Category: Semasa

  • PAS kesal kenyataan Hannah Yeoh tidak adil, jadi ‘senjata politik’

    PAS kesal kenyataan Hannah Yeoh tidak adil, jadi ‘senjata politik’

    PAS menegaskan program Artikel 11 yang dirancang tidak wajar diteruskan andainya ia dibayangkan bukan sahaja tidak dapat mencapai hasrat yang dinyatakan malahan berkemungkinan meluaskan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud.

    Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, selain itu program berkenaan mengundang bantahan terbuka yang jauh lebih membimbangkan.

    Berikut kenyataan penuh beliau;

    Pada asasnya PAS menyambut baik semua usaha mewujudkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini sebagai suatu matlamat murni yang perlu dihayati oleh semua golongan malah ia mampu mengelakkan unsur kesalahfahaman dan konflik berikutan perbezaan-perbezaan itu.

    PAS mengambil maklum tentang Projek Artikel 11 yang dianjurkan oleh Impact Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meliputi program Jom Ziarah yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat ibadat pelbagai agama yang dikatakan bertujuan memberi pendedahan kepada pesertanya tentang aspek-aspek agama-agama berbeza di negara ini seterusnya ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang mampu hidup secara harmoni dan lebih bertoleransi.

    Tidak libatkan belia Islam

    Dalam hal berkaitan, PAS menggesa agar program tersebut sekali-kali tidak merupakan program Evangelisme dan ia juga tidak akan melibatkan belia-belia beragama Islam sebagaimana jaminan yang diberikan oleh Menteri KBS Hannah Yeoh di Parlimen pada Selasa (14 Mac 2023).

    Selain itu semua pihak termasuk Menteri berkenaan perlu akur tentang kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan oleh undang-undang terhadap penyebaran Agama Bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

    Bagaimanapun PAS amat dukacita apabila Menteri KBS memetik kenyataan-kenyataan Presiden PAS Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam jawapan beliau di Parlimen sebagai sandaran atau justifikasi kepada program berkenaan.

    Adalah amat nyata apa dipetik tersebut dibuat tanpa menjelaskan konteks ianya dibuat dan tanpa penerangan tepat berhubung kenyataan-kenyataan itu sama ada oleh individu terbabit secara langsung atau pihak-pihak yang mewakili mereka.

    PAS kesal dengan Hannah Yeoh

    PAS ingin menyatakan apa yang paling penting difahami dalam hal ini adalah kenyataan-kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan Bukan Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan, bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar.

    Selain itu, PAS juga berasa amat kesal apabila Menteri KBS memetik kenyataan-kenyataan itu secara tidak adil atau tidak bermaruah dengan menggunakannya sebagai ‘senjata politik’ bertujuan menimbulkan pertelagahan antara PAS dengan parti BERSATU yang merupakan
    komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

    Tindakan tersebut menjadi lebih terserlah motifnya apabila beliau tidak memberi ruang kepada wakil PAS ataupun BERSATU untuk
    memberi respons terhadap kenyataan beliau itu.

    Apatah lagi Menteri berkenaan tampak bercakap tentang peri pentingnya keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat, seolah-olah ia merupakan subjek eksklusif yang tidak terpakai atau melibatkan pihak-pihak lain yang dilihat tidak sealiran dengan beliau.

    Justeru itu PAS menegaskan program yang dirancang tidak sewajarnya diteruskan oleh pihak berkenaan andainya ia dibayangkan bukan sahaja tidak dapat mencapai hasrat yang dinyatakan malahan berkemungkinan meluaskan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud dan boleh pula mengundang kepada bantahan terbuka yang jauh lebih membimbangkan.

    TAKIYUDDIN HASSAN
    Setiausaha Agung PAS
    Bertarikh: 16 Mac 2023

  • UPSR, PT3 tidak dikembalikan – Fadhlina

    UPSR, PT3 tidak dikembalikan – Fadhlina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak merancang mengembalikan sistem penilaian pelajar melalui peperiksaan seperti sebelum ini, termasuk peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

    Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian telah beralih kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) berikutan pemansuhan UPSR dan PT3, yang diduduki pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga sebelum ini.

