Category: Semasa

  • Guru diajak wujud gelombang rakyat sokong PN-Radzi

    Guru diajak wujud gelombang rakyat sokong PN-Radzi


    BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengajak guru-guru mewujudkan gelombang rakyat menyokong Perikatan Nasional dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri esok.

    Beliau yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sesungguhnya masa depan anak-anak pewaris negara di tangan cikgu-cikgu.

    “Cikgu tolonglah pesan kepada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga, bekas anak murid dan juga pelajar yang dah boleh mengundi supaya mengundi calon Perikatan Nasional ya.

    “Kepada cikgu-cikgu yang akan mengundi esok pun, pastikan cikgu mengundi calon Perikatan Nasional ya!,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di akaun Tiktok hari ini.

    Radzi berkata, sepanjang berada di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beliau mengelak daripada menggunakan platform kementerian untuk tujuan politik.

    Jelasnya, setiap sesi libat urus bersama dengan guru-guru, beliau berbincang tentang perancangan, hala tuju dan dasar pendidikan, termasuk bagaimana untuk melalui tempoh sukar pandemik COVID-19.

    “Sokongan dan dokongan cikgu semua di sepanjang saya berkhidmat di KPM, amatlah saya hargai.

    “Namun, dalam kita mengharungi PRN di enam buah negeri esok, saya ingin mohon jasa budi cikgu sekalian untuk membantu kami, Perikatan Nasional,” ujarnya.

  • ‘Keluar awal kerana ia lebih baik’, nasihat Muhyiddin kepada pengundi PRN

    ‘Keluar awal kerana ia lebih baik’, nasihat Muhyiddin kepada pengundi PRN

    PENGUNDI di enam negeri digesa keluar awal menunaikan tanggunjawab masing-masing esok bagi mengelak sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun semua pihak mendoakan keadaan cuaca akan baik, namun ramalan pula mengatakan sebaliknya.

    “Diramalkan esok mungkin cuaca kurang baik. Oleh itu saya merayu pengundi keluar awal kerana lebih awal kita menunaikan tanggunjawab kita ianya adalah lebih baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis kempen terakhir Perikatan Nasional menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri esok.

    Muhyiddin berkata, menjadi hasrat semua pihak untuk melihat kerajaan terbentuk ialah sebuah kerajaan beramanah, berintegriti dan kerajaan yang boleh dipercayai.

    Lebih penting katanya, kerajaan yang boleh mengambil tindakan berkesan, membela nasib rakyat dan angkat kedudukan negara ke satu tahap lebih tinggi.

    Bagaimanapun jelas Perdana Menteri Kelapan itu, prestasi kerajaan Pusat sedia ada amat menyedihkan dan membimbangkan.

    “Ketakutan saya… sudah lapan bulan berlaku, tidak ada satu kenyataan pun yang menggembirakan, yang melegakan, yang menyeronokkan.

    “Tidak ada satu bentuk, satu sen wang dikeluarkan untuk membantu rakyat yang terkesan selepas masalah pandamik.

    “Apa dah jadi dengan negara ini. Seolah-olah tidak ada kerajaan. Tidak ada perancangan.

    ” Maka jika anda rasa kerajaan hari ini sudah gagal, maka pilihan raya di peringkat negeri jangan bagi satu undi pun kepada mana-mana calon selain calon Perikatan Nasional,” katanya.

  • PRN:8 bulan jadi kerajaan tapi nasib rakyat tidak terbela, tidak berguna, banyak bohong-Muhyiddin

    PRN:8 bulan jadi kerajaan tapi nasib rakyat tidak terbela, tidak berguna, banyak bohong-Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Kerajaan Perpaduan ketika ini gagal dalam membantu rakyat.

    Menurutnya, selama lapan bulan pembentukan kerajaan sehingga kini rakyat tidak dibela sewajarnya.

    “Kerajaan ‘hopeless’, tak guna dan berbohong. Ini kita hadapi hari ini bila mana terbentuk kerajaan rakyat mengharapkan sesuatu boleh berlaku untuk baiki kehidupan kita.

