Category: Semasa

  • Cara hidup songsang LGBT di luar batas kehaiwanan – Ahmad Marzuk

    Cara hidup songsang LGBT di luar batas kehaiwanan – Ahmad Marzuk

    DATUK Ahmad Marzuk Shaari (PN-Pengkalan Chepa) menyifatkan gaya hidup komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebagai songsang dan di luar batasan kehaiwanan.

    “Bila sebut tentang LGBT, saya yakin manusia yang normal, akal pemikiran yang betul tidak akan menyokong LGBT ini.

    “Kalau ada yang bercakap ini adalah hak human rights, ini bukan manusia. Perbuatan songsang seperti ini melepasi batasan kehaiwanan, lembu jantan sama jantan takkan kahwin, lembu betina dengan betina takkan kahwin, itu haiwan, ini kan pula manusia,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Indeks Perpaduan Nasional di Dewan Rakyat hari ini.

    Bekas timbalan menteri hal ehwal agama itu berkata, kerajaan PN sebelum ini memandang serius mengenai isu LGBT dan membentuk sebuah pasukan petugas untuk menangani isu itu.

    “Saya yakin MP di sini tidak bersetuju dengan LGBT ini. Sebab itu saya nak seru di sini supaya perkara ini yang boleh menjejaskan indeks perpaduan, kerajaan dan kementerian berkenaan lebih menitik beratkan soal ini dan bawa satu naratif yang lebih holistik, dalam menyelesaikan isu LGBT,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Marzuk mengingatkan tentang sejarah bandar Rom, Pompeii yang musnah akibat letusan gunung berapi pada 79 Masihi.

    “Kita tahu sejarah Pompeii itu bagaimana, supaya tak berulang dan tidak mengundang kemurkaan Allah dalam perkara songsang ini,” katanya yang turut mengingatkan kisah kaum nabi Lut yang ditimpakan bencana oleh Allah kerana perbuatan homoseksual mereka.

    “Cuma saya agak terkilan bila tiga penggal di sini, kita bercakap nak lawan LGBT, kita tidak pernah rakan-rakan DAP yang nak lawan LGBT ini.

    “Tak dengar pun, saya tak pernah dengar. Saya tidak kata mereka setuju tapi tak nampak mereka tak setuju.

    “Bila di kementerian agama, kita tubuh taskforce untuk tangani isu LGBT tapi sayangnya sahabat-sahabat kita belum bertindak dengan lebih agresif untuk zahirkan ketidaksetujuan mereka,” katanya.

  • “PH-BN sibuk berpolitik daripada selesai masalah rakyat” – Wan Saiful

    “PH-BN sibuk berpolitik daripada selesai masalah rakyat” – Wan Saiful

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang membidas sikap kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang didakwa terlalu sibuk berpolitik hingga gagal memahami denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup rakyat biasa.

    Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah menyediakan peruntukan amat besar dalam Bajet 2023.

    Namun katanya, permintaan nelayan agar elaun kos sara hidup nelayan dinaikkan kepada RM500 sebulan ditolak kerajaan atas alasan untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan kerajaan.

    “Kerajaan PH-BN ini terlalu sibuk berpolitik hingga gagal memahami denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup rakyat biasa.

    “Jumlah keseluruhan bajet yang mereka bentangkan adalah amat besar. Tapi rintihan golongan nelayan yang memohon kenaikan elaun ini nampaknya tidak dipedulikan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau mengulas jawapan bertulis daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai permintaan beliau agar elaun sara hidup nelayan dinaikkan kepada RM500 sebulan.

    Menurut Mohamad, kerajaan tidak dapat menaikkan elaun itu sambil menegaskan kementeriannya mahu mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar kepada kerajaan.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau kecewa kerana kerajaan enggan menaikkan elaun tersebut walau sedikit pun memandangkan ia permintaan nelayan ditemuinya di Tasek Gelugor.

    Malah katanya, jawapan yang diberikan pun seperti sambil lewa seolah-olah ini isu kecil bagi kerajaan.

    “Saya amat tidak bersetuju dengan cara Menteri berkata “adalah menjadi hasrat Kementerian untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan dan insentif oleh Kerajaan…”

    “Ayat ini memberi gambaran buruk mengenai nelayan, seolah-olah nelayan sengaja mahu bergantung kepada Kerajaan dan tidak tahu berusaha sendiri. Tidak sepatutnya menteri menimbulkan persepsi buruk sebegini,” katanya.

    Wan Saiful berkata, nelayan laut yang sungai yang beliau temui bekerja kuat setiap hari untuk mencari rezeki halal, namun berdepan dengan kenaikan pelbagai kos yang mendadak.