    Katanya, PBS ialah pendekatan terbaik untuk beralih kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan bagi murid serta dapat membangunkan potensi murid secara menyeluruh.

    “Oleh itu, KPM tidak bercadang untuk mewujudkan semula sistem peperiksaan pada masa ini.

    “Sebarang keputusan untuk melaksanakan semula peperiksaan bergantung pada hasil laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya lapor FMT.

    Fadhlina berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Parlimen oleh Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak), sama ada kementerian akan mewujudkan semula sistem peperiksaan.

    Fadhlina berkata, PBS melibatkan pentaksiran berasaskan bilik darjah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta psikometrik, selain menitikberatkan nilai murni, minat dan pembentukan sahsiah.

    Awal bulan ini, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menggesa Putrajaya mengkaji semula pemansuhan UPSR, dengan berkata ramai ibu bapa merungut anak mereka kurang motivasi untuk belajar.

    Pada April 2021, KPM mengumumkan pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 bagi tahun tersebut. Pada Jun 2022, PT3 dimansuhkan.

  • ‘Bahang’ kenaikan harga barang persekolahan terus himpit ibu bapa

    ‘Bahang’ kenaikan harga barang persekolahan terus himpit ibu bapa

    KENAIKAN harga barangan kelengkapan sekolah memang dirasai kebanyakan ibu bapa lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai ramai anak yang akan memasuki sesi persekolahan baru tidak lama lagi.

    Tinjauan SatuBerita mendapati, rata-rata ibu bapa mengeluh kerana terdapat peningkatan harga bagi kelengkapan persekolahan menyebabkan mereka mengambil keputusan tidak membeli semua kelengkapan baharu, sebaliknya apa yang perlu saja.

    Bagi suri rumah, Sharipah Noorhayati Syed Abdul Aziz,44, berkata peningkatan dirasai dari segi harga berbanding tahun lalu terutama pakaian dan peralatan sekolah.

    “Hari ini saya beli dua pasang baju, sepasang kasut dan sehelai tudung untuk anak yang nak masuk tingkatan satu.

    “Bayangkan untuk 4 barangan itu sahaja sudah mencecah RM200. Itu baharu seorang anak. Untuk anak sulung yang memasuki tingkatan dua, pakai apa sahaja yang masih boleh dipakai.

    “Zaman ini bukan zaman untuk membazir tapi zaman untuk berjimat cermat. Mana yang boleh pakai, kita pakai,” katanya yang menetap di Sungai Buloh, Selangor.

    Bagi Roslina Mohd Yusop, 45, pula berkata, dia sengaja membeli belah keperluan persekolahan anak saat akhir kerana menanti diskaun.

    “Selain sibuk, saya juga menanti potongan harga kerana lazimnya membeli saat akhir terdapat potongan sehingga 20 peratus.
    “Memadai daripada harga asal kerana saya perlu beli untuk tiga orang anak yang akan memasuki tingkatan satu, matrikulasi dan universiti yang memerlukan serba serbi baharu,” katanya.

    Bagi Nor Salmi Taib, 44, dia berbelanja kira-kira RM2,000 untuk keperluan sekolah dua orang anaknya termasuk yuran sekolah.

    “Anak saya berusia tujuh tahun dan biasalah budak tahun satu memerlukan persediaan lebih. Untuk baju sahaja sesi pagi dan petang, saya beli 10 pasang baju termasuk baju pendidikan jasmani.

    “Harga keperluan sekolah tahun ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Dahulu kasut sekolah berharga RM30 sekarang paling murah RM40. Itupun selepas diskaun.

    “Baju sekolah pula RM39 sehelai berbanding tahun lalu kira-kira RM30. Pendek kata semua mahal,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.

  • Johari tuntut siasatan susulan ka Siong ‘ditekan’ atas kenyataan di Parlimen

    Johari tuntut siasatan susulan ka Siong ‘ditekan’ atas kenyataan di Parlimen

    PENGERUSI Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Seri Johari Ghani meminta speaker Dewan Rakyat memulakan siasatan terhadap dakwaan seorang Ahli Parlimen yang didesak secara tidak wajar supaya membetulkan kenyataan dibuat di Parlimen.