    “Kita nak tindakan berkesan, bukan omong kosong, pembohongan, cakap tak serupa bikin. Ini berlaku pada kerajaan Anwar Ibrahim,” dakwanya ketika berucap dalam ceramah Grand Finale PN Selangor di Taman Melawati, Ampang, malam tadi.

    Muhyiddin berkata, jika dibandingkan ketika beliau mentadbir negara, tindakan berkesan berjaya diambil dalam menyelamatkan rakyat.

    “Saya nak nyatakan bukan rasa kebimbangan, ketakutan saya, sudah lapan bulan berlaku tidak ada satu kenyataan mengembirakan, melegakan, menyeronokan, tidak ada satu sen wang membantu rakyat.

    “Apa yang telah berlaku di negara ini, seolah-olah takda kerajaan, tiada perancangan. Saya tak nak ceritakan pengalaman tapi saya ada pengalaman,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Ahad cuti peristiwa jika PN menang di Kedah

    Ahad cuti peristiwa jika PN menang di Kedah

    BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri Kedah mengumumkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang dalam pilihan raya negeri (PRN), esok.

    Pemakluman itu dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menerusi kenyataan akhbar malam ini.

    “Makluman kepada seluruh rakyat Kedah Darul Aman yang dikasihi. Kerajaan negeri akan mengumumkan cuti peristiwa pada hari Ahad jika PN berjaya membentuk kerajaan pada 12 Ogos,” katanya.

    Kempen PRN selama dua minggu berakhir malam ini setelah proses penamaan calon dilakukan pada 29 Julai lalu di kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

    PN bertanding di kesemua kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menampilkan 21 calon mereka dan selebihnya 15 calon daripada Barisan Nasional (BN).

    End

  • Eddin Shazlee, Danni, Rafiei antara calon MB PN di Negeri Sembilan-Ahmad Faizal

    Eddin Shazlee, Danni, Rafiei antara calon MB PN di Negeri Sembilan-Ahmad Faizal

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan memaklumkan gabungan itu mempunyai calon Menteri Besar berkaliber untuk memimpin negeri tersebut.

    Walaupun setakat ini masih belum mengumumkan sebarang nama, Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, strategi PN di negeri itu sedikit berbeza kerana mempersembahkan satu pasukan, tidak tertumpu pada satu atau dua nama semata-mata.

    “Begitupun semua calon yang dipertandingkan di Negeri Sembilan mempunyai kekuatan tersendiri malah semuanya layak untuk diangkat sebagai Menteri Besar.

    “Kita tidak ada satu-satu ‘poster boy’. Strategi berbeza kita lakukan di Negeri Sembilan ini. Kita persembahkan satu pasukan namun kalau kita lihat senarai calon kami, kita akan dapat lihat calon berpengalaman.

    “Kita juga ada calon anak muda yang mempunyai pendidikan, latar belakang profesional yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar apabila kita tubuhkan kerajaan,” katanya.

    Ahmad Faizal ketika ditemui Awani turut menyebut beberapa nama seperti calon DUN Klawang, Danni Rais, calon DUN Sungai Lui, Mohd. Nordin Hassim dan calon DUN Juasseh, Datuk Eddin Shazlee Shith yang mungkin sesuai mengisi jawatan itu.

    Selain itu, beliau turut menyebut calon DUN Pilah, Rafiei Mustapha, calon DUN Linggi, Datuk Zamri Md. Said, calon DUN Kota, Ahmad Shukri Abdulshukor dan calon DUN Gemas, Ridzuan Ahmad.

    Walaupun begitu, beliau hanya menyebut beberapa nama namun menurut perkiraannya, semua calon PN di negeri itu layak untuk menggalas jawatan tersebut.

    Tambahnya, nama calon yang disenarai pendek akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir andai PN membentuk kerajaan negeri kelak.

    “Sebenarnya, satu pasukan yang telah kita persembahkan ini, kita yakin dengan kemampuan mereka.

    “Apabila kita berjaya melepasi bilangan kerusi untuk menubuhkan kerajaan, kita akan mempersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” ujarnya.

    Teka-teki mengenai calon Menteri Besar daripada PN Negeri Sembilan sehingga kini masih tidak terjawab selepas pimpinan tertinggi parti itu masih belum mengumumkan secara rasmi calon tunggal mereka.

