Category: Semasa

  • Reformasi pendidikan, langkah tampung kenaikan kos haji antara tumpuan Dewan Rakyat

    Reformasi pendidikan, langkah tampung kenaikan kos haji antara tumpuan Dewan Rakyat

    PELAN bagi merealisasikan reformasi pendidikan di institut pengajian tinggi dan langkah kerajaan menampung peningkatan kos untuk mengerjakan ibadah haji serta umrah, antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai reformasi pendidikan itu diajukan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) kepada Menteri Pendidikan Tinggi.

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pula ingin tahu langkah serta bantuan disediakan kerajaan bagi menampung peningkatan mendadak kos untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

    Turut tersenarai, soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) meminta penjelasan Menteri Pertahanan berhubung pelaksanaan skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen khususnya kategori B40.

    Soalan mengenai kualiti dan kos perkhidmatan 5G yang ditawarkan syarikat telekomunikasi, usaha mengurangkan kos kepada pengguna serta tempoh masa liputan 5G di seluruh negara boleh dicapai pula diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Komunikasi dan Digital.

    Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.

    Menurut takwim di laman Parlimen, rang undang-undang itu akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari.

  • Muhyiddin tiba di mahkamah Shah Alam

    Muhyiddin tiba di mahkamah Shah Alam

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, sebentar tadi untuk menghadapi pertuduhan ketujuhnya, hari ini.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dikatakan akan berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tiba di kompleks berkenaan pada pukul 8.20 pagi dengan ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pimpinan parti antaranya Datuk Ronald Kiandee dan Datuk Dr Mohd. Radzi Md. Jidin.

    Kenderaan membawanya tiba di pekarangan diiringi sebuah kereta polis dan empat kereta lain, lapor Malaysiakini.

  • Pemilihan Pemuda UMNO Titiwangsa akan diadakan semula susulan suasana kecoh, tegang

    Pemilihan Pemuda UMNO Titiwangsa akan diadakan semula susulan suasana kecoh, tegang

    PEMILIHAN Pemuda UMNO Titiwangsa terpaksa diadakan semula selepas berlaku kekecohan berhubung kertas undi semalam.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Titiwangsa, Zaharah Adnan berkata, kekecohan berlaku apabila terdapat lebihan kertas undi semasa pendaftaran ekoran keengganan jawatankuasa Pemuda bahagian menerima pendaftaran dilakukan oleh pihak JPU.

    “Malah terdapat paksaan daripada pihak AJK Pemuda bahagian supaya pendaftaran daripada pihak mereka juga diterima pakai.

    “Akhirnya ia menimbulkan kekecohan sewaktu pengiraan undi dilakukan.

    “Berlaku insiden ugut-mengugut antara AJK Pemuda bahagian dengan pihak JPU menyebabkan suasana terlalu tegang sehingga penyelesaian tidak dapat dicapai,” katanya memetik laporan FMT.

    Bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, maka beliau selaku pengerusi JPU Titiwangsa telah menggantung pemilihan Pemuda kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

    Sementara itu, bercakap kepada FMT, Pengerusi JPU, Tan Sri Shahrir Samad berkata, pihaknya belum menerima bantahan daripada UMNO Titiwangsa berhubung kekecohan yang berlaku.

    Katanya, jika tiada bantahan sehingga Selasa, maka pihak yang menimbulkan kekecohan itu akan dipanggil oleh parti.

    “Belum terima laporan. Hanya melihat video tanpa apa-apa penjelasan. Ia mengundang pelbagai spekulasi dan proses pemilihan terkesan.

    “Minta Pemuda dan JPU Titiwangsa perjelas perkara itu,” gesanya yang juga veteran UMNO.

    Sejak semalam, tersebar beberapa klip video memaparkan keadaan tegang antara Zaharah bersama seorang lagi wakil JPU Titiwangsa dengan kumpulan Pemuda UMNO Titiwangsa.

    Video berkenaan tersebar menerusi aplikasi Whatsapp sejak tengah hari semalam tanpa butiran lanjut.

  • Pelakon Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura

    Pelakon Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura

    PELAKON popular tanah air, Kamal Adli cedera teruk di kepala selepas dipukul oleh seorang lelaki dengan menggunakan cota di Singapura, malam tadi.

    Menurut isterinya yang juga pelakon Uqasha Senrose, insiden itu berlaku selepas kedua-dua mereka menghadiri suatu acara di bandar raya berkenaan.

    Susulan kecederaan yang dialami Kamal itu juga, Uqasha berkata, suaminya dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.

    “Kejadian itu berlaku semasa kami berdua melayan permintaan seorang wanita berkerusi roda yang mahu merakamkan gambar kenangan sekitar pukul 9 hingga 10 malam.

    “Saya dan Kamal bergambar dengan mak cik itu. Tiba-tiba, datang seorang lelaki dan bertanya, Kamal mana? Kami fikir dia peminat.

    “Kamal kemudian tegur lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu keluarkan cota dari poket dan pukul belakang kepala Kamal berkali-kali.

    “Darah Kamal berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul tulang pipi. Lelaki itu kemudian pukul berkali-kali pada badan Kamal,” dakwa Uqasha kepada portal Berita Harian yang menghubunginya di Singapura.

    Tidak lama selepas insiden berkenaan, Uqasha berkongsi video pendek di akaun Instagram (IG) peribadinya.

    Dalam tangisan, Uqasha menulis nota memohon doa orang ramai untuk suaminya yang terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    “Saya tidak boleh masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma, saya boleh buat laporan polis di Singapura,” katanya.

    Tidak hanya menyerang Kamal, bahkan, dakwa Uqasha lagi, adik-beradiknya yang bersama-sama dengan mereka ketika insiden itu turut diugut individu terbabit.

  • ‘Pernah presiden kamu tawar diri letak jawatan’, Pemimpin Bersatu tanya Isham

    ‘Pernah presiden kamu tawar diri letak jawatan’, Pemimpin Bersatu tanya Isham

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris membidas rakan sejawatnya dari UMNO, Isham Jalil yang mempertikaikan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bertanya sama ada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menawarkan diri meletak jawatan selepas didakwa di mahkamah.

    Beliau menegaskan, Muhyiddin ada menawarkan peletakan jawatannya sebagai presiden Bersatu, namun ditolak mesyuarat khas semalam dan perhimpunan agung tahunan parti itu hari ini.

    “Saya nak tanya ketua penerangan UMNO, apakah presiden kamu pernah menawarkan diri meletak jawatan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO atau dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO)?

    “Beza presiden Bersatu dengan UMNO seperti langit dan bumi, presiden Umno dituduh 47 kes, manakala Muhyiddin tujuh kes, tiada tuduhan kemasukan wang dalam akaun peribadi, tetapi presiden kamu ada kegunaan peribadi,” dakwanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Isham menyindir Muhyiddin masih mengetuai Bersatu, walaupun sedang menghadapi tuduhan di mahkamah.

    Katanya, sebelum ini pemimpin Bersatu sering mendesak pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah meletak jawatan.

    “Lepas itu, bila Ketua Penerangan Bersatu (Wan Saiful Wan Jan) kena dakwa dan letak jawatan, Muhyiddin kata ini standard Bersatu, kononnya bila ada kes mahkamah mereka akan letak jawatan.

    “Kemudian Muhyiddin kata dia akan letak jawatan jika ada pertuduhan dan dakwaan, tetapi bila sudah ada pertuduhan dan dakwaan, dia tidak letak jawatan sebab kononnya kawan-kawan dia tidak izin,” kata Isham yang juga ahli MKT UMNO.

    Jumaat lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

  • Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung wang dalam akaun parti Bersatu.

    Berdasarkan semakan sistem e-kehakiman, kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen 1, di hadapan Hakim Rozilah Salleh pada 9 pagi.

     Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam jemputan media memaklumkan pihaknya telah mendapat izin mendakwa seorang Ahli Parlimen esok di mahkamah sama.

    Ahli Parlimen  Pagoh itu dijangka menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu pada 10 Mac lepas.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta. – BERNAMA

  • Ops Tiris: Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi

    Ops Tiris: Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan seorang pemandu lori bersama 10,000 liter diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam, kira-kira pukul 7 petang semalam.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata, serbuan oleh empat anggota penguat kuasa sempena Ops Tiris itu dilakukan hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

    Menurutnya, ketika serbuan, pemandu lori terbabit iaitu lelaki warga tempatan berusia 30-an didapati sedang mengisi minyak bersubsidi diesel ke dalam tangki asal kenderaan terbabit.

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan awal terhadap lori berkenaan kemudian mendapati terdapat dua unit nozel ‘dispencer’ diesel telah dimasukkan ke dalam tangki asal kenderaan berkenaan bagi proses pengisian.

    “Pemeriksaan seterusnya di bahagian belakang lori yang ditutupi kanvas pula mendapati, terdapat satu unit tangki fiber tambahan yang diubah suai dan disyaki mengandungi bahan api bersubsidi diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jegan berkata, pasukan serbuan turut menjumpai satu unit pam motor dan hos dalam lori tersebut yang digunakan untuk menyedut minyak diesel daripada tangki asal.

    Jelasnya, siasatan lanjut di tempat kejadian pula mendapati, lelaki tersebut didapati telah membuat pembelian bahan api bersubsidi diesel secara tunai daripada stesen minyak tersebut.

    Ujar beliau, modus operandi kes itu adalah dengan membeli bahan api bersubsidi diesel di beberapa buah stesen minyak dalam negeri ini sebelum dikumpul di suatu tempat penyimpanan sementara bagi tujuan penjualan kepada pihak industri.

    “Siasatan juga akan dilakukan terhadap pemilik stesen minyak berkenaan sama ada mereka terlibat dan bersubahat dalam kes ini,” katanya.

    Beliau memberitahu, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan kesemua rampasan dan sitaan pula dianggarkan bernilai lebih RM60,000.

    Katanya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

    Tambah beliau, bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras, orang awam disaran menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi itu.

  • Perwakilan sanggah dakwaan anak muda sokong PN tidak berpelajaran

    Perwakilan sanggah dakwaan anak muda sokong PN tidak berpelajaran

    DAKWAAN golongan muda menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai golongan tidak berpendidikan tinggi, tiada pendapatan disanggah perwakilan Bersatu yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan parti itu hari ini.

    Menurut mereka yang ditemui SatuBerita dakwaan tersebut cetek dan tidak benar.

    Exco Armada Bersatu, Abdul Mutallib, 32, berkata kenyataan tersebut satu penghinaan kepada golongan muda.

    “Itu bagi saya tidak betul, saya sendiri ada ‘degree’ (Ijazah sarjana muda), kawan saya di Kedah yang menyokong PN ada ‘double degree’ (dua ijazah sarjana muda), calon-calon dari Armada, Pemuda PN sekiranya kita lihat pada kelayakan agak cemerlang. Tanggapan itu meleset.

    “Saya ingin ingatkan, jangan kacau anak muda di luar sana. Kalau kita tengok rupa mat rempit, latar belakangnya tak tentu kita tahu,” katanya.

    Exco Srikandi Muda Masjid Tanah, Nur Farah Azrina, 23, pula berkata golongan muda yang menyokong PN turut terdiri daripada golongan profesional, berpendapatan tinggi dan berpendidikan tinggi.

    “Contohnya Pengerusi Srikandi Muda Bersatu adalah seorang peguam, Ketua Penerangan seorang ahli perniagaan, setiausaha kami seorang pensyarah,” katanya.

    Secara sinis Nur Farah berkata, adalah lebih baik menjadi seorang yang ‘biasa-biasa’ daripada menjadi ‘orang yang pernah ditolak dalam pilihan raya tetapi diberikan jawatan dalam kerajaan’.

    Ahmad Faizal, 51, pula berkata, darjat anak muda sepatutnya diangkat oleh kerajaan bukan diperlekehkan.

    “Kenyataan itu tidak betul, anak-anak muda sekarang ini sudah banyak belajar di universiti dan memulakan kehidupan, negara kita kaya dengan orang muda berpendidikan tinggi.

    “Sebenarnya, mereka mungkin nak alihkan isu, dulu mereka mengharapkan sokongan anak muda ini akan beralih kepada mereka, tapi sebaliknya berlaku seperti dilihat pada PRU-15,” katanya.

    Faizal yang berasal dari Kulim, Kedah itu turut menganggap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang tewas di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU-15 sepatutnya menyalahkan diri sendiri apabila tidak mendapat sokongan anak muda.

    “Pemuda Armada, Pas, Gerakan, sememangnya menitikberatkan suara anak muda, kerana pada satu hari mereka yang akan menggantikan orang yang lebih tua.

    “Sebagai orang Kulim, semua orang boleh nampak. Sepanjang YB Saifuddin menjaga Kulim tiada satu perkara yang jitu dibuat. Patutnya dia tengok dulu diri dia kat cermin, anak muda adalah aset kita,” jelasnya.

    Media sebelum ini melaporkan Saifuddin berkata, golongan muda yang mengundi PN pada PRU-15 sebagai tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap.

    Video rakaman ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Kedah 2023 pada 25 Februari lalu yang tular antara lain menunjukkan Saifuddin berkata: “Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap hat tu, hat naik motor sana sini bagi kat Perikatan (PN).

  • 7 lelaki disyaki pukul 2 pemuda kerana Mobile Legend ditahan

    7 lelaki disyaki pukul 2 pemuda kerana Mobile Legend ditahan

    POLIS mehahan tujuh lelaki yang disyaki memukul dua pemuda berumur 20an dalam pergaduhan yang berpunca daripada permainan video dalam talian Mobile Legend, di Telok Mas di Melaka petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pergaduhan berlaku semasa pengadu bersama seorang rakannya yang berada di sebuah stesen minyak, didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal yang kemudian bertindak memukul mereka.

    Beliau berkata pengadu menerima 10 jahitan di dahi dan patah tulang hidung akibat dipukul dengan topi keledar.

    “Siasatan awal mendapati pergaduhan itu tercetus berikutan rasa tidak puas hati kerana maki hamun ekoran keengganan bermain mobile legend,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya semua tujuh lelaki berumur 16 hingga 28 tahun itu ditahan di Jalan Kota di sini sekitar tengah malam tadi, dan kes disiasat mengikut 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera, serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

    Ketujuh-tujuh suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Jalur Gemilang terbalik, polis reman lelaki dua hari

    Jalur Gemilang terbalik, polis reman lelaki dua hari

    POLIS menahan reman seorang lelaki selama dua hari selepas dipercayai ada kaitan dengan kes memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

    Suspek warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan kes di sebuah premis perindustrian di Senai dekat Johor Bahru yang tular di media sosial.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, suspek berusia 45 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Senai semalam.

    “Suspek telah dibawa ke mahkamah pada hari ini untuk mendapatkan perintah reman. Perintah reman selama dua hari bermula hari ini ke atas suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beng Yeow berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 (Penggunaan Tidak Wajar) / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

    Terdahulu gambar bendera terbalik yang tular di media sosial sejak semalam itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

    bendera terbalik, Lelaki ditahan, Jalur Gemilang, Senai,