Category: Semasa

  • Tiada campur tangan dalam siasatan Jana Wibawa – SPRM

    Tiada campur tangan dalam siasatan Jana Wibawa – SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan terhadap program Jana Wibawa sama sekali tidak bermotifkan politik sebagaimana tohmahan segelintir pihak.

    SPRM menjelaskan, siasatan berkaitan program itu adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

    Jelas suruhanjaya terbabit, siasatan yang dijalankan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa merupakan inisiatif berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperoleh sendiri oleh SPRM.

    “Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

    “Tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejas imej suruhanjaya itu,” kata SPRM menerusi satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mempercepat pelaksanaan projek untuk merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik Covid-19.

    Ia juga bertujuan meningkatkan kapasiti kontraktor bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.

    Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.

  • Pas yakin tawan 10 kerusi UMNO, sapu bersih 32 DUN Terengganu

    Pas yakin tawan 10 kerusi UMNO, sapu bersih 32 DUN Terengganu

    PAS yakin dapat menawan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini.

    Pesuruhjaya Pas Terengganu, Husain Awang berkata, pihaknya akan menyapu bersih 32 DUN Terengganu dan keyakinan itu berdasarkan perkembangan semasa berlaku di negeri tersebut.

    “Pas berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 22 kerusi DUN dalam PRU14, dan akan berusaha mengekalkan kedudukan itu pada PRN nanti.

    “Kita sudah ada 22 kerusi dan sedang berusaha tawan 10 lagi kerusi berbaki,” katanya menurut Sinar Harian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, UMNO tumbang di Terengganu apabila hanya menang 10 kerusi DUN iaitu Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

    Mengenai agihan kerusi antara parti dalam PN, Husain berkata, perkara itu belum diputuskan dan masih dalam proses rundingan di peringkat tertinggi.

    “Rundingan agihan kerusi dibuat di peringkat tertinggi, ia akan diputuskan oleh pusat,” katanya.

    Enam negeri perlu mengadakan PRN tahun ini adalah Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.

  • Hamzah: Tak salah Syed Mokhtar derma pada mana-mana parti

    Hamzah: Tak salah Syed Mokhtar derma pada mana-mana parti

    SETIAUSAHA Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), DatuK Seri Hamzah Zainudin Hamzah menyuarakan kekecewaan terhadap pendakwaan kes mahkamah yang dikenakan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Saya rasa penahanannya telah dirancang kerana kebanyakan pertuduhannya adalah tuduhan baru… Tiba-tiba, dia didakwa serta-merta.

    “Mereka (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sepatutnya melakukan siasatan terhadap dakwaan baru itu lebih awal lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu di Menara PGRM, Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

    Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Hamzah kemudiannya menyentuh kenyataan Muhyiddin semalam yang bertegas bahawa tidak ada salahnya Bersatu menerima sumbangan, walaupun daripada hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

    “Syed Mokhtar atau mana-mana ahli perniagaan lain boleh menderma kepada mana-mana parti politik yang mereka mahu.

    “Perkara ini tidak salah kerana ia bukan masuk ke poket pemimpin parti. Ia untuk kegunaan parti,” katanya.

    Hamzah mendakwa, terlalu sedikit dokumen yang ditunjukkan SPRM apabila Bersatu meminta bukti yang membawa kepada penahanan Muhyiddin.

    Beliau juga menuduh kerajaan perpaduan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dengan sengaja ‘membuat pembohongan’ untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, terdapat banyak percubaan untuk menjadikan pembangkang kelihatan buruk tetapi menyatakan bahawa kerajaan harus bermuhasabah diri terlebih dahulu.

    Sementara itu, Hamzah berkata, partinya berjuang untuk setiap rakyat Malaysia tanpa mengira umur, bangsa dan latar belakang.

    “Kami sebenarnya parti yang ditujukan untuk semua orang, terutama generasi muda. Mereka sudah pun bersama kita. Kami untuk negara, bukan satu kaum tetapi setiap kaum.

    “Itulah sebabnya kita ada Gerakan dan sayap Bersekutu kita. Saya tahu kami tidak mempunyai kumpulan India tetapi kami terbuka untuk mengalu-alukan mereka,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Katanya, Bersatu bersifat inklusif, tidak seperti pihak tertentu yang eksklusif dan memenuhi keperluan golongan elit.