    Situasi itu sedikit berbeza dengan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang sudah mengumumkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon sebagai Menteri Besar.

  • Sanusi harap PN tubuh kerajaan di enam negeri, bentuk kerajaan Persekutuan

    Sanusi harap PN tubuh kerajaan di enam negeri, bentuk kerajaan Persekutuan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan bertahan lama bersandarkan kepada gelombang kebangkitan rakyat yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri kal ini.

    Menurut Menteri Besar Kedah itu, beliau amat berharap PN mampu untuk menubuhkan kerajaan di enam negeri, yang akan membuka jalan untuk menubuhkan kerajaan baharu di Persekutuan.

    “Terima kasih kepada pengundi luar, anak rantau yang balik dari jauh, ini yang menitiskan air mata kita. Dari Tik Tok kita lihat mereka balik dari serata dunia antaranya Korea, Jerman, Mesir dan Jordan.

    “Kalau inilah gelombang melanda kita, saya yakin ‘Bang Non’ ini tak bertahan lama. Kita harap sekali dengan kita tubuhkan kerajaan di enam negeri ini, kita juga akan tubuhkan kerajaan baharu di Persekutuan.

    “Itu tak mustahil kerana apabila enam negeri ini PN menang, ahli-ahli Parlimen yang bergayut di seluar ‘Bang Non’ rasa tak selamat dan mereka akan lepas. Bang Non pi ‘melorot macam tu saja…

    “Pasal itu dia pulun… Hari ini pun dia ada ‘Grand Finale’ di Kedah, ‘biaq’ pi kat dialah, ‘hangpa’ dengar saja, jangan percaya pasal dia buka mulut saja, bohong,” katanya ketika berucap pada program Sembang Santai Bersama MB Kedah di Padang Awam Taman Tunku Putra, Kelang Lama di Kulim, Kedah, hari ini.

    Terdahulu beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada platform media sosial dan media-media bebas yang memberi laporan seimbang kepada PN.

    Malah beliau turut menempelak kerajaan kerana bercakap mengenai kebebasan media, tetapi tidak mengamalkannya.

    “Dia kata nak amalkan media bebas tetapi RTM tak boleh buat liputan kerajaan negeri Kedah. Mana ada gambar saya masuk RTM? Ada pun yang negatif saja, nak tuduh saya jahat atau apa-apa, masuklah RTM.

    “Lain tak masuk… Mujurlah ada Astro Awani serta aplikasi media sosial yang lain seperti Facebook dan Tik Tok. Satu-satunya jenis negara yang sedaya-upaya sekat apa saja maklumat daripada sampai kepda rakyat adalah negara komunis dan modelnya masih ada di Korea Utara,” katanya.

    Muhammad Sanusi dalam pada itu mendakwa pembangunan Kedah terhenti kerana ada manusia yang sakit hati dalam kerajaan Persekutuan.

    “Dalam isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), hang tak bagi kami bawa penumpang, kami buat kargo. Tetapi kargo pun tak boleh (tak dibenarkan), hang nak apa sebenarnya?

    “Sebenarnya hang dengki saja, tak mahu orang lain maju dan hati tak elok. ‘Bang Non’ ni pula oleh kerana partinya ada 30 kerusi dan DAP ada 40, dia bergayut pada DAP untuk kekalkan kuasa sebagai PM.

    “Mahu atau tak, dia kena ikut DAP. Pasal itu saya kata PKR muka tak malu, jadi kerajaan bergayut kepada DAP saja,” katanya.

  • Fokus Mohd Amar kini menangkan PN, pertahan Kelantan

    Fokus Mohd Amar kini menangkan PN, pertahan Kelantan

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengunci mulut dan enggan melayan pelbagai spekulasi muncul berhubung masa depannya.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan itu dilihat lebih mengambil sikap selamat apabila ditanya mengenai kesan pengumuman Pas berhubung tawaran parti terbabit membawa perubahan pimpinan di Kelantan.

    Sebaliknya calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu meminta media merujuk perkara tersebut kepada Setiausaha Agung Pas, DAtuk Seri Takiyuddin Hassan.

