Category: Semasa

  • UMNO ‘bungkus ikat tepi’ dalam PRN kali ini, kata Fadhli Shaari

    UMNO ‘bungkus ikat tepi’ dalam PRN kali ini, kata Fadhli Shaari

    UMNO, parti pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan bakal ‘bungkus ikat tepi’ dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang menjangkakan perkara itu beranggapan parti keramat yang dulunya menjadi pejuang agenda Melayu itu sudah pun karam.

    “UMNO yang ada hari ini ialah UMNO yang sudah karam. Sebab itu tuan-tuan sekalian percayalah parti yang paling bungkus ikat tepi dalam PRN kali ini ialah UMNO dan BN,” katanya ketika berucap pada Pentas Setiausaha Perikatan Nasional di Shah Alam, malam tadi.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, UMNO hari ini masih wujud semata-mata untuk menyelamatkan Ahmad Zahid.

    “Sebabnya tuan-tuan sekalian, maaflah saya sebut UMNO dan Barisan Nasional mereka selama ini. Tidak ada lagi keris yang dijulang tinggi di PWTC kononnya ‘anak kecil main api’, tak ada dah. Bukan kita supaya bermain dengan keris, tidak.

    “Tetapi kalau UMNO sebelum daripada ini sibuk bercakap tentang agenda, bangsa, agenda Melayu dan sebagainya, hari ini UMNO sudah tidak boleh diharapkan lagi. UMNO yang ada pada hari ini ialah UMNO untuk menyelamatkan Datuk Seri Zahid semata-mata,” katanya.

    Dalam ucapan sama, beliau menyeru ahli UMNO dan pengundi yang menyokong parti itu agar tidak memboikot hari pengundian yang bakal berlangsung, esok.

    “Saya dengar ramai ahli UMNO tak nak keluar mengundi, nak boikot pengundian, tak nak keluar mengundi. Sebab apa? Sebab marah kepada Presiden UMNO. Ada dengar ke tidak? Saya dengar itu.

    “Pengundi-pengundi, ahli UMNO tak nak keluar rumah, nak duduk dalam rumah, nak boikot. Saya katakan sikap anda nak tunjukkan protes itu bagus tetapi tambahkan satu lagi protes.

    “Jangan tak keluar mengundi. Keluar mengundi beramai-ramai dan undi Perikatan Nasional!,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak usia 9 tahun

    Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak usia 9 tahun

    SEORANG ibu dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia sembilan tahun, bulan lalu.

    Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan Izuhaizad Ismail, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur ‘Atiqah Sapari.

    Mereka didakwa bersama-sama membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9, di sebuah rumah di Jalan Panglima 5, Taman Panglima Assam Kumbang, antara 10 pagi, 29 Julai dan 10.52 pagi, 30 Julai lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

    Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah jika tidak dihukum dengan hukuman mati dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 16 Oktober ini untuk laporan kimia, bedah siasat, forensik dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun.

    Pada 31 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah dan atas maklumat orang awam dan hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur penderaan terhadap mangsa.

    Polis kemudian menahan ibu mangsa dan teman lelakinya yang turut tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Pas letak MB baru di Kelantan, kekalkan Sanusi, Samsuri

    Pas letak MB baru di Kelantan, kekalkan Sanusi, Samsuri

    KEPIMPINAN Pas bersetuju mengekalkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar Kedah dan Terengganu, tetapi berkata akan menamakan calon baru untuk menerajui Kelantan jika parti itu kembali berkuasa pada pilihan raya negeri esok. 

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu masih perlu mendapat perkenan Sultan di setiap negeri.

    “Perubahan gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar bagi Kelantan, dengan mengemukakan gabungan kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan,” katanya menurut laporan Malaysianow.

    Menteri Besar Kelantan ketika ini, Datuk Ahmad Yakob, mengambil alih tugas daripada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2013 dengan dibantu Mohd. Amar Nik Abdullah.

    Pas merampas Kelantan daripada Barisan Nasional pada tahun 1990, dan menerajui negeri itu hingga ke hari ini.

