Category: Semasa

  • Warganet ‘serang’ Facebook Najib selepas pertikai desakan pengeluaran KSWP bersasar

    Warganet ‘serang’ Facebook Najib selepas pertikai desakan pengeluaran KSWP bersasar

    ENTRI media sosial Datuk Seri Najib Razak berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipenuhi dengan kecaman netizen selepas beliau mempertikaikan cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang caruman mereka secara bersasar.

    Bekas perdana menteri itu antara pemimpin paling lantang mendesak pengeluaran KWSP bersasar sebelum ini menerusi Facebook mengatakan, kerajaan sudah memberikan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk disalurkan ke dalam Akaun 1 pencarum berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai baki simpanan kurang RM10,000.

    Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh ketika berucap di Dewan Rakyat berkata kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM1 bilion tanpa perlu mengeluarkan peruntukan besar itu.

    “Ya, ke? Muhyiddin dah dapat persetujuan dari setiap 2 juta ahli KWSP yang layak bahawa mereka sudi lepaskan pemberian RM500 tersebut?” tulis Najib di Facebook, lapor MalaysiaNow.

    Kebanyakan pengguna Facebook pula tidak berpuas hati dengan Najib kerana merasakan cadangan Muhyiddin lebih tepat dan bersesuaian dengan permintaan mereka kerana desakan orang ramai adalah pengeluaran KSWP secara bersasar.

    Mereka mengatakan Najib tidak memahami apa yang rakyat mahukan kerana beliau sendiri mengulas tentang topik yang berbeza.

    “Orang yang berumur 40 tahun dan ke atas tapi tabungannya kurang RM10,000. Golongan yang macam mana la tu ya.

    “Mintak ‘disclose’ kan kalau nak buat apa-apa manfaat patut menyeluruh bukan asal ada saja,” tulis Hairosnizam Roslan di komen Facebook Najib yang dimuat naik pada Isnin.

    Selain itu, terdapat juga pengguna yang mempersoal data tersebut sebagai tidak berasas dan perlu dinyatakan oleh kerajaan secara telus.

    “Nak fikir secara logik, ada ke yang simpanan kurang dari RM10,000 antara umur 40-54 tahun?” tulis Mohd Ashraf.

    Seorang pengguna pula, Alidie Sofhia menulis komen menyebutkan kerajaan memberikan sesuatu yang tidak pun diminta oleh rakyat kebanyakan.

    “Mereka yang dapat RM50,000 tu pun lebih setuju untuk keluarkan simpanan mereka ketika ini.

    “Orang kaya duduk penjara tak tahu keperluan rakyat yang mendesak ketika ini,” kata Faizal Hud.

    Terdahulu, ahli-ahli Parlimen blok pembangkang dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mengeluarkan wang simpanan persaraan itu.

    Mereka menyuarakan hal itu melalui sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar sejak lebih seminggu lalu.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebelum ini, berkata kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan KWSP.

  • ‘UMNO bakal senasib GOLKAR jika kekalkan pemimpin sedia ada’

    ‘UMNO bakal senasib GOLKAR jika kekalkan pemimpin sedia ada’

    AHLI UMNO perlu membuat pilihan tepat dalam pemilihannya pada 18 Mac ini, selepas pengundi Melayu menolak parti itu secara total pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, pemimpin baharu perlu dipilih bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terutama orang Melayu kepada parti itu.

    “UMNO bakal menerima nasib sama seperti Parti Golongan Karya (GOLKAR) di Indonesia apabila pemimpinnya terus mahu memimpin, walaupun ketika parti itu ditolak rakyat negara berkenaan.

    “Pada PRU15, secara total UMNO ditolak orang Melayu, saya rasa UMNO cuma dapat undi daripada ahlinya sahaja. Saya harap perwakilan cari pemimpin yang boleh membantu UMNO mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.

    Katanya, UMNO adalah parti teras parti yang banyak berjasa banyak kepada negara dan tidak seharusnya menjadi seperti GOLKAR apabila kalah, pemimpin tidak mahu berundur.

    Mohd. Yusof berkata, UMNO perlu mengembalikan keyakinan rakyat kepadanya melalui perubahan dalam parti itu atau berhadapan situasi tidak lagi diterima orang ramai.

    “Kita lihat apa terjadi pada GOLKAR, pemimpin yang sama tetap mahu memimpin parti itu dan sehingga hari ini parti itu tidak boleh bangun.