    “Saya tidak ada komen… yang itu perlu tanya Takiyuddin. Nak tanya saya, saya nak jawab apa?

    “Fokus saya adalah untuk menang dan kekalkan kerajaan Kelantan, itu adalah keutamaan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panchor, Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Takiyuddin mengenai perubahan pimpinan utama kerajaan Kelantan selepas pilihan raya negeri (PRN) esok.

    Terdahulu Malaysiakini melaporkan Takiyuddin berjanji membawa perubahan kepimpinan kerajaan negeri sekiranya PN terus diberi mandat daripada pengundi.

    “Perubahan gabungan menteri besar dan timbalan menteri besar sekarang bagi negeri Kelantan dengan mengemukakan seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan Sultan Kelantan.

    “Bagi gabungan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar Kelantan yang akan ditawarkan selepas PRN nanti tidak dinamakan bagi menghormati mandat rakyat dan kuasa mutlak Sultan Kelantan dalam pelantikan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar,” katanya dalam sidang media khas berkenaan.

    Untuk rekod Mohd. Amar turut bertanding pada PRN kali ini bagi mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Panchor, manakala Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut mempertahankan DUN Pasir Pekan yang disandangnya.

    Kenyataan rasmi Pas itu cepat mengundang spekulasi mengenai masa depan politik Mohd. Amar, khususnya apabila dikaitkan dengan isu tiadanya nama Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di Chempaka.

    Sejak beberapa hari lalu juga muncul gerakan yang mengajak pengundi mengalahkan Mohd. Amar melalui kempen #44-1 di kawasan Pengkalan Chepa.

    Ketika media menunggu di pekarangan rumah Mohd. Amar, kelihatan Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dan calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Dr. Izani Husin, berkunjung ke situ.

    Mereka beredar kira-kira sejam kemudian.

  • PRN: Polis kawal keselamatan ibu pejabat SPR, parti politik

    PRN: Polis kawal keselamatan ibu pejabat SPR, parti politik

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur gerak bagi mengawal keselamatan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, ini termasuk beberapa lokasi di ibu kota menempatkan ibu pejabat parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) esok.

    “Biarpun Kuala Lumpur tidak terlibat dalam PRN ini namun ia akan menjadi tumpuan penyokong parti politik yang bertanding.

    “Kuala Lumpur dijangka menjadi tumpuan parti-parti politik untuk mengadakan perjumpaan selain penyokong parti negeri bersempadanan untuk mengadakan perhimpunan atau perarakan.

    “Keputusan PRN ini akan dibuat Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, oleh itu kawalan keselamatan akan digerakkan bagi mengelakkan sebarang kekacauan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

    Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir sebelum hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan melaksanakan risikan keselamatan bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang ancaman.

    Katanya, pengawasan akan dibuat sepanjang tempoh PRN berlangsung dan pengumuman keputusan undian bagi mengelakkan sebarang himpunan atau perarakan dilakukan pihak tertentu.

    “Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dijalankan di kawasan yang dikenal pasti bagi menghentikan apa-apa perancangan perarakan atau berkaitan ancaman keselamatan di Kuala Lumpur,” katanya.

    Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir sebelum hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, ‘Team Cantas’ IPK Kuala Lumpur diletakkan dalam keadaan siap siaga dan terus digerakkan sekiranya terdapat keperluan bagi mematahkan sebarang perancangan menimbulkan kekacauan.

    Beliau menasihatkan semua parti yang bertanding agar sentiasa memastikan keharmonian dan tidak meraikan kemenangan di tempat awam sebaliknya aktiviti tersebut dijalankan di premis tertutup atau premis parti.

    “Tiada kompromi terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang yang dikesan serta tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengingkarinya,” tegasnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: ‘Trend pengundi muda diramal cenderung PN’ – Ilham Centre

    PRN: ‘Trend pengundi muda diramal cenderung PN’ – Ilham Centre

    KAJIAN terbaharu Ilham Centre menunjukkan pola pengundian pengundi muda seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu dijangka kekal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Menurut Ilham Centre, berdasarkan kajian, pengundi muda dijangka kekal cenderung memilih Perikatan Nasional (PN).

