Category: Semasa

  • Muhyiddin mengaku tak salah atas enam pertuduhan

    Muhyiddin mengaku tak salah atas enam pertuduhan

    Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

    “Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan (PN) dan bekas Perdana Menteri, lapor Berita Harian.

    Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti, BERSATU.

    Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya, BERSATU.

    Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

    Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

    Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

    Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K Kumarendran, Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.

    Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan serahan pasport sehingga kes selesai sementara 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan kes.

  • Kesal pendakwaan terpilih terhadap Muhyiddih

    Kesal pendakwaan terpilih terhadap Muhyiddih

    Oleh ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR

    PAS Negeri Selangor menyatakan solidariti ke atas TSMY yang ditahan oleh SPRM yang akan didakwa di hari ini berkaitan isu-isu yang melibatkan peniaga Melayu dan Bumiputera melalui inisiatif JANAWIBAWA dan pengecualian cukai khas terhadap Yayasan Al-Bukhary.

    Pendakwaan ini dilihat dilakukan secara tergesa-gesa selari dengan naratif “hoi ya hoi disebelah sana” yang sentiasa dimainkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023 dengan tujuan utama untuk mengekang suara oposisi dan menjejaskan reputasi Perikatan Nasional sebelum PRU Negeri ke 15 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir

    PAS Selangor mendokong prinsip kedaulatan undang-undang Negara dan yakin bahawa pihak berwajib berhak menyiasat mengikut undang-undang negara, namun kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan suci hati dan hanya dalam kes tulen (collateral purposes) bukannya berpilih-pilih atas agenda dan kepentingan politik.

    PAS dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera, dan akan terus membela golongan yang dizalimi tanpa mengira ras dan agama.

    *Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

  • PDRM, Rela siap sedia kawal di mahkamah

    PDRM, Rela siap sedia kawal di mahkamah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia sedia seawal pagi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

    Selain memastikan suasana terkawal, anggota keselamatan negara itu berusaha memastikan laluan ke lokasi bangunan kehakiman tersebut berjalan lancar.

    Selain anggota polis, petugas daripada Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela) turut bersiap sedia di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Semua langkah keselamatan itu digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan suasana terkawal apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di mahkamah pagi ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan menghadapi tujuh pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan dana parti, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin didakwa di mahkamah hari ini

    Muhyiddin didakwa di mahkamah hari ini

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Pendakwaan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki semalam.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semalam hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM selama lapan jam.

    Dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya, Muhyiddin memaklumkan keterangan beliau antaranya menyentuh dua perkara.

    Pertama, projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau Jana Wibawa.

    Kedua, isu kelulusan pembatalan cukai ke atas Yayasan Albukhary, lapor Astro Awani.

    SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu dan beberapa individu termasuk bekas Ketua Penerangan Parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

    Wan Saiful dan Adam kini berdepan pendakwaan berkaitan projek Jana Wibawa.

  • Muhyiddin tiba di Kompleks Mahkamah KL

    Muhyiddin tiba di Kompleks Mahkamah KL

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini dipercayai untuk didakwa atas tuduhan rasuah.

    Bekas Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tiba pada pukul 8.40 pagi manakala para penyokongnya telah berkumpul di luar kompleks mahkamah sejak kira-kira 8 pagi.

    Menjelang 8.30 pagi, hampir 100 orang telah berkumpul, dengan kebanyakannya memakai baju putih terpapar wajah Muhyiddin dan tertera slogan ‘Kami Bersama Abah’.

    Sementara itu, Ketua PN Pahang l, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut dilihat memasuki kompleks mahkamah, lapor FMT.

  • Kes 1MDB: Roger Ng dihukum penjara 10 tahun

    Kes 1MDB: Roger Ng dihukum penjara 10 tahun

    BEKAS  pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun susulan tuduhan membantu menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ini selepas Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York pada April lalu mensabitkan Ng dengan tuduhan tersebut.

     Berbilion dolar wang yang dicuri dari dana tersebut digunakan untuk merasuah dan membiayai parti mewah, kapal layar, hartanah serta pembikinan filem Wolf of Wall Street.

    Ng kekal, mempertahankan dia bukan satu-satunya yang bersalah. Sebaliknya, ia merupakan konspirasi dengan dua lagi individu untuk mengubah wang haram dan merasuah, lapor Astro Awani.

    Pendakwa raya Amerika Syarikat sebelum ini meminta hakim agar menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun ke atas Ng.

    Ng, bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman di Malaysia didapati membantu bekas bosnya, Tim Leissner yang pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara menggelapkan wang 1MDB.

    Mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dan merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan.

    Tuduhan ke atas Ng bertitik tolak pada AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) bon yang diterbitkan oleh Goldman bagi membantu 1MDB.

    1MDB diasaskan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia yang dijual pada 2012 dan 2013.

    Namun begitu, pendakwa raya berkata, sebanyak AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu telah digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

  • Sejarah berulang di Pusat Tarbiah Pas pusat

    Sejarah berulang di Pusat Tarbiah Pas pusat

    SEJARAH  berulang di Pusat Tarbiah Pas Pusat, Taman Melewar, yang dahulu menjadi tempat himpunan rakyat menentang kezaliman ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri dan UMNO pada tahun 1998.

    Himpunan rakyat menentang kezaliman berulang pada malam tadi  di Dewan Dato’ Fadzil Noor, bagi menyatakan solidariti kepada Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan apa yang berlaku pada hari ini untuk melindungi pentadbiran kerajaan PH-BN.

    Menurut beliau, kehadiran pada malam ini ramai anak-anak muda.

    “Adakah kita boleh terima tuduhan mengatakan anak-anak muda tak ada pelajaran? Ini pandangan yang mereka letakkan kepada anak muda. Anak-anak muda menjadi pejaung medan TikTok, twitter dan Facebook dan menjadi benteng pertahanan.

    “Insya-Allah anak-anak muda ini akan bayar pada pilihan raya negeri di enam buah negeri nanti,” katanya pada ceramah umum Selamatkan Negara dan Menentang Kezaliman di Taman Melewar, malam tadi, lapor Harakah Daily.

    Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, orang muda ada maruah ada harga diri dan tidak rela bersekongkol dengan nepotisme dan rasuah.

    Beliau yang mengimbau suatu ketika dahulu berkata, dewan markas tabiah itu adalah dewan yang mencetuskan reformasi dan kebangkitan rakyat.

    “Kita berdoa agar sistem kehakiman berjalan dengan baik dan Tan Sri diberi semangat untuk menghadapi cabaran,” ujarnya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan menegaskan bahawa penjara boleh memenjarakan diri tetapi penjara tidak boleh memenjarakan roh dan semangat seseorang.

    “Kita menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong Perikatan Nasional, jangan gusar, jangan bimbang, jangan takut, jangan kecewa kerana insya-Allah, Allah bersama kita. Teruskan berdoa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

    Selain Muhyiddin, turut berucap ialah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. –

  • ”Penganiayaan ini bukan ke atas saya tetapi ke atas Perikatan Nasional’’ – Muhyiddin

    ”Penganiayaan ini bukan ke atas saya tetapi ke atas Perikatan Nasional’’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak gentar dengan pendakwaan yang bakal dihadapinya kerana percaya beliau berada di pihak benar.

    Beliau berkata, pendakwaan terpilih ke atasnya akan menjadi satu detik permulaan yang amat penting dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.

    “Terima kasih atas solidariti parti kita semakin terserlah. Kita tidak gentar (pendakwaan). Ini satu detik permulaan yang amat penting dalam sejarah negara.

    “Kita berjuang bersama-sama atas platform sama untuk menegak kebenaran dan menentang kemungkaran. Ini jadi teras perjuangan kita.

    “Sejak Pas ditubuh, sejak Bersatu ditubuh, ini teras kita dan akan terus kita perjuangkan sehingga berjaya,” katanya berucap pada majlis Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Pusat Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar, Gombak malam tadi.

    Pada majlis itu Muhyiddin sekali lagi mengulangi bahawa pendakwaan ke atasnya adalah bersifat politik bertujuan melemahkan Perikatan Nasional dan atas ‘arahan daripada pihak atas’.

    “Bila saya tanya kenapa tindakan ke atas saya agak terburu-buru, pegawai menjawab, saya tidak boleh bercakap. (Kerana) Tindakan yang diambil agak terburu-buru mungkin kerana ada arahan daripada pihak atasan.

    “Itu jelas satu penganiayaan.. bukan penganiayaan ke atas saya tetapi penganiayaan kepada parti kita bukan Bersatu tetapi Perikatan Nasional” katanya.

  • ‘Tak perlu merusuh seperti zaman Anwar mulakan reformasi dulu’, kata Muhyiddin

    ‘Tak perlu merusuh seperti zaman Anwar mulakan reformasi dulu’, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya tidak akan ada huru-hara atau rusuhan disebabkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terhadap PN sekarang ini.

    “Kami adalah parti yang aman damai. Kami menyayangi negara ini.

    “Kami tidak mahu mengikut jejak langkah Anwar Ibrahim ketika memulakan hari-hari reformasinya.

    “Ini kerana rakyat sekarang ini sedang menghadapi pelbagai masalah. Merusuh bukan sesuatu yang betul untuk dilakukan,” katanya kepada media selepas keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam ini, lapor Agenda Daily.

    Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11.15 pagi bagi memberi keterangan kepada SPRM.

    Kehadiran Muhyiddin bersama Timbalan Presiden Pz, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta pemimpin kanan PN dan penyokong diiringi laungan ‘Hidup Rakyat’ sebagai slogan rakyat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan PH-BN.

    Kerajaan PH-BN dianggotai PKR, DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.

    SPRM kemudian mengumumkan Muhyiddin ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok.

    Mengulas lanjut mengenai kehadiran ratusan penyokong di Ibu Pejabat SPRM pagi tadi, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berkata, penyokong PN malam ini mengadakan solat hajat.

    “Saya rasa esok pun akan ada ramai penyokong yang akan datang ke mahkamah. Tetapi kehadiran mereka itu bukan kerana Muhyiddin, tetapi kerana Perikatan Nasional,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir memberi sokongan.

    Mengenai soal siasat pegawai SPRM ke atas beliau sejak pagi tadi, Muhyiddin berkata ianya mengambil masa kerana cara SPRM menjalankan tugas adalah berhemah, tidak kasar dan saling menghormati.

    “Kita ambil masa untuk melihat satu persatu (soalan dan jawapan)… lepas itu merek buat rekod… lepas itu disemak balik. Kemudian itu barulah kita bersetuju dan kita tandatangani. Jadi sebab itu dia ambil masa.

    “Tapi saya rasa tidak tidak ada tekanan… dan saya amat menghargai kerjasama pihak pegawai SPRM yang telah soal siasat saya pada pagi tadi sampailah ke malam tadi,” katanya.

  • ‘’Ada arahan pihak paling berkuasa supaya saya didakwa’’ – Muhyiddin

    ‘’Ada arahan pihak paling berkuasa supaya saya didakwa’’ – Muhyiddin

    ”Biarpun tiada asas untuk mendakwa saya di bawah mana-mana undang-undang.”

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun, tiada asas untuk mendakwa beliau di bawah mana-mana undang-undang. Tetapi telah ada arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya beliau didakwa.

    Bercakap kepada wartawan selepas dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas Perdana Menteri itu  berkata,  walau apapun penjelasan yang diberikan, ‘’saya tetap akan didakwa.’’

    Berikut kenyataan penuh beliau selepas hampir 9 jam memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya:

    Saya datang pagi tadi untuk membolehkan SPRM merakam percakapan tambahan saya. Saya hadir tanpa paksaan untuk membantu siasatan walaupun pada saya ini satu penindasan politik dan penganiayaan terhadap saya dan BERSATU.

    SPRM membangkitkan 2 perkara iaitu:

    a) Projek JANAWIBAWA.

    b) Rayuan Pembatalan Cukai oleh Tan Sri S Syed Mokhtar.

    * SPRM tidak jumpai bukti saya terima wang

    Janawibawa adalah projek semasa Pandemik Covid-19 untuk membangunkan semula ekonomi negara khususnya untuk menyelamatkan kontraktor bumiputera yang akan jatuh bankrap. Sedihnya, ini dijadikan modal politik seolah-olah ini satu skim untuk mencuri wang negara.

    Itulah sebabnya jumlah yang dituduh berubah-ubah dari RM600 bilion  ke RM530 bilion kemudian turun mendadak ke RM92.5 bilion, turun lagi ke RM4.5 bilion dan akhirnya RM300 juta. Menggunakan fitnah ini, SPRM membekukan akaun bank BERSATU untuk menghancurkan BERSATU. Inilah jahatnya fitnah.

    SPRM seharusnya mengetahui daripada semua keterangan yang diambil bahawa tidak berlaku sebarang salah guna kuasa atau perbuatan merasuah. Amatlah malang jika wang dalam akaun BERSATU yg merupakan dana politik dianggap sebagai suapan.

    Saya telah menegaskan bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang. Saya bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan. Kuasa melulus adalah di bawah bidangkuasa Kementerian Kewangan.

    Saya sekadar melaksanakan keputusan Kabinet yang menghendaki Pejabat Perdana Menteri memanjangkan permohonan projek untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan mengikut syarat dan peraturan yang berkuat kuasa.

    Saya tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan. Saya juga tidak pernah berjumpa dengan kontraktor-kontraktor yang mendapat projek dan tidak pernah menerima wang daripada mereka. SPRM tidak menjumpai sebarang bukti bahawa saya telah menerima wang.

    Jadi, bagaimana saya boleh dituduh menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa?

    *Rayuan Pembatalan Cukai Syed Mokhtar

    Perkara kedua ialah Rayuan Pembatalan cukai daripada Yayasan AlBukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

    Tan Sri Syed Mokhtar adalah kawan baik saya yang saya telah kenal lebih 30 tahun lalu. Beliau adalah seorang hartawan dan dermawan Melayu yang terkenal yang akrab dengan saya.

    Inilah faktanya:

    (a)Yayasan Al-Bukhary menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan khususnya membangunkan Islam dan membantu umat Islam.

     b)  Atas semua itu, Yayasan ini diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan BN sebelum ini.

    c) Selepas PRU 14, kerajaan gabungan PH tertubuh. Menteri Kewangan dari DAP Lim Guan Eng telah membatalkan Pengecualian yang telah pun diluluskan kepada Yayasan alBukhary.

    d) Semasa saya menjadi PM, Tan Sri Syed Mokhtar telah membuat rayuan atas pembatalan tersebut.

    e) Saya telah meminitkan – “Sila teliti rayuan ini. Sekiranya teratur, saya tiada bantahan”.

    f) Rayuan ini telah dipertimbangkan oleh MOF dan LHDN dan kemudiannya diluluskan.

    g) Oleh sebab minit saya tersebut, saya kini didakwa menyalahgunakan kuasa.

    *Sumbangan politik masuk akaun BERSATU bukan akaun saya

    Jika ada sumbangan daripada Tan Sri Syed Mokhtar, ia adalah sumbangan politik yang dimasukkan terus ke akaun BERSATU, bukan ke akaun saya. Satu sen pun daripada sumbangan tersebut tidak diberikan kepada saya untuk kegunaan saya.

    Saya tahu Tan Sri Syed Mokhtar ada memberikan sumbangan kewangan kepada parti-parti politik selama berpuluh tahun. Ini termasuk parti-parti politik pemerintah. Jika Tan Sri Syed Mokhtar juga ingin memberikan sumbangan kepada BERSATU sebagai parti yang memperjuangkan dasar-dasar yang baik untuk orang Melayu dan negara, di mana salahnya?

    Saya tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi Kementerian Kewangan supaya meluluskan rayuan tersebut.Saya telah jelaskan semua ini kepada pegawai penyiasat SPRM. Dalam keadaan biasa, tiada asas untuk mendakwa saya di bawah mana-mana undang-undang.

    Tetapi telah ada arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya saya didakwa. Jadi, walau apapun penjelasan yang saya berikan, saya tetap akan didakwa.

    *Satu tindakan politik berniat jahat oleh PH,BN

    Dari dua perkara yang saya sebut tadi, mereka telah mengembangkannya menjadi 7 pertuduhan ke atas saya.

    Tujuannya adalah untuk memalukaan saya dengan mengheret saya ke mahkamah esok. Pendakwaan terpilih ke atas saya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, semata- mata untuk melumpuhkan dan menghancurkan BERSATU dan Perikatan Nasional.

    Anwar Ibrahim tahu bahawa Perikatan Nasional mendapat sokongan padu daripada rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera dan akan menang besar dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Saya yakin dan percaya, dengan izin Allah SWT jua, Anwar, Pakatan Harapan dan parti-parti yang bersekongkol dengannya, akan dihukum oleh rakyat dalam pilihanraya.

    Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah