Category: Semasa

  • Lelaki, wanita maut kereta bertembung lori

    Lelaki, wanita maut kereta bertembung lori

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kulim menuju ke Mahang, Kedah pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.40 pagi.

    Katanya, pemandu kereta yang maut itu merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun manakala identiti penumpang wanita yang turut meninggal dunia masih belum dikenal pasti.

    “Siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dinaiki kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Kob menghala ke Mahang manakala lori itu pula datang dari arah bertentangan.

    “Ketika tiba di selekoh berhampiran Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), kereta Proton Wira tersebut termasuk ke laluan bertentangan mengakibatkannya terlanggar bucu depan sebelah kanan lori berkenaan,” katanya.

    Difahamkan pemandu kereta itu tidak memiliki lesen memandu manakala pemandu lori berusia 43 tahun itu pula mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah.

    Tambahnya, pemandu dan penumpang kereta itu cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori pula tidak mengalami kecederaan.

    “Pemandu lori itu turut diambil keterangan untuk siasatan lanjut. Setakat ini siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Kerajaan hanya bertindak terhadap pembangkang – Ahmad Fadhli

    Kerajaan hanya bertindak terhadap pembangkang – Ahmad Fadhli

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan adakah kerajaan benar-benar serius untuk mengambil tindakan terhadap proses tata kelola yang dikatakan tidak telus seperti yang dibangkitkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menegaskan, ini kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat hanya memfokuskan tindakan terhadap pembangkang.

    Menurutnya, banyak persoalan tata kelola dibangkitkan sebelum PRU15, termasuk perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang membabitkan kos berbilion.

    “Rakyat sudah tentu mahu mengetahui perkara yang perlu disiasat oleh kerajaan hari ini. Tak boleh kita bercakap tentang perolehan projek semata-mata tanpa bertindak terhadap proses sebelum itu.

    “Bilakah tindakan akan diambil terhadap proses tata kelola yang telah disebut sebelum PRU15. Soalan ini dijawab oleh kerajaan bahawa tindakan pendakwaan telah diambil, namun tindakan itu sebenarnya dibuat sebelum PRU15 dan YB (Yang Berhormat) Tambun dan pimpinan lain menyatakan bahawa pendakwaan itu tidak cukup dan perlu ada tindakan susulan,” katanya lapor Harakhdaily.

    Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya mengakui bahawa pendakwaan peringkat awal kes LCS tidak mencukupi berikutan ia adalah skandal besar dan jelas wujud berlaku ketirisan.

    Menurutnya, perkata itu sudah dinyatakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan dipersetujui pendakwaan peringkat kedua akan teruskan.

    “Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih.

    “Saya tegaskan siasatan LCS ini mesti diteruskan dan tindakan sebelum ini tidak cukup membongkar dan bertindak kepada orang yang lebih utama dikatakan yang terbabit. Biar siasatan diteruskan,” katanya.

  • Libatkan Jakim, kata ahli Parlimen PN berhubung ‘Ziarah Gereja’ NGO KBS

    Libatkan Jakim, kata ahli Parlimen PN berhubung ‘Ziarah Gereja’ NGO KBS

    AHLI Parlimen Pasir, Mas Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan membabitkan pihak agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam program ‘Ziarah Gereja’ anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Katanya, program tersebut dianggap baik pada asasnya namun akan mencetuskan kebimbangan.

    “Walaupun KBS tidak mempunyai kaitan secara langsung, tetapi ada dana dari KBS.

    “Saya harap peruntukan KBS kepada NGO-NGO dipantau supaya program yang dibuat itu sesuai dengan aspirasi kerajaan,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

    Impact Malaysia mendapat tumpuan awam selepas aktivis politik Perikatan Nasional (PN) Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bad mendedahkan program Ziarah Gereja yang dianjurkan Impact Malaysia.

    Sebuah poster Impact Malaysia yang mengajak golongan belia bukan Kristian menyertai program itu di sebuah gereja di Klang tersebar.

    Bagaimanapun, Impact Malaysia sudah memadam poster berkenaan.

    Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dari DAP membuat laporan polis terhadap Badrul susulan pendedahan berkenaan.

    Impact Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut menganjurkan ‘Jom Ziarah Masjid’, dalam siri program yang dipanggil Projek Artikel 11. 

    Namun menurut Fadhli, program Ziarah Gereja tidak boleh disamakan dengan program Ziarah Masjid.

    Program itu turut mendapat perhatian Pemuda UMNO yang memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap NGO berkenaan lapor Malaysianow.

  • KDN rampas permainan seks bernilai RM1.1 juta

    KDN rampas permainan seks bernilai RM1.1 juta

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 22,929 alat mainan seks bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sebuah gudang perkakasan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada15 Februari lalu.

    Dalam serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN menerusi Ops Maya kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang wanita berusia 29 tahun turut ditahan.

    Setiausaha Bahagian PKK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, gudang terbabit dijadikan tempat penyimpanan alat mainan seks yang mana suspek aktif menjualnya secara online sejak tahun lalu.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, alatan permainan seks itu didapati dibawa masuk dari luar negara dan dijual dengan harga RM70 sehingga RM450 seunit.

    “Penjual pula didapati boleh mengaut keuntungan sehingga dua kali ganda iaitu RM3.3 juta susulan permintaan tinggi daripada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Nik Yusaimi, suspek yang juga pemilik gudang telah dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 2 Mac lalu, dan dihukum denda sebanyak RM5,000 selepas mengaku bersalah.

    Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana mengedar atau menjual barang-barang lucah.

    “Operasi ini juga bertujuan membanteras penjualan dan pembelian mainan seks kerana dilarang serta berlawanan daripada segi moral dan budaya di negara ini.

    “Gejala tidak sihat ini dikhuatiri memudaratkan kepentingan awam dan diharapkan mana-mana individu tidak terlibat dengan semua aktiviti yang memudaratkan moral,” katanya.

    Dalam pada itu, tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan dan pengedaran alat mainan seks diminta menghubungi pihak KDN di talian 03-8000 8000.

  • Kamal Adli stabil, pesan orang ramai jaga keselamatan

    Kamal Adli stabil, pesan orang ramai jaga keselamatan

    PELAKON popular, Kamal Adli, hari ini tampil mengeluarkan kenyataan pertama selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan pada kepala selepas diserang di Singapura, Ahad lalu.

    Menerusi akaun Instagramnya, Kamal memaklumkan keadaannya semakin stabil namun masih memerlukan ubat untuk melawan rasa sakit serta memulihkan kecederaannya.

    “Salam, Alhamdulilah, amin Kamal semakin stabil tapi masih under medication untuk tahan sakit dan nanah dan lebam lebam di badan dan dijaga isteri saya.

    “Terima kasih atas doa kalian terutama artis artis di booth dan juga orang orang Malaysia, Singapura yang tolong Kamal.

    “Cuma Kamal harap semua orang tolong jaga keselamatan kerana kita tak tahu siapa suka atau benci kita,” jelasnya.

    Dalam entri terbaharu itu, Kamal turut meminta orang ramai mendoakan isterinya Uqasha Senrose yang masih trauma akan kejadian itu.

    “Doakan untuk isteri saya yang masih trauma pasal isu ini, saya sayang isteri saya, yang ketuk saya sorang je bukan satu Singapura, jangan gaduh-gaduh,” katanya,. lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Kamal, 36, mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala sehingga terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di republik itu selepas diserang seorang lelaki ketika menghadiri acara Hari Raya Mega Sale 2023 di Singapura, Ahad lalu.

    Dalam perkembangan sama, lelaki yang menyerang Kamal dituduh di mahkamah republik itu hari ini.

    Suspek berusia 33 tahun itu dituduh kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.

    Mahkamah menetapkan lelaki itu direman dua minggu bagi menjalani ujian psikiatri.

    “Tertuduh akan direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi menjalani penilaian psikiatri,” kata Hakim Daerah Terence Tay yang bersetuju dengan permohonan pendakwa raya menahan tertuduh bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.

    Tay berkata bahawa sebutan semula kes itu akan dibuat pada 28 Mac.

  • Pecah kuasa PM, kata kumpulan sivil

    Pecah kuasa PM, kata kumpulan sivil

    PERTUBUHAN masyarakat sivil mencadangkan kuasa Perdana menteri dipecahkan atas alasan jawatan itu mempunyai ‘kuasa terlalu mutlak’.

    Dalam laporan 100 hari kerajaan perpaduan berkuasa, pertubuhan itu berkata, kuasa berpusat dalam cabang eksekutif kerajaan terlalu besar, terutama melibatkan
    Perdana Menteri.

    Sebaliknya jelas pertubuhan berkenaan, kuasa itu perlu diturunkan antara negeri dan pihak kuasa tempatan.

    “Kuasa Perdana Menteri juga perlu diturunkan kepada Sabah dan Sarawak, khususnya perkara berkaitan rangka kerja pendidikan dan dana,” kata laporan itu.

    Kumpulan itu berkata, dasar dibahaskan di Parlimen sepatutnya bersandarkan kepada data demi memastikan perbahasan dibuat sewajarnya apabila menggubal atau menolak dasar.

    Mereka juga menggesa kerajaan menetapkan kalendar sidang Parlimen minimum 135 hari, bermula awal tahun, sambil menyatakan kerajaan terdahulu hanya bersidang selama 89 hari sahaja.

    “Malaysia memerlukan Parlimen yang aktif dan bugar untuk berfungsi dengan baik,” katanya.

    Berhubung undang-undang dan dasar, kumpulan itu berharap beberapa undang-undang didakwa menekan boleh dimansuhkan seperti Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah, dan Akta Pencegahan Keganasan.

    “Undang-undang ini terkenal untuk disalah guna pada masa lalu, selain berpotensi kekal disalahguna,” kata laporan itu lagi.

    Mengenai pembiayaan politik, ia berkata penggubalan undang-undang mengenai sumbangan politik akan membantu mengawal selia cara parti dan ahli politik menerima serta menggunakan wang, dengan menjadikannya bertanggungjawab untuk mendedahkan sumber dana dan jumlah yang diterima.

    “Undang-undang sangat perlu demi kebertanggungjawaban parti politik dan ahli politik, memastikan ketelusan pengurusan dana, dan mengekang penyalahgunaan, rasuah, penipuan atau salah guna kuasa melibatkannya,” katanya, lapor FMT.

  • Mayat lelaki Orang Asli ditemui lemas ketika jala ikan

    Mayat lelaki Orang Asli ditemui lemas ketika jala ikan

    MAYAT lelaki Orang Asli yang dipercayai lemas ketika menjala ikan petang semalam, ditemukan dalam bekas tapak lombong di Jalan Solok Menggong, Machap Baru pada 9.17 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa Jerrey Juli, 33, yang beralamat di Kampong Orang Asli Kubang Badak, Tebong itu telah pergi ke lokasi berkenaan bersama dua rakannya, untuk menjala ikan.

    “Dalam kejadian 6.30 petang, mangsa dipercayai telah turun dari perahu untuk membetulkan jala sebelum terjerlus dalam lombong.

    “Dua lagi rakan cuba membantunya namun gagal, mereka kemudiannya telah memaklumkan mengenai kejadian itu di Balai Polis Hutan Percha,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Arshad berkata tempat kejadian tersebut merupakan bekas lombong berkeluasan lebih kurang 0.4 hektar dan usaha mencari melalui selaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) tidak dapat dilakukan berikutan waktu telah malam dan keadaan cuaca telah gelap.

    “Usaha pencarian mangsa telah disambung 8.30 pagi tadi, sebelum mayat mangsa ditemukan, seterusnya dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    Sementara itu Komander Operasi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata mayat lelaki berkenaan ditemukan di dasar lombong pada kedalaman 4.5 meter, selepas dua minit usaha pencarian dilakukan oleh pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

  • Datuk Roy direman tiga hari kes Jana Wibawa

    Datuk Roy direman tiga hari kes Jana Wibawa

    SEORANG ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ direman tiga hari bermula Selasa oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki berusia 54 tahun itu hadir di mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren, oleh anggota SPRM ditahan sehingga Khamis depan.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) SPRM 2009.

    Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan kes program Jana Wibawa.

    Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun kemudiannya dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu.

    Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit dalam kes rasuah.

    Sementara itu, peguam, Fahmi Abd. Moin yang mewakili suspek berkata, anak guamnya telah menyerah diri di pejabat SPRM, pada Isnin lapor Sinar Harian.

  • Saya, Anwar tak ambil ganja, kata Rafizi

    Saya, Anwar tak ambil ganja, kata Rafizi

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengambil ganja selepas polis dilaporkan merampas barang mengandungi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada pejabat mereka.

    “Saya tak tahu (siapa hantar)… tiada siapa antara kami mengambil ganja,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini mengenai bungkusan mengandungi bahan larangan itu.

    Polis pada Jumaat lepas merampas sebuah kotak yang tertera nama Rafizi dan Anwar, memuatkan satu tiub ubat gigi dengan corak daun ganja dan mengandungi pes putih kehijauan.

    Menurut polis, barang tersebut tidak mempunyai kaitan dengan mereka dan pengirim membelinya melalui platform e-dagang dari Indonesia.

    “Ia suatu pembaziran dan sudah tentu ia dihantar terus ke balai polis,” kata Rafizi, dan menambah beliau tidak membuka bungkusan itu, lapor FMT.

    Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kakitangan kaunter pertanyaan Kementerian Ekonomi melaporkan kepada polis selepas sebuah syarikat penghantaran memaklumkan terdapat satu bungkusan atas nama Rafizi dan Anwar di sebuah hab di Dengkil.

  • Lima anggota polis termasuk Inspektor ditahan peras ugut ‘scammer’ RM150,000

    Lima anggota polis termasuk Inspektor ditahan peras ugut ‘scammer’ RM150,000

    SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor bersama empat anggota lain direman empat hari bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM150,000.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua lima anggota dan pegawai itu kini dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh tahanan reman ke atas mereka berakhir semalam.

    Mengulas lanjut, katanya pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan pada Khamis lalu mendakwa diperas ugut seorang pegawai dan beberapa anggota polis.

    “Pada hari sama, kita menahan seorang pegawai polis berpangkat inspektor, seorang sarjan, dua koperal dan seorang konstabel yang disyaki melakukan pemerasan membabitkan kerugian RM150,000.

    “Mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan dilengkapkan dengan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

    Hussein berkata demikian mengulas pendedahan di akaun Telegram Edisi Siasat yang mendakwa pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang melakukan pemerasan ke atas satu sindiket ‘scammer’.

    Beliau berkata, setakat ini tiada wang tunai ditemukan daripada semua suspek dan polis percaya kes itu berkaitan serbuan dilakukan polis terhadap kegiatan scammer yang membabitkan warga China.

    “Polis juga sedang menyiasat pengadu dan kumpulan beliau yang kemungkinan terbabit dalam aktiviti jenayah scammer itu,” katanya.