  • Anggota polis disyaki jadi tokan dadah

    Anggota polis disyaki jadi tokan dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG anggota polis ditahan kerana disyaki menjadi tokan dadah dalam serbuan dilakukan di Taman Sejati Indah, dekat Sungai Petani, Kedah, Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkoti (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Dalam serbuan dijalankan itu katanya, polis turut menemukan lima bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dianggarkan bernilai kira-kira RM168,000.

    “Suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau dan ujian saringan awal urin mendapati dia negatif dadah.

    “Kesemua bungkusan dadah itu dianggarkan seberat 5.2 kilogram (Kg),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, suspek yang sudah berkahwin direman tujuh hari bermula semalam.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kesemua dadah itu jika terlepas ke pasaran dianggarkan boleh digunakan oleh 26,450 penagih,” katanya.

  • Peletakan jawatan Muhammad Faiz tak beri kesan kepada parti, PRN – Saifuddin

    Peletakan jawatan Muhammad Faiz tak beri kesan kepada parti, PRN – Saifuddin

    PELETAKAN jawatan Dr. Muhammad Faiz Na’aman tidak meninggalkan kesan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya melihat Bersatu tetap kukuh malah tidak jenera pilihan raya juga tidak tergugat.

    “Jentera parti berjalan seperti biasa bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Bagi saya peletakan beliau tidak memberi kesan langsung kepada Bersatu terutama calon-calon yang bertanding PRN. Malah, calon-calon kita juga tidak memberi kesan dan jentera parti kita tetap berjalan seperti biasa,” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi PN Pahang berkata demikian kepada pemberita selepas Program ‘Chat With Me 3.0’ di Kuala Terengganu semalam.

    Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, pihaknya tidak tahu mengenai peletakan jawatan itu.

    “Yang penting, ia tidak memberi kesan langsung kepada parti,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sebelum ini, media melaporkan Dr. Muhammad Faiz mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu termasuk berhenti sebagai ahli parti itu.

    Beliau turut mengutuskan surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keputusannya itu.

  • Firma barang kemas, Rosmah saling kemuka permohonan di mahkamah

    Firma barang kemas, Rosmah saling kemuka permohonan di mahkamah

    GLOBAL Royalty Trading SAL memfailkan penghakiman ringkas terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dalam saman berjumlah RM67.46 juta.

    Pada masa sama, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu juga memfailkan permohonan agar firma barang kemas dari Lubnan itu mendepositkan AS$1 juta kepada mahkamah sebagai jaminan kos.

    Peguam Rosmah, Rajivan Nambiar mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa kedua-dua permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

    Penghakiman ringkas seperti yang dikemukakan oleh plaintif Global Royalty Trading ialah penghakiman yang dibuat tanpa perkara itu didengar pada perbicaraan penuh, lapor Malaysiakini.

    Perintah untuk jaminan kos melindungi pihak-pihak seperti Rosmah selaku defenden daripada risiko bahawa mereka akan menang dalam perbicaraan dan dianugerahkan kos mereka, tetapi kemudian tidak dapat melaksanakan perintah kos terhadap pihak yang kalah, sama ada dalam bidang kuasa mahkamah atau di luar negara.

  • Riza Chalid tubuh syarikat melombong REE, hari sama Anwar dinamakan sebagai PM, dedah Sanusi

    Riza Chalid tubuh syarikat melombong REE, hari sama Anwar dinamakan sebagai PM, dedah Sanusi

    TAIKUN Indonesia Muhammad Riza Chalid dilaporkan menubuhkan syarikat Triple Golden Innovation untuk melombong elemen nadir bumi (REE) di Kedah, dedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu ceramahnya.

    Menteri Besar Kedah itu memberitahu, syarikat tersebut didaftarkan pada 23 November 2022, hari yang sama Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai perdana menteri ke-10.

    Istana Negara mengumumkan pelantikan Anwar selepas beberapa hari berbincang, dengan pengerusi Pakatan Harapan mengangkat sumpah sehari kemudian, pada 24 November.

    Syarikat tersebut diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 dan beralamat di Jalan Sultan Azlan Shah yang mana Riza ialah pengarah syarikat.

    “Mereka mari minta REE, yang mahu nafi kenapa. Bila Anwar Ibrahim dan (Datuk Seri) Saifuddin Nasution Ismail korek, orang akan korek,” katanya merujuk kepada penafian perdana menteri dan menteri dalam negeri itu berhubung penglibatan Riza untuk mendapatkan REE.

    Riza sebelum ini dibawa Anwar menghadap Sultan Kedah pada 2 Oktober 2022 ketika masih ahli Parlimen Port Dickson.

    Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa Riza ingin mendapatkan permohonan melombong REE di negeri itu dan Anwar menjadi ‘broker’ kepada taikun kontroversi itu.

    Anwar bagaimanapun menafikan kenyataan menteri besar Kedah berkenaan.

    Katanya, pertemuan dengan Sultan Kedah tiada kaitan dengan isu REE.

    REE antara isu yang digunakan oleh Saifuddin sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, dengan mengaitkan Sanusi bersama seorang warga China, So Lai Fit.

    Sebelum ini, Sanusi yang memfailkan saman terhadap Saifuddin mendedahkan hubungan Anwar dengan Riza

    Sanusi berkata, penerokaan REE menjadi perlumbaan antara kuasa besar China dan Amerika Syarikat.

    “Perang ekonomi kini berlaku kerana perebutan sumber-sumber ekonomi. Kita tak mahu tersepit di celah-celah ini.

    “Kita hendak pilih kerajaan yang kuat yang boleh berkata ‘no’ kepada sesiapa pun yang membuat keputusan yang tidak menguntungkan kita,” tambahnya, lapor Malaysianow.

  • Tukar kerajaan Pas di Kelantan tak akan selesai isu air, kata Mohd. Amar

    Tukar kerajaan Pas di Kelantan tak akan selesai isu air, kata Mohd. Amar

    TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mempersoalkan adakah isu air di negeri ini akan selesai jika menukar Pas kepada parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

    “Kalau tukar kerajaan Pas nak bagi dekat siapa (kerajaan),” ujar Naib Presiden Pas itu.

    “Jika pentadbiran negeri ini diserahkan kepada gabungan BN-PH (Barisan Nasional-Pakatan Harapan) ia tetap akan bermasalah,” katanya semasa ceramah di Kemuning, Macang, malam tadi.

    Beliau berkata demikian selepas rakyat negeri ini dilaporkan mahu menukar kerajaan bagi menyelesaikan masalah air pada PRN esok.

    “Bagi dekat PH…Pulau Pinang, Selangor, tak ada masalah air ke. Mereka kata kita pusing (isu), tapi itulah hakikat sebenarnya.

    “Sebab nak tukar nak selesaikan masalah air, bagi dekat Pas sudah 30 tahun air tidak dapat diselesaikan. Dia tidak sedar (BN) khianat (sekat peruntukan)…10 tahun kita tidak dapat peruntukan,” ujarnya.

    Menurutnya, jika pertukaran kerajaan itu dengan tujuan menyelesaikan masalah air, negeri yang ditadbir mereka pun (BN-PH) gagal mengatasi perkara tersebut.

    Ujarnya, Pas hairan setiap kali ceramah, isu air terus dibangkitkan oleh BN-PH.

    Mohd. Amar memberitahu, bagaimanapun masalah air tidak dimasukkan di dalam manifesto BN-PH.

    “Sepatutnya mereka jelaslah pada rakyat, apa yang mahu dilakukan bagi menyelesaikan masalah air. Apa perancangan, pelan dan belanja yang diperlukan.

    “Tapi yang keluar parkir percuma, diskaun cukai. Patutnya jelaskan bagaimana nak selesaikan isu air, barulah nampak jantan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN peluang rakyat Pulau Pinang hantar isyarat tolak PH-BN – Tuan Ibrahim

    PRN peluang rakyat Pulau Pinang hantar isyarat tolak PH-BN – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta rakyat Pulau Pinang mengambil peluang pilihan raya negeri (PRN) ini untuk menghantar isyarat penolakan kepada kerajaan negeri yang dipimpin DAP serta Pakatan Harapan (PH).

    Ini kerana katanya, ada beberapa isu yang besar tidak ditangani kerajaan negeri antaranya masalah kesesakan lalu lintas, bekalan air dan isu tambak laut.

    Menurutnya, selain rakyat, rakan-rakan yang menyokong UMNO juga dinasihatkan supaya tidak memberi undi kepada calon parti itu kerana ia akan menguatkan lagi DAP di negeri ini.

    “PRN ini adalah satu peluang terbaik untuk rakyat Pulau Pinang menghantar isyarat kepada kerajaan negeri yang ada hari ini bahawa kami menolak DAP dan PH di negeri ini. Kepada rakan-rakan UMNO, UMNO bertanding enam kerusi, tolong jangan kuatkan, kemenangan UMNO hanya akan menguatkan DAP di sini.

    “Sepatutnya kita melihat masa depan, dalam situasi ini, sebahagian isu yang berlaku dalam DAP, perpecahan yang berlaku, menunjukkan mereka sebenarnya berada dalam perpecahan yang sangat serius.

    “Sebab itu, hadirnya saya di sini mahu menyatakan bahawa kami daripada Bersatu, Pas dan Gerakan, kita bersama-sama mendukung cita-cita memenangkan calon Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu ini,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok PN di Kampung Masjid malam tadi.

    Turut hadir calon PN bagi kerusi Bayan Lepas, Datuk Dominic Lau; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memuji ahli Pas kerana tidak bertanding sebagai calon Bebas walaupun tidak dipilih sebagai calon, lapor Sinar Harian.

    “Walaupun pelbagai diperkatakan di media sosial, menggambarkan seolah-olah ada penentangan (dalam parti), saya ucap tahniah kepada kepimpinan Pas, mereka ‘wala’, patuh keputusan parti. Mereka tidak letak calon Bebas.

    “Walaupun mereka berasa kecewa, tetapi mereka tekad bahawa ini keputusan PN, mereka dukung bersama keputusan tersebut. Kita bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

    Menurut Tuan Ibrahim, gelombang kebangkitan rakyat menolak PH dalam PRN kali ini jelas kelihatan dan tidak dapat disekat oleh sesiapa lagi.

    “Gelombang itu kita nampak sekarang ini, malah ia lebih besar daripada gelombang yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Dalam pilihan raya lalu, gelombang itu tidak nampak sangat, ia hanya boleh dilihat ketika minggu-minggu akhir sahaja.

    “Berbeza dalam PRN ini kerana gelombang kebangkitan rakyat ditunjukkan lebih awal dan lebih besar. Jika gelombang ini akan menyebabkan keenam-enam negeri berjaya PN tawan, pimpinan PH dah tak sedap duduk dah kerana mereka sedar rakyat telah menolak PH-BN.

    “Itu sebab jika kita tengok sekarang ini, Perdana Menteri turun di mana-mana, macam-macam dia beri. Di hari akhir ini, macam-macam akan turun. Jangan pelik, jika diberi sungai sekali pun. Minta sungai, lulus,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak terpengaruh dengan provokasi pihak lawan.

    “Dalam minggu akhir ini, saya minta pengundi jangan terpengaruh dengan mana-mana provokasi, kononnya undi PN masuk syurga, kita tidak pernah buat begitu. Jika ada kain rentang atau poster yang menulis kita orang Melayu kita menang dan bangsa asing pendatang, ini bukan dari kita.

    “Kita minta pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pastikan kalau ada poster atau kain rentang seperti ini, tolong turunkan. Provokasi sengaja dibuat supaya kita bertindak, tenang dan rileks,” katanya.

  • Tular klip video lelaki maki ‘parti serban’ pada majlis DAP dihadiri Loke

    Tular klip video lelaki maki ‘parti serban’ pada majlis DAP dihadiri Loke

    Satu klip video ucapan sarat dengan makian dalam bahasa Cina pada satu majlis anjuran DAP di Selangor yang turut dihadiri pemimpin tertinggi parti termasuk Setiausaha Agung Anthony Loke menjadi tular di platform media sosial, dengan ribuan komen mengecamnya kerana melemparkan kata-kata berbaur perkauman dan menghina Pas serta pembangkang Melayu ketika ini.

    Video berdurasi dua minit itu, yang mendapat tontonan hampir setengah juta di TikTok sahaja dalam tempoh kurang 24 jam sejak ia dimuat naik lewat petang semalam, dirakam pada 10 Jun tahun ini ketika majlis makan malam kutipan dana DAP di Balakong, sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bangi di Selangor. 

    Dalam video itu, seorang individu yang tidak dinamakan memakai jaket Pakatan Harapan (PH) berwarna merah memberi amaran kepada orang ramai tentang ‘parti serban’, merujuk kepada Pas, yang kebanyakan pemimpin tertinggi parti itu mengenakan penutup kepala bagi orang Islam.

    “Ni muncul satu lagi panggil apa, parti serban, gelombang hijau ada tak? Sekarang dahlah susah, keluar pula parti serban yang lagi jahanam, betul tak?

    “Yang semua orang takut tu, sekali sebut teringat kena potong kemaluan,” kata lelaki itu lapor Malaysianow.

    Selepas beberapa kali mencerca ‘pesta serban’, lelaki tersebut berkata: “Kalau mereka menang besar, kita ni memang akan jadi jahanam, jahanam ditambah jahanam!”

    Beliau berkata, ramai pihak termasuk UMNO telah menuntut permohonan maaf daripada DAP.

    “Mereka ingat kita roket (DAP) ini senang nak buli. Betul tak? Kita roket tak takut mereka. Kita tak pernah takut. Semua faham tak?

    “Betul mereka datang tuntut mohon maaf. UMNO keluar tuntut daripada kita. Yang lagi kelakarnya, MCA tuntut juga,” katanya, dipercayai merujuk kepada Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang mana pada Jun lalu beliau menggesa DAP supaya memohon maaf kepada partinya atas tuduhan masa lalu kerana melabel MCA sebagai pengkhianat kaum Cina.

    “P*i*ak ni panggil apa? Ini nak kena f** ni.”

    Meneruskan cemuhannya dengan kata-kata kesat, lelaki tersebut berkata DAP tidak salah dalam menentang musuhnya pada masa lalu.

    “Buat sampai Malaysia sebegini mundur. Semuanya kerana mereka,” katanya merujuk kepada UMNO.

    Dia bagaimanapun memberi amaran sekiranya UMNO kalah pada pilihan raya negeri akan datang, dengan berkata senario seperti itu akan menyaksikan orang ramai menyertai ‘parti serban’ beramai-ramai.

    “Sekali lompat, Abang Nuar (Anwar) kita akan jatuh. Semua faham? 

    “Kalau kita kalah enam negeri, kerajaan Abang Nuar akan goyah. Jadi kalau nak kerajaan Abang Nuar ni kukuh, semua kena keluar mengundi dan memangkah Pakatan Harapan,” tambahnya.

    Acara itu diadakan di sebuah restoran Cina di Cheras sebagai sebahagian daripada siri kutipan derma untuk pilihan raya negeri sebelum pembubaran DUN Selangor. 

    Selain Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, pemimpin kanan DAP lain yang berucap pada majlis itu termasuk Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim, serta Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan. 

    Ucapan itu mengingatkan kepada kenyataan penyokong terkenal DAP, Hew Kuan Yew, yang semasa kempen pilihan raya umum tahun lepas menggesa pengundi Cina supaya mempergunakan situasi perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu bagi membolehkan ‘tumbukan maut’ dilancarkan pada pilihan raya.

    Polis menahan dan membebaskan Hew beberapa hari kemudian tetapi tidak mengumumkan hasil siasatan mereka. 

    Klip terbaru itu disambut ribuan komen marah, yang kebanyakannya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap DAP kerana menyentuh hal kaum dan agama.

    “Kepada pihak berkuasa, sila ambil tindakan, jangan tutup sebelah mata bila isu 3R dibangkitkan,” kata satu komen, merujuk kepada amaran pemimpin kerajaan supaya tidak menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R) semasa berkempen.

    “Betul la Tok Mat kata dia orang jujur dan ikhlas,” tulis pengguna TikTok bernama Amza.