    “Contohnya harga pukat pun ada yang naik dua kali ganda. Sebab itulah mereka mengharap sedikit sahaja tambahan bantuan kerajaan, biarpun untuk sementara waktu.

  • Kertas siasatan kes ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik Radja selesai

    Kertas siasatan kes ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik Radja selesai

    POLIS telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kumpulan muzik dari Indonesia, Radja, selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapat nasihat dan arahan selanjutnya.

    Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada 14 individu warga tempatan dan tiga warga asing bagi membantu siasatan.

    “Polis Johor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa kompromi mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 3.30 petang Ahad lepas bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

    Kamarul Zaman berkata kedua-dua lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

    Terdahulu, media melaporkan kumpulan itu mendakwa menerima ancaman bunuh serta dilemparkan kata-kata kesat selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru, pukul 11.15 malam Sabtu, dipercayai berpunca daripada salah faham antara kumpulan berkenaan dengan pihak penganjur.

  • Pengurus syarikat perikanan direman bantu siasatan kes suapan

    Pengurus syarikat perikanan direman bantu siasatan kes suapan

    SEORANG pengurus sebuah syarikat perikanan direman tiga hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes suapan bulanan melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 1 Langkawi.

    Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek berusia 37 tahun itu, dibenarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

    Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai terlibat sebagai orang tengah memberi suapan bulanan kepada anggota APMM, sebagai dorongan mengelak bot diperiksa anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.

    Katanya, suspek ditahan semalam di Kuala Perlis bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Sumber SPRM itu berkata, seorang anggota Maritim Malaysia berpangkat Laskar Kanan Maritim ditahan oleh SPRM di Sandakan, Sabah kerana dipercayai menerima supanan bulanan ketika bertugas di Pulau Langkawi, Kedah.

    Beliau berkata, SPRM akan melakukan satu lagi tangkapan terhadap seorang lagi anggota Maritim Malaysia berpangkat Bintara Kanan Maritim, melibatkan kes yang sama.

    Sumber itu berkata, sehingga kini seramai tujuh anggota Maritim Malaysia dan dua orang awam ditahan sejak Februari, bagi membantu siasatan menerima suapan bulanan melibatkan anggota Maritim Malaysia Daerah Maritim 1 Langkawi dan anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis.

    Pengarah SPRM Perlis Suzeliyana Hashim yang mengesahkan perkara itu.

  • 3,245 pasangan bercerai di Kedah tahun lalu

    3,245 pasangan bercerai di Kedah tahun lalu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 3,245 pasangan keluarga Islam melalui proses penceraian di Kedah pada 2022 sekali gus mencatat peningkatan berbanding cuma 2,586 pasangan pada tahun sebelumnya.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, berikutan itu pelbagai program telah dilaksanakan dengan pihak tertentu bagi memastikan perkara itu dapat diatasi.

    Antaranya kata beliau, pelaksanaan program ‘Raikan Cinta’ di bawah portfolionya khusus kepada pasangan yang menghadapi krisi rumah tangga dan mengeratkan semula tautan kasih sayang antara suami isteri.

    “Program ini juga dapat memberi pendedahan kepada pasangan tentang ilmu perkahwinan, keagamaan dan tanggungjawab yang perLu dipikul sebagai suami atau isteri bagi mengekalkan keharmonian dan keutuhan rumah tangga.

    “Program ini telah dilaksanakan dua kali dan akan diteruskan berikutan sambutan penyertaan amat tinggi. Ini menunjukkan bahawa matlamat program ini telah tercapai bagi membantu pasangan dalam membina keluarga sakinah, warahmah dan mawaddah,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

    Jumlah penceraian tahun lalu itu bagaimanapun lebih rendah berbanding 3,917 pasangan pada 2019 dan 3,353 pasangan yang dicatatkan pada 2020.

    Selain itu katanya, pelbagai usaha kerajan turut dilaksanakan dengan Pejabat Pembangunan Wanita telah merancang pelbagai program bagi membantu wanita terkesan termasuk melalui Program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (Matahari) dan Program Literasi Perundangan dan Hak Wanita (Iris).

    “Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) juga melalui pelbagai bahagian undang-undang keluarga Islam bersedia menawarkan khidmat nasihat serta sesi kaunseling dan motivasi awal untuk membantu wanita yang terkesan dengan masalah penceraian,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam dalam pada itu memaklumkan, kerajaan negeri masih meneruskan inisiatif bantuan keperluan khas pesakit terlantar negeri Kedah yang dimulakan sejak 2021 dengan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun.

    “Bantuan ini merupakan tambahan kepada penerima bantuan peaskit kronik terlantar atau ornag kurang upaya (OKU) terlantar sedia ada.

    “Kadar bantuan ini terbahagi kepada tiga iaitu RM100 untuk bantuan peralatan sokongan, RM200 untuk bantuan pembelian lampin pakai buang dan RM300 unuk bantuan pembelian susu.

    “Pada 2021, Bantuan Keperluan Khas Pesakit Terlantar Negeri Kedah ini telah diluluskan kepada 5,972 penerima dengan peruntukan bantuan adalah sebanyak RM1.4 juta manakala untuk 2022, terdapat peningkatan kelulusan permohonan iaitu melibatkan 13,323 penerima dengan peruntukan berjumlah RM3.1 juta,” katanya.

    Katanya, semua itu membuktikan betapa kerajaan negeri amat prihatin dan mengambil cakna dalam aspek kebajikan bagi membantu meringankan bebanan keluarga untuk menjaga pesakit.

  • Lelaki ditahan kali kedua cuba seludup cecair vape bernilai RM150,000

    Lelaki ditahan kali kedua cuba seludup cecair vape bernilai RM150,000

    SEORANG lelaki ditahan kali kedua atas kesalahan menyeludup cecair vape bernilai RM150,000 ke negara jiran dalam Op Bersepadu kira-kira pukul 5 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Amran Dolah berkata lelaki berumur 38 tahun itu ditahan hasil serbuan sepasukan anggota polis dan Jabatan Kesihatan dalam Op Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bersama 11 agensi sempadan bermula semalam hingga pukul 6 pagi tadi.

    “Difahamkan, lelaki terbabit yang bekerja sebagai seorang perunding menjadikan rumahnya di Taman Sri Bayu di Tumpat sebagai stor transit simpanan peralatan dan cecair vape bernilai RM150,000 sebelum diseludup ke Thailand,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Tumpat hari ini.

    Beliau berkata sebelum ini, suspek pernah ditahan atas kesalahan sama dengan nilai barangan RM1.4 juta pada tahun lepas dan telah dikenakan denda.

    Menurutnya, siasatan yang dijalankan mendapati kesemua barangan yang dirampas dibeli daripada syarikat luar Kelantan dan dihantar menggunakan kotak berupa barangan elektrik oleh syarikat penghantaran barangan.

    Amran berkata pihaknya percaya kesemua barangan itu diseludup ke negara jiran kerana boleh mendatangkan keuntungan besar kepada suspek kerana permintaan tinggi di sana dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 13A  Akta Racun 1952.

    Mengulas lanjut mengenai Op Bersepadu yang dijalankan, beliau berkata antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin Pengkalan Kubor dan Majlis Daerah Tumpat. 

    Katanya, seramai 1,231 individu dan 1,063 kenderaan diperiksa mulai pukul 12 tengah hari bermula 13 Mac hingga 6 pagi tadi, malah pihaknya menjalankan pemeriksaan di tiga jeti dan pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Simpangan dan Kuala Jambu selain 17 premis dan rumah persendirian.

    “Hasil operasi yang dijalankan kita berjaya membuat rampasan pelbagai barangan bernilai RM158,432 seperti vape, beras, minyak petrol serta dadah seperti ganja dan air ketum,” katanya.

  • Pembangkang sokong Kerajaan Kedah tuntut caj air mentah ke Pulau Pinang

    Pembangkang sokong Kerajaan Kedah tuntut caj air mentah ke Pulau Pinang

    Oleh BADLISHAH MAT

    BEKAS Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini bahawa negeri itu berhak mengenakan caj kepada Pulau Pinang bagi air mentah yang diambil dari Sungai Muda.

    Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dari Pakatan Harapan berkata, amat munasabah untuk kerajaan negeri menuntut bayaran itu kerana Kedah perlu memulihara dan memastikan kawasan hutan simpan di negeri itu terjaga.

    “Pada saya, adalah munasabah untuk Pulau Pinang membayar kepada Kedah. Kita (Kedah) kena pelihara hutan (tadahan air), sungai kena jaga. Semua ini mengeluarkan kos.

    “Bagaimanapun, saya sedar bahawa tidak ada peruntukan dari sudut undang-undang (untuk mengenakan pertuduhan kepada Pulau Pinang),” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Kedah sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keenam DUN Kedah ke-14, hari ini.

    Terdahulu, Phahrolrazi bertanya status terkini panel peguam yang dilantik kerajaan Kedah pada tahun lalu untuk menguruskan permintaan daripada Pulau Pinang bagi penggunaan air mentah.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memberitahu kerajaan negeri melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan RM50 juta daripada Pulau Pinang bagi air mentah yang diekstrak dari Sungai Muda.

    Pulau Pinang bagaimanapun menolak permintaan itu dan mendakwa bahawa mereka tidak diwajibkan membayar kepada Kedah untuk mengeluarkan air mentah dari Sungai Muda yang berasal dari tadahan air Ulu Sungai Muda di Kedah.

    Tambah Phahrolrazi, permintaan itu juga munasabah memandangkan rakyat Kedah sendiri terpaksa membayar air yang digunakan di negeri itu.

    “Mereka (Pulau Pinang) sepatutnya membayar kerana kita (Kedah) menanggung kos memelihara hutan dan sungai. Malah rakyat kita membayar air. Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn Bhd perlu membayar (untuk mengeluarkan air dari sungai). Tiba-tiba orang lain ambil air tanpa bayar,” katanya.

  • Dakwaan pimpinan Pas tak hadir PAT Bersatu tersasar

    Dakwaan pimpinan Pas tak hadir PAT Bersatu tersasar

    DAKWAAN pimpinan Pas tidak menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kali Kelima Tahun 2022 hujung minggu lalu adalah tidak tepat.

    Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad, tidak dinafikan ramai pimpinan yang tidak dapat hadir tetapi masih ada yang memenuhi jemputan tersebut.

    “Nuridah (Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia) dan Dr Nurul Hani Ali (Setiausaha Dewan Muslimat Pas Malaysia hadir ke majlis Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu semalam.

    “Pada masa yang sama pimpinan Ameerah pusat juga turut hadir dalam Mesyuarat Agung Srikandi Muda Bersatu,” katanya kepada Harakahdaily.

    Sebelum ini, ada media membuat spekulasi kononnya ketiadaan pemimpin PAS pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kerana ingin keluar daripada Perikatan Nasional.

    Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan, pemimpin Pas tidak dapat hadir pada perhimpunan berkenaan disebabkan terpaksa memenuhi mesyuarat agung tahunan di kawasan masing-masing.

    “Sememangnya banyak kawasan yang terlibat dengan mesyuarat agung Pas kawasan tapi alhamdulillah (ada sesetengah) pimpinan Pas dapat juga menghadirkan diri ke Perhimpunan Agung Bersatu semalam,” kata Najihah

  • Polis mengaku tidak bersalah 34 tuduhan rasuah

    Polis mengaku tidak bersalah 34 tuduhan rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM12,500 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

    Tertuduh, Mohd. Izzham Halim, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu sarjan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman secara rasuah menerima suapan melalui akaun banknya daripada seorang individu.

    Tertuduh didakwa menerima suapan antara RM50 hingga RM3,200 bermula 26 Disember 2019 hingga 10 Mac tahun lalu, lapor Harian Metro.

    Suapan itu bagi melakukan perbuatan iaitu menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

    Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

    Hakim Mohd. Azhar kemudiannya menetapkan 3 April depan untuk pengurusan kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke pejabat SPRM antara satu hingga lima haribulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Nur Athirah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md. Nasir.

  • Pempengaruh media sosial rugi lebih RM16,000 akibat tawaran kerja

    Pempengaruh media sosial rugi lebih RM16,000 akibat tawaran kerja

    SEORANG pempengaruh media sosial berusia 28 tahun mengalami kerugian RM16,799 selepas terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian menggunakan aplikasi Facebook.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata wanita itu mendakwa semasa melayari laman Facebook baru-baru ini, beliau terlihat iklan kerja sebagai ‘Live Host’ yang menjanjikan komisen RM1,000 sekiranya melaksanakan kerja itu, minimum 30 jam seminggu.

    “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya menghubungi seorang pengguna akaun Facebook berhubung tawaran kerja berkenaan, sebelum diminta mendaftar maklumat peribadi serta dikenakan caj RM1 sebagai yuran pendaftaran dalam satu aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata wanita itu kemudiannya menerima notifikasi bank yang memaklumkan bahawa ada transaski pemindahan wang daripada akaunnya dan selepas merasakan ditipu, wanita itu kemudiannya terus membuat laporan polis.

    Zulkipli seterusnya menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran di media sosial yang menawarkan pulangan lumayan, sebaliknya mereka perlu membuat semakan terlebih dahulu.

    Semakan boleh dibuat melalui balai polis yang berdekatan atau http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di 013-2111222, CCID Response Centre di 03-26101559/03-26101599, atau melalui Facebook di https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.