  • Rina jelaskan tiada rakan komponen PN hadir PAT Srikandi Bersatu

    Rina jelaskan tiada rakan komponen PN hadir PAT Srikandi Bersatu

    KETUA Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ketiadaan wakil rakan komponen Perikatan Nasional (PN) menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sayap parti itu di ibu negara, hari ini, berikutan mereka ke mahkamah untuk memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan enam pertuduhan.

    Menurutnya, wakil rakan komponen PN sebaliknya akan menghadiri majlis utama PAT, Ahad ini.

    “Kami menjangka jumlah perwakilan wanita akan turut bertambah sekali ganda berbanding 651 orang pada hari ini,” katanya, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau menyatakannya semasa ditanya media berhubung ketiadaan wakil parti komponen PN dilihat pada perhimpunan berkenaan.

    Ditanya sama ada pendakwaan terhadap Presiden Bersatu itu menjejaskan fokus perwakilan dan ahli Srikandi, Rina menegaskan, kes berkenaan sebaliknya menaikkan semangat juang mereka.

    “Sudah tentu kami bimbangkan beliau yang dianggap sebagai ‘Abah’, namun apa yang berlaku kini telah meningkatkan semangat juang kami,” katanya.

    Pada PAT kali ini, perwakilan Srikandi Bersatu akan membincangkan isu ekonomi, sosial, pendidikan dan politik negara.

    Rina berkata, antara isu yang menjadi fokus perwakilan kali ini ialah meningkatkan keupayaan ekonomi wanita melalui program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta keusahawanan.

    “Apabila kos sara hidup meningkat, perkara yang perlu dilakukan ialah menaikkan keupayaan membeli dalam kalangan pengguna. Antara yang cara dilihat boleh membantu meningkatkan ekonomi wanita adalah menerusi bidang keusahawan,” katanya.

    Selain itu, Rina berkata, perwakilan juga akan berbincang mengenai undang-undang berkaitan wanita, hak golongan itu dan masalah depresi atau kemurungan dalam kalangan mereka.

    PAT Srikandi Bersatu 2022 yang bermula tengah hari tadi dijangka tamat lewat malam nanti, manakala majlis penutup dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.

    Pagi tadi, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan, meliputi empat kerana menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terbabit dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • Walau apa terjadi kami tetap teguh bersama abah”- Perwakilan Srikandi

    Walau apa terjadi kami tetap teguh bersama abah”- Perwakilan Srikandi

    “MESKIPUN pelbagai tomahan dan fitnah dilemparkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ia tidak mematahkan semangat pewakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) untuk terus bersatu hati.

    Ini terbukti apabila Dewan Wawasan di Menara PGRM Cheras, dipenuhi hampir 1,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

    Bagi Shahira Rabuan,34, biarpun banyak kata fitnah dilemparkan dia tetap tidak percaya dan menganggap ia adalah fitnah pihak lawan.

    “Dahulu saya tidak minat politik tetapi sejak menyertai Bersatu dan buat banyak kerja amal saya dapat lihat integriti yang ada pada Tan Sri Muhyiddin.

    “Katalah apa pun saya tidak percaya dan kami sebagai perwakilan tetap teguh berdiri di belakang bersama-sama Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

    Maiza Muhayddin, 47

    Bagi Maiza Muhayddin, 47, walau terpaksa melalui perjalanan selama lapan jam dari Gua Musang, Kelantan untuk menyertai PAT dia tidak kisah kerana semangat juang yang tinggi dalam dirinya.

    “Saya tidak pernah ketinggalan menyertai PAT sebagai pewakilan. Ini adalah kali kelima saya menyertainya cuma kali ini situasi agak sedikit berbeza.

    “Tapi walau apa pun yang cuba dilakukan pihak lawan untuk menjatuhkan Tan Sri kita masih ada Allah. Selagi tiada bukti, selagi itu kita tidak boleh percaya,” katanya.

    Shahira Rabuan, 34

    Bagi Syaqirah Muin, 47, fitnah yang sengaja diadakan oleh pihak lawan semata-mata untuk melemahkan parti apatah lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.