    Kaji selidik yang dilakukan firma itu mendapati program Temu Anwar, pemberian e-wallet Belia RM200 dan sebagainya masih belum cukup kuat untuk menarik sokongan pengundi muda.

    “Ternyata maklumat yang ditemui dalam kajian ini membuktikan pola itu masih kekal dan PH menghadapi cabaran untuk menganjak dan menarik sokongan pada segmen ini.

    “Walaupun PMX begitu agresif berdialog dan turun bertemu anak muda di kampus, ternyata ia belum memadai untuk merubah secara peratusan besar menukar sokongan mereka kepada parti pemerintah,” kata firma itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Kaji selidik yang dilakukan juga mendapati pengundi muda tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka malah kini lebih jelas menunjukkan pendirian politik masing-masing.

    “Tiada istilah undi adalah rahsia, mereka merasa selesa menzahirkan sikap dan sokongan dalam PRN kali ini.

    “Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza berdasarkan demografi, psikografi dan lokaliti,” katanya lagi menurut laporan Astro Awani.

    Ilham Centre juga menjelaskan suasana sejuk dan hambar dalam tempoh kempen di empat negeri, manakala agak panas di Selangor dan Kedah.

  • ‘Jika rasis, PN tidak letak calon bukan Melayu’, kata Nallan

    ‘Jika rasis, PN tidak letak calon bukan Melayu’, kata Nallan

    PERIKATAN Nasional (PN) bukan sebuah gabungan yang berlandaskan Islam dan mengutamakan kaum Melayu semata-mata.

    Sebaliknya kata calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, Nallan Dhanabalan, gabungan itu memperjuangkan kesemua nasib rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit.

    “Persepsi yang dilontarkan oleh pemimpin parti lain yang menyatakan bahawa PN adalah rasis sama sekali tidak benar.

    “PN tidak pernah menafikan hak semua kaum yang ada di Malaysia dan jika dilihat parti ini sebenarnya membawa semua suara rakyat daripada kaum Melayu, India dan Cina.

    “Jika ada pihak yang mengatakan PN itu sebuah parti yang rasis, tidak mungkin mereka meletakkan calon bukan Melayu sebagai individu bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) pada kali ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika dalam program Sinar Live khas PRN bertajuk ‘Last Call’ Tawan Bukit Gasing yang dihoskan oleh Haizir Othman hari ini.

    Mengulas lanjut, Nallan memberitahu rata-rata pengundi di DUN Bukit Gasing menunjukkan reaksi positif terhadap PN walaupun majoriti demografi merupakan kaum Cina masyarakat Tiong Hua.

    Beliau berkata lagi, sekiranya PN diberi mandat untuk memimpin kerajaan negeri Selangor untuk lima tahun akan datang, ia akan ditadbir dengan begitu baik kerana mempunyai ‘tulang belakang’ yang kuat.

    “Pentadbiran ini akan dibantu oleh Presiden PN, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Pas dan mantan-mantan menteri Pusat seperti Tan Sri Noh Omar, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Tan Sri Annuar Musa.

    “Sekiranya rakyat memberikan mandat kepada PN, saya akan turut bersama-sama membawa perubahan ke arah satu era yang lebih baik. Kita juga mahu membina Selangor yang boleh dibandingkan dengan Hong Kong atau Singapura,” ujarnya.

    Pada masa sama, Nallan menjelaskan beliau menggunakan kepakaran dan ilmu yang ada sewaktu tempoh berkempen.

    Ujar beliau, ramai penduduk tempatan menzahirkan rasa tidak senang terhadap isu yang tidak dapat diselesaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing terdahulu berkenaan masalah ‘leasehold’.

    Katanya, jika diberi peluang menjadi ADUN, isu berkenaan akan dibangkitkan untuk membantu pengundi Bukit Gasing.

    “Kalau kita boleh tukar status kepada freehold, ia boleh memberi manfaat kepada mereka mungkin nilai hartanah akan meningkat sekali gus dapat membantu mereka menghadapi hari persaraan kelak,” katanya, lapor Sinar Harian.