Category: Semasa

  • 21 maut bot terbalik di Laut Merah Yaman

    21 maut bot terbalik di Laut Merah Yaman

    SERAMAI 21 penumpang, termasuk 12 wanita dan tujuh kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki terbalik di Laut Merah,Yaman pada petang Selasa.

    Bot yang membawa 27 penumpang itu dilaporkan terbalik di luar daerah Alluheyah utara bandar pelabuhan Hodeidah, lapor Xinhua.

    Kesemua penumpang dilaporkan dalam perjalanan dari Alluheyah ke Pulau Kamaran, untuk menghadiri majlis perkahwinan.

    “Enam lagi penumpang dilaporkan terselamat dan dibawa ke Hospital Al-Thawra di bandar Hodeidah untuk menerima rawatan,” kata pegawai majlis daerah Akram al-Ahdal

    Kemalangan dipercayai berpunca akibat angin kencang.

  • SPRM tahan tiga individu termasuk Pengurus Pusat Giat Mara terbabit kes rasuah, salah guna jawatan

    SPRM tahan tiga individu termasuk Pengurus Pusat Giat Mara terbabit kes rasuah, salah guna jawatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna jawatan dan menerima rasuah.

    Tangkapan dilakukan secara berasingan di pejabat SPRM Pahang dan Raub semalam.

    Sinar Harian melaporkan, seorang daripada yang ditahan merupakan pengurus sebuah Pusat Giat Mara di negeri berkenaan.

    Lelaki berusia 39 tahun itu disyaki menyalahgunakan jawatannya dengan mencadangkan syarikat milik adik-beradik isterinya dilantik untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dan bina baharu Program Perumahan Termiskin (PPRT) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2021 hingga tahun lalu.

    Nilai keseluruhan bagi kerja-kerja tersebut berjumlah RM38,521.

    Suspek ditahan pada pukul 8.15 malam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang di Kuantan.

    Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini untuk perintah reman.

    Majistret Fatinah Abu Bakar membenarkan perintah reman ke atas suspek selama tujuh hari sehingga 14 Mac ini.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 ASPRM 2009.

    Sementara itu, SPRM turut menahan dua kakitangan di pejabat tanah daerah Raub dan Lipis untuk siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM4,000 bagi membantu mempercepatkan proses permohonan permit sebuah syarikat untuk aktiviti pengeluaran pasir Sungai Semantan dan Sungai Jelai.

    Suspek berusia 37 tahun itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 sebelum dilepaskan dengan bon jaminan SPRM.

    Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan semua tangkapan tersebut.

  • Polis buka dua kertas siasatan kes mafia korporat

    Polis buka dua kertas siasatan kes mafia korporat

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berhubung artikel ‘Rahsia mafia korporat Malaysia Victor Chin Boon Long’ yang didakwa memperalatkan penguat kuasa tempatan.

    Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima laporan polis berhubung perkara itu pada 25 Mei 2022 dan kertas siasatan dibuka.

    Menurut Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, menerusi laporan itu ada menyatakan wujud salah laku dan penyelewengan kewangan membabitkan wang berjumlah RM30.7 juta dalam pengurusan syarikat Caely (M) Sdn Bhd (anak syarikat milik Caely Holdings Berhad).

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah oleh ejen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Susulan itu, katanya, satu laporan polis dibuat oleh polis pada 21 September lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

    “Ia bagi kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai satu kesalahan dilakukan atau memberi dimaklumkan atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu untuk mengelak pesalah daripada hukuman,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kedua-dua kertas siasatan itu sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada 27 Februari lalu untuk arahan dan keputusan lanjut.

    Terdahulu, satu portal menerbitkan artikel berhubung sekumpulan individu melakukan cubaan merampas syarikat senarai awam Caely Holdings dan sebuah syarikat lain.