    Permintaan Johari itu selepas Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat, semalam, seorang yang mendakwa dirinya wakil J&E Advance Tech Sdn. Bhd. menghubunginya.

    Individu berkenaan menuntut Ka Siong menarikan balik kenyataan dibuatnya di Parlimen mengenai pengimportan telur dari India.

    “Kenyataan Wee menimbulkan kebimbangan pada pelbagai peringkat dan Speaker perlu bertindak segera kerana ia menjejaskan kesucian prosiding di Parlimen dan keupayaan Ahli Parlimen melaksanakan tugas mereka.

    “Pertama, seorang Ahli Parlimen tidak boleh ditekan oleh mana-mana pihak untuk membuat sebarang kenyataan tanpa rela,” katanya sambil menambah, tekanan sebegitu malah boleh menimbulkan potensi kesalahan jenayah.

    “Kedua, tiada pegawai awam atau ahli perniagaan patut membuat sebarang aturan yang direka untuk memberikan tekanan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk berbuat atau berkata sesuatu,” katanya memetik laporan FMT.

    “Pertama, seorang Ahli Parlimen tidak boleh ditekan oleh mana-mana pihak untuk membuat sebarang kenyataan tanpa rela,” katanya sambil menambah, tekanan sebegitu malah boleh menimbulkan potensi kesalahan jenayah.

    “Kedua, tiada pegawai awam atau ahli perniagaan patut membuat sebarang aturan yang direka untuk memberikan tekanan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk berbuat atau berkata sesuatu,” katanya kepada FMT, hari ini.

    Menurut Ka Siong, individu tersebut mendakwa telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan kemudian diputuskan bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan di Parlimen untuk menyelesaikan pertikaian dikatakan timbul daripada kenyataannya sebelum ini.

    Johari juga berkata, dakwaan individu tersebut bahawa perbincangan telah diadakan dengan PMO boleh dianggap sebagai pencerobohan yang menyalahi undang-undang oleh eksekutif dalam Parlimen.

    “Mungkin juga sama dengan pelanggaran disiplin penjawat awam. Parlimen bertanggungjawab menyiasat perkara ini dan memastikan tindakan yang perlu diambil,” katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

    Dalam pada itu, PMO memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan tidak berasas itu kerana menjejaskan kredibilitinya dan kerajaan.

    Pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka terlibat menggunakan nama PMO.

    Sementara itu, Ka Siong memberitahu FMT, jelas pihak tertentu cuba menakut-nakutkannya.

    “Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada kaitan dengan perkara ini kerana kami telah bercakap tentang perkara ini, dan ini kes seseorang menggunakan nama PMO.

    “Tidak salah saya membangkitkan isu itu di Parlimen. Saya hanya menjalankan tugas saya. Kekebalan Parlimen mesti dihormati,” katanya.

    Ka Siong telah diberikan dua surat tuntutan oleh J&E, yang menyatakan ia adalah pengimport tunggal telur dari India, berhubung kenyataan dibuatnya mengenai import itu.

    Surat pertama kepada Ka Siong pada 23 Feb berkata, syarikat itu mengalami kerugian dan reputasi tercemar akibat ‘kenyataan tidak wajar’ daripada Presiden MCA itu.

    Dalam surat kedua, peguam syarikat itu berkata, perniagaan syarikat itu terjejas secara tidak langsung kerana kenyataan Ka Siong menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna tentang kualiti telur.

    Ka Siong dalam catatan dalam Facebook miliknya pada 9 Januari berkata, telur dari India akan mengambil masa antara tiga dan empat minggu untuk sampai ke Pelabuhan Klang melalui laut.

    Beliau sering membangkitkan isu bekalan telur di negara ini di Dewan Rakyat.

