radzi menerusi kenyataan di Facebook beliau berkata, dakwaan Ganabatirau itu dibangkitkan semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam dan usahanya mencelah untuk memberikan penjelasan tidak diberikan ruang oleh Ahli Parlimen Klang berkenaan.

    “Tuduhan YB Klang bahawa kawasan tersebut dianaktirikan adalah tidak benar, khususnya sewaktu saya di KPM (Kementerian Pendidikan).

    “Untuk makluman YB Klang, ketika saya di KPM antara sekolah yang lulus di RP1-RMK12 dan RP2-RMK12 di Klang adalah SMK Kota Kemuning (2), Klang melibatkan pembinaan baharu 42 bilik darjah SK Bukit Raja, Klang bagi pembinaan baharu 36 bilik darjah dan SMK Meru (2), Klang bagi pembinaan baharu 42 bilik darjah,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut Radzi berkata, selain itu terdapat dua projek pembinaan bangunan baharu iaitu SK Pulau Indah, Klang melibatkan bangunan baharu 12 bilik darjah dan dewan terbuka dan SMK Meru, Klang melibatkan bangunan baharu yang mengandungi 8 bilik darjah PPKI dan kemudahan lain.

    Beliau menjelaskan, perancangan untuk projek-projek pembinaan sekolah baru sememangnya mengikut satu proses yang telus dan mengambil kira kepadatan penduduk di satu-satu kawasan.

    “Tidak timbul isu menganaktirikan siapa-siapa. Saya percaya proses yang sama akan diteruskan oleh KPM pada masa akan datang,” tambahnya.

  • Loke nafi dakwaan Hadi wujud keretakan dalam kerajaan

    Loke nafi dakwaan Hadi wujud keretakan dalam kerajaan

    MENTERI Pengangkutan, Loke Siew Fook menafikan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa berlaku keretakan dalam kerajaan yang boleh menyebabkannya tumbang sebelum penggalnya berakhir.

    “Tiada rancangan dari dalam untuk menumbangkan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagi saya, kerajaan perpaduan hari ini kuat dan kukuh.

    “Pemimpin tertinggi dalam setiap gabungan memberikan jaminan penuh dan kerjasama baik untuk menjayakan agenda kerajaan perpaduan.

    “Saya yakin tiada usaha antara mereka untuk melemahkan atau menjatuhkan kerajaan perpaduan,” katanya dalam sebuah program AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) di Kuala Lumpur hari ini.

    Setiausaha agung DAP itu mengulas dakwaan Hadi semalam, ada tanda ‘tidak puas hati’ dalam kalangan parti komponen yang membentuk kerajaan perpaduan.

    Kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah serta mendapat sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia dan bebas.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, semua rakan kongsi gabungan mempunyai hubungan kerja yang baik dan mesra, serta ‘tidak bergaduh langsung’ dalam mesyuarat minggu Jemaah Menteri yang fokus menyelesaikan masalah rakyat.

    “Walaupun ahli Parlimen kerajaan bebas menyuarakan rasa tidak puas hati atau perbezaan pandangan, tidak bermakna kerajaan akan tumbang,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today (FMT).

    Beliau juga mendakwa Hadi tidak bertanggungjawab dengan mengatakan pembangkang mahu merampas Putrajaya, selain menunjukkan pemimpin Perikatan Nasional ‘tiada kerja lain’.

    Semalam, Hadi memberitahu wartawan di Parlimen, pembangkang berusaha menjatuhkan kerajaan dan mereka mempunyai hak berbuat demikian.

    Minggu lalu, Ahli Parlimen Marang itu turut meramalkan pentadbiran Anwar akan tumbang ‘dalam masa terdekat’ dan ‘atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah’.

  • Usul tanpa pemberitahuan ke DUN: Pengundi bakal kuburkan ego Guan Eng

    Usul tanpa pemberitahuan ke DUN: Pengundi bakal kuburkan ego Guan Eng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng disifatkan tidak pernah mengkaji isu melibatkan Kedah dan Pulau Pinang secara mendalam, apabila membawa usul tanpa pemberitahuan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, yang mencadangkan supaya ketetapan diambil terhadap dakwaan ucapan provokasi bersifat menghasut dan ekstremis oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya, apa yang dimahukan Kedah hanyalah nilai pampasan yang dinyatakan dalam Triti Kedah 1869, diteliti semula selaras dengan perkembangan terkini selepas menghampiri tempoh 200 tahun.

    Malah katanya, kalau mahu diulang semula soal sejarah dan perspektif perundangan, cukup jelas bahawa Kedah adalah kedaulatan bagi Pulau Pinang.

    “Malangnya Guan Eng bermain dengan sentimen tidak perlu serta sengaja mensudutkan isu ini dalam konteks ‘melanggari sempadan negeri’.

    “Sedangkan perjuangan nilai pajakan yang setimpal adalah hak negeri dan rakyat Kedah. Tindakan itu bukan mengambil hak orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Melalui usul tersebut, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, kedaulatan negeri Pulau Pinang berasal dan berpunca daripada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan bentuk, nyawa dan kuasa perundangan mutlak kepada Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan negeri serupa dengan 13 buah negeri yang mewujudkan Persekutuan Malaysia.

    Selain itu, Guan Eng menerusi usul sama mencadangkan kerajaan negeri berikrar bersedia menggunakan segala tenaga dan usaha termasuk mengerahkan dan menggerakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk membela dan mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada dicemuh, diragui, dipertikaikan atau diceroboh oleh Menteri Besar Kedah.

    Malah, Guan Eng turut mempertontonkan kepada sidang DUN video kenyataan Muhammad Sanusi yang mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang tersebut yang tular di dalam media sosial.

    Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, tindak-tanduk Guan Eng akan menambah muak rakyat terhadap politiking Pakatan Harapan (PH).

    “Tunggu signal lebih besar daripada pengundi Pulau Pinang selepas ini apabila sampai masanya nanti unuk menguburkan keegoan beliau,” katanya.

  • Syamsul ‘kunci mulut’ isu enggan cerai Puteri Sarah

    Syamsul ‘kunci mulut’ isu enggan cerai Puteri Sarah

    PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof mengunci mulut berhubung keputusannya enggan menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

    Syamsul atau nama penuhnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, tidak mengendahkan pertanyaan wartawan yang menunggu di luar kamar mahkamah.

    Beliau sebaliknya terus menuju ke lif bersama peguamnya, Roshdan Sujak.

    Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu dilihat menggelengkan kepala apabila ditanya alasan tidak menceraikan isteri pertamanya, selain dakwaan memukul Puteri Sarah, dua tahun lalu.

    Bagaimanapun, ketika beredar dari kamar mahkamah, Syamsul hanya menunjukkan isyarat tangan tanda ‘aman’ dan ‘Allah Yang Satu’.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof ketika hadir bagi merujuk kes penceraian dengan isterinya, Puteri Sarah kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, Roshdan ketika berhujah di mahkamah berkata, setakat ini, Syamsul tidak mahu menceraikan Puteri Sarah kerana menyifatkan masih ada sinar untuk memperbaiki hubungan perkahwinan.

    “Masih ada sinar untuk pasangan ini… pihak kami tidak setuju pelantikan hakam untuk kes perceraian ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof dan pelakon, Puteri Sarah ketika hadir bagi merujuk kes mereka kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

    Terdahulu, Puteri Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

    Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Pemuda Pas lapor polis dakwaan kaitkan parti dengan DAESH

    Pemuda Pas lapor polis dakwaan kaitkan parti dengan DAESH

    PEMUDA Pas menggesa polis menyiasat dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan gerakan keganasan antarabangsa termasuk DAESH.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sayap parti itu membuat laporan di Balai Polis Selayang, Kuala Lumpur pagi tadi bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seoran gpengguna Twitter.

    “Siasatan boleh dibuat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang yang sesuai kerana Pas adalah parti yang sah berdaftar.

    “Tuduhan dibuat itu adalah jelas dan kita meminta polis supaya dapat melakukan tindakan segera dengan membuat siasatan dan tangkapan,” katanya pada sidang media, di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas ciapan di Twitter oleh pemilik akaun, Pak Arman Amin yang mengaitkan perarakan dibuat pemuda Pas dengan membawa replika pedang, lembing dan perisai dengan DAESH.

    Twitter itu yang merujuk kepada perarakan di Setiu, Terengganu, bulan lalu itu dimuat naik pada 5 Mac lalu pada pukul 11.44 malam.

    Ahmad Fadhli menegaskan, dakwaan sebegitu perlu diambil tindakan segera kerana berisiko menimbulkan ancaman terhadap keharmonian di negara ini.

    “Tiada keperluan mengaitkan Pas dengan mana-mana gerakan keganasan antarabangsa yang mana tuduhan seperti ini amat jelas bersifat fitnah,” katanya lagi, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan seharusnya memberikannya secara terus tanpa perlu melalui rundingan atau desakan.

    Beliau berkata, ini kerana peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang itu termaktub dalam manifesto yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

  • Pencapaian 100 hari Kerajaan Madani, KJ bagi markah ‘B tolak’

    Pencapaian 100 hari Kerajaan Madani, KJ bagi markah ‘B tolak’

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) meletakkan gred pencapaian 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Kerajaan Perpaduan sebagai B- (tolak).

    “Markah ini jauh lebih tinggi daripada kadar lulus (passing rate) kerana dasar jangka panjang kerajaan masih lagi sama.

    “Pencapaian ahli Kabinet juga dilihat tidak konsisten dalam usaha membantu Perdana Menteri menggariskan hala tuju yang lebih jelas,” ujar bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

    Jelas, beliau tidak bermaksud jemaah Kabinet tidak bagus namun kurang menyerlah.

    “Kita jangka mereka akan terus ke hadapan dalam membantu Perdana Menteri mentadbir negara.

    “Jadi markah B- yang saya bagi untuk pencapaian 100 hari Kerajaan Madani sudah cukup tinggi,” katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 1 hari ini.

    Turut hadir ke program tersebut ialah bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

    Khairy Jamaluddin turut berharap Anwar tidak memegang portfolio Menteri Kewangan selepas tempoh lima tahun akan datang.

    “Diharapkan Anwar akan melepaskan jawatan keduanya itu selepas melihat ekonomi negara semakin stabil dan mempunyai hala tuju jelas.

    “Dalam tata kelola kerajaan lebih baik asingkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” jelasnya.

    Beliau juga berpendapat, kerajaan akan melakukan pengagihan semula sebelum melaksanakan kembali cukai barang dan perkhidmatan (GST).

    “Kalau terus buat GST, ia akan memberi kesan kepada politik Anwar. Berbeza dengan zaman Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ketika itu dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Kalau Anwar tiada skandal, agih bantuan kepada rakyat secara konsisten saya percaya ramai yang boleh terima pelaksanaan GST,” ujarnya.

    Sementara itu, Shahril Sufian memberi markah A- kepada pencapaian 100 hari pentadbiran kerana mempunyai isyarat awal dalam pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

    “Saya fikir ada batu-batu asas mengenai usaha semua ahli Kabinet untuk memastikan negara lebih maju pada masa akan datang.

    “Walaupun tidak dinafikan, banyak dasar hanya diteruskan daripada pemerintahan terdahulu namun ia harus dipuji kerana mementingkan rakyat,” ujarnya, lapor Sinar Harian.