Category: Semasa

  • Muhyiddin bakal ditahan, politik negara semakin panas

    Muhyiddin bakal ditahan, politik negara semakin panas

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai berada dalam senarai pemimpin pembangkang yang akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah esok.

    Setakat ini, masih belum jelas pertuduhan yang akan dikenakan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang mengetuai kerajaan Persekutuan semasa kemuncak pandemik Covid-19.

    Namun desas-desus ini muncul selepas beberapa minggu pemimpin kerajaan menyerang Bersatu, disusuli dengan soal siasat terhadap pemimpin parti itu berhubung dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera, lapor MalaysiaNow.

    MENYUSUL LAGI

  • Suami isteri aktif edar dadah ditahan, pelbagai dadah hampir RM300,000 dirampas

    Suami isteri aktif edar dadah ditahan, pelbagai dadah hampir RM300,000 dirampas

    POLIS Pulau Pinang menahan sepasang suami isteri berusia 42 dan 46 tahun yang aktif mengedar pelbagai jenis dadah dalam serbuan di Gelugor, Ahad lalu dan merampas pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM282,464.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pasangan tersebut ditahan di tepi jalan di pukul 12 tengah hari yang mana ketika itu, polis turut menemukan satu peket plastik dadah syabu seberat 310 gram bernilai RM31,000 bersama suspek wanita.

    Jelasnya, hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium di Gelugor dan menjumpai sejumlah dadah yang disimpan di situ.

    Antaranya, kata beliau, sebanyak tujuh peket plastik setiap satu berisi dadah syabu seberat 6,48 kilogram (kg) bernilai RM233,604 dan sembilan ketulan mampat daun-daun kering ganja setiap satu dibalut dengan plastik lutsinar seberat 6,28 kg.

    Selain itu, ujarnya, turut ditemukan adalah sebanyak lima peket plastik lutsinar setiap satu berisi daun-daun kering ganja seberat 856 gram dengan nilai keseluruhan RM17,860.

    “Pasangan ini mempunyai rumah sendiri di Batu Uban, namun mereka menyewa kondominium tersebut dengan harga RM1,300 sebulan untuk dijadikan tempat penyimpanan serta pembungkusan semula dadah-dadah berkenaan sebelum dijual,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di Georgetown hari ini.

    Tambah Soffian, siasatan awal mendapati, kegiatan mengedar dadah itu hanya dilakukan oleh si suami, namun diambil alih isterinya selepas dia menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang.

    Jelasnya, pasangan suami isteri yang merupakan penganggur dan tidak mempunyai anak itu mengedar dadah kepada pembeli di sekitar negeri ini menggunakan motosikal.

    Katanya, hasil saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan turut mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.

    “Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek ditahan reman bermula 6 Mac hingga 12 Mac ini,” katanya.

    Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (perlucuthakan harta) 1988 yang mana barang kemas yang dianggarkan bernilai RM12,800 dan kenderaaan yang dianggarkan bernilai RM11,000 turut disita.

  • Fadhlina antara 4 ADUN angkat jaga kerusi Bersatu dikosongkan

    Fadhlina antara 4 ADUN angkat jaga kerusi Bersatu dikosongkan

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang melantik empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi menguruskan empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang dikosongkan susulan usul pengisytiharan kekosongan kerusi seperti diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelantikan ‘ADUN angkat’ itu bagi menguruskan kawasan berkenaan ekoran pengosongan kerusi yang sebelum ini disandang empat ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
     
    Katanya, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ADUN Pinang Tunggal dilantik sebagai ‘ADUN angkat’ bagi KADUN Bertam manakala KADUN Seberang Jaya pula akan diberi perhatian oleh ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

    Jelasnya, KADUN Sungai Acheh pula akan diberi perhatian oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek manakala Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Bakhtiar Wan Chik sebagai ‘ADUN angkat’ bagi KADUN Teluk Bahang.

    Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, ‘ADUN angkat’ itu dilantik bagi menguruskan kawasan berkaitan supaya rakyat dan pengundi tidak berasa dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri.

    “Malah, keempat-empat KADUN ini juga diberikan peruntukan yang sama supaya khidmat kepada rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan tidak terjejas serta terkesan ekoran pengosongan itu.