  • Dua lelaki ditahan samun guna parang, larikan RM10,000

    Dua lelaki ditahan samun guna parang, larikan RM10,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK sampai 24 jam, dua lelaki berjaya ditahan selepas dalam kejadian samun berkumpulan di hadapan lobi sebuah bangunan kondominium, Puteri Harbour, Iskandar Puteri, pada pukul 9.45 Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisoner Rahmat Ariffin berkata, siasatan telah dijalankan dan kedua-dua suspek berusia lingkungan 40an yang terlibat dalam kejadian itu telah ditahan.

    “Kita mengesan video tular itu pada Rabu, namun tangkapan sudah dibuat pada Isnin lalu iaitu pada hari sama kejadian.

    “Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama ditahan pada pukul 10.15 pagi di Horizon Hill dan suspek kedua pula ditahan pada pukul 9 malam hari yang sama di Gelang Patah.

    “Berdasarkan siasatan yang dilakukan, suspek mengaku terbabit dalam kes yang berlaku pada jam 9.45 pagi itu dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakan mangsa menggunakan parang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Rahmat berkata, polis turut merampas RM10,000 yang disamun dari peniaga online, selain senjata parang dan kenderaan yang digunakan.

    “Kedua-dua suspek tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. Kita percaya masih ada tiga lagi rakan suspek yang masih bebas,” katanya.

    Siasatan katanya, masih diteruskan bagi mengesan rakan jenayah suspek berkenaan. Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan).

    Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi membantu siasatan

    Sebelum itu, tular video berdurasi dua minit 17 saat memaparkan insiden tersebut yang memaparkan tiga individu bersenjatakan parang menyerang mangsa dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

    Mangsa cuba melarikan diri, namun dua buah kereta disyaki rakan suspek menghalang kenderaan tersebut.

    Turut kelihatan salah seorang suspek berjaya melarikan bungkusan yang mengandungi wang tunai berjumlah RM10,000 dari tempat duduk belakang kenderaan terbabit. – SB

  • Polis Johor terima 16 laporan penceramah hina institusi beraja

    Polis Johor terima 16 laporan penceramah hina institusi beraja

    POLIS Johor setakat ini telah menerima 16 laporan berhubung seorang penceramah lelaki yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi beraja.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan berkenaan dibuat susulan kenyataan dibuat menerusi sebuah video berdurasi 31 saat yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.

    “Satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Polis Johor turut menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketidak harmonian dan kegentaran awam.

  • Beri sokongan kepada Muhyiddin, lebih 20 pemimpin Bersatu dipanggil polis

    Beri sokongan kepada Muhyiddin, lebih 20 pemimpin Bersatu dipanggil polis

    LEBIH 20 pemimpin Bersatu dipanggil polis berhubung himpunan menyokong presiden parti itu Muhyiddin Yassin di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, kata laporan.

    MalaysiaNow dalam laporannya menyatakan, difahamkan beberapa pemimpin utama parti sudah pun dipanggil untuk mengambil keterangan oleh pihak berkuasa kuasa di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya bermula hari ini.

    Mereka termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan bekas ketua penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    “Datuk Li (Razali) antara pemimpin yang sudah selesai diambil keterangan hari ini,” kata sumber kepada MalaysiaNow, merujuk kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris.

    Pada 13 Mac, seorang pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat laporan polis terhadap Muhyiddin, berhubung kenyataan mengenai perancangan pendakwaan terhadapnya serta campur tangan pihak atasan menggunakan agensi penguat kuasa bagi mencapai tujuan politik.

    Menurut Muhammad Kamil Abdul Munim yang merupakan setiausaha politik kepada menteri kewangan itu, kenyataan Muhyiddin bersifat fitnah dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Anwar.

    Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengkritik laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan berunsur fitnah terhadap perdana menteri, menyifatkannya menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan untuk pemimpin kerajaan menggunakan pihak berkuasa bagi mempertahankan reputasi mereka.

    Pengarah LFL Zaid Malek berkata pemimpin kerajaan yang merasakan mereka difitnah boleh memfailkan saman kepada mahkamah sivil untuk membersihkan nama mereka.

    “Dalam demokrasi kita, perdana menteri tidak mempunyai status istimewa di bawah undang-undang berbeza dengan rakyat biasa,” tambahnya.