    “Jadi jangan jadikan UMNO seperti apa yang berlaku kepada GOLKAR, kembalikan keyakinan rakyat dengan kepimpinan UMNO yang baharu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pada September tahun lalu, Mohd. Yusof digantung keahlian UMNO selama enam tahun, namun pihak Lembaga Disiplin UMNO kemudian membuat keputusan menangguhkan hukuman itu sementara.

    Bagaimanapun, dalam langkah pembersihan UMNO baru-baru ini, penggantungan itu kembali dikuat kuasa menyebabkan hukuman itu kembali berjalan ke atasnya.

  • Sarjana tirai besi: Najib sambung PhD melalui internet

    Sarjana tirai besi: Najib sambung PhD melalui internet

    DATUK Seri Najib Razak sedang mengikuti kursus pascasiswazah dari Penjara Kajang, pusat tahanan dia menjalani hukuman penjara 12 tahun.

    Sumber yang rapat dengan bekas Perdana Menteri itu memberitahu Malaysiakini, bahawa Najib telah mendaftar untuk mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah atau PhD dalam bidang ekonomi.

    Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memetik Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, bahawa mengikut prosedur operasi standard (SOP), Najib akan dibenarkan melanjutkan pelajaran.

    Bagaimanapun katanya, bekas Perdana Menteri yang juga pernah menjadi Menteri Kewangan itu tidak akan diberikan akses internet atau komputer riba.

    “Kami akan cuba sedaya upaya untuk memudahkan, seperti untuk dia mengikuti seorang pensyarah,” katanya.

    Ditanya mengenai hantaran di media sosial yang dikaitkan dengan Najib sedangkan beliau tidak mempunyai akses internet, Saifuddin berkata, ini bukan isu kerana dilakukan melalui pasukan medianya.

    “Dia ada pasukan media sendiri, ini bukan perkara luar biasa, ia (akses kepada akaun media sosialnya) boleh berfungsi selagi ada nama pengguna dan kata laluan.

    “Tiada undang-undang yang menghalang dia daripada memberi pendapat.

    “Sama seperti dahulu, ketika (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara, dia dibenarkan mengeluarkan kenyataan media apabila di luar dari penjara (untuk menghadiri perbicaraan mahkamah).

    “Najib dalam situasi yang sama, kita tidak seharusnya menghalangnya daripada menyatakan pandangannya,” tambahnya.

    Bekas Perdana Menteri itu sedang menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung permohonannya untuk menyemak semula sabitannya berhubung kes SRC International Sdn. Bhd.

    Pada 28 Februari, panel lima anggota menangguhkan keputusan, dan memaklumkan bahawa pihak terbabit akan dimaklumkan mengenai keputusan mereka selewat-lewatnya pada 31 Mac.

  • Melaka Gateway – Sultan Johor kini pemegang saham kedua terbesar

    Melaka Gateway – Sultan Johor kini pemegang saham kedua terbesar

    SELEPAS bertahun-tahun dilihat lesu, projek Melaka Gateway kini kembali seperti biasa.

    Kerajaan kini memberi sokongan kepada projek berkenaan, dengan pemaju projek itu kini mempunyai penyokong berpengaruh – Sultan Johor.

    Semakan Malaysiakini ke atas rekod syarikat pemaju projek, KAJ Development Sdn Bhd mendapati Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kini ialah pemegang saham kedua terbesar syarikat itu.

    Sultan Ibrahim memiliki 30 peratus kepentingan dalam KAJ dengan nilai RM6 juta, manakala rakan perniagaan lamanya, Daing A. Malek Daing A. Rahman mempunyai 10 peratus kepentingan bernilai RM2 juta.

    Maklumat pemegang saham itu kali terakhir dikemas kini pada 11 Januari lalu.

    Ketua pegawai eksekutif KAJ, Siow Yoke Foong kekal sebagai pemegang saham terbesar, dengan 35 peratus daripada saham bernilai RM7 juta.

    Seorang lagi pemegang saham, Ong Tun Tse, memegang 19.98 peratus saham.

    Malaysiakini mendapati Siow dan Ong mempunyai alamat yang sama dan dipercayai mempunyai kaitan.

    Dua lagi pemegang saham ialah doktor pakar telinga, hidung dan tekak, Dr. Siow Seng Choon (5 peratus) dan M. Yahya A. Hamid (0.0125 peratus).

    Penyertaan Sultan Ibrahim dalam projek Melaka Gateway bermakna baginda mempunyai kepentingan dalam dua projek penambakan laut utama di sepanjang Selat Melaka dengan satu lagi Maharani Energy Gateway di luar pantai Muar, Johor.

    Keluarga Ong juga terlibat dalam kedua-dua projek itu.

