Category: Semasa

  • Sogokan: Pas Terengganu masih tunggu tindakan pihak berkuasa

    Sogokan: Pas Terengganu masih tunggu tindakan pihak berkuasa

    PAS Terengganu masih menunggu tindakan pihak berkuasa berhubung laporan wujudnya perbuatan rasuah atau sogokan sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Laporan itu dibuat menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Dr. Alias Razak, disebabkan berlakunya kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

    Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dalam masa sama menggesa supaya tindakan segera diambil ke atas laporan yang dibuat itu.

    “Tindakan segera ini adalah sangat penting bagi menjamin keabsahan keputusan pilihan raya dan memelihara sistem demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini.

    “Jadi, Pas Terengganu berharap agar pihak berkuasa tidak memilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang dalam hal ini,” katanya ketika sidang akhbar khas di Pusat Media Pas Terengganu, di Kuala Terengganu hari ini.

    Pemuda Pas Terengganu pada Khamis tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya sogokan kepada pasukan keselamatan yang mengundi awal pada Selasa.

    Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, sogokan itu didakwa dilakukan ejen calon sebuah parti politik.

    Sementara itu, Alias dalam perkembangan sama turut menggesa pengundi untuk sentiasa memantau sebarang aktiviti berkaitan salah laku parti menjelang hari pengundian pada Sabtu.

    “Jika ada, segera laporkan kepada pihak berserta dengan bukti-bukti yang berkaitan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Abang sulung Noh Omar meninggal dunia

    Abang sulung Noh Omar meninggal dunia

    ABANG sulung kepada bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meninggal dunia kerana masalah usus pada malam tadi.

    Allahyarham Hamzah Omar, 68, menghembuskan nafas terakhirnya jam 8.30 malam di rumah pusaka keluarga di Kampung Pinang, Sungai Burong Tanjong Karang di Kuala Selangor.

    Noh berkata, anak sulung daripada 15 beradik itu menerima rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada pukul 3 petang.

    “Bagaimanapun, hospital meminta ahli keluarga membawa pulang abang saya yang mempunyai masalah usus ke rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Menurut Noh, semua urusan Allahyarham Hamzah dipermudahkan dan sempat berpesan supaya terus menjaga silaturahim dan ikatan kekeluargaan Haji Omar.

    Sementara itu, Nurul Syazwani yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berkata, khabar duka itu diketahui beliau ketika berkempen malam tadi.

    Beliau memberitahu, bapa saudara yang disapa ‘Pak Long’ itu amat rapat dan Allahyarham sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk beliau terus berkhidmat kepada rakyat.

    “Saya amat rasai kehilangan arwah dan sentiasa mengingati pesanannya dan menyuntik semangat saya untuk menabur bakti di Tanjong Karang,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Allahyarham Hamzah yang juga bekas pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meninggalkan seorang isteri, dua anak dan seorang cucu.

    Jenazah Allahyarham sebelum ini disembahyangkan di Madrasah Haji Omar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Dua, Sungai Burong pukul 10.30 pagi tadi.

  • PRN: KJ ramal 3-3, gelombang pengundi Melayu ubah ramalan

    PRN: KJ ramal 3-3, gelombang pengundi Melayu ubah ramalan

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meramalkan Kerajaan Perpaduan, gabungan Barisan Nasional (BN)- Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing kekal menang di tiga negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Bagaimanapun katanya, gelombang pengundi Melayu dijangka menjadi penentu kepada perubahan dalam pembentukkan kerajaan negeri daripada kedua-dua parti gabungan itu.

    Menurutnya, ini kerana beliau yakin kerjasama yang terbentuk antara BN dan PH akan memberi kesan kepada pengundian.

    “Setakat ini ramalan saya masih kekal 3-3 (tiga negeri Kerajaan Perpaduan), tetapi ia banyak bergantung kepada pengundi Melayu esok yang akan menentukan sama ada (jangkaan) itu kekal atau ada kejutan.

    “Kalau gelombang perubahan itu ada, maka kawasan yang dahulu dianggap selamat akan jatuh (bertukar tangan),” katanya kepada pemberita selepas membantu kempen calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Ridzuan Ahmad di Felda Jelai hari ini.

    Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau meletakkan jangkaan sekurang-kurangnya 85 peratus pengundi Melayu akan keluar mengundi di enam negeri esok.

    “36-0 (kerusi DUN) itu berdasarkan kepada ramalan senario terbaik berdasarkan sifir satu campur satu adalah dua yang mana maksudnya satu undi BN dan satu undi PH pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) lalu dicampurkan akan jadi 36-0.

    “Tetapi saya rasa ia bukan lagi soal satu campur satu, ada kalanya satu sahaja dan satu lagi akan lari sebab mesti ada kesan BN bekerjasama dengan PH dan undi yang dahulu diberi ke BN mesti ada yang tidak akan bagi kepada BN-PH,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, Khairy ke Kuala Klawang, Jelebu membantu kempen calon PN DUN Klawang, Danni Rais sebelum ke DUN Sungai Lui menemui calon BN, Mohd. Razi Mohd. Ali.

    Katanya, beliau turun berkempen bagi membantu sahabat-sahabatnya bukannya berkempen untuk parti.

    “Saya turun untuk kempen bagi pihak sahabat peribadi iaitu kawan lama saya bertanding. Saya sokong calon yang saya rasa boleh berkhidmat dengan baik,” ujarnya.

  • Anwar enggan terima badan kajian kata tiada sokongan orang Melayu

    Anwar enggan terima badan kajian kata tiada sokongan orang Melayu

    Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menerima laporan satu tinjauan pendapat yang mendakwa beliau hanya mendapat 24% sokongan orang Melayu.

    Perdana Menteri tidak dapat menerima hakikat laporan kajian dibuat oleh Ilham Centre yang berlangsung pada 11 hingga 27 Julai itu menganalisis maklum balas 2,416 responden di enam negeri yang akan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

    “Saya tidak bersetuju. Ia satu analisis yang cacat, mungkin mereka (Ilham Centre) mengambil data di Kelantan dan membandingkan di Selangor.

    “Tetapi di banyak lagi negeri, prestasi kita (kerajaan perpaduan) sangat baik. Saya sangat optimis,” katanya dipetik laporan FMT.

    Dalam rumusan kajian itu, Ilham Centre berkata PRN akan menjadi ujian lapangan untuk menentukan corak sokongan orang Melayu di Semenanjung susulan perubahan trend pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Katanya, 24% sokongan Melayu oleh responden berbeza dengan sokongan orang Cina (88%) dan India (81%) serta lain-lain (75%).

    Secara keseluruhan 42% responden berkata mereka berpuas hati dengan prestasi Anwar.

    Dalam segi populariti, kajian mendapati Anwar, kerajaan perpaduan dan polisi Madani mendapat markah tinggi di negeri dikuasai Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

  • Pas ucap terima kasih kepada Ahmad, Mohd. Amar menimbulkan tanda tanya

    Pas ucap terima kasih kepada Ahmad, Mohd. Amar menimbulkan tanda tanya

    SELEPAS menawarkan wajah-wajah baharu untuk mengetuai kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan esok, Pas terus mengundang teka-teki apabila menyatakan penghargaan atas khidmat dua pemimpin utama mereka sekarang.

    Melalui kenyataan awam dalam media sosial, Pas merakamkan penghargaan kepada Datuk Ahmad Yakob dan Datuk Mohd. Amar Abdullah yang masing-masing sebelum ini menjadi Menteri Besar serta Timbalan Menteri Besar Kelantan.

    Ahmad sudah menyatakan pendiriannya untuk menjadikan PRN kali ini sebagai penggal terakhirnya berkhidmat sebagai wakil rakyat.

    Bagaimanapun Mohd. Amar tidak ada memberi bayangan untuk mengendurkan langkah politiknya, terutama dengan keduduannya sebagai Timbalan Menteri Besar.

    “Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Dato’ Haji Ahmad Yakob, mantan Menteri Besar Kelantan dan Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah, mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan atas jasa dan sumbangan sepanjang 10 tahun membangunkan negeri Kelantan,” kata kenyataan tersebut.

    Sepanjang tempoh sedekad berkhidmat dalam kerajaan negeri, Pas berkata, pelbagai pencapaian dicapai Kelantan dan dapat dinikmati oleh rakyat setempat.

    “Dalam tempoh 33 tahun ini, Pas Kelantan berjaya membuktikan bahawa dasar Islam mampu memandu sebuah kerajaan,” kata Pas, memetik laporan Malaysiakini.

    Tengah hari tadi Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai cadangan parti itu membawa perubahan kepimpinan kerajaan negeri sekiranya Perikatan Nasional (PN) terus diberi mandat daripada pengundi.

    Takiyuddin berkata, keputusan mesyuarat harian Pas mencadangkan untuk menukar kepimpinan bagi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar di Kelantan.

    “Perubahan gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sekarang bagi negeri Kelantan dengan mengemukakan seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan Sultan Kelantan.

    “Bagi gabungan jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang akan ditawarkan selepas PRN nanti tidak dinamakan bagi menghormati mandat rakyat dan kuasa mutlak Sultan Kelantan dalam pelantikan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar,” katanya dalam sidang media khas berkenaan.

    Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu turut mengumumkan cadangan PAS untuk mengekalkan Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar Terengganu dan Datuk Muhammad Sanusi Md. Nor di Kedah.

    Bagaimanapun ia tertakluk kepada mandat rakyat dalam PRN dan perkenan sultan negeri masing-masing.

    Untuk rekod Ahmad yang juga penyandang dan calon dewan undangan negeri (DUN) Pasir Pekan dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 6 Mei 2013 bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Nik Abdul Aziz memilih untuk bersara selepas 22 tahun menjadi Menteri Besar (sejak 1990) dan dia meninggal dunia pada 12 Februari 2015.

    Mohd. Amar pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar bagi menggantikan posisi dikosongkan Ahmad ketika itu.

    Walaupun kebiasaannya penyandang jawatan Timbalan Menteri Besar akan dilantik mengisi tempat yang lebih tinggi, ada juga khabar-khabar angin ada tokoh lain yang akan dipilih untuk menggantikan Ahmad selepas PRN berakhir esok.

    Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas sering mengundang perhatian dengan kenyataan-kenyataan bersahajanya, terutama melibatkan isu di Kelantan.

  • Skandal SMG: Faekah ajar MB Selangor cara baca fail kerajaan

    Skandal SMG: Faekah ajar MB Selangor cara baca fail kerajaan

    FAEKAH Husin tampil mengajar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari cara membaca fail kerajaan selepas Pengerusi PH Selangor itu dilihat tidak tahu cara membaca fail projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) yang dilanda kontroversi, baru-baru ini.

    Bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abdul Khalid itu berkata, kesilapan Amirudin membaca fail tersebut menyebabkan beliau menuduh bekas bosnya yang merupakan Menteri Besar Selangor pada 2008 hingga 2014 hanya berimaginasi dalam soal pelaksanaan projek SMG itu.

    “Saya tengok video klip dalam Keluar Sekejap, di mana dia kata projek Sungai Klang ini sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Tan Sri Khalid. Setakat itu betul. Lepas itu dia kata, Tan Sri Khalid tak buat apa-apa, hanya imaginasi dia. Hello Amir! Masya-Allah.

    “Sungai Klang diilhamkan Mac 2009. Kalau kita nak buat Sungai Klang perkara asas kena lakukan adalah kena gazetkan sepanjang Sungai Klang, maknanya kita wartakan tidak boleh dikomersialkan, diceroboh, tidak boleh diberi TOL. Kita wartakan 126 kilometer. Berapa lebar kita wartakan? Daripada sungai 50 meter kiri, 50 meter kanan.

    “Selepas warta baru boleh buat sesuatu. Nak wartakan ini bukan seorang yang buat, ia melibatkan enam majlis daerah dan perbandaran yang buat kerja. Kita panggil juru ukur, pelan idea diketuai jabatan perancang bandar…jadi bila saya dengar dia kata Tan Sri Khalid hanya berimaginasi, saya pelik. Beratus pegawai kerajaan mengusahakan perkara itu, dia nafikan,” katanya.

    Beliau membidas Amirudin yang merupakan calon PH di DUN Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri Selangor, Sabtu ini pada Ceramah Mega Selangor Baharu di Kampung Bendahara, Selangor, malam tadi.

    Faekah turut memberitahu sekiranya Allahyarham Khalid berimaginasi dan tidak melakukan apa-apa terhadap projek tersebut, maka beliau tidak akan meninggalkan rizab sebanyak 3,200 juta kepada penerusnya di Selangor itu.

    Akhirnya, Faekah yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) akui bertemu jawapan terhadap kejahilan kenyataan Amirudin itu daripada fakta sebenar.

    “Bila saya dengar jawapannya itu saya fikir dia ini tak buat ‘homework’ ke apa? Kenapalah dia jawab macam ini? Semalam saya tahu jawapan. Rupa-rupanya, dia tak pandai baca fail. Saya nak beritahu, saya baca fail (sejak) 1990.

    “Amir, nak baca fail dari bawah. Fail setebal 6 inci, buka fail daripada bawah. Jangan baca dari depan, jangan baca dari atas. Lepas itu terselak-selak nak dapat maklumat. Terselak-selak. Fail ini baca dari bawah. Selak nampak sejarah. Perkara bermula 2009. (Tapi) Amir baca dari atas. Itu yang dia tak nampak apa yang orang dulu dah buat.

    “Dia hanya nak tengok apa yang dia nak tengok. Dia nak tengok projek itu boleh buat duit atau tidak. Banyak kerja kita dah buat. Tapi tak apalah saya akan bagi carta organisasi, jadual kepada YB Viral. Saya akan bagi, syarikat-syarikat yang telah disenarai pendek pada ketika itu. Syarikat daripada China, Korea dan syarikat tempatan. Ada semuanya. Maknanya Tan Sri Khalid bukan berimaginasi, kerja sudah dijalankan,” katanya.

    Isnin lalu, ketika siaran podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan dua bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, Amiruddin mengatakan Khalid tidak melakukan apa-apa hanya berimaginasi untuk melaksanakan SMG.

    “Ini adalah imaginasi Tan Sri Khalid. Tan Sri Khalid pernah mengatakan bahawa pembangunan semula Sungai Klang…inilah sebenarnya. Dan SMG ini dilancarkan oleh Azmin tapi hanya dilaksanakan oleh saya.

    “Jadi dulu arwah Tan Sri Khalid tak ada pun kecuali imaginasi dan juga beberapa bayangan,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam Jelajah Mega PN Best ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

    Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 242 hektar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sekitar RM180 juta.

    Landasan Lumayan, sebuah anak syarikat MBI yang merupakan pemegang 45 peratus tanah dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus) membentuk sebuah syarikat tujuan khas melalui usaha sama (JVCo) yang dikenali dengan nama Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB), antara lainnya untuk membersihkan dan membangunkan Sungai Klang.

  • Faekah kata Anwar patut ambil gaji PM

    Faekah kata Anwar patut ambil gaji PM

    BEKAS Setiausaha Politik Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid, Faekah Husin mencadangkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil gajinya sebagai Perdana Menteri.

    Namun katanya, Pengerusi PH itu perlu menolak semua elaun yang diterima didakwa mencecah ratusan ribu ringgit.

    “Jadi Perdana Menteri tak apa, ambillah gaji. Elaun itu jangan ambil masuk dalam (akaun), buat satu pentadbiran reformasi yang boleh dicontohi di negeri dan Persekutuan. Itu caranya.

    “Bukan ‘gebang’ kata tak ambil gaji selepas itu elaun beratus-ratus ribu you simpan diam-diam. Bukan itu caranya,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Selangor Baharu di Kampung Bendahara, Selangor, malam tadi.

    Untuk rekod, Anwar sebelum ini lantang menegaskan beliau tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang disandangnya.

    Sebelum itu, Faekah mendedahkan bekas bosnya, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mengambil sebarang elaun yang diterima daripada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi jawatan-jawatan yang dipegangnya ketika menjadi Menteri Besar Selangor pada 2008-2014.

    Menurut Faekah, Allahyarham memaklumkan beliau sudah cukup menerima gaji sebagai Menteri Besar ketika itu.