    Terdahulu, Muhyiddin mengecam pertuduhan terpilih yang dikenakan terhadapnya menyifatkan ia sebagai satu penganiayaan oleh musuh politik yang rakus, menamakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang utama pendakwaannya.

    Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dengan pertuduhan ketujuh dibacakan di Mahkamah Shah Alam, semalam.

    Kes akan dibicarakan pada 26 Mei depan.

  • Dakwaan PN bawa lebih mudarat berbanding PH cuma ijtihad Zahid – Sanusi

    Dakwaan PN bawa lebih mudarat berbanding PH cuma ijtihad Zahid – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAKWAAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya pembentukan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) akan membawa lebih mudarat berbanding bersama Pakatan Harapan (PH) merupakan ijtihad beliau berdasarkan kes dihadapi.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu bukanlah ijtihad demi kepentingan rakyat Malaysia.

    “Beliau tahu ucapan pemimpin BN dan UMNO tentang DAP. DAP malah menyanyi sakan dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu terhadap BN.

    “Saya tak gamak nak ulang apa yang mereka gamak kata sesama sendiri. Tetapi akhirnya ‘depa’ memilih juga untuk bersama.

    “Jadi terpulang kepada mereka, itu ijtihad beliau untuk dirinya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Sayangi Kedah Sejahtera di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Menerusi satu wawancara bersama Astro Awani semalam, Ahmad Zahid mendakwa keputusan BN untuk memilih PH atau PN bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 dibuat dengan mengambil kira ‘kemudaratan’ yang lebih besar.

    Menurutnya, perkara itu kemudian dibentangkan bersama Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi sebelum keputusan dicapai untuk bersama PH dengan BN berpandangan ‘kemudaratan lebih besar’ adalah jika bersama PN.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau hairan mengapa perkara sedemikian masih dibangkitkan sedangkan PH dan BN sudah sekian lama membentuk kerajaan Persekutuan.

    “Mungkin Ahmad Zahid bimbang kerajaan terbalik berdasarkan perkembangan dalam partinya sendiri. Apabila berlaku pemilihan dalam parti, mungkin kerajaan akan ‘terbalik’ apabila parti beliau berubah kepimpinan.

    “Mungkin pemimpin baharu yang dipilih nanti akan tarik sokongan terhadap kerajaan dan gabungan bersama PH jatuh. Proses itu dibenarkan undang-undang dan kita cuma harap mereka lakukanlah perkara itu,” katanya.

  • Selangor disaran laksana pelan tindakan iklim secara meluas – Azmin

    Selangor disaran laksana pelan tindakan iklim secara meluas – Azmin

    KERAJAAN negeri Selangor disaran agar menggerakkan Pelan Tindakan Iklim (CAP) secara meluas terutama di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya ia dapat dilaksanakan lebih konsisten dan teratur.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, PBT akan memainkan peranan penting memandangkan institusi ini bakal menjadi ejen pelaksana sekali gus menentukan kejayaan pelaksanaan dasar itu.

    Justeru, bekas menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada pimpinan PBT dalam memastikan mereka betul-betul faham mengenai CAP dan tindakan yang perlu diambil supaya dapat bersama mengurangkan kesan perubahan iklim.

    “Kita akui Selangor adalah negeri maju, negeri industri tetapi bukan dengan mengorbankan aspek persekitaran dan masa depan negeri ini.

    “Jika kita ada pelan tindakan yang dapat mencerakinkan atau menggariskan tindakan yang perlu diambil di semua peringkat, maka cara kehidupan kita, tindak-tanduk kita, cara bekerja dalam komuniti itu pastinya dapat mengurangkan kesan perubahan iklim yang sedang berlaku di seluruh dunia,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Beliau menyatakannya semas berucap dalam sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azmin turut menyarankan kerajaan negeri Selangor supaya memberi perhatian terhadap cadangan dikemukakan dalam Laporan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang boleh digunakan PBT dalam menangani kesan perubahan iklim yang sedang berlaku.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah pelaksanaan bangunan cekap tenaga ekoran pembangunan pesat di banyak daerah di negeri ini serta inisiatif ke arah pengangkutan awam berkarbon rendah.