    “Memang kami sedih dengan apa yang berlaku tapi perkara ini tidak akan melemahkan semangat kami untuk terus berjuang dan berdiri teguh bersama Tan Sri,” katanya, lapor SatuBerita.

    Syaqirah Muin, 47
  • Ketua Armada Bersatu pertahan ‘rancang rampas kerajaan’ Hadi

    Ketua Armada Bersatu pertahan ‘rancang rampas kerajaan’ Hadi

    KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempertahankan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Perikatan Nasional (PN) berhak merancang merampas kerajaan.

    Ahli Parlimen Machang itu berkata, Hadi sekadar menjelaskan bahawa perubahan kerajaan boleh berlaku dalam demokrasi berparlimen walaupun dengan keberadaan Akta Lompat Parti, namun telah disalah erti oleh pihak media.

    “Apakah boleh berlaku penjajaran semula di Putrajaya? Sudah tentu boleh, selagi mana ahli Parlimen diberi ruang untuk memilih seorang perdana menteri,” katanya memetik laporan FMT.

    Katanya, undang-undang dan Perlembagaan tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen menyokong mana-mana wakil rakyat sebagai Perdana Menteri.

    “Saya tak nak berspekulasi lah berkenaan ini, cuma saya boleh tegaskan, bahawa pilihan untuk menyokong salah seorang daripada kami menjadi perdana menteri sentiasa ada,” katanya.

    Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, dilapor berkata, PN berhak merancang merampas kerajaan daripada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan gabungan itu berusaha melalui pilihan raya dan Parlimen.

    Mengulas seruan pemimpin PH yang mahu tindakan diambil terhadap Hadi, Wan Fayhsal berkata, pihaknya melihat PH kini dalam ketakutan.

    “Kalau kamu betul-betul dapat sokongan dua pertiga (di Dewan Rakyat), kenapa kamu takut? Kenapa kamu takut sampai menyuruh menteri dalam negeri menggunakan instrumen keselamatan membuat siasatan terhadap komen yang bersifat ilmiah,” soalnya.

    Beliau menepis dakwaan bahawa kenyataan Hadi itu bersifat menghasut.

    “Kalau tak boleh tukar (pemerintah), kita diperintah oleh diktator,” katanya.

    Sementara itu, Wan Fayhsal menyanggah kritikan penyokong kerajaan perpaduan bahawa PN hipokrit apabila menuntut PH mengotakan janji memberi peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang.

    “Sebab kami tak buat, sekarang kamu pun tak nak buat. Jadi apa beza kamu dan kami, dan untuk rakyat,” soalnya lagi.

    Beliau mengingatkan bahawa meskipun PN tidak pernah menjanjikan peruntukan sama rata, ia sedia menerima cadangan daripada wakil rakyat lain, seperti apabila Perdana Menterinya, Muhyiddin Yassin, memberikan peruntukan khas kepada semua Ahli Parlimen ketika Covid-19.

    “Sekurang-kurangnya, kalau tak nak beri peruntukan pembangunan, sebagai Ahli Parlimen kami berhak terima peruntukan lebih kurang RM300,000 untuk kami wujudkan pusat khidmat,” ujarnya.

    Peruntukan itu jelasnya, bukan untuk bermewah atau perlu diminta dan sepatutnya menjadi hak kepada semua ahli Parlimen.

    Atas kesedaran itu, Wan Fayhsal ditanya mengapa ‘hak’ itu tidak diberikan ketika PN memerintah.

    “Itu kamu perlu ajukan kepada Muhyiddin. Saya tiada jawapan. Ini masalah yang saya sendiri perlu akui.

    “Kalau kita nak reformasi apa yang ada, kita institusikan hal peruntukan ini dalam satu akta yang jelas, supaya sesiapa sahaja yang jadi kerajaan perlu beri peruntukan yang sama adil,” katanya.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyokong prinsip memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen, namun menyeru pembangkang untuk berunding dengan pemerintah.

    Beliau juga mahu PN merenung kembali pemberian kepada wakil-wakil rakyat pembangkang di negeri yang ditadbir gabungan itu.

  • PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    SRIKANDI Bersatu perlu bekerja lebih keras dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) mampu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata selain itu, ahli dituntut untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan.