    Malah kata Faekah, Allahyarham meletakkan semua elaun tersebut di bawah Perbadanan Menteri Besar (MBI) untuk didermakan kepada program parti di bawah Pakatan Rakyat ketika itu.

    “Elaun pengarah, elaun pengerusi GLC dia tak ambil. Dia buka satu akaun di MBI, dia masukkan semua duit dapat daripada PKNS, KDEB, PNSB, kumpulan hartanah, UNISEL, KUIS…semua itu dia pengerusi, lembaga pengarah. Dia masukkan semua duit itu dalam MBI.

    “Semua program parti di bawah Pakatan Rakyat, PKR dan juga Pas dia akan bagi derma. Sayalah tukang bawa RM30,000 bagi kepada Pas. Tunai. Apabila Pas nak buat muktamar. PKR buat konvensyen, kongres nasional di Armada MBI bayar RM108,000.

    “Betullah Amir (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari) kata dia sebulan dapat elaun (MBI) RM79,000 bezanya Amir masuk poket. Tan Sri tak, dia masuk akaun. Duit itu yang digunakan untuk bayar semua program parti. Dia tak pakai.

    “Saya tanya kenapa tak guna untuk diri sendiri, dia kata saya tak nak guna (elaun) kerana saya ada gaji. Inilah bezanya,” katanya.

    Dalam ceramah sama, beliau sempat melahirkan kekecewaan terhadap PKR hari ini yang tetap mengulang perkara sama dilakukan pemerintah terdahulu yang menafikan hak calon untuk berkempen di tempat yang sudah dipersetujui.

    Ia berikutan lokasi ceramah kempen calon PN di Port Klang semalam terpaksa diubah pada saat akhir hingga beliau terpaksa berceramah di atas lori.

    “Saya beritahu kepada calon PKR, Aznizam. Kita sama-sama diburu 25 tahun (lalu) oleh polis, FRU…sama-sama dikacau baju hitam UMNO, saya sungguh tak sangka PKR melakukan perkara yang sama.

    “Ini memang kena pukul mati. Bagaimana? Kita wajib kalahkan Pakatan Harapan dan BN di Selangor. Mereka angkuh, tersangat angkuh dah. Ugut JMB agar batalkan ceramah saya.

    “Nak takut apa? Semua penceramah wanita. Saya tak ada jawatan, saya bukan sesiapa. Saya cuma bersama-sama untuk berkongsi apa yang TS Khalid telah lakukan dan hadapi dulu.

    “Semalam saya berceramah betul-betul di tepi jalan, atas lori, dalam gelap, banyak serangga masuk hidung, tekak, dalam tudung. Tapi hikmahnya, orang berhenti dengar ceramah kita,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • ‘Tak boleh pakai seluar pendek’ fitnah PH, kata calon PN Kebun Bunga

    CALON Gerakan malam tadi tampil di pentas ceramah dengan berseluar pendek, menolak persepsi bahawa Perikatan Nasional (PN) akan mengubah gaya hidup orang bukan Islam di Pulau Pinang.

    “Siapa kata tak boleh pakai seluar pendek? Sekarang ni saya tak pakai seluar pendek ke? Kenapa tak boleh pakai seluar pendek?”

    “Dalam beberapa hari saya bergerak di kawasan ini, banyak orang tanya, jika kami undi untuk kamu, boleh pakai seluar pendek tak?

    “Ini adalah fitnah yang disebarkan oleh PH (Pakatan Harapan)” kata calon Kebun Bunga Tan Zhen Zune, lapor MalaysiaKini.

    Beliau turut memberi contoh bahawa di Kedah, di mana Pas memerintah, orang bukan Islam tidak dilarang minum arak dan memakan daging babi.

    “Adakah mungkin perkara ini (berlaku)?”

    “Jangan kata Kelantan dan Terengganu yang jauh (dari sini), kamu pernah melawat Kedah ke?”

    “Tanya orang Kedah, boleh minum arak tak. Kedah ada Bak Kut Teh, dan (orang bukan Islam) boleh makan daging babi,” katanya.

    Jun lalu seorang peniaga wanita di Kota Bahru didenda RM50 kerana memakai seluar pendek.

    Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Rosnazli Amin berkata, tindakan itu dibuat bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1985.