    Tambahnya, tidak cukup sekiranya kerajaan negeri sekadar memperkenalkan bas Selangorku kerana perlu ada pelan tindakan yang dapat melibatkan semua pengangkutan awam termasuk kenderaan di jabatan dan agensi kerajaan.

    “Terdapat juga keperluan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui berbanding kebergantungan kepada bahan api fosil.

    “Banyak industri di Selangor masih menggunakan bahan api fosil untuk menjana tenaga dala aktiviti perniagaan mereka.

    “Bagaimana mungkin PBT dapat mengenakan syarat tertentu untuk memenuhi kehendak mengurangkan impak perubahan iklim ini jika tiada ada CAP yang dibentangkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

    Pada masa sama, Azmin turut menjelaskan keperluan untuk kerajaan negeri mempertimbangkan inisiatif pengurusan sisa mapan susulan populasi di Selangor semakin meningkat serta memperbanyakkan infrastruktur hijau dalam usaha mempromosi biodiversiti di Selangor.

    “Ini hanya beberapa cadangan. Kalau boleh kerajaan dapat beri perhatian serius, bukan setakat tarik pelaburan dalam Selangor tetapi juga bagaimana pelaburan ini dapat menepati kehendak untuk meminimumkan impak perubahan iklim.

    “Jika industri tidak memenuhi syarat-syarat tersebit, maka produk dan perkhidmatan tidak dapat dieksport kepada negara-negara maju,” kata Azmin yang juga bekas menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri.

  • Bersatu buat laporan polis terhadap Anwar, Zahid

    Bersatu buat laporan polis terhadap Anwar, Zahid

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung fitnah serta dakwaan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mendakwa, Anwar dan Ahmad Zahid cuba menghancurkan kekuatan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Dakwanya lagi, ini termasuklah tindakan membekukan akaun bank Bersatu serta mengheret kepimpinan parti ke mahkamah.

    “Pada 6 Disember 2022, saya telah menonton televisyen, Anwar sebagai Menteri Kewangan mendakwa kerajaan di bawah Muhyiddin telah menyeleweng RM600 bilion pakej ekonomi.

    “Dakwaan tersebut jelas adalah fitnah dan tohmahan palsu apabila RM600 bilion diturunkan kepada RM530 bilion sehingga ke RM92.5 billion kemudiannya kepada RM4.5 bilion sehingga akhirnya kepada RM300 juta sahaja.

    “Ahmad Zahid menerusi ucapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Januari lalu menyatakan akan wujud kluster mahkamah dalam kalangan pemimpin PN dan Bersatu, meskipun siasatan penuh masih belum lengkap ketika itu.

    “Ini adalah bukti jelas menunjukkan wujud konspirasi jahat ke atas Muhyiddin, PN dan Bersatu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

    Razali mendakwa, Anwar telah menyalahgunakan kuasa dengan menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas kepimpinan Bersatu.

    Ujar beliau, tindakan itu bertujuan memberi persepsi yang buruk kepada parti berkenaan dan cuba menampakkan fitnah dan tohmahan mempunyai asas bagi menghancurkan PN.

    Justerum ujarnya laporan polis dibuat untuk menghalang perbuatan jenayah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerajaan yang menggunakan agensi penguat kuasa serta menyalahgunakan proses undang-undang demi kepentingan politik.

    “Semua tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas PN, Bersatu, Muhyiddin dan kepimpinan PN yang lain termasuk membekukan akaun Bersatu jelas menunjukkan konspirasi jahat dengan menyalahgunakan proses undang-undang dan bermotifkan pendakwaan politik.

    “Tujuan sebenar Anwar, Ahmad Zahid dan pakatan mereka dalam Pakatan Harapan (PH) adalah untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat kepada PN.

    “Ia juga bertujuan menjatuhkan maruah daripada parti yang bersih kepada korupsi dan rasuah yang akan meresahkan rakyat serta menghakis kepercayaan kepada PN khususnya bagi menghadapi PRN akan datang,” katanya lagi.