    Bagi projek Maharani Energy Gateway, selain Sultan Ibrahim dan Daing A. Malek, rakan kongsi ketiga ialah K. Energy Sdn. Bhd. yang dimiliki bersama Eric Ong Zong Ren dan Valerie Ong Huei Zhen.

    Kedua-dua mereka berusia 20-an ketika menjadi rakan kongsi perniagaan sultan, didaftarkan di alamat kediaman yang sama dengan Tun Tse dan dipercayai mempunyai pertalian dengan Ong.

    Eric juga disenaraikan sebagai pengarah dalam dua anak syarikat KAJ – Melaka International Cruise Terminal Sdn. Bhd. dan MG Cruise Terminal Holdings Sdn Bhd.

    Syarikat China sebagai kontraktor utama

    Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2014, projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilion meliputi 246.45 hektar dan bertujuan mewujudkan tiga pulau buatan, antara lain, pelabuhan laut dalam, terminal pelayaran dan kontena, marina, perkhidmatan pembinaan dan pembaikan kapal, taman perindustrian maritim, hotel dan kondominium.

    Projek itu pada asalnya dirancang untuk disiapkan pada tahun 2025.

    Pada Mei 2017, semasa lawatan Najib ke China, Malaysia dan beberapa syarikat China menandatangani sembilan perjanjian komersial, dengan anggaran pelaburan AS$7.22 bilion (RM31.3 bilion).

    Melaka Gateway adalah salah satu daripada projek yang dilaburkan.

    Pada masa itu, satu memorandum persefahaman ditandatangani antara KAJ, China Electric Power Construction Group – anak syarikat milik kerajaan Power Construction Corporation of China – Shenzhen Yantian Port Group dan Shandong Rizhao Port Group untuk bersama-sama membangunkan Melaka Gateway.

    Bagaimanapun, pakatan pembangkang Pakatan Harapan ketika itu menyasarkan projek itu, dengan pengerusinya pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Najib menjual tanah negara.

    Apabila PH berkuasa, projek itu dikaji semula.

    Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md. Ali, membatalkan projek itu pada 2020 selepas KAJ gagal menyiapkan kerja-kerja penambakan mengikut jadual.

    KAJ kemudiannya menyaman kerajaan Melaka tetapi tidak berjaya.

    Kelesuan projek itu tidak berlangsung lama lagi apabila saingan politik Sulaiman – Exco Melaka yang bertanggungjawab dalam industri dan pelaburan, Rauf Yusoh mengembalikan semula KAJ sebagai pemaju projek Melaka Gateway pada Mac tahun lepas.

    Projek Melaka Gateway kini merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka yang melibatkan usaha penambakan yang diperluaskan melibatkan kawasan sepanjang 33 kilometer di garis pantai Melaka.

    Pada Ahad lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan KAJ memohon untuk menghidupkan semula komponen terminal kapal persiaran projek itu dan ia dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kementerian.

    Loke berkata, beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah untuk menyokong kesinambungan projek berkenaan tetapi akan berbincang dengan kerajaan negeri Melaka terlebih dahulu.

    Beliau berkata, kerja-kerja penambakan itu sudah separuh siap dan jika terbengkalai, ia akan merugikan ekonomi negeri.

    Projek itu adalah antara beberapa pelabuhan di sepanjang Selat Melaka yang telah dibina, sedang dalam proses, atau sedang dicadangkan.

  • Bekas IGP kongsi ‘enam jangan’ buat para isteri

    Bekas IGP kongsi ‘enam jangan’ buat para isteri

    SELEPAS terpalit dengan kontroversi klip video yang memaparkan seorang lelaki miripnya bergaduh dengan seorang wanita, bekas ketua polis negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan berkongsi pesanan buat para isteri.

    Dalam ciapan di Twitter, beliau berkongsikan enam tabiat yang tidak patut diamalkan oleh isteri.

    “Jangan menghina dan mengumpat suami di depan orang lain, jangan meninggikan suara dan mengherdik suami dan jangan keluar tanpa izin suami.

    “Jangan mendoakan kecelakaan buat suami, jangan membenci kegemaran suami dan jangan menjadi tekanan kepada suami,” ciapnya awal pagi tadi.

    Ciapan Musa Hassan di Twitter

    Semalam Musa menggesa orang ramai untuk menghormati privasinya susulan tersebar klip video memaparkan seorang lelaki yang seakan Musa berbalah dengan seorang wanita.

    “Ini adalah masalah privasi keluarga. Jangan ada yang masuk campur.

    “Jika ada yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” kata Musa pada ciapannya di Twitter.