  • PRN: ‘Akar umbi UMNO tolak BN kerana Zahid’ – Ilham Centre

    PRN: ‘Akar umbi UMNO tolak BN kerana Zahid’ – Ilham Centre

    BARISAN Nasional (BN) dijangka sukar mendapatkan undi akar umbi UMNO disebabkan penolakan ketara terhadap Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Firma kaji selidik, Ilham Centre merumuskan akar umbi UMNO secara konsensus menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Ahmad Zahid.

    “Ketidakpuasan hati ini menyebabkan akar umbi UMNO tawar hati untuk memberikan undi mereka kepada calon BN dan Pakatan Harapan (PH).

    “Ahli UMNO termasuk jentera mengakui masih sukar untuk menerima PH kerana DAP dan sebahagiannya kerana Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

    “Pendirian bergabung dengan dua itu berkait usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) gagal dijelaskan dengan baik kepada ahli bawahan UMNO.

    “Ahli UMNO berkemungkinan akan membuat peralihan undi kepada Perikatan Nasional (PN) atas faktor di atas dan juga lebih dekat dengan Pas kesan kerjasama (Muafakat Nasional) yang lalu.

    “Ternyata MN menguntungkan Pas dan PN secara keseluruhannya,” menurut Ilham Centre dalam satu kenyataan hari ini.

    Ilham Centre juga menjelaskan dalam kaji selidik yang dilakukan sepanjang kempen PRN di enam negeri itu, sekitar 27 hingga 58 peratus pengundi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akan mengundi PN dalam PRN 12 Ogos ini.

    Kajian firma itu juga selari dengan pandangan beberapa penganalisis politik bahawa momentum sokongan terhadap PN pada PRU15 lalu masih kekal.

    “Dengan situasi pasca PRU15 dijangka tidak banyak berubah dan politik dalaman UMNO yang masih berkecamuk serta penerimaan Kerajaan Perpaduan yang sederhana di kalangan orang Melayu, PN dijangka terus menguasai undi kelompok ini.

    “Walaupun kerjasama PH-UMNO akan mengecilkan keterpecahan undi orang Melayu berbanding ketika PRU15 menerusi persaingan dua penjuru (satu lawan satu), ia masih dilihat tidak membantu Kerajaan Perpaduan.

    “Untuk memberikan konteks, UMNO kalah di kesemua kerusi Parlimen majoriti Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor namun cemerlang di Negeri Sembilan dalam PRU15,” katanya, lapor Astro Awani.

    Ilham Centre berpendapat faktor ‘cah keting’ juga akan menyebabkan berlakunya undi protes terhadap calon BN terutama di Kelantan dan Terengganu.

  • PRN: SPR jangka peratusan keluar undi capai lebih 85 peratus

    PRN: SPR jangka peratusan keluar undi capai lebih 85 peratus

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu esok melebihi 85 peratus, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

    Beliau berkata jika jumlah peratusan itu tercapai, ia melebihi peratusan keluar mengundi sebanyak 74.7 yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), November lepas.

    Abdul Ghani turut menyeru semua pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi negara serta menasihatkan mereka jangan sesekali menyerahkan kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali selain daripada petugas SPR untuk tujuan semakan.

    “Kita (SPR) bersama pasukan keselamatan telah pun bersedia untuk menangani apa-apa masalah dan saya telah berbincang dengan pihak berkuasa untuk menangani sebarang isu berkaitan esok. Jadi jangan bimbang dan keluar mengundi macam biasa,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat persediaan akhir Pusat Semakan Peti Undi di Semarak Hall Cyberjaya yang juga pusat penjumlahan rasmi undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Cyberjaya hari ini.

    Esok, 12 Ogos adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Turut diadakan serentak adalah PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

    Abdul Ghani berkata SPR telah memberi cadangan waktu mengundi yang digalakkan untuk mengelak kesesakan di pusat mengundi serta mengingatkan pengundi tidak berpusu-pusu di awal pagi ke pusat mengundi memandangkan pusat mengundi dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang.

    Beliau berkata persiapan di semua pusat mengundi PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu dari segi peti undi, kertas undi dan peralatan lain berjalan dengan baik dan tiada perkara yang tidak diingini dilaporkan berlaku.