    “(Tambahan pula), taraf ‘ADUN angkat’ adalah sama dengan ADUN kawasan berkenaan seperti yang dilakukan lantikan pertama pada tahun 2020,” jelasnya.
     
    Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan bunga di Pasar Chowrasta dekat sini sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini.
     
    Pada 6 Mac lalu, DUN Pulau Pinang telah meluluskan usul Pengisytiharan Kekosongan Empat Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

    Empat ADUN itu melibatkan Bersatu iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

    Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang dalam kenyataannya semalam turut memaklumkan kekosongan luar jangka kerusi ADUN itu tidak boleh ‘diisi’ memandangkan tempoh pembubaran akan berlaku dalam tempoh kurang dua tahun.

  • Penggangur menyamar ‘rider’ ragut pejalan kaki ditahan polis

    Penggangur menyamar ‘rider’ ragut pejalan kaki ditahan polis

    SEORANG penggangur diberkas polis selepas meragut pejalan kaki lelaki di Plaza 33, Petaling Jaya, 22 Februari lalu.

    Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek menggunakan taktik menyamar menjadi penghantar makanan sebelum meragut mangsa di sekitar Petaling Jaya.

    Katanya, suspek juga menggunakan beg dan pakaian penghantar makanan yang disyaki dicuri.

    “Sebelum meragut, suspek juga menukar ‘cover set’ motosikal Yamaha LC 135 yang digunakan dan menukar kepada asal selepas meragut agar sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu sidang Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Tambahnya, suspek berusia 25 tahun ditahan di kawasan perumahan Jalan Gasing Indah pukul 6.30 petang.

    “Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan dan telah menjual telefon bimbit milik mangsa kepada rakan sepenjenayah,” katanya.

    Susulan polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun pada pukul 9 malam pada tarikh sama suspek pertama ditangkap.

    “Polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki kepunyaan mangsa.

    “Kedua-dua suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Lepas banyak karbon, tapi dapat anugerah, tanya MP PN

    Lepas banyak karbon, tapi dapat anugerah, tanya MP PN

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan bagaimana projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) menerima anugerah ‘Berlian’ bandar rendah karbon oleh Malaysian Green Technology and Climate Change (MGTC).

    Perkara itu dibangkitkan oleh Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Harakahdaily.

    Menurutnya, projek yang kini dikenali projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) sebelum ini direkodkan bakal meningkatkan pelepasan karbon sebanyak 3.2 juta tan setahun oleh Majlis Perancang Fizikal Negara.

    Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penilaian tersebut dibuat oleh MGTC dan tidak melibatkan kementeriannya.

    Katanya, MGTC merupakan sebuah agensi yang membuat penilaian mengenai projek yang dilihat boleh mencapai sesautu matlamat, contoh bandar rendah karbon.

    “Berdasarkan proposal yang dihantar, MGTC melihat apakah rancangan yang dibuat oleh penggerak projek untuk mengatasi kesan pengeluaran karbon dalam projek ini,” katanya.

    Menurut Nik Nazmi, selepas penolakan PSI pada 2019 disebabkan teguran mengenai pelepasan karbon, penggerak projek telah menghantar empat lagi Laporan Penilaian Kesan Ke Atas Alam Sekitar (EIA) untuk penilaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    Setiap kali EIA dihantar, katanya JAS akan memberi sebab penolakan projek dan berdasarkan pemerhatian, penggerak projek akan menyatakan langkah untuk mengatasi masalah dan sebab penolakan yang dikemukakan JAS.

    “Jadi atas sebab itu, saya tidak mahu second guess (pandangan kedua) yang dibuat oleh MGTC. Saya hanya hadir menyampaikan hadiah, tetapi saya yakin perkara ini dalam pertimbangan apabila MGTC mengambil keputusan tersebut,” katanya.

    MGTC menerusi kenyataan di laman webnya bulan lalu berkata, reka bentuk cadangan projek PSI bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, diiktiraf sebagai satu pembangunan yang mampan dalam hal meminimumkan pelepasan karbon.

    MGTC memberi penghormatan kepada Pulau Pinang berhubung reka bentuknya sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mempromosikan Bandar Rendah Karbon (LCC) di Malaysia, dengan negeri itu diberi anugerah “Berlian” untuk reka bentuk PSI pada acara Bandar Rendah Karbon 2022.

  • Tumbuk, samun guru wanita, 3 lelaki ditahan

    Tumbuk, samun guru wanita, 3 lelaki ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki Ahad lalu kerana disyaki menyamun dan mencederakan seorang guru wanita di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul, pada 25 Februari.

    Dalam kejadian itu, mangsa berusia 45 tahun ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan wayar oleh semua suspek yang menyamun rumahnya.

    Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata suspek turut melarikan wang tunai RM6,000, satu telefon bimbit, seutas jam tangan dan kad bank milik mangsa.

    “Susulan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun di Damansara dan Petaling Jaya, Ahad lalu.

    “Siasatan mendapati modus operandi mereka adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Beh, semua lelaki itu memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan mereka sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan sengaja menyebabkan cedera.

    Beliau berkata, susulan penahanan mereka, polis berjaya menyelesaikan empat kes di ibu negara dan satu kes di Selangor.

  • 24 fasiliti kesihatan di Johor terjejas banjir

    24 fasiliti kesihatan di Johor terjejas banjir

    SEBANYAK 24 fasiliti kesihatan membabitkan klinik kesihatan dan klinik desa di Johor dilaporkan terjejas akibat banjir yang berlaku sejak minggu lalu.

    Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, keadaan banjir yang semakin baik membolehkan sebahagian besar klinik kesihatan yang terjejas beroperasi semula.

    Beliau memberitahu, setakat ini, klinik kesihatan yang masih terjejas banjir ialah Klinik Kesihatan Sri Gading di Batu Pahat.

    “Bagi Klinik Kesihatan Chaah yang teruk terjejas banjir, operasi klinik dipindahkan ke balai raya berhampiran.

    “Pengoperasian semula klinik yang terjejas banjir banyak dibantu klinik-klinik kesihatan berhampiran yang tidak terjejas banjir dan hospital utama di daerah itu.

    “Sebagaimana yang berlaku di Klinik Kesihatan Chaah, kesemua peralatan kesihatan dilaporkan rosak,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan konvoi pasca banjir Southern Volunteers di Dataran Mahkota, Iskandar Puteri hari ini.

    Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang memantau keadaan fasiliti kesihatan terjejas banjir ini supaya tidak memberi kesan kepada sistem kesihatan di negeri ini.

    JKNJ katanya akan memastikan pergerakan pesakit tidak terganggu sekiranya klinik kesihatan masih terjejas banjir dan jika perlukan rawatan, pesakit akan rujuk ke klinik kesihatan berhampiran dan hospital utama.

    “Isu fasiliti kesihatan terjejas banjir yang memerlukan peruntukan segera untuk dibaiki akan dibawa ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

    Dalam pada itu, tambah beliau, tiada rekod berhubung penyakit bawaan air yang diterima di fasiliti kesihatan di Johor setakat ini.

    “Tiada penyakit sakit bawaan air seperti cirit birit, taun, muntah akibat banjir yang dilaporkan berlaku di negeri ini.

    “Kita harap tiada, kerana setiap pusat pemindahan sementara (PPS) ada stesen kesihatan masing-masing terdiri daripada petugas kesihatan yang akan pantau keadaan mangsa banjir,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Masalah struktur ekonomi Malaysia: Deindustrialisasi Pramatang

    Masalah struktur ekonomi Malaysia: Deindustrialisasi Pramatang

    Oleh WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL

    KETIKA Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) pada 1 Mac 2023 yang lalu, saya telah membangkitkan suatu isu, iaitu Deindustrialisasi Pramatang (Premature Deindustralization) yang berlaku di Malaysia.

    Deindustrialisasi Pramatang ialah satu proses perubahan sosial dan ekonomi yang disebabkan oleh penyingkiran atau pengurangan keupayaan atau kegiatan industri di sesebuah negara.

    Sejak awal tahun 2000, ekonomi Malaysia tertumpu kepada pelbagai sektor perkhidmatan seperti kewangan dan pelancongan bersamaan dengan 55% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sektor pengeluaran pula menguncup daripada 30% ke 22% dari KDNK Malaysia.

    Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia telah mengalami Deindustrialisasi Pramatang (Premature Deindustralization). Kita perlu perbetulkan struktur ekonomi Malaysia melalui:

    (a) Menambah jumlah produk akhir (end-product), bukan hanya menambah jumlah pekerjaan.

    (b) Membina kluster atau jaringan Ekonomi bagi produk akhir (end-product) tersebut.

    (c) Menjadikan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai tunjang dengan menyemak semula mandat dan peranan asal penubuhan.

    Namun begitu, saya tekankan sekali lagi, kerajaan perlu menetapkan hala tuju, sektor tumpuan, strategi, dan seterusnya pembinaan kapasiti.

    Penulis ialah Ahli Parlimen Machang

  • Disyaki bawa masuk 15 pendatang tanpa izin, 3 ‘transporter’ ditahan

    Disyaki bawa masuk 15 pendatang tanpa izin, 3 ‘transporter’ ditahan

    TIGA lelaki ditahan dalam Op Gelombang 2 kerana disyaki menjadi ‘transporter’atau penghantar pendatang tanpa izin di sekitar Jeli dan Gua Musang, Kelantan, Isnin lalu.

    Operasi itu turut menahan 15 pendatang tanpa izin berusia 24 hingga 54 tahun terdiri 12 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, dalam kenyataan berkata mereka dipercayai tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga kenderaan ke rumah penampungan.

    Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket itu adalah masuk melalui laluan udara ke Thailand dari Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok.

    Khairul berkata, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap pendatang tanpa izin untuk masuk ke Malaysia.

    “Semua pendatang tanpa izin ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah manakala pendatang tanpa izin wanita pula mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

    “Siasatan awal mendapati ‘transporter’ tempatan ini menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap pendatang tanpa izin yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan yang ditetapkan,” katanya.

    Khairul berkata, semasa serbuan dilakukan, terdapat ‘transporter’ dan pendatang tanpa izin yang cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif dan memberi ancaman secara fizikal namun tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.

    Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan menyasarkan pendatang tanpa izin dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

    “Berdasarkan anggaran, seramai 160 pendatang tanpa izin sebulan dibawa masuk oleh sindiket ini menyebabkan kerajaan kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

    “Semua pendatang asing ini disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

    Khairul berkata, tiga kenderaan pelbagai jenis dianggar bernilai RM100,000 itu akan disita manakala tiga ‘transporter’ terbabit akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

  • Tiada lagi subsidi industri berdepan kesukaran, kata Rafizi

    Tiada lagi subsidi industri berdepan kesukaran, kata Rafizi

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak akan lagi memberi subsidi kepada sektor dan industri yang berdepan kesukaran, sebaliknya akan mengambil pendekatan untuk bekerjasama bersama-sama mereka mengatasi masalah dihadapi.

    Jelas beliau, sudah menjadi kelaziman pada masa lalu, apabila sesuatu sektor dan industri tertentu mengalami masa yang sukar, mereka akan merayu kepada kerajaan untuk memberikan subsidi.

    Menurutnya, sebagai contoh, amalan itu berlaku apabila harga bahan mentah dalam industri itu didapati naik mendadak.

    “Pendekatan (baharu) yang kita ambil ialah mahu beralih daripada suntikan wang berbentuk subsidi semata-mata kepada indsutri tertentu yang tidak mengubah apa-apa, (ibarat) hanya beri ‘panadol’ semasa demam, itu sahaja.

    “Yang kita mahu lakukan ialah, kerajaan sememangnya terbuka untuk membantu apabila sesuatu industri itu ada masalah dan sebagainya, tetapi bentuk bantuan itu kita mahukan supaya ia mengubah struktur industri itu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panelis pada Invest Malaysia di ibu negara, hari ini.

    Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sebagai contoh, ada beberapa industri yang bergantung banyak kepada penggunaan gas dalam proses (perniagaan) mereka.

    “Apabila harga gas naik mendadak sudah tentu kos mereka melonjak. Kerajaan lebih cenderung untuk membantu mereka menukar sumber tenaga daripada gas, contohnya kepada biojisim.

    “Sebab itu, jika mahu membuat sendiri, mereka memerlukan sedikit sebanyak bantuan. Namun, bantuan atau diberikan kerajaan itu mengubah struktur dan operasi industri berkenaan supaya ia dapat menyelesaikan masalah yang sedia ada.

    “Itu maksud saya yang kerajaan cenderung untuk bekerjasama dengan industri supaya sebarang bentuk bantuan bukan berbentuk subsidi seperti sebelum ini, tetapi berbentuk bantuan yang akan mengubah serta menguatkan daya saing sesebuah industri itu,” katanya.