    Sementara itu Musa turut menegaskan bahawa isteri yang mendehaka pada suami akan ditempatkan di neraka jahanam.

    Selain itu dalam ciapan berasingan dia turut menggariskan lima ciri-ciri isteri derhaka kepada suami.

    “Tidak mensyukuri kebaikan dilakukan suami, suka menyakiti hati suami, melayani lelaki lain tanpa pengetahuan suami, keluar rumah tanpa izin suami dan meminta cerai dari suami,” ciapnya lapor Malaysiakini.

  • ‘Apa dah jadi dengan UMNO, diheret pula menteri KDN’

    ‘Apa dah jadi dengan UMNO, diheret pula menteri KDN’

    “APA dah jadi dgn UMNO ni?” begitu soal bekas naib presiden yang digantung keanggotaan parti Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Anggota parlimen Sembrong itu berkata demikian dalam komen terhadap status bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang telah dipecat, ketika mengulas pengecualian kepada UMNO daripada diharamkan.

    Dalam status video itu, Khairy berkata keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sememangnya memutuskan keputusan UMNO tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO sebagai tidak sah.

    Sementara itu, Hishammuddin yang terpalit kontroversi memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, berkata UMNO kali ini mengheret menteri dalam negeri pula.

    “Sekarang diheret pula Menteri KDN. 

    “Inilah sebab kita dipecat dan digantung – just in case menteri tak bagi pengecualian!” katanya Lapor Malaysiakini.

    Hishammuddin selama ini disebut-sebut berkemungkinan bertanding jawatan tertinggi UMNO bersama bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun tidak pernah mengisytiharkan secara terbuka.

    Khairy pula memang telah menyatakan mahu mencabar Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi tetapi tidak dapat lagi berbuat demikian setelah dipecat daripada parti.

    Semalam Saifuddin menggunakan kuasa budi bicaranya untuk mengecualikan UMNO daripada dibatalkan pendaftaran.

    Pada 20 Jan lalu, dua anggota UMNO memfailkan notis bantahan kepada ROS berhubung ketetapan tidak mempertandingkan dua jawatan utama parti.

    Tindakan itu didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

    Bagaimanapun ini  bukan kali pertama dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

  • Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah meninggal dunia

    Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah meninggal dunia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah, 79, meninggal dunia, hari ini.

    Pemergian Allahyarham yang dikenali sebagai pemimpin berjiwa kental disahkan bekas Setiausaha Akhbarnya, Datuk Boon Som Inong, sebentar tadi.

    Katanya, Allahyarham difahamkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi di sebuah hospital swasta di Sungai Petani.

    “Curahan jasa dan baktinya kepada rakyat Kedah cukup banyak dan tidak terhitung. Beliau pernah berpesan ketika menjadi ‘boss’ saya dahulu ‘di mana ada rakyat, di situlah pejabat kita.

    “Kitalah yang kena keluar pergi jumpa dan selesaikan masalah mereka. Dari situ, kita sudah dapat melihat betapa beliau amat mementingkan kehidupan rakyat,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

    Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Syed Razak.

    “Beliau merupakan seorang pemimpin yang memiliki jiwa cukup kental. Dalam keadaan uzur sekali pun, beliau akan tetap cuba memenuhi undangan ke sana-sini dalam apa jua majlis.

    “Sama ada mahu naik atau turun pentas, beliau sentiasa berusaha melakukannya sendiri tanpa mahu dibantu. Tiada siapa dapat menafikan sumbangannya kepada negeri ini kehilangan ini tidak hanya kepada keluarganya saja malah seluruh negeri Kedah,” katanya.

    Dalam pada itu rakan baik Syed Razak yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah turut terkesan dengan kehilangan tersebut.

    “Beliau seorang pemimpin yang baik, memiliki visi dan misi untuk memajukan rakyat serta negeri dalam apa jua keadaan.

    “Kami saling mengenali sejak beliau masih berniaga dan belum menyertai politik lagi. Ketika beliau menjadi Menteri Besar, saya jadi Exco kerajaan negeri dan hubungan yang rapat ini akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.

  • Empat termasuk pelakon drama berdepan hukuman mati

    Empat termasuk pelakon drama berdepan hukuman mati

    EMPAT lelaki termasuk seorang pelakon drama, berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Januari lalu atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, di sebuah kedai rokok elektronik atau ‘vape’.

    Mereka ialah pelakon yang juga pemilik kedai itu, Said Muhammad Ismail Said Pakir, 29, dua pekerjanya, H.S. Sarvinder Singh, 23, dan Delson Dean Samson Akmal, 26, sementara seorang lagi, peniaga burger, Muhammad Amir Hafiz Zamani, 30.

    Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Majistret Wong Chai Sia hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan memberitahu bahawa, laporan kimia bagi kes berkenaan belum diterima.

    Susulan itu, mahkamah menetapkan sebutan semula kes, pada 31 Mac ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam kes ini, tertuduh pertama, Sarvinder Singh diwakili peguam, S Shastidaran manakala tiga tertuduh lain oleh peguam, Mohamed Ashmeer Ashrof.

    Pada 10 Januari lalu, mereka didakwa dengan niat bersama telah mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis dengan anggaran berat 494 gram, di sebuah premis di Taman Oug Parklane Off Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam, 3 Januari lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan, boleh dijatuhi hukuman mati atau tidak kurang sembilan sebatan dan penjara seumur hidup.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

    Pada 4 Januari lalu, media melaporkan, kegiatan sindiket menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau ‘vape’ terbongkar selepas empat daripada ahlinya ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

    Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, serbuan pukul 9.45 malam itu berjaya menemukan dadah jenis ganja seberat 494 gram (g) dan cecair ganja sebanyak 3,496 milliliter (ml).

  • ADUN Pas ikrar pertahan Lynas

    ADUN Pas ikrar pertahan Lynas

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berikrar mempertahankan kilang penapisan nadir bumi Lynas dengan semangat yang sama ketika dia pernah menentangnya satu ketika dahulu.

    “Lynas telah beroperasi selama 10 tahun dan sudah banyak data yang dikumpul dan dibentangkan untuk membuat penilaian yang jujur dan adil berkenaan operasi kilang penapisan nadir bumi ini.

    “Saya perlu adil dalam membuat pertimbangan semula terhadap tahap keselamatan operasi kilang ini berdasarkan dapatan dan laporan oleh agensi-agensi ini selain daripada pakar-pakar akademik dan industri,” katanya dalam kenyataan, lapor Malaysiakini.

    Andansura, yang merupakan timbalan Persuruhjaya Pas Pahang, adalah pengerusi Gabungan Stop Lynas dari 2010 hingga 2013.

    Menjelang 2018, beliau mengubah pendiriannya secara terbuka, dengan alasan bahawa kilang nadir bumi itu selamat berdasarkan fakta yang telah disemaknya.

    Andansura berkata, syarat kerajaan agar Lynas memindahkan proses pemecahan dan larut lesapnya ke luar negara adalah tidak adil kepada syarikat itu dan 800 kakitangannya.

    Sehubungan itu, beliau berjanji untuk bekerjasama dengan ADUN lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang untuk melibatkan pihak berkepentingan dengan matlamat untuk melindungi kilang berkenaan.

    “Pendirian ini dibuat adalah demi nasib ratusan pekerja dan ribuan isi rumah yang akan terkesan, serta untuk kepentingan ekonomi negeri dan negara.

    “Saya juga menyeru ahli masyarakat prihatin agar dapat bersama-sama mengambil pendirian yang adil berhubung perkara ini dan memberikan informasi dan pencerahan yang telus kepada masyarakat awam,” katanya.

    Andansura mendakwa, nilai sumbangan kepada ekonomi tempatan daripada kemudahan retak dan laurt Lynas yang akan ditutup kira-kira RM200 juta setahun.

    Kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa Lynas mesti memindahkan loji retak dan larut lesapnya ke luar negara sebelum Julai 2023.

    Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan penutupan kilang penapisan nadir bumi itu.

  • Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah RM900

    Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah RM900

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 sejak 2016 hingga 2018.

    Bagaimapaun, tertuduh, Muhamad A. Jalalal, 33, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang ketika kejadian bertugas di Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman didakwa menerima RM900 daripada syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Company Sdn. Bhd.

    Dia didakwa menerima rasuah itu daripada pengarah syarikat menerusi akaun bank CIMB yang mana syarikat itu terbabit dengan kerja-kerja rasmi membabitkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Muhamad dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di bank Maybank dan CIMB di Jalan Bahru, Taman Chai Leng dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) antara November 2016 hingga Februari 2018.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam pada itu, Muhamad yang kini bertugas sebagai Lans Koperal Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ipoh, Perak memohon mahkamah mengurangkan jaminan ke atasnya dengan alasan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

    Selain itu, katanya, dia juga perlu menanggung anak autisme dan bapa yang menghidap sakit jantung selain baru kematian bapa mentua.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Selain itu, Hakim turut mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan sehingga perbicaraan kes itu selesai serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 April depan.