    Kemelut perebutan mengakibatkan kejatuhan harga saham malah ia mendakwa turut membabitkan agensi penguatkuasaan, penyiasatan, penahanan dan pembekuan akaun ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

  • Rafizi puji perancangan baik ditinggalkan Tok Pa

    Rafizi puji perancangan baik ditinggalkan Tok Pa

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perancangan baik yang ditinggalkan oleh kementerian itu sebelum ini di bawah teraju bekas Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed wajar dikekalkan.

    Menurutnya, itu merupakan pandangan beliau apabila mengambil alih tugas sebagai Menteri Ekonomi yang sebelum ini sebahagian besarnya dilaksanakan Mustapa yang lebih mesra dipanggil Tok Pa.

    “Saya tidak tahu perasaan orang lain seperti saya yang menjadi menteri terutama jika ia kali pertama menjadi menteri.

    “Ramai mengucapkan tahniah dan saya selalunya tidak tahu reaksi macam mana perlu dibalas atas ucapan tahniah tersebut kerana tugas itu adalah satu beban yang besar.

    “Bagi saya, tugas sebagai menteri tidaklah berbeza dengan tugas seorang ‘pengurus besar’. Organisasi yang kita sertai sudah ada perancangan yang dibuat,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

    Rafizi berkata, keberkesanan seorang pengurus besar ialah kebolehannya membaiki perancangan itu dan melaksanakannya dengan lebih baik supaya matlamat dicapai.

    “Bila sudah sampai masa untuk kita beralih ke tugas yang baharu sebaiknya kita tinggalkan organisasi itu dalam keadaan yang lebih baik dan manfaatnya dirasakan oleh ramai orang.

    “Yang baik ditinggalkan oleh pengurus besar sebelum kita, wajar dikekalkan. Kalau ada ruang untuk diperbaiki pelaksanaan, kita tumpu kepada perkara itu,” ujarnya.

    Sementara itu, Rafizi menjelaskan lebih-lebih lagi latar belakang beliau dengan Mustapa lebih kurang sama iaitu mempunyai latihan profesional dalam bidang ekonomi dan kewangan.

    “Minat kami pun banyak persamaan, seperti usaha membasmi kemiskinan dan membantu orang susah. Tok Pa berkunjung ke pejabat lama hari Isnin baru-baru ini.

    “Saya berbesar hati agar Tok Pa terus mendapat ruang untuk menyumbang khidmatnya (walau dalam persaraan) dalam perkara-perkara di bawah Kementerian Ekonomi yang rapat dengan hatinya seperti pembasmian kemiskinan dan meningkatkan kelestarian ekonomi menepati sasaran pembangunan lestari (SDG),” jelas Rafizi.

    Sudah tiba masa katanya, untuk beliau menyerahkan amanah tersebut kepada pengurus besar selepasnya pada suatu hari nanti diharapkan ada kesinambungan baik.

    “Saya juga berharap ada kesinambungan yang baik seperti (dilakukan) antara saya dan Tok Pa,” ujar Ahli Parlimen Pandan itu, lapor Sinar Harian.

    Untuk rekod, Tok Pa merupakan menteri Kabinet semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan selepas itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Selepas 100 hari, kerajaan campuran PH-BN gagal laksana sebarang perubahan ketara

    Selepas 100 hari, kerajaan campuran PH-BN gagal laksana sebarang perubahan ketara

    SELEPAS 100 hari memegang tampuk negara, kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dilihat masih belum berjaya melaksanakan sebarang perubahan ketara.

    Penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, ini mungkin kerana kerajaan terlalu menumpu kepada usaha menepis cabaran daripada Perikatan Nasional (PN) terutama apabila tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan semakin hampir.

    “Jika mengumumkan sesuatu besar, mungkin ia memerlukan pembaharuan.

    “Ini boleh menjejaskan sokongan pemegang taruh dan mungkin mereka akan beralih sokongan ke PN,” katanya kepada Malaysianow.

    Mengulas tindakan kerajaan campuran PH-BN melaksanakan insiatif yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, beliau berpandangan kerajaan hari ini wajar meneruskan inisiatif yang diperkenalkan pentadbiran lama sekiranya ia dilaksanakan dengan cara yang betul.

    Menurutnya, kritikan PH pada ketika itu lebih tertumpu kepada kaedah pelaksanaan yang mana ia hanya menguntungkan sesetengah pihak.

    Mengulas isu sama, penganalisis politik, Jeniri Amir berkata, tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan atau sekurang-kurangnya mempertimbangkan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan era Barisan Nasional (BN) ibarat menelan air ludah sendiri.

    Felo kanan Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata, tindakan itu secara langsung menunjukkan kerajaan semasa yang diketuai Pakatan Harapan (PH) membuat kesilapan dan membawa naratif salah ketika mengkritik teruk pentadbiran Najib Razak.

    Beliau berkata, antara contoh terbaik ialah kenyataan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang tidak menolak kemungkinan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada masa hadapan.

    Menurut Jeniri, sistem percukaian itu bagaimanapun dijadikan sebagai senjata politik untuk menumbangkan kerajaan dengan menyemarakkan kemarahan rakyat, kononnya pelaksanaan tersebut menjadi satu faktor kos sara hidup meningkat.

    “160 negara di seluruh dunia menggunakan GST dan sudah tentu kerajaan pada ketika itu sudah melakukan kajian (sebelum memperkenalkan sistem percukaian itu).

    “Dengan adanya ura-ura nak kembalikan GST, walaupun bukan sekarang, ia menunjukkan kerajaan sekarang mengaku bahawa tindakan menghapuskan GST adalah sesuatu yang salah.

    “Kini mereka terpaksa kemukakan hujah-hujah dan naratif untuk meyakinkan rakyat,” katanya lagi.

    GST diperkenalkan pada 1 April 2015 menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    Bagaimanapun, GST dijadikan modal kempen PH sehingga berjaya menumbangkan BN pimpinan Najib pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Selain GST, pengumuman kerajaan mengenai MRT Fasa 2 yang dijangka mula beroperasi 16 Mac depan serta usaha memperkasakan program Rakan Muda turut mengundang kritikan ramai apabila inisiatif ini adalah penerusan daripada idea kerajaan terdahulu.

    “Sebab itu mana-mana pembangkang harus kemukakan idea berdasarkan fakta.

    “Bukan sentimen melulu untuk menang pilihan raya sebab akhirnya yang rugi ialah rakyat,” kata Jeniri.

  • Malaysia, Indonesia bincang turun had kos ambil amah kepada RM15,000

    Malaysia, Indonesia bincang turun had kos ambil amah kepada RM15,000

    MALAYSIA dan Indonesia mengadakan perbincangan bertujuan mengurangkan kos membawa masuk pembantu rumah dari negara itu kepada RM15,000.

    Usaha berkenaan adalah susulan mesyuarat kumpulan kerja bersama (JWG) di Jakarta pada 21 Februari lalu.

    Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, wakil dari kedua-dua negara hadir pada mesyuarat itu bersetuju mengenai keperluan untuk mengurangkan kos dengan melihat pelbagai komponen terlibat dalam membawa masuk pembantu rumah itu.

    “Kami akan berbincang dengan organisasi mewakili agensi pengambilan di negara masing-masing dan melihat cara untuk mengurangkan kos. Ini tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata,” katanya memetik laporan FM, hari ini.

    Beliau berkata, wakil dari kedua-dua negara akan membentangkan perkara itu pada mesyuarat JWG seterusnya di Kuala Lumpur pada Jun ini.

    Hermono yang turut serta dalam mesyuarat itu berkata, wakil itu termasuk pegawai dari Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia dan Indonesia.

    Dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai penggajian dan perlindungan pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani pada 1 April tahun lepas, kos keseluruhan majikan Malaysia untuk membawa masuk pembantu rumah dihadkan kepada RM15,000.

    Bagaimanapun, terdapat laporan beberapa majikan telah membayar setinggi RM20,000 untuk pembantu rumah mereka.

    Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar baru-baru ini juga berkata kos mesti dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.

    Mengenai perkara ini, Hermono berkata, pihak kedutaan tidak menerima sebarang aduan walaupun telah membaca laporan mengenai dakwaan itu.

    “Saya pernah berkata sebelum ini dan saya menyatakannya sekali lagi, buat aduan rasmi kepada kami jika mana-mana agensi di Malaysia atau Indonesia mengenakan caj melebihi RM15,000. Kami tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

    Mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk menghentikan penggunaan ejen bagi mengurangkan kos, Hermono berkata, itu tidak mungkin dilakukan kerana MoU berkenaan menyatakan bahawa pengambilan pembantu rumah, yang disebut sebagai sektor tidak formal, perlu melalui proses ejen berdaftar.

    Bagaimanapun, beliau berkata, pengambilan untuk sektor formal, termasuk semua kategori lain, boleh dilakukan secara terus oleh majikan Malaysia menggunakan ejen Indonesia berdaftar.

    “Adalah mustahil untuk menghentikan penggunaan agensi merekrut pekerja asing di Indonesia,l.

    “Ia adalah sebuah negara yang besar dengan penduduk dari banyak kawasan terpencil ingin ke luar negara. Adalah mustahil bagi jabatan atau agensi kerajaan di Jakarta untuk mengendalikan pergerakan yang begitu besar,” ujarnya.

    Sehingga 22 Januari, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pekerja rumah asing, perlombongan dan kuari.

    Daripada jumlah itu, 63,323 adalah pembantu rumah – . warga Indonesia terdiri daripada jumlah terbesar dalam sektor berkenaan.

  • Peniaga kaki lima maut terkena tayar treler tercabut

    Peniaga kaki lima maut terkena tayar treler tercabut

    SEORANG peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di Setiu, petang tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu, Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada.

    Tayar yang mengakibatkan peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di Setiu, petang tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, seorang lagi mangsa, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd Zainani, 22, pula patah tangan kanan, luka di bahagian muka dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

    Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari arah Merang ke Kampung Telaga Papan, Setiu di sini.

    “Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebiji tayar pada bahagian belakang sebelah kiri treler itu secara tiba-tiba tercabut dan terpelanting terkena dua individu yang sedang berniaga di kaki lima jalan.

    “Seorang mangsa (Muhamad Airiel Rizman) disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan di tempat kejadian, manakala seorang lagi dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Afandi berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu, manakala pemandu treler berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya

  • Warganet kecam Ahli Parlimen ‘sombong’ dalam wawancara CodeBlue

    Warganet kecam Ahli Parlimen ‘sombong’ dalam wawancara CodeBlue

    AHLI Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee dilapor dikecam pengguna Twitter sebagai “sombong” dalam wawancara dengan portal berita kesihatan, CodeBlue, dengan ada yang menyifatkannya “PR (perhubungan awam) gagal sepenuhnya”.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Lee yang pertama kali menjadi Ahli Parlimen DAP diwawancara ketua pengarang CodeBlue, Boo Su-Lyn di Parlimen Selasa lalu, dan ditanya mengenai isu kesihatan seperti sama ada beliau menyokong mogok dan berapa lama petugas kesihatan patut menunggu sebelum mengambil tindakan itu.

    Bagaimanapun, Lee dengan sinis bertanya Boo adakah beliau “kelihatan seperti menteri”. Lee juga enggan menjawab soalan lain atas alasan ia bersifat “emotif”

    “Kurang ajar, sombong. Secara keseluruhan, tidak profesional,” kata @rahmahghazali mengulas video temubual itu yang disiarkan di Twitter CodeBlue.

    “Keangkuhan dalam nada suara, bahasa badan dan tiada empati adalah jelas,” kata @Shammy_TC.

    Seorang lagi pengguna Twitter @Idiot19861 mendakwa postur badan Lee ketika wawancara itu menunjukkan sikapnya.

    “Ia bertambah buruk bila beliau mula bercakap. Jika nak gambarkan diri kamu sombong dan menjengkelkan, kamu berjaya,” katanya.

    Sementara itu, @rainbows_wheee berkata, bahasa badan Lee menunjukkan “keangkuhan dan tidak ikhlas”.

    “(Boo) bertanyakan soalan relevan, berapa lama petugas kesihatan patut menunggu dan jawapan kamu hanyalah – tunggu sehingga kita selesaikan semuanya. Saya anggap kamu lebih baik daripada ini,” kata @rainbows_wheee.

    Seorang lagi pengguna @hxrryxo_ incase berkata, Lee patut menolak diwawancara sekiranya tidak boleh menjawab soalan, manakala @FedVee menasihatkan Lee mendapatkan latihan media.

    “PR gagal sepenuhnya! Tak fasih, tak petah dan kurang ajar! Setiausaha akhbarnya, jika ada, patut merendah diri,” kata @FedVee.

    @JackSingh01 meminta ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii mengajar Lee, selain menggesanya memohon maaf kepada Boo.

    @startupizwan simpati dengan Boo yang terpaksa melalui “wawancara teruk” itu, manakala @zaim90 memuji Boo “tetap tenang”.

    Bagaimanapun, bukan semua warganet menyokong Boo kerana @phoonteckman mendakwa Boo menggunakan klip video itu untuk mendapatkan perhatian dan “menyebabkan orang membenci Lee”.

    @munchkkin47 berkata, Lee jelas geram dengan soalan Boo yang terus mengasak dengan perkara sama berulang kali.

    “Sila siarkan video penuh, bukan hanya sedutan yang memburukkan sebelah pihak,” katanya.

    Berikut sebahagian petikan klip video itu yang disiarkan di laman sesawang CodeBlue.

    Boo: Berapa lama kamu gesa petugas kesihatan menunggu walaupun hanya untuk satu penyelesaian sebelum melancarkan mogok?

    Lee: Soalan apa itu?

    Boo: Um, jadi…

    Lee: Saya tidak layan soalan emotif kerana ini soalan emotif.

    Boo: Tidak, tidak, tidak. Ia – berapa lama kamu jangka mereka…?

    Lee: No, inilah dia. Saya penerima soalan ini. Saya rasa ia soalan emotif, jadi saya tidak akan menjawabnya.

    Boo: Kamu tidak mahu jawab soalan itu?

    Lee: Apa maksud kamu, berapa lama saya mahu mereka tunggu?

    Boo: Untuk penyelesaian.

    Lee: Ada penyelesaian; ia pelaksanaan penyelesaian, betul?

    Boo: Itu yang saya maksudkan.

    Lee: Betul, kamu tidak tanya tentang itu.

    Boo: Okey, jadi berapa lama kamu mahu mereka tunggu untuk pelaksanaan penyelesaian itu?

    Lee: Saya mahu mereka tunggu kerajaan meneliti semua langkah bersesuaian untuk memastikan semua pemegang taruh diambil kira, dalam dasar sebelum mereka melancarkan mogok.

    Boo: Jadi. berapa lamakah?

    Lee: Adakah saya kelihatan seperti menteri? Adakah saya kelihatan berada dalam eksekutif? Adakah saya kelihatan mempunyai kuasa untuk memberi arahan?

  • Pengecualian bukti usul tiada pertandingan UMNO langgar akta, kata KJ

    Pengecualian bukti usul tiada pertandingan UMNO langgar akta, kata KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengecualikan parti itu daripada mematuhi satu peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966 membuktikan usul tiada pertandingan melanggar undang-undang.

    “Jika tidak, tiada keperluan untuk pengecualian,” katanya dalam video TikTok, lapor Free Malaysia Today.

    Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan UMNO diberikan pengecualian di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan bagi pemilihan parti akan datang.

    Katanya, pengecualian itu diberikan mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan.

    Di bawah Seksyen 70, menteri diberi kuasa menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau sebarang peruntukan Akta Pertubuhan.

    Merujuk perlembagaan UMNO dan peraturan mesyuarat, Saifuddin berkata, kementeriannya memutuskan untuk mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan berhubung usul tambahan yang diluluskan.

    Seksyen 13(1)(c)(iv) memperuntukkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) boleh membatalkan pendaftaran sebuah pertubuhan, jika ia melanggar mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

    Khairy berkata, kenyataan Saifuddin tidak mengenal pasti pelanggaran itu.

    Bulan lalu, JPPM dilaporkan menyiasat kemungkinan pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Januari lalu.

    Siasatan itu menyusul dua ahli UMNO membuat aduan kepada JPPM mendakwa pembentangan usul itu di perhimpunan agung melanggar Artikel 10 perlembagaan parti.

    Mereka bertegas usul itu perlu dibentangkan dua minggu sebelum PAU atau tujuh hari jika dibentangkan Majlis Kerja Tertinggi.

    Khairy, yang pernah membantah usul itu, mendakwa perwakilan “diimport” untuk membantu “memusnahkan” usul itu dalam PAU. Dakwaan itu kemudiannya dinafikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

  • Bekas kakitangan Utusan ambil VSS tuntut pelikuidasi bayar baki RM18.9juta

    Bekas kakitangan Utusan ambil VSS tuntut pelikuidasi bayar baki RM18.9juta

    SERAMAI 160 bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) hampir lima tahun lalu, sudah menyerahkan notis tuntutan kepada UHY Advisory, agar menyelesaikan baki pembayaran mencecah RM18.9 juta.

    Notis tuntutan (LOD) bertarikh 3 Mac lalu dihantar menerusi Tetuan Azmi & Associates kepada Tetuan Dennis Nik & Wong yang mewakili syarikat pelikuidasi tersebut, menyatakan tuntutan supaya bayaran penyelesaian berjumlah RM18,880,296.11 untuk didepositkan ke akaun Azmi dan Associates.

    “Jika kami tidak mendapat sebarang jawapan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat ini, anak guam kami akan meneruskan semua tindakan yang dibenarkan kepada mereka mengikut undang-undang termasuk memfailkan tindakan mahkamah,” menurut firma itu dalam LOD tersebut.

    Perkara ini ialah selepas peguam daripada firma mewakili pekerja-pekerja itu, menghantar koresponden kepada Messrs Dennis Nik & Wong sejak Disember 2022 dan Januari dan Februari tahun ini, sebagai peringatan.

    Bagaimanapun, firma itu memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang jawapan.

     Notis tuntutan itu dihantar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Okt 2022 bahawa bekas kakitangan UMMB yang terlibat dalam VSS, berhak mendapat baki bayaran penyelesaian hasil penjualan 29 hartanah milik syarikat tersebut.

    Hakim juga mengistiharkan bahawa 29 harta milik UMMB termasuk termasuk subsidiarinya iaitu Utusan Publications & Distributor Sdn Bhd, U Print Sdn Bhd (dalam likiudasi), Utusan Land Sdn Bhd and Juasa Holdings Sdn Bhd dan syarikat berkaitannya Mediamoney Sdn Bhd boleh dikenal pasti sebagai harta-harta amanah.

    Dalam penghakimannya Nadzarin berkata harta-harta termasuk beberapa bangunan terletak di Jalan 5, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin dan juga  Jalan 5, Seksyen 92 CSL di sini dan Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S 10 di Bangi, adalah untuk penyelesaian kepada skim VSS oleh plantif (UMMB) boleh dikenal pasti atau diistiharkan sebagai harta amanah.

    Beliau membuat keputusan itu dalam saman asal yang difailkan UHY Advisory sebagai likuidator mewakili UMMB sebagai plaintiff terhadap Rosmanizam Abdullah dan 159 yang lain sebagai defendan (pekerja VSS). – BERNAMA