    “Terima kasih kepada Srikandi yang masih setia bersama parti sepanjang berlaku kemelut politik. Srikandi akan terus berdiri gagah dan pastikan Bersatu terus relevan selamanya,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Srikandi di Kuala Lumpur hari ini.

    Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022, yang bermula hari ini dengan Perhimpunan Agung Srikandi, menyaksikan buat pertama kali tiada perasmian serentak bagi sayap itu dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Ia susulan terdapat pindaan terhadap perjalanan perhimpunan tiga hari itu berikutan perkembangan semasa membabitkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Perhimpunan Armada pula akan berlangsung esok.

    Selain itu, ucapan dasar presiden sekali gus merasmikan perhimpunan agung parti yang dijadual berlangsung pada 8 malam esok, ditiadakan dan digantikan dengan perhimpunan serta ceramah umum di Pusat Tarbiyah PAS Pusat di Gombak, Selangor. – BERNAMA

  • Bersatu tak pecah, sokongan terhadap Muhyiddin makin kuat, kata Peja

    Bersatu tak pecah, sokongan terhadap Muhyiddin makin kuat, kata Peja

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendakwaan kes mahkamah dikenakan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mematahkan semangat pemimpin dan ahli parti.

    “Tiada perpecahan berlaku dalam parti sebaliknya taat setia dan sokongan ahli terhadap presiden semakin kuat.

    “Secara jujur saya tidak nampak perpecahan daripada ahli atau pemimpin, malah sokongan dan taat setia kepada presiden parti bertambah kuat di setiap peringkat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2022 di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

    Bagaimanapun, katanya suasana perhimpunan agung kali ini diselangi pelbagai emosi apabila melihat pemimpin utama parti berdepan pelbagai dakwaan.

    “‘Mood’ perhimpunan agung agak terganggu melihat negarawan kita diperlaku sebegitu rupa, jadi semangat untuk berhimpun sedikit berubah kerana ada sedikit marah dengan kezaliman yang berlaku,” ujar bekas Menteri Besar Perak itu, lapor FMT.

    Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

    Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • Cadangan KWSP sebagai cagaran pinjaman tidak wajar, kata kesatuan pekerja bank

    Cadangan KWSP sebagai cagaran pinjaman tidak wajar, kata kesatuan pekerja bank

    CADANGAN kerajaan untuk membenarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan sebagai cagaran pinjaman disifatkan sebagai bukan sesuatu cadangan yang baik.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) Andrew Lo, di bawah Akta KWSP simpanan pencarum dilindungi daripada kebankrapan.

    “Justeru, apa yang akan berlaku jika peminjam gagal membayar pinjaman mereka dan adakah bank mahu memberi pinjaman dengan cagaran sedemikian?

    “Memandangkan skim ini adalah untuk mereka yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman, terdapat risiko tinggi mereka lalai dan kedua bank akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi daripada dividen KWSP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang berkata kaedah itu hanyalah bagi mereka yang benar-benar terdesak dan hanya diberikan kepada pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP mereka.

    Mengulas lanjut, Lo berkata memandangkan skim ini adalah untuk mereka yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman, terdapat risiko tinggi mereka lalai dan bank akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi daripada dividen KWSP.

    “Jadi pencarum akan terus melihat kedudukan kewangan keseluruhan mereka bertambah buruk.

    “Ia juga akan meningkatkan tahap keberhutangan yang telah mencapai tahap yang membimbangkan,” kata Lo.

  • Srikandi Bersatu tubuh tabung ‘hibah Abah’

    Srikandi Bersatu tubuh tabung ‘hibah Abah’

    SRIKANDI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan tabung ‘hibah Abah’ sebagai solidariti bagi membantu Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Tabung tersebut diedarkan kepada 450 perwakilan dalam Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022.

    Usaha itu adalah sebagai sokongan kepada parti dan Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

    Bekas Perdana Menteri itu didakwa menggunakan kedudukan untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd., bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin juga didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

    Bagaimanapun, hari ini, Muhyiddin selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM2 juta di kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Sesyen di sini menerusi dua penjamin, iaitu dua anaknya, lapor